Archive | January, 2012

Kombinasi Pelbagai Muzik

30 Jan


Judul Album: The Philophobic
Artis: Round Robin
Konsep Muzik: Rock, Garage,Post Punk
Terbitan: InterGlobal Music (M) Sdn. Bhd.

KOMEN: Secara terasnya muzik kumpulan Round Robin adalah rock. Namun rock yang diketengahkan dalam album dengan 10 lagu ini lebih ke arah kontemporari.

Ini kerana dalam muzik Round Robin mereka turut menyelitkan pengaruh muzik seperti grunge yang popular pada tahun 1990-an. Contohnya, dalam lagu Inggeris berjudul Philophobic. Selain itu turut diselitkan adalah pengaruh muzik post punk seperti yang banyak diketengahkan oleh kumpulan Barat misalnya The Offspring. Album ini majoritinya menampilkan lagu Melayu selain beberapa lagu Inggeris seperti Love For Losers. Ia menampilkan gaya muzik yang lari daripada kebiasaan pemuzik rock tempatan sedia ada. Gabungan pelbagai genre muzik itu juga menjadikan album ini kedengaran lebih moden dan segara untuk dihayati.

Utusan

Advertisements

Travelog AirAsia Penuhi Cita Rasa Penonton

30 Jan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM


UMIE Aida dan edd Radzhe ketika Travelog AirAsia singgah di Australia.

PROGRAM Travelog AirAsia yang disiarkan di TV3 pada setiap Ahad pukul 7.30 malam ternyata memberi kesan tersendiri buat peminat program pengembaraan.

Ini kerana program seperti itu banyak membantu orang ramai memilih destinasi percutian dengan bijak.

Sementelah program yang dihos oleh Edd Radzhe itu bukan sekadar memaparkan lokasi percutian di destinasi penerbangan AirAsia dan AirAsia X semata-mata.

Sebaliknya turut mengetengahkan lokasi percutian dan pengembaraan menarik di setiap destinasi yang dipilih.

Menurut Edd, lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan program selama setengah jam itu adalah kawasan membeli-belah, pemandangan indah serta tempat makan halal.

“Kami mendapat respons positif daripada orang ramai yang mengatakan paparan program Travelog AirAsia memudahkan mereka untuk mencari tempat makanan muslim.

“Bila adanya pendedahan sebegitu, permintaan untuk ke destinasi yang pada pandangan masyarakat kita sukar mendapat makanan halal tidak lagi menjadi halangan. Malah permintaan untuk ke Guilin, Hong Kong dan China semakin meningkat,” jelasnya.

Program Travelog Air Asia sebelum ini telah menjelajah ke destinasi pelancongan antaranya Bandung, Indonesia; Siamreap, Kemboja dan Paris, Perancis.

Menurut Edd, sokongan terhadap program tersebut juga menggalakkan dengan rating untuk setiap episod mencecah sekitar 1.2 juta penonton.

“Jumlah penonton yang menggalakkan itu memberi suntikan semangat kepada pihak AirAsia untuk terus menghasilkan program tersebut di masa depan,” katanya yang terbang bersama-sama krew program tersebut ke Gold Coast, Australia baru-baru ini.

Ditemani Datin Paduka Umie Aida ketika penggambaran di Gold Coast (telahpun disiarkan semalam, 29 Januari), Edd juga memberitahu bahawa pemilihan para artis tidak terbatas.

Antara artis yang pernah bergandingan dengan Edd ialah Maya Karin, Juliana Evans, Linda Hashim, Elfira Roy, Julia Ziegler dan Haiza.

“Pemilihan Umie ke Gold Coast kena dengan konsep sebab di sini ditampilkan aktiviti lasak. Memang sesuai dengan dia. Di masa akan datang, mungkin untuk satu-satu lokasi akan ditampilkan dua artis, gandingan baru dan lama.

“Selain menampilkan lokasi menarik, objektif program adalah untuk memberi kemudahan kepada pelanggan penerbangan AirAsia mengatur percutian mereka dengan sempurna,” katanya.

Tambahnya, jika tidak ada apa-apa halangan besar kemungkinan program itu diteruskan kerana banyak destinasi baru diterokai oleh penerbangan tambang murah berkenaan.

