Archive | Jehan Miskin RSS feed for this section

Info TV: Drama Bersiri Terbaik Daripada TV3 Bulan Ini

5 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.

Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.

Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.

Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.

Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?

Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.

Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.

Berita Harian

Sambutan Hangat Mertua Vs Menantu

27 Feb

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 27 FEB 2009:   Kejayaan drama bersiri Mertua vs Menantu terbitan MIG Productions yang mencatat rating tertinggi di saluran Astro Prima sejak ke udara mulai 22 Oktober lalu semakin memberikan keyakinan buat Erra Fazira untuk terus berlakon drama bersiri.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dalam telefilem Jo & Faridah bersama Adlin Aman Ramlie. Tapi untuk  drama bersiri tidak pernah lagi. Jadi,  Mertua vs Menantu adalah drama bersiri pertama saya.

“Tidak sangka pula percubaan saya berlakon dalam drama bersiri membuahkan hasil. Kalau hendak diikutkan, saya mempunyai satu lagi drama bersiri iaitu Rona Roni Makaroni.

“Tapi, apabila melihat skrip serta jalan cerita Mertua vs Menantu, ia lebih menarik perhatian saya kerana isunya serius walaupun penyampaiannya secara komedi.

“Memang sudah lama saya teringin untuk berlakon cerita yang seperti ini. Saya juga menyukai watak Nurul Ain yang ditampilkan. Dia seorang mekanik perempuan yang berpewatakan kasar tetapi bukan tomboy.

“Pendek kata, berlakon dalam drama ini adalah satu pilihan yang tepat. Saya juga tidak perlu banyak melaram atau mengenakan mekap. Sesuailah dengan situasi dan keadaan saya yang tengah sarat mengandung. Malas sangat nak   berdandan,” Erra kepada murai.com.my.

Erra ditemui sewaktu majlis kesyukuran Mertua vs Menantu di Restoran Lemon, milik produser MIG sendiri, David Teo. Dalam majlis itu, David turut memgumumkan penerbitan musim kedua drama bersiri tersebut selepas Erra selamat bersalin serta berpantang kelak.
 

Musim kedua Mertua vs Menantu ini akan menyaksikan kehadiran bayi dalam keluarga Datin Faridah (Rozie Othman) iaitu ibu mertua Erra (Nurul Ain).  Malah David tidak keberatan untuk menonjolkan bayi Erra sendiri dalam musim kedua.

“Tapi itu hanya perancangan. Saya kena berbincang perkara ini dulu dengan suami saya (Engku Emran). Maklumlah ia membabitkan penggunaan lampu yang sangat terang di set penggambaran, jadi ia bukan sesuatu yang mudah.  

“Namun untuk kembali bertugas semula selepas 44 hari berpantang, ia bukanlah satu masalah bagi saya, insya-Allah. Cuma yang risau berat badan dan mengembang,” kata Erra.

Sejak mengandung, Erra mengakui berat badannya telah naik 21 kilogram.

“Bukan saya tak berusaha untuk kawal makan tapi kadang-kadang tak mampu. Kalau Emran ada di rumah, dia selalu akan pastikan saya mengambil makanan yang banyak protein. Tapi bila Emran pergi kerja, saya mulalah cari nasi semula!” kata Erra sambil ketawa.
 

Mertua vs Menantu arahan Feroz Khan turut dibintangi Aqasha, Jehan Miskin, Raja Farah, Almy Nadia serta Sheila Mambo. Ia kini masih lagi ditayangkan di Astro Prima setiap Rabu, jam 10 malam. 

 

Murai

Uji Bakat Jadi Pelakon

31 Jan

Rap
PROGRAM Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang berlangsung hari ini dan esok (31 Januari dan 1 Februari), jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Finas, Hulu Klang, menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abd Aziz berkata, hari terbuka itu diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan Finas dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

“Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan Finas sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan Finas dengan industri serta orang ramai,” katanya.

Antara aktiviti Hari Terbuka Finas, pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman. Pengunjung juga dibawa melawat peralatan dan kemudahan perfileman yang terdapat di Finaspost, pusat pasca produksi.

Orang ramai juga berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan memasukkan suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor antaranya Ahmad Idham dan Pierre Andre. Ia dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Elie Suriaty, Vanida Imran, Nanu Baharudin dan Fauziah Ahmad Daud.

“Peserta sesi lakonan yang terpilih juga akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan Finas dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

“Sesi uji bakat ini peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam dunia lakonan. Finas turut mengundang beberapa produser yang aktif untuk bersama menilai sesi peserta uji bakat itu.

“Malah lebih penting peserta lakonan yang berjaya di senarai pendek akan berpeluang berlakon dalam filem kenegaraan terbitan Finas.

