Archive | Utusan RSS feed for this section

Tetap Gah Tanpa SkyBlu

18 Apr

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin


BERTENAGA Redfoo tetap bertenaga biarpun berdiri di pentas berseorangan tanpa SkyBlu.

DENGAN pendekatan berbeza daripada artis lain, kumpulan muzik LMFAO berjaya meletakkan muzik mereka sebagai antara muzik paling digemari remaja dunia masa kini.

Malah ia terbukti dengan sambutan yang diberikan 15,000 peminat terhadap kehadiran mereka buat kali kedua ke negara ini berbanding kali awal tahun lalu.

Biarpun kehadiran LMFAO kali ini hanya menampilkan Redfoo secara berseorangan, namun konsert besar-besaran yang berlangsung selama 80 minit di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya Selangor itu tetap tidak mengecewakan peminat.

Menurut Redfoo yang terkenal dengan imej rambut afro, rakannya, SkyBlu tidak dapat hadir kali ini akibat masalah tulang belakang.

Namun tenaga yang ditampilkan Redfoo di pentas tidak langsung mengecewakan para peminat kumpulan itu malah berjaya menutup kekurangan persembahan tanpa SkyBlu.

Redfoo berjaya menghidupkan suasana pesta dan bijak mengawal peminat untuk terus menari dan menyanyi bersamanya.

Nyata, kerja keras Redfoo bersama penari lain untuk memberikan persembahan terbaik berbaloi dengan sorakan peminat yang berpuas hati menyaksikan persembahannya.

“Saya terpaksa meminta maaf kerana rakan saya SkyBlu tidak dapat hadir malam ini akibat daripada masalah tulang belakang,” kata Redfoo bagi menghuraikan kegusaran peminat yang menunggu kemunculan SkyBlu.

Biarpun persembahan terpaksa dilewatkan akibat hujan lebat namun kesetiaan peminat yang digelar LMFAO sebagai party people tetap utuh dan tidak sia-sia dengan tarian hebat yang menyaksikan Redfoo menggunakan setiap sudut pentas sejak awal persembahan sehingga ke dendangan muzik terakhir.

Sebanyak 14 buah lagu pilihan terbaik LMFAO didendangkan pada pada konsert yang dibawakan oleh Samsung dan JS Concert itu termasuk dua lagu saduran Boom Boom Pow, nyanyian asal Black Eyes Peas dan Getting Over You (David Guetta).

Antara lagu yang turut menghangatkan persembahan pada malam itu adalah Rock The Beat11, Sorry For Party Roacking, Reminds Me Of You dan Get Crazy.

Kemuncak persembahan tentunya apabila dua lagu berhantu mereka iaitu Party Rock Anthem dan Sexy And I Know It didendangkan.

Dua lagu itu bukan sahaja disambut dengan jeritan tetapi peminat dilihat turut menghafal rentak tariannya.

Secara keseluruhannya walaupun hanya Redfoo sahaja yang hadir untuk konsert kali ini namun kegilaan muzik rancak yang dibawakan LMFAO tetap ‘hidup’ pada malam itu.

Untuk konsert jelajah Asia itu, selain Malaysia, LMFAO juga akan mengadakan persembahan di beberapa buah negara lain seperti Filipina, Taiwan dan China.

Sebelum ini kumpulan itu sudah mengadakan persembahan di Jepun, Thailand dan Korea Selatan.

Utusan

Usop Wilcha Kekal Di HotFM

18 Apr

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin


BERHUTANG budi dengan pengarah mamat khalid yang memberi peluang kepadanya untuk berlakon filem.

TIDAK sampai setahun, ada kata-kata ‘nakal’ yang mengatakan Shy8 bakal meninggalkan kerjaya sebagai penyampai di Hot FM. Malah kenyataan itu dikuatkan lagi dengan jawapan Shy8 sendiri di sebuah portal hiburan yang kononnya mengakui bakal meninggalkan stesen radio yang terkenal dengan tagline Lebih Hangat Dari Biasa itu.

