Archive | Suhaiza Suhaimi RSS feed for this section

Depan Mata: Pahit, Manis Dan Kelat Di ABPBH2008

20 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
INSIDEN Nabil peluk buah hati, Irma Hasmie sebaik diumumkan menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, antara yang diperkatakan orang sepanjang minggu lalu.

Begitu juga aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello hingga penonton di Arena Of Stars, Genting Highlands kurang selesa melihat Farah dijulang penari.

Mungkin ia perkara yang tidak disengajakan tapi itulah harga yang harus dibayar apabila mereka terjun ke dunia glamor. Nabil juga sudah memohon maaf secara terbuka atas ketidaksengajaannya itu tapi bak kata pepatah, nasi sudah jadi bubur atau pepatah Inggeris, the damage is done.

Farah juga sudah memberi penjelasan dalam Harian Metro Khamis lalu mengatakan tiada niat tampil seksi atau membuatkan penonton kurang selesa.

Memang tiada salahnya pakaian Farah tapi apabila dirinya diangkat penari sedemikian rupa, membuatkan apa yang tidak sepatutnya nampak sudah disaksikan banyak mata, apatah lagi disiarkan secara langsung di TV3.

Mungkin boleh memberi pengajaran kepada penyanyi lain supaya memilih pakaian lebih sesuai apabila perlu dijulang penari, seperti berseluar panjang. Hakikatnya, Farah memakai stokin gelap dan bukannya mendedahkan paha gebunya di balik gaun paras atas lutut itu.

Sebelum ini, pakaian Farah dikatakan tidak sesuai ketika menjayakan satu program hari raya walaupun hakikatnya menyampaikan lagu moden tetapi sepatutnya memilih pakaian lebih sesuai dengan majlis bukannya gaya ketika menyanyi di kelab malam.

Tidak kurang menariknya, ramai melaram sakan ketika acara permaidani merah sama ada yang ditaja atau koleksi sendiri sesuai tema ‘tenunan songket’. Lebih menarik, ramai juga melaram buah hati.

Jika Norish Karman bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris, Luqman Amin yang juga abang Farahdhiya, pengacara Nurul Alis (Kiki) pula membawa jejaka mat salih. Begitu juga Abby Abadi bersama Zulkifli Ariffin dan Noraliah Lee (Vee) dengan kerabat Selangor, Tengku Yusof.

Menariknya, empat wanita ini memegang status janda tetapi nampaknya ABPBH2008 menjadi medan untuk mereka pamerkan orang istimewa dalam hidup mereka. Kalau sebelum ini hanya mendengar gosip apabila ada mata-mata gelap tidak bergaji bercerita melihat mereka keluar bersama.

 

 

Tapi malam itu, mereka tidak main sembunyi-sembunyi, sebaliknya berkongsi dengan umum siapa gerangan insan istimewa dalam hidup mereka ketika ini. Apabila bersikap terbuka, siapa tahu dengan doa peminat dipercepatkan jodoh mereka.

Pengakuan Norish juga disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu lalu. Ternyata Norish tidak berselindung apabila saya katakan dia kini lebih terbuka. Sebelum ini, Norish hadir bersama Luqman ketika tayangan filem Talentime, kemudian konsert mini Anggun.

Sebelum ini, Abby dianggap berani dan sangat terbuka apabila sering bersama Zul tidak lama selepas bercerai dengan Norman Hakim, malah kantoi di lapangan terbang ketika baru pulang dari China.

Hubungan Vee dengan Tengku Yusof pula dikatakan sekejap on sekejap off tapi saya melihat apabila Vee terbuka memperkenalkannya kepada umum, secara tidak langsung menjadi satu jaminan buat si wanita bahawa si lelaki sudah menjadi miliknya.

Kita tunggu pula giliran Norman dan pasangannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey mengakui hubungan mereka secara terbuka walaupun hakikatnya ramai sudah tahu, tapi empunya diri mengatakan antara mereka tiada hubungan istimewa walaupun sudah kantoi ditangkap khalwat. Terbaru, gambar mesra mereka meraikan ulang tahun berdua kini disebarkan di Internet.

Begitu juga Fasha Sandha, sejak sekian lama dikatakan ada hubungan istimewa dengan bekas suami Nora Danish tetapi empunya diri juga tidak mengaku. Cuma gambar mereka berdua belum lagi disebarkan di Internet sebagai bukti tetapi gambar beramai-ramai adalah.

