Archive | August, 2011

Apabila Anita Di Rumah Umie

31 Aug

KEDATANGAN Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat Anita Sarawak atau Kak Nita kerana akan muncul dalam program khas, Astana Aidilfitri. Rancangan itu akan ke udara pada 31 Ogos ini di Saluran 104, Astro Ria.

Bagi Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd Taib, rancangan yang masuk musim kedua itu akan lebih menarik lagi pengisiannya.

“Bukan mudah untuk meraih kepercayaan pihak produksi Astana dan Kak Nita harus berterima kasih kepada mereka kerana tidak henti-henti bekerjasama dengan Kak Nita hingga Astana semakin mendapat tempat di hati penonton. Siapa sangka, konsep lawat ke rumah cantik secara santai ini cepat memancing perhatian penonton hingga disambung ke musim seterusnya.

“Namun bagi musim terbaru ini, Kak Nita akan cuba perbaiki mana-mana kelemahan yang dikesan agar semuanya lebih mantap. Mungkin Kak Nita akan lebih banyak berbual secara spontan dan mendalam mengenai rahsia penjagaan rumah dan membeli barangan.


“Sebenarnya Kak Nita sudah terbiasa memberikan idea kepada penerbit. Kak Nita rasa selesa kalau berjaya mencari tajaan sendiri dan memilih tetamu untuk memeriahkan rancangan ini.


“Ini akan pasti lebih memudahkan pihak produksi dan mengeratkan kerjasama antara kami agar semuanya lebih lancar,” jelas Anita lagi.

Istimewanya Astana Aidilfitri, selaku pengacara, Anita mengunjungi kediaman mewah dua selebriti terkenal, Datin Paduka Umie Aida dan Sazzy Falak yang baru saja menimang cahaya mata kembar.

Memang gamat jadinya apabila Anita mengunjungi rumah Umie di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Mana tidaknya, Umie turut mengundang rakan karibnya Erra Fazira, Zahida Rafik, Datin Sofia Jane serta produser berkaliber, Ziela Jalil untuk sama-sama hadir memeriahkannya.

Tidak setakat itu, pelakon juga peragawan, Alan Yun, Amber Chia dan Chef Ismail pun ada sama.

Menurut Anita, majlis rumah terbuka yang menjemput tenaga produksi Astana Aidilfitri begitu istimewa kerana membuka peluang kepadanya dan Umie serta Sazzy untuk menjalinkan hubungan lebih erat bersama tetamu lain.

Malah mereka juga sempat berkaraoke sambil Umie menceritakan mengenai pelbagai sudut menarik dalam rumah itu kepada Anita.

“Kak Nita sangat seronok berada di rumah Umie kerana hias dalamannya yang indah dan kemas. Selain kami semua menjamu selera masakan istimewa oleh Umie seperti ketupat, kuah lontong dan nasi minyak, Kak Nita sendiri berpeluang menyaksikan persembahan istimewa daripada Umie, adiknya, Betty Rahmad dan anak bujangnya, Danial Firdaus yang pandai bermain piano.

“Memang seronok menyambut Aidilfitri bersama Umie dan keluarganya kerana mereka begitu rapat dan penuh kasih sayang. Kak Nita sendiri dapat merasai kebahagiaan yang ada buat seketika,” katanya.

Anita sendiri sempat menyampaikan rangkaian lagu klasik popularnya, Ayam Den Lapeh, Lodeh Mak Lodeh dan Joget Gila Bayang, diiringi kumpulan muzik tradisional The Gambuse.

Kata Umie pula, dia bertuah apabila Anita dan kru Astro sudi datang ke rumahnya dan bersantai menyampaikan lagu di ruang tamu. Sebelum ini, Anita juga pernah menonjolkan kediaman Datuk Chef Wan, Datuk Yusof Haslam dan pengacara Linda Onn.

Sementara itu, Anita yang terkenal dengan lagu Seksis dan Asmara berkata, beliau kini makin bersemangat menjadi pengacara walaupun kerjaya nyanyian tetap nombor satu.

“Alhamdulillah Kak Nita masih lagi bertahan dalam industri seni meskipun begitu banyak wajah baru muncul. Mungkin ini sudah rezeki Kak Nita kerana Kak Nita percaya kita akan berjaya kalau kita ikhlas serta komited dengan setiap kerja yang kita buat,” katanya yang turut menghulurkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca Harian Metro.