Bertemu dengan Shy8 baru-baru ini sewaktu penggambaran filem terbarunya, KL Zombie, dia memberitahu tidak pernah bercadang meninggalkan kerjaya sebagai penyampai buat masa ini. Malah menurut Shy8, terdapat salah faham dalam laporan yang disiarkan portal tersebut mengenai niatnya itu.

‘Apa yang cuba disampaikan mungkin saya akan meninggalkan kerjaya ini suatu hari nanti, namun bukan sekarang.

‘Mungkin apa yang berlaku pada waktu diwawancara itu, saya masih lagi berada dalam keadaan letih, mungkin jawapan yang diberikan waktu itu secara tidak sengaja disalah faham oleh wartawan terbabit.

‘Buat masa ini saya masih lagi bersama Hot FM untuk segmen pagi sebagai krew Hot FM AM Krew,’ katanya ketika di temui di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mengakui langsung tidak mempunyai masalah dengan pihak pengurusan, menurut Shy8, kontraknya bersama stesen radio itu juga masih berbaki 14 bulan.

‘Hubungan saya dengan pihak pengurusan juga tidak mempunyai masalah. Jadi tiada sebab untuk saya meninggalkan stesen radio tersebut,’ katanya.

Shy8 berkata, memang pada dasarnya kehadirannya dalam segmen tersebut agak kurang menyerlah. Namun katanya, itu merupakan antara perkara yang dipersetujui dia dan pihak Hot FM sendiri.

‘Pihak Hot FM sendiri mengetahui peranan utama saya sebelum bergelar penyampai adalah seorang pelakon, jadi mereka tidak terlalu mengharapkan saya untuk menonjol sebagai penyampai pada segmen pagi bersama tiga lagi penyampai iaitu Fafau, FBI dan AG.

‘Bagaimanapun dalam menyeimbangkan peranan saya dalam organisasi ini, saya akan terlibat dalam memberikan idea serta memberikan cadangan untuk segmen ini untuk mencari kelainan,’ katanya.

Tidak menolak untuk diberi peluang agar dia lebih menonjol, Shy8 percaya jika diberi segmen kelolaannya sendiri, sudah pasti peranannya sebagai penyampai akan lebih diberi perhatian.

‘Mungkin jika Usop Wilcha mempunyai satu segmen khas, peranannya sebagai seorang penyampai radio akan lebih menonjol.

‘Bagaimanapun buat masa ini segmen khas itu masih lagi dalam perbincangan. Pada pendapat saya sendiri, Usop Wilcha belum memerlukan segmen sendiri buat masa ini,’ jelasnya.

Sementara itu Shy8 yang bakal kembali ke set penggambaran untuk filem terbarunya, Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh tidak lama lagi sudahpun selesai menjalani penggambaran tiga filem, masing-masing Doktor K Kahwin Lima terbitan KRU Studios, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, arahan Mamat Khalid dan terbaru, KL Zombie arahan M.J Woo.

Utusan

Sheila Majid Kagumi Bakat Muda

18 Apr

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR

BUKAN senang bagi nama besar seperti Datuk Sheila Majid untuk memberi pujian kepada bintang baru dalam industri seni tanah air. Namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika terbukti mereka berkualiti.

Malah Sheila mengakui bahawa dia sendiri pernah bertanya kepada dua bintang baru berbakat besar, Yuna Zarai dan Najwa Mahyiddin bagi mendapatkan khidmat mereka untuk lagu barunya.

Bagi Sheila, kedua-dua penyanyi tersebut sememangnya mempunyai bakat yang sangat bernilai malah mampu mencipta lagu yang kena dengan selera pendengar.

“Mereka memang terkejut pada mulanya ketika saya suarakan hasrat untuk mendapatkan lagu daripada mereka.

“Mereka bagaikan tidak percaya apabila mendengar permintaan saya. Bukan apa, saya tawarkan perkara tersebut kepada mereka kerana saya suka dan kagum dengan kebolehan yang ada pada kedua-duanya.

