Archive | Faizal Hussein RSS feed for this section

Info TV: Lima Lagi Drama Hebat Di Slot Cerekapilihan Buat Penonton TV3

1 May

SLOT Cerekapilihan menyiarkan lima drama yang menjanjikan kepuasan kepada penonton setia TV3 iaitu Good Morning Cikgu, Good Afternoon Cikgu, Selimut Putih, Maafkan Aku Mama dan Kalam Cinta Rabiah. Slot itu disiarkan pada hari Jumaat jam 1 tengah hari.

Sinopsis

Good Morning Cikgu (2 Mei 2008)

Akibat kegawatan ekonomi yang berlaku sewaktu Alice pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian luar negara, sukar untuk Alice mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Akhirnya, Alice memohon untuk menjadi seorang guru dan permohonannya mendapat maklum balas positif. Alice mengalami kejutan budaya setelah dihantar bertugas ke kawasan pedalaman di kawasan utara. Namun Alice terpaksa juga menghadapi kerenah anak-anak muridnya yang tidak tahu menggunakan bahasa Inggeris. Sikap orang kampung juga kadang kala memeningkan kepala Alice. Dia mula menyukai pengembala lembu di kampung itu bernama Budin yang kerap berada di samping lembunya yang digelar Rahul.

Pelakon : Zizie Ezzette, Sheila Rusly, Radhi Khalid, Hamidah Wahab, Zaidi Omar

Good Afternoon Cikgu (9 Mei 2008)

Cikgu Alice selamat melahirkan anak perempuan. Semasa di dalam pantang, Cikgu Alice tinggal bersama keluarganya di bandar. Cikgu Tipah masih belum berkahwin dan apabila melihatkan keadaannya, Mami merasa kasihan. Dia mengajak Cikgu Tipah bertemu bomoh supaya cepat mendapatkan jodoh. Semasa sedang mandi bunga, bomoh memberikan satu syarat, dia harus menerima lamaran orang pertama yang masuk meminangnya dan Cikgu Tipah setuju dengan syaratnya itu. Suatu hari, Shah Rukh (lembu Muis) berkeliaran di sekitar rumah Cikgu Tipah. Muis terus jatuh cinta apabila melihat kelibat Cikgu Tipah.

Pelakon : Sheila Rusly, Kartina Aziz , Radhi Khalid, Jalil Hamid, Zaidi Omar, Hamidah Wahab

Selimut Putih (16 Mei 2008)

Drama ini mengisahkan penderitaan seorang ibu yang diabaikan anaknya kerana hasutan menantu. Mak Teh tinggal di belakang rumah anaknya, Najib dan hubungannya bersama menantunya, Mona tidak baik. Najib dan Mona berjanji hendak membawa Mak Teh tinggal sebumbung dengannya sebelum mendapat tanah arwah bapanya, tetapi mereka telah memungkiri janji itu. Manakala Mak Nona juga mengalami nasib yang sama dengan Mak Teh yang dihalau dari rumah anak perempuannya, Minah.

Pelakon : Norlia Ghani, Rusdi Ramli, Rita Rudaini, Noor Khiriah, Roslan Salleh, Zaidi Mohd Nor

Maafkan Aku Mama (23 Mei 2008)

Mengisahkan penyesalan seorang anak yang tidak dapat meminta maaf buat kali terakhir terhadap perbuatannya sebelum ibunya meninggal dunia. Aiman kehilangan bapanya semasa dia masih lagi kecil. Sue, ibu kepada Aiman berkahwin dengan Zarul setelah kematian suaminya, Malik. Perkahwinan itu bukanlah atas kehendak Sue tetapi di atas kehendak bapa mentuanya yang tidak mahu Aiman kehilangan rasa kasih sayang seorang ayah. Tetapi perkahwinan itu tidak direstui Aiman. Sejak kejadian itu, Aiman merajuk dengan perbuatan ibunya dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Pelakon : Hairie Othman, Azizah Mahzan, Jalil Hamid, Sabrina Ali

Kalam Cinta Rabiah (30 Mei 2008)

Datuk Johari masih mengharapkan supaya Rabiah berhenti sebagai jururawat dan menerima tawarannya bekerja di Nilam Holding sebagai Pengarah Projek. Namun, Rabiah tidak berganjak dari keputusannya. Rabiah berjaya memujuk Julia yang mempunyai anak luar nikah untuk terus belajar demi masa depannya. Datuk Johari yang kecewa dengan Rabiah sanggup menggugurkan nama Rabiah sebagai penerima harta warisannya. Di tempat kerjanya, Rabiah berkawan rapat dengan Zakuan. Zakuan mencadangkan Rabiah terima saja permintaan ayahnya.

Pelakon: Wardina Saffiyah, Zamarul Hisham, Benji, Faizal Hussein, Dian P Ramlee, Hafizzuddi , Fiza.

Powered by Berita Harian

Advertisements

Akademi Polis Bermula Malam Ini Di TV9

23 Apr

Oleh Zaidi Mohamad

BERMULA hari ini, TV9 menyiarkan drama bercorak kepolisian berjudul Akademi Polis setiap jam 9 malam. Drama itu meneruskan kesinambungan drama sebelum ini seperti Gerak Khas dan CID 3278. Akademi Polis membawa gambaran perihal berkaitan pelatih atau rekrut yang bakal menjadi pegawai polis di Malaysia.

