Archive | Joe Flizzow RSS feed for this section

Tiada Pilih Kasih

27 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16

TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.

Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.

“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.

“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.

Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.

“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.

“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.

“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.

Ketengahkan single terbaik bukan popular

Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.

“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.

“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.

“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.

Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.

Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.

Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.

“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.

Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.

Berita Harian

Advertisements

Penyertaan Album AIM16 Makin Merosot

30 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hemtro.com.my

Rap
JUMLAH album yang dipertandingkan untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) semakin merosot apabila tahun ini hanya 50 penyertaan diterima.

Walaupun sebelum itu penyertaan dikatakan menggalakkan namun perkara itu hanya berlaku selepas beberapa kategori baru diwujudkan. AIM 16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.

Penganjur pertandingan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) menerima hampir 700 penyertaan membabitkan kategori baru iaitu Lagu Terbaik dalam setiap genre.

Perkembangan itu benar-benar membimbangkan beberapa pertubuhan yang menjaga kepentingan industri muzik tempatan antaranya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) mahupun Akademi sendiri.

Sewaktu sidang akhbar mengumumkan calon lima terbaik AIM16, berlangsung di Concord Hotel baru-baru ini, Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar menjelaskan, walaupun banyak penyertaan diterima tetapi mutu kebanyakan lagu dihantar berada di tahap rendah. Tambahan pula piawaian ditetapkan Akademi sudah semakin meningkat kerana ia sudah 15 kali diadakan.

“Perkembangan ini amat menakutkan, dan beberapa pertubuhan dan persatuan bimbang sekiranya perkara ini berlanjutan kita sudah tidak akan ada lagi industri dalam bidang muzik.

“Waktu sama kami faham sebagai penggiat kebanyakan syarikat rakaman, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik mahupun penyanyi sendiri tidak berani hendak melabur dalam jumlah besar apabila menghasilkan album.

“Sekarang ini proses untuk menghasilkan sebuah album termasuk promosi dan pemasaran memerlukan modal mencecah RM150,000, tetapi pulangan yang diterima hanyalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000.

“Penggiat bertuah kerana sekarang mereka masih boleh bergantung kepada pasaran dalam bentuk digital iaitu muat turun muzik ke telefon bimbit memandangkan jualan dalam bentuk fizikal iaitu cakera padat dan album sangat perlahan dan tidak membantu.

“Bagi memastikan kerugian ditanggung tidak besar, kebanyakan penggiat menggunakan kos sangat rendah untuk menghasilkan lagu dan ia secara tidak langsung mempengaruhi mutu album dihasilkan. Sekiranya perkara ini berterusan akhirnya industri muzik tempatan akan mati,” katanya.

 

 

Bagi menangani perkara itu, Aziz secara peribadi berasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu industri dengan menyediakan dana khas bagi membantu para penggiat dalam berkarya.

“Seperti juga dalam bidang lain iaitu perdagangan, keusahawanan dan pertanian industri muzik juga perlu modal rangsangan untuk menggerakkannya, oleh itu saya amat mengharapkan apa yang saya ketengahkan ini akan mendapat perhatian.

“Permohonan membabitkan dana ini akan dilaksanakan bersama semua persatuan yang bernaung dibawah industri muzik. Mekanisma belum ditetapkan tetapi andai ia diberikan, dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Muzik Malaysia (MMM) sebagai badan induk.

“Dana ini boleh digunakan para penggiat yang mahu menghasilkan album dan kita mungkin tidak memberikan sepenuhnya sebaliknya ia bergantung kepada keperluan penggiat itu sendiri.

“Modal untuk menghasilkan album mungkin harus dikeluarkan sendiri oleh penyanyi ataupun penerbit dan dana pula digunakan untuk memasarkan atau mempromosikan karya dihasilkan,” katanya.

Di majlis pengumuman calon lima terbaik AIM16, kumpulan Estranged yang sebelum ini mengungguli Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi single mereka Itu Kamu mendominasi pencalonan dalam lapan kategori.

Kumpulan ini menerima pencalonan daripada album Inggeris dihasilkan Remain Unknown. Membanggakan apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album itu turut dicalonkan dalam Lagu Rock Terbaik.