“Warganegara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario disediakan Finas menggunakan dialog atau skrip sendiri.

“Turut diadakan taklimat dan pameran kerjaya perfileman yang dikendalikan persatuan perfileman. Gafim (Gabungan Karyawan Filem Malaysia) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) membuka gerai yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk.

“Persatuan terbabit juga memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri daripada pelajar perfileman,” katanya.

Kata Fazli, pameran jentera motor filem Evolusi KL Drift 2 termasuk sebuah Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan sutradara, Shamsul Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka Finas, sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hashime, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi. Peminat boleh bergambar dan beramah mesra dengan mereka.

Filem Histeria, Los and Faun dan Cicak Man – Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan Finas (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths’) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P Ramlee.

Finas juga akan mengadakan program menandatangani perjanjian kerjasama penerbitan dengan Histrory Channel bagi menggalakkan pertukaran kepakaran penghasilan dokumentari bertaraf dunia.

Majlis dijangka dihadiri Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini, jam 3 petang di Studio Sound Stage Finas.

Acara kemuncak Hari Terbuka Finas ialah perasmian Studio Digital Mix Stage, pusat adunan bunyi bernilai RM53 juta yang dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 8 malam esok.

Studio yang mendapat pengiktirafan Dolby adalah mercu tanda kemajuan industri.

“Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka Finas.

” Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kami menyediakan kaunter khas bagi tujuan itu sepanjang tempoh program berlangsung”, katanya.

Harian Metro

David Teo Masuk Rumah Tak Siap

28 Jan

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

BERPINDAH ke rumah baru sebelum hari perayaan sememangnya sangat digalakkan di kalangan masyarakat Cina. Ia dilihat sebagai satu permulaan yang sangat baik apabila tinggal di rumah baru pada tahun baru.

Bagi produser popular, David Teo, 45, dan isteri, Jane Lim, 41, mereka berpindah ke rumah baru di Bukit Rimau, Shah Alam pada 21 Januari lalu walaupun belum sepenuhnya siap.

Rumah mereka dijadualkan siap dua minggu sebelum tahun baru, tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan, kontraktor gagal menyiapkannya mengikut jadual.

Akui David, kedatangan tahun baru kali ini dilihat paling sesuai untuk berpindah ke rumah baru kerana penghujung tahun tikus disambut tahun lembu.

Malah bapanya, Teo Tuan Chin, 79, turut memilih tarikh dan masa paling sesuai untuknya masuk ke rumah baru.

“Proses pindah rumah sememangnya sangat meletihkan hingga tidak cukup tidur dan rehat. Saya dan Jane berbincang mengenai konsep rumah dan juga pemilihan perabot untuk disesuaikan dengan konsep kontemporari yang dipilih.

“Seminggu sebelum tahun baru, saya sangat sibuk untuk memastikan segala persiapan berpindah berjalan lancar. “Kesibukan ini menyebabkan saya ketepikan kerja di pejabat hingga pengagihan hamper dan limau seperti tahun sebelumnya tidak dapat dijalankan tahun ini.

“Walaupun banyak perabot yang belum siap, saya tetap berpindah pada 21 Januari lalu, tetapi untuk buat rumah terbuka di rumah baru, nampaknya belum bersedia lagi,” katanya.

David yang sebelum ini tinggal selama lapan tahun di Cheras Jaya, Cheras berkata, lokasi baru itu dipilih kerana kedudukannya sangat baik selepas meninjau beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Antara lokasi yang menarik minatnya ialah Sunway Lagoon dan Bukit Damansara, tetapi memilih Bukit Rimau yang lebih damai dengan kehijauan sekeliling.

“Antara kriteria utama saya sudah tentu kedudukan feng shui yang baik di tempat tinggi serta persekitaran menghijau. Selain itu saya suka suasana damai dan tidak suka penempatan yang sesak. Saya beli tanah di sini lima tahun lalu dan baru tahun lalu memutuskan untuk memulakan pembinaan rumah.

“Saya masuk rumah baru pada 21 Januari selepas mendapat nasihat daripada bapa saya mengenai hari dan masa paling sesuai untuk pindah.

“Sememangnya sejak dulu lagi saya akan meminta pandangannya mengenai tarikh sesuai untuk perkara penting.

“Begitu juga soal memberi nama anak-anak, tapi saya suka sesuaikan dengan zaman moden. Contohnya anak-anak saya diberi nama Inggeris, tetapi maknanya tidak lari dari bahasa Mandarin yang diberikan ayah saya. Cuma diubah suai dengan sebutan Inggeris seperti Teo Ruby, 17, Teo Jason, 10, Teo Jackhu, 9, dan Teo Jehan, 4,” katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baru Cina kali ini, David yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) yang menjalankan perniagaan jualan langsung berkata, seperti biasa mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk berkumpul bersama keluarganya di Segamat, Johor kemudian kembali bekerja pada hari ini (Rabu) dengan upacara sembahyang supaya perniagaan mereka bertambah maju.