“Saya juga memang sangat memilih dalam setiap pemilihan lagu. Jujurnya sesebuah lagu itu seharusnya mempunyai nilainya yang tersendiri dan dalam masa yang sama mampu memberi kesan kepada pendengar,” katanya ketika ditemui di Restoran Berputar Atmosphere360, Kuala Lumpur, ketika sidang akhbar Minggu Setiausaha A Day With Living Legend’ baru-baru ini.

Tambah penyanyi lagu Anyer dan Jakarta itu, sesebuah lagu seharusnya menjadi sesuatu yang selesa untuk didengari dan menenangkan.

“Muzik itu bersifat seni dan ia sangat halus. Selain itu, seorang penyanyi juga tidak perlu terjerit-jerit bagi semata-mata untuk mendapatkan nota tinggi semata-mata.

“Apa yang saya lihat ketika ini, kebanyakan muzik yang ditampilkan zaman ini lebih tertumpu kepada rentak dan juga tempo yang rancak.

“Tidak salah saya katakan bahawa sukar untuk mencari lagu sekarang yang akan diingati dan melekat di dalam jiwa saya.

“Tapi mungkin juga sebab perkara ini terjadi sebab diri saya sendiri yang sudah berusia,” katanya sambil ketawa.

Buat masa ini, dia masih lagi mencari lagu dengan melodi yang kukuh, seperti yang biasa didengari suatu ketika dahulu sebelum muncul dengan single yang mampu melonjakkan semula nama pelantun lagu Lagenda itu.

Disoal adakah dia tidak bosan menyanyikan lagu yang sama setiap kali mengadakan persembahan, Sheila mempunyai jawapannya tersendiri.

“Bagi saya, bosan atau tidak, suka atau tidak, saya kena nyanyikan juga kerana semua itu adalah kehendak peminat.

“Merekalah yang sentiasa menyokong saya dan dalam masa yang sama, mereka juga menghargai lagu tersebut. Tidak kisahlah lagu itu sudah lama atau tidak.

“Perkara ini sama macam penyanyi lain juga. Adele contohnya. Jika dia mengadakan persembahan dan tidak menyampaikan lagu Someone Like You, adakah peminat akan berpuas hati? Kita sampaikan apa yang peminat inginkan.

“Kerjaya saya sememangnya adalah untuk menghiburkan peminat jadi untuk mengelakkan timbul rasa bosan, sentiasa ada perubahan daripada segi susunan dan cara penyampaian dalam setiap persembahan,” kata ibu kepada empat anak itu.

Sheila Majid akan mengadakan persembahan sempena sempena Minggu Setiausaha A Day with Living Legend’ di Restoran Berputar Atmosphere360 Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini, bermula pukul 12 tengah hari.

Majlis itu juga akan diserikan dengan pengacara komedi, Dee dan pelbagai lagi acara menarik.

Meja VIP dijual pada harga RM6,500 (10 orang), individu pula RM650. Untuk meja biasa RM2,200 (4 orang) dan individu RM550.

Utusan

Fenomena Baru Boy Band

18 Apr

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Twitter: @shazryn_faizal


ONE Direction yang dianggotai (dari kiri) Niall Horan, Zayn Malik, Louis Tomlinson, Liam Payne dan Harry Styles kini menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia.

KUMPULAN muzik lelaki atau lebih dikenali sebagai boy band pernah mencetuskan fenomena luar biasa dari akhir tahun 80-an sehinggalah ke awal tahun 2000.

Dianggotai lima hingga enam orang, muzik rancak yang menjadi pertaruhan mereka pantas menjadi kegilaan peminat terutama kaum hawa.

Album mereka laris bagaikan pisang goreng panas sehingga mampu menduduki tangga teratas penjualan album yang mencatatkan jutaan salinan di seluruh dunia.

Bukan hanya muzik tetapi ketrampilan menarik, imej yang sedap mata memandang, vokal yang harmoni dan gerak tari lincah juga merupakan faktor utama mengapa boy band digilai ramai satu ketika dahulu.

