Archive | Aliff Aziz RSS feed for this section

Filipina Idam Juara Geng Starz

17 May

Oleh Farihad Shalla Mahmud (yang mengikuti rombongan TV3 ke Manila, Filipina baru-baru ini)



PAKEJ: Bukan saja mempertaruhkan kecantikan fizikal malah 3.5 juga memiliki bakat dalam bidang nyanyian.

Sedar saingan sengit dari peserta Malaysia, Indonesia, persiapan rapi dilakukan ke KL

BERSUNGGUH-SUNGGUH serta mempunyai keazaman yang begitu kuat untuk bergelar juara. Itulah yang dapat digambarkan mengenai dua kumpulan dari Filipina ini yang menyertai program realiti Gang Starz musim kedua.

Menyaksikan kesungguhan mereka membuat latihan serta persediaan yang dilakukan membuatkan penulis mengagumi betapa mereka begitu serius dengan apa yang mereka lakukan.

Selama tiga hari mengikuti aktiviti harian mereka sebelum terbang ke Malaysia serta mewakili negara mereka untuk bertanding bersama empat negara lain iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand bagi merebut gelaran juara, hadiah wang tunai ASD100 ribu serta kontrak rakaman album, dua kumpulan ini kelihatan tidak jemu-jemu membuat latihan bagi memastikan penyertaan mereka itu tidak sia-sia.

Bagi kumpulan Paragon Child yang dianggotai tiga anak remaja iaitu Rainner Melgarejo, 24, Jerwin B Nicomedez, 18 dan Julius C Lacandula, 20, mereka berpendapat setiap detik bagi mereka amat berharga untuk dibazirkan dan ruang itu diisi dengan sesi latihan menyanyi dan menari. Paling mengagumkan mereka sendiri yang mencipta setiap gerak tarian itu.

“Kami lebih selesa untuk mereka tarian kami sendiri. Secara kebetulan, setiap kami boleh menari jadi apabila berkumpul, kami akan berbincang bentuk tarian bagaimana yang sesuai untuk lagu nyanyian kami.


BERBAKAT: Paragon Child bukan saja berbakat besar dalam bidang nyanyian dan tarian malah mereka juga mahir bermain alat muzik.

“Bagaimanapun untuk latihan vokal, kami ada jurulatih vokal sendiri iaitu Jereme Vinarao. Dialah yang akan menasihati kami lagu bagaimana yang sesuai untuk dinyanyikan dan mengajar bagaimana untuk menyanyi dengan baik. Pengalaman yang dimilikinya sebagai salah seorang guru vokal dan muzik yang disegani ramai, meyakinkan kami bahawa kami mampu memberi satu bentuk persembahan yang bertenaga,” ujar Jerwin.

Sewaktu ditemui, Paragon Child sedang sibuk menjalani latihan di studio milik pengurus mereka. Terpegun seketika kerana sewaktu sesi latihan berlangsung, mereka memilih untuk menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Aliff Aziz berjudul Sayang Sayang.

“Sebelum ke Malaysia, kami rasa perlu membuat sedikit kajian, lagu apakah yang popular di sana menerusi internet. Jadi sebab itulah kami berlatih lagu ini. Lagipun rentak lagu ini agak catchy dan senang untuk dinyanyikan. Mungkin kami akan nyanyikan lagu ini dalam minggu kedua atau ketiga,” ujar Julius yang memiliki suara suara jantan. Selain lagu Sayang Sayang, mereka juga tertarik dengan lagu Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain dan turut bercadang untuk menyanyikan lagu itu jika berkesempatan.

Mengakui negara Indonesia sebagai pesaing terdekat mereka, RJ berkata itu juga menjadi pendorong untuk mereka berusaha dengan lebih gigih lagi.

“Tahun lalu, kumpulan dari Indonesia, The Lima bergelar juara jadi tidak mustahil mereka mampu mengulangi kejayaan sama tahun ini. Tapi kami tak nafikan mungkin negara lain mampu membuat kejutan. Jadi kami harus bersedia dalam keadaan apa sekali pun,” ujar jejaka yang cukup handal menari ini.

