Archive | Intan Sarafina RSS feed for this section

Dunia Kanak-Kanak Zoey

21 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENATAP raut wajahnya, bagaikan budak belasan tahun yang masih bersekolah menengah.

Namun, siapa sangka Mohd Hairey Azhar atau mesra disapa abang Zoey di kalangan peminat cilik sebenarnya sudah berusia 23 tahun selain pemegang diploma dalam Rekaan Hiasan Dalaman.

Barangkali kerana tuah berwajah comel, memudahkan laluan Zoey membina karier sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing (GGG) yang disiarkan menerusi saluran Astro Ceria, meskipun itulah pengalaman pertama beraksi di depan kamera.

Melaluinya, Zoey mendaki populariti dalam sekelip mata dan menjadi pengacara kesayangan penonton cilik. Bayangkan, dek kerana kerana terlalu teruja melihatnya ada peminat bertindak agresif sehingga menyebabkan Zoey jatuh longkang.

“Mereka berasak-asak mahu bergambar dan mengambil autograf saya sehingga makin lama semakin ke belakang sehingga jatuh ke longkang. Kelakar betul waktu itu namun ia pengalaman cukup manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Sebenarnya saya tidak pernah merancang menjadi pengacara sebaliknya sekadar mencuba nasib pada sesi uji bakat GGG. Itupun atas desakan abang yang berkali-kali mahu saya mencuba.

“Bagi orang yang tiada pengalaman langsung, memang mengejutkan apabila dimaklumkan terpilih walhal pada hari uji bakat ramai artis remaja dan bintang Akademi Fantasia yang datang.

“Namun entah apa agaknya yang produser nampak pada saya sehingga berani memberi kepercayaan ini untuk saya galas. Alhamdulillah, diam tak diam sudah masuk musim ketiga saya mengendalikan program itu,” katanya.

Tidak ingin selama-lamanya dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, duta Astro Ceria selama dua tahun ini juga memasang impian mengendalikan program hiburan yang mensasarkan kelompok remaja dan dewasa. Atau erti kata lain menjadi pengacara versatil.

Bagaimanapun, dalam merancang perjalanan seninya pemuda kelahiran Besut, Terengganu yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola tidak pula berasa bosan dikelilingi kanak-kanak.

“Sememangnya saya selesa mendampingi kanak-kanak kerana saya sendiri sukakan budak-budak. Malah, setiap musim saya bertambah yakin dan selesa mengemudi GGG.

“Barangkali orang ramai mempunyai persepsi mengacarakan program kanak-kanak tidak mencabar atau tugas mudah tetapi tidak semua pengacara mampu mengendalikan program sedemikian.

“Kanak-kanak adalah manusia paling jujur. Mereka akan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak pandai menyembunyikan perasaan.

“Contohnya dalam GGG, ada peserta yang terlalu emosi apabila kumpulan mereka tewas. Segelintirnya pula terlalu aktif, tidak kurang yang pemalu sedangkan kamera mahu merakam ‘mood’ dalam keadaan terkawal dan ceria.

“Justeru, sebagai pengacara saya perlu memainkan peranan bukan saja dalam memastikan program berjalan lancar malah untuk membuatkan mereka selesa berhadapan dengan kamera,” katanya.

Sempena musim cuti sekolah Mei nanti, Zoey akan kembali ke rakaman GGG musim ketiga yang tampil dengan beberapa kelainan. Hadiah yang disediakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.

Beberapa perubahan turut dilakukan, jika dulu warna kuning, merah, biru dan hijau diguna sebagai nama kumpulan, untuk musim terbaru ini ia diubah kepada nama produk keluaran Steadtler selaku penaja musim kali ini.

“Bukan itu saja, peserta juga akan digandingkan dengan selebriti cilik Astro seperti pelakon Hikayat Putera Shazlan dan Geng Bas Sekolah sebagai satu pasukan.