Datuk Siti Nurhaliza pula yang mempertandingkan album berkonsepkan etnik kreatif dan tradisional Lentera Timur menerima tujuh pencalonan, dan lagu pop dendangannya menjadi runut bunyi drama Spa-Q 2 Pada Cintanya turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik terbaik.

Timbul kekeliruan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik apabila lagu dendangan kumpulan Pop Shuvit, Marabahaya dipertandingkan sekali lagi atas alasan dialih bahasa. Begitu juga dengan Vokal Terbaik Lelaki/Wanita apabila ada yang dicalonkan lebih daripada satu lagu.

Menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson berkata Marabahaya selain dialih bahasa, rakamannya juga baru terutama membabitkan susunan muziknya.

“Perkara ini sudah saya jelaskan kepada juri sewaktu penilaian dilakukan. Keputusan sama ada ia layak atau tidak mereka sendiri yang harus memutuskannya.

“Walaupun ada yang menolak Marabahaya dipertandingkan tetapi waktu sama masih ada juri memberikan markah kepada lagu itu. Secara tidak langsung apabila diaudit ia memiliki markah tinggi dan dicalonkan.

“Mengenai ada artis mendominasi kategori vokal apabila ia mempertandingkan single, kami akui perkara ini. Ini kali pertama ia dilakukan dan perlaksanaannya sudah tentu akan ada kelemahan. Kami akan memperbaikinya pada tahun akan datang.

“Pihak Akademi sendiri sudah nampak perkara seperti ini akan berlaku apabila single dipertandingkan dalam vokal. Kami sudah nyatakan kepada wakil syarikat rakaman sendiri agar menghantar satu lagu untuk kategori itu tetapi ada antaranya berkeras mahu menghantar sepuluh lagu terdapat dalam album dihasilkan artis mereka,” katanya.

Berikut adalah senarai penuh pencalonan AIM16.

Artis Baru Terbaik
1) Hujan
2) Joe Flizzow
3) Malique
4) Meet Uncle Hussain
5) Suki

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki)
1) Aizat – Lagu Kita
2) Bob AF2 – Cinta Terhalang
3) Reshmonu – Doa Untuk Dia
4) Reshmonu – Sayu
5) Ritan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Perempuan)
1) Ayu – Hanya Di Mercu2) Dina – Sejauh Ini
3) Shila – Memori Tercipta
4) Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5) Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album
1) AJAI dan Marsha – Sayang
2) ALL One – Bilal bin Rabah
3) Pop Shuvit – Marabahaya
4) Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5) Raihan – Assubhu Bada

Kulit Album Terbaik
1) Hawa – Nikki
2) President – Joe Flizzow
3) Transit – Altered Frequency
4) Satu – Ferhad
5) Remain Unknown – Estranged

Rakaman Album Terbaik
1) Remain Unknown – Estranged
2) Finally/Akhirnya – Suki
3) Satu – Ferhad
4) Adam 3 – Adam
5) Harapan – Reshmonu

VIDEO MUZIK TERBAIK
1) Hanya Di Mercu – Ayu
2) Sampai Syurga – Faizal Tahir
3) Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5) Oh Anok Anok – Reshmonu

Album Pop Etnik Terbaik
1) Khazanah Pujangga – Syura
2) Lentera Timur – Siti Nurhaliza
3) Selagi Ada Rindu – Shafie Ahmad
4) Zapin Suri – Haziq

Lagu Pop Etnik Terbaik
1) Di Kayangan Kita – Siti Nurhaliza
2) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
3) Dirgahayu – Ramlah Ram
4) Nafas Cahaya – Misha Omar
5) Zapin Suri – Haziq

Album Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Istimewa Tiada Dua – Nice
3) Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani
4) Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5) Setia – Wildan

Lagu Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Bila Nur Melimpah Di Hati – Rabbani
3) Kemuliaan Al-Quran – In Team
4) Serulah Namanya – Mawi
5) Teman Hakiki – Mawi

Album Rock Terbaik
1) Bongkar – Kristal
2) Hujan – Hujan
3) Keamanan – Nrocinu
4) Kembali – Butterfingers
5) Modern Minimals Glamour – The Times

Lagu Rock Terbaik
1) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
2) Aurora – Estranged
3) Bila Aku Sudah Tiada – Hujan
4) Dugaannya – Hujan
5) Yang Pernah – Estranged

Album Pop Terbaik
1) Alyah – Alyah
2) Arus Qudus – Yassin
3) Harapan – Reshmonu
4) Misha Omar – Misha Omar
5) Percubaan Pertama – Aizat

Lagu Pop Terbaik
1) Cinta Adam dan Hawa – Misha Omar
2) Dingin – Ziana Zain
3) Ketentuan – Ramlah Ram
4) Lagu Kita – Aizat
5) Sampai Di Sini – Misha Omar

Lagu Hip Hop Terbaik
1) Bergerak – Joe Flizzow
2) Isabella – Joe Flizzow
3) Mengapa Harus Bercinta – Jow Flizzow
4) Mentera Beradu – Malique feat. M.Nasir
5) Ok – Malique feat. Cat Farish

Album Inggeris Terbaik
1) Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2) President – Joe Flizzow
3) Remain Unknown – Estranged
4) Take Five With Juwita Suwito at Avanti – Juwita Suwito
5) Tapestry Of Life – Shal Sagan

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
1) All Around My World – Joe Flizzow
2) Dances Of The Spirit – Estranged
3) In No Time – Estranged
4) KL Streets – Malique Feat. Lah
5) Marabahaya – Pop Shuvit

SUSUNAN MUZIK DALAM LAGU
1) Pada Cintanya – Siti Nurhaliza
2) Tiada Maaf – Daniel Lee
3) Aurora – Estranged
4) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
5) Bukan Mimpi – Farhan.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Melissa Maureen Hamil

22 Feb

HAI, sekarang memang musim artis kita mengandung. Macam musim durian gamaknya. Selain Erra Fazira, Aleya, Rosma dan Dynaz, Diva dapat tahu, satu lagi pasangan selebriti yang sedang menanti kelahiran cahaya mata ialah Malique dan Melissa Maureen.

Selepas bernikah di Bali, Indonesia pada 8 Ogos tahun lalu, Melissa kini dikatakan sedang mengandungkan bayi sulung mereka.

Khabar gembira itu disampaikan sendiri oleh teman baik Malique, Joe Flizzow baru-baru ini.

Barangkali Joe tidak bermaksud untuk membocorkan berita gembira itu kepada media, tetapi Joe mungkin berfikir bahawa rakan media sudah mengetahui tentang berita tersebut.

Bagaimanapun, Joe tidak memberitahu tentang usia kandungan bayi pelakon cantik Melissa. Sebaliknya dia hanya menyatakan yang Malique dan Melissa kini menanti detik bahagia menjadi ibu bapa.

Diva: Nak ucap tahniah kepada Malique dan Melissa. Semoga bayi sulung mereka selamat dilahirkan.

Kosmo

Penantian 3 Tahun Berbaloi

9 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


AMYLEA akhirnya muncul bersama album studio pertama berjudul Selepas 3.

Album sulung Amylea, Selepas 3 kini berada di pasaran

KETIKA ini, tentunya hati Amylea Azizan berdebar-debar apabila dia diumumkan seorang daripada peserta Top 20 pertandingan nyanyian paling mahal di Malaysia, One In A Million (OIAM) musim ketiga. Selepas Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, inilah rancangan realiti kedua buat penyanyi genit terbabit.

Apakah tuah angka tiga sekali lagi menyebelahi gadis berbakat ini? Jika di AF dulu, dia berjaya melangkah hingga ke final, adakah angka tiga pada OIAM membolehkannya sekali lagi beraksi pada peringkat akhir pertandingan berkenaan? Tentunya masih terlalu awal untuk peminat membuat ramalan, apatah lagi musim terbaru rancangan itu sendiri baru saja disiarkan 8TV.

Masih jauh perjalanannya dalam rancangan realiti yang pernah menobatkan nama Suki dan Ayu Damit sebagai juara itu. Namun, jika rezeki menyebelahi, tidak mustahil penyanyi berusia 22 tahun ini mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan yang penuh berprestij itu.

Ketika debaran Amylea pada pertandingan itu makin memuncak, keresahan menunggu album sulungnya muncul di pasaran nampaknya sudah terurai. Album perdana yang diberi judul Selepas 3 akhirnya berada di rak kedai muzik setelah sekian lama proses pembikinannya dilakukan.

“Selama tiga tahun saya berusaha menghasilkan album ini. Ia satu tempoh yang agak panjang. Pada ketika rakan lain sudah pun muncul dengan album pengenalan mereka, saya pula bagai teraba-raba. Syukurlah, sekarang semuanya sudah berlalu dan satu kelegaan yang amat sangat kini cukup dirasa. Segala penat lelah yang dicurah bagai berbaloi apabila peminat dapat juga menikmati kesemua lagu yang dimuatkan di dalamnya,” katanya.

Kini, dia sabar pula menunggu reaksi peminat terhadap hasilnya. Jika dilihat kepada barisan pencipta lagunya, tidak ada sebab untuk Selepas 3 gagal menambat hati peminat. Daripada komposer yang pernah mencipta nama pada pertandingan seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Hazami dan Afdlin Shauki, sehingga pencipta berbakat yang semakin disegani termasuk Pacai, Joe Flizzow dan dirinya sendiri, album berkenaan bagai menjanjikan kepuasan tersendiri untuk pembeli.

“Kesabaran saya selama menunggu album ini dipasarkan rasanya berbayar. Saya berpuas hati dengan hasilnya, walaupun mungkin banyak lagi yang boleh dipertingkatkan pada album akan datang.

“Menghasilkan album ini sendiri satu pengalaman amat berguna lagi berharga. Selama proses itu berjalan, saya banyak mempelajari cara sesebuah lagu dan muziknya disusun, dirakam dan seterusnya diadunkan. Daripada lagu pertama yang dirakam, Andai, ciptaan Hazami kira-kira tiga tahun lalu, saya mengutip segala pengalaman untuk membentuk diri sendiri sebagai produser berjaya satu hari nanti,” ujarnya.

Jika sebelum ini kerap kali Amylea melahirkan kegusaran serta kekecewaannya akibat cukup lama menunggu buah yang bagai tidak gugur ke bumi, sekarang semua itu tinggal memori.

Tidak berdiam diri ketika menunggu album sulung menjadi realiti, Amylea mengasah bakat sebagai pencipta menerusi beberapa lagu untuk drama bersiri. Pada mulanya dia menghasilkan lagu rancak Aku Sindarela untuk siri popular Sindarela lakonan Bront Palarae dan Sharifah Amani, siaran TV3.

Baru-baru ini, dia mencipta pula irama indah berjudul Akan Tiba, nyanyian Alif Satar, yang juga seorang lagi produk muda berbakat rancangan OIAM. Selain Alif, turut menyanyikan lagu tema siri Rona Roni Makaroni siaran Astro itu ialah Amylea sendiri bagi versi akustik dan Flava untuk versi R&B. Single Akan Tiba dikeluarkan Amylea bersama Isma Yusoof dan Ash Bau.

Mengaku amat menyintai dunia ciptaan lagu, begitupun Amylea berasakan masih terlalu awal untuknya mencanang nama sebagai komposer. Justeru, dia banyak menyimpan karyanya ‘di rumah’.

“Cuma sejak akhir-akhir ini, dengan sokongan kawan baik seperti Isma dan Audi, saya mula rasa bagai ada keyakinan untuk lebih serius dalam bidang penciptaan ini,” katanya yang dikatakan turut menghasilkan sebuah lagi lagu untuk drama siaran TV3.

Nampaknya, bakat milik Amylea tidak rela dilepaskan begitu saja oleh penerbit drama. Apatah lagi apabila lagu ciptaannya bagai senang sekali melekat di hati peminat. Lihat saja bagaimana orang ramai mudah menerima Aku Sindarela dan Akan Tiba.