Kata David, dia sangat bersyukur kerana perniagaannya berjalan dengan baik sepanjang 2008 terutama penerbitan filem dan drama.

Apa yang membanggakan, lima filemnya yang ditayangkan tahun lalu, Congkak, I’m Not Single, Senario The Movie Episod 1, Selamat Pagi Cinta dan Brainscan: Aku & Topi Ajaib mencatat kutipan keseluruhan RM13.5 juta.

“Saya bangga kerana MIG Productions mendahului produksi lain seperti KRU Filem, Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

“Untuk 2009, saya mensasarkan lapan filem dan 250 jam program untuk televisyen. Empat filem sudah siap iaitu Syurga Cinta, Jangan Tegur, Jangan Pandang Belakang Congkak dan Rempit V3 dan berharap dapat tayangkan lima filem bermula dengan Syurga Cinta pada 21 Mei ini.

“Untuk program televisyen pula drama bersiri Intan Asmara untuk slot Samarinda mencatat jumlah penonton yang tinggi begitu juga Mentua VS Menantu (Astro) dan Biarlah Rahsia di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Semua ini membuktikan saya serius menghasilkan program televisyen dengan mementingkan kualiti untuk kepuasan penonton.

“Untuk tahun ini, TV3 memberi peluang pada saya menghasilkan drama untuk slot Samarinda, Lagenda, Akasia dan Lestary manakala untuk stesen lain, drama bersiri Jangan Pandang Belakang untuk RTM sudah siap begitu juga telefilem Mataku Nampak Hantu (Astro Ria).

“Saya juga akan memulakan penggambaran Mentua VS Menantu 3 untuk Astro selepas Erra Fazira selamat bersalin,” katanya.

Mengenai simbol lembu untuk tahun baru kali ini, David yang dilahirkan pada tahun naga meramalkan tahun ini penuh dengan pelbagai cabaran.

“Mengikut pusingan 12 tahun kalendar Cina, lembu adalah tahun pertama dan ia dianggap sebagai permulaan kerja keras dan bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukan untuk mencapai matlamat.

“Setiap kali pusingan tahun lembu juga berlaku krisis ekonomi seperti 1997, 1973 dan tahun ini disifatkan sebagai pengstrukturan semula perniagaan. Apabila berlaku kegawatan, perlu kerja keras untuk mempertahankan apa yang sudah dimiliki,” katanya.

David juga percaya doa daripada pekerja dan kawan-kawan juga membawa rezeki kepadanya.

Prinsipnya sejak dulu cukup mudah iaitu jangan tamak dan berkongsi rezeki dengan mereka yang banyak membantunya selama ini.

Sebelum pulang ke Segamat, Sabtu lalu, David tidak lupa meraikan mereka yang bertungkus-lumus menjayakan filem dan dramanya sepanjang tahun ini.

Bertempat di restoran miliknya di The Mines, Seri Kembangan, David dan Jane meraikan barisan pelakon dan kru Rempit V3 arahan Farid Kamil, Mataku Nampak Hantu (Feroz Kadir) yang baru saja selesai menjalani penggambaran bersama kru dan pelakon Brainscan, Syurga Cinta, Mertua VS Menantu dan Selamat Pagi Cinta.

Antaranya Ahmad Idham, Farid Kamil, Feroz, Norliana Samsudin (Yana), Lisa Surihani, Ery Putra, Serina Redzuan, Jehan Miskin, Aqasha, Anita Baharum, Intan Ladyana dan Wan Nor Azlin.

Tidak ketinggalan dua kakitangannya, Ketua Bahagian Promosi, Azahari Abdul Hamid dan Eksekutif Perhubungan Awam, Mohd Zubir Badar Shair.

Selain diraikan dengan hidangan yee sang sebagai simbol membawa rezeki dan limau, mereka juga mendapat angpau.

David dan Jane juga beruntung kerana sama-sama berasal dari Segamat, Johor.

Jadi selepas makan besar di rumah keluarga David di Kampung Pekan Jabi, Ahad lalu, mereka sekeluarga boleh berkumpul pula di rumah keluarga Jane di Kampung Abdullah.

Kata David, keluarganya tidak besar, cuma bapa, dua abang dan seorang adik yang semuanya menceburi dunia perniagaan.

Tentunya meriah apabila abang dan adiknya yang tinggal di Jakarta dan Surabaya, Indonesia pulang bersama keluarganya untuk meraikan Tahun Baru Cina sebagaimana kebiasaan.

Harian Metro

Aqasha Mengaku Solo

4 Dec

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


AQASHA sudah bersedia untuk berkahwin jika mempunyai jodoh.

MEMULAKAN perjalanan seninya pada usia muda, Aqasha yang kini berumur 27 tahun sering dikaitkan dengan wanita yang lebih matang berbanding dirinya.

Matang yang dimaksudkan mungkin bukan sahaja pemikiran tetapi juga dari segi usia.

Namun, selepas dia dilanda beberapa kontroversi berkaitan wanita dalam hidupnya, Aqasha kini kembali solo.

Sungguhpun masih bujang, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Bicara Cinta ini sering memikirkan mengenai perkahwinan.

Cuma buat masa ini Aqasha belum lagi mempunyai calon yang sesuai. Katanya dia mahukan wanita yang serasi dengannya. Wanita yang dimaksudkan sebaik-baiknya adalah yang mementingkan keluarga, bersikap rasional serta boleh bertolak ansur.

“Saya tidak mencari kerana sibuk dengan kerjaya saya. Jadi saya berharap ada orang yang datang mencari saya. Namun, ini bukan bermaksud saya terdesak. Saya masih muda lagi,” kata Aqasha pada majlis sidang media mempromosikan drama Mertua VS Menantu baru-baru ini.

Namun jika jodohnya sudah sampai, Aqasha tidak kisah untuk berkahwin tahun depan. Dia juga tidak meletakkan syarat sama ada untuk memilih wanita daripada golongan artis atau golongan orang biasa.

“Bagi saya, cinta itu adalah buta. Jadi saya tidak kisah wanita itu artis atau tidak. Cuma tanggapan orang sudah serik untuk berkahwin dengan artis adalah tidak betul. Pada saya, perasaan itu penting dan saya seorang yang pemilih.”

Tidak kisah jika bekas teman wanitanya inginkan dia kembali, Aqasha memberitahu apa yang paling penting adalah wanita itu mampu mencipta semula perasaan cinta. Dan dia tidak kisah dengan faktor usia.

“Sempadan usia bukan satu masalah. Jika itu adalah jodoh saya, saya akan terima. Memang sebelum ini saya sering dikaitkan dengan wanita yang lebih matang. Ketika itu saya masih muda. Jadi wanita yang lebih muda daripada saya semuanya tidak matang.

“Kini pada usia 27 tahun, wanita yang muda daripada saya juga sudah matang. Jadi, skop pemilihan teman wanita sudah lebih luas sekarang,” tambahnya.

Pilih drama berbanding filem

Memang diakui penglibatan dalam drama memerlukan lebih perhatian berbanding filem terutamanya drama bersiri yang panjang.

Penjagaan kesinambungan termasuk dari segi pakaian dan emosi adalah penting supaya tidak timbul perasaan janggal di kalangan penonton.

“Ada kalanya produksi penggambaran akan berehat seketika sebelum menghabiskan keseluruhan drama. Maka saya perlu mengingati watak dan perasaan peranan yang dipegang.

“Jika tidak, bimbang penonton nanti dapat melihat perbezaannya. Tetapi saya menghayati prosesnya,” jelas Aqasha.


AQASHA pertama kali digandingkan bersama Erra.

Memberitahu dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon filem buat masa ini, Aqasha menyifatkan drama memberikan dia kebebasan berbanding filem. Dan dia yang murah rezeki telah mengisi jadual lakonannya penuh sehingga Februari depan.

“Filem selalunya kena mengorbankan sesetengah genre mengikut permintaan penonton. Mereka hanya mahu menonton filem komedi dan romantik. Tetapi drama pula membolehkan saya memikul kepelbagaian watak,” luah Aqasha yang baru menghabiskan pengajiannya di Kolej Muzik Antarabangsa di Setapak pada Mei lalu.

Walaupun masih meminati muzik, Aqasha sudah lama jatuh cinta dengan lakonan. Beritahunya, lakonan membolehkan dia meneroka dan meningkatkan sisi kemanusiaan dalam dirinya.

“Semenjak terlibat dengan lakonan, saya sudah mula jatuh cinta dengannya. Memegang watak berlainan membolehkan saya mengenali manusia daripada pelbagai latar belakang berbeza.

“Berlakon mengajar saya sahsiah diri. Semakin lama saya berlakon, saya mengambil impak positif dan meninggalkan kelemahan untuk memperbaiki diri. Itu antara sebab mengapa saya suka berlakon,” bicaranya lagi.

Watak komedi pertama

Memegang watak Rosyam dalam Mertua VS Menantu, dia merupakan seorang anak yang sentiasa mendengar kata-kata ibunya, Datin Faridah (lakonan Rozie Othman).

Bapanya telah meninggal dunia 10 tahun lalu dan ini menyebabkan Rosyam rapat dengan ibunya. Tetapi ibunya bukan sahaja mahu Rosyam mendengar kata-katanya, malah telah mengawal kehidupannya.

Ibunya bukan sahaja mengawalnya dari segi makan dan minumnya tetapi juga dari segi memilih isteri untuknya.

Namun, pada usia 28 tahun, Rosyam sedar dia tidak mahu dikawal lagi. Jadi untuk bebas daripada kawalan itu, dia perlu berkahwin dengan wanita yang dibenci ibunya.

“Saya kemudian berjumpa dengan Nurul Ain (Erra Fazira) semasa kereta saya rosak. Ia adalah cinta pandang pertama. Ini kerana saya berpendapat Ain adalah wanita berbeza daripada golongan wanita yang pernah saya temui.

“Disebabkan terlalu terdesak dan perasaan cinta, kami terus berkahwin,” jelas Aqasha yang lakonannya pernah dikatakan seiras Awie.

Itu semua adalah permulaan cerita kerana konflik drama sebanyak 26 episod ini akan bermula selepas Rosyam dan Ain berkahwin.


MERTUA VS MENANTU mengupas kisah rumah tangga Rosyam dan Ain yang sentiasa dikawal oleh ibu Rosyam, Datin Faridah.

Masalahnya tidak berat cuma apa yang menambahkan huru-hara adalah ibunya yang mencari wanita lain, Liza (Raja Farah) untuk menggoda anaknya.

“Cerita mentua dan menantu sudah sering kali dimasukkan dalam drama. Namun, kami tidak mahu drama ini terlalu serius, maka disuntik elemen komedi.

“Watak Rosyam juga bersifat komedi seperti kartun. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada sesetengah masa kerana sudah biasa dikawal oleh ibunya,” tambah Aqasha mengenai drama yang turut dibintangi oleh Jehan Miskin itu.

Pertama kali digandingkan dengan Erra, Aqasha memberitahu dirinya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Erra walaupun Erra kini sedang sarat mengandung.

“Erra tidak mempunyai sebarang kerenah dan amat profesional. Dia pandai mengawal emosi dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” ulas Aqasha.

Saksikan Mertua VS Menantu pada setiap Rabu, 10 malam di saluran Astro Prima (Astro 105).

Kosmo

Sepatutnya Jadi Penyanyi

14 Nov

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


“FATEEN sememangnya gemar memakai gaun cantik dalam kehidupan sehariannya.”

NIAT di hati pendatang baru dalam bidang seni ini ingin menjadi seorang penyanyi, namun impian yang dicita berputar ligat menjadi sebaliknya.

Gara-gara menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan untuk melantun vokalnya kepada khalayak, Puteri Fateen Nasuha Shamsuddin atau Puteri Fateen akhirnya tekad mengambil keputusan bagi menjadi seorang pelakon.

Justeru kerana itu, dirinya berada di sini, dalam lapangan seni lakon bagi mengasah bakat lakonan yang dimiliki untuk dikongsi bersama peminat di kaca TV dan layar lebar.

“Sekarang saya merupakan pelakon sepenuh masa, namun tidak dinafikan minat nyanyian memang melebihi daripada segala-galanya.

“Sepatutnya saya pada awal-awal dulu menjadi seorang penyanyi, namun ada beberapa perkara terhalang, lantas membuatkan saya teruskan untuk bergelar pelakon.

“Sebelum ini saya pernah ditawarkan memasuki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kursus perfileman.

“Agak mendukacitakan apabila waktu itu saya baru sahaja menerima kontrak dan tugasan dengan sebuah produksi.

“Ditambah dengan beberapa komitmen lain yang tidak dapat dielakkan, maka saya menolak tawaran sambung belajar itu,” tutur Puteri Fateen enggan mengulas lanjut tentang masalah yang dialaminya hingga mematahkan seketika impian bergelar penyanyi.

Tuah manusia sukar terlihat pada dasarnya. Walaupun masih belum berjaya menjadi seorang penyanyi, namun remaja berusia 18 tahun ini kini semakin laris dalam pasaran lakonan.

Selepas menerima peranan utama dalam siri Raksasa sebelum ini, kini Puteri Fateen diamanahkan satu lagi watak penting dalam drama bersiri, Puteri Salju.

Bukan calang-calang karakter yang dipegang remaja comel ini, sebaliknya Puteri Fateen menerajui karakter Puteri Nor Puteh, yang persis watak utama dalam karya dongeng terkenal, Snow White.

Siapa sahaja yang tidak memikirkan ataupun mengingini watak kisah dongengan kanak-kanak terkenal itu, yang diibaratkan sebagai puteri jelita yang dicemburui ramai pihak.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang ini, ibu tercinta iaitu Martini Gimin, 50, beria-ria mahukan dia menjalani uji bakat yang untuk drama bersiri itu.

“Alhamdulillah, saya tersenarai menyertai produksi Orangetree Communications Sdn. Bhd. ini sekali gus berhasil pegang watak utama,” jawabnya ringkas yang masih malu-malu berbicara dengan orang sekeliling terutama pihak media.

Tidak lekang menguntum senyuman manis, Puteri Fateen menjelaskan relevan drama Puteri Salju ini yang berkaitan dengan empunya diri.

“Saya tahu tidak cukup tinggi untuk menerima watak Snow White, namun saya diberitahu bahawa produksi menyukai cara pemakaian saya.

“Tidak dinafikan, saya adalah individu yang gemar memakai gaun yang bersesuaian dalam kehidupan seharian.

“Bukan itu saja, saya gemarkan pakaian yang cantik-cantik sejak kecil lagi. Jadi saya rasa ciri-ciri Snow White melekat sedikit dalam diri saya,” jelasnya tertawa kecil.


“FATEEN dan Fizo, pasangan bercinta terbaru di layar perak.”

Mungkin nama Puteri Fateen masih belum dikenali di lantai lakonan tempatan, malah wajah manis anak gadis ini masih belum sebati dengan khalayak di kaca TV dan layar lebar.

Menganggukkan kepala tanda setuju, Puteri Fateen mengakui dia diumpama sebagai individu yang baru hendak bertapak di dalam lapangan seni.

“Karier lakonan saya bermula sebagai pelakon tambahan sejak berusia 13 tahun. Kini setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya nekad untuk meneruskan komitmen sebagai pelakon.

“Sebelum ini saya pernah berlakon filem I Know What You Did Last Raya serta beberapa buah drama seperti Seputih Qaseh Ramadan dan Dendam.

“Selepas habis belajar, saya memang enggan menoleh ke belakang, pantas menggiatkan diri dalam bidang ini yang sememangnya begitu saya minati.

“Saya tidak kisah andai diberi karakter tambahan, asalkan saya dapat memperbaiki mutu lakonan dan menambah pengalaman yang ada, saya akan terima dengan hati cukup gembira,” luah anak kedua daripada empat beradik ini.

Pada usia cukup mentah, ditambah rupa keanak-anakkan, barangkali menyukarkan Puteri Fateen untuk melunaskan babak bercinta.

Bukan sembarangan, adegan percintaan biasanya perlu melafaz bait-bait puitis dengan pasangan lelaki yang digandingkan.

Perkara itu bagaimanapun mengundang sedikit keresahan serta masalah kepada Puteri Fateen yang turut ‘disatukan’ dengan pelakon lelaki baru, Fizo Omar.

“Memang susah untuk bawa babak bercinta. Bukan sukar secara keseluruhan, sebaliknya ada beberapa waktunya saya sedikit janggal dan tidak terbiasa.

“Sebelum ini watak saya dalam Raksasa memang mencabar, namun untuk menyempurnakan adegan romantik dengan Fizo, adakala saya kelihatan malu dan nampak tidak semula jadi.

“Syukur sangat kerana dengan bantuan pelbagai pihak terutama rakan pelakon lain dan pengarah berjaya akhirnya membuang segala rasa yang ditakuti dalam diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengarah Puteri Salju, Hitler Zami mengakui drama ini memang dicedok sedikit daripada naskhah Inggeris terkenal, Show White yang pernah menemui audiens seluruh negara sebelum ini.

“Saya bukannya meniru bulat-bulat daripada karya asal Snow White, sebaliknya saya mengadunkan gaya penceritaan menerusi budaya ketimuran.

“Boleh dikatakan ada persamaan serba-sedikit, tetapi olahan cerita memang laksanakan dalam skop yang berbeza.

“Menariknya, saya menampilkan karakter tujuh orang wanita kerdil daripada Kelab Orang-Orang Kerdil Malaysia dengan memakai tudung. Itu pembaharuan paling jelas serta ketara.

“Selain itu, watak Snow White yang diubah menjadi Puteri Nor Puteh juga menampilkan kelainan agar penonton tidak terlalu dibayangi karakter Inggeris terkenal itu,” jelas Hitler.

Ditanya kesukaran ataupun cabaran yang dihadapi selama mengarahkan drama 20 siri ini dalam tempoh 42 hari penggambaran, beritahu Hitler, mengendalikan tujuh pelakon istimewa ini boleh adakalanya sukar, namun menyeronokkan.

“Biasalah mereka bukannya pelakon sebenar walaupun pernah membintangi filem Senario: Pemburu Emas Yamashita sebelum ini, tanpa ada dialog.

“Memang ada pelbagai ragam dan telatah. Ada ketika apabila saya kurang berpuas hati dengan dialog yang mereka ucapkan, mereka akan datang kepada saya sambil berjenaka.

“Daripada hendak menegur mutu lakonan mereka, terus saya bertukar okey setelah ditenangkan oleh ketujuh-tujuh mereka.

“Mereka juga datang dari negeri berlainan, maka dialek pun jadi campur-campur. Bagi mengelakkan sebarang masalah, saya berikan kebebasan mereka untuk lafazkan dialog dalam mengikut kemahuan mereka sendiri.

“Begitupun, pengalaman bekerjasama dengan tujuh wanita istimewa ini ditambah dengan komitmen yang diletakkan oleh barisan para pelakon lain, saya memang berpuas hati dengan Puteri Salju,” jawab Hitler tersenyum.

Penggambaran drama ini dibuat berlatar sekitar Kuala Lumpur dan Langat.

Snow White versi moden ini mengisahkan Puteri Nur Puteh seorang gadis yang jelita lahir di dalam keluarga kaya-raya.

Kejelitaannya bagaimanapun dicemburui ibu tirinya, Zarina. Angkara Zarina, Puteri diculik dan diracun, namun hayatnya masih panjang setelah diselamatkan tujuh wanita kerdil.

Selain Puteri Fateen, Fizo Omar dan penampilan istimewa tujuh wanita kerdil tersebut, Puteri Salju membariskan pelakon seperti Sabrina Ali, Sharifah Shahira, Heryanto Hassan, Abby Nadzri dan Jehan Miskin.

Bagi menyaksikan ceritera fantasi yang diadunkan melalui fizikal ketimuran, jangan lupa untuk menyaksikan drama bersiri, Puteri Salju yang telahpun ditayangkan di TV3 bermula 17 November lalu, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 4.30 petang.

Kosmo

Rahsia Kesihatan Selebriti

22 Oct

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my

Kesedaran tentang penjagaan kesihatan yang semakin tinggi di kalangan rakyat Malaysia, menyebabkan Kyanite yakin Vitagen & Marigold Health Buzz pasti akan mendapat sambutan audiens.


RUTIN kesihatan pasangan kembar pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha (kanan) dijangka dapat menarik golongan remaja.

KESIHATAN merupakan satu aset penting yang harus dijaga oleh setiap individu, baik muda mahupun yang telah berusia.

Kehidupan masa kini yang penuh dengan pancaroba dan tekanan harian yang harus dihadapi setiap hari menjadikan penjagaan kesihatan diri dari segi fizikal dan mental satu kemestian.

Menyedari bahawa terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan yang boleh diambil dalam menjamin kesejahteraan hidup, lahirlah rancangan Vitagen & Marigold Health Buzz, sebuah program televisyen 13 episod yang ditaja oleh produk terkemuka, Vitagen, Marigold HL Milk dan Peel Fresh Juices.

“Program yang menyeronokkan dan penuh informatif ini akan memperluaskan konsep dan kepercayaan umum terhadap kesihatan,” ujar pengacara rancangan, Jojo Stryus.

Rancangan selama setengah jam itu akan memperlihatkan Struys – personaliti televisyen, pelakon dan model terkenal – berganding tenaga mengacara bersama pelakon popular, Jehan Miskin.

Menurut Struys yang ditemui baru-baru ini, kesihatan merupakan satu topik yang menarik dan pelbagai.

Health Buzz meliputi pelbagai topik, daripada seni mempertahankan diri, yoga dan bola sepak sehingga ke sukan lasak seperti menunggang kuda, penerokaan gua dan sukan air sehinggalah berbentuk terapi dan riadah seperti rawatan spa, terapi haiwan dan tarian.

“Saya rasa adalah penting agar orang ramai memilih rutin atau kaedah penjagaan yang bersesuaian dengan diri mereka.

“Oleh demikian, program ini akan memaparkan pelbagai aktiviti yang pastinya berpadanan dengan setiap individu,” katanya dengan penuh bersemangat.

Tambah wanita yang mengakui mencintai dunia kecergasan dan kesihatan ini lagi, “Health Buzz kaya dengan pengisian tetapi disampaikan dalam kaedah yang mudah agar memberikan pengajaran kepada penonton.