Utusan

Rebecca Sempurna Di Mata Suami

30 Jan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR dan WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB


Nor Azam Sulaiman akui isterinya, Rebecca Nur Islam seorang yang penyayang dan sukakan kanak-kanak.

SAYA memang tidak boleh menahan mulut orang untuk bercakap. Saya pun tidak tahu macam mana cerita itu boleh timbul.”

Demikian kata pelakon Rebecca Nur Islam Ahmad, 26, mengenai cerita kononnya dia mendera anak tirinya.

Biarpun mengakui hatinya terguris dengan tuduhan tidak berasas itu namun kata Rebecce, dia tidak mampu menutup mulut orang.

Menurut Rebecca, dia hanya ketawa apabila mendengar gosip tersebut kerana ia bukan sahaja tidak benar.

Lebih-lebih lagi, kata pelakon itu, lemparan gosip oleh orang yang tidak bertanggungjawab itu juga di luar kawalannya.

Bagaimanapun dia tetap berharap agar mereka yang suka menabur fitnah terhadap dirinya itu segera insaf.

“Cukup-cukuplah buat cerita tidak benar itu. Saya ini kalau nak marah sekejap sahaja, lepas itu okay. Bukan apa, tak elok simpan lama-lama nanti cepat tua,” katanya tersenyum.

Pandangan pemegang watak Syazura dalam filem Keramat itu turut mendapat sokongan daripada suami tercinta, Nor Azam Sulaiman, 44.

Kata Nor Azam, sejak mendirikan rumah tangga Januari tahun lalu, dia jarang melihat isterinya merajuk lama.

Malah tegasnya, hubungan Rebecca dan kedua-dua orang anaknya tidak bermasalah kerana isterinya itu seorang yang penyayang dan sukakan kanak-kanak.

“Mula-mula dengar cerita mengarut itu, saya terkejut tapi bila memikirkan itu (gosip) dunia dia, jadi saya pun buat tidak kisah. Saya dan anak-anak lebih tahu dia macam mana berbanding orang luar.

“Pada saya dia adalah seorang wanita dan isteri yang sempurna untuk saya dan anak-anak. Kalau saya beritahu yang isteri saya ini pandai memasak, mesti orang tidak percaya.

“Dulu saya pun tidak yakin tapi bila lihat dengan mata sendiri, rasa beruntung kerana memiliki isteri yang pandai di dapur,” cerita Nur Azam panjang lebar.

Sementara itu Rebecca yang mendengar puji-pujian suaminya itu berkata, dia memang suka memasak dan sering membantu ibunya di dapur.

Katanya, setiap hari jika tidak sibuk di lokasi, dia akan pastikan menyediakan beberapa jenis hidangan untuk suami kerana Azam lebih selesa makan di rumah.

“Alhamdulillah, saya ini jenis boleh ke dapur. Kalau tak kasihan pada suami yang memang suka makan di rumah itu,” katanya tersenyum.

Rebecca yang sudah dua kali mengalami keguguran berkata, dia dan suami walaupun sudah mempunyai anak namun mereka tetap menunggu masa untuk memiliki zuriat bersama.

Kata Rebecca yang mempunyai seorang anak angkat, dia tidak pernah serik untuk hamil lagi dan berharap Allah akan memakbul impiannya untuk memiliki cahaya mata.

Utusan

Bisa Yuna & Ana

29 Jan

pix_gal0
Dua finalis AJL 26 tidak gentar hadapi saingan malam ini

ALIRAN seni kedua-duanya bermula dengan formula sama. Dua finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-26 ini menggunakan laman sosial dan muzik terkenal seperti Youtube untuk berkongsi bakat mereka di ruang maya. Ana Raffali terlebih dulu memulakan langkah memuat naik lagu ciptaannya pada 2006, diikuti Yuna pada 2008.

Cuma Yuna yang lebih dulu menyerlah. Masing-masing juga mempunyai ceritera tersendiri selepas berjaya menempa nama daripada medium indie kepada arus perdana.
Bakat Yuna, 25 dan Ana, 26, juga pernah diiktiraf menerusi pertandingan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2009 dan Penyanyi Wanita Popular ABPBH 2010, manakala Ana pula memenangi kategori Artis Baru Wanita Popular.

Untuk ABPBH 2011, nama Ana tercicir manakala Yuna masih bertahan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

Di pentas final AJL, dua wanita berbintang Scorpio ini tetap berbisa dengan taring masing-masing. Yuna pernah menjadi Naib Juara AJL ke-24 menerusi karyanya sendiri, Dan Sebenarnya. Tahun lalu, AJL 25, lagu ciptaan Ana berjudul Tolong Ingatkan Aku menang Lagu Terbaik.

Malam ini, mereka sedang menghitung detik penuh debaran untuk sekali lagi beraksi di pentas akhir AJL. AJL 26 dipancarkan TV3 dam berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Yuna layak dengan dua lagu ciptaannya, Penakut dan Gadis Semasa manakala lagu Kalau Berpacaran menyaksikan trio Suhaimi Mior Hassan, Ana & Altimet berganding bahu.

Bersama B’POP, Ana dan Yuna berkongsi kata mengenai agenda 2012, perkembangan terbaru dan tidak ketinggalan diusik mengenai kamar hati dengan jejaka pilihan masing-masing.

Yuna dengan cinta hatinya, Qushairi atau Qi (disebut Chi) dan Ana pula sedang mengira hari untuk disatukan dengan Naim atau nama sebenarnya, Aznaim Abdullah.

Sewaktu sesi fotografi ini berlangsung pada 16 Januari lalu di butik Syomir Izwa di Solaris Dutamas, kesihatan Yuna sedikit terganggu. Mana tidaknya, ruang waktu yang ada di Kuala Lumpur ini perlu dimanfaatkan untuk melakukan banyak benda sebelum kembali ke Amerika Syarikat.

Awal bulan depan, Yuna akan menumpukan rakaman album penuh di sana. Album yang dijangka memuatkan 12 lagu itu berkemungkinan besar dilancarkan sekitar Mac ini dan duta program MHbuddy Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini juga akan terbabit dalam siri jelajah mempromosikan album terbabit.

“Persediaan untuk lagu Penakut, saya tak tukar banyak sangat susunan dan kemungkinan kekalkan corak lagu itu seadanya. Susunan baru lebih cenderung untuk lagu Gadis Semasa. Selebihnya saya biarkan penonton AJL 26 menilai dan tonton sendiri,” kata Yuna memulakan bicara saat sedang leka menyolek wajahnya sendiri.

Dalam perkembangan lain, pemenang Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award menerusi Anugerah Shout! 2010 anjuran 8TV itu turut memberitahu album keduanya, Terukir Di Bintang selepas album Decorate yang dilancarkan 4 Januari lalu akan dilakukan proses pembungkusan semula.

“Saya gembira dengan sambutan album kedua ini. Jadi sebelum saya kembali ke Los Angeles untuk meneruskan rakaman bersama syarikat Fader Label, album ini dapat mengubat kerinduan mereka selepas setahun saya tidak muncul dengan album baru.

“Cuma akan ada versi pembungkusan semula untuk album kedua ini kerana saya mendapat pelbagai maklum balas termasuk kalangan rakan media selepas ia dilancarkan. Akan ada penambahan beberapa perkara seperti lirik lagu dan juga susunan lagu yang tidak sama seperti tertera dalam cetakan album,” katanya yang turut memperkenalkan Diandra Arjunaidi sebagai artis di bawah naungan label Yuna Room Records.

Mengenai album keduanya lagi, Yuna tanpa berselindung mengakui ia lebih menyerlahkan sisi gembira berbanding Decorate yang lebih terarah ke sisi duka. Malahan ada yang melihat kehadiran album berkenaan juga seperti menampakkan sisi bahagianya bersama Qi.

“Album ini dibikin selepas Decorate dan juga kejayaan saya menerusi lagu Dan Sebenarnya. Alhamdulillah, percubaan saya selama ini juga diterima. Saya sendiri gembira dan bersyukur kerana laluan seni direstui. Rezeki pun bertambah. Alhamdulillah. Dulu, pada awal kemunculan saya tak nafikan ada prasangka negatif. Sikit-sikit terasa hati apabila orang mengkritik kita. Tapi kini seiring peredaran masa, pengalaman ditimba dan anugerah menjadi suntikan semangat sekali gus membuatkan saya lebih terbuka,” katanya yang pernah diundang membuat persembahan MTV Iggy’s Best New Band Concert di Times Square, New York.

