Archive | Maiya Rahman RSS feed for this section

Impian Aliff Terlaksana

13 Mar

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)

ALIFF AZIZ (kiri) menerima plak penghargaan sempena lagu Sayang-Sayang menjuarai carta-carta radio popular daripada Pengarah Urusan Sony BMG Music Entertainment, Adrian Lim.

MEMANG sudah menjadi impian anak muda ini untuk menjadi seorang penyanyi sejak kecil lagi. Lantas, pelbagai pertandingan yang disertainya bagi menunjukkan kepada khalayak bahawa dia ada bakat tersendiri.

Mungkin sudah tertulis bahawa kemenangan mutlak menjadi miliknya saat menjuarai salah satu pertandingan realiti televisyen paling popular di Singapura, Anugerah tahun lalu menewaskan saingan terdekatnya, Maiya Rahman.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka akan mengecapi kejayaan sebegini. Sudah pasti, semuanya tidak datang bergolek dan saya perlu bekerja lebih keras lagi dalam memastikan karier saya akan terus bertahan dan diterima oleh peminat saya yang tidak pernah henti menyokong saya,” kata Md Aliff Aziz atau Aliff Aziz yang ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, Aliff di Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya siapakah empunya vokal serak-serak basah menerusi lagu paling popular ketika ini iaitu Sayang-Sayang.

Mendengarkan suaranya itu pasti ramai yang menyangka Aliff seorang penyanyi dewasa namun, siapa sangka, anak sulung dari dua beradik ini baru sahaja menginjak usia 17 tahun pada 16 Februari lalu.

Bercerita tentang album sulungnya yang sudah berada di pasaran sejak bulan Disember lalu, Aliff melahirkan rasa kepuasannya tatkala apa yang diidamkannya selama ini termakbul.

“Sudah lama saya kepingin untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer Malaysia terutama sekali lagu ciptaan Azlan Abu Hassan yang memang saya kagum dari dulu lagi.

“Lagu-lagu ciptaan Azlan memang bersesuaian dengan diri saya dan apabila peluang ini datang, saya memastikan saya akan memberikan yang terbaik memandangkan untuk merakamkan album ini menuntut pengorbanan yang besar,” jelasnya jujur.

Tambahnya, dia menghabiskan masa lebih seminggu dalam menyiapkan album sulungnya itu serta perlu berulang-alik dari Singapura ke Malaysia.

Dalam masa itu, dia perlu menghafal lagu dan lirik dalam memastikan dia dapat memberikan kepuasan maksimum kepada penerbit dan komposer.

Rancak bercerita tentang albumnya itu, Aliff turut memberitahu, dia terkejut dengan penerimaan peminat di Singapura dan Malaysia terhadap albumnya.

“Saya diberitahu dalam tempoh dua minggu album itu dipasarkan di Singapura, jualannya sudah mencecah 3,000 unit dan itu sudah cukup menggembirakan saya.

“Di Singapura, single pertama saya adalah Ku Sendiri ciptaan Azlan Abu Hassan tetapi di Malaysia, lagu Sayang-Sayang yang telah menjulang nama saya.

“Apa yang saya harapkan adalah sokongan yang beterusan dari semua pihak terutama peminat serta penyokong saya,” kata bekas pelajar Zhenghua Secondary School, Singapura ini lagi.

Ketika ditanya mengapakah album sulungnya itu tidak mendapat sentuhan dari komposer Singapura, dengan penuh hemat, dia memberitahu: “Itu di luar bidang kuasa saya untuk memberikan jawapannya. Saya tidak kisah menyanyikan lagu dari sesiapa kerana saya suka menyanyi dan ini adalah pekerjaan saya.”

Daripada respons yang diterima, ada yang berpendapat album Aliff hanya sesuai untuk pendengaran budak-budak sekolah dan remaja sahaja.

Apa pula reaksi Aliff berhubung hal itu?

“Saya tidak ada hak untuk mengatakan album saya hanya untuk sasaran golongan tertentu sahaja. Apa yang boleh saya katakan, saya telah memberikan yang terbaik untuk album ini dan secara peribadi, saya percaya album ini mampu diterima oleh semua golongan,” ujar abang kepada pasangan kembar, Nur Aisyah dan Nur Ain ini lagi.

Dalam majlis itu juga, kehadiran lebih daripada 20 orang peminatnya yang menganggotai kelab peminatnya, Aliff Angels turut memeriahkan suasana dan mengambil kesempatan meraikan hari jadinya.

Bukan itu sahaja, Aliff juga berjaya mencipta kejayaan buat dirinya apabila dia berjaya tercalon untuk enam kategori dalam Anugerah Planet Singapura (APM) yang bakal di adakan pada 20 April depan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) iaitu Album Terbaik Singapura (Aliff), Artis Terbaik Singapura, Artis Singapura Paling Popular, Artis Baru Lelaki Terbaik, Lagu Terbaik Singapura (Ku Sendiri) dan Lagu Singapura Paling Popular (Sayang-Sayang).

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Aliff bolehlah melayari laman webnya, http://www.aliff-aziz.com

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements