Archive | Coldplay RSS feed for this section

Tatu, Cantik Atau Hodoh?

20 Mar

TATU pada suatu masa dahulu adalah satu corak yang sentiasa dikaitkan dengan kumpulan gangster dan kongsi gelap. Maka mereka yang mencacah tatu selalunya dianggap sebagai orang tidak senonoh atau ‘jahat’.

Namun, disebabkan tren mencacah tatu semakin popular di kalangan selebriti, tatu bukan lagi dianggap sesuatu yang ‘haram’ di Barat tetapi satu seni yang digilai ramai.

Bermula dengan penyanyi rock yang memenuhi badan mereka dengan corak tatu, artis muda seperti Rihanna, Chris Brown, Lindsay Lohan, Ashley Simpson dan Sienna Miller juga terpengaruh dengan keindahan tatu.

Minggu ini, dirungkai beberapa kisah menarik artis Hollywood yang mempunyai alasan tertentu untuk mencacah tatu di badan mereka.- JESSABELL SOO

Tatu bogel Victoria Beckham

DAVID BECKHAM telah mendapatkan tatu baru pada Februari lalu tetapi kali ini bukan sekadar corak mahupun nama anaknya tetapi gambar bogel isterinya, Victoria Beckham.

Pemain bola sepak ini mencacah tatu sebesar tujuh inci di lengan kirinya yang memaparkan gambar Victoria berbaring dalam keadaan bogel dengan dikelilingi bintang serta kaki terangkat.

Tatu itu yang berharga ΰ2,500 (RM16,000) dibuat berdasarkan gambar kegemaran David Beckham yang dirakamkan empat tahun lalu untuk majalah Pop.

“David teruja dengan hasilnya kerana dia berpendapat Victoria adalah malaikat dan sebab itulah dia membuat keputusan untuk meletakkan bintang di sekelilingnya. Dan Victoria sendiri berasa bangga dengan tatu itu,” kata satu sumber.

Beckham, 32, mempamerkan tatu terbarunya – yang direka berdekatan dengan nama Victoria dalam bahasa Tamil semasa dia bermain bola sepak di pantai Brazil untuk melancarkan akademi bola sepaknya. Imej baru itu direka oleh artis tatu peribadi Beckham, Lou Molly dan ia merupakan tatu ke-11 Beckham.

Pada 18 Februari pula, Beckham dan Victoria memperbaharui ikrar cinta mereka dan merahsiakan perkahwinan kedua mereka. Beckham dilaporkan melamar Victoria buat kali kedua pada 8 Mei 2006.

Beckham dan Victoria juga mencacah satu tatu di pergelangan tangan bagi memperingati tarikh bersejarah itu.

Ibu Hayden menangis

DIA muncul sebagai aktres remaja berimej bersih tetapi Hayden Panettiere telah membuatkan ibunya menangis. Bukannya dia telah melakukan salah laku berat tetapi pelakon yang popular dengan drama popular, Heroes telah mencacah tatu pada tubuhnya tanpa kebenaran ibunya.

Aktres berusia 19 tahun itu sebenarnya sudah mencacah tatu itu dua tahun lalu pada pergelangan kakinya, tetapi merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ibu bapanya.

“Tatu pada pergelangan kaki saya itu adalah lambang bintang zodiak saya, Leo. Ibu tidak tahu saya cacah tatu itu. Namun ketika badan saya perlu diimbas oleh mesin pengimbas bagi babak efek khas Heroes, ibu ternampak tatu itu.

“Dia kemudian cuba mengelapnya tetapi mendapati ia adalah tatu tulen. Tidak lama kemudian, air mata ibu mula mengalir,” kata Hayden kepada Contactmusic.

Kekesalan tatu Robbie

MENCACAH tatu mungkin sesuatu yang ‘membanggakan’ terutamanya kepada penyanyi yang berimej liar seperti Robbie Williams. Namun, Robbie kini berasa kesal kerana memiliki terlalu banyak tatu pada tubuhnya sehingga dia bosan melihat tubuhnya setiap hari.

Selain daripada itu, dia sedang berfikir untuk melakukan pembedahan membuang tatu yang ada supaya kulit tubuhnya kelihatan seperti asal.

“Saya berhasrat untuk melakukan pembedahan menghapuskan semua tatu saya,” katanya kepada IOL.com.

Robbie kini berasa bosan melihat tubuhnya kerana dihiasi dengan pelbagai jenis tatu yang dianggap tidak menarik lagi.

“Saya sangat suka saat tatu itu dilukis pada tubuh saya. Namun, sekarang saya berasa alangkah bagus jikalau tubuh badan saya kembali bersih daripada tatu,” ujarnya yang merupakan bekas anggota kumpulan Take That.

Angelina Jolie buang tatu

MEMANDANGKAN hubungan antara Brad Pitt dan Angelina Jolie semakin intim, Pitt mula meyakinkan Jolie untuk membuang tatu kerana aktres ini memiliki 11 tatu pada tubuhnya.

“Brad tidak mahu Angelina merasakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal 20 tahun akan datang nanti,” kata satu sumber.


ANGELINA dalam proses membuat tatu pada bahagian belakangnya.

Angelina sebelum ini telah pun membuang tatu perkataan Billy Bob, iaitu nama bekas suaminya Billy Bob Thornton yang dicacah pada lengan kirinya menggunakan laser.

Walau bagaimanapun, perancangan membuang tatu lain tidak akan dijalankan secara drastik. Antara tatu lain yang terdapat pada badan Angelina ialah tulisan Latin di perutnya, Quad me nutrit me destruit yang membawa maksud ‘apa yang berkhasiat juga boleh memusnahkan saya.’

Cinta singkat Mel B

BIARPUN Eddie Murphy, 47, dan Mel B, 33, hanya sempat bercinta beberapa minggu, namun anggota Spice Girls ini sempat membuktikan cintanya terhadap Eddie dengan mencacah nama Murphy pada bahagian pinggangnya.

“Mereka (Eddie dan Mel B) cuba merahsiakan perhubungan walaupun sebenarnya memang bercinta. Tatu ini adalah bukti terbaik,” kata satu sumber kepada Contactmusic.

Namun, sebelum Mel B sempat melahirkan anaknya bersama Eddie, mereka telah berpisah. Dan apa yang memburukkan keadaan, Eddie tidak mengaku anak kandungan Mel B itu adalah anaknya. Mereka berdua kini sudah mempunyai pasangan hidup baru.

Tatu Gwyneth buat Chris

AKTRES jelita, Gwyneth Paltrow mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan perasaan cinta terhadap suaminya, Chris Martin.

Dia baru-baru ini telah mencacah tatu kecil huruf C di bahagian atas pahanya di sebuah kedai tatu yang terletak di London.

Semasa mencacah tatu berharga ΰ60 (RM385) itu, dia kelihatan gementar dan tukang cacah, Steve Flannery menghabiskan 20 minit untuk menyiapkan kerjanya.

“Pada mulanya, dia ingin mencacah tatu di tangannya tetapi takut ia akan menjejaskan karier lakonan. Maka selepas itu, dia membuat keputusan untuk melakukannya di paha kanannya,” jelas Steve.

Huruf C yang dicacah bukan menunjukkan maksud Coldplay tetapi dia memberitahu ia adalah untuk Chris. Mereka berdua menghadapi masalah untuk meluangkan masa bersama kebelakangan ini kerana Chris sedang sibuk menyiapkan album Coldplay dan Gwyneth pula sedang menjalankan penggambaran filem terbarunya, Iron Man.

Ikrar rahsia Beyonce

TERDAPAT banyak cara yang dilakukan oleh selebriti Hollywood untuk meluahkan perasaan cinta mereka. Dan bagi pasangan penyanyi popular Beyonce Knowles, 27, dan Jay-Z, 39, yang telah berkahwin secara rahsia di satu majlis di Paris, Perancis, Disember lalu juga mempunyai cara tersendiri.

Menurut satu sumber, Beyonce dan Jay-Z telah mencacah satu tatu yang tertulis ikrar peribadi mereka di jari manis masing-masing.

“Mereka mahukan majlis perkahwinan itu diadakan secara tertutup dan romantik tanpa tumpuan orang ramai. Apa yang menarik, mereka mencacah tatu ikrar di jari manis masing-masing,” katanya.

Jay-Z dilaporkan telah melamar Beyonce ketika pasangan itu sedang bercuti di Cannes, Perancis pada hujung bulan Mei lalu.

Tatu pelengkap fesyen Johnny

PENAMPILAN dirinya tidak pernah berubah sejak dua dekad lalu. Mengekalkan cita rasa tersendiri, Johnny Depp tidak hanya akan tampil kosong dengan kemeja-T atau jean lusuh, sebaliknya fesyennya akan dilengkapi dengan aksesori lain seperti topi atau rantai.

Kini dengan topi serta rantai dia melengkapkan dirinya dengan tatu yang bersepah pada tubuh badannya.

“Fesyen dan kerjaya harus bergerak seiring. Saya suka kerja dan saya juga suka fesyen. Saya selesa dengan apa yang saya gayakan. Terpulang kepada mereka yang menilai,” kata pelakon yang terkenal menerusi filem-filem hebatnya seperti Pirates of the Caribbean, Charlie and the Chocolate Factory dan Edward Scissorhands.

Kosmo

Advertisements

Fendi X-Factor Tenang Selepas Kahwin

13 Jul

Oleh WANDA IDRIS

Sehingga ke akhir hayatku
menyintaimu
Sehingga ke akhir hayatku setia
pada mu
Kuberani bersumpah kerna tiada
lagi tak ku yakini
Sehingga ke akhir hayatku…

ITULAH antara bait-bait korus lagu Sehingga Ke Akhir Hayatku yang pernah dipopularkan oleh kumpulan X-Factor satu ketika dahulu.

Dan lagu dengan lirik penuh makna itu didendangkan oleh Fendi bersama kumpulan X-Factor khas buat isteri tercinta, Wan Intan Nadia Nor Aman, pada majlis resepsi perkahwinan mereka di sebuah hotel di Petaling Jaya pada malam minggu lalu.

Tentu sahaja lagu itu menjadi tanda kasih dan cinta Fendi kepada isterinya yang telah dikenali sejak dua tahun lalu.

“Tenang rasanya selepas diijabkabulkan,” kata Fendi atau nama sebenarnya Syed Affendi Syed Ibrahim, 29, ketika ditemui selepas majlis resepsi yang diadakan oleh pihak lelaki.

Fendi dan Nadia, 29, telah dijabkabulkan pada 24 Jun lalu dengan mas kahwin sebanyak RM1,001 sementara wang hantaran pula berjumlah RM10,000.

Pada majlis pernikahan itu, pihak lelaki memberi tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Menurut Fendi, selepas bergelar suami isteri, Fendi dan isterinya terpaksa berjauhan kerana Nadia kini bertugas di Belanda menguruskan projek syarikatnya di sana sehingga penghujung tahun ini.

“Tetapi setiap bulan Nadia akan pulang bercuti ke tanah air,” kata Fendi.

Nadia yang berada di sebelahnya kemudian menyampuk, “Nampaknya selepas ini hanya telefon dan e-mel yang akan menjadi penghubung untuk melepaskan kerinduan.”

Nadia merupakan seorang konsultan teknologi maklumat (IT) di sebuah firma di negara ini sementara Fendi yang sebelum ini bertugas di bahagian kewangan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) baru sahaja berpindah kerja di sebuah syarikat di Cyberjaya dalam bidang IT.

Fendi yang berhasrat untuk memiliki tiga cahaya mata memberitahu, tidak banyak perubahan yang berlaku selepas mereka bergelar suami isteri.

“Hanya selepas Nadia pulang ke Malaysia, barulah kami boleh merancang kehidupan, misalnya untuk membeli rumah dan sebagainya,” ujar Fendi.

Bercerita tentang kisah cinta mereka, kata Fendi, dia mula berkawan dengan Nadia yang dikenalinya melalui teman pada tahun 2003.

Dia menyenangi Nadia kerana isterinya itu seorang yang sangat memahami dan amat berdikari.

“Lebih penting, dia memberi saya ruang untuk melakukan perkara yang saya ingin dan suka buat, misalnya bermain ragbi.

“Dulu masa saya berkawan dengannya, saya masih bersama kumpulan X-Factor dan dia tidak pernah menghalang saya untuk pergi show dan sebagainya,” ujar Fendi.

Setelah dua tahun berkawan, kata Fendi, dia melamar Nadia di Menara Eiffel Tower sewaktu bercuti di sana pada penghujung tahun lalu.

“Romantik memanglah romantik… ingatkan saya orang pertama yang membuat lamaran di atas menara tu.

“Tapi ada pula pasangan lain yang terlebih dahulu melamar kekasihnya di sana. ‘Potong’ sungguh…,” cerita Fendi sambil ketawa mengingatkan peristiwa dia melamar Nadia.

Fendi memberitahu, dia dan Nadia akan berbulan madu ke Bali, Indonesia pada penghujung bulan ini iaitu sebelum Nadia berangkat kembali ke Belanda.

Tetapi sebelum itu iaitu dua hari selepas majlis resepsi itu, Fendi dan Nadia ke Singapura untuk menonton konsert Coldplay di republik itu.

“Ia merupakan hadiah kejutan daripada Nadia untuk saya sempena perkahwinan ini,” kata Fendi yang memang meminati kumpulan dari United Kingdom itu.

Utusan Malaysia