Archive | Yasmin Hani RSS feed for this section

Semakin Ghairah Terbit Drama

16 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Laila Majnun terbitan Pena Creative temui penonton pada 22 Disember

LALUAN seninya bermula sebagai pelakon, namun sejak tahun 1991 hinggalah sekarang aktres yang kini bergelar penerbit drama bersama syarikatnya, Pena Creative Sdn Bhd, Ziela Jalil sedang berusaha memantapkan profil produk keluaran syarikatnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diiktiraf dan diterima membakar semangat ibu kepada dua anak – Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 14.

Menurut isteri kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, sepanjang tempoh pembabitan di dalam bidang penerbitan, selama tiga tahun, sekitar 1998 hingga 2001, syarikat miliknya tidak menerbitkan drama ketika zaman kegawatan ekonomi.

Kejayaan drama Lebih Bisa Dari Jelatang menerusi Anugerah Skrin (ASK) 2006 dan Suara Solehah (ASK 2008), membuktikan drama terbitannya bukan saja berkesan pada mata juri sebaliknya mampu memikat penonton.

Satu majlis kesyukuran meraikan kemenangan drama Suara Solehah sekali gus melancarkan drama Laila Majnun terbitan produksi yang sama diadakan pada 12 Disember lalu di Restoran Seri Melayu. Turut sama berkongsi kesenangan dan keberkatan ialah anak yatim daripada Persatuan Ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan (Perwanida).


ZIELA, Fauziah Ahmad Daud dan Megat Jufri Nasrullah bersalaman dengan anak yatim daripada Persatuan ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan.

Drama Laila Majnun arahan sutradara Emi Suffian yang mengisi slot Lagenda TV3 & TV9 mulai 22 Disember ini menjadi penerbitan kedua Pena Creative selepas drama Akukah Tanggang yang pernah disiarkan sebelum ini menerusi slot yang sama.

Masih mengenakan pendekatan cerita yang memberi iktibar, Laila Majnun mengetengahkan mesej darah daging sendiri tergadai gara-gara hutang. Olahan skrip dilaksanakan oleh Jumal Yunus dan menampilkan gandingan sulung Nabila Huda dan Zizan Nin.

“Penggambaran drama ini sejak Oktober lalu, dua minggu selepas musim Aidilfitri. Baki penggambaran drama 20 episod ini masih dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Hulu Langat. Laila Majnun juga menampilkan budaya pelbagai kaum di antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Pemilihan Nabila dan Zizan sebagai pelakon utama adalah sebagai pilihan pertama.

“Saya dan pengarah drama Suara Solehah (Murali Abdullah) memang sudah lama berhasrat untuk mengadakan majlis doa selamat untuk anak yatim apabila kemenangan berpihak kepada kami. Terlanjur ada majlis pelancaran drama Laila Majnun, kita buat majlis ini. Lagipun, Murali dan saya masing-masing sibuk dengan komitmen lain,” kata Ziela yang kini sedang merangka drama Puteri Gunung Ledang dan Puteri Mayang Murai untuk mengisi slot Lagenda.


BARISAN pelakon yang terbabit memeriahkan drama Laila Majnun.

Januari depan juga, Ziela akan menerbitkan drama telenovela berjudul Matahari bagi mengisi slot Akasia TV3 bermula Mac nanti (sejurus selepas tamat Spa Q 2). Mengambil ilham sebuah drama Thailand yang pernah disiarkan di Astro ia mengisahkan seorang wanita bernama E Pring yang berkahwin ramai suami. Jika tiada aral melintang drama ini akan menjalani penggambaran di Terengganu.

Tidak sesekali pernah meninggalkan dunia lakonan, Ziela kini sedang menjalani penggambaran filem arahan Prof A Razak Mohaideen berjudul Dua Hati Satu Jiwa. Kali terakhir, Ziela berlakon filem ialah menerusi Kayangan yang ditayangkan 2007 lalu.

Dua Hati Satu Jiwa menjadikan subjek kembar Siam lakonan Fouziah Gous dan Yasmin Hani sebagai fokus utama dan Ziela menjadi ibu kepada mereka. Fahrin dipertanggungjawabkan sebagai hero dan turut menampilkan Mustapha Kamal memegang watak suami kepada Ziela.

Peluang berlakon buat julung kalinya di bawah arahan Razak Mohaideen, menjadi landasan terbaik untuk Ziela mengutip pengalaman yang boleh dijadikan amalan sebelum berjinak-jinak ke arah penerbitan filem. Ziela memuji corak kerja syarikat Line Clear milik Razak Mohaideen ini hingga membuatkan hatinya tersentuh. Filem ini adalah filem ke-16 lakonannya.

“Inilah pertama kali saya bekerja dengan produksi yang sebelum memulakan penggambaran dimulakan dengan bacaan doa dan Al- Fatihah. Begitu juga sesudah tamat penggambaran diakhiri dengan bacaan Alhamdulillah. Ia satu contoh yang baik, membawa berkat dan dapat mengutip pahala.

“Seronok juga dapat berlakon kembali dan pelakon lain sudah menjadi macam ahli keluarga apatah lagi saya tidak mempunyai adik beradik kandung. Cuma apabila kembali berlakon dengan produksi lain, soal masa memang amat mencemburui ruang waktu saya dengan anak-anak. Kadang-kadang saya tidak dapat menghantar anak ke sekolah disebabkan terikat dengan jadual penggambaran.

“Hakikatnya, saya memang selektif memilih untuk berlakon terutama hal yang membabitkan skrip. Jika berlakon dengan produksi sendiri, agak mudah bagi saya mengatur jadual di samping menunaikan ibadat yang wajib. Sekarang ini pun, saya sedang dalam proses perbincangan dengan seorang usahawan untuk bekerjasama menghasilkan filem,” ungkap Ziela yang sudah bertudung sejak hujung 2006 lalu.

