Archive | Azharina Azhar RSS feed for this section

Jiwa Keras Azharina

29 Apr

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

BUKAN senang memegang gelaran janda, ada saja cerita tidak baik mengenai mereka. Tiada siapa mahu mahligai dibina hancur berkecai, tetapi jika itulah jalan penyelesaian kepada pasangan suami isteri yang tidak boleh lagi berkongsi mimpi sama, terimalah dengan penuh keredaan.

Azharina Azhar, 24, sendiri tidak menyangka dia akan menjadi janda pada usia muda, namun jika itu ketentuan Yang Maha Esa, penyanyi yang popular dengan lagu Elergi Sepi ini menerimanya dengan hati terbuka. Tidak perlu lagi dia mengenang kisah lalu, yang penting kini dia kembali membina hidup baru daripada kesan runtuhan semalam.

Bagaimanapun, Azharina dan bekas suami masih berbaik dan mereka kini rakan kongsi perniagaan yang diusahakannya.

“Kami bercerai cara baik dan dia tergelak baca gosip di akhbar baru-baru ini mengatakan saya berkahwin lagi. Dia mengusik saya, kenapa kahwin tak jemput? Dia juga kata, saya terlalu yakin beritahu akan berkahwin pada September.

“Saya pun tak tahu kenapa saya memilih September, tetapi menurut kalendar Cina, saya dilahirkan pada tahun kerbau dan sembilan adalah nombor bertuah untuk saya. Begitupun, saya tidaklah terlalu mempercayainya, tetapi tiba-tiba saja teringin hendak melangsungkan perkahwinan pada bulan itu.

“Asyik bercakap pasal kahwin, jodoh pun tak ada. Tetapi kawan-kawan baik saya turut terkejut baca berita saya berkahwin lagi dan tidak menjemput mereka.

“Jika benar saya berkahwin lagi, saya akan beritahu semua orang. Belajar daripada kesilapan lalu, tiada gunanya merahsiakan status diri kerana saya teringin juga hendak beranak pinak,” katanya.

Ketika ini Azharina sibuk membina semula kehidupannya, memajukan syarikat dan mempromosikan lagu baru. Katanya, tiada waktu untuk mencari pengganti, sepanjang hari sibuk dengan kerja dan aktiviti seni.

“Masa tidur itulah waktu untuk diri saya sendiri. Ketika baru menjanda dulu, ada orang masuk meminang, tetapi bapa saya beritahu lelaki itu yang anak perempuannya ini lain sikit.

“Langsung orang itu tidak jadi meminang. Sehingga ke hari ini, tiada siapa meminang saya lagi. Teringin juga hendak kahwin, tetapi tak ada orang hendakkan saya.

 

 

“Memang saya bersedih dengan kegagalan perkahwinan pertama, tetapi hidup mesti diteruskan. Takkan saya mesti terus bermuram durja.

“Bekas suami selalu berpesan kepada saya, cari suami yang baik kerana dia dulu suka memanjakan saya. Terserah kepada Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik buat hamba-Nya,” katanya.

Terus berkongsi isi hati, sehingga sekarang pun, Azharina dan bekas suami masih meraikan hari istimewa bersama-sama iaitu hari jadinya dan ulang tahun perkahwinan mereka.

“Kami tidak keluar berdua sebaliknya bersama kawan. Bekas suami sukar menerima hakikat yang kami sudah bercerai.

“Mana-mana insan yang sudah berkahwin pasti tidak mengharapkan perceraian terjadi dalam rumah tangga mereka. Meskipun orang sering mencaci janda seperti saya, jauh di sudut hati saya bahagia sekarang.

“Jika dikenang balik memang sakit. Untuk mengatasi kekecewaan itu, saya anggap diri ini bukan budak-budak lagi, tetapi orang yang sudah dewasa.

“Saya juga tidak pernah anggap diri janda, tetapi masih solo. Lagipun kami bercerai bukan kerana salah sesiapa, tetapi tekanan sekeliling terutama daripada keluarga bekas suami.

“Bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana dengan perceraian itu dapat melancarkan kembali kerjaya seni. Empat tahun tanpa album baru.

“Bekas suami sangat menggalakkan saya menyanyi kerana katanya jika lama tidak muncul dalam arena seni suara nanti orang lupa yang saya adalah penyanyi dan bekas suami dedikasikan lagu Rawan kepada saya.

“Alhamdulillah, saya bahagia kini dengan limpahan rezeki saya dapat membeli rumah dan kereta. Apa yang diimpikan semua sudah dapat. Insya-Allah, Allah memberikan hamba-Nya kekuatan menempuh dugaan ini.

“Selain kekuatan yang diberikan Allah, kehidupan keluarga yang berpecah- belah mengajar saya menjadi manusia tabah. Saya datang daripada keluarga berantakan.

“Ibu bapa saya masing-masing berkahwin lain. Adik beradik kandung ada empat manakala adik beradik tiri sembilan orang. Dengan apa yang dilalui ketika kecil menyebabkan hati saya jadi keras dan tegas.

“Saya tidak menyalahkan ibu bapa sebaliknya berterima kasih kepada mereka yang menjadikan saya orang yang cekal. Kerana merekalah saya berjaya sekarang,” katanya.

Penyanyi bersuara serak itu sedang mempromosikan lagu single keduanya, Rasa. Dia hadir semula dalam persada seni dengan merakamkan enam lagu single bermula dengan Rawan. Lagu lain, Hei Lelaki, Primadona, Sakarat dan Gitar Berbunyi.

Lagu Hei Lelaki berkonsepkan hip hop, ciptaan dan lirik Azharina sendiri dan sepupunya, Keyneed. Ia mengisahkan pandangan wanita terhadap lelaki yang juga secara tidak langsung mewakili perasaan Azharina terhadap kaum Adam itu.

“Lirik lagu itu berdasarkan pemerhatian saya terhadap lelaki di sekeliling kita. Saya jenis yang berterus terang jadi tidak ada apa yang perlu diselindungkan mengenai lelaki dan lirik lagu itu kedengaran agak sinis serta sedikit kasar. “Kemudian akan menyusul single lain satu demi satu, Primadona, Sakarat dan Gitar Berbunyi. Semua lagu itu akan dikumpulkan menjadi album mini yang sepatutnya menyisipkan lima lagu saja, tetapi sekarang ia sudah menjadi enam. Sekali dengan penerbitan album mini itu saya akan sertakan VCD karaoke keenam-enam lagu itu.

“Kos pembikinan RM80 hingga RM100,000 dan akan diedarkan syarikat saya, Top 3 Production Sdn Bhd yang sudah dua tahun ditubuhkan. Lagu Primadona mengisahkan kehidupan saya. Oleh kerana saya mengeluarkan keseluruhan bajet untuk album, setiap lagu dan lirik yang terhasil berkaitan kehidupan saya yang pastinya turut dilalui wanita lain.

“Lagu sebegitu lebih mudah diterima pendengar kerana mungkin kami berkongsi kisah hidup yang sama. Kegagalan rumah tangga membuatkan saya kecewa dengan lelaki. Lama saya mengenali bekas suami iaitu sembilan tahun termasuk tiga tahun sebagai suami isteri. Buat masa ini walaupun ramai kawan lelaki, tetapi belum ingin mencari pengganti.

“Lirik yang saya hasilkan mengenai apa yang saya rasakan ketika itu dan tiada niat langsung hendak tujukan lagu itu kepada sesiapa. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Pun begitu saya masukkan juga cerita duka kawan-kawan. Saya yakin ramai wanita menghadapi situasi lebih kurang sama dengan saya, tetapi tidak tahu hendak meluahkan kepada siapa,” katanya.

Azharina juga bakal memasarkan semua lagunya itu ke Indonesia menerusi syarikat rakaman di sana, Lima Dua Belas.

“Saya akan cuba pasarkan lagu Rawan dulu yang akan ditukarkan tajuk dan lirik kerana ‘rawan’ dalam maksud bahasa Indonesia bererti ‘bahaya’. Kontrak sedang diuruskan dan saya perlu berhati-hati dengan cara orang sana bekerja. Bagaimanapun, saya yakin dengan syarikat ini kerana ramai penyanyi terkenal negara itu bernaung di bawahnya,” katanya.

Profil

Nama sebenar: Azharina Azhar

Nama panggilan: Nina

UMUR: 23 tahun

TARIKH LAHIR: 11 Mac 1985

TEMPAT LAHIR: Kota Kinabalu, Sabah

STATUS: Janda

TINGGI: 157 sentimeter

BERAT: 53 kilogram

SINGLE: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007)

ALBUM: Azharina (2003), Nina (2005), album kompilasi Sony-BMG Goreng Pisang Panas

VIDEO: Seandainya, Elegi Sepi dan Tsunami Kasih

PENCAPAIAN: Juara Bintang RTM 2001

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Kongsi Pentas Rai Setiausaha

28 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MINGGU Setiausaha yang disambut sepanjang bulan ini bukan saja dijayakan penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti yang mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Dan Pameran Matrade, Jalan Duta, 21 April lalu.

Malah minggu lalu juga dibanjiri beberapa lagi artis dari seberang menjayakannya di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 22 April.

Bukan sekadar empat penyanyi muda, Rio Febrian, Delon, Ello dan Irwansyah menjadi pilihan penganjur malah tiga pelakon, Samuel Rizal, Putra Ariffin serta Didi Riyadi.

Mereka digandingkan dengan penyanyi dan pelakon tanah air ketika acara permaidani merah menggayakan sut rekaan Lord’s Tailor bersama Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Aqasha, Awal Ashaari, Fizow Omar, Iqram Dinzly, Ashraf Muslim, Adi Putra dan Nazril Idrus.

Mereka juga berkongsi pentas secara duet bersama Jaclyn Victor, Siti Sarah dan Shila serta menjayakan sketsa bersama setiausaha. Betapa eratnya hubungan artis dua negara dalam satu majlis yang begitu meriah dapat disaksikan.

Walaupun setiap tetamu membayar RM290 dan RM350 setiap seorang untuk hidangan masakan Padang dan santapan mata bersama artis kacak serta terkenal, difahamkan, artis yang membuat persembahan pada hari itu tidak menerima bayaran.

Tujuh artis Indonesia yang datang dibayar dengan publisiti dan promosi sepanjang empat hari mereka berada di Kuala Lumpur. Banyaklah sesi fotografi dan pertemuan bersama media diatur penganjur dengan kerjasama syarikat rakaman Sony BMG Music dan Warner Music.

Untuk jejaka kacak yang melayan peminat di Grand Ballroom pula dibayar dengan sut Lord’s Tailor berharga RM3,500 hingga RM5,000 manakala penyanyi dibayar dengan peluang berkongsi pentas artis Malaysia dengan Indonesia.

Delon yang dicungkil bakatnya daripada program realiti Indonesian Idol 2004, berduet dengan bintang Malaysian Idol, Jaclyn Victor menerusi lagu popular Celine Dion dan Andrea Docelli, The Prayer; Siti Sarah duet dengan Ello (I Feel Good) manakala Irwansyah dengan Shila (One In A Million) melalui lagu duet Irwansyah dengan Acha Septriasa, My Heart. Delon juga muncul solo melalui lagu Adinda, Ello (Masih Ada) dan Irwansyah (Camelia).

Azharina Azhar pula berpeluang memperkenalkan dua single terbarunya, Rasa dan Rawan manakala Delon, Rio, Ello dan Irwansyah berpeluang bertemu wartawan Malaysia untuk promosi album terbaru mereka edaran Sony BMG Music dan Warner Music.

 

 

Untuk tiga pelakon Indonesia pula, mereka dibayar dengan publisiti dan peluang bertemu produser tanah air untuk mengintai peluang berlakon di negara ini. Bagi Samuel, nama dan wajahnya sudah dikenali peminat di sini menerusi lakonannya dalam Eifel…I’m In Love dan filem tempatan, Sayang You Can Dance, tetapi Putra Ariffin dan Didi agak asing di sini.

Jaclyn yang anggun dengan gaun merah koleksi peribadi rekaan Bill Keith juga berpeluang menyanyi dengan Rio Febrian. Petang itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Jaclyn dengan Rio di pentas besar seperti Minggu Setiausaha untuk lagu duet mereka, Ceritera Cinta yang dirakamkan pada 2006.

Jac berkata, sebelum ini mereka bertemu untuk rakaman klip video lagu itu manakala menyanyi bersama hanyalah untuk acara kecil anjuran majalah hiburan sebelum ini.

Katanya, masa rakaman lagu itu juga diadakan berasingan kemudian apabila lagu itu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik kategori balada. Rio tidak dapat memberi kerjasama lalu tempatnya digantikan Lah VE.

“Tapi kami pernah bertemu menjayakan video klip lagu itu. Dia seorang yang peramah dan baik dan saya gembira dapat berkongsi pentas dengannya hari ini,” kata Jac.

Bagi Delon, kesempatan menjayakan Minggu Setiausaha dianggap peluang keemasan untuk berkenalan dengan masyarakat di sini sekali gus memperkenalkan album barunya, Perasaanku yang diedarkan di Malaysia penghujung bulan ini.

Selain duet dengan Jac, Delon atau nama sebenarnya, Alexander Liaw Dalon Thamrim, 31, menyampaikan lagu daripada album Perasaan, Adinda.

Katanya, Adinda istimewa kerana ia lagu lama Titiek Puspa yang dirakamkan semula dengan muzik baru yang lebih segar.

“Saya bangga dapat merakamkan semula lagu Titiek Puspa yang dianggap legenda di Indonesia. Gubahan muziknya dilakukan Tohpati supaya menjadi lebih enak didengar.

“Sebenarnya bukan mudah untuk saya mendapat izin merakamkan semula lagu itu, tetapi atas bantuan orang kuat Sony Music Indonesia, segalanya menjadi mudah. Saya juga bangga apabila Titiek Puspa memuji hasilnya.

“Untuk salam perkenalan di sini, saya pilih lagu ini kerana muziknya ada sentuhan Melayu. Saya juga sedar kurang dikenali di sini dan berharap kunjungan ini memberi pendedahan kepada semua.

“Sepanjang berada di sini, jadual harian saya padat dengan sesi bertemu wartawan. Malah saya berpeluang menghadiri majlis ulang tahun TV9 di Sunway Lagoon,” katanya.

Sementara itu Ello atau nama sebenarnya, Marcello Tahitoe baru saja melancarkan album keduanya, Realistis/Idealis di Indonesia Februari lalu dan untuk pasaran Malaysia sejak 24 Mac lalu. Rio Febrian mempertaruhkan album Aku Bertahan manakala Irwansyah album Soliter.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Janda Meletup

12 Apr

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN, NAZARALI SAERIL, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT

KUALA LUMPUR: Sebagai selebriti yang terbabit dalam dunia nyanyian atau lakonan, mereka ada tarikan tersendiri. Namun, status janda yang disandang menambah aura dan glamor sedia ada sehingga kehebatan mereka ada kalanya mengalahkan artis yang belum berkahwin.

Abby Abadi, Rozita Che Wan, Nora Danish, Azharina dan Nurul antara selebriti berstatus janda yang dianggap ‘panas’ dan meletup, menjadi buruan, mengundang cemburu artis wanita lain serta menimbulkan kebimbangan isteri golongan VIP, kalau-kalau suami mereka ‘dirampas’.

Apa godaan dan cabaran menjadi janda meletup? Ikuti luahan hati mereka kepada wartawan Metro Ahad, NOR AKMAR SAMUDIN, NAZARALI SAERIL, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT.

 

 

ABBY ABADI:

“SAYA tidak mahu mencipta populariti dengan status janda. Apatah lagi selepas menjanda, saya melalui apa yang janda lain rasai. Paling membuatkan saya terkejut, ada artis senior sanggup menjadi orang tengah mengaturkan pertemuan saya dengan VIP di luar negara.

“Saya tahu siapa VIP itu yang memang dikenali ramai, tetapi tidak perlu saya sebutkan namanya. Sampai ke tahap itu mereka meletakkan kedudukan janda yang dijadikan sebagai barang dagangan.

“Bayaran dijanjikan memang lumayan, tetapi saya tidak gelap mata,” kata wanita berusia 31 tahun itu mengenai dugaannya yang baru empat bulan bergelar janda.

Menurut Abby, tindakan artis senior itu menjadi orang tengah untuk ‘menjual’ rakan artis sendiri sungguh mengejutkannya dan membuatkan dirinya berasa terhina.

“Jika orang yang saya tidak kenal buat kerja itu, tidaklah saya rasa terlalu terhina, tapi dia rakan saya. Tergamak dia lakukan perangai keji itu. Kami pernah berlakon bersama dan saya tidak sangka dia meletakkan diri saya sebagai janda tahap murahan.

“Artis senior itu juga maklumkan kepada saya bahawa ramai artis melayan VIP itu di luar negara. Untuk mengetahui siapa VIP terbabit, mulanya saya tunjuk macam berminat untuk terima tawaran. Dia akhirnya memaklumkan siapa VIP terbabit dan hendak tempah tiket penerbangan.

“Mungkin ada yang ingat bila dah janda, saya mudah didekati, hakikatnya tidak begitu. Saya pernah alami situasi seperti ini ketika zaman anak dara dulu, tak sangka bila sudah jadi janda ia terpaksa saya alami lagi,” katanya.

Menurut Abby, ketika zaman bujang, ada yang menawarkannya melayan VIP di sebuah negara jiran dengan jumlah bayaran sangat besar, tetapi dia tidak mengenali orang tengah terbabit.

“Alhamdulillah, saya tidak mudah digoda dan bukan jenis perempuan murahan. Jangan ingat diri saya boleh dijual beli dengan begitu mudah. Saya fikirkan jangka masa panjang, keluarga dan anak.

“Saya tidak mahu perkara itu menjadi ‘track record’ dalam hidup saya dan rasa berdosa seumur hidup. Memang ramai hendak kenalkan saya dengan orang itu dan ini tetapi apabila membabitkan maruah, saya perlu tegas,” katanya.

Tambah Abby, ada juga orang kenamaan mengirim SMS menawarkan sejumlah wang kononnya ingin berkongsi membuka perniagaan bersama dan ada juga yang sibuk ingin carikan jodoh untuknya.

“Jika benar ada yang ingin jadikan saya isteri, ada caranya. Bukan baru kenal sehari dua terus melonggokkan wang di depan saya. Jika ada jodoh, cukuplah lelaki sederhana sebagai suami saya. Kami boleh berusaha bersama-sama. Wang memang penting, namun ia bukan segala-galanya dalam hidup.

“Bukan pula saya kata orang yang berduit jahat belaka. Yang pasti, hati saya belum terbuka untuk bernikah lagi. Saya bukan terlalu ‘desperate’ (terdesak), lepas bercerai terus mencari pengganti,” katanya.

Menurut Abby, dia mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat serta kini berusaha ke arah itu kerana pengalaman membuatkan dia semakin mengenal erti hidup.

“Paling saya elakkan, saya tidak mungkin menjadi orang ketiga kepada mana-mana wanita. Jadi kepada wanita di luar sana, saya bukan perampas,” tegasnya.

ROZITA CHE WAN:

“TAK sangka pula saya tersenarai dalam kategori janda meletup. Hakikatnya, bukan senang jadi janda kerana terlalu banyak dugaan. Antaranya, saya pernah diminta menemani seorang VIP makan malam selama dua jam saja.

“Saya tidak tahu siapa kerana saya tidak berminat untuk mengenalinya. Undangan itu saya tolak kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas dua jam temankan dia makan,” luah Rozita Che Wan, 36.

Menurut Rozita, ada orang tengah mengatur pertemuannya dengan VIP itu. Kejadian itu membuatkan dia sangat terhina. Sebagai orang Islam, dia tahu hukum Allah SWT.

“Mula-mula temankan dia makan, lepas itu entah dia hendak minta apa pula dengan saya. Oleh kerana memang tidak berminat, saya tak kuasa hendak ambil tahu siapa VIP itu. Dalam masa sama, setiap hari ada VIP kirim SMS ingin berkenalan, mengajak saya keluar dan pelbagai lagi.

“Supaya tidak menyakiti hati sesiapa, saya menolak pelawaan mereka secara baik dengan menyatakan ‘lain kali’. Apabila selalu sangat saya kata lain kali, mereka faham dan tidak mengganggu lagi,” katanya.

Tambah Rozita, dia kesal masyarakat masih berfikiran kolot apabila bercakap mengenai janda dengan beranggapan janda tiada harga diri, suka rampas suami orang dan mata duitan.

Menurut janda anak dua itu, banyak gosip mengatakan dia berkahwin dengan VIP, tetapi hingga kini belum terbukti apa-apa.

“Tumpuan kini kepada anak dan kerjaya. Kejayaan anak sulung, Ammar Effendy dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dengan mendapat 5A membuka mata masyarakat yang anak janda juga boleh berjaya.

“Syukur anak kedua, Aniq Ezzra, turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran dan sukan. Harap Aniq akan mengikut jejak langkah abangnya. Andainya Ammar dapat 1A, orang pasti kata ‘tengoklah emak dia pula macam mana’,” katanya.

Menurut Rozita, anak tahu dan faham kesusahannya bekerja siang malam dan menghargai pengorbanan itu.

Atas kejayaan anak juga, pada Hari Ibu nanti, Hotel May Tower Singapura akan menganugerahkan Rozita Ikon Ibu Cemerlang dengan majlis diadakan di Kuala Lumpur.

“Itulah penawar kesedihan saya selama tiga tahun bergelar anak seni. Kejayaan anak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap saya.

“Sebenarnya, saya kurang senang apabila dilabel janda meletup kerana keadaan ini memberi ruang kepada pihak tertentu menjadikan saya mangsa gosip dan fitnah. Oleh itu, saya harap masyarakat menilai berdasarkan kualiti orang itu dan bukan daripada status,” katanya.

Apapun, kata Rozita, dia tetap bersyukur dan reda dengan ketentuan Ilahi. Ini kerana status itu juga menjadikan dirinya kuat, tabah, cekal dan berani.

NORA DANISH:

HAMPIR 10 bulan berpisah, kehidupan dijalani pelakon ini seperti biasa. Walau kadangkala terasa sunyi, Nora Danish, 27, menafikan dia menjadi buruan lelaki.

“Sepanjang bergelar ibu tunggal, saya belum pernah merasai menjadi buruan mereka, lebih-lebih lagi golongan VIP. Mungkin itu berlaku disebabkan saya tidak menjawab panggilan telefon daripada orang tidak dikenali.

“Begitupun, saya tidak menafikan status janda membuatkan golongan artis wanita diburu. Sama ada mereka cuba memikat kami kerana populariti atau harta, itu saya tidak tahu.

“Pengalaman dulu mengajar saya banyak perkara dan ia juga menjadikan saya lebih matang untuk menjalin hubungan selepas ini.

“Bagi saya, tidak kira janda atau gadis, asalkan bernama wanita, pasti akan cuba didekati lelaki,” katanya yang kini bahagia dengan kehadiran putera sulung, Putra Rayqal Rizal Ashram Ramli (Rayqal) yang lahir pada 7 Januari lalu.

Perceraian Nora menyentuh hati banyak pihak kerana dia diceraikan ketika disahkan mengandung tiga bulan.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.

Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail, membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh Rizal berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.

Perceraian itu berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung. Oleh itu talak hanya jatuh selepas dia melahirkan.

AZHARINA:

“SELEPAS bercerai, ‘berbakul’ saya dikutuk, dihina dan dicaci. Itulah risiko yang dihadapi apabila menjadi janda muda. Sebagai artis, lagi banyak dugaan datang kerana satu Malaysia tahu saya bercerai.

“Kalau saya bukan artis, mungkin dugaan tidak seteruk ini. Memang saya tahu risiko menjadi janda, tetapi saya tidak terfikir sesukar ini. Apa hendak saya katakan lagi, ia (perceraian) sudah berlaku. Namun, ia membuatkan saya tabah dan cepat dewasa,” kata Azharina Azhar, 24.

Menurutnya, selepas kembali solo ada yang menggoda, tetapi dia tidak melayan kerana pintu hatinya belum terbuka untuk bersuami lagi.

Yang penting, kata Azharina, sekarang adalah waktu untuk dia melakukan proses ‘baik pulih’ dan menjaga hatinya.

“Untuk berkahwin semula, saya serahkan pada Yang Maha Esa. Jika ada jodoh, adalah. Seandainya sebaliknya, saya tetap bersyukur ke hadrat Ilahi jika itu yang terbaik untuk saya.

“Pada masa ini saya tiada hubungan istimewa dengan sesiapa. Rakan lelaki memang ramai, tetapi setakat berkawan saja,” katanya.

Menariknya, Azharina berkata, lelaki yang ingin memperisterikannya perlu melalui proses penilaian yang akan dilakukan oleh bekas suaminya.

“Suami saya dulu baik, tetapi tekanan orang sekeliling membuatkan saya tidak tahan untuk terus hidup bersamanya. Lelaki yang ingin menjadi suami saya juga perlu jujur dan ada pengetahuan agama.

“Apabila saya melalui proses perceraian, ia bukan perkara yang terlalu buruk kerana ada yang menemui kebahagiaan selepas bercerai. Pun begitu, terasa juga serik untuk berkahwin lagi,” katanya.

Mengenai hubungan dengan bekas suaminya, Azharina berkata, mereka masih bertegur sapa dan berhubungan seperti kawan biasa.

“Kami bercerai cara baik dan sampai sekarang saya masih menghormatinya sebagai kawan, bekas suami dan rakan perniagaan. Enam tahun kami berkawan, tetapi perkahwinan kami bertahan tiga tahun saja.

“Bagaimanapun, saya tidak kesal rumah tangga runtuh di tengah jalan, malah jauh di sudut hati, saya bahagia dan sibuk dengan kerja sendiri,” katanya.

NURUL:

KESIBUKAN mengejar kerjaya dan pengalaman lalu membuatkan penyanyi ini bertekad untuk tidak memikirkan mengenai jodoh buat seketika.

Katanya, biar dia fokus kepada dunia seni yang menjadi cintanya sejak dulu. Begitupun, menyentuh mengenai soal janda yang diburu lelaki, Nurul, 31, belum pernah menghadapi situasi seperti itu.

“Selama bergelar ibu tunggal lebih setahun lalu, belum ada lagi lelaki yang bersungguh-sungguh atau datang bersemuka dengan saya untuk menyuarakan hasrat memperisterikan saya. Mungkin mereka takut berjumpa saya kerana sewaktu di luar saya sentiasa serius.

“Setakat ini, kalau ada pun lelaki cuba memikat saya, saya anggap mereka tidak serius. Ini kerana mereka tidak berani bersua muka dengan saya, tapi cuma menghantar SMS dan tidak kurang juga memanggil sayang serta menelefon pada tengah malam,” katanya.

Nurul berkata, dia langsung tidak melayan gangguan daripada lelaki seperti itu kerana tindakan mereka mencerminkan sikap tidak menghormati wanita.

“Jangan memandang status janda sebagai sesuatu yang negatif. Sama ada janda, anak dara mahupun bergelar isteri, kami masih lagi wanita yang ada perasaan,” katanya.

Menurutnya, populariti sebagai artis menyebabkan dia lebih berhati-hati kerana bimbang ada lelaki cuba mengambil kesempatan dengan menumpang kemewahan.

“Ada golongan cuba mendekati artis, terutama wanita bergelar janda seperti saya, semata-mata untuk mencari jalan mudah memperoleh kesenangan. Namun saya bersyukur kerana setakat ini ia belum terjadi kepada saya,” katanya.

Harian Metro

Istimewa Ramadan Di RTM

31 Aug


USTAZ Akhil Hai tetamu undangan Selera Ramadan MM Vitaoils.z

DALAM usaha untuk mengimarahkan Ramadan, RTM telah menyusun pelbagai program menarik khas untuk penonton setianya.

Ini termasuk pelbagai program berbentuk majalah dan dokumentari untuk tatapan penonton antaranya Syahadah 4 serta program masakan seperti Selera Ramadan MM Vitaoils dan Ketuk-Ketuk Ramadan bersama Sheila Rusly dan artis undangan.

Meneruskan kejayaan lalu, Syahadah 4 kali ini membawa para penonton mendekati perkembangan agama dan umat Islam di negara-negara Balkan serta Eropah seperti Sepanyol, Turki, Bosnia Herzegovina, Croatia, Slovenia, Greece, Albania, Kosovo, Romania dan Itali.

Tampil dengan tema Satu Lafaz Berbeza Resam, program terbitan Ibrahim Hj. Ismail, Syazariah Majidi dan Zulkefli Mohd disiarkan dalam dua versi Bahasa Melayu dan Inggeris.

Bersiaran pada setiap hari sepanjang Ramadan, pada pukul 6.35 petang di RTM 1 dalam versi Bahasa Melayu, versi Bahasa Inggeris pula ditayangkan di RTM2 pada pukul 4.30 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala hari Sabtu dan Ahad, program tersebut akan bersiaran pada pukul 5.00 petang.

Sementara Selera Ramadan MM Vitaoils yang memulakan siarannya pada 1 September ini (esok) merupakan program masakan yang sesuai disediakan untuk hidangan bersahur dan berbuka puasa.

Disiarkan setiap Isnin hingga Ahad, pukul 5.00 pagi di RTM1 serta siaran ulangannya pada setiap hari Isnin hingga Ahad, pukul 12.30 tengah hari di RTM1, ia turut menampilkan tetamu undangan memberikan motivasi kepada penonton.

Terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd., program ini menekankan resipi masakan yang menggunakan produk-produk berkualiti MM Vitaoils.

Menariknya, ia turut diwarnai kuliah Ramadan, panduan dan nasihat agama yang bakal disampaikan oleh barisan pendakwah dan pakar motivasi terkenal tempatan.

Antara tetamu undangan yang ditampilkan termasuk Ustaz Wan Shohor Bani Leman, Ustaz Zawawi Yusoh, Ustaz Akhil Haji Abdul Hai, Prof. Dr. Izuddin Haji Ali, Dr. HM Tuah Iskandar dan Hushim Salleh.

Selera Ramadan MM Vitaoils yang bersiaran untuk 30 episod mengutarakan dua resipi berasaskan minyak sawit yang menggunakan produk MM Vitaoils seperti Marvelloso, Blossommm, Rise and Shine, Shortening Qualitaste, Palmas dan Serimas.

Sajian masakan yang diketengahkan oleh Chef Selebriti Norzailina Nordin sangat bersesuaian dengan selera umat Islam sepanjang bulan Ramadan ini. Bukan hanya sajian Melayu, bahkan penonton juga boleh mempelajari sajian barat, timur tengah ataupun masakan Cina dan India.

Antara resipi menarik yang dikongsi bersama penonton antaranya Paf Pir & Burger Sayuran, Kastard Nanes dan Sup Bawang Perancis, Binka Keju dan Mi Pankek, Bingka Jagung dan Daging Masak Prun, Mousse Coklat dan Spageti Olio, Cucur Durian dan dihidangkan bersama Tuna Moussaka juga Spageti Sos Keju dan Browines.

Menjelang hari raya, resipinya lebih istimewa dengan menghidangkan Biskut Teh Hijau dan Kek Keju Rise and Shine juga Kek Lebaran dan Bistis Idaman.

Sepanjang Ramadan juga, RTM menyiarkan variasi hidangan berbuka puasa puasa ringkas lagi lazat yang disajikan oleh artis-artis tanahair.

Berkongsi rahsia masakan bersama artis dalam Ketuk-Ketuk Ramadan bersama Sheila Rusly, program tersebut akan mula bersiaran 1 September ini sepanjang Isnin hingga Ahad manerusi RTM1.

Menampilkan Sheila Rusly sebagai hos, 28 artis terlibat menghidangkan makanan istimewa pilihan mereka untuk sajian berbuka puasa.