Mengenai sisi peribadinya, duta produk kamera Canon, Olay dan turut bekerjasama dengan jenama perabot Macy ini ditanya mengenai hala tuju hubungannya dengan Qi yang sudah hampir setahun berlarutan. Apakah kemungkinan tahun ini juga bakal menyaksikan Yuna dan Qi menamatkan zaman bujang seperti pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari serta Lisa Surihani dan Yusry.

“Tak dinafikan selepas Lisa dan Yusry membuat pengumuman hari bahagia mereka, ada juga berseloroh menanyakan bila pula saya akan berkahwin dengan Qi. Yang pastinya, bukan tahun ini saya akan berkahwin kerana banyak lagi agenda seni perlu saya lunaskan satu persatu,” katanya yang bakal melaram rekaan Syomir Izwa dan Syahrir Nurdin untuk malam kemuncak AJL ke-26.

‘Kontroversi ibarat hikmah yang indah’

MALAM ini juga genap setahun kejayaan Ana pada AJL ke-25 yang menjadi kecaman serta kritikan apabila ada pihak mempertikai kemenangannya lagu Tolong Ingatkan Aku, tahun lalu. Apapun, ia di luar kemahuan Ana. Apa yang terjadi selepas namanya diumumkan sebagai pemenang banyak memberi hikmah tersendiri.

Malah, ada juga pantas menghukum popularitinya kian jatuh apabila pelbagai kontroversi termasuk sisi negatif bertandang satu persatu hingga mula mencemari nama Ana. Kisah Ana bermasalah dengan Sohaimi Mior Hassan dan komposer yang menaikkan namanya, Aidit Alfian antara yang pernah bertebaran.

“Bagi Ana, apa yang terjadi menjadi hikmah yang cukup indah. Kontroversi itu sekali pun pedih untuk ditelan, ia ibarat seperti promosi tak terkawal yang memberikan dua kebarangkalian sama ada orang ramai terus membenci atau sebaliknya. Apabila orang bercerita itu bererti ada juga yang nak ambil tahu. Baik atau buruk sesuatu perkara mahupun kontroversi itu, ia satu benda yang tidak boleh dijual beli. Tapi apa yang Ana boleh simpulkan, apa terjadi ini lebih condong kepada hal positif. Ana jadi lebih kuat.

“Di sebalik yang membenci, Ana masih memperoleh sokongan daripada mereka yang tak putus-putus memberi semangat. Contohnya apabila Ana berpeluang turun padang ke kawasan pedalaman, ada peminat di kalangan makcik-makcik menghargai kita. Untuk kelompok peminat sebegitu yang tiada akses internet, mereka seperti menyokong saya tanpa ada peluang untuk bersuara,” katanya yang memiliki syarikat pengurusan serta studio dengan label About The Letter A Sdn Bhd yang diusahakan bersama kekasihnya, Naim.

Diaju apakah dia tidak bimbang badi AJL 25 mungkin bakal berulang malam ini? Ana yang bakal menggayakan baju rekaan Ezuwan Ismail akui dia tidak gentar. Malah, persembahan AJL 26 tidak langsung dirasai sebagai persaingan.

“Jujur Ana cakap ia tak langsung menjadi tekanan atau bebanan. Setiap finalis AJL 26 yang bertanding juga Ana gemari bakat dan lagu mereka. Yang penting. Ana dapat membuat persembahan dengan lancar. Lagu Kalau Berpacaran pun tak susah untuk dibawakan dan sering dipersembahkan setiap kali menerima undangan membuat persembahan,” katanya yang diundang ke Singapura pertengahan bulan lalu kerana terbabit dalam program Suara Hati bagi mengisi tabung amal Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, Ana juga sedang mengumpul material untuk menghasilkan album terbaru. Jelas Ana, untuk album kali ini, dia mahu memperbanyak ruang berkolaborasi. Sambil berseloroh, Ana juga teringin bekerjasama dengan Yuna tetapi sempat memintas, penyanyi itu memang terlalu sibuk dengan kerjaya seninya.