Biarpun sering dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak yang bagaikan meragui bakat boy band ini, tetapi hakikat yang tidak dapat dinafikan apabila mereka juga sebenarnya mempunyai bakat tersendiri.

Seiring dengan peredaran muzik semasa, fenomena boy band semakin menyusut dan ada di antara mereka sudah dilupakan peminat biarpun lagu-lagu mereka ada yang sudah mencapai status malar segar.

Begitu juga dengan peminat mereka yang juga sedang menuju ke alam dewasa dan barangkali cita rasa mereka juga sudah berubah kepada muzik yang lebih matang.

Jika ada yang berpendapat boy band sukar untuk menyerlah dalam arus muzik perdana hari ini, rasanya pandangan itu harus dikikis

Hakikatnya, fenomena itu sudah kembali dengan munculnya sebuah boy band, One Direction yang kini sudah menjadi komoditi baru industri muzik dunia.

Dianggotai oleh lima orang anak muda iaitu Niall Horan, Liam Payne, Zayn Malik, Harry Styles dan Louis Tomlinson, One Direction berjaya mencipta populariti mereka dengan sekelip mata menerusi album perdana Up All Night.

Berasal dari United Kingdom, One Direction atau singkatannya 1D mula ditubuhkan pada tahun 2010 selepas kelima-lima anggotanya menyertai program realiti popular Britain, The X Factor.

Bukan secara berkumpulan, sebaliknya masing-masing bertanding atas tiket solo namun kesemuanya tidak berjaya ke peringkat seterusnya.

Atas nasihat salah seorang jurinya, Nicole Scherzinger, kelima-lima mereka kemudiannya disatukan menjadi sebuah kumpulan dan bertanding pula dalam kategori berkumpulan.

Bak kata pepatah lama, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah diibaratkan buat One Direction apabila mereka layak sehingga ke peringkat akhir.

Biarpun menduduki tempat ketiga dalam pertandingan musim ketujuh itu namun One Direction tidak lagi menoleh ke belakang.

Langkah mereka semakin kemas apabila menandatangani kontrak bernilai dua juta pound sterling (RM9.72 juta) bersama Syco Music yang merupakan milik tokoh muzik ternama, Simon Cowell.

Single pertama mereka, What Makes You Beautiful terus menduduki tangga pertama dalam carta lagu-lagu popular di Britain pada September tahun lalu selain mencatatkan pra penjualan tertinggi dalam sejarah dengan 153,965 salinan dalam minggu pertama.

Dua bulan selepas itu, album pertama mereka dilancarkan dan seperti yang dijangka, ia mencatatkan penjualan luar biasa sekali gus mencipta rekod sebagai penjualan album terlaris untuk untuk artis baru pada tahun itu.

Menyedari populariti mereka yang terus memuncak, anak syarikat Sony Music, Columbia Records telah bekerjasama dengan Syco Music untuk memasarkan album mereka di Amerika Syarikat (AS).

Sebagai bakat baru, One Direction mempunyai alasan untuk berasa bangga dan gembira dengan pencapaian mereka apabila album Up All Night berjaya menduduki tangga pertama dalam carta Billboard 200 sebaik sahaja album mereka dipasarkan di sana pada bulan Mac lalu.

Dengan kejayaan itu, ia menjadikan One Direction satu-satunya kumpulan dari Britain yang mencatatkan sejarah dengan penjualan album sebanyak 176,000 pada minggu pertama.

Kumpulan ini terus mencetuskan mania di kalangan muda-mudi terutama di alam maya menerusi Twitter, Tumblr dan Facebook.

Sehingga ke hari ini, video One Direction telah mencatatkan 204 juta tontonan di YouTube selain mempunyai 12 dan 3.6 juta pengikut di Twitter dan Facebook. Salah sebuah video mereka, What Makes You Beautiful juga telah ditonton sebanyak 72 juta kali di YouTube.

Mampukah One Direction mampu kekal dan terus mencipta legasi seni mereka? Hanya waktu yang menentukan.

Utusan

Julia, Julia

17 Apr

Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)

MEMBERIKAN Julia Roberts watak antagonis The Evil Queen dalam kisah dongeng Snow White adalah satu keseronokan buat peminatnya.

Sebagai seorang aktres Hollywood terbaik, termahal dan terkenal, jarang sekali kita dapat melihat Roberts berkelakuan komikal dan ‘mengarut’ seperti dalam Mirror Mirror.

Filem ini merupakan sebuah lagi naskhah interpretasi terhadap karya klasik Snow White tulisan Grimm Bersaudara (1812). Versi asalnya diubahsuai dan ditokok tambah demi kelainan dan kejutan, tetapi plot utamanya masih tidak berubah.

Apabila The King hilang semasa keluar merantau, The Evil Queen serta-merta menjadi pemerintah. Dia mengurung anak tirinya, Snow White kerana tidak mahu puteri itu mengambil alih takhta bapanya. Permaisuri kejam itu juga mengamalkan ilmu hitam untuk terus hidup dan kelihatan muda.

Satu hari, seorang putera dari negara jiran, Prince Alcott tersesat ke negara itu lalu jatuh cinta kepada Snow White. The Evil Queen yang merasa terancam mengarahkan orang kanannya, Brighton untuk membunuh Snow White di dalam hutan dan menyebarkan berita kononnya Snow White mati akibat sakit.

Brighton bagaimanapun melepaskan Snow White kerana tidak sampai hati. Dengan bantuan sekumpulan penyamun kerdil, Snow White mengambil semula haknya yang dirampas The Evil Queen, menyelamatkan Prince Alcott dari disihir serta memakmurkan semula negaranya yang kian sengsara akibat kemiskinan.

Apa yang menarik tentang Mirror Mirror ialah gaya adaptasinya yang menjadikan The Evil Queen sebagai pencerita. Filem ini bermula dan berakhir dengan penceritaan yang menggunakan suara Roberts, mewakili apa yang dirasai oleh permaisuri kejam itu serta ‘hantu’ dari cermin yang menyerupai dirinya.

Dalam filem ini, Snow White ingin dibunuh bukan kerana kecantikannya tetapi kerana dia pewaris takhta. The Evil Queen mahukan kuasa lebih dari segalanya dan rupa paras sekadar aset kedua untuk dia terus kekal sebagai pemerintah.

Beberapa susur galur Snow White yang selalu kita dengar dan baca ditukar atau hampir ditiadakan di dalam versi ini.

Misalnya, buah epal beracun pemberian The Evil Queen hanya muncul selepas dia tewas kepada Snow White. Sementara ciuman ‘sakti’ yang sepatutnya diberikan oleh Prince Alcott kepada Snow White, beralih peranan apabila Snow White yang harus mencium Prince Alcott untuk menyembuhkannya dari sihir.

Kerana Mirror Mirror ditulis dari perspektif The Evil Queen, tidak salahlah jika Roberts yang mendominasi filem ini. Kisah Snow White seakan dikurangkan dan kisah The Evil Queen yang dilebih-lebihkan.

Roberts mencuri perhatian bukan saja kerana Mirror Mirror memang berpihak kepadanya, tetapi kerana dia pelakon yang sangat cocok dengan watak tersebut.

Dia menjadi talam dua muka hanya melalui senyuman lebarnya yang biasa kita tonton. Cuma kali ini, sama ada penonton akan ikut tersenyum atau berasa geram dengan kelicikannya. Apa pun, dia tetap ‘disayangi’ kerana dia adalah Julia Roberts, seorang aktres hebat dari era ini.

Namun Mirror Mirror tidak boleh mengharap sepenuhnya kepada Roberts. Penceritaannya, walaupun jelas tetapi agak lemah pada perjalanannya. Terdapat detik-detik yang membosankan dan tidak mengunci ketat perhatian saya.