“Lebih menarik, hadiah yang disediakan juga lumayan kerana peserta berpeluang memenangi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Pernah berjinak-jinak dalam dunia komersial sebagai model iklan sebelum bergelar pengacara, anak keempat daripada lima beradik yang semuanya lelaki ini turut mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Bermula dengan Impian Ilyana, Zoey kemudian dilamar membintangi siri terbitan Ace Motion Pictures, Bong, yang memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 diikuti Fara.

Terbaru, Zoey sedang menjalani penggambaran drama Putera Asmara yang turut dibintangi artis popular antaranya, Watie Elite, Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

Tidak lama lagi dia juga bakal menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim keempat dan difahamkan peranannya kali ini lebih besar berbanding musim pertama.

“Saya tidak pasti bagaimanakah jalan cerita atau konflik yang berlaku pada musim keempat ini namun saya difahamkan watak yang dibawakan dikembangkan lagi.

“Berlakon tidak semudah disangka. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa dimarahi pengarah Aziz M Osman ketika menjayakan penggambaran Fara. Abang Aziz mengarahkan saya naik, turun tangga sebanyak tiga kali gara-gara ‘mood’ lakonan tidak sampai.

“Namun saya percaya setiap teguran dan kritikan itu adalah terapi paling berkesan untuk menjadikan kita lebih baik pada masa akan datang. Sejak kejadian itu juga saya lebih peka dan komited terhadap tugas saya.

“Kalau diberi kesempatan saya teringin sekali berlakon di samping pelakon hebat, Fauziah Nawi,” katanya

Biarpun setiap tawaran perlu ‘ditapis’ terlebih dulu oleh Astro Ceria, Zoey tidak pernah berasa terkongkong kerana dia juga bukan jenis orang yang terburu-buru untuk merebut semua peluang.

“Buat masa sekarang, saya lebih selesa mengambil watak ringan kerana belum begitu yakin dengan kemampuan. Dari segi pengacaraan pula, sebagai selebriti Astro, kami mempunyai perjanjian apabila tidak boleh terbabit dengan sebarang program terbitan stesen lain.

“Bukan setakat itu saja, sebagai duta Astro Ceria saya juga terikat dengan beberapa syarat iaitu tidak boleh mengunjungi kelab malam termasuk merokok,” katanya.

Jika tidak terbabit dengan sebarang urusan seni, pemuda berbintang Capricon ini akan membantu abangnya menguruskan syarikat milik keluarga iaitu Calista Design.

“Calista Design sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan rekaan hiasan dalaman untuk pejabat serta pelbagai kemudahan berkaitan bidang seni bina kerana abang saya seorang arkitek.

“Jika ada pihak berminat untuk mengetahui lebih lanjut fokus syarikat ini dan kemudahan yang disediakan boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web http://www.calistadesign.t35.com. Mereka juga boleh berhubung dengan kami menerusi nombor yang tentera,” katanya.

PROFIL

NAMA: Mohd Hairey Azhar

PANGGILAN: Zoey

TARIKH LAHIR: 3 Januari 1985

UMUR: 23 tahun

BINTANG: Capricon

ASAL: Besut, Terengganu

KARIER: Model, pelakon, pengacara

Powered by Harian Metro

Advertisements

Ezlynn Jadi Rebutan Di Felda Lembah Klau

16 May

Oleh: FARIZA SAIDIN

Mega Wajasinar Sdn. Bhd. sudah pun memulakan promosi filem pertama terbitannya, Bilut, walaupun filem itu hanya akan memulakan tayangannya pada 27 Julai ini sempena meraikan sambutan ulang tahun Felda ke-50.

Penerbitnya, pelakon Khatijah Abu Hassan baru-baru ini telah membawa beberapa artis termasuk para pelakon filem itu ke Felda Lembah Klau, Raub, Pahang untuk menjadi anak angkat keluarga di sana.

“Ini sebahagian daripada cara kami mempromosikan filem ini,” kata Khatijah ketika ditemui di Felda Lembah Klau baru-baru ini.