“Apabila saya diminta menghasilkan sesebuah lagu untuk drama bersiri, saya pastikan diberitahu terlebih dulu jalan ceritanya. Ia membantu saya mencipta lagu yang sesuai untuk drama berkenaan. Cara itu nyata lebih memberikan kesan, daripada saya menciptanya tanpa ada sebarang rujukan,” ujar Amylea.

INFO: Amylea

AMYLEA ialah bintang realiti TV Astro Ria, Akademi Fantasia 3 pada 2005. Dia dilahirkan pada 26 November 1986 di Hospital Besar Alor Star. Dia mula menjejakkan kaki di alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani (1) manakala sekolah terakhir, Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi.

PENYANYI ini menetap di Langkawi pada 1990 ketika berusia 4 tahun dan berulang-alik sehinggalah keluarga menetap terus pada 2001. Ketika berada di tingkatan 5, Amylea bekerja sebagai deejay sambilan di Radio Langkawi selama setahun.

AMYLEA mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 dalam aliran sains matematik, tapi kurang berminat. Kecenderungannya lebih kepada dunia muzik.

APABILA ibunya sakit, Amylea menggantikan tempat ibunya di Sheraton Perdana sebagai penyanyi. Di situ, dia menyanyi enam hari seminggu selama setahun.

ANTARA pencapaiannya ialah muncul dengan album Selepas Tiga (Januari 2009), menghasilkan single Akan Tiba Rona Roni Makaroni, single Aku Sindarela, single Andai Kerna Pasti, Top 5 ABPBH 2006 kategori Artis Baru Wanita Popular, duta Maggi Slurrpp, terbabit dalam penghasilan album Evo 05 dan Salam Raya AF3.

PALING baru, dia berjaya melangkah ke Top 20 OIAM siaran 8TV. Amylea juga aktif menjayakan pelbagai program anjuran Biro Karyawan Muda.

SELAIN Aku Sindarela (menampilkan Andika), album Selepas 3 juga membariskan lagu Andai, Luar Biasa, Bukan Cinta (menampilkan Azan Ad-Din), When We Dance (menampilkan Sona), Ku Temui, Dari Mula, Menari, Aku Sindarela (menampilkan Sharifah Amani).

Berita Harian

Yasin Bebas Krisis Identiti

12 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK siapa pun tahu, penyanyi dan komposer terkenal Yasin Sulaiman pernah bergelut dengan krisis identiti selama lima tahun, satu ketika dulu. Kata Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yassin Sulaiman, 33, otaknya bukan saja berkecamuk dulu, malah dia bagaikan hilang arah dalam hidupnya.

“Ia berlaku ketika saya baru keluar dari kumpulan nasyid Brothers sebelum menyertai aliran muzik arus perdana sejak 2001 hingga 2005 iaitu sejak album Mimpi Laila lagi.

“Dalam istilah perubatan, penyakit yang saya alami itu dikenali sebagai ‘early adopthood’ apabila 80 peratus penduduk dunia mengalaminya. Ramai juga artis tempatan yang mengalami krisis ini tapi mereka malu mengakuinya.

“Selain krisis identiti dan keliru, saya juga mengalami serangan panik, resah dan kemurungan. Sebenarnya, penyakit ini wujud sejak zaman Nabi Adam lagi cuma masyarakat kita baru sedar kewujudannya,” katanya.

Yasin berkata, peritnya ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.

“Saya berusaha menyembunyikan penderitaan saya itu daripada pengetahuan orang lain.

“Saya berusaha mendekatkan diri dengan Tuhan. Malah, saya juga meraung di hadapan Kaabah untuk meminta pertolongan daripada-Nya ketika menunaikan fardu haji di Tanah Suci Makkah pada 2005,” katanya.

Yasin berkata, dia berusaha mengatasi ‘penyakit’ itu dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Saya cuma memahami apakah sebenarnya ‘penyakit’ yang dialami itu kerana jika kita memendamnya ia boleh makan diri.

“Saya juga berjumpa pakar psikologi untuk membantu saya berhadapan dengan semua ini. Saya juga berkongsi cerita ini kerana ingin orang melihat penyakit itu normal dan ramai orang mengalaminya.

“Saya juga mendapat banyak inspirasi selepas membaca buku yang dicadangkan Oprah Winfrey, The Power Of Now. Kita perlu disiplinkan otak untuk mengelakkannya dari pada merapu kerana otak adalah instrumen yang sangat berkuasa,” katanya.

Sepanjang berhadapan saat getir itu, Yasin berkata, isteri tercinta, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain (Eena) dan anak mereka,Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan, banyak memberi kekuatan kepadanya.

“Saya juga tetap mencipta lagu seperti biasa kerana saya cari makan dalam bidang muzik. Apatah lagi, mencipta lagu adalah saat paling tenang buat saya.

“Selain itu, mempunyai anak boleh mengelakkan fokus kepada diri sendiri dan bersama keluarga adalah terapi terbaik.

Kini, saya sudah tiga tahun pulih daripada ‘penyakit’ itu. Saya juga sentiasa mengingatkan diri supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita. Berbanding dulu, kami kini mempunyai studio rakaman sendiri dan hidup juga semakin selesa.

Pada masa sama, kami mempunyai simpanan yang cukup menampung kehidupan untuk tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Dalam pertemuan Rap dengan Yasin ketika menjayakan sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini, komposer yang sinonim dengan irama world music ini ditemani isteri dan anak keduanya, Malaika. Dia juga hadir bersama bingkisan album barunya berjudul Arus Qudus yang menjengah pasaran penghujung Disember lalu.

Lebih bermakna, album yang bermaksud meniti jalan Tuhan itu menceritakan detik bagaimana Yasin bangkit daripada krisis itu dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Proses pembikinan album ini membabitkan tempoh setahun dan dimulakan sejak 1 Januari 2007.

“Saya buat album ini ikhlas dan ia adalah Yasin yang mengalami evolusi dalam hidup ini.

“Saya juga mengambil masa enam tahun untuk buat album baru kerana keadaan saya ketika itu yang tidak mengizinkan. Saya bukan saja tiada perasaan malah tiada idea dan tiada semangat untuk buat album baru ketika itu,” katanya. Yasin berkata, penerbitan album itu amat memuaskan kerana kebanyakan lagu terkandung di dalamnya adalah hasil ilhamnya sendiri mengikut cita rasa dan inspirasi peribadinya.

“Arus Qudus adalah untuk kepuasan dan santapan jiwa. Saya tampil dengan album seperti ini yang pada pandangan saya artis memainkan peranan yang lebih besar iaitu dari segi perjuangan budaya.

“Saya juga akan buat satu lagi album penuh untuk pasaran komersial nanti.

“Peminat boleh mendengar lagu daripada album Arus Qudus dengan melayari laman web http://www.imeem.com/yasinsulaiman.

Mereka boleh melayari laman ini untuk mendengar dan menyaksikan klip video serta cara membeli album ini.

Saya harap orang akan dengar lagu ini untuk makanan dan inspirasi jiwa serta menemui makna yang tersirat,” katanya.

Yasin berkata, Arus Qudus adalah album solo ke tiganya dan tampil dengan konsep world global music yang meliputi beberapa genre muzik lain seperti rock, balada, urban dan etnik.

“Tema utama yang diserap melalui lagu baru ini adalah berunsur inspirasi melalui lirik yang kebanyakannya nukilan sendiri

Single Arus Qudus dan Bismillah mengetengahkan gitaris Man Kidal yang dibawa dalam genre rock.

“Single Kuala Lumpur pula membawa genre muzik urban yang diterbitkan bersama produser dari Dubai. Lagu ini diselitkan hawa Nusantara dengan tiupan seruling Mohar (Mohram).

“Saya juga mengetengahkan lagu balada seperti Kau Yang Mengetahui (penampilan Man Kidal), Hampir Padamu (penampilan Arnieza Amir) dan Hidup Memang Payah. Penampilan penyanyi Arnieza dalam album ini kerana menggantikan Awie yang menghidap sakik tekak selama setahun,” katanya.