“Kami juga berkongsi fakta menyeronokkan yang bermanfaat kepada kesihatan yang saya pasti tidak ramai orang tahu.”


RAWATAN Spa merupakan salah satu cara penjagaan kesihatan diri yang diamalkan oleh Vanidah Imran (kiri).

Terbitan Kyanite Sdn. Bhd. dengan kerjasama sebuah agensi pengiklanan terkenal dengan pengalaman 20 tahun, People ‘n Rich-H Sdn. Bhd., Health Buzz memperlihatkan kedua-dua hos berbicara dengan pakar-pakar dan menyingkap petua-petua dan gaya hidup yang diamalkan oleh golongan selebriti tempatan dan antarabangsa dalam mengekalkan kesihatan masing-masing.

“Health Buzz berkongsi dengan penonton bagaimana golongan pakar dan selebriti ini menjaga kesihatan diri, baik dari segi fizikal mahupun dalaman,” ujar Struys yang ditemui Kosmo! di Bangsar baru-baru ini.

Ini bukanlah penglibatan wanita itu dalam dunia penyiaran berkaitan topik kesihatan. Beliau merupakan produser, penulis skrip dan hos kepada rancangan kesejahteraan diri yang melibatkan kesihatan, kecantikan dan keadaan mental, Jojo’s Ticket to Wellbeing yang disiarkan pada tahun 2006 di saluran NTV7.

Dengan dedikasi dan pengetahuan yang dimiliki, Struys mengakui amat teruja dengan projek terbaru itu.

“Proses rakaman telah bermula sejak dua bulan lalu dan kami mengembara ke serata tempat termasuk Lembah Klang, Perak, Kedah dan juga Korea untuk memaparkan pelbagai segmen yang berkaitan.

“Kami tidak meletakkan sasaran penonton kerana bagi kami penjagaan kesihatan itu penting, baik kepada golongan muda mahupun tua.”

Menurut Struys, Health Buzz yang akan disiarkan sebanyak 13 episod akan menampilkan selebriti berbeza pada setiap episod.

Antara selebriti yang menjayakan program selama setengah jam itu ialah Ning Baizura, Ako Mustapha, Vanidah Imran, Linda Jasmine, Dynas, Zizan Nin, Nurul dan angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Selain itu, kehadiran pasangan kembar pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak dan Mohd. Zaquan Adha pasti memikat hari golongan remaja yang ingin mencontohi mereka.

“Para selebriti ini akan berkongsi rahsia kesihatan mereka. Sama ada spa dan rawatan yang menjadi kegemaran Vanidah, bagaimana penjagaan suara adalah aset penting bagi penyanyi seperti Ning dan pelakon teater lain.

“Di samping itu, kita turut dapat melihat bagaimana pilates membantu Dynas, sukan berkuda kepada Nurul dan peranan penting seni mempertahankan diri untuk Ako Mustapa.”

Sementara itu, bagi pelakon terkenal, Vanidah, yang turut hadir pada pertemuan media itu, beliau percaya rancangan Health Buzz mampu memperkayakan kehidupan kesihatan masyarakat umum.

“Kesihatan merupakan satu aspek kehidupan penting yang harus dijaga dengan baik. Terdapat pelbagai cara seseorang itu berupaya meningkatkan kesejahteraan hidupnya.”


LINDA JASMINE akan menunjukkan bahawa seni tari satu bentuk penjagaan diri yang efektif.

Vanidah yang berpendapat bahawa rancangan Health Buzz harus ditonton masyarakat kerana konteks pengisian yang pelbagai dan mampu menarik perhatian ramai, menegaskan bahawa kesihatan dan kecergasan bukan hanya bergantung kepada senaman di gimnasium, tetapi melalui pelbagai kaedah lain.

“Bagi saya, rawatan spa dan urutan badan bukan sahaja cara saya menghilangkan ketegangan hidup harian tetapi satu bentuk terapi yang menyegarkan badan dan minda saya,” katanya.

Cuba mengunjungi spa apabila terdapat waktu terluang, Vanidah berkata ada kalanya beliau akan menjalani rawatan refleksologi atau memanggil tukang urut ke rumah untuk berurut.

“Apabila anda bekerja keras sama ada sebagai pelakon atau ibu kepada dua orang anak, aktiviti seperti ini adalah penting kerana ia memberikan masa untuk saya membelai diri.

“Lagipun rawatan berbeza memberikan keberkesanan yang berbeza pada badan,” kata wanita yang amat menggemari urutan tradisional ini.

Rancangan Health Buzz akan disiarkan pada setiap hari Ahad, 5 petang di TV3 bermula 2 November ini.

Kosmo