Drama terbitan ME Communications ini cuba menyelongkar serba ringkas suka duka dan kepayahan rekrut dalam menghadapi latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol). Watak utama di dalam drama ini dilakonkan oleh Fezrul Khan sebagai Faizal dan Serina sebagai Nurfatimah. Drama ini turut membabitkan pelakon Anding AF, Lando, Raja Azrey, Yasmin Haron, Kaza Saisi, Zack Kool, Hasnah Ibrahim, Sherry, Alias Yusof serta dibantu tiga pelakon undangan, Datuk Aziz Singah, Raja Nor Baizura dan Faizal Hussein.

Drama bersiri ini dijangka mampu membina cap dagang sendiri dan bersaing dengan siri Gerak Khas yang sudah lebih lapan tahun bersiaran di kaca TV.

Akademi Polis juga dilihat sebagai satu usaha mempengaruhi lebih ramai remaja dari pelbagai kaum mendekati kerjaya polis kerana ia juga menjanjikan masa depan terjamin dari konteks ekonomi dan mampu membentuk jati diri yang cemerlang

Setiap pelakon yang terbabit sama-sama menghadapi latihan insentif sebelum bergelar Inspektor Polis kerana mereka juga dilayan seperti rekrut lain, terpaksa berkawad siang dan malam, membotakkan kepala, dimarahi atau didenda kerana membuat kesilapan dan melanggar disiplin serta menyertai kegiatan lasak yang cukup memenatkan atau ada kalanya berbahaya.

Itulah pengalaman manis buat pelakon drama ini yang menempuh masa dua bulan berada di kem latihan.

Drama ini menjalani penggambaran di dua lokasi utama penggambaran Akademi Polis dibuat di Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan Pulapol PGA Hulu Kinta, Perak, selain di tempat awam. Ia mengetengahkan cerita yang boleh memberi pengetahuan kepada penonton mengenai selok-belok polis menjalani latihan di Pulapol.

Polis juga manusia biasa yang tidak dapat lari daripada masalah peribadi, perihal hati dan perasaan serta hubungan mereka dengan keluarga dan rakan. Ia akan disulami dengan pelbagai insiden menarik ketika pelatih menjalani kursus, sama ada dalam kelas, padang kawad mahupun ketika bersantai.

Ceritanya banyak difokuskan di Pulapol sebagai plot utama di samping ada juga elemen kemanusiaan, kekeluargaan, kasih sayang, aksi dan perkara melucukan.

Ada lagu khas yang menjadi lagu latar drama ini, juga berjudul Akademi Polis ciptaan S Kalam dan liriknya, Yusof Kelana serta dinyanyikan sendiri oleh Serina.

Powered by Berita Harian

Perkahwinan Juliana – Mokhtar Tutup Tirai 2005

28 Dec

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

PERNIKAHAN aktres Juliana Azman Banos, 26, dengan usahawan Mokhtar Ahmad, 33, dianggap perkahwinan paling gemilang di kalangan artis Malaysia pada tahun ini.

Juliana atau Jun adalah artis yang pandai menyimpan rahsia percintaan. Malah artis yang tidak banyak digosip itu kini mampu tersenyum riang kerana percintaan yang dipupuk selama dua tahun berakhir ke jinjang pelamin.

Selain kenduri di Johor Bahru dan Kuantan, Pahang, Jun turut meraikan rakan-rakan artis dan sahabat handai pada majlis resepsinya di Hotel Palace of the Golden Horses di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara artis yang hadir pada hari bersejarahnya ialah Faizal Hussein dan isteri, Suhaila Sulaiman, Norman Hakim, Abby Abadi, Tomok, Ako Mustapha, Ruhani Rahman dan tetamu kehormat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom serta Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kehadiran rakan-rakan artis itu bukan sahaja menyerikan majlis perkahwinannya malah ia juga bagai memenuhi impian Jun yang ingin semua rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya hadir menyaksikan hari perkahwinannya.

Jun yang ditemui selepas majlis resepsi itu berkata, biarpun sudah bergelar isteri, namun dia tetap meneruskan kegiatan seni sebagai penyanyi. Tambahan pula Jun akan muncul dengan album baru berjudul Mutiara Jun menerusi syarikat miliknya, Juliana Banos Sdn. Bhd.. Album yang menampilkan konsep 1980-an itu dijangka berada di pasaran Januari ini.

Menurut Jun, album yang menampilkan Audi Mok, Azlan Abu Hassan dan Azman Abu Hassan sebagai penerbit itu amat bermakna pada dirinya.

“Lagu-lagu dalam album ini mencerminkan isi hati Jun yang terpendam selama ini. Biarpun lagu-lagunya pilihan Jun namun ia tetap memenuhi kehendak pendengar masa kini,’’ katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Mutiara Jun ialah Obsesi, Tak Perlu, Cinta Selamanya, My Own Person dan Baby.

Powered by Utusan Malaysia