Archive | Inul Daratista RSS feed for this section

Mas Idayu Terus Berahsia

6 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH Solekan E’SHAM (012-2869864)

Mas Idayu

DI Indonesia penyanyi dangdut yang pernah melakar kontroversi iaitu Inul Daratista pernah dikecam gara-gara geleknya yang boleh ‘mengancam’ jiwa raga rakyat negara itu.

Ini kerana aksi gelek Inul yang dipanggil goyang gerudi dianggap sebagai keterlaluan dan berunsur lucah.

Malah penyanyi itu pernah diharamkan untuk muncul di pentas persembahan di Bandung tidak lama dulu gara-gara penampilannya yang dianggap berahi.

Di Malaysia, Mas Idayu salah satu contoh penyanyi dangdut yang berani.

Goyangnya walaupun tidak sehebat Inul ‘menggerudi’ mata penonton-penontonnya tetapi kemunculan Mas Idayu tentu akan mendapat perhatian.

Malah dia berjaya membawa trade mark tersendiri dengan teknik memegang ‘microphone’ keatas yang jarang dilakukan artis lain. Itulah kelainan Mas Idayu.

Lama tidak muncul, tiba-tiba tuan punya nama Masidayu Mesnin ini mencipta kisah panas.

Bukan panas aksi geleknya di pentas tetapi kemunculannya dengan Ella dan David Arumugam dalam konsert sempena kejohanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam yang dijadual malam ini mendapat bantahan.

Melihat tindakan itu agak keterlaluan tetapi beliau menerima ujian tersebut dengan pemikiran positif.

Cuma Ayu mengharapkan masyarakat tidak mudah melabelkan artis hanya membawa masalah dan keruntuhan moral.

Sebaliknya golongan itu turut berperanan membantu dalam melakukan kerja-kerja amal serta menyampaikan mesej yang baik kepada golongan belia.

Lama menghilang sesekali muncul penuh dengan kontroversi. Tetapi bukan itu yang dimahukan Ayu sebaliknya sakit hati melihat pandangan sesetengah pihak yang gemar memandang serong terhadap golongan artis.

Dan hari ini kemunculan semula Ayu bukan untuk suka-suka sebaliknya mempunyai matlamat mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan albumnya.

Sudah bersedia Ayu boleh dianggap seorang artis yang banyak menyimpan rahsia diri. Beliau tidak mudah untuk menceritakan apa-apa perkara yang dianggap sensitif.

Koreklah macam-macam sekali pun kalau beliau berkata tidak, maka jawapannya tetap tidak.

Selama ini umum sudah mengetahui Ayu sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka. Berita itu sudah lama orang perkatakan tetapi sukar untuk mendengar penjelasan daripada mulut Ayu sendiri.

Susah sangatkah nak beritahu kahwin? Susah sangatkah nak cakap sudah ada anak?

Itulah cakap-cakap orang apabila penyanyi dan pelakon ini bertindak tidak mahu komen mengenai kisah peribadinya.

Tetapi selama mana ia boleh menyimpan rahsia itu? Sehinggalah apabila Ayu dan Aman berpisah, barulah dia dilihat mula bersedia untuk menceritakan status dirinya sendiri.

Selama ini bukan mahu berselindung tetapi wanita berusia 36 tahun ini mempunyai alasannya tersendiri kenapa berita perkahwinannya lebih 10 tahun itu terpaksa disimpan.

“Saya mahu menghormati pihak-pihak tertentu yang tidak membenarkan kami mendedahkan perkahwinan kami. Sebab itulah saya tidak banyak mengulas mengenai status diri saya tak lama dulu,” katanya.

Dan hari ini kata Ayu, tanyalah apa saja mengenai status dirinya dan pasti dia akan mengaku dan sudah bersedia menjawab apa juga perkara yang menjadi tanda tanya peminat-peminatnya.

Kisah-kisah dulu ada sebabnya. Kahwin adalah satu perkara yang dituntut dan berita itu perlulah dikongsi bersama.

Cuma alasan dan sebab-sebab yang perlu dipatuhi membataskan beliau untuk bercerita secara terus terang.