Saya merasakan filem ini hanya sesuai ditonton golongan matang kerana pendekatannya tidak begitu ‘mesra kanak-kanak’. Bukan kerana ia mengandungi elemen-elemen dewasa tetapi rupa dan perasaannya tidak cukup ‘Disney’.

Barangkali pengarah Tarsem Singh sengaja mahu menjadikan Mirror Mirror sebagai karya ‘anti-Disney’ agar dilihat kontra dengan versi Snow White yang tipikal.

Dikenali sebagai pengarah penuh visi (The Cell, 2000; Immortals, 2011), Singh mengekalkan identitinya menerusi visual yang berkesan, penataan seni yang sangat terperinci di samping rekaan produksi dan kostum yang avant-garde.

Bagaimanapun akibat kelemahan lakon layar tulisan Jason Keller dan Melisa Wallack, arah filem ini kabur. Mirror Mirror tidak cukup kuat untuk dikatakan sebagai filem pengembaraan fantasi, tidak juga cukup kelakar untuk dikatakan komedi dan tidak cukup serius untuk sebuah naskhah drama.

Tidak dinafikan, ia masih filem ringan yang menghiburkan, tetapi sayangnya terhasil separuh masak. Adaptasi seperti ini mempunyai potensi yang besar untuk cemerlang, jika tidak dari segi pencapaian sinematik pun, sekurang-kurangnya dalam carta box-office. Namun ia gagal dalam kedua-dua aspek itu.

Persembahan Nathan Lane sebagai Brighton agak mencuit hati. Lily Collins sebagai Snow White biasa-biasa saja manakala Armie Hammer sebagai Prince Alcott tidak kelihatan segak, sebaliknya sedikit dungu dan cemerkap. Ketampanan Hammer hilang mengikut arus peranan putera yang lembik.

Jika filem ini digemari, sebab utamanya ialah kerana Julia Roberts dan saya pasti kebanyakan yang pergi menonton pun adalah kerana mahu menyaksikan dia.

Utusan

The Cranberries Tunai Harapan Peminat

17 Apr

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar Ihsan THE WONDERLAND dan SEVENT MEDIA

NAMA kumpulan The Cranberries meledak di saat muzik rock melebarkan jalurnya kepada pelbagai cabang genre termasuklah rock alternatif yang lebih moden berbanding sebelumnya iaitu pada awal tahun 1990-an.

Ledakan populariti kumpulan yang ditubuhkan di Limerick, Ireland pada 1989 itu tidak terkecuali terpalit buat para peminat di negara ini.

Zombie antara lagu yang menjulang nama The Cranberries bukan setakat di negara mereka malah di seluruh dunia.

Kemunculan kumpulan dengan empat anggota itu di atas pentas konsert memang dinanti-nantikan oleh para peminat tempatan.

Mereka pernah dicanang akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 1995 tetapi hanya tinggal anganan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, selepas 17 tahun impian para peminat di sini untuk melihat The Cranberries beraksi secara langsung di pentas tercapai apabila mereka muncul menerusi Konsert Roses Tour 2012 yang diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert bergerak ke merata-rata tempat di seluruh dunia itu sempena kemunculan album keenam mereka berjudul Roses.

Konsert anjuran bersama The Wonderland dan Sevent Media itu ternyata bukan setakat mengimbau nostalgia lagu-lagu lama The Cranberries tetapi mereka turut mengujakan para peminat mereka yang baru.

Kumpulan yang dianggotai oleh Dolores O’Riodan selaku penyanyi, Noel Hogan (gitar), Michael Hogan (bass) dan Fergal Lawler (dram) ternyata cukup bertenaga di atas pentas.

Sejak pentas bergema dengan muzik The Cranberries seawal pukul 8.40 malam, mereka berjaya mengimbas nostalgia para peminat dengan pilihan 22 lagu pada persembahan mencecah 90 minit itu.

Kemuncak persembahan mereka tentunya dengan kemunculan lagu Zombie yang mendapat tepukan paling gemuruh.