Turut mendapat perhatian saya ketiadaan dua pemenang malam itu, Norkhiriah untuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Dynas (Pelakon TV Wanita Popular). Sebagaimana diumumkan pengacara majlis, Sharifah Shahira bahawa Norkhiriah kurang sihat kerana mengandung.

Dynas pula ramai yang tahu mengandung tujuh bulan tetapi tidak ramai tahu dua hari sebelum ABPBH2008, Dynas menerima berita duka anak yang dikandung meninggal dunia. Teringat pengalaman sama yang saya alami pada 2003 apabila bayi yang dikandung selama 24 minggu, tidak sempat dilahirkan ke dunia kerana pergi lebih dulu.

Tentunya ini saat cukup sukar bagi Dynas, apatah lagi kali kedua hamil dan belum berpeluang menatap bayi yang dinantikan bersama suami.

Untuk mengubat hati yang luka, orang selalu kata ada hikmah di sebaliknya. Paling penting, bayi itu menanti ibunya di syurga. Dynas juga menerima berita gembira apabila sekali lagi menang kategori yang pernah dimenanginya tahun lalu.

Bagi Norkhiriah, sebelum ini pernah mengalami keguguran sudah tentu kali ini berhati-hati menjaga kandungan. Tambah-tambah pula pada awal kehamilan dan majlis pula berlangsung di tempat tinggi dan dingin menusuk tulang.

Tahun lalu, Erra Fazira mengalami keguguran ketika menghadiri ABPBH2007 tetapi cepat diberikan pengganti apabila Mac lalu, selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Engku Aleesya Engku Emran.

Mereka juga manusia biasa yang mengalami dugaan dalam hidup serta melalui suka duka sebagai wanita bergelar isteri.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tragedi Cinta 2008

29 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ISU pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan (SRK) oleh kerajaan negeri Melaka, mendahului carta kontroversi dunia hiburan sepanjang 2008.

Ia dinilai berdasarkan beberapa aspek, khususnya penganugerahan ini membangkitkan sensitiviti di kalangan masyarakat umum dan juga penggiat seni tanah air kerana melihat pemberian itu sebagai memperkecilkan sumbangan anak seni tempatan dalam menjana pembangunan industri hiburan.

Mereka juga mempersoalkan apakah sumbangan SRK dalam membangunkan industri hiburan serta perkembangan ekonomi negara? Rasa tidak puas hati ini disuarakan karyawan seni melalui sidang media tergempar Persatuan Seniman Malaysia.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof menggesa kerajaan negeri membuat penilaian sebaik mungkin sebelum mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Bagaimanapun, pada 6 Disember lalu, SRK menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena ulang tahun ke-70, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Melaka.

Selain itu, kemelut rumah tangga pelakon popular, Arbaeyah Abdul Manan (AbbY Abadi), 30, dan suaminya Mohamed Norhakim Zaidon (Norman), 32, tidak kurang hebatnya sehingga dilaporkan media hampir sebulan.

Pergolakan rumah tangga Abby dan Norman sudah lama diperkatakan dan hubungan mereka berantakan gara-gara kehadiran orang ketiga yang dipercayai pelakon muda, Suhaiza Suhaimi (Memey). Norman juga dilaporkan tidak pulang ke rumah lebih sebulan sejak Aidilfitri lalu dan juga dikatakan berkahwin secara rahsia dengan Memey.

Bagaimanapun, Norman menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Memey, apatah lagi berkahwin hingga meminta media tunjukkan bukti. Namun, kebenaran terungkai apabila pada 30 Oktober, jam 3 pagi, Norman dicekup pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor.

Rentetan kes itu, Abby mengambil tindakan menfailkan cerai pada 3 November lalu. Bagaimanapun, berlaku sedikit masalah hingga Abby mengambil tindakan mencari Norman di lokasi Gerak Khas untuk mendapatkan kerjasamanya memberi maklumat lanjut butir-butir dalam borang permohonannya.

Sebelum ini, Norman dan Abby pernah bercerai pada Mei 2006 gara-gara dikatakan wujudnya ‘orang ketiga’ tetapi rujuk semula dalam tempoh waktu yang singkat atas alasan kasih sayang antara mereka masih kuat.

Bagaimanapun kali ini, Abby nekad dan akhirnya Norman melafazkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, 18 Disember lalu.

Satu lagi kisah perceraian menyayat hati membabitkan pelakon sitkom Puteri yang cantik jelita, Nora Mohd Danish Hanif, 26, diceraikan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 33, ketika hamil tiga bulan.