Lagu lain dalam album ini adalah Nari Narien (penampilan Arnieza), Kuala Lumpur (penampilan Mohram dan Sal), Mimpi Kedamaian (Yasin bergabung dengan Sal) dan Salam (penampilan Joe Flizzow dan Sal).

Album ini menampilkan pemuzik ternama tanah air seperti Zahid Ahmad (dram), Ramli Rebana (perkusi), Nan (gitar), Kelly (bass), Rudi (keyboards) Rosdi (perkusi), Charmaine (violin), Salleh (Brothers), Arnieza, Aliah (Phlowtron), Sham (penyanyi dari Dubai), Akbar dan Joe Flizzow.

>Profil

NAMA PENUH : Muhammad Yasin Sulaiman

ASAL: Kajang, Selangor

TARIKH LAHIR: 30 Oktober 1975

KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan komposer

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain

ANAK: Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan

ALBUM: Teman Sejati, Satu Perjuangan (Brothers), Mimpi Laila, Salsabila dan Arus Qudus.

FILEM: Syukur 21, No Problem, Mendam Berahi

Harian Metro

15,000 Banjiri Surf Beach

28 Feb

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SETIAP sudut Taman Tema Sunway Lagoon terasa begitu sesak dengan cuaca panas terik. Rata-rata pengunjung yang hadir, lelaki dengan hanya bermuda, wanita dengan bikini, seakan tidak sabar menantikan peluncur air bertaraf dunia beraksi dalam Quiksilver Revolution 2.0.

Petang itu, ombak buatan setinggi 8 kaki memberi cabaran kepada jaguh luncur seperti Ry Craike, profesional yang berada di senarai teratas, Troy Brooks dan Josh Kerr, peserta termuda dari Puerto Rico, Dylan Graves serta Wayan ‘Betet’ Merta, anak kelahiran Bali.

Lebih 15,000 pengunjung membanjiri Surf Beach Sunway Lagoon, pantai buatan manusia terbesar di dunia. Angka ini tidak termasuk lebih 50,000 pelawat yang menyaksikan siaran langsung menerusi laman web, http://www.quiksilver.com.

Tidak cukup bersesak di kawasan pantai buatan manusia terbesar itu, pengunjung membanjiri jambatan gantung sepanjang 428 meter yang merentasi kawasan lagun untuk menyaksikan aksi luncur penuh akrobatik dari jarak dekat.

Juara dunia Aerial dua kali, Josh Kerr (Australia), peluncur profesional yang menempa nama di peringkat antarabangsa tampil membuat kejutan dengan aksi menakjubkan pengunjung yang hadir seawal jam 1 tengah hari.

Kemahiran teknikal Kerr dalam menyempurnakan aksinya seakan kurang mendapat penghargaan, namun tidak pernah gagal menghiburkan penonton.

Seketika kemudian, semua mata terpaku dengan kehebatan bekas juara dunia Aerial, Ry Craike (Australia) dengan aksi luncur yang bagaikan melayang ke udara.

Tory Brook (Victoria) adalah peluncur tunggal yang menampilkan gaya Superman, aksi pelumba motocross yang melepaskan pemegang sambil menyandarkan badan sepenuhnya di atas tempat duduk – tetapi di atas papan luncur.

Wakil Indonesia Wayan ‘Betet” Merta (Bali) dan Dylan Graves (Puerto Rico) tidak mahu kalah apabila kelihatan seakan terbang dalam gelombang ombak buatan dibantu dengan kelajuan jet ski.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai program interaktif, termasuk mengikuti klinik meluncur atau menyertai undian memilih peluncur air terbaik berdasarkan aksi masing-masing.

Peminat papan luncur juga berpeluang mengikuti bengkel percuma, selain melihat aksi jaguh nombor 13 dunia Sascha Mueller bakal beraksi selain finalis Jaguh Dunia dan X-Games, Renton Millar.

Istimewanya, acara yang bermula jam 1.30 petang hingga 10 malam itu turut menyenaraikan persembahan hiburan membariskan Pop Shuvit, Joe Flizzow dan Futon yang popular di Thailand.