“Kami berkahwin dulu pun buat diam-diam, bila bercerai takkan kita nak hebohkan satu dunia. Kalau orang tanya, saya akan bercakap secara jujurlah,” jelasnya

Tetap berkawan baik Tanpa mahu menyebut bila, Ayu mengaku dia dengan Aman sudah berpisah.

Menganggap sudah tiada jodoh, akui wanita ini hubungannya dengan bekas suami tetap baik apatah lagi mereka mempunyai seorang anak perempuan iaitu Dayini yang kini berusia 10 tahun.

Sedih dengan perpisahan yang berlaku, sebagai orang yang sudah membina mahligai bahagia, tentu sahaja mengharapkan agar hubungan itu kekal berpanjangan.

Tetapi apakan daya kerana sudah ditakdirkan jodoh itu tiada, jalan terbaik adalah memutuskan hubungan tanpa ada sebarang permusuhan.

“Walaupun saya dan Aman bukan suami-isteri lagi tetapi saya gembira kerana kami tetap berkawan baik apatah lagi kami berkongsi kasih sayang yang sama iaitu anak,” katanya.

Mengakui selepas sekian lama hidup sebagai suami isteri, ada kalanya terasa sunyi apabila tiada seseorang di sisi.

Sebagai wanita yang pernah menjadikan lelaki bernama suami sebagai tempat bergantung kata Ayu sesekali datang perasaan sedih apabila mengimbas indahnya hidup berumah tangga.

Perpisahan itu mungkin ada hikmahnya tersendiri ujar Ayu, takkan dia mahu menanggung kesedihan itu setiap hari sebaliknya perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Ditanya adakah kemungkinan dia dan Aman akan berbaik semula, menurut wanita ini segala-galanya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Jika itu yang ditakdirkan, tentu saja Ayu akan menerimanya kerana mereka mempunyai anak yang perlu diberi kasih sayang sepenuhnya.

“Kalau Allah menemukan semula jodoh kami, kita tidak boleh menolaknya. Apa yang penting hubungan kami sebagai kawan itu tetap baik kerana Dayini,” jelas beliau.

Kisah-kisah panas Ayu dikenali seorang yang bercakap lepas. Tetapi itulah dirinya. Dia menjadi dirinya sendiri.

Sudah lama orang bercakap Ayu gemar mengambil seorang lelaki menjadi pengurusnya.

Sejak hampir enam tahun lalu, Uzae merupakan pengurus yang setia dengannya.

Ada yang berkata entah-entah Ayu bercinta dengan pengurusnya sendiri.

Ketawa dan menafikan dakwaan itu, ujar beliau sebagai perempuan, dia lebih suka bekerja dengan lelaki.

Bukan ada tujuan lain sebaliknya lelaki dianggap Ayu seorang yang lebih mudah berurusan berbanding jika dia menggajikan kaum sejenisnya untuk bekerjasama.

“Ambil manager lelaki lebih mudah. Kalau orang perempuan ni, dia tengok kita bersolek nak cantik, dia pun akan buat benda yang sama untuk lebih cantik daripada kita.

“Begitu juga kalau kita ada kerja-kerja di luar, apa akan jadi kalau kereta rosak tengah malam? Kalau pengurus lelaki mesti dia ada kekuatan untuk menjaga keselamatan kita berbanding perempuan,” katanya.

Kekal 1001 Kali terakhir Mas Idayu muncul dengan albumnya pada tahun 2002 dengan lagu Hasrat Perindu. Selepas itu beliau terus senyap tetapi bukan bererti beliau mahu mengundurkan diri dalam dunia seni.

Hari ini Ayu membuktikan bahawa dia masih diminati dan lagu-lagu dangdutnya sebelum ini mempunyai kekuatan untuk kembali mengangkat namanya.

Album kompilasi Kekal 1001 memperlihatkan kesungguhan Ayu untuk terus membuktikan dangdut yang menjadi ‘makanannya’ selama ini masih mempunyai pengaruh.

Mempertaruhkan dua lagu baru iaitu Dengar Dengarkan dan Goda-Godaan, Kekal 1001 yang keseluruhannya menampilkan 16 buah lagi hits beliau selama ini membawa kelainan dari segi vokalnya.

Berbeza dengan suaranya sebelum ini, ujar Ayu kematangannya selama ini tidak merakamkan album cuba diterjemah di dalam album tersebut.