Tidak seperti boy band lain yang lebih cenderung pada muzik berunsur pop, Paragon Child pula ingin dikenali sebagai sebuah kumpulan yang serba boleh.

“Kami boleh bawa apa saja rentak muzik. dari muzik R & B, rock, balada dan juga klasik. Dan kami akan berusaha memikat hati pengundi dengan corak serta persembahan kami yang lain dari yang lain,” ujar Jerwin teruja.

Kumpulan trio yang menggelarkan diri mereka sebagai 3.5 (Three Point Five) juga tidak ketinggalan untuk memberi saingan sengit kepada kumpulan lain. Dengan penampilan yang agak seksi, pastinya kehadiran mereka mengundang kontroversi kerana dikatakan lebih menjual rupa berbanding bakat nyanyian.

Bagaimanapun, kenyataan itu pantas disangkal jurucakap mereka, Stephanie Lazaro-Bainbrigge, 28 sambil dipersetujui dua anggota lain iaitu Jellica Mateo, 24 dan Sherylad B Dela Virgen, 27..

“Kami datang secara pakej iaitu imej dan juga bakat. Kami mahu membawa pembaharuan dalam bidang hiburan iaitu bukan saja mempunyai penampilan yang menarik tetapi juga kami boleh menari dan menyanyi dengan baik,” ujarnya.

Berbicara mengenai persediaan yang mereka lakukan sebelum ‘berperang’ bersama negara lain dalam pertandingan Gang Starz kelak, Stephanie berkata itu adalah perkara utama yang dititikberatkan sebelum berjuang.

“Kami membuat persediaan dari segi fizikal dan juga mental. Dalam seminggu, kami memperuntukkan empat kali untuk membuat latihan. Ada latihan dijalankan di studio milik jurulatih vokal kami tetapi juga di rumah Jelli. Dalam setiap latihan, kami akan memastikan ia meliputi semua supaya tidak ada satu pun yang ketinggalan.

“Paling penting, kami perlu banyak berehat dan tidur yang mencukupi serta minum banyak air masak. Ini perlu untuk vokal kami. Malah, kami juga mendapatkan nasihat doktor mengenai penjagaan suara dan mematuhi nasihat supaya vokal kami tidak cedera sekali gus memusnahkan peluang untuk menjadi juara,” tutur Stephanie ramah.

Bercerita mengenai kesungguhan 3.5 untuk merebut gelaran juara, agak melucukan apabila Stephanie memberi tahu bahawa mereka sanggup mengutip dana semata-mata untuk menjayakan pertandingan itu.

“Sebaik saja berjaya menjalani sesi uji bakat, kami bertiga menganjurkan acara nyanyian semata-mata untuk mengutip dana bagi membiayai perbelanjaan kami sewaktu menghadapi pertandingan ini. Kebanyakan yang hadir adalah kawan-kawan kami. Apabila memberitahu mereka tujuan acara itu diadakan, kami terperanjat kerana masing-masing memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

“Sambil menghulurkan wang, mereka juga melaungkan kata-kata semangat. Masa itu rasa terharu sangat dan dana itu kami gunakan untuk membeli pakaian serta aksesori yang akan dipakai sewaktu pertandingan ini,” ujarnya sambil disulami tawa.

Ditanya apakah harapan mereka dalam pertandingan ini, Stephanie berkata mereka menyedari laluan yang mereka bakal hadapi nanti bukannya mudah kerana mereka perlu berdepan dengan saingan yang cukup kuat terutama dari negara Indonesia.

“Namun, saya akui negara lain juga mampu memberi cabaran kepada kami. Tapi kami memang suka dengan cabaran dan kami akan pastikan, 3.5 mampu memberi saingan dalam pertandingan sekali gus melenyapkan sangkaan sesiapa saja yang menganggap kami sekadar penyeri dalam pertandingan ini,” ujar ibu tunggal ini bersungguh-sungguh.

Powered by Berita Harian

Tak Kisah Dikatakan Lupa Diri

7 Apr

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

INDUSTRI seni tanah air memang cukup terbuka. Selain laluan ‘mudah’ diberikan kepada artis Indonesia, bintang dari Singapura juga tidak terkecuali. Sama ada sebagai pelakon atau penyanyi, makin ramai anak jati dari Kota Singa itu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Nama seperti Ferhad, Ahli Fiqir, Adi Putra, Imran Ajmain dan Aliff Aziz amat dikenali di kalangan peminat seni tempatan. Begitu juga dengan Aaron Aziz, 32. Pelakon utama drama Janji Diana ini nampaknya amat laris di pasaran.

Malah bapa dua anak ini mengakui hatinya senang me neruskan kerjaya seni di Malaysia kerana keluarga sudah berada di sisinya. Katanya, kalau dulu dia terpaksa berulang- alik dari Kuala Lumpur dan Singapura demi mengubat rindu, kini tidak perlu lagi.

“Ketika isteri dan anak menetap di Singapura, boleh di katakan masa saya lebih banyak habis dalam perjalanan. Alhamdulillah, kini tidak perlu lagi kerana mereka semua sudah ada dengan saya. Kini semuanya makin mudah.

“Saya sanggup berhijrah ke Kuala Lumpur kerana berlakon memang minat dan impian. Di Singapura pula, senario itu amat berbeza dengan Malaysia. Kalau di sini industri hiburan mampu dijadikan sebagai kerjaya tetapi di Singapura ia sekadar fesyen.

“Seni tidak boleh dijadikan karier utama. Jika mahu menjadi anak seni, secara sambilan saja. Tidak boleh sepenuh masa kerana pasaran yang kecil. Justeru, untuk mengembang kannya agak terhad. Itulah sebabnya saya berhijrah ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sekalipun namanya masih baru di negara ini, rezeki Aaron nyata murah. Selain sibuk dengan lakonan, Aaron juga baru-baru ini dipilih menjadi duta produk Men Expert keluaran L’Oreal Paris.

Katanya, dia amat bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberian itu.

Selepas membintangi filem Evolusi KL Drift terbitan Skop Production Sdn Bhd, Aaron kini sibuk pula di lokasi filem kedua, Shh… Dia Datang arahan pelakon dan pelawak, Saiful Apek.

Persoalannya, mampukah Aaron berkomedi? Aktor kacak ini mengakui menjadi pelakon komedi pasti bukan dirinya tetapi apa salahnya dia mencuba berlakon watak komedi.

Katanya, apa yang menarik perhatiannya ialah jalan cerita filem itu.

“Saya dapati skrip filem Shh…Dia Datang sangat bagus. Ia mengisahkan saya dan Apek yang bersahabat baik, mem punyai cita-cita sama mahu menjadi pelakon. Bagaimanapun, kami menghadapi pelbagai halangan untuk menjayakannya.

“Pelbagai insiden menarik dan melucukan dimuatkan dalam filem Shh…Dia Datang ini nanti. Cuma, tidak tahulah sejauh mana penonton boleh menerimanya. Apapun, saya berharap percubaan pertama dalam ‘komedi’ ini diterima baik,” ka tanya.

Aaron juga dicalonkan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) dalam kategori Pelakon Drama Lelaki Popular. Walaupun tewas di tangan Rosyam Nor, Aaron berkata, dia semenangnya tidak mengharapkan ke menangan memandangkan saingannya cukup hebat terutama daripada Datuk Jalaluddin Hassan dan Rosyam Noor.