Bukan sahaja berkongsi rahsia masakan, penonton juga berkesempatan berkenalan dengan kaum keluarga artis yang diundang yang turut sama menyerikan program masakan terbitan Js Pictures itu.

Antara artis yang terlibat adalah Amyza Adnan, Umie Aida, Azharina Azhar, Ropi Cecupak, Farid Kamil, Jehan Miskin, Zizan Nin, Ferhad, Aziz M Osman, Melissa Saila, Mila, Dafi, Khatijah Tan, Sazzy Falak, Aizat, Fahrin, Abby Abadi, Que Haidar, Emelda Rosmila, Adlin Aman Ramlie, Mustapha Kamal, Nabila, Rosnah Mat Aris, Fiz Fairuz, Fauziah Ghaous, Amy Search, Nabil dan Nora.

Berlokasikan di kawasan terbuka seperti Taman Tasik Titiwangsa, Masjid India, Tanamera Sungai Buloh, Petronas Ampang, UO Supermarket Galaxy Taman Dagang, Tropikana Golf & Country Club, Pasar Tani Taman Melawati, Sungai Besar Selangor, Kampung Sungai Limau Sungai Besar, Kampung Melayu Ampang, Ulu Yam, Bukit Meringin Kajang, Air Terjun Alang Sedayu dan Pasar. Antara resipi masakan istimewa yang disajikan daripada 60 hidangan lazat tahun ini antaranya seperti Ayam BBQ Rempit, Sambal Goreng XX Ray, Cucur Udang Bila Mila Cinta, Cucur Sukun dan Ayam Kuzi.

Utusan Malaysia

Suara Emas Bintang RTM 2007 – Mampukah Menyengat?

29 Mar

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

TIDAK dapat dinafikan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah banyak melahirkan bintang-bintang ternama negara menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh badan penyiaran itu.

Misalnya, Datuk Siti Nurhaliza mula meniti populariti dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang HMI pada 1995. Begitu juga dengan penyanyi bersuara lantang, Adibah Noor yang pernah menjuarai pertandingan Suara 90an. Semuanya mencipta nama bermula di RTM.

Sudah tentu, pertandingan nyanyian yang cukup sinonim dengan RTM adalah Bintang RTM yang telah banyak melahirkan nama-nama besar antaranya Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Rohana Jalil dan Azharina Azhar.

Mencungkil

Kini, pertandingan mencungkil bakat baru itu muncul kembali dengan nama baru iaitu Suara Emas Bintang RTM 2007 selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Bukan dengan penjenamaan baru itu sahaja, malah formatnya juga turut diubah selaras dengan matlamat RTM yang mahu melahirkan penghibur yang berbakat dan berilmu.

Perubahannya ialah 14 peserta yang layak ke peringkat separuh akhir dan lapan orang yang ke peringkat akhir akan diuji minda mereka dengan soalan pengetahuan umum yang merangkumi 20 peratus daripada jumlah pemarkahan.

Apa yang pasti, untuk pertandingan akhir yang dijangka akan berlangsung pada 1 Julai depan tidak akan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi akan menggunakan kuasa mutlak juri yang terdiri daripada pegawai RTM sendiri dan mereka yang arif lagi bijaksana dalam industri hiburan.

Kuasa SMS hanya akan menjelma apabila penonton diberi peluang memilih peserta kegemaran mereka yang gagal di peringkat suku dan separuh akhir. Malah, penglibatan SMS juga akan digunakan bagi menobatkan seorang peserta bagi merangkul kategori Bintang Paling Popular Suara Emas Bintang RTM 2007.

Untuk mencari 30 peserta berbakat yang layak ke peringkat suku akhir pertandingan, RTM telah menjalankan sesi uji bakat di enam zon yang berbeza iaitu zon timur, zon utara, zon selatan, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur yang bermula pada 12 Januari lalu dengan jumlah penyertaan sebanyak 1,255 orang.

Pada sidang media yang diadakan di RTM baru-baru ini, 30 orang yang terpilih itu berpeluang menunjukkan bakat mereka kepada hadirin dan tidak dinafikan mereka sememangnya berbakat besar dan berpotensi untuk menjadi seorang bintang jika digilap sebaiknya.

Kehangatan Suara Emas Bintang RTM 2007 akan bermula apabila peringkat suku akhir pertama berlangsung pada 14 April depan bermula 10.30 malam di RTM 2. Pelakon baru, Raja Farah Raja Aziz dan Sheikh Bolkiah Sheikh Ahmad atau lebih dikenali sebagai Abol telah diberi mandat sebagai pengacara kali ini.

Powered by Utusan Malaysia