Kenapa Kekal 1001? 1001 adalah gabungan tarikh lahirnya iaitu 10 Januari dan tentu saja Mas Idayu hanya ada satu dalam seribu.

”Saya menganggap setakat ini Mas Idayu hanya ada saya seorang sahaja. Sebab itulah saya memberikan tajuk album ini 1001,” katanya.

Menampilkan muzik yang dianggap lebih moden, album edaran Warner Muzik ini dihasilkan atas bajet menggunakan wang titik peluhnya yang disimpannya selama ini.

Bertuah kerana memiliki studio rakaman sendiri iaitu Suara Production Mas Idayu, kos merakamkan dua single tersebut walaupun tidak menelan belanja yang besar sebaliknya ia berkualiti.

Utusan Malaysia

Advertisements

Aksi Erotik Jejas Irama Dangdut

22 May

Oleh Zul Husni Abdul Hamid



WARISI BAKAT: Rhoma bangga kerana perjuangan seninya diteruskan anaknya, Muhammad Ridho yang turut memperjuangkan Irama dangdut.

Rhoma kecewa penyanyi baru rosakkan genre lagu popular

RAJA Dangdut, Rhoma Irama gusar dengan kemerosotan genre dangdut berikutan tindakan beberapa penyanyi baru yang mempamerkan aksi erotik ketika persembahan sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat.

Meskipun enggan menyebut nama artis tertentu, kehadiran penyanyi dangdut generasi baru seperti Dewi Persik yang terkenal dengan goyang gergaji yang erotik serta pengedaran kondom bersama album perdana Julia Perez merosakkan imej dan citra irama itu.

Ketegasan Pemerintah Daerah Sumatera Utara, baru-baru ini yang ‘mengharamkan’ kumpulan Trio Macan, Uut Permatasari, Anisa Bahar dan Inul Daratista daripada membuat persembahan dengan menyifatkan goyangan penyanyi berkenaan mengundang berahi lelaki dan boleh merosakkan akhlak.

Akui Rhoma, 61, dia hampa kerana moral irama yang diperjuangkannya sejak hampir 40 tahun lalu itu dirosakkan penyanyi angkatan baru yang ternyata mementingkan populariti berbanding citra muzik itu sendiri.

“Mereka hanya memikirkan populariti pantas dengan membikin aksi erotik untuk mencipta sensasi kerana ingin cepat popular.

“Apa yang mereka lakukan itu tidak lebih daripada menutup kelemahan kerana tidak mempunyai mutu vokal yang mampu bersaing. Semua itu hanya untuk menutup kelemahan,” katanya ketika ditemui pada malam persembahan amal sempena pelancaran album Cintamu Cintaku anjuran Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBank) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Irama dangdut katanya, sudah sebati dengan goyang namun tidak seharusnya dicemari dengan aksi erotik hingga membangkitkan keresahan kepada mereka yang menonton.

Rhoma berkata, sejak 1970 hingga 2005, dia bersama pejuang irama dangdut sejati seperti Elvy Sukaeseh dan Camelia Malek tidak pernah diserang kontroversi.

“Bagaimanapun, sejak Inul Daratista hadir, persepsi terhadap dangdut berubah sekelip mata. Banyak protes dan demonstrasi diadakan kerana membantah aksi keterlaluan hingga akhirnya muncul akta pornografi menyebabkan dangdut mengalami kemerosotan,” katanya kesal.

Era globalisasi kata penyanyi yang pernah melahirkan lebih 500 album itu, turut memberi impak negatif kepada pencinta hiburan.

Namun kata Rhoma yang pernah menghasilkan lebih 1,000 komposisi, masyarakat harus bijak memilih dan hanya mengambil apa yang bersesuaian dengan budaya masyarakat Timur.

“Pelacuran juga satu bentuk hiburan tetapi apakah kita mahu perjuangan yang sekian lama bersih merosakkan moral generasi muda hari ini?” tanya Rhoma yang berjanji akan terus aktif membanteras ‘perosak’ irama itu.

Biarpun diasak kontroversi, sementara moral irama dangdut juga dipertikai khalayak namun Rhoma berbangga kerana hasil perjuangan panjangnya akhirnya tertubuh Persatuan Artis Melayu Dangdut Indonesia.

Dengan keanggotaan melebihi 2.3 juta ahli di hampir seluruh wilayah di republik itu, Rhoma yang memangku jawatan sebagai Presiden berjuang dengan menegakkan prinsip Bermuzik, Menghibur dan Akhlak Al Karimah (Mulia).

“Misi utama kami adalah membawa dangdut ke peringkat global. Alhamdulillah kerana persatuan ini sudah mempunyai cawangannya di Amerika Syarikat.

“Oktober ini, saya bersama Sonata Group akan menjayakan persembahan pentas di sana apabila menerima undangan daripada Rektor, Universiti Pittsburgh,” katanya.

Pembabitan Rhoma juga mendapat perhatian Pengarah Universiti Ohio, William Frederick yang pernah menulis sejarah mengenai perjuangannya.

“William dalam kajiannya menyifatkan Rhoma Irama sebagai pencetus evolusi muzik kedua selepas The Beatles. Apa yang membuat saya terharu dia mencatat nama saya sebagai pelopor muzik dangdut,” katanya.

Pada usia sekarang, Rhoma berkata, tumpuannya kini lebih terarah kepada aktiviti keagamaan dan bersyukur kerana perjuangannya kini diteruskan anaknya, Muhammad Ridho, 19 tahun.

Anaknya yang kini menuntut di Universiti I-Tech dalam proses merakamkan album sulung yang turut mengangkat irama dangdut, namun diberi nuansa baru yang segar dan berbeza.

Ridho yang meminati lagu Hindi berkata, dia tidak berasa rendah diri untuk membawakan lagu dangdut kerana irama itu adalah identiti muzik masyarakat Indonesia.

“Mengapa harus saya berasa malu apatah lagi bapa saya dikenali sebagai Raja Dangdut. Saya bangga melakukannya kerana nyanyian memberi kepuasan jiwa yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

INFO: Kontroversi yang pernah menimpa Rhoma Irama

  • BERMULA 2003, Rhoma menjadi sorotan media apabila mengkritik Inul Daratista, penyanyi dangdut yang sedang meningkat popular kesan gaya tariannya yang erotik. Rhoma menerusi organisasi Persatuan Artis Muzik Melayu Indonesia menentang pengedaran album Goyang Inul yang diterbitkan Blackboard pada akhir Mei 2003. Keberaniannya menyebabkan Rhoma dikecam sebagai munafik oleh pendukung Inul.
  • PADA 2003 juga, Rhoma ditangkap basah apabila berduaan dengan Angel Lelga di kediaman wanita itu sekitar jam 11 malam hingga 4 pagi. Rhoma, bagaimanapun menyanggah tuduhan itu dengan memberikan alasan dia berada di situ untuk menasihati Angel daripada terjebak dalam jurang noda. Bagaimanapun, Rhoma akhirnya mengakui dia sebenarnya sudah menikahi wanita itu.

Powered by Berita Harian

Langkah Indonesia Atasi Lucah Internet

1 Apr

SESIAPA saja dianggap ‘lucah’ termasuk penyanyi ‘ngebor’ Inul Daratista kini tersudut di Indonesia.

Ini ekoran tindakan parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat atau DPR) meluluskan undang-undang antipornografi, khususnya di Internet, pada 25 Mac lalu dan berkuat kuasa empat hari kemudian.

Di negara majoriti Muslim terbesar dunia (89 peratus daripada 235 juta rakyatnya), Indonesia memang bimbang dengan kehadiran bahan dan khidmat lucah daripada kawasan pelacuran, konsert dan kelab malam, majalah dan buku sehingga laman web.

Penulis pojok harian Inggeris, The Jakarta Post, Cik Maggie Tiojakin, berpendapat bahawa selepas zaman penindasan Orde Lama, muncul era pembaharuan sehingga membebaskan apa jua yang dulunya dilarang termasuk percubaan revolusi seks.

Baru-baru ini media Indonesia melaporkan serentetan skandal seks ahli politik, selebriti sehinggalah murid sekolah yang diterapkan di laman web sehingga menjadi tontotan antarabangsa. Dengan adanya telefon berkamera, lebih mudah aksi mesum atau lucah dirakam dan langsung diterap di Internet.

Langkah Indonesia bukanlah asing. Banyak negara sedang membangun cuba mengawal kesan buruk akibat laman lucah.

Namun apakah hukuman maksimum enam tahun penjara dan denda 1 bilion rupiah ($15,000) boleh menjerakan orang ramai?

Langkah mengadakan undang-undang antilucah telah lama menimbulkan kemarahan ramai. Malah pada suatu ketika, isteri dan anak mantan Presiden Abdurrahman Wahid telah ikut tunjuk perasaan yang membantah undang-undang yang mengongkong itu.

Ini kerana erti ‘lucah’ yang menurut gerakan Muslim konservatif turut menyinggung perasaan bukan Muslim seperti pemeluk Hindu yang mandi separuh bogel di kawasan permandian terbuka di Bali atau pelancong yang berkelah di pantai.

Bahkan sekumpulan penggodam telah memprotes beberapa jam selepas pengharaman terbaru ini dilaksanakan dengan menekapkan satu mesej mencabar di laman web Kementerian (Departemen) Penerangan Indonesia.

Dalam pada itu, sekolah tinggi di Indonesia kian dilengkapi khidmat Internet untuk membolehkan generasi mudanya celik maklumat maya. Langkah ini bertujuan membolehkan sehingga 40 juta warga Indonesia mendapat khidmat Internet. Bahkan ada rancangan untuk membolehkan Internet diakses oleh murid yang lebih muda.

Bukankah rancangan persekolahan Internet bercanggah dengan undang-undang baru?

Tidak, tegas Menteri Penerangan Muhammad Nuh. Katanya, keputusan menapis laman lucah dilakukan secara sedar dengan pelancaran kempen Internet untuk sekolah tinggi. Menurutnya, terdapat sejuta laman web lucah buatan Indonesia dan juga asing yang menetapkan syarat usia minimum 18 tahun. Namun mulai Sabtu lalu, semua laman ini akan diadang demi ‘memelihara watan ini, terutama generasi mudanya’.

Sofwe adang boleh dimuat turun daripada laman web Kementerian Penerangan Indonesia.

Menurut Encik David Burke, naib presiden eksekutif Telkom, syarikat telekom milik negara yang terbesar, bahawa mengadang laman tertentu tidaklah sukar, namun masih ada kesulitan tertentu.

‘… banyak kafe Internet meraih jalur lebar daripada satelit dan ini agak sukar dikawal,’ kata Encik Burke.

Membendung ‘isi lucah’ mungkin sukar. Di Australia, sofwe pengadang telah diwujudkan dengan kos AS$84 juta ($118 juta) tetapi beberapa jam selepas dilancarkan, ia dirosakkan oleh seorang remaja Australia.

Di Thailand, sewaktu kerajaan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berkuasa, para pelajar telah memberitahu polis mengenai laman lucah yang kemudian diadang oleh pembekal khidmat Internet. Tujuannya untuk melarang laman lucah buatan Thailand atau Asia yang lain. Namun selepas kudeta 2006, usaha ini terbiar.

Oleh itu, tekad politik dan strategi ampuh diperlukan untuk membasmi laman web lucah terutama buatan tempatan.

Tengkarah porno atau lucah telah lama mencengkam Indonesia sejak kejatuhan rejim Suharto pada 1998. Reformasi, antara lain, telah disalahertikan dengan kebebasan mendapat apa jua maklumat termasuk bahan lucah. Majalah dan laman lucah tumbuh bak cendawan di Indonesia.

Pada April 2006, gerakan Muslim Indonesia telah menyerbu penerbit majalah Playboy (mengambil lesen daripada Amerika). Dek protes kuat, kandungan majalah itu berubah menjadi bahan fesyen walaupun dengan para peragawati yang mengghairahkan. Penerbit Playboy Indonesia telah mengalihkan operasi ke Bali tetapi masih diheret di mahkamah. Namun tuduhan ke atasnya telah digugurkan.

