Archive | Janet Khoo RSS feed for this section

Ahmad Idham Kini Punya Syarikat Sendiri

3 Jan

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PEPATAH Melayu ada mengatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah dengan pelakon Ahmad Idham. Siapa sangka pada usianya yang masih muda, baru 34 tahun, dia sudah mampu mempunyai syarikat sendiri, Execellent Pictures Sdn. Bhd., dan kini bergelar penerbit dan juga pengarah filem dan drama.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Idham Ahmad Nadzri atau lebih senang dipanggil Idham melangkah lebih teratur dalam bidang penerbitan dengan menerbitkan satu demi satu drama bermula dengan Mengejar Pelangi (40 episod), diikuti Aku, Dia dan Capetowm (25 episod) dan kini menanti filem pertama terbitan dan arahannya, Tipah Tertipu, ditayangkan kepada umum.

Filem yang mula menjalani penggambaran sejak Jun tahun lalu dengan kos penerbitan sebanyak RM1.2 juta dijangka ditayangkan tahun ini.

Tipah Tertipu yang lahir daripada lagu popular Ruffedge dengan skrip oleh Mamat Khalid menampilkan ahli kumpulan Ruffedge. Ia turut dilakonkan oleh Jaafar Onn, Ismail Din dan Adlin Aman Ramli.

Idham yang ditemui di kediaman mertuanya di Golf & Country Resort Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata:

‘’Walaupun saya pernah mengarah filem Mr. Cinderella, tetapi debaran menanti Tipah Tertipu lebih membebankan. Ia bagai menanti kelahiran anak pertama.

‘’Sebabnya saya tidak tahu bagaimana penerimaan penonton terhadap filem muzikal komedi ini. Cuma apa yang saya harapkan filem ini akan berjaya menarik hati para peminat filem tempatan.”

Menjejaki perjalanan seni Idham, memang tidak siapa menduga graduan UiTM yang semasa di kampus menjadi pelakon tambahan dengan bayaran RM30 sehari kini mampu menerajui syarikat penerbitan sendiri.

Malah Idham tidak pernah termimpi untuk menjadi pelakon apalagi mengarah dan kini sebagai penerbit.

“Kadang-kadang bila menyingkap kembali perjalanan seni saya, memang terasa lucu. Saya sendiri tidak pernah menduga ketika masih menuntut dan suka-suka menjadi pelakon tambahan akhirnya saya berjaya menarik minat pengarah filem KLU (Kuala Lumpur Universiti). Filem itu diterbitkan pada 1995 oleh Solid Gold.

‘’Semuanya gara-gara Azhar Sulaiman. Saya memang kawan baiknya. Dia yang mengajak saya mencuba nasib dan akhirnya saya diberi peranan watak pembantu dalam KLU dengan bayaran RM1,500.

‘’Masa itu saya sedang belajar. Duit sebanyak itu memang besar, hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukur dan bangganya saya yang masih belajar men dapat duit sebanyak itu.

‘’Sejak itulah saya sering berlakon tidak kira walaupun sebagai pelakon tambahan yang diberi gaji hari. Yang penting ada duit poket. Kalau nak harapkan duit biasiswa, berapa sangatlah,’’ cerita Idham.

Bagi Idham, biarpun ada pihak yang menganggap menceburi bidang penerbitan filem bagaikan satu perjudian tetapi ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangatnya.

‘’Bagi saya, kita jangan mudah mengaku kalah. Saya yakin filem-filem tempatan bukan sahaja mampu mewarnai industri filem tempatan malah akan dapat menguasai penonton luar.

‘’Apa yang penting kita perlukan pengarah yang berwawasan dan mempunyai misi serta fikiran yang terbuka. Saya bangga dengan kehadiran pengarah-pengarah muda seperti Afdlin Shauki yang saya yakin akan mengubah persepsi filem Melayu pada mata para cendekiawan,’’ kata Idham.

Tertubuhnya Execellent Pictures bukan sahaja menjadi puncak kejayaan Idham. Malah dia sendiri tidak pernah menduga begitu cepat dapat memiliki syarikat sendiri berserta studio dan peralatan penggambaran.

‘’Saya tidak menduga dapat mempunyai syarikat penerbitan sendiri dengan studio dan peralatan penggambaran. Tetapi itulah rezeki namanya.

‘’Bersama kawan sekolah yang kini mempunyai syarikat pengiklanan, kami mengeluarkan modal RM500,000 seorang sehingga terbentuknya syarikat ini.

‘’Mulanya pejabat kami di Ampang tetapi apabila penyanyi Hattan mahu menjual studionya di Taman Tun Dr. Ismail dengan segala kelengkapannya, kami bersetuju membeli.

‘’Sejak 1 Julai lalu, kami bukan sahaja mempunyai pejabat yang selesa malah sudah mempunyai bilik editing untuk menyunting semua drama terbitan kami,’’ kata Idham yang baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama terbitan Kuasatek Kama Sutra. Dalam drama itu dia berpasangan dengan Janet Khoo.

Pertama kali menjejaki banglo dua tingkat yang terletak di sebidang tanah di Golf & Country Resort Bukit Jalil, sudah tergambar cita rasa penghuninya.

Rumah mewah yang cantik dengan landskap yang menarik itu memang membuatkan siapa sahaja yang memandangnya terasa tenang dan damai.

Hati yang kagum melihat keindahan rumah milik pengarah dan penerbit muda ini tiba-tiba mati seketika bila penghuninya keluar sambil senyum melebar. Idham lalu berkata: ‘’Jangan salah anggap ya, ini bukan rumah saya tapi rumah ayah dan ibu mertua saya.”

Sudah hampir empat tahun Idham dan isteri, Jameah Aziz, 29, (Amy) dan anak-anak – Ahmad Firdaus, 5, dan Ahmad Aydeel satu setengah tahun – tinggal di situ.

‘’Adik-adik Amy semuanya sudah berkahwin dan disebabkan ayah dan ibu mertua saya terasa sunyi di rumah ini mereka mengajak kami tinggal bersama. Sekurang-kurangnya tawa riang anak-anak kami menceriakan rumah mereka,’’ kata Idham yang menanti kelahiran anak ketiganya yang dijangka pada Jun ini.

Menurut Idham, kerana faktor itulah dia jarang mahu bergambar di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Tetapi, katanya, disebabkan tujuan Mega menemubualnya di rumah lebih memfokuskan kepada kerjaya dan rancangan masa depan syarikatnya, dia bersetuju diinterviu.

Powered by Utusan Malaysia