“Sudah tersenarai dalam ‘Top 5’ pun saya amat bersyukur. Sebagai orang baru dalam industri hiburan, pencalonan dalam ABPBH2007 saya anggap satu penghargaan peminat. Tidak pernah saya sangka sampai ke tahap ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pembaca Berita Harian kerana mengundi dan meletakkan saya hingga ke tahap ‘popular’ itu. Apa yang diberi peminat ini akan jadi pemangkin semangat saya untuk terus berusaha keras meningkatkan mutu lakonan,” katanya.

Aaron juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila menolak menolak tawaran berlakon filem Histeria arahan James Lee sebelum ini.

Katanya, dia bukan ‘demand’ dengan bayaran tetapi tidak mampu memberi komitmen.

“Sebenarnya sudah menjadi cara saya tidak akan ambil lebih daripada dua tawaran berlakon. Malah ketika diberi tawaran itu, saya sedang sibuk menjayakan penggambaran drama 30 episod, Bulan Bertemu Matahari arahan Erma Fatima.

“Seingat saya, tempoh penggambaran drama itu mengambil masa kira-kira empat bulan. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran yang bertindan dengan jadual sedia ada. Ia jauh sekali disebabkan hubungan ‘tidak baik’ saya dengan pelakon lain.

“Hingga kini saya tiada masalah dengan mana-mana pe lakon. Oleh itu jika terkeluar cerita mengatakan saya tidak baik dengan pelakon lain, rasanya tidak benar dan gosip semata-mata. Pada saya, tiada sebab untuk bermusuh,” katanya.

Ditanya apakah dia berasakan masih mempunyai peminat di negara kelahirannya, Aaron yang memulakan kerjaya lakonan di Singapura pada 2004 mengakui peminatnya tetap ada.

Katanya, biarpun kini dia di Malaysia tetapi ada juga antara peminatnya masih berhubung dan bertanya khabar. Aaron juga pernah meraih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura pada 2003, 2004 dan 2005.

Mengenai tawaran berlakon di Singapura, Aaron mengakui dia kini tidak lagi mengambil sebarang tawaran di sana. Tegasnya, dia selesa memberi tumpuan kepada karyawan seni di Malaysia. Itu bukan saja mudah tetapi teratur.

“Saya tidak kisah kalau dikatakan ‘lupa diri’. Terpulanglah, dengan apa orang hendak cakap. Paling penting, saya dan keluarga tahu apa yang berlaku,” katanya.

PROFIL

NAMA: Aaron Aziz

KERJAYA: Pelakon

ASAL: Singapura

USIA: 32 tahun

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Diyana Halile

ANAK: Danish Anaqi, 4 dan Dwi Ariana, 2

DRAMA: Sumaiyah, Emil Emelda, Janji Diana, Sadiq & Co, Cinta Gila dan Bulan Bertemu Matahari

Filem: Evolusi KL Drift dan Shh… Dia Datang

PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura (2003, 2004, 2005)

DUTA PRODUK: Men Expert keluaran L’Oreal Paris

Powered by Harian Metro

Impian Aliff Terlaksana

13 Mar

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)

ALIFF AZIZ (kiri) menerima plak penghargaan sempena lagu Sayang-Sayang menjuarai carta-carta radio popular daripada Pengarah Urusan Sony BMG Music Entertainment, Adrian Lim.

MEMANG sudah menjadi impian anak muda ini untuk menjadi seorang penyanyi sejak kecil lagi. Lantas, pelbagai pertandingan yang disertainya bagi menunjukkan kepada khalayak bahawa dia ada bakat tersendiri.

Mungkin sudah tertulis bahawa kemenangan mutlak menjadi miliknya saat menjuarai salah satu pertandingan realiti televisyen paling popular di Singapura, Anugerah tahun lalu menewaskan saingan terdekatnya, Maiya Rahman.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka akan mengecapi kejayaan sebegini. Sudah pasti, semuanya tidak datang bergolek dan saya perlu bekerja lebih keras lagi dalam memastikan karier saya akan terus bertahan dan diterima oleh peminat saya yang tidak pernah henti menyokong saya,” kata Md Aliff Aziz atau Aliff Aziz yang ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, Aliff di Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya siapakah empunya vokal serak-serak basah menerusi lagu paling popular ketika ini iaitu Sayang-Sayang.

Mendengarkan suaranya itu pasti ramai yang menyangka Aliff seorang penyanyi dewasa namun, siapa sangka, anak sulung dari dua beradik ini baru sahaja menginjak usia 17 tahun pada 16 Februari lalu.

Bercerita tentang album sulungnya yang sudah berada di pasaran sejak bulan Disember lalu, Aliff melahirkan rasa kepuasannya tatkala apa yang diidamkannya selama ini termakbul.

“Sudah lama saya kepingin untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer Malaysia terutama sekali lagu ciptaan Azlan Abu Hassan yang memang saya kagum dari dulu lagi.

“Lagu-lagu ciptaan Azlan memang bersesuaian dengan diri saya dan apabila peluang ini datang, saya memastikan saya akan memberikan yang terbaik memandangkan untuk merakamkan album ini menuntut pengorbanan yang besar,” jelasnya jujur.

Tambahnya, dia menghabiskan masa lebih seminggu dalam menyiapkan album sulungnya itu serta perlu berulang-alik dari Singapura ke Malaysia.

Dalam masa itu, dia perlu menghafal lagu dan lirik dalam memastikan dia dapat memberikan kepuasan maksimum kepada penerbit dan komposer.

Rancak bercerita tentang albumnya itu, Aliff turut memberitahu, dia terkejut dengan penerimaan peminat di Singapura dan Malaysia terhadap albumnya.

“Saya diberitahu dalam tempoh dua minggu album itu dipasarkan di Singapura, jualannya sudah mencecah 3,000 unit dan itu sudah cukup menggembirakan saya.

“Di Singapura, single pertama saya adalah Ku Sendiri ciptaan Azlan Abu Hassan tetapi di Malaysia, lagu Sayang-Sayang yang telah menjulang nama saya.

“Apa yang saya harapkan adalah sokongan yang beterusan dari semua pihak terutama peminat serta penyokong saya,” kata bekas pelajar Zhenghua Secondary School, Singapura ini lagi.

Ketika ditanya mengapakah album sulungnya itu tidak mendapat sentuhan dari komposer Singapura, dengan penuh hemat, dia memberitahu: “Itu di luar bidang kuasa saya untuk memberikan jawapannya. Saya tidak kisah menyanyikan lagu dari sesiapa kerana saya suka menyanyi dan ini adalah pekerjaan saya.”

Daripada respons yang diterima, ada yang berpendapat album Aliff hanya sesuai untuk pendengaran budak-budak sekolah dan remaja sahaja.

Apa pula reaksi Aliff berhubung hal itu?

“Saya tidak ada hak untuk mengatakan album saya hanya untuk sasaran golongan tertentu sahaja. Apa yang boleh saya katakan, saya telah memberikan yang terbaik untuk album ini dan secara peribadi, saya percaya album ini mampu diterima oleh semua golongan,” ujar abang kepada pasangan kembar, Nur Aisyah dan Nur Ain ini lagi.

Dalam majlis itu juga, kehadiran lebih daripada 20 orang peminatnya yang menganggotai kelab peminatnya, Aliff Angels turut memeriahkan suasana dan mengambil kesempatan meraikan hari jadinya.

Bukan itu sahaja, Aliff juga berjaya mencipta kejayaan buat dirinya apabila dia berjaya tercalon untuk enam kategori dalam Anugerah Planet Singapura (APM) yang bakal di adakan pada 20 April depan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) iaitu Album Terbaik Singapura (Aliff), Artis Terbaik Singapura, Artis Singapura Paling Popular, Artis Baru Lelaki Terbaik, Lagu Terbaik Singapura (Ku Sendiri) dan Lagu Singapura Paling Popular (Sayang-Sayang).

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Aliff bolehlah melayari laman webnya, http://www.aliff-aziz.com

Powered by Utusan Malaysia