Archive | Noorkumalasari RSS feed for this section

Ketabahan Pesakit Barah Otak

26 May

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KETABAHAN pesakit kanser otak, Muha Aziz yang bertarung dengan penyakit berbahaya itu sejak empat tahun lalu antara paparan menarik dalam musim kedua, Ar-Rayyan yang menemui penonton Astro Oasis, jam 9 malam ini.

Lebih menyentuh hati, Muha, 28, yang tidak dapat melihat dan berkerusi roda nampak tenang ketika ditemubual hos program ini, Datuk Dr Fatma El-Zahraa.

Selain Muha (episod kedua), program sebanyak 13 episod ini turut mengundang beberapa selebriti tanah air seperti penyanyi Aishah yang ibu tunggal, pasangan bahagia yang mempunyai dua anak, Vanidah Imran dan suami pelakon dan pengarah Rashidi Ishak serta penerbit drama dan pelakon popular, Rosyam Nor.

Tidak ketinggalan, Ar-Rayyan juga mengundang beberapa ikon dalam masyarakat seperti Presiden Pengasih, Yunus Pathi yang mengupas topik akal dengan begitu menarik sekali.

Penerbit program ini, Nor Norzulydia Azizan berkata, tetamu jemputan yang ditampilkan pada setiap episod turut sama berdiskusi secara terbuka bersama Dr Fatma.

“Pengisian program musim kedua ini lebih padat dan menarik kerana tetamu undangan juga berkongsi pengalaman dengan penonton dari sudut agama.

“Ia juga mengupas isu lebih kritikal dengan grafik terkini serta tetamu jemputan dengan latar belakang berbeza. “Tetamu undangan akan berbual dan berinteraksi dengan Dr Fatma sambil berkongsi luahan pendapat menurut sudut pandangan dan pengalaman hidup masing-masing.

“Pendekatan wawancara secara santai dan spontan lebih tepat demi memenuhi cita rasa penonton daripada pelbagai peringkat usia,” katanya.

Nor Norzulydia ditemui ketika pelancaran dan sidang media Ar-Rayyan musim kedua disempurnakan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar di Hotel Le Meredien, KL Sentral, di sini, baru-baru ini

Hadir sama, Yang Dipertua, Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Mejar Tengku Baderol Zaman Ibni Sultan Mahmud Al Muktaffi Billah Shah dan Toh Puan Sri Wan Hidayah Wan Ismail.

Tambah Nor Norzulydia lagi, setakat ini sebanyak enam episod sudah dirakamkan.

“Rakaman untuk tujuh lagi episod Ar-Rayyan dijangka bermula pada 30 Mei ini.

“Pada episod pertama yang disiarkan pada 19 Mei lalu, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang baru pulang dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah dan kini tampil bertudung adalah artis undangan Ar-Rayyan.

“Manakala, episod istimewa Ar-Rayyan selama sejam yang mengundang dua selebriti, Noorkumalasari dan Waheeda sebagai artis undangan,selamat bersiaran sempena sambutan Maulidur rasul pada Mac lalu,” katanya.

Sementara itu, Dr Fatma, ikon Astro Oasis yang giat berdakwah di beberapa organisasi korporat dan kerajaan berkata dia juga mengupas topik yang lebih kritikal dan khusus untuk kaum wanita dan keluarga pada musim baru Ar-Rayyan.

“Musim baru Ar-Rayyan juga lebih memfoluskan pada generasi muda kerana misi kita untuk menarik golongan remaja mendekati agama.

“Buat permulaan, pihak kami kenal pasti topik yang ingin dipaparkan dalam program ini. Maklumlah, sebagai insan yang lemah kita tidak dapat terlepas dari ujian Allah. “Topik keluarga bahagia pula memaparkan artis undangan yang juga pasangan suami isteri yang sama-sama berkecimpung sebagai anak seni dan mempunyai dua anak, pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak yang berkongsi cerita dengan penonton.

“Selain itu, pihak kami mengundang Rosyam, bapa tujuh anak yang aktif berlakon dan menerbitkan drama tetapi pada masa sama mampu mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangganya untuk bercakap topik masa yang juga sangat berharga dalam hidup kita,” katanya.