Kemudian timbul skandal ‘Tiara Lestari’, peragawati Indonesia yang sanggup bertelanjang untuk majalah Penthouse dan Playboy di luar negara. Beliau menyatakan penyesalannya namun membela diri kerana ia dilakukan di luar negara. Bahkan beliau marah kerana gambarnya telah diadukan menjadi aksi lucah di laman Internet.

Walaupun undang-undang antiporno dilancarkan, pemerintah dan gerakan Muslim Indonesia juga menyedari industri pelacuran yang besar – daripada kelab karaoke, urut sehingga tindakan pekerja wanita yang berkhidmat sambilan demi mencukup keperluan keluarga.

Bahkan kes perhambaan seks, penipuan serta sikap ibu bapa yang miskin sehingga sanggup menjual anak gadis sudah menjadi perkara biasa di Indonesia.

Hal ini mungkin berlaku kerana ekonomi Indonesia yang masih berdepan dengan pengangguran yang tinggi dan kadar kemiskinan tegar yang ketara.

Powered by <a href=http://209.85.207.104/search?q=cache:JjicXEthZkUJ:cyberita.asia1.com.sg/komentar/story/0,3617,115976,00.html+Inul+Daratista&hl=en&ct=clnk&cd=3&gl=us&ie=UTF-8Cyberita

M. Daud Kilau Jahit Labuci Sendiri

7 Mar

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

LETAKLAH sepuluh barisan penyanyi baru, namun bila keluar sahaja Datuk M. Daud Kilau, 69, semua penyanyi baru yang jelita dan kacak itu akan tenggelam!

Ini kerana M.Daud ada keistimewaan yang tidak dimiliki oleh penyanyi lain iaitu mampu menari gelek selain daripada mempunyai vokal yang mantap.

Gelekan M.Daud tidak nampak seghairah goyang gerudi Inul Daratista atau gelek 45 darjah gaya Mas Idayu. Namun tarian geleknya yang lemah lembut dan tampak sopan itu tetap menarik perhatian umum.

Lantaran kelebihannya itulah, M.Daud atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau yang dilahirkan di Sungai Ular, Bagan Datoh, pada 10 Julai 1938 itu digelar Raja Gelek Malaysia.

Kata M.Daud, dia tidak pernah belajar menari daripada mana-mana koreografer kerana kebolehannya itu kurniaan Allah.

“Entah… saya sendiri tidak tahu dari mana saya ada bakat menari. Semuanya bermula bila saya sedang menjalani rakaman di studio untuk lagu Sireh Pinang.

“Waktu itu penerbit lagu Yusaini Amir yang nampak saya bergoyang beritahu saya, di Indonesia penyanyi yang menyanyi sambil bergelek ialah Rhoma Irama. Bermula dari situlah, bila menyanyi saya automatik akan menari,” katanya terus terang.

Meskipun suka menonton filem-filem Hindi, namun M.Daud tidak begitu gemar dengan tarian gelek artis dari Bollywood kerana gerakan mereka keras.

Sebaliknya, dia lebih senang melihat gaya tarian pelakon-pelakon dari filem Arab yang pada pandangannya lebih berseni dan lemah gemalai.

Kelebihan M.Daud bukan sekadar pada tarian, malah penampilannya dengan pakaian yang berwarna-warni juga amat memukau.

Kata M.Daud, disebabkan ingin kelainan dia lebih selesa mengenakan pakaian berwarna-warni yang disulami dengan labuci dan manik.

Dia yang pernah digelar The Wiggle King itu cukup terkenal dengan fesyen flamboyan dan kebanyakan pakaian persembahan pentasnya ditempah khas.

Antara jenis fabrik yang menjadi pakaian rasmi M.Daud ialah jojet, lace, velvet, satin dan broket yang disulami labuci dan manik.

“Saya suka tengok fesyen Michael Jackson yang penuh labuci itu dan sedikit sebanyak ia mempengaruhi saya.

“Saya ada tukang jahit sendiri. Selepas baju siap dijahit, saya akan jahit labuci atau manik mengikut cita rasa saya. Sekarang ini tidak boleh lagi menjahit kerana penglihatan tidak seterang dulu,” katanya sambil ketawa.

Dia yang merupakan anak bongsu daripada sepuluh beradik itu mula mengasah bakat nyanyian sejak di sekolah rendah.