“Untuk album kedua ini, Ana sasarkan lebih 10 lagu bakal dimuatkan. Ana juga sedang berusaha berduet dengan kumpulan penyanyi lama Orkes Nirwana. Insya-Allah, Ana juga merancang mengadakan siri jelajah mempromosikan album berkenaan. Fokus Ana tahun ini juga lebih kepada bidang nyanyian dan tidak untuk bidang lakonan. Berlakon memang ada tawaran tetapi Ana naik segan. Cukuplah dapat peluang berlakon teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa di Istana Budaya, tahun lalu.

“Antara lagu yang bakal dimuatkan dalam album itu nanti ialah Lisa Jatuh Cinta. Lagu itu dibikin Oktober tahun lalu ia secara kebetulan kena dengan situasi sekarang mengenai kisah cinta Lisa Surihani dan Yusry. Lagu itu mengenai kisah kawan rapat yang bertukar menjadi istimewa.

Ana juga ada membikin satu lagu khas berjudul Sampai Bila diilhamkan atas kisah percintaan dengan Naim. Ia berkisar indahnya sebuah hubungan cinta yang diharapkan bakal berakhir dengan episod istimewa yakni ke jenjang pelamin,” katanya penuh makna.

Sebelum menoktahkan bicara, Ana dicuit soalan mengenai hari bahagianya yang mula digembar-gemburkan bakal berlangsung pada 25 Februari ini. Ana meminta didoakan supaya dipercepatkan hari perkahwinannya dan Alhamdulillah ia seperti sudah dimakbulkan.

Cuma kata Ana, tidak terlintas untuk dia tidak mengundang pihak media yang selama ini setia menyokong seperti mana tertulis dalam satu ruangan gosip. Difahamkan, Ana lebih senang mengunci mulut mengenai tarikh hari bahagianya kerana tidak mampu cerita itu mengaburi penyertaannya dalam AJL 26.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, satu sidang media mengumumkan hari bersejarah Ana dan Naim akan diadakan pada 31 Januari ini di Kuala Lumpur.

Bintang Pop

Finali Ratu Kebaya 2011 Pasang Badan

29 Jan

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI


Datin Fadzillah Abdullah bergambar bersama peserta yang bergaya bersama busana tajaannya sempena pertandingan akhir Ratu Kebaya 2011.

DEBARAN semakin terasa. Kurang lebih sebulan lagi finalis Pertandingan Ratu Kebaya Mak Dara Pancaindera 2011 akan beraksi di pentas akhir yang akan menyaksikan seramai 24 peserta bersaing merebut mahkota.

Sebelum itu, barisan peserta telah disediakan dengan pelbagai aktiviti dan program sebagai persiapan menjelang acara akhir yang akan berlangsung di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.

Dua minggu lepas, enam daripada 24 finalis turun padang untuk mengikuti program di Spa Beauty Enhancement Centre di Jamu Mak Dara.

Fosku utama, tentunya untuk persiapan kecantikan dan penjagaan diri.

Untuk minggu ini, seramai tujuh lagi finalis yang mewakili kategori A juga diberi pendedahan yang sama bersama penaja.

Mereka ialah Fatimah Mohammad Hussain (Pantai Timur A), Azizah Mohammad Hussain (Pantai Timur B), Guat Fung (Borneo), Rafeah Kasa (Zon Tengah), manakala yang mewakili kategori B pula Siti Aisyah Ismail (Selangor), Wan Nurul Akma Hana Wan Ismail (Kuala Lumpur) dan Nursyuhada Abdul Rijal (Putrajaya).

Menariknya, aktiviti sehari bersama penaja ini membolehkan barisan peserta terpilih mengikuti program rawatan kecantikan di Suzana Wellness Centre, Seksyen 6, Bandar Baru Bangi.

Dikelolakan oleh pemilik pusat kecantikan tersebut, Dr. Suzana Hasnan, peserta didedahkan dengan teknik rawatan wajah yang betul selain menyelitkan sesi dialog.

Rata-rata peserta memberikan respons yang positif dalam sesi dialog di mana mereka berpeluang bertanya dan mendapatkan jawapan mengenai rawatan wajah.

Bermula dengan rawatan parut, kaedah menegangkan wajah dan pencegahan kedutan wajah, semuanya dijawab dengan baik oleh Dr. Suzana yang berpengalaman dalam bidang kecantikan.

‘Bersama penaja, saya dapat gali dengan lebih mendalam mengenai kaedah kecantikan yang betul.

‘Namun, sebagai seorang wanita, saya sendiri akan pastikan wajah saya sentiasa bersih sebelum tidur. Ini penting supaya wajah saya nampak bermaya dan sihat sentiasa,’ kata Siti Aisyah finalis kategori B.

Dalam pada itu, peserta adik-beradik, Fatimah dan Azizah Muhammad Hussain yang berasal dari Terengganu punya cerita untuk dikongsi bersama pembaca mengenai rawatan kecantikan.

‘Saya suka memanjakan muka dan badan. Sebagai persiapan untuk mara ke final, saya dan kakak membuat rawatan kecantikan dua minggu sekali.

‘Saya berterima kasih juga kepada Jamu Mak Dara yang memilih saya sebagai finalis pilihan juri yang akan menggandingkan saya dan kakak saya yang merupakan Johan Ratu Kebaya peringkat Terengganu,’ kata Azizah.

Selain itu, program sehari yang diadakan tempoh hari turut membawa peserta ke My Hair Saloon, AU2 Keramat, Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan rambut.

Peserta kemudian dibawa ke APPIN Collection, Metro Kajang yang merupakan antara penaja busana barisan peserta pertandingan.

Di sini, peserta berpeluang mencuba busana yang akan diperagakan di pentas akhir pertandingan dengan ukuran potongan pakaian diambil sendiri oleh pemilik butik berkenaan iaitu Datin Fadzillah Abdullah.

Boleh disimpulkan, rata-rata peserta cukup teruja untuk melangkah ke pentas akhir yang tentunya akan menyaksikan persaingan hebat antara jelitawan-jelitawan ini.

Utusan

Finalis Kacak Bergaya

29 Jan

Oleh ROSLI MANAH
(rosli.manah@utusankarya.com.my)
Foto FARIZWAN HASBULLAH)

SIAPA kata orang lelaki tidak pentingkan penjagaan kecantikan? Lelaki muda hari ini semakin peka kepada keperluan harian yang memerlukan mereka sentiasa tampil cantik. Ada juga aspek kecantikan yang berasaskan kebersihan diri.

Enam finalis Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2011 juga mementingkan aspek kecantikan. Ada yang menjadikan amalan ke pusat kecantikan sebagai rutin bulanan.

Baru-baru ini mereka mendapat rawatan kecantikan menjelang final di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini. Ada yang memilih penjagaan rambut dan ada yang mendapatkan rawatan kecantikan wajah.

Ahmad Afif Abas (Afif), Azrel Ismail (Azrel), Hafiz Hazmi (Fizmey) , Kamarul Azri Mustafa (Ariey), Syed Mohd. Yasir Syed Jamaluddin (Yasir) dan Jamahuri Sobri (Zel) mendapat rawatan di My Saloon Beauty, AU3, Keramat, yang turut menaja Pencarian Kacak Bergaya.

‘Saya memang sedang menjalani rawatan keguguran rambut, salun kecantikan tidaklah asing bagi saya sejak akhir-akhir ini. Bagi saya orang lelaki juga patut mementingkan kecantikan,’ kata Ariey.

Azrel pula sedang berdiet untuk memastikan penampilannya lebih menarik menjelang final nanti.

Afif memiliki kulit muka yang sensitif sedang mengalami masalah jerawat. Apatah lagi dia sedang sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan di sebuah universiti tidak lama lagi.

‘Alhamdulillah jadual saya tak bercanggah, semasa final nanti, saya sudahpun selesai menduduki peperiksaan,’ kata Afif.

Zel pula kelihatan semakin cantik susuk tubuh kerana giat ke gimnasium. Dia juga mementingkan gaya rambut bagi menyerlahkan lagi penampilan dirinya.

Fizmey pula menitikberatkan soal pemakanan dalam usahanya untuk tampil cantik. Dia mengelak makanan yang berminyak dan pedas yang lazimnya boleh membuatkan muka ditumbuhi jerawat atau berminyak.