Saluran Astro Oasis yang dilancarkan pada 13 Oktober dan baru beroperasi selama tujuh bulan menerusi saluran 106 dengan slogan ‘Inspirasi Sanubari’ sekali lagi membuktikan iltizam menghidangkan santapan minda dan rohani masyarakat dengan pelancaran Ar-Rayyan musim kedua ini.

Program bual bicara terbitan Green Melon Communications Sdn Bhd ini mula bersiaran di Astro Ria pada 2006 sebelum bersiaran di Astro Oasis pada 2008.

Ar Rayyan yang menampilkan Dr Fatma sebagai hos juga antara program terbaik saluran Astro Oasis, sekali gus semakin mendapat tempat di hati penonton.

Powered by Harian Metro

Superstar Bertukar Islamik

11 May

“PLANET saya dulu, nauzubillah. Disko, perempuan dan ya, semua jenis maksiat seperti itu berlarutan selama enam tahun. Rocklah katakan. Semoga Tuhan mengampunkan dosa saya,” akui Ustaz Akhil Hayy yang dulu hidup berpaksikan gelombang rock seperti kumpulan Poison dan Loudness tanpa selindung sambil memohon ampun beberapa kali.

Namun, segala kemungkaran itu sudah tidak lagi melingkarinya selepas lelah menanti hasil menjadi anak seni yang tidak ke mana selain kerap bermimpi soal kematian. Dan harapan bekas vokalis kumpulan rock terkenal tahun 80-an, D’Riyadh ini, semoga Tuhan tidak mencabut imannya sehingga akhir hayat.

Pada usia 39 tahun, dia yang sudah dua kali menunaikan haji berasa masih baru menjalani transformasi kehidupannya. Baru masuk usia 14 tahun, katanya yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan selepas membawa diri ke Indonesia. Itu semua berkat pujukan arwah ayah, Haji Abdul Hai, sekitar tahun 1994 yang banyak membimbing dirinya daripada terus hanyut bersama syaitan.

Akil yang pernah digelar jalang jantan kerana dunia maksiatnya dahulu, tidak sukar untuk kembali ke sisi Tuhan yang telah melimpahkan sinar baru dalam kehidupannya. Apatah lagi dipermudahkan keluarga yang tidak putus memberi sokongan.

Akhil mendalami ilmu agama di Madrasah Al Mustaufiwiyyah di Sumatera Barat pada usia mencecah 26 tahun. Di situ, dia ‘mencuci diri’, kembali mengaji dan akhirnya selepas kerap berulang alik dari Malaysia ke madrasah ini untuk tujuan tersebut, akui Akhil, akhirnya dia berjaya menimba ilmu akhirat.

“Alhamdulillah, hari ini, saya dapat berkongsi ilmu saya bersama orang ramai melalui dakwah saya. Dan biar sudah menukar paksi kehidupan, saya masih mendengar muzik rock dan melepak dengan remaja yang menjadikan rock sebagai paksi hidup mereka.

“Saya nak tahu apa yang mereka cari dalam kehidupan,” ujarnya yang berkata penghijrahan bukan satu transformasi yang boleh dibuat-buat.

Katanya yang bakal muncul dengan album Nasyid Legenda 11 sambil memanjatkan syukur: “Tiada jalan pintas untuk berhijrah. Sebaliknya inilah senjata Allah kepada sesiapa sahaja yang mahu Dia berikan. Senjata itu adalah taufik dan hidayah. Dan gunalah ia sebaik mungkin kerana ia tidak akan berlaku dua kali.”

Siapa: Akhil Hayy @ Ustaz Akhil, 39. Transisi: Bekas vokalis D’ Riyadh ini mula ‘beralih arah’ pada tahun 1994. Kini: Pendakwah, penyanyi dan pengemudi program sendiri di Astro Oasis, Kafe Akhil.

SELAIN nama-nama seperti Azmil Mustapha, Gito Rollies atau Sahara Yaacob, rockers tersohor Amy Search sempat dikatakan sudah menukar ‘kiblat’ kehidupan lamanya yang kini lebih Islamik sekembalinya daripada umrah.

Namun lebih daripada isu tersebut, wartawan MALIAH SURIP yang menemu bual beberapa bintang terkenal tanah air dan Indonesia yang sudah ‘cuci tangan’ dan keluar dari zaman jahiliah mereka menyimpulkan bahawa hidayah yang Tuhan pancarkan kepada mereka menjadi ‘pintu’ buat mereka melangkah ke alam kehidupan yang lebih tenang.

Siapa: Noorkumalasari Mohammad Taib, 52. Transisi: Bekas pelakon dan penyanyi popular ini mula menjalani transformasi penuh pada tahun 1997. Kini: Suri rumah sepenuh masa kepada suami, Wan Mohd Yusuf, 57, dan tiga puteranya, Wan Amin Nurrasyid (16), Wan Amni (14) Wan Irfan Nurul Atiq (12).

SAKTI selepas dua tahun melepaskan segala kemewahan lebih senang tampil dengan jambang, kerana mengikut sunah nabi. Ketika ditemu bual, Sakti menjaga tertib matanya dengan tidak memandang penulis.

DIKENALI sebagai pemain gitar kedua grup terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7), Sakti yang duduk di hadapan kami, berkata, hari ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat sepanjang pembabitannya dalam industri lebih enam tahun lalu.

Dalam pertemuan eksklusif yang diatur teman di kediaman Eross di Yogyakarta, Indonesia itu, kelihatan mukanya dijalari janggut, menyarung baju dan seluar khakis polos. Bicaranya teratur. Sakti membuka lembaran sejarah hidupnya – dari zaman jahiliah kepada seorang yang cukup patuh terhadap Islam.

“Saya takut mati dan api neraka itu maha dahsyat,” luah Sakti serius. Perasaan takut mati itu terdetik selepas dia terpandang sebuah buku dengan judul Menjemput Sakaratul Maut Bersama Rasulullah di dalam sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dua tahun lalu.

“Saya masuk ke sebuah kedai buku, ternampak buku ini dan fikiran saya berputar tentang senario kapal terbang yang kerap terhempas.

“Saya bayangkan kalau kapal terbang saya terhempas dan saya mati, apa bekalan yang saya ada? Saya tiada apa-apa. Tapi saya percaya mati tetap akan datang kepada saya pada bila-bila masa,” ceritanya yang kemudian membeli dan habis membaca buku tersebut sepanjang kembara ke Malaysia.

Kembali ke Indonesia, dia terus dibelenggu perasaan takut mati selepas menjaga ibunya yang sakit di hospital selain membaca sebuah tabloid yang menyiar isu kematian. Insiden yang berturut ini, kata Sakti, sebagai satu petunjuk agar dirinya berubah.

Dilepaskannya status pemain gitar SO7 saat grup ini sedang berada di kemuncak.

“Saya tekad membuat keputusan dan tidak berasa rugi melepaskan status artis pada zaman kegemilangan kami kerana saya sendiri sudah tidak boleh memberi fokus pada hiburan.

“Adakah saya menyesal melepaskan kemewahan dunia? Tidak sama sekali kerana saya lebih rela menyesal dan melepaskan semua di dunia sebelum saya dijemput ‘pulang’.

“Saya tidak mahu menyesal di akhirat kelak dan tidak terbayang panas api di sana,” kata Sakti yang turut mengaku kerap menangis mengenang dosa silam.

Usai rasmi keluar dari SO7, anak kedua daripada tiga beradik ini berangkat ke Pakistan (menuntut di sebuah masjid di Rewin) dalam usahanya mendasari semula asas seorang Islam sejati selama dua bulan sebelum kembali ke Indonesia dan menimba ilmu daripada para ulama di negara sendiri.

“Di Pakistan saya diajar menyayangi agama Islam sebagai sebuah agama yang indah.”