Kegamatan ruang stadium yang dipenuhi hampir 8,000 penonton jelas kedengaran apabila kebanyakan peminat menyanyikan bait-baik lirik lagu itu bersama-sama O’Riodan.

Dengan gaya suaranya yang serak-serak basah dan seperti tersangkut-sangkut tetapi merdu dia berjaya meloloskan setiap lagu dengan berkesan biarpun pada rangkap-rangkap bernada tinggi.

Selepas 23 tahun ternyata suara dan gaya persembahan O’Riodan tidak berubah terutama aksi bersahajanya di atas pentas.

Cuma kali ini penyanyi wanita itu tampil dengan imejnya yang lebih matang dan feminin. Jika di awal kemunculannya, O’Riodan kelihatan seakan-akan ‘tomboy’ dengan rambut hampir botak, berseluar jeans ketat dan berkasut but kulit.

Namun kini penyanyi yang juga pemain gitar akustik The Cranberries itu tampak lebih ayu biarpun muncul dengan gaun gaya eksentrik.

Apa pun perubahan imej O’Riodan, ia sama sekali tidak mengubah struktur dan gaya muzik The Cranberries.

Muzik kumpulan itu tetap mantap dan masih kental dengan elemen-elemen asal yang melingkari mereka selama ini termasuklah menerusi album terbaru, Roses.

Sebenarnya jika diamati, pengaruh dan semangat muzik The Cranberries sangat sendat dengan jiwa bangsa Irish yang begitu harmoni dalam alunan lagu-lagu yang mereka hasilkan sejak dulu hingga kini.

Biarpun tanpa iringan instrumen seperti bagpipe ataupun biola tetapi pengaruh alunan jiwa muzik bangsa Irish tetap membayangi lenggok irama lagu-lagu kumpulan tersebut.

Kehangatan sambutan para peminat di Stadium Merdeka seolah-olah ada ironinya dengan kemunculan sulung The Cranberries di negara ini bak kata O’Riodan: ‘Terima kasih Kuala Lumpur, sambutan hangat anda pada malam mampu memadamkan kedinginan di negara kami yang sememangnya sejuk.’

The Cranberries pada malam itu banyak membawakan lagu-lagu perlahan mereka yang dipetik daripada album keempat mereka bertajuk Bury The Hatchet seperti lagu Just My Imagination dan Animal Instinct.

Turut dipersembahkan ialah lagu-lagu popular mereka yang lain antaranya Ode To My Family, Raining In My Heart, Dreaming My Dreams dan Ridiculous Thoughts.

Persembahan The Cranberries yang dimulakan dengan lagu Dreams itu merupakan set pertama sehinggalah lagu Zombie yang sepatutnya lagu terakhir mereka pada malam itu.

Atas sorakan para peminat, mereka tampil semula di atas pentas dengan empat lagu terakhir berjudul Conduct, Salvation, Losing My Mind dan Promises.

Ternyata para peminat puas melihat persembahan kumpulan yang pernah muncul dengan album-album berjudul Everybody Else Is Doing It, So Why Can’t We (1993), No Need To Argue (1994), To The Faithful Departed (1996), Bury The Hatchet (1999), Wake Up And Smell The Coffee (2001) dan Roses (2012) pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM110 hingga RM350 itu.

Utusan

Setahun Pujuk Dr. Siti Hasmah – Khairuddin

17 Apr

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar ASWAD YAHYA

BUKAN satu perkara yang mudah untuk menjayakan teater Tun Siti Hasmah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 9 September ini.

Usaha memujuk isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sahaja memakan masa selama setahun.

Semuanya kerana beliau bukan sahaja seorang yang bersifat rendah diri, lebih penting, tidak mahu kelihatan terlalu menonjol selain merasakan tiada perkara menarik mengenai dirinya untuk dipentaskan menjadi tontonan ramai.

Namun ia tidak pernah melemahkan semangat penerbit, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. untuk berusaha memujuknya

“Mengenali diri beliau yang sentiasa rendah diri dan pemalu, kami cuba juga memujuknya sehinggalah pada suatu masa dia memberi tanda persetujuan,” kata Pengerusinya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan.