Yasir juga mementingkan penjagaan muka. Malah dia akan memastikan mengunjungi salun kecantikan untuk mendapat rawatan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Sementara itu konsultan kecantikan di My Saloon, Wawa berkata, semakin ramai lelaki muda hari ini mementingkan kecantikan. Wawa yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kecantikan mendapati salun tersebut semakin banyak pelanggan lelaki muda.

Hadiah lumayan nanti pemenang

Tahun ini nampaknya Pencarian Kacak Bergaya mendapat sokongan banyak pihak. Apatah lagi ia dijalankan serentak dengan Ratu Kebaya Mak Dara. Jumlah tajaan semakin meningkat sehinjgga mencecah RM500,000.

Juara Kacak Bergaya akan membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, pakej pelancongan musim bunga ke Korea (6H 4M) tajaan Al Rahala Travel, pakej lesen menyelam PADI Open Water Diver tajaan Ocean Elements, pakej rawatan di Suzana Wellness Centre, pakej rawatan kecantikan di MY Saloon, produk penjagaan rambut QS, keahlian Clark Hatch, baucar Alfio Raldo dan aneka hadiah iringan lain.

Naib juara akan akan membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000, pakej pelancongan ke Awana Porto Malai, Langkawi tajaan Plus & Plus Travel and Tours, pakej rawatan di Suzana Wellness Centre, rawatan di MY Saloon, produk penjagaan rambut QS, keahlian Clark Hatch, baucar Alfio Raldo dan hadiah iringan lain.

Pemenang tempat ketiga pula akan membawa pulang trofi, wang tunai RM1,500, pakej rawatan di Suzana Wellness Centre, rawatan di MY Saloon, produk penjagaan rambut QS, keahlian Clark Hatch, baucar Alfio Raldo dan hadiah iringan lain.

Pemenang tempat keempat dan kelima juga akan menerima aneka hadiah berupa trofi, pakej dan barangan penjagaan diri. Selain itu ada juga hadiah sampingan iaitu Anugerah Pilihan Pancaindera, Anugerah Pilihan Jamu Mak Dara/peminat dan Anugerah Peserta Paling Berbakat daripada produksi Tanah Beris Film Production.

‘Saya juga akan menawarkan finalis berbakat untuk sama-sama berlakon di dalam produksi saya selepas tamat acara ini,’ kata pengarah Shuhaimi Lua Abdullah yang juga terlibat secara langsung dalam ahli jawatankuasa penganjuran.

Malah para juri juga dipilih daripada pengamal industri aktif untuk mendedahkan finalis kepada dunia seni sebenar. Sememangnya itulah harapan Pancaindera untuk menyediakan platform kepada bakat baru melalui Pencarian Kacak Bergaya.

Utusan

Kajol Gembira Jadi Ibu

28 Jan


KAJOL berharap dapat membuat sebuah filem apabila menerima tawaran yang bagus dan pada masa yang sesuai.

MUMBAI – Aktres jelita, Kajol yang dilihat berlakon kali terakhir dalam filem animasi, Toonpur Ka Superhero, memaklumkan berasa gembira dengan cara hidupnya sekarang dan menjadi seorang ibu yang amat memanjakan dua anaknya.

“Saya berasa gembira kerana mempunyai banyak masa dan dapat menikmati kehidupan.

“Saya juga berasa seronok ketika menghabiskan masa bersama dua anak saya,” kata Kajol, 37, semasa merasmikan kedai beg tangan Malaga Bespoke.

Pelakon itu turut memaklumkan tidak mempunyai sebarang projek baru buat masa ini, namun berharap dapat menjadi sebahagian daripada projek baik pada masa yang akan datang.

“Saya harap dapat membuat sebuah filem apabila menerima tawaran yang bagus dan pada masa yang sesuai,” ujarnya.

Kajol pernah memenangi anugerah Filmfare bagi kategori pelakon wanita terbaik untuk filem My Name Is Khan pada tahun lalu.

Baru-baru ini, dia juga ”meminjam suaranya” bagi sebuah filem animasi, Koochie Koochie Hota Hai arahan Karan Johar versi filem Kuch Kuch Hota Hai tahun 1998.

Selain itu, Kajol akan membuat penampilan dalam satu babak filem Student Of The Year, terbitan Karan Johar dan Datuk Shah Rukh Khan. – AGENSI

Utusan