Lantas sewaktu disuakan hal tentang zaman jahiliahnya dahulu, Sakti tersenyum dan berkata: “Dulu saya pemabuk,” katanya tanpa selindung dan menambah: “Saya mula minum alkohol sejak zaman sekolah, bukan semasa jadi artis. Saya hanya berhenti minum pada usia 26 tahun sewaktu mahu beralih menjadi umat Islam yang sebenar.”

Tambah Sakti, solat lima waktu juga selalu rompong, jauh sekali solat Jumaat yang akuinya paling jarang dilakukan. Sebaik mendapat hidayah dan memahami disiplin kehidupan yang telah ditentukan Tuhan, dia cukup takut untuk meninggalkan solat.

Apa lagi saat mengenangkan kalau tiba-tiba dirinya dijemput ‘pergi’ tanpa sempat ‘bermanja’ dengan Tuhan.

Tanpa kemewahan, kata suami kepada Miftahul Jannah, 23, dia menjalani kehidupan kini serba sederhana sambil mengusahakan sebuah kedai dobi dan kedai mini sejak tiga bulan lalu di kampung halamannya.

Ditanya tidakkah rindu untuk memeluk keenakan hiburan, pantas dia menggeleng. Namun dia masih menyentuh gitar.

“Tapi bukan untuk dipertontonkan seperti dulu. Saya juga masih mendengar muzik, tapi lebih senang kepada nasyid atau memuji Islam seperti karya-karya Yusuf Islam. Muzik rock sudah jarang,” ujarnya yang tidak pernah menganggap hiburan sebagai perosak jiwa, tetapi ia menjadi rosak dengan penerimaan yang salah.

Sedang menghitung waktu untuk menggarap album berbentuk Islamik bersama seorang teman, Sakti saat diminta menyimpulkan kehidupannya kini memberitahu: “Nikmat punya agama seindah Islam memberi efek luar biasa dalam hati saya.

“Apa yang saya bimbangkan kini jika Tuhan menterbalikkan hati saya seperti dahulu. Nauzubillah, kerana saya mahu terus berada dalam hidayahnya sehingga saya mati.”

Siapa: Sakti Ari Seno@ Sakti, 28. Transisi: Bekas pemain gitar Sheila On 7 (SO7) ini mula mengubah ‘kiblat’nya sejak dua tahun lalu. Kini: Pendakwah bebas serta pemilik kedai dobi dan kedai mini bernama Smart.

PADA zaman kegemilangannya, pelakon kelahiran Jakarta ini pernah dilabelkan sebagai simbol seks kerana keberaniannya beraksi ‘panas’ selain sempat berbogel dalam beberapa filem dan sinetron lakonannya seperti Ranjang Yang Ternoda atau Gadis Metropolis juga Wanita Dan Ghairah.

Memiliki sosok tubuh yang menggiurkan selain kerap berimej seksi, isteri kepada Fahmi Darmawansyah ini bagaimanapun mengejutkan banyak pihak selepas drastik merubah kiblat kehidupannya dengan bertudung.

“Semua orang miliki kisah lalu dan saya kira tidak adil jika kita mengungkitnya untuk dijadikan ukuran,” katanya pada satu temu bual mengenai zaman jahiliahnya.

Dia kemudian memberitahu kehidupannya kini lebih tenang. Bertudung dan berubah menjadi manusia yang cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam yang baik sekembali dari umrah lebih 10 tahun lalu telah membuka hatinya bahawa Tuhan begitu menyayanginya.

Selain kerap didatangi mimpi tentang kematian dan takut kepada azab Tuhan, hatinya terus layu untuk menutup aurat.

“Kini saya banyak berpuasa dan solat untuk mengganti semula semua kewajipan yang saya tinggalkan satu ketika dahulu. Syukur kepada Tuhan kerana memberi kesempatan buat saya berubah,” katanya yang cukup terkenal menerusi sinetron berunsur dakwah, Mutiara Hati sambil menyifatkan pembabitannya dalam dunia hiburan kini lebih kepada menyebarkan dakwah.

Siapa: Inneke Koesherawati @ Inneke, 33. Transisi: Mula bertudung pada tahun 2001. Kini: Pelakon & Duta Astro Oasis Indonesia

Powered by Kosmo