Malah lebih mengejutkan kata Khairuddin, Dr. Siti Hasmah turut memberi kebenaran untuk menggunakan barangan peribadi miliknya seperti baju dan perhiasan bagi pementasan itu.

Bakal diarahkan oleh Adlin Aman Ramlie, menurut Khairuddin, teater tersebut bakal mengupas sisi Dr. Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu dan isteri kepada Dr. Mahathir.

Katanya, pementasan itu juga merupakan salah satu penghargaan kepada Dr. Siti Hasmah yang turut banyak menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang kebajikan.

“Lagi pun, sebelum ini nama Dr. Mahathir sendiri pun sudah cukup dikenali.

“Jadi kami mengambil peluang ini untuk menonjolkan individu yang banyak memberi dorongan dan juga galakan kepada Dr. Mahathir di sebalik kejayaannya menguruskan negara,” jelasnya bersungguh.

Erra Fazira tetap pilihan

Berbicara mengenai pemilihan Erra Fazira sebagai pemegang watak Dr. Siti Hasmah, Khairuddin memberitahu, keputusan itu diambil kerana Erra pernah memegang watak tersebut dalam teater Muzikal Tun Mahathir yang pernah dipentaskan sebelum ini.

“Erra pernah melakonkan watak Tun (Dr. Siti Hasmah) dua tahun lepas.

“Oleh itu kami merasakan bahawa dia sudah mengenali dan mengkaji watak tersebut dengan mendalam dan yakin mampu menghidupkannya dengan cemerlang. Buat masa ini dia memang sudah memberi persetujuan.

“Untuk watak Dr. Mahathir pula, kami bercadang untuk mendapatkan khidmat Aaron Aziz. Namun buat masa ini, kami belum lagi melamar pelakon berkenaan,” kata Khairuddin yang juga suami kepada pelakon Datin Umie Aida.

Sementara itu, bagi Adlin yang turut menggalas tugas sebagai penulis skrip berkata, dia meletakkan satu aras penanda yang tinggi bagi memastikan khalayak berpuas hati dengan hasil arahannya itu nanti.

“Buat masa ini saya sedang sibuk mengkaji latar belakang Tun (Dr. Siti Hasmah).

“Jika sebelum ini saya menulis skrip berpandukan rujukan bacaan untuk muzikal P. Ramlee namun untuk mendapatkan cerita Tun, ia memerlukan saya berkomunikasi dengan orang yang terdekat dengannya.

“Walaupun beliau merupakan tokoh hebat tetapi kerana sifatnya yang pemalu dan merendah diri, kita tidak dapat mengetahui dengan lebih mendalam karakter sebenarnya.

“Kiranya apa yang dipersembahkan nanti ialah pandangan daripada sudut orang ketiga yang sememangnya rapat dan mengenali Tun dengan lebih dekat selaku subjek utama dalam pementasan itu nanti,” katanya yang pernah menulis skrip untuk teater muzikal P. Ramlee dan Puteri Gunung Ledang.

Adlin memberitahu, ketika ini pihak produksi tersebut masih lagi dalam proses awal merangka penceritaan dan segala perubahan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Malah Adlin menyatakan bahawa berkemungkinan watak Dr. Siti Hasmah dan Dr. Mahathir bakal dipegang lebih daripada seorang pelakon.

“Saya boleh katakan teater ini nanti mungkin lari daripada sifat tipikal pementasan biasa apabila karakter utama ditonjolkan daripada perspektif orang lain.

“Malah teater ini juga nanti bakal menjurus kepada perjalanan kehidupan Tun yang indah dan syahdu tanpa sebarang babak romantik dan juga susur tidak terikat dengan latar masa.

“Apa-apa pun, saya akan pastikan setiap perkara yang ditampilkan nanti adalah tidak keterlaluan dan saya sendiri akan mengikut garis panduan pihak produksi,” tambahnya.

Utusan