Katanya, dua kali seminggu gurunya akan memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang minat menyanyi mengadakan persembahan di dalam kelas sebelum sesi pembelajaran tamat.

Bermula dari menyanyi di hadapan rakan-rakan kelas, akhirnya M.Daud menyertai kumpulan pancaragam Kampung Sungai Nipah Baroh yang sering mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan sekitar kampungnya.

“Saya bermula dari sekolah, kampung, persatuan dan seterusnya menyertai Bintang Radio di Pulau Pinang, kemudian barulah ke pertandingan Bintang Radio kawasan tengah. Pada tahun 1968, saya muncul sebagai juara menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis,” katanya mengimbau semula pembabitan awalnya dalam bidang seni suara.

Selepas itu, dia telah dilamar untuk menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan lagu berkonsep langgam, asli dan dangdut. Kemudian pada 1985, beliau menjuarai pula pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori Nyanyian Asli.

Sehingga kini dia telah menghasilkan 29 buah album. Sementara lagu-lagu dendangannya yang masih malar segar sehingga kini ialah Anak Pertama, Sireh Pinang, Anak Derhaka, Cek Mek Molek, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Gila Judi.

Sampai ke hari ini pun, aura M.Daud belum pudar kerana dia masih mampu digandingkan dengan artis baru seperti Syura dan Ezlynn.

Dia yang masih aktif mengadakan persembahan sehingga kini pernah dianugerah gelaran Penyanyi Lelaki Popular oleh Persatuan Penyanyi Tanah Air (Papita) pada 1979.

Bagi menghargai jasanya dalam dunia seni, bekas artis rakaman IMI itu dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 yang membawa gelaran Datuk.

Pada tahun yang sama juga, dia menerima dugaan hebat daripada Yang Maha Esa apabila anak bongsunya, Norhayati meninggal dunia selepas diserang demam panas.

Terdahulu, isteri pertama M.Daud, Allahyarham Asmah Md. Noor, kembali ke rahmatullah pada 1980. Dia yang mempunyai tujuh orang cucu itu kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Rohani Awang Ngah (Datin) pada 1982 dan kehidupan mereka bahagia hingga ke hari ini.

Powered by Utusan Malaysia

JAJ: Fiq Tewaskan Ima

25 Dec

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

FIQ bersama Ima memegang trofi semasa pertandingan Juara Antara Juara di PWTC, malam tadi.

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Kekuatan vokal dan persembahan bertenaga Fiq berjaya membantunya merangkul gelaran Juara Antara Juara (JAJ), yang disiarkan secara langsung melalui TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

Fiq yang merupakan juara Mentor musim ini terbitan TV3 menyampaikan lagu rock dengan berkesan dan mengetepikan pencabarnya, Ima, juara Bintang Cari Bintang dari Indonesia menerusi pemilihan tiga juri profesional.

Namun kejutan turut berlaku apabila pihak penganjur membenarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada para penonton. Sebelum ini, TV3 mengeluarkan kenyataan bahawa pemilihan JAJ akan diadili sepenuhnya oleh juri profesional.

Sebanyak 50 peratus pemilihan JAJ itu dibuat oleh tiga juri iaitu Zainal Abidin dari Malaysia, Imaniar Nursaid (Indonesia) dan Iskandar Mirza (Singapura) serta selebihnya undian SMS.

Fiq memperoleh 95.3 mata manakala Ima hanya mengumpul 76.5 mata.

Protege Amy Search itu memilih lagu-lagu Pelesit Kota dan Teguh yang disampaikan secara solo dan berduet dengan Ima untuk lagu Sedang Ingin Bercinta.

Dengan kemenangan itu, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, berjaya menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM18,500 dan trofi.

Sementara itu, Ima atau nama sebenarnya Chalimatus Sa’diyah terpaksa berpuas hati selaku naib juara dan pulang dengan tangan kosong.

Gadis berumur 18 tahun itu yang terkenal dengan goyang gerudi hasil didikan mentor Inul Daratista memilih lagu-lagu Hello Dangdut dan Goyang Inul secara solo.

Turut membuat persembahan ialah Amy Search, Datuk Siti Nurhaliza, Nurul, Nieyl dan Kat pada pertandingan tersebut.

Powered by Utusan Malaysia