Program yang dinamakan Gegar Felda Bersama Bilut itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Felda Pahang.

Program awal itu membabitkan 19 artis antaranya Ezlynn, Abot, Norsheila Amin, Alliza Abdullah (Enot), Didie Alias, Shahizan Samad (EJ), Sufi Jikan, Prono, Fario, Ani Mayuni, Rossa, Shamrin Fotograf, Acappan, Nadia Mustafar, Ayie X Factor, Intan Sarafina, Roy Azman selain personaliti TV Marina Wellington dan Elly (pemenang Mencari Cinta).

Mereka ‘berkampung’ di sana sehari semalam.

Ketibaan para artis disambut mesra oleh Presiden Majlis Belia Felda Pahang, Datuk Abdullah Abu Bakar beserta Pengurus Felda Lembah Klau, Awang Sulong dan Ketua Kampung, Abu Bakar Mahmood.

Sebanyak sebelas buah rumah keluarga angkat disediakan.

Perasaan teruja jelas terbayang pada wajah setiap keluarga angkat yang berpeluang bermalam bersama artis kesayangan masing-masing.

Namun untuk berlaku adil, undian dilakukan bagi menentukan keluarga dan anak angkat masing-masing. Apatah lagi tentunya masing-masing mahu merebut Ezlynn, satu-satunya penyanyi wanita yang membintangi Bilut.

Namun kasihan keluarga angkat yang berjaya mendapatkan Ezlynn. Penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini sekadar mampu berehat beberapa jam di rumah keluarga angkatnya. Ezlynn terpaksa pulang malam itu selepas mengadakan persembahan untuk penduduk kampung itu.

Bagi Norsheila Amin, artis yang terkenal dengan lagu Da Di Du, pengalaman pertama tinggal sebumbung dengan keluarga angkat cukup bermakna.

“Seumur hidup Sheila, ini pertama kali Sheila tidur di rumah keluarga angkat,” kata Norsheila yang turut membawa anak sulungnya, Amy.

Seperti Norsheila, Didie Alias juga membawa anak-anaknya seramai lima orang.

Ketika mengucapkan kata-kata perkenalan kepada keluarga angkatnya, Didie berkata, “Saya harap dapatlah diterima saya dengan lima cucu angkat sekali.”

Artis-artis yang mengambil bahagian tidak sekadar menjadi anak angkat. Mereka juga membuat persembahan dan bersukan untuk menghiburkan penduduk kampung itu.

Penduduk Felda Lembah Klau boleh berbangga kerana menjadi orang pertama mendengar lagu tema filem Bilut apabila Ezlynn menyanyikan lagu Semalam Hari Ini pada persembahan khas di kampung itu.

Selain Ezlynn, Abot dan Norsheila Amin juga menyanyi.

Abot, penyanyi lagu-lagu alternatif rock, berjaya menceriakan penduduk kampung itu apabila dia mengajak penonton bertwist dengan menyampaikan lagu Bunyi Gitar. Norshiela Amin pula menutup tirai persembahan dengan sebuah lagu joget.

Sebelum berangkat pulang, para artis masih sempat menjalin kemesraan dengan penduduk Felda Lembah Klau melalui perlawanan bola sepak dan bola jaring.

Dalam acara bola sepak, pasukan Bilut membelasah pasukan Majlis Belia Felda Lembah Klau dengan empat gol berbalas tiga manakala perlawanan pasukan bola jaring artis dengan Beliawanis Felda Lembah Klau menyaksikan kemenangan 13-10.

Jadual Gegar Felda Bersama Bilut-2006

*20, 21 Mei – Promosi ke Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak

* 26, 27, 28 Mei – Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Bilut, Radio Era dan pasukan KRU di Stadium Likas, Sabah

*3, 4 Jun – Promosi ke Felda Perasu, Gua Musang

*10 Jun – Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Bilut dengan pasukan Bernama di Stadium Selayang, Kuala Lumpur.

*17 Jun – Perlawanan persahabatan bola tampar pantai antara pasukan Bilut dengan pasukan Radio Era di Port Dickson

*1 Julai – Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Bilut dengan TV3, ntv7 dan HotFm di Stadium MPPJ

Powered by Utusan Malaysia

Intan Sarafina – Tertekan Jadi Pramugari

7 Feb

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

Intan Sarafina.


INTAN Sarafina yang cukup popular dengan lagu Duhai Malam merupakan satu-satunya artis yang meninggalkan dunia glamor untuk menjadi pramugari.

Keputusan Intan Sarafina atau lebih mesra dipanggil Intan, meninggalkan dunia seni setelah habis kontrak dengan Warner Music untuk menjadi keluarga AirAsia telah mencetuskan satu fenomena baru dalam bidang pramugari.

Sebabnya sebelum ini tidak pernah ada artis yang menjadi pramugari!

Bermula pada Mei 2003, jadual kerja Intan berubah daripada penyanyi menjadi pramugari yang menjalankan tugas di awan biru.

Bagaimanapun kerjaya Intan sebagai pramugari tidak kekal lama kerana setelah lapan bulan bersama AirAsia, pada November lalu, Intan mengambil keputusan berhenti kerja!

Pada satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Intan menceritakan suka duka pengalaman yang dilaluinya.

Kenapa setelah lapan bulan jadi pramugari, Intan berhenti kerja?

INTAN: Intan tak seronok terbang dan tugas pramugari tidak sesuai dengan jiwa Intan. Susah sebab tak boleh nak menyanyi lagi.

Semasa bersama AirAsia, maknanya Intan masih dapat undangan menyanyi?

INTAN: Ya…sekurang-kurang sebulan ada satu show.

Intan dikatakan bukanlah seorang pramugari yang baik kerana kononnya tidak mahu melayan penumpang. Intan malu kerana ada yang kenal Intan sebagai penyanyi. Betulke?

INTAN: Tidak betul. Intan tidak pernah malu menjalankan tugas melayan penumpang AirAsia ataupun menjual makanan ketika dalam penerbangan. Cuma masalahnya kadangkala ada penumpang yang juga merupakan peminat Intan mahu bergambar. Intan terpaksa memberi alasan kerana sedang bertugas.

Kenapa memberi alasan begitu?

INTAN: Sebenarnya Intan pernah terdengar cakap-cakap di kalangan petugas kabin yang tidak senang melihat penumpang meminati Intan dan mahu bergambar sama. Suara-suara sumbang itu seolah-olah mendakwa Intan cuba membayangi seniority mereka hingga menyebabkan penumpang lebih suka mendapatkan khidmat Intan.

Intan merasa tertekan dan kecewa sepanjang lapan bulan bekerja. Walaupun Intan sanggup mencuci tandas dalam pesawat untuk menyenangkan hati kawan-kawan tetapi Intan masih dipandang serong, hanya kerana Intan penyanyi dan masih ada yang meminati.

Sebab itu Intan letak jawatan pramugari?

INTAN: Ya…Intan rasa sangat tertekan .

Bagaimana kerjaya seni anda sekarang?

INTAN: Masih ada show. Paling kurang pun sebulan tu adalah satu show. Syukur alhamdulillah pendapatannya sama dengan sebulan gaji Intan di AirAsia.

Tak ada tawaran daripada syarikat rakaman?

INTAN: Ada tiga syarikat yang menawarkan Intan jadi artis mereka, tapi Intan belum buat keputusan.

Siapa lelaki yang temankan Intan ke mahkamah ketika Intan didakwa atas kesalahan trafik bulan lalu?

INTAN: Dia adalah teman istimewa Intan.

Sudah lama kenal?

INTAN: Semasa Intan bertugas sebagai pramugari dan sewaktu itu dia naik AirAsia dari KL ke Kuching, Sarawak.

Perancangan perkahwinan?

INTAN: Buat masa ini Intan dan dia belum merancang untuk berkahwin kerana kami masih kawan.

Powered by Utusan Malaysia