Mahkamah pada 12 Ogos lalu memutuskan lafaz cerai yang dibuat Rizal dalam keadaan sedar sebanyak dua kali menerusi telefon sekitar Februari dan 17 Jun lalu adalah sah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dianggap ‘loving couple’ di kalangan teman rapat.

Sementara itu, Fasha Sandha yang dikatakan punca kepada keretakan rumah tangga Nora Danish, dipulaukan pihak media gara-gara sikapnya yang tidak menghormati pihak media dengan melemparkan kata-kata kesat kepada wartawan.

2008 boleh dianggap zaman suram bagi pelakon yang muncul dengan filem terbaru, Cicakman 2 itu kerana ‘direhatkan’ daripada sebarang publisiti di media cetak dan elektronik sejak Julai lalu dan dijangka berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Kes penceraian membabitkan artis sepanjang 2008 adalah yang terburuk kerana boleh dikatakan ia berlaku setiap bulan dan jumlahnya amat membimbangkan.

Terdapat juga beberapa kes yang masih dibicarakan misalnya Beego, Radhi OAG, Aziz M Osman serta pasangan Erema dan Seri Bayu.

Sementara sah bercerai, Farah Ashikin, Norish Karman, Siti Fairuz, Leina Hangat, Cham VE, Anis Suraya, Emma Akma, Noraniza Idris, Bell Ngasri dan Abby Abadi.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi, Azharina mengejutkan peminat hiburan kerana selepas membuat pengakuan dia isteri ketiga kepada peguam, Datuk Shukri, seminggu selepas itu mengumumkan dirinya sedang dalam edah.

Beberapa isu kontroversi turut disenaraikan

Rita dan Aidil Zafuan kahwin senyap-senyap

SEPULUH bulan melayari alam rumah tangga, akhirnya perkahwinan rahsia di antara pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, terbongkar selepas ayah dan ibu Zafuan tampil membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban.

Pada majlis itu, mereka mendedahkan Aidil Zafuan dan Rita berkahwin secara rahsia dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Bagaimanapun, Aidil sudahpun pulang ke pangkuan ayah dan ibunya untuk memohon maaf, sekali gus menjelaskan dari hati ke hati apa yang berlaku selepas dilaporkan menyorokkan perkahwinannya dengan Rita di Selatan Thailand, pada 25 Februari lalu.

Pasangan ini juga dikhabarkan dengan berita gembira apabila Rita disahkan mengandung dua bulan setengah.

Faizal Tahir

JANUARI 2008, pastinya menjadi pengajaran yang cukup berharga buat Faizal Tahir sepanjang bergelar anak seni. Semuanya gara-gara insiden membuka baju yang dilakukannya ketika persembahan sempena konsert ulang tahun 8TV pada 13 Januari lalu.

Sebagai hukuman, Faizal dilarang muncul daripada sebarang rancangan televisyen semua stesen penyiaran selama tiga bulan bermula 15 Januari. Tidak hanya Faizal, pihak 8TV juga tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Selama tempoh itu, 8TV tidak boleh menyiarkan sebarang rancangan secara langsung, semuanya perlu dirakam termasuk One In A Million.

Insiden buka baju yang menampakkan simbol ‘S’ itu menyebabkan dua lagunya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta yang mara ke Anugerah Juara Lagu 22 disampaikan penyanyi lain iaitu Fiq Mentor dan Bob.

Pierre Andre dan cinta khayalannya

SELEPAS berpisah dengan teman wanitanya yang juga pengarah/pelakon Norliana Samsudin, Pierre Andre dikaitkan dengan beberapa rakan artis jelita, antaranya Fasha Sandha dan Julia Ziegler.

Bagaimanapun, pengarah muda ini dikatakan pula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bernama Maya Darina Dahlan Hain.

Tidak lama selepas tersebarnya berita itu, Maya Darina dikatakan pula hanyalah kekasih khayalan Pierre atau yang lebih tepatnya, Pierre dipercayai dibomohkan Maya yang juga dikenali melalui nama samaran Melia dan Molie.

Siasatan media mendapati Pierre bukan mangsa pertama Maya yang dipercayai watak rekaan Elie, bekas pekerja Metrowealth Movies Production. Sebelum ini, Faizal Tahir dan Farid Kamil juga pernah ditipunya.

Sekian lama mendiamkan diri, Pierre akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai kontroversi perhubungannya dengan Maya kepada pihak media.

Pierre menafikan dirinya ‘sakit’ atau bercinta dengan Maya yang tidak pernah ditemui. Mereka sekadar berhubungan melalui telefon dan itupun untuk berbincang mengenai kerja. Semua cerita yang tersebar sebelum ini, katanya adalah karut.

Isu Maya Darina juga dikatakan menjejaskan tumpuannya terhadap penggambaran Jangan Tegur, bahkan hubungannya dengan penerbit Metrowealth, David Teo juga dingin mutakhir ini.

Azwan Ali bermusuh dengan Ifa Raziah

SELEPAS dikatakan bermasan muka dengan pelakon dan produser, Sheila Rusly, tahun lalu, pengacara terkenal Azwan Ali kini bermusuhan pula dengan sahabat baiknya, Ifa Raziah.

Semuanya gara-gara Azwan tidak membenarkan Ifa menumpang biliknya sewaktu menghadiri upacara Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2007. Tindakan Azwan itu cukup melukakan hati Ifa hingga rasa terkilan itu disuarakan kepada pihak media.

Pelbagai kenyataan diberikan kedua-dua pihak, namun tidak menampakkan sebarang tanda akan berdamai.

Video lucah Ida Nerina

INDUSTRI hiburan tempatan dikejutkan dengan video rakaman lucah yang dikatakan membabitkan dua pelakon ternama negara, Ida Nerina dan Fauzi Nawawi.

Kedua-duanya menafikan yang dua individu di dalam klip itu adalah mereka.

Zarina An-Julie

SELEPAS tersebar gambar separuh bogelnya dengan seorang jejaka awal tahun ini, pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie sekali lagi menggemparkan persada hiburan dengan fotonya berbikini dan mengghairahkan sewaktu menghadiri satu ‘parti’ di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Gambar yang mendedahkan sebahagian dadanya itu tersebar luas di Internet sehingga mendesak Zarina membuat pengakuan, sekali gus memohon maaf di atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, Zarina menafikan gambar separuh bogel yang membabitkannya dengan seorang pemuda sebagai teknik ‘super impose’.

Linda dan Fahrin

SERING mengaku teman tapi mesra, namun apabila hubungan berakhir awal tahun ini, penyampai Sinar FM, Linda Onn dan aktor kacak, Fahrin Ahmad bagaikan menjadi musuh ketat.

Keadaan ini sudah cukup menjelaskan hubungan mereka sebelum ini lebih daripada sebuah persahabatan atau erti kata lain mereka sebenarnya bercinta. Linda khususnya, dikatakan sering menyindir Fahrin melalui blognya sehingga mencalar imej dan maruah pemuda itu.

Sengketa mereka bertambah parah sejak disatukan semula mengendalikan program Sehati Berdansa. Berlaku satu kejadian memalukan apabila Linda ditengking Fahrin ketika raptai Sehati Berdansa minggu keempat.

Harian Metro

Siri Baru Roda-Roda KLdi RTM2

19 Sep

DRAMA-DRAMA terbitan syarikat produksi, Skop Production Sdn. Bhd. sememangnya tidak pernah menghampakan penonton terutama melibatkan drama polis.

Terbaru, syarikat berkenaan menerbitkan Roda-Roda KL yang mengangkat usaha murni anggota polis trafik dalam menggalas tugasan seharian mereka.

Menyedari, minat penonton terhadap drama-drama berkenaan, RTM menerusi RTM2 mengambil inisiatif menyiarkan Roda-Roda KL pada setiap hari Selasa, pukul 10.00 malam.

Setiap minggu drama itu mengetengahkan episod-episod berbeza menerusi tajuk Pelumba Malam, Taktik, Semangat Perwira, Integriti dan Liku-Liku Jalanan serta lain-lain.

Penerbitan drama ini pastinya mencetuskan kesedaran dan pengajaran berguna kepada penonton seperti isu lumba haram yang semakin berleluasa di kalangan remaja.

Roda-Roda KL menerusi tajuk Pelumba Malam misalnya, mengisahkan Remy terkenal sebagai pelumba motosikal di sekitar Kuala Lumpur yang di anjurkan oleh Tauke Lim dan Zack.

Pasukan Trafik mendapat maklumat mengenai perlumbaan haram yang rancak diadakan hampir setiap minggu dan mereka giat mencari maklumat dan menjalankan operasi.

Sementara itu, Remy dicabar oleh Malik, pelumba yang memang digeruni satu masa dulu.

Dalam pada itu Kopral Kamarul dan L/Kpl Rina ditugaskan membuat undercover bagi mengesan dalang perlumbaan haram lalu menyamar sebagai mat rempit untuk menumpaskan geng itu.

Sementara itu, menerusi tajuk Taktik pula, ia mengupas kes geng perompak menggunakan taktik dengan melanggar belakang kereta mangsa kemudian menyamun dan melarikan kereta mangsa.

Menerusi episod Liku-Liku Jalanan, Roda-Roda KL memaparkan kisah tugas anggota trafik yang bukan sekadar mengawal lalu lintas, sebaliknya, mereka juga memikul tanggungjawab yang lebih besar termasuk kerenah dan rungutan daripada orang awam dan juga ketika berurusan dengan golongan elit dan orang atasan.

Roda-Roda KL menampilkan pelakon-pelakon seperti Serina Redzuawan, Zack Kool, Suhaiza Suhaimi, Husain Hashim dan Aisyah Atan.

Roda-Roda KL ditayangkan di RTM2 pada setiap hari Selasa pukul 10.00 malam.

Utusan Malaysia

Memey Suhaiza Bukan Perampas

14 Sep

Oleh NIEZAM ABDULLAH
Solekan & rambut BOSCO (016-6091614)

Belum pun sampai setahun melibatkan diri secara serius dalam dunia seni tetapi nama Memey Suhaiza semakin ramai diperkatakan. Mana tidaknya, kemunculan gadis ini dikatakan mampu untuk bersaing dengan beberapa pelakon popular lain seperti Fauziah Gous, Julia Ziegler ataupun Lisa Surihani.

Memey atau lebih mesra dengan panggilan Mey ini mengakui dia juga bertuah kerana tidak mengambil masa yang lama untuk berada pada kedudukan hari ini. Itulah tuah namanya.

Pertama kali bertemu dengan Memey saya berkata inilah rupa-rupanya gadis yang pernah dikaitkan bercinta dengan si polan si polan.

Yalah, cantik, ayu wajahnya. Sebab itulah mungkin ramai yang terpikat dan tergoda terhadap raut wajahnya. Itu kata hati saya.

Sebelum ini Memey dikatakan pernah bercinta dengan pelakon Farid Kamil. Ia diakui sendiri oleh Memey tetapi beliau menolak mereka mempunyai hubungan cinta sebaliknya sekadar teman biasa. Dan terbaru dengan orang itu? Siapa? Biar kita membicarakannya nanti.

Cuma apa yang dapat saya katakan mengadakan sesi fotografi dengan gadis ini tidak sesukar mana.

Yalah, Mey lahir di pentas peragaan sebagai seorang peragawati. Apabila disuruh saja beraksi, tidak sukar untuk dia memperlihatkan mood wajahnya yang manis itu.

Itulah kelebihan sesiapa sahaja yang membuat persediaan awal sebelum bergelar artis. Ada sesetengah bintang itu sukar hendak dibentuk posisinya. Yang mampu hanyalah tegak macam tunggul kayu.

Tidak bagi Memey kerana dia boleh membuat macam-macam aksi dan dapat memenuhi setiap permintaan itu dengan baik. Saya melihat gadis ini boleh pergi jauh dalam bidang seni khususnya dalam bidang lakonan.

Walaupun tidak melihat bakat lakonannya secara mendalam di kaca televisyen tetapi ramai pengarah dan penerbit filem sedang memperkatakan kemampuan lakonannya.

Tetapi agak malang bagi Memey, baru setahun jagung dalam dunia seni, dia dihimpit dengan satu kontroversi hebat iaitu dituduh sebagai perosak kasih sayang orang.

Tidak menganggu rumah tangga

sesiapa.

Panas dan mendidih berita yang mengaitkan hubungan cinta Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi dengan pelakon Norman Hakim.

Khabarnya gadis ini sudah lama menjalinkan hubungan dengan suami kepada pelakon Abby Abadi yang sedang membilang waktu untuk melahirkan anak ketiga itu. Gosip biasanya tidak akan berlaku jika tiada sumber yang memberitahu.

Dan ternyata berita itu bukan sahaja mengejutkan dunia hiburan sebaliknya boleh ‘meruntuhkan’ rumah tangga orang lain sekiranya ia benar-benar berlaku.

Sebagai pendatang baru, ternyata peristiwa tersebut telah membawa Memey ke satu lagi kemelut yang amat berat ujiannya. Apatah lagi ia dikaitkan mempunyai hubungan dengan orang yang sudah ada keluarga dan anak-anak.

Saya cuba juga untuk mendapatkan komen Abby dan Norman Hakim berhubung perkara itu tetapi SMS yang dikirim tiada balasan walaupun Norman ada berkata dalam sebuah akhbar tiada sesiapa yang menghubunginya untuk mendapatkan kesahihan berita itu. Yalah… saya faham kadang-kala mereka tak mahu diganggu apatah lagi bagi menjawab kemelut ini.

Tetapi hendak atau tidak Abby dan Norman perlu berhadapan dengan kenyataan bagi merungkai segala persoalan agar ia tidak terus menjadi spekulasi.

Tapi tak apa, saya mahu Memey sendiri membuka cerita mengenai masalah yang berlaku itu. Masakan pokok bergoyang jika tiada angin yang bertiup. Desas-desus hubungan Memey dan Norman sebelum ini pernah juga heboh diperkatakan.

Tetapi Memey telah menjawabnya di dalam majalah-majalah serta akhbar hiburan sebelum ini yang mengatakan dia tidak pernah menjalinkan cinta dengan si dia.

Gadis berusia 20 tahun ini berkata, dia tidak mahu merampas kebahagiaan sesiapa. Itu janjinya. Apatah lagi untuk meruntuhkan rumahtangga yang sudah dibina oleh seseorang sejak sekian lama.

“Saya tak bercinta dengan Norman Hakim. Dia suami orang. Ia hanya cerita lama yang cuba dikorek semula,” ujar Memey menjawab persoalan itu.

Bercerita bagaimana cerita itu boleh berlaku, Memey mempunyai pendapatnya yang tersendiri.

Katanya, dalam dunia ini tidak semua orang mempunyai perasaan baik di antara satu sama lain.

Maksudnya ada sahaja orang yang tak suka dan gemar mencipta cerita untuk tujuan sensasi ataupun bagi menjatuhkan seseorang. Dan gosip hubungannya itu adalah salah satu daripada cabang ujian hidupnya sebagai seorang pendatang baru.

Ketika ditanya bagaimana dia mengenali aktor kacak itu ujar Memey, mereka dipertemukan dalam drama Pasrah terbitan Skop Production tidak lama dulu.

Dari situlah dia mengenali Norman dan tentunya hubungan itu tidak lebih daripada seorang rakan yang sama-sama berkongsi produksi.

Bimbang hati

Abby terguris

Apabila terlalu banyak dimomokkan dengan berita yang sedemikian rupa, tidak dinafikan hati Memey turut bimbang perasaan Abby Abadi akan terguris. Yalah, isteri mana yang tak naik angin jika suaminya dikaitkan dengan orang lain walaupun berita itu tidak ada pengesahannya.

Tetapi dalam hal ini Memey berkata dia mampu menanganinya dengan baik dan tentu sekali berasa bertuah kerana Abby memahami keadaan itu.

Dan tentu sahaja Abby tidak cemburu buta serta menerima berita berkenaan sebagai gosip murahan sahaja.

Ujar Memey lagi dia pernah menghubungi Abby menjelaskan perkara berkenaan dan Abby memahami hakikat Norman memang tak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengannya.

“Alhamdulillah Kak Abby tahu kisah itu sebenarnya tak betul. Saya sudah bercakap dengannya bagi menjelaskan perkara berkenaan,” ujar beliau.

Tidak menafikan Memey turut dihantui perasaan bimbang kerana khuatir ada pihak yang akan terus membesar-besarkan perkara itu.

Selain dikaitkan mempunyai hubungan, lebih daripada itu dia dikatakan sudah berkahwin dengan Norman dan tinggal serumah.

“Kahwin memang tak betul. Saya masih single lagi,” tambahnya.

Bukan sahaja dirinya yang gelisah tetapi keluarganya di kampung turut bimbang dengan kisah sensasi itu.

Jelas Memey, ibunya turut bertanya kesahihan berita berkenaan tetapi kerana mereka juga sama sekali tidak mahu anak gadis mereka itu terlibat dengan perkara yang boleh mencemarkan nama baik keluarga.

Tetapi selepas penjelasan diberi selain memaklumkan hakikat dunia hiburan tidak akan lari daripada berhadapan dengan gosip seperti itu, syukurlah keluarganya boleh menerima.

Apa yang diinginkan oleh Memey, selepas penjelasan ini tidak ada lagi pihak yang cuba mengaitkan beliau dengan Norman kerana dia tidak mahu terus diheret dengan kemelut yang boleh mencetuskan perasaan kurang senang sesetengah pihak.

“Saya harap selepas ini orang tak tanya lagi mengenai kisah tersebut. Saya mahu berterus terang yang saya dengan Norman tidak ada apa-apa hubungan dan kami tidak berkahwin sebagaimana yang didakwa,” katanya.

Mahu serius berlakon

Mula berjinak dalam dunia seni selepas diberi peluang oleh Darling Ngasri yang juga saudaranya, Memey berazam untuk terus berjaya dalam dunia lakonan.

Selain dramanya Lara Rindu Mahsuri yang sedang ditayangkan di TV3 sepanjang Ramadan ini, Memey juga sibuk untuk menghabiskan 26 episod drama Impian Laili yang menemui penonton sekarang ini di RTM.

Walaupun mengaku dia agak bertuah kerana belum sampai setahun sudah berpeluang memegang watak utama tetapi Memey juga seperti orang lain iaitu bermula dari bawah.

“Saya pernah jadi pelakon pembantu sebelum diberi peluang untuk memegang peranan utama beberapa buah drama saya yang akan dan sudah melalui penggambaran.

“Jadi tidak timbul saya ni anak emas atau kesayangan sesiapa hanya kerana saya diberi watak utama dalam tempoh yang singkat,” katanya

Tidak menganggap dirinya sudah berjaya tetapi akui gadis ini antara faktor untuk seseorang itu berjaya, mereka perlu memperbaiki kelemahan diri setiap kali diberi apa juga peranan dalam sesebuah drama.

Dalam masa yang sama pendatang baru sepertinya hendaklah menunjukkan komitmen yang tinggi dan menjaga disiplin agar disenangi oleh orang lain.

Utusan Malaysia

Farid Kamil Hanya Kawan – Memey

31 Jul

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

SEDIA arif akan kariernya mampu musnah dengan sekelip masa sahaja jika tidak dijaga dengan baik, pelakon yang boleh dikategorikan sebagai masih hijau dalam arus seni tempatan, Memey, mengakui bahawa kontroversi adalah satu perkara yang paling digeruni.

Bagi dirinya, kontroversi mampu menjejaskan keseluruhan kerjayanya sebagai seorang anak seni yang baru mahu merangkak.

“Itu (kontroversi) yang paling saya takut. Saya baru saja nak mengenali dunia lakonan dengan lebih mendalam. Berilah saya peluang untuk mendalami dunia ini.

“Selain itu, bukan setakat saya nak menjaga karier saya saja, tapi risau jika tempiasnya akan terkena pada keluarga,” katanya.

Biarpun si empunya diri menyerlah sekali ketakutannya dengan kontroversi, namun sudah adat menjadi artis, Memey sendiri tidak terlepas apabila dikaitkan dengan gosip. Salah satu gosip ialah apabila ada pihak yang mendakwa dia menjalin percintaan dengan aktor Farid Kamil.

Pantas Memey menegaskan, dia hanya mengenali Farid sebagai seorang pelakon popular dan mereka juga jarang bersua.

“Saya kenal dia (Farid Kamil), tetapi tidaklah mesra seperti gosip-gosip yang diperkatakan itu.

“Kami sekadar teman biasa saja. Tidak lebih daripada itu. Bukankah saya sudah kata, fokus saya buat masa ini adalah kepada karier ,” ujarnya.

Tambah gadis yang berasal dari Johor ini, demi keselamatan dan juga tidak mahu terjerumus menjadi bahan umpatan masyarakat, Memey kini lebih selesa membawa adiknya, Nazreen Suhaimi, ke mana-mana saja bersama.

Tujuannya ialah supaya Nazreen menjaga keselamatan Memey yang sentiasa pulang tak tentu masa.

Ingat jasa Darling

Tuah gadis ini diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba. Masakan tidak, dalam jangka masa setahun lebih sahaja, namanya boleh dikatakan agak kukuh di industri yang penuh dengan cahaya glamor ini.

Apalagi dengan segala tawaran berlambak datang kepadanya membuatkan dirinya tidak menang tangan dan terpaksa memilih yang terbaik.

Bakat dan kecantikan tuan punya nama Suhaiza Suhaimi ini, cukup untuk dijadikan satu pakej lengkap yang boleh disalurkan kemana-mana bidang yang diinginkan.

Dek kerana pakej itu juga, hari ini bidang peragaan, pengacaraan dan lakonan berada dalam genggamannya.


“SHERRY, Norish dan Memey.”

Lihat sahaja langkahnya bermula menapak dalam tele filem Rahsia Sebuah Pengorbanan, Pintu Syurga, Cinta Gadis Pengkit serta drama Elite, Graduan, Pasrah Syakira, Tragedi Oktober dan yang terbaru, drama Lara Rindu Mahsuri pula menjengah penonton di TV3.

Semua ini dia kecapi tidak sampai dua tahun. Namun, dirinya tidak langsung bongkak dengan apa yang dimiliki malah dia belum puas dengan apa yang dilakukan. Bukan kerana tidak puas dengan rezeki yang diterima, sebaliknya Memey belum puas dengan kualiti kariernya.

“Kalau boleh saya mahu menjadi yang terbaik antara yang terbaik,” begitu tinggi cita-cita gadis berusia 20 tahun ini.

Satu perkara yang penulis kagum dengannya, Memey tidak pernah lupa tentang bagaimana dia telah tergelincir ke dunia lakonan.

“Semua ini kerana Darling (Ngasri). Dia yang membawa saya sehingga ke tahap ini.

“Walaupun saya hanya sempat berlakon beberapa buah telefilem dengannya, saya tak pernah melupakan Darling. Dialah pendorong utama saya,” tuturnya berterus terang.

Kemudian, Memey mulakan tapak kariernya dengan sendiri. Dia mencuba nasib di produksi luar pula. Bermula di saat itu, kata-kata kurang enak mula didengar. Memey dikatakan seperti kacang melupakan kulit. Malah kini, Memey tidak lagi rapat dengan Darling seperti dulu.

Ketika hal itu diajukan dengan pantas Memey memotong kata dan memberitahu bahawa mana mungkin dia dapat melupakan segala jasa-jasa Darling.

“Jasa dia takkan saya lupakan sampai bila-bila. Saya juga hormat dia sebagai ibu saudara saya. Sekarang ini, saya terikat dengan drama-drama bersiri yang lain dan belum berkesempatan untuk berlakon drama atau telefilem baru dengan syarikat milik Darling.

“Lagipun, ini yang saya dapat, rezeki masing-masing. Untuk tingkatkan kemahiran lakonan, saya perlu cuba bekerja di bawah pelbagai produksi bukannya hanya satu atau dua produksi sahaja,”ujarnya.

Cuba mahu mengorek lagi tentang masalah hubungannya dengan Darling, Memey tidak mahu mengulas panjang. Takut meleret pula jadinya.

“Sekarang ni, saya dengan Darling dah baik dan keakraban kami juga kembali normal. Saya tak mahu mengulas panjang tentang hal ini lagi. Saya pun menghormati permintaan dia supaya tidak bercerita tentang hal ini lagi. Yang lepas biarlah ia pergi. Tak perlu difikirkan lagi,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri terbaru Akukah Tanggang? dan Lara Rindu Mahsuri di Sunway Piramid baru-baru ini. Memey berlakon dalam drama Lara Rindu Mahsuri bersama dengan pelakon Norish Karman dan Sherry.

Mahu menjadi penulis skrip

Sebenarnya, bakat gadis jelita ini, lebih daripada apa yang disangkakan. Dia bukan sahaja berbakat dalam memperagakan fesyen, berlakon mahupun mengacara, bahkan gadis tinggi lampai ini berkebolehan dalam penulisan.

“Mesti terkejut bila saya memberitahu minat saya. Tak ramai yang tahu tentang ini. Saya minat menulis sejak kecil lagi dan juga gemarkan novel yang lebih menceritakan mengenai motivasi diri,” tuturnya yang meminati penulis Rober Kiyosoki.

Apa yang di inginkannya cuma satu, Memey mahu bergelar sebagai penulis skrip suatu hari nanti. Itulah objektif terbesarnya.

“Jika diberi peluang, saya mahu menghasilkan skrip dalam masa tiga tahun ini. Dan sepanjang tempoh ini, saya akan kaji bagaimana cara penulisan skrip dihasilkan melalui lakonan yang saya bawa,” jelas si penggemar aksi dan gaya lakonan seniman Tan Sri P. Ramlee ini.

Kosmo