Bahagia dengan sokongan suaminya, Mahathir Abdullah, sebelum ini Anita juga pernah menjayakan program lain seperti Anita, Kwek Mambo Anita, Chef Diva Anita Sarawak dan Dekorasa Bersama Anita Sarawak.

Harian Metro

Advertisements

Sampaikan Merdeka Raya

31 Aug

PELBAGAI program menarik disusun stesen televisyen menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan esok. TV3 bertemakan Salam Syawal TV3, tidak lupa menyajikan program menarik menjelang Syawal untuk memeriahkan lagi sambutannya.

Paling popular, tentulah Sampaikan Merdeka Raya yang akan bersiaran secara langsung, jam 11 malam ini. Program istimewa berbentuk hiburan berinteraktif menjelang Hari Raya dan Hari Merdeka ini memaparkan ucapan dan pesanan musim perayaan bersama barisan penyampainya, Wahid, Nabil, Usop Wilcha, AG HOT FM dan Sharifah Shakina diselangi persembahan nyanyian artis popular tanah air.

Penonton boleh mendedikasikan lagu raya kegemaran dan ucapan raya menerusi kad raya dan mesej pesanan ringkas (SMS) kepada orang tersayang menerusi program ini yang bersiaran di Pusat Membeli-Belah 1 Utama (Sayap Baru), Petaling Jaya.

Artis jemputan, Shiha, Black, Jaclyn Victor, Awi Rafael, Mila, Desiree, Aizat, Alyah dan Nubhan.

Tidak ketinggalan, Istimewa Jejak Rasul jam 11 pagi ini. Episod khas selama 60 minit ini memaparkan persiapan masyarakat Muslim di Moscow dan Crimea menyambut

hari raya.


Jejak Rasul episod khas merungkai budaya, sejarah dan adat resam masyarakat Muslim dan menghayati keindahan sinar bulan Syawal di bumi bekas jajahan komunis itu.

Harian Metro

Nora Tidak Balik Beraya Di Kelantan

31 Aug

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


NORA, Johan nawawi dan dua orang anak mereka bersama VOU yang terlibat dalam penghasilan single Pedoman.

KEBANYAKAN anak Kelantan yang berhijrah dan mencari rezeki di Kuala Lumpur biasanya akan pulang berhari raya di kampung masing-masing termasuklah penyanyi Nora.

Walau bagaimanapun, penyanyi berasal dari Kota Bahru ini berkata, tahun ini dia tidak pulang beraya di Kelantan, sebaliknya hanya di Kuala Lumpur bersama-sama sanak saudaranya yang ramai menetap di sini.

Ini kerana, jelas Nora bagi memberi laluan kepada anak keduanya, Syakir Alif, 12, supaya lebih fokus dalam membuat persiapan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang akan didudukinya tidak lama lagi.

‘Kebetulan saudara mara saya dan Johan juga banyak yang tinggal di Kuala Lumpur. Jadi, kami saling akan kunjung mengunjungi satu sama lain. Bukan saya sahaja tetapi ramai lagi saudara mara saya yang tidak balik Kelantan.

‘Masing-masing ada urusan sendiri. Namun, suasana raya tetap dirasai kerana kami saling berjumpa dan beraya bersama-sama. Kalau ada rezeki tahun depan boleh beraya lagi di Kelantan,’ katanya sewaktu ditemui selepas rakaman rancangan Melodi Raya terbitan TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini

Pada pertemuan itu, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Arifin hadir bersama suami, Johan Nawawi dan dua anaknya, Syakir Alif, 12, dan Puteri Nur Dahlia, 7, berkata, biarpun tidak pulang beraya di Kelantan tetapi persiapan rayanya tetap sama.

Dia juga akan memasak sendiri hidangan raya seperti roti jala dan nasi dagang untuk seisi keluarga selain kuih muih raya kerana kurang aktif menyanyi serta mempunyai lebih kelapangan di rumah sepanjang bulan puasa ini.

Berniaga tudung pada Ramadan

Ekoran faktor itu, penyanyi yang popular dengan lagu Naluri itu, pada bulan Ramadan kebanyakan penyanyi termasuklah dirinya tidak banyak menerima undangan menyanyi dan aktivitinya lebih ke arah meningkatkan amal ibadat.

Namun, pada masa sama penyanyi bersuara lantang ini menganggap kedatangan bulan yang mulia itu bukan setakat untuk beramal ibadah semata-mata, tetapi dia turut berniaga bagi menambahkan pendapatannya.

‘Terbaru saya menjalankan perniagaan menjual tudung yang saya reka sendiri dengan nama Tudung Nora. Ia direka secara eksklusif dan belum ada tudung yang sama sepertinya di pasaran buat masa ini.

‘Saya mereka sendiri gubahan tudung itu, manakala untuk menjahit dan merealisasikannya menjadi sebuah produk, saya telah mengupah seorang pereka fesyen khas. Ia bagi melancarkan penghasilan produk itu.

‘Saya hanya mengeluarkan idea bagi menghasilkan gubahan tudung itu. Malah, Tudung Nora hanya saya jual melalui laman sosial Facebook sahaja dan ia dijual dalam edisi yang amat terhad,’ ujarnya.

Jelas isteri kepada komposer terkenal Johan Nawawi ini, aktiviti menggubah dan menjual Tudung Nora itu dilakukannya bagi mengisi masa lapangnya sepanjang bulan puasa ini dan ia semakin mendapat sambutan ramai.

Tambah Nora, ideanya menghasilkan Tudung Nora itu tercetus sewaktu dia berkunjung ke Dubai pada tahun 2008 dan terlihat pelbagai jenis tudung di jual di sana yang boleh dipasarkan di negara ini.

‘Kebetulan pula pada waktu itu saya pun baru mula hendak bertudung. Jadi, saya kata mengapa tidak saya mencipta sendiri tudung dan kemudiannya menjualnya melalui Facebook. Saya mahu menjadikannya suatu trend dalam bertudung.

‘Apatah lagi, Tudung Nora ini cukup praktikal digunakan kerana ia sesuai untuk setiap wanita dan digubah dalam pelbagai bentuk serta warna,’ ujarnya yang bercadang membuka butik sendiri pada masa depan.

Selain Tudung Nora, penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu, turut menjalankan perniagaan menjual biskut dan kek sepanjang bulan Ramadan ini.

Perniagaan biskut dan kek yang diberi nama Secukup Rasa itu telah dijalankannya sejak lapan tahun lalu itu turut dijual kepada para peminat dan kawan-kawannya di Facebook.

Utusan

Nira Rindu Raya Bersama Faizal

31 Aug

SELAIN zuriat, apa yang diharapkan pasangan suami isteri adalah jodoh berpanjangan hingga ke akhir hayat. Namun, manusia hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan. Begitulah juga nasib yang menimpa Rosmunira Rashid, 25.

Pada usia muda, Rosmunira yang mesra dengan panggilan Nira diuji dugaan berat apabila suami tersayang, pelakon Mohd Faizal Yusup, 33, pergi menghadap Yang Maha Esa, tanggal 1 Januari lalu, tatkala dirinya mengandung lima bulan.

Reda dengan takdir Ilahi, Nira tabah menghadapi dugaan itu sekalipun sukar pada awalnya kerana kejadian menimpa arwah suami berlaku terlalu pantas.

Allahyarham yang sentiasa nampak sihat, tiba-tiba saja meninggal dunia akibat serangan jantung.

Bertemu Nira di kediaman keluarganya di Taman Ibukota Kuala Lumpur, baru-baru ini, nyata wanita itu sudah kelihatan tenang dan mampu menerima kenyataan yang amat pahit ditelan. Namun, apakan daya ‘yang pergi, takkan kembali lagi’.

Ditemani cahaya mata tunggal hasil perkongsian hidup dengan Faizal, menyuntik semangat kepada Nira untuk kembali meneruskan hidup. Kehadiran Muhammad Raqqim Faizal Mohd Faizal atau Raqqim yang baru berusia empat bulan cukup bermakna.

“Tak dinafikan, saya begitu merasai kehilangan arwah pada mulanya hingga tidak tahu bagaimana mahu meneruskan hidup. Namun, semangat baru datang kembali selepas memikirkan anak dikandung dan melahirkan Raqqim. Kini, Raqqim permata hidup saya.

“Biarpun harus membesarkannya sendiri, tetapi saya akan berusaha sebaik mungkin supaya Raqqim tak berasa kehilangan kasih seorang bapa. Justeru, saya sentiasa mengenalkan dia dengan arwah walaupun hanya menerusi foto kenangan pernikahan kami.

“Sekalipun masih bayi, syukur Raqqim seakan mengerti dia sudah tiada bapa.

Saya bukan saja mudah melahirkannya, tetapi Raqqim juga tidak banyak ragam seperti menangis di tengah malam. Amat mudah menjaganya kerana sukar dengar dia menangis,” katanya.

Berbicara mengenai Ramadan, Nira berkata sepanjang tempoh berpuasa tahun lalu, setiap hari dia dan arwah pasti berbuka bersama. Justeru, kali ini memang terasa sangat kehilangan kerana harus berbuka dan bersahur seorang diri dan ditemani keluarga.

Ditanya mengenai juadah kegemaran arwah suaminya, Nira berkata Faizal sangat menyukai masakan ikan tongkol masak kicap, apa saja kari yang dimasak ibunya, Supiah Kassim dan pajeri terung. Katanya, pajeri terung hidangan utama berbuka.

Mengenai persiapan Syawal pula, Nira berkata menjadi rutin Faizal menyediakan segala keperluan untuk ibu bapa, keluarga dan anaknya bersama bekas isteri, Siti Nordiana (Nana), Muhammad Rayyan Nakhaie, 3. Kemudian, barulah keperluan mereka.

Pasangan yang berkahwin pada 10 Januari tahun lalu itu hanya sempat melayari bahtera rumah tangga bersama selama setahun. Kata Nira, suaminya seorang yang tegas dan penyayang. Malah, Faizal juga selesa berbicara soal karier berbanding peribadi kepada media.

“Atas sebab itu, dia tidak terlalu menonjolkan saya kepada umum. Tetapi, kalau kami keluar ke pusat beli-belah dan bertemu dengan wartawan, dia tak kekok pula memperkenalkan saya adalah isterinya. Apapun, saya suka dengan caranya itu.

“Saya bukan artis dan hanya bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengurus produksi. Justeru, adalah wajar saya tidak terlalu menonjol diri,” katanya. Nira sudah pun menyediakan segala keperluan hari raya untuk anak kesayangannya, Raqqim.

Menurut Nira lagi, Faizal juga lebih senang tidak terlalu menguar-uarkan perkahwinan mereka. Ini kerana, ketika itu pun banyak hati yang perlu mereka jaga dan hormati. Apapun, sepanjang perkahwinannya dia amat bahagia di samping arwah.

Mengenai hubungannya dengan Nana, Nira akui arwah suami tidak pernah memperkenalkan mereka, tetapi sebelum meninggal, ada meminta dia dan Nana menjalinkan hubungan baik. Kata arwah, tiada siapa yang bersalah atas apa yang sudah berlaku antara mereka.

“Arwah turut bertanya apakah saya akan menerima Rayyan sekiranya dia sudah tiada. Ketika itu, saya tak terfikir apa-apa selain berkata padanya akan terima dan melayan Rayyan seperti anak sendiri. Kini, selepas arwah tiada baru saya faham.

“Hubungan saya dan Nana baik, apatah lagi Rayyan juga memanggil saya ‘mummy’. Malah, setiap kali Nana menghantar Rayyan ke rumah mentua, saya tak lupa membawanya menziarah kubur arwah. Apapun, Rayyan juga faham ayahnya sudah tiada,” katanya.

Nira turut mengakui hingga sekarang dia masih tidak boleh menonton lakonan Faizal di televisyen. Ujar Nira, sekiranya menonton dia akan berasa seperti arwah suami masih ada, tetapi tak tahu pergi ke mana.

Menyentuh soal apakah dia akan bersedia membina rumah tangga kedua jika dipertemukan jodoh, Nira berkata sekiranya itu ketentuan daripada Tuhan, dia akan menerima. Tetapi, jika untuk mencari jodoh itu sendiri, tidak mungkin dia melakukannya.

Harian Metro

Masih Gunakan Pengaruh Mat Rempit

31 Aug

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan ihsan EXCELLENT PICTURES


JULIANA Evans menjadi hantu dalam filem Hantu Bonceng.

AHMAD Idham merupakan pengarah yang bijak menerbit serta mengarahkan filem-filem yang jalan ceritanya dekat di hati para penonton terutamanya golongan muda di negara ini.

Kisah mat rempit atau pelumba haram antara jalan cerita yang sering dipaparkannya menerusi layar perak seperti filem Remp-It (2006), Impak Maksima (2007) dan Adnan Sempit (2010).

Terbaru pengarah berusia 40 tahun ini sekali lagi menggunakan pengaruh watak mat repit menerusi Hantu Bonceng biarpun filem itu dikategorikan dalam genre komedi seram.

Menurut Idham, dia tidak bergantung kepada kekuatan watak mat rempit semata-mata, tetapi banyak lagi cerita dalam bidang permotoran yang boleh diketengahkannya melalui filem.

‘Dalam filem Hantu Bonceng saya menggunakan watak seorang penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan segera tetapi ia diolah secara santai.

‘Ia tidak sama seperti Remp-It yang lebih ke arah dunia permotoran. Setiap satu filem tentang mat rempit yang saya paparkan berbeza situasi dan latarbelakang kerjaya mereka.

‘Sebab itu, saya rasa ada banyak lagi kisah mat rempit atau dunia permotoran yang boleh diketengahkan dalam filem,’ katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas pratonton Hantu Bonceng di pawagam Odeon itu, pengarah yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah ini menafikan kisah mat rempit membawa pengarah yang negatif.

Sebaliknya kata Idham, dalam Hantu Bonceng yang diterbitkan syarikatnya, Excellent Pictures dia cuba memaparkan banyak mesej berbentuk nasihat yang boleh diteladani para penonton.

‘Memang sasaran penonton filem ini adalah remaja dan mereka yang menunggang motosikal. Dalam hal ini, saya mahu tunjukkan antara sebab yang menyebabkan mat rempit insaf.

‘Saya pula menggunakan Zizan Raja Lawak melakonkan watak Amran kerana dia juga merupakan penunggang motosikal di Kuala Terengganu suatu ketika dulu.

‘Jadi Zizan lebih faham dan boleh menghayati watak Amran dengan baik. Saya juga sudah meneliti karekter Zizan dan dia memang sesuai membawakan watak itu,’ ujarnya.

Zizan yang ditemui pada majlis itu tidak menafikan kebanyakan penonton menyukai kisah-kisah mat rempit kerana ia bukan sahaja berkait rapat dengan realiti kehidupan masa kini.

Malah, finalis pertandingan Maharaja Lawak ini berkata, dia dapat melihat penerimaan para penonton terhadap filem seperti itu sewaktu pratonton Hantu Bonceng diadakan.

‘Ini adalah kali ketiga saya menonton Hantu Bonceng dan saya dapati penerimaan para penonton cukup baik. Pada pratonton ini sambutannya juga cukup positif.

‘Sewaktu 10 peratus pertama tayangan filem ini para penonton ketawa melihat gaya lakonan saya. Saya lega kerana filem ini boleh mencuit hati penonton walaupun saya nampak serius.

‘Ini adalah suatu petanda positif di mana saya harap sambutannya akan berterusan dan bukan setakat sewaktu majlis pratonton ini sahaja,’ katanya penuh optimis.

Pada majlis pratonton tersebut, seramai hampir 50 ahli kelab Zizan FC hadir memberi sokongan terhadap filem yang menelan kos produksi dan promosi yang mencecah RM1.5 juta itu.

Filem ke-23 arahan Idham dalam genre serius komedi itu akan ditayangkan serentak pada Hari Raya Aidilfitri ini di 80 buah pawagam seluruh negara termasuklah Singapura dan Brunei.

Selain Zizan, turut membintangi Hantu Bonceng ialah Juliana Evans yang melakonkan watak Maya dan Ayu, Jue Aziz (Halimaton), Taiyuddin Bakar (Kunyit) dan Azlan Kami (Dani).

Utusan

Ragam Ramlah & Alyah

31 Aug

PELBAGAI elemen menarik dapat disaksikan menerusi program Konsert Sensasi 2, Ramlah Ram & Alyah Abu Hasan yang bakal menemui penonton menerusi TV2, RTM pada Syawal pertama, jam 9 malam.

Program terbitan Mohd Yusni Mohd Ali ini menampakkan kebolehan berbeza Ramlah dan Alyah yang bukan saja berbakat besar sebagai penyanyi, bahkan boleh berlakon dengan baik.

Menurutnya, program yang menampilkan kerjasamanya bersama Hizbullah, Farouk, Emma dan Shikin sebagai pembantu penerbit agak berbeza kerana rakaman bukan saja berlangsung di studio seperti konsert lain, sebaliknya turut menggunakan lokasi luar untuk rakaman sketsa bagi memberi kelainan dan menyuntik kesegaran agar penonton terhibur.

“Rakaman untuk konsert dibuat di Auditorium Perdana, Angkasapuri. Tapi untuk sketsa kami melakukan penggambaran sekitar Angkasapuri dan Shah Alam.


“Rakaman untuk konsert ambil masa hanya sehari bersama artis jemputan iaitu finalis program Tiada Lama Tiada Baharu (TLTB), Awis yang berduet dengan Ramlah menyanyikan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan lagu baru, Bernama Cinta Ini.


“Rakaman untuk sketsa pula ambil masa selama dua hari di mana selain konti radio RTM, kami turut gunakan kawasan perumahan dan butik di Shah Alam. Pelakon undangan pula ialah Tam. Proses rakaman berjalan lancar kerana semua mereka memberikan kerjasama sepenuhnya untuk program ini,” katanya.

Tambah Yusni, idea menghasilkan konsep begini sudah lama difikirkannya. Selepas berbincang dengan penulis skripnya, Slen, idea ini dapat dikembangkan dengan sempurna dan bertambah menarik.

“Memang satu kelainan untuk konsert kerana sketsa dilakonkan oleh mereka sendiri. Sketsa ini dipecahkan kepada beberapa segmen iaitu tema balik kampung di mana Ramlah sedang tunggu teksi hendak ke stesen kereta api untuk balik kampung dan Alyah pula jadi pemandu teksi.

“Sketsa kedua pula, Alyah terdesak cari duit raya hingga terpaksa jadi model patung di butik. Kami juga buat sketsa di mana Ramlah jadi ibu ikan kaloi dan Alyah sebagai anak yang sering memberi ‘ibunya’ makan.

“Sketsa ini menampilkan unsur nasihat. Mereka sebenarnya bukan musuh, tapi adalah rakan sekampung yang mempunyai cita-cita sendiri. Alyah sebenarnya nak jadi penyanyi tapi ditipu promoter hingga terpaksa kerja bawa teksi. Segmen penamat sketsa ini ialah di mana mereka jadi penyampai radio untuk stesen masing-masing.

“Setiap sketsa selama tiga minit ini akan disiarkan sebelum iklan.

Keseluruhannya ada empat sketsa dalam program ini. Saya sebenarnya susah nak ketawa kalau hasilkan sesebuah program, tapi bila saya boleh ketawa tandanya sketsa mereka sangat menghiburkan,” katanya yang sudah 13 tahun menjadi warga kerja RTM.

Yusni berpuashati menerbitkan program ini kerana tiada masalah besar dihadapi. Apatah lagi dia sudah lama mengenali Ramlah dan Alyah. Kedua-duanya memberikan kerjasama yang cukup baik biarpun rakaman adakalanya tertangguh kerana masalah teknikal dan keadaan cuaca tidak menentu.

“Saya dah lama kenal Ramlah dan kagum kerana walaupun dia seorang yang berada di kelas tersendiri, dia tak sombong, merendah diri dan senang bekerjasama.

Inilah faktor dia terus kekal dalam dunia seni.

“Alyah pula saya kenal ketika terbabit dalam uji bakat bintang HMI. Masing-masing tak segan antara satu sama lain dan sering berikan kerjasama yang baik. Saya bagi skrip pun mereka boleh hafal dengan cepat,” katanya memuji mereka berdua.

Selain program ini, Yusni turut menerbitkan Konsert Merdeka Raya Orkestra RTM yang akan disiarkan menerusi TV1 sempena sambutan Merdeka yang menampilkan Noryn Aziz dan Nazi (TLTB) serta program Hahaha…Raya Gitew menampilkan Nurul Wahab sebagai pengacara serta Abon, Angeline Tan, Kanchana Dewi, Izwan Pilus, Sabhi Saddi dan Alyah.

“Program berkonsep game show ini akan disiarkan menerusi TVI saluran 180 Astro pada 30 Ogos jam 9 malam. Artis dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Alyah dan Abon dalam kumpulan Batang Buruk, Sabhi dan Angeline (Nasi Himpit) serta Izwan dan Kanchana (Dodol). Game show ini sesuai sebagai hiburan seisi keluarga. Saya turut menyelitkan klip video lagu popular dan hari raya didalamnya,” katanya.

Ramlah pula gembira kerana buat pertama kalinya terbabit dalam program sebegini.

Baginya ini pengalaman baru kerana selama ini dia hanya menyanyi dalam program yang disertainya. Manakala Alyah pula begitu teruja dapat bergandingan dengan artis senior seperti Ramlah.

“Sebenarnya saya takut dengan artis senior, tapi Kak Ramlah sangat baik dan tak kedekut ilmu. Sketsa kami semuanya berkonsep komedi jadi kami tiada masalah sangat nak melakonkannya. Kami juga boleh serasi antara satu sama lain. Saya juga gembira kerana dapat berduet lagu Penawar Rindu dengannya.

“Lagu berentak ghazal ini antara lagu yang wajib dinyanyikan oleh orang Johor. Ini satu kesempatan besar kerana dulu saya hanya tengok Kak Ramlah menyanyi atas pentas, tak sangka sekarang saya dapat berduet dengannya dalam satu konsert khas,” katanya.

Harian Metro

Rindu Di Hari Raya

31 Aug

Oleh HASNURUL MOHAMED
Gambar JEFRI IRAN


KERINDUAN SAleem untuk beraya dengan lima lagi orang anaknya belum terubat.

JATUH bangun Saleem atau pemilik nama sebenar, Salim Abdul Majeed, 50, dalam dunia seni suara tanah air tidak pernah melunturkan semangatnya untuk menjadi insan yang lebih baik pada hari ini.

Biar seribu dugaan dalam kehidupan terpaksa dilaluinya namun pelantun lagu Bukan Aku Tak Cinta ini mengakui, hati kecilnya tersentuh setiap kali mendengar takbir di pagi Syawal.

Kata bekas vokalis kumpulan Iklim yang telah mengorak langkah sebagai penyanyi solo menerusi album Maaf/Juwita pada tahun 1998 ini, tiada siapa yang dapat memahami perasaan dan penyesalan kerana berpisah dengan lima zuriatnya hasil perkahwinan pertamanya dahulu.

‘Kalau boleh, di hari baik bulan baik ini, saya tidak mahu bercerita pasal perkara itu kerana akan dikatakan mengungkit.

‘Cuma saya akui ada rasa rindu tetapi jurang yang wujud di antara saya dengan anak-anak saya itu amat besar. Inilah tragedi dalam kehidupan saya.

‘Hari ini, saya bersyukur kerana masih ada keluarga bahagia. Saya mempunyai isteri dan seorang lagi anak yang sentiasa mendampingi saya,’ kata penyanyi bersuara serak-serak basah yang hadir ke Studio Utusan untuk sesi fotografi sempena Hari Raya baru-baru ini.

Biarpun hari ini Saleem yang mengahwini Juriah Bachok, 47, dan dikurniakan dengan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, namun kerinduan Saleem untuk berhari raya dengan lima lagi anak-anaknya masih tebal dan tidak pernah pudar.

‘Ada waktunya saya tidak mahu memikirkan tentang anak-anak yang lain tetapi sebagai seorang ayah, saya tidak dapat melupakan mereka terutamanya ketika membuat persiapan raya.

‘Bukan saya tidak mahu menjadi ayah yang baik kepada mereka tetapi perpisahan yang terjadi atas kesilapan sendiri membuatkan saya tidak rapat dengan mereka dan tidak kenal mereka.

‘Bagi memujuk hati, kehadiran Mohd. Amirulmukminin, anak daripada perkahwinan kedua saya membuatkan kesepian dan kerinduan di hati sedikit sebanyak terubat juga.

‘Jika tidak, entah di mana dan bagaimana keadaan saya hari ini,’ luahnya.

Menyedari hakikat dirinya tidak begitu rapat dengan lima lagi anaknya yang lain, pelantun lagu malar segar Suci Dalam Debu ini mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada Amirulmukminin.

‘Mirul (panggilan manja) adalah segala-galanya bagi saya kerana kehadirannya dalam hidup saya bukan setakat sebagai penyeri tetapi lebih daripada itu.

‘Maka itulah, persiapan hari raya adalah untuknya. Baju Melayu baru Mirul mesti ada sekurang-kurangnya dua pasang.

‘Saya tidak kisah jika memakai baju lama tetapi isteri saya, Juriah akan memastikan kami sekeluarga mempunyai pakaian baru dan selalunya, kami pakai warna sedondon.

‘Saya tidak begitu beri perhatian tentang persiapan raya kerana segala-galanya diuruskan oleh Juriah. Saya akur sahaja,’ katanya.

Utusan