Pengurus Pemasaran Quiksilver Asia Tenggara, Brad Cunningham, berkata Surf Beach Sunway Lagoon dipilih sebagai destinasi luncur terbaik di tengah ibu kota kerana menawarkan cabaran hebat dengan ombak setinggi 8 kaki.

“Walaupun ia hanya pantai buatan manusia, ombak yang menggerunkan itu pasti membuatkan setiap peluncur teruja menonjolkan kebolehan masing-masing, malah kehadiran ribuan penyokong membuatkan Sunway Lagoon begitu unik.

“Daripada kehadiran pengunjung pada Quiksilver Revolution 2.0 tahun lalu, kami yakin sukan luncur air semakin mendapat tempat di negara ini,” katanya.

Powered by Harian Metro

Kumpulan Too Phat Kembali

16 Oct

Apa yang pasti sebarang khabar angin yang mengatakan kumpulan tersebut berpecah tidak benar.

Kini Malique dan Joe Flizzow tampil dengan album terbaru selepas 360 Degree iaitu Rebirth Into Reality.

Semua persoalan tentang di mana dan kenapa Too Phat menghilangkan diri pada 2004 itu rupa-rupanya terjawab dalam album keempat itu.

Dalam diam-diam kedua-dua anak muda tersebut mencurahkan masa dan tenaga menggarap album itu.

Sememangnya mereka bekerja keras dan bak kata pepatah, diam-diam mereka adalah berisi. Rebirth Into Reality adalah album kembar yang mengandungi 30 buah lagu.

Ia memuatkan kolaborasi Too Phat bersama artis Asia seperti Inul Darastista (Indonesia), Machi (Taiwan), Joey Boy (Thailand), Kyla (Filipina) dan Parking Lot Pimp (Singapura).

Artis tempatan juga tidak ketinggalan turut serta dalam album tersebut seperti Akbar, Phlowtron, KLG Sqwad dan Wordsmith.

Tentu saja gabungan yang disebut-sebut ramai adalah bersama penyanyi nombor satu Malaysia iaitu Siti Nurhaliza untuk lagu Dua Dunia dan Million Miles dalam versi Inggeris.

Single pertama Too Phat iaitu SNAP adalah lagu yang menggambarkan kehidupan kedua-dua anak muda itu. Antara lagu lain yang dimuatkan dalam album itu adalah On and On, Love That’s True, Most Beautiful Girl dan How Me Seksi.

Lagu yang dimuatkan dalam cakera padat Reality adalah Showtime, KL, Perhitung, Engine #9 dan The Choice Is Yours.

Sememangnya kelahiran album tersebut dapat mengubat kerinduan hati peminat kumpulan yang berbakat itu.

Majlis pelancaran album tersebut diadakan bersama pelancaran koleksi musim luruh 2005 jam tangan Marc Ecko di sebuah pusat hiburan ibu kota baru-baru ini.

Hitam dan putih menjadi tema majlis yang bersesuaian dengan tema Too Phat dan album terbaru mereka itu. Lebih 250 jemputan yang terdiri daripada celebrity, pelanggan dan media memeriahkan majlis ala hip-hop tersebut.

Celebrity yang hadir adalah Jojo Struys, Rashid Salleh, Ferhad, Serena C, Tengku Ean, Kartini, Celine, Ezlynn dan Sazzy.

Antara acara yang menarik dalam majlis itu adalah penampilan Too Phat memperkenalkan koleksi terbaru jam tangan itu dan persembahan secara langsung.

Jemputan juga buat pertama kali berpeluang menonton video muzik terbaru Too Phat iaitu SNAP.

Turut membuat persembahan menghiburkan jemputan adalah kumpulan Phlowtron dan KLG Sqwad. Jenama Marc Ecko pula memperkenalkan koleksi baru jam tangan bagi wanita dan lelaki yang menawan iaitu The General, The Missy dan The Keyhole.

Ia adalah satu malam penuh kenangan untuk Too Phat dan Marc Ecko yang melangkah kembali ke dunia hip-hop.

Powered by Utusan Malaysia