Ditanya mengenai anak-anaknya andai mereka berminat untuk mengikuti jejaknya sebagai anak seni, Ziela mempunyai alasannya yang tersendiri.

“Saya memang tidak galak anak membabitkan diri dalam dunia lakonan. Biarlah mereka belajar sampai habis dulu dan kejar cita-cita. Kalau dapat segulung ijazah dan ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya sampingan, mungkin juga saya akan pertimbangkan ketika itu. Saya takut mereka akan lalai apabila sudah seronok berlakon,” katanya ringkas.

INFO: Laila Majnun

Disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 mulai 22 Disember ini.

Gandingan Nabila Huda dan Zizan Nin adalah yang pertama dilakukan.

Turut berlakon ialah Fauzi Nawawi, Balkish Semundur Khan, Maisarra, Kenchana Dewi, Aida Radzwill, Wan Hanafi Su dan Wan Maimunah.

Berita Harian

Pasrah Digelar Artis Seksi

12 Dec

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

WAJAH pelakon ini, Lana Nordin sekadar sekejap-sekejap singgah di kaca TV dan layar perak, namun publisiti diterima wanita ini bagaikan berlebihan setelah diberi jolokan Pamela Anderson Malaysia.

Barangkali kalau ada sesiapa yang mendapat gelaran ini, pasti akan terasa bangga.

Cuma daripada skop berlainan, panggilan ini seolah menjatuhkan martabat kaum wanita kerana pelakon antarabangsa itu tidak sunyi dihimpit kontroversi memualkan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin berkata, secara jujurnya dia malas mengambil peduli kata-kata nakal yang dilemparkan masyarakat terhadap diri yang baru mahu melebar sayap dalam dunia lakonan.

“Kalau orang sekeliling yang beri jolokan ini, saya tidak boleh hendak cakap apa-apa. Hendak marah pun tidak boleh sebab saya sudah bergelar artis, jadi saya terima saja anggapan ini tanpa melenting tidak tentu pasal.

“Bukan istilah saya kisah ataupun tidak kisah, sebaliknya saya berpendapat gelaran Pamela Anderson Malaysia ini sekadar cakap-cakap nakal orang luar sana,” katanya telus semasa majlis beramah mesra bersama artis Aquila Emas di Saloma Bistro, Jalan Ampang baru-baru ini.


SELAGI tidak menggangu diri, keluarga dan rakan-rakan terdekat, Lana sekadar membiarkan cakap-cakap tentang dirinya umpama Pamela Anderson Malaysia.

Antara artis Aquila Emas yang hadir adalah Betty Benafe, Zizan Nin, Yasmin Hani, Tony Eusoff, Airis Yasmin, Nazim Othman, Chelsia Ng dan Tania Zara.

Sambung wanita berusia 29 tahun ini, selagi gelaran ini tidak menganggu diri, keluarga serta rakan-rakan terdekat, Lana hanya membiarkan sahaja peminat memberi gelaran kepadanya.

“Saya menerima saja jolokan ini walaupun sewaktu awal diberitahu , saya terus tergelak besar gara-gara mengenang saya yang kononnya mirip selebriti seksi luar itu.

“Paling penting, saya dan orang-orang yang terdekat di hati saya tahu siapa sebenarnya Lana Nordin. Itu sudah memadai kepada saya.

“Lagipun, susah untuk saya menutup mulut orang yang suka buat penilaian sendiri. Perkara ini tidak memberikan kesan buruk kepada saya. Jadi mengapa saya perlu lihat jolokan diberikan ini sebagai negatif?”soal Lana terus tersenyum.


ZIZAN NIN dan Tony Eusoff antara pelakon yang bernaung dengan Aquila Emas.

Ditanya bagaimanakah gelaran ini mula melekat kepada diri, pantas sahaja jawapan si Lana: “Barangkali sebelum ini saya tidak mendapat liputan meluas sangat daripada pihak media cetak dan elektronik.

“Awal kemunculan saya sedikit berisi, namun lama-kelamaan berat badan saya makin susut sekali gus membuatkan badan saya nampak kurus, cuma ada bahagian yang tidak berubah.

“Sedangkan aset yang saya miliki sekarang kelihatannya sama saja dengan perempuan lain, malah tiada beza jika ingin diimbas kembali semasa badan saya besar.

“Saya juga mengakui tidak menjalankan pembesaran di mana-mana bahagian badan. Kalau tidak, sudah tentulah emak dan adik beradik perempuan saya yang lain akan perasan dengan situasi ini.

“Kalau orang ramai terus hendak berbuat bising, saya tidak boleh menjelaskan apa-apa lagi. Adik beradik saya yang lain pun punya ukuran saiz badan sama dengan saya juga.

“Istilah saya buat pembedahan membesarkan payu dara hingga digelar Pamela Anderson Malaysia memang tidak wujud sama sekali,” jelas Lana yang pernah kehilangan kira-kira lima kilogram hingga menjadikan tubuh yang dimiliki kini menjadi susut.


DARI kiri: Lana, Airis Yasmin dan Tania Zara.

Sampuk wanita yang pernah muncul menerusi filem Remp-It dan Main-Main Cinta, meskipun gelaran itu ada waktu disalah anggap sesetengah pihak, namun Lana mengakui bertuah dek diri makin dikenali di laman seni.

“Satu yang saya perasan apabila munculnya cerita macam itu, khalayak mulai sedar kehadiran saya dalam dunia lakonan ini.

“Kalau ada yang pandang serta cakap saya ini dan itu, