Archive | Ajai RSS feed for this section

Hulk Cinta Baru Nurul

3 Jun

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


TETAP tidak dapat lari dari gosip liar mengenai isu perkahwinan.

BIARPUN hampir dua tahun bekas pasangan popular, Nurul dan Ajai bercerai, masih ada lagi sisa-sisa berkaitan mereka yang masih melekat di bibir segelintir masyarakat.

Jika nama Nurul disebut, di belakang namanya pasti sebutan Ajai yang terkeluar di bibir. Begitu juga dengan Ajai, nama Nurul pasti terpacul di belakang namanya sungguhpun pada realiti sebenar, umum tahu, mereka bukan lagi pasangan suami isteri.

Dan kini, untuk tidak lagi dikenali sebagai Nurul Ajai, Nurul mahu tampil teguh menggunakan namanya sendiri.

“Saya mahu dikenali sebagai Nurul Abdul Wahab, bukannya Nurul Ajai!” tuturnya.

TIDAK kisah dikenali sebagai Nurul Tangis Syukur.

Nadanya begitu tegas. Bukan sebab marah, namun dia mahu orang ramai mengerti bahawa dia bukan lagi isteri komposer terkenal itu.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran orang baru (Liza) dalam kehidupan Ajai, Nurul tidak mahu memporak perandakan lagi keadaan.

“Saya perlu jaga hati Liza, kasihan dia. Kan tak manis jika dipanggil Nurul Ajai. Tambahan pula mereka akan berkahwin tidak lama lagi.

“Anda juga boleh memanggil saya Nurul Tangis Syukur. Asalkan orang tahu, nama yang dipanggil itu adalah saya,” ujarnya pinta untuk difahami.

Selain itu, Nurul juga tidak mahu anaknya, Ayu, keliru dengan gelaran yang diberikan kepada ibunya.

Kisah kahwin tersebar

NURUL ingin dikenali sebagai dirinya sendiri tanpa dikaitkan lagi dengan Ajai.

Jika Ajai mendapat pasangan barunya dan bakal mendirikan rumah tangga, mulalah orang menyibuk pula tentang cinta baru Nurul.

Sehinggakan berita perkahwinan Nurul tersebar luas diperkatakan. Walhal teman cinta pun belum lagi ditemui, masakan boleh dia mahu berkahwin terus.

“Sumpah saya tiada langsung perancangan untuk berkahwin pada masa ini.

“Lagipun, macam mana saya nak kahwin, teman cinta pun belum ada lagi.

“Saya tak mahu menjadi perhatian kerana cerita teman lelaki yang tidak wujud itu dan bukan album baru saya,” tuturnya yang pernah mendengar gosip palsu tersebut dihebahkan.

Tambah Nurul, dengan albumnya yang bakal keluar dalam masa terdekat ini, yang juga merupakan wang hasil daripada titik peluhnya sendiri, sudah tentu dia mahukan yang terbaik dalam albumnya kali ini.

Namun, di sebalik kata-kata belum menemui cinta baru, Nurul sebenarnya masih risau, adakah insan yang bernama lelaki akan menjadi teman sehidup sematinya.

“Memang saya teringinkan teman di sisi selain anak saya. Tetapi saya takut, orang akan fobia dengan saya. Maklumlah, saya ni orang yang dikenali, takut tak selesa pula nanti,” ujarnya dalam tawa.

Teruja dengan teman baru

Meski pun tiada teman yang masih boleh melekat di hatinya, Nurul sudah pun menemui cinta barunya, Hulk.

ALBUM baru yang bakal muncul tidak lama lagi membuktikan Nurul serius dengan kerjaya muziknya.

Seekor kuda yang berusia enam tahun yang telah dibelinya, kini menjadi teman rekreasi Nurul.

“Sebelum ini, memang saya berhasrat untuk membeli seekor kuda. Dan minat saya pada aktiviti sukan kuda ini sejak setahun yang lalu.

“Rasa seperti lebih berkeyakinan sejak mencuba sukan ini. Lebih-lebih lagi, ia bagus untuk kesihatan kita. Tapi kuda ini masih kecil lagi.

“Tetapi apa yang paling saya suka ialah ketika menunggang Hulk, dia suka berlari sambil melompat. Masa itu, saya rasa seperti segala tekanan hilang buat seketika,” ujarnya.

Jelas, Nurul begitu teruja menceritakan mengenai teman barunya itu. Ditanya pula tentang harga kuda tersebut, Nurul enggan mengulas.

“Tak eloklah kalau nak cerita tentang harga. Nanti orang kata riak pula. Yang penting Hulk seekor kuda yang sangat licik. Dia kenal orang yang menyayanginya,” akhiri Nurul yang juga berkata pernah jatuh ketika menunggang kuda.

Powered by Kosmo

Mila Kecut Perut!

23 May

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

TUBUHNYA kecil dengan ketinggian tidak sampai lima kaki, tetapi bakat dimiliki Nursyarmilla Jirin (Mila), 20, cukup besar sehingga ia diiktiraf penggiat industri muzik luar negara.

Buktinya, Mila membuat seluruh rakyat Malaysia bangga apabila meraih kejayaan berganda di Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17 di Varna, Bulgaria pada 16 hingga 18 Mei lalu.

Mila menjadi peserta tunggal Asia menjuarai anugerah kategori Lagu Terbaik menerusi Ilham Di Mata Mu ciptaan Ajai dan lirik ditulis Allahyarham Rosli Khamis (Loloq). Dia turut dipilih juri pertandingan memenangi anugerah khas Penyanyi Muda Berbakat.

Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, dia bersyukur dengan kemenangan diraih dan mengharapkan ia menjadi titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik.

“Banyak pendedahan saya terima. Benar kata orang, sekiranya kita jauh berjalan pasti luas pandangan.

“Kemenangan ini saya anggap bonus tetapi pengalaman diperoleh itu yang lebih saya hargai,” katanya sambil tersenyum bangga apabila melihat ahli keluarga bersama kelab peminat, Voices Of Mila (VOM) turut menyambut kepulangannya di KLIA, kelmarin.

Sambil menunjukkan piala dimenangi, kata Mila, sebaik melihat bakat ditonjolkan setiap peserta ketika sesi raptai penuh pada 17 Mei di Teater Stoyan Bachavarov, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kejayaan.

“Boleh dikatakan hampir semua peserta mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang muzik. Ada antara mereka mempelajari muzik klasikal dan vokal sejak usia lima tahun dan selalu menyertai festival muzik di seluruh Eropah.

“Berbanding dengan saya yang kali pertama bertanding di negara luar sudah tentu terasa ‘kecut perut’ selepas mendengar suara yang dikeluarkan peserta lain. Vokal mereka seperti mengadakan persembahan opera.

“Tidak dinafikan perasaan rendah diri yang masih menebal membuatkan saya rasa tidak keruan. Mujur ia tidak mengganggu tumpuan sewaktu menyanyi. Pengalaman mengadakan persembahan ketika konsert akhir AF5 sangat membantu,” katanya.

Menarik, kata Mila, apabila kebanyakan penonton yang menyaksikan pertandingan berlangsung amat menghargai muzik walaupun bahasa ditampilkan tidak difahami.

“Pada malam pertama saya memilih mendendangkan lagu rancak Aku Lebih Tahu. Ketika menyanyi kelihatan penonton turut bertepuk tangan. Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik.

“Hari kedua pertandingan, saya menyanyikan lagu balada, Ilham Di Mata Mu. Sepanjang saya menyanyikan lagu ini, semua penonton diam. Mereka seakan-akan memahami apa yang saya cuba sampaikan menerusi liriknya yang cukup puitis,” katanya.

Mila turut menegaskan kemenangan diraih di Varna, bukan kejayaan miliknya seorang tetapi seluruh pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.

“Pertamanya sudah tentu kejayaan ini saya mahu kongsi bersama pencipta lagu Ilham Di Mata Mu, Ajai dan Allahyarham Loloq kerana menghasilkan lagu serta lirik bermutu.

“Memang persembahan dan vokal saya memainkan peranan tetapi ia tidak akan lengkap jika lagu yang dibawakan tidak menyentuh perasaan dengan lirik amat bermakna.

“Selain itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, Maestro Talent and Management dan Astro sendiri yang berusaha membiayai pemergian saya,” katanya.

Kata Mila, sepanjang pembabitannya dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17,

dia turut dipelawa menyertai beberapa festival di Itali dan Russia oleh penganjur di sana.

“Bagaimanapun, sukar untuk saya menerima pelawaan itu kerana kos untuk menyertai festival itu agak tinggi,” katanya.

Menyentuh mengenai peluang untuk melebarkan sayap di negara luar, jelas Mila peserta dari Romania, Simona Nae ada meluahkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengannya menghasilkan lagu duet.

“Panjang juga kami bercerita mengenai perkara itu sepanjang tiga hari berada di sana. Dia nampak bersungguh-sungguh dan saya tidak keberatan untuk memberikan kerjasama.

“Dia turut menunjukkan jalan bagaimana duet boleh dilakukan walaupun kami berada di benua berbeza.

“Bukan itu saja dia turut bersedia untuk merakamkan lagu duet dalam bahasa Melayu dan datang ke sini bagi mempromosikan lagu dihasilkan. Bagaimanapun ia sekadar ‘cakap mulut’, kita lihat saja nanti perkembangannya,” katanya.

Profil

NAMA PENUH: Norsyarmilla Jirin

PANGGILAN: Mila

TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

UMUR: 20 tahun

ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

TINGGI : 148 sm

BERAT: 40kg

HOBI: Menyanyi, menari dan membaca novel

PENYANYI IDOLA: Anita Sarawak

BINATANG PELIHARAAN: Kucing

KERJAYA: Penyanyi

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia Musim Kelima, Memenangi Anugerah Era 2007 bagi kategori Lagu Pop Pilihan (Persis Mutiara) dan Artis Harapan Pilihan, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Anugerah Lagu Terbaik dan Penyanyi Muda Berbakat di 17th International Pop Music Festival 2008.

Powered by Harian Metro

‘Kejayaan’ Kilang AF

18 May

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

KONSERT akhir Akademi Fantasia musim keenam hanya tinggal beberapa hari sahaja. Ini bermakna tapak mula untuk kesemua pelajar bergelar bintang semakin hampir.


DIAM ATAU MEMBAWA DIR?TATKALA suara Nana berkumandang setiap hari di radio dan Mawi membawa langkah demi langkah ke pentas anugerah dan negara luar untuk ‘menjual’ bakat, beberapa nama yang dulunya pernah ditepuk sorai diam terus. Ke mana agaknya Lotter yang dahulunya merupakan naib juara AF4? Khabarnya dia sekarang lebih senang bersama anak-anak band untuk bergerak sendiri. Amirul, Fuad dan Kaer lebih selesa bergelar pelajar di negara asing. Ebi pula selesa bergelar pelakon walau pernah juga bergelar naib juara yang diadili melalui nyanyiannya. Lima bintang AF yang sempat ditemuramah ini menceritakan ‘kesepian’ mereka selepas bergelar bintang.

Mengenang kembali perkembangan semua 76 bintang yang lahir menggunakan platform yang sama, ada yang berjaya bergerak dengan bakat yang berbeza.

Ada yang mekar bergelar bintang dan masih megah di kaca televisyen dan dada majalah. Dan tidak kurang pula yang sepi membawa diri masing-masing.

Persoalannya, adakah populariti yang dicipta di pentas AF mampu membawa mereka terus kekal di hati dan pemikiran peminat yang dahulunya menyanjung tinggi mereka dengan SMS?

AHMAD AZIZI MOHAMED Tempat Ketiga Musim Pertama

AZIZI menegaskan ada golongan yang lebih pentingkan paras rupa.

Sewaktu Azizi dihubungi, jejaka kelahiran Pahang ini sedang bersiap-siap ke negeri kelahirannya untuk menghadiri undangan nyanyian. Dan sambungnya, Julai nanti dia bakal muncul dalam undangan untuk Kosmetik Avon bersama Mawi.

Terdengar sedikit keluhan akan nasibnya yang dibezakan, Azizi terlalu merendah diri sewaktu menegaskan bahawa masih ada golongan yang mementingkan paras rupa berbanding bakat.

Namun, itu bukanlah halangan untuk dirinya bergerak sendiri dalam mempersiapkan album kedua yang sangat diimpikannya.

Masih mempunyai ruang untuk bergerak menyanyi dan menjadi hos bagi undangan yang dicarinya sendiri, Azizi menyimpan impian yang kuat untuk mempunyai album dan tidak bersikap kalkulatif untuk tampil di mana undangan sekali pun.

“Saya tahu AF adalah program tahunan yang mempunyai permintaan daripada penonton. Segalanya terserah kepada mereka untuk menilai bakat. Rezeki terletak pada tangan masing-masing,” ujarnya yang akan muncul dalam rancangan Kwek Mambo dan bertemu empat mata kembali dengan idolanya, Anita Sarawak yang pernah memberinya buah epal buat peniup semangat.

FELIX AGUS Naib Juara Musim Ketiga

ALBUM bahasa Dusun akan dipersembahkan Felix.

Masih lucu dan berjenaka, Felix menganggap kesepian dirinya daripada mata dan telinga masyarakat luar adalah ‘diam-diam ubi berisi’. Dia kini selesa berada di Sabah mempersiapkan album dengan bantuan rakan-rakannya.

“Saya kini sibuk merakamkan album yang mempunyai campuran bahasa Dusun dan Melayu yang dirakamkan di negeri kelahiran saya,” terangnya.

Menurut Felix, projek ini dilakukan sendiri dengan kos yang ditanggung sendiri. Menyuntik sedikit pengaruh band pujaannya iaitu Search dan Dewa 19, album ini lebih cenderung ke arah genre rock.

Kontraknya bersama Maestro hampir habis tiga bulan lagi dan kerana bakat yang dipertaruhkannya, dia sudah menerima beberapa tawaran syarikat rakaman.

Namun segalanya masih dipertimbangkan. Jejaka yang pernah digosipkan dengan Akma AF3 ini menganggap senyap adalah suatu keselesaan buat dirinya, selain memberi peluang buat artis baru di bawah bumbung yang sama untuk mencari lebih ruang.

Felix masih rapat dengan rakan-rakan yang ditemuinya lewat program realiti popular itu. Katanya dia baru selesai mendaki Gunung Kinabalu bersama Yazer dan Ebi. Agak mengeluh dengan proses penggambaran Aduh Saliha, Felix menolak watak-watak sedih dan perlu membuatnya mengeluarkan air mata. Katanya dirinya tidak seperti itu.

NURLIZAWATY MOHD ISMAIL Finalis Musim Pertama

GADIS Roda Impian menunggu hari bergelar isteri.

Gadis yang dikatakan mempunyai suara gemeresik ini pernah hangat digosipkan dengan juara AF1. Namun selepas keluar dari istana AF dan selesai tugasnya membuka kotak Roda Impian, namanya seakan sepi. Menjadi finalis musim pembuka tidak mampu membuatkan nama Liza segemeresik suaranya.

Menurut Liza yang sudah pun menjadi tunangan orang pada bulan Januari lalu, dirinya kini hanya sibuk dengan mengikuti cara Gempak Selebriti The Musical yang dibawakan oleh Astro. Selain itu, kecintaan terhadap nyanyian masih ditumpahkan pada acara makan malam atau undangan nyanyian biasa.

“Album sepatutnya ada mengikut perancangan tapi nampaknya sudah terlambat sangat. Kontrak juga sudah nak habis. Liza sendiri tak tahu untuk menyambung lagi kontrak atau tidak,” ujarnya yang masih menaruh harapan untuk mempunyai album.

Liza tidak menganggap dirinya senyap terus dalam industri namun dia lebih banyak membawa haluan sendiri yang membuatkan masyarakat tidak perasan akan kesibukannya.

Lebih banyak terlibat dengan undangan sendiri dan tidak muncul kerap di kaca televisyen membuatkan dirinya tampak sepi.

Lucu mengikut gelak tawanya namun realiti apabila ditanya apakah yang menjadi keutamaan bagi dirinya, jawabnya jujur adalah perkahwinannya yang bakal dilangsungkan awal tahun hadapan bersama jejaka Kedah berkulit hitam manis.

NURULLAH ABD HAMID Bintang Musim Kedua

NURUL lebih selesa dikelilingi kanak-kanak.

Hatinya gadis kecil molek ini lembut, teringat ketikanya dia dimarah oleh Fauziah Nawi kerana gagal menyebut tugasan yang diberikan dengan lancar. Namun semangatnya tidak selembut jiwanya yang halus.

Dia mempunyai jalan sendiri untuk terus mekar dalam industri yang dipilihnya. Nurul baru selesai dengan pengajiannya dan kini sudah mempunyai syarikat sendiri yang diusahakan bersama teman.

Beta Sutra Entertainment memberi ruang untuk Nurul membuat acara hiburan dan multimedia. Mirip dirinya yang kecil dan manja seperti kanak-kanak, Nurul turut terlibat dengan rancagan Boom Ciki Ciki Boom Boom yang disiarkan di saluran RTM1 pada setiap Sabtu.

“Saya buat lirik dan lagu kanak-kanak.

“Dan sekarang sibuk mencungkil bakat untuk menulis lirik dan lagu untuk sesiapa yang berminat,” ujarnya.

Dia akur dengan ketentuan yang dia tidak mempunyai album untuk diketengahkan namun masih menyimpan hasrat.

“Mahu buat album sendiri tapi nampaknya bajet tidak mengizinkan.”

VELVET LAWRENCE ADUK Finalis Musim Keempat

SERING dilihat bersama Rich, Velvet sibuk menyiapkan album sulung.

Sudah diketahui ramai akan hubungannya dengan vokalis Estranged dan wajahnya tidak lekang dilihat ketika band popular itu beraksi di mana-mana.

Pemenang tempat kelima musim keempat ini menganggap dirinya sepi kerana bersebab. Sibuk menyiapkan album yang membawa buah tangan Ajai dan Adnan Abu Hassan, proses album debutnya sudah mempunyai lima buah lagu dan tinggal tiga buah lagu lagi untuk melengkapkannya menjadi sebuah album.

Velvet yang manis ini masih ligat dengan undangan nyanyian makan malam namun fokusnya dihadapkan 100 peratus ke atas album. Ujar Velvet, dia masih bergelar artis.

Powered by Kosmo

Gaya: Sehelai Baju Untuk Dua Majlis

4 May



Wan Huzairil Wan Hussein

Soalan:

SAYA akan menghadiri satu majlis perkahwinan gilang gemilang pada Ogos ini dan satu majlis makan malam pada November. Saya merancang untuk membuat sehelai baju yang boleh dipakai pada dua majlis ini. Selain mengenakan baju kurung yang sememangnya sesuai untuk menghadiri semua majlis, saya ingin mengenakan fesyen lain seperti kurung moden ataupun gaun. Saya mempunyai ukuran badan 40-35-41 dan ukuran agak besar pada bahagian lengan iaitu 13 inci. Untuk pengetahuan saudara, saya berkulit cerah.

Fida Sahlan, melalui emel.
Jawapan

Menghadiri majlis perkahwinan dan makan malam memerlukan dua gaya berbeza iaitu busana bercirikan tradisional dan moden. Oleh itu, saudari perlu bijak membuat percaturan dalam usaha menjimatkan kos dan memudahkan tugas memilih busana. Pada saya, sehelai baju untuk dua majlis berkenaan sudah memadai.

Justeru, kali ini saya lakarkan rekaan bercirikan tradisional dan moden khusus untuk saudari. Busana ini kelihatan seperti kebaya singkat berkolar pada potongan depan baju tetapi pemilihan fabrik dan sentuhan moden membuatkan busana itu kelihatan seperti sut tiga keping.

Tubuh saudari adalah normal, cuma ukuran pada bahagian dada agak besar menjadikan ia kelihatan tidak seimbang. Jadi saya cadangkan leher baju dipotong berbentuk V bagi memberi ilusi kecil pada bahagian dada. Tampalan renda Perancis (French Lace) pada kolar pula dibuat supaya busana kelihatan lebih elegan dan mewah.

Selain renda Perancis, saudari boleh gantikan ia dengan renda lain yang lebih murah, namun prinsip untuk menjadikan sesuatu rekaan kelihatan mewah adalah melalui penggunaan tatahan manik dan kristal.

Selain itu, sulaman jemeki dan tampalan kristal Swarozki pada kolar juga penting bagi mengalih tumpuan dan menyembunyikan bahagian dada anda selain menambah seri busana.

Untuk rekaan kali ini, saya cadangkan supaya saudari gunakan sifon berwarna merah. Ciri sifon yang jatuh cantik membuatkan potongan jaket lebih terserlah. Boleh juga buatkan alas (lining) untuk jaket, tetapi kali ini saya cadangkan supaya saudari hanya mengenakan anak baju (camisole) pada bahagian dalam jaket.

Jangan abaikan hiasan pada hujung lengan misalnya melalui tampalan renda Perancis seperti yang digunakan pada kolar. Oleh kerana saudari mempunyai ukur lilit lengan yang agak besar, sembunyikan bahagian berkenaan dengan mengelakkan pemakaian baju daripada fabrik keras.

Padankan jaket dengan kain kembang atau berpotongan A-line bagi menyeimbangkan bentuk tubuh dan punggung. Kreativiti dalam menggandingkan penggunaan material merubah gaya busana. Oleh itu, saya cadangkan supaya saudari menggunakan alas skirt daripada fabrik sutera satin hitam. Gandingan merah dan hitam pada dua jenis material itu pasti membuatkan gaya anda lebih menyerlah pada majlis itu nanti.

Penggunaan aksesori perlukan sederhana. Bagi menyesuaikan ia dengan kebaya singkat berkolar merah dan hitam, saya sarankan supaya anda gandingkan ia bersama kalung mutiara hitam atau seutas rantai berlian (one line diamond). Pastikan ia tidak terlalu sarat.

PROFIL: Wan Huzairil Wan Hussein

  • Lulusan Diplome de Proffesuer in Moulage dan Diplome de Proddesuer in Fashion Design di Esmod Paris, Bangkok.
  • Antara pencapaian pereka berbakat ini, tempat ketiga Pakaian Pengantin Majalah Wanita (1994), Juara Pertandingan Jarum Berlian (1998), Juara Pertandingan Pakaian Pengantin Majalah Nona (1999), menerima gelaran ‘Raja Corset’ dan ‘Raja Songket Kontemporari’ pada 2005.
  • Rekaan pereka berbakat kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menjadi pilihan kerabat diraja Kelantan, selebriti terkenal Nasha Aziz, Anita Sarawak, Nurul, Ajai, Rozita Chek Wan dan artis baru seperti Sherry Ibrahim, Ashraf Muslim serta Iqram Dinzly.
  • Sesiapa yang berminat mendapatkan khidmat Wan Huzairil, hubungi beliau di talian 016-3653341 atau kunjungi butik Wan Huzairil di No 43, Jalan Suadamai 2/3, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras atau Lot 1308, Jalan Seroja, Taman Uda Murni, Kota Bharu, Kelantan.

INFO:

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Powered by Berita Harian

Belum Bertudung

13 Apr

RAMAI yang teruja apabila si cantik berusia 23 tahun ini bergaya dengan tudung, menutup aurat seorang perempuan muslim. Mereka menyangka Farah Diana Anuar yang lebih dikenali sebagai Farah sudah berganjak daripada fasa lama kehidupannya menjadi seorang muslimah sejati mengikut langkah Datin Seri Siti Nurhaliza juga Noraniza Idris.

Realitinya, beritahu pemenang tempat kedua Akademi Fantasia 2 (AF2) ini, tindakan bertudung diambil kerana menghormati program yang dikendalikannya iaitu Rasa Halal Orien untuk saluran Astro Oasis yang bakal disiarkan bermula 18 April depan.

Menjadi perantara kepada program masakan 13 episod yang mengambil lokasi di Xia, China ini dengan penampilan bertudung, jelas Farah: “Sebenarnya saya masih belum bertudung. Saya hanya bertudung untuk menghormati program itu.

“Namun siapa tahu, mungkin ini langkah awal saya yang bakal bertudung juga. Saya berharap peminat tidak salah faham, kerana hakikatnya saya memang belum bertudung. Sama-sama kita berdoa agar hati saya terbuka dan mahu segera bertudung.”

Tidak melihat ia sebagai satu beban, Farah kini bersedia kembali memanaskan gelanggang nyanyian apabila album keduanya, 9 Langkah yang diterbitkan bersama oleh Ajai, Aidit, Alim Razman, akan dipasarkan sekitar bulan ini.

Makanan

Hari-hari saya makan. Saya gemar makanan terutama dari utara seperti mihun sup dan laksa. Satu ketika dahulu, saya pernah berdiet untuk mendapatkan bentuk badan yang sesuai usia. Walaupun berdiet saya tetap wajib makan nasi kerana tanpa nasi, saya tidak mempunyai tenaga untuk menyanyi.

Tapi saya ambil dalam kuantiti yang sikit. Namun sekarang saya tidak lagi berdiet. Saya makan apa yang saya suka, hanya saya kontrol supaya tidak makan secara berlebihan.

Jenama

Saya bukan orang yang gilakan jenama dan tidak mengajar diri untuk membeli barang-barang berjenama. Pun, saya akui, sebagai selebirti tak salah jika punya barang berjenama, sekurang-kurangnya sebuah beg tangan, sebagai hadiah penat bekerja.

Cuma jangan sampai ketagih kerana pada saya, masih ada benda yang lebih penting daripada jenama yang harus difikirkan. Jenama pertama yang saya beli Guess. Sekarang mula meminati Coach.

Politik

Suka tengok orang politik berucap, gaya mereka bercakap dan perkataan-perkataan baru yang mereka ucapkan. Saya mula ambil tahu hal politik bermula era Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi. Tetapi saya akui, saya tidak mengikut hal politik terlalu dalam.

Namun apa yang pasti politik amat penting kepada sesebuah negara. Saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai politik yang stabil sehingga membolehkan semua rakyat hidup aman. Itu penting.

Malam

Kalau sebut pasal malam, saya teringat kepada lagu Shades. Saya bukan gadis yang mengagumi malam dengan mengira bintang di langit. Tapi saya akan pastikan menjadi orang yang tidak terlepas melihat gerhana bulan. Dulu, saya tunggu hari Jumaat sebab nak pergi pasar malam dengan kawan-kawan.

Peluang

Semenjak masuk AF, saya dapat banyak peluang dan kesempatan dan saya tak terlintas di fikiran. Saya dapat peluang jadi duta produk, ada album sendiri dan dilayan dengan baik. Jadi saya harus menghargai peluang yang ada dalam kehidupan.

Powered by Kosmo

Mek Jadi Pengacara TV9

31 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

IBARAT orang mengantuk disorongkan bantal. Demikian yang dialami, Nik Sayyidah Fatiha Yazib, 25, apabila ditawarkan sebagai pengacara bersama, Aziz Desa, untuk program bual bicara terbaru TV9, Nasi Lemak Kopi O yang disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 8 pagi bermula 4 April ini.

Nik Sayyidah atau lebih mesra dengan panggilan Mek semakin dikenali selepas membintangi sitkom Salam Pantai Timur yang disiarkan setiap Jumaat, jam 10.30 malam di RTM1. Dia turut aktif berlakon dalam lebih 20 drama antaranya 3 Diva Sekampung, Sederet dan 2 x 5.

Selain itu, dia bakal membuat penampilan di layar perak menerusi filem fiksyen komedi terbitan Metrowealth Movies Productions dan arahan Ahmad Idham, Brainscan (BS21) yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Penyertaan pertama bersama program bual bicara di TV9 itu bukanlah pembabitan pertama dalam pengacaraan sebaliknya Mek yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, sebelum ini sudah membuktikan kemampuan mengacara menerusi beberapa program berbentuk hiburan dan majalah.

Bekas penuntut Ijazah Pentadbiran Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, tawaran dihulurkan pihak pengurusan TV9 memang dinantikan untuk meningkatkan skil pengacaraan di samping menimba pengalaman.

“Sebelum ini selain aktif berlakon saya juga kerap mengacara. Saya mengacarakan program Pertandingan Lagu Asli Irama Malaysia di RTM, beberapa program lagi. Selain, terbabit sebagai pengkritik tetap bersama Ajai dalam program realiti, Hanya 90 saat untuk RTM.

“Tawaran mengacarakan program terbaru di TV9 ini pula hadir selepas saya dijemput sebagai pengacara bersama Danny (X Factor) sempena Perkampungan Hadhari di Kelantan, baru-baru ini.

“Konsep persembahan yang bersahaja pada majlis itu mendapat perhatian Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda yang berasakan ia sesuai untuk program bual bicara terbaru di stesen itu.

“Ini pengalaman pertama saya bersama program bual bicara seperti ini. Saya gembira kerana diberi kepercayaan dan penghargaan besar oleh pihak pengurusan TV9. Malah berpeluang berganding dengan pengacara berpengalaman seperti Aziz Desa,” katanya.

Mengulas program yang turut menampilkan pelakon, Yatt Ibrahim, personaliti TV9, Zaleha Khairy dan adik Mysara Syahfizren itu, Mek yang mengacara pada setiap Jumaat berkata program berbentuk santai itu mengupas pelbagai topik menarik dan berkaitan isu semasa.

“Program itu mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri daripada program bual bicara yang lain, malah paling istimewa apabila ia turut dimeriahkan dengan penampilan pemuzik tradisional.

“Sebagai pengacara bersama abang Aziz setiap Jumaat kami akan membincangkan pelbagai topik menarik dalam bentuk santai. Kemungkinan juga diselitkan dengan penggunaan loghat Pantai Timur,” katanya.

Powered by Harian Metro

Kualiti Hits 1

23 Mar

FINAL Hits 1 kembali lagi dalam kesuraman. Itu realiti yang tidak boleh dinafikan stesen televisyen RTM1 ini.

Memasuki tahun kelima penganjurannya, anugerah yang memartabatkan karya para komposer dan penulis lirik ini terkebelakang dari segi populariti dan komersialnya.

Namun di sebalik sambutan yang agak dingin, program yang diadaptasi daripada carta lagu popular Muzik FM ini harus berbangga kerana perjuangan mereka mengiktiraf karya muzik tempatan masih berpanjangan.

SPIDER

Sekurang-kurangnya Hits 1 terus menjadi pelampung buat pengkarya muzik yang selalunya tercicir daripada senarai nama individu yang harus diiktiraf.

Juga, kerana ini adalah pertandingan antara pengkarya, RTM 1 wajib akur kepada suara para komposer agar menyeimbangkan habuan yang bakal diberikan terutama kategori Lagu Paling Popular.

AZLAN ABU HASSAN

Selepas empat musim berlalu, nama-nama komposer dan penulis lirik papan atas seperti Julfekar, Azlan Abu Hassan, Ajai, arwah Loloq atau Rosli Khamis sering mendominasi pertandingan ini.

Melihat kepada senarai 10 buah lagu yang bertanding pada malam ini di Stadium Negara, Kuala Lumpur, ia merupakan satu lagi senarai pencalonan yang mantap.

RAMLAH RAM

Komposer dan penulis yang mempertandingkan karya mereka telah memiliki sederet portfolio yang baik. Antaranya, Azlan Abu Hassan, Edry Abdul Halim, Aidit Alfian, Azmeer dan Julfekar.

Para pengkarya ini kemudian mempertaruhkan produk mereka di tangan penyanyi seperti Adam, Misha Omar, Ramlah Ram dan Spider yang bukan nama asing dalam industri hiburan.

Namun apakah kriteria ataupun kelebihan yang dicari barisan juri? Jika menurut persepsi mata kasar, 10 karya yang dipertandingkan sudah mempunyai keistimewaan sendiri.

AIDIT ALFIAN

Izinkan Ku Pergi hasil kerjasama Azlan Abu Hassan dan Sulu Sarawak dengan Sahri menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan Kaer, dilihat sebagai karya yang mempunyai potensi besar untuk sekurang-kurangnya mengisi posisi kemenangan yang telah disusun.

Begitu juga Sembunyi karya Aidit Alfian bersama Loloq yang melodinya sungguh unik sementelah didendangkan bersama Misha Omar dan Andy Flop Poppy.

MISHA OMAR dan Andy Flop Poppy.

Sementara Ketentuan yang dinyanyikan Ramlah Ram hasil karya Ad Samad dengan lagunya digubah Azlan Abu Hassan juga harus diberi perhatian.

Namun ini tidak bermakna tujuh lagu lain yang berentap tidak mempunyai kekuatan sendiri untuk membawa pulang habuan seperti Lagu Paling Popular (RM10,000), Lagu Terbaik (RM25,000), tempat kedua (RM20,000) serta Persembahan Terbaik Hits 1 (RM5,000). – MALIAH SURIP

Powered by Kosmo

Ajai, Liza Rancang Kahwin Julai

12 Mar

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA (saharudin.musthafa@utusan.com.my)

HUBUNGAN cinta Norliza Ilias (kiri) dan Ajai bukan lagi rahsia di kalangan karyawan seni tanah air. Pasangan itu merancang untuk berkahwin Julai depan.

SELEPAS bergelar duda, komposer terkenal Ajai, dikaitkan dalam beberapa episod percintaan.

Namun, semua itu saling tidak ubah sekadar gosip semata-mata.

Yang pasti, selepas berakhirnya perkahwinan Ajai dengan penyanyi terkenal, Nurul, ada seorang wanita yang cukup istimewa di hati komposer itu.

Bagi sebilangan besar penggiat seni tanah air, hubungan Ajai dengan Liza yang juga salah seorang pegawai kanan di syarikat pengurusan artis Maestro Talent Management Sdn. Bhd., bukan rahsia lagi.

Justeru, ketika Ajai dikaitkan mempunyai hubungan dengan gadis lain seperti yang dilaporkan hujung minggu lalu, bekas anggota kumpulan Exists itu sekali lagi mendapat perhatian media.

Begitu juga dengan Liza atau nama sebenarnya Norliza Ilias tidak ketinggalan didekati rakan-rakan wartawan.

Sebabnya ialah semua orang mahu mengetahui sama ada Ajai dan Liza masih lagi berpacaran.

Hits berpeluang menemui pasangan romantis itu baru-baru ini.

Kedua-duanya, mengakui, mereka masih lagi menjalin hubungan baik dan sedang merancang menuju hari bahagia.

Menurut Ajai, dia juga bersedia untuk menamatkan zaman dudanya dan sudah tentu pilihan hatinya ialah Liza.

Dan sebagai membuktikan keseriusannya juga, hujung minggu ini, Ajai atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Maas bakal mengunjungi keluarga bakal isterinya itu di Pulau Pinang untuk menyatakan kesediaannya mengambil Liza sebagai isterinya.

“Insya-Allah hujung minggu ini saya akan berjumpa ibu dan ayah Liza untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai hasrat saya.

“Saya mengharapkan, penjelasan ini akan menamatkan segala spekulasi dan cerita-cerita kurang manis yang sering diperkatakan mengenai diri saya,” kata Ajai kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.

Bahkan, Ajai juga memberitahu, keluarganya di Johor juga sudah dimaklumkan berhubung hasratnya itu.

Enggan menunggu lama, Ajai dan Liza pada dasarnya sudah sepakat untuk bernikah pada Julai depan.

Ikrar Ajai, dia mahu menjadi suami yang baik kepada Liza sebaik mereka berdua diijabkabul kelak.

“Perkahwinan pertama banyak memberi pengajaran kepada saya. Saya tidak mahu melakukan kesilapan buat kali kedua.

“Doa saya semoga jodoh saya dengan Liza akan kekal sehingga ke akhir hayat kami berdua,” ujar Ajai lagi.

Buat masa sekarang, Ajai belum bersedia untuk menceritakan dengan lebih lanjut mengenai hari bahagia dia dan Liza.

“Tunggu saja harinya, pasti rakan-rakan media akan diundang,” kata komposer yang cukup terkenal menerusi lagu Percayalah nyanyian Datuk Siti Nurhaliza itu lagi.

Sementara itu, bakal isteri Ajai, Liza pula memberitahu, dia menyerahkan kepada Ajai untuk menentukan tarikh perkahwinan mereka.

“Insya-Allah saya juga sudah bersedia menjadi isteri Ajai,” kata Liza yang berusia awal 30-an itu.

Liza juga mengakui, dia cukup mesra dengan anak Ajai menerusi perkahwinannya dengan Nurul, Ayu Nazirah.

Menurut Liza, dia yakin Ayu juga boleh menerimanya sebagai ibu tiri lantaran kemesraan antara mereka berdua sudah terjalin sebelum ini.

“Saya berdoa rancangan perkahwinan saya dan Ajai akan berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Doa Untukmu, Sharlinie

26 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI


ANTARA rakan artis yang hadir dalam memberi sokongan dan mendoakan penemuan Sharlinie yang hilang lebih sebulan lalu.

LEBIH 40 hari berlalu, namun misteri kehilangan kanak-kanak malang, Sharlinie Mohd Nashar, 5, sejak 9 Januari lepas masih menjadi persoalan serta tanda-tanya yang sukar dirungkai.

Hajat di hati ingin berseronok, tapi apakan daya Sharlinie didapati hilang sewaktu perjalanan pulang dari taman permainan di Taman Medan pada pukul 11.30 pagi, awal tahun lalu.

Bermacam ikhtiar sudah dibuat tanpa henti. Baik oleh pihak berkuasa hinggalah bantuan pengamal perubatan tradisonal serta orang ramai, bayang Sharlinie masih belum timbul.

Enggan berputus asa apatah lagi mencantas harapan tinggi menggunung ibu-bapa Sharlinie yang ingin melihat semula wajah puteri comel mereka, pelbagai pihak tampil memberi pertolongan.

Banyak individu yang melahirkan rasa dukacita terhadap kes ini, malah golongan selebriti tidak ketinggalan berkongsi kesedihan atas peristiwa yang menimpa kanak-kanak malang itu.

Menganggap sebahagian isu negara yang harus ditangani bersama, kira-kira 50 orang penggiat seni tanah air mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk adik Sharlinie di Restoran Puteri di Sungai Penchala, hujung minggu lalu.


HATTAN (tengah) bertanya khabar kepada bapa Sharlinie, Mohd. Nashar (kiri) sambil diperhatikan Emran.

Acara yang diadakan selepas solat Maghrib itu turut disertai golongan penyanyi dan pelakon terkenal. Mereka melapangkan masa, meluang waktu untuk bersatu untuk satu kerja amal yang mulia sebegini.

Antara artis yang hadir ialah Betty Benafe, Datin Nina Juren, Sasha Saidin, Fazura, Diana Danielle, Norman Hakim, Mila, Syed Azmir, Ajai, Isma Daniel, Sheila Rusly dan Hattan.

Tidak ketinggalan, lima ahli keluarga adik Sharlinie termasuk bapanya, Mohd. Nashar Mat Hussain, 29, turut hadir dalam majlis anjuran Suria FM dan Restoran Puteri itu.

Suasana malam yang sunyi menjadikan acara ini berlangsung dengan penuh kesyahduan. Malah ada di antara mereka yang hadir bagaikan benar-benar terkesan dengan kehilangan itu seolah-olah

Sharlinie adalah sebahagian daripada ahli keluarga mereka sendiri.


ISMA DANIEL dan Erra Fazira barangkali membincangkan misteri kehilangan Sharlinie yang masih belum ditemui.

Aktres jelita yang terkenal menerusi drama bersiri Gol & Gincu, Fazura berkata, saat dihubungi Suria FM tentang majlis tersebut, dia teruja untuk hadir. Ini kerana majlis ini berbeza daripada mana-mana majlis yang pernah dia hadir sebelum ini.

“Sepatutnya saya ada penggambaran, tapi dibatalkan saat-saat akhir.Nampaknya sudah jadi rezeki saya untuk bersama-sama dalam majlis amal ini,” kata Fazura.

Berkongsi perasaan tentang kejadian malang yang menimpa Sharlinie, Fazura menganggap kehilangan itu sesuatu yang memberi kesan kepada semua anggota masyarakat yang turut bersedih.

“Saya faham macam mana perasaan ahli keluarga dia. Saya pun ada adik. Kalau dia hilang sekejap, seluruh keluarga sudah risau. Walaupun belum mendirikan rumahtangga, tapi saya tahu perasaan orang yang kehilangan anak,” katanya.

Sementara itu, pelakon muda dan berbakat besar, Diana Danielle berkata, dia hadir sebagai tanda menyokong usaha pencarian Sharlinie yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan anggota masyarakat lain.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Jalan terbaik dapat saya lakukan hanyalah mendoakan dia berada dalam keadaan selamat.

“Harap-harap agar seluruh ahli keluarganya tidak berputus asa dan menguatkan semangat kerana Sharlinie pasti akan kembali,” doanya.

Bagi bapa kepada dua cahayamata, Norman Hakim, dia hadir ke majlis itu dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat, bukan atas tiket sebagai artis.

Kehilangan adik Sharlinie kepada Norman adalah pengajaran kepada semua orang yang mempunyai anak supaya lebih berhati-hati.

“Perkara ini harus dipandang serius oleh masyarakat. Sebagai bapa saya sendiri pernah terlepas pandang anak-anak saya dalam aspek keselamatan.

“Kini saya lebih berhati-hati dalam soal penjagaan anak. Kalau terlihat anak orang lain berkeliaran sana-sini tanpa pengawasan ibu-bapa, saya akan ambil tanggungjawab memerhati.

“Bukannya apa, saya amat harap kejadian seumpama ini tidak akan terjadi lagi,” kata bapa kepada Mohamed Danish, 4 tahun dan Marissa Dania, 2 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin berkata, majlis ini dijalankan bagi melahirkan keprihatinan golongan karyawan seni kepada isu besar yang berlaku dalam negara.

Selain itu juga dengan acara seperti ini ia diharap dapat meningkatkan semula kesedaran ramai terhadap misteri kehilangan Sharlinie.

“Saya dapati maklumat tentang kes Sharlinie semakin berkurangan di kaca televisyen dan suratkhabar sejak kebelakangan ini.

“Berbeza sebelumnya, berita dan perkembangan Sharlinie kerap diperkatakan kepada umum sewaktu dia mula-mula hilang sebulan lalu.

“Ingatan kita terhadap Sharlinie sudah semakin jauh dan kita risau kalau-kalau ia akan lenyap begitu saja sedangkan Sharlinie belum dijumpai,” katanya.

Beritahu Emran lagi, majlis doa selamat dan bacaan Yasin itu mendapat sokongan kalangan artis di negara ini yang rata-ratanya simpati dengan nasib buruk menimpa Sharlinie.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan benar-benar memberangsangkan. Tidak sukar untuk menjemput mereka.

“Rata-ratanya menunjukkan minat dan komitmen tinggi untuk melibatkan diri dalam majlis ini,” puji Emran.

Powered by Kosmo

Farah AF2 Makan Secawan Nasi Untuk Kurus

27 Oct

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

FARAH berhasrat menurunkan berat badannya sehingga 45 kilogram.

DEMI peminat, Farah Diana Anuar atau lebih dikenali Farah AF2 sanggup menguruskan badannya. Maklumlah hubungan Farah dengan para peminatnya agak rapat.

Tambahan pula mereka sering berjumpa melalui perjumpaan kelab peminatnya.Kata Farah, selain desakan peminat, dia sendiri menyedari keadaan tersebut.

“Bila tengok gambar saya dalam majalah dan televisyen, nampak gemuk. Itu yang saya tersedar tentang perkara tersebut.

“Lama-lama saya berazam untuk menguruskan badan saya. Bukan untuk kepuasan diri saja, tapi untuk kesihatan juga,” katanya ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Menurut Farah, sebelum dia memasuki Akademi Fantasia 2, beratnya 45 kilogram (kg), semasa berada di dalam akademi beratnya bertambah kepada 53 kg. Berat tersebut terus bertahan sehingga dia keluar dari akademi.

Lantas Farah mengamalkan diet untuk mengembalikan dirinya kepada bentuk asal.

“Saya mengamalkan makan secawan nasi sahaja sehari untuk menguruskan badan. Saya lebihkan makan sayur-sayuran, sup, dan biskut.

“Selepas pukul lapan malam, saya tidak makan makanan yang berat-berat. Tapi saya akan pastikan segala makanan yang saya ambil itu mempunyai khasiat,” kata penyanyi yang berusia 21 tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, Farah turut mendapatkan khidmat nasihat daripada dua rakan artis, Linda Onn dan Misha Omar.

“Sepanjang terlibat untuk promosi Power Root, saya selalu berjumpa dengan Kak Linda. Jadi saya selalu bertanya, bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan badan selangsingnya.

“Banyak juga petua yang dia berikan. Kalau Misha pula, dia mengajak saya ikuti kelas fitness untuk kurus,” kata Farah.

Tambah Farah, ayahnya juga telah memberi amaran agar dia tidak mengamalkan pemakanan pil-pil menguruskan badan.

“Abah tak mahu saya makan pil-pil kurus. Sebab takut nanti ada kesan di masa hadapan,” katanya.

“Saya nak berat saya 45 kg sebelum hujung tahun ini. Kalau dapat 45 kg, baru saya akan mula makan lebih sedikit,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Antara Dua.

Dalam pada itu, pastinya khalayak menyedari perubahan pada wajah Farah. Wajahnya kini bertambah jelita.

Kata Farah: “Mungkin penggunaan produk penjagaan wajah Syahirah sejak tiga bulan lalu banyak membantu Farah kelihatan lebih menarik. Dan Farah sangat berpuas hati dengan produk tersebut.”

Biarpun sibuk dengan misi menguruskan badannya, kini Farah telah pun mula merakamkan lagu-lagu untuk album kedua. Album tersebut bakal berada di pasaran penghujung tahun ini.

“Masih mengekalkan konsep pop rock sementara komposer yang terlibat Ajai dan Adnan Abu Hassan. Setakat ini enam lagu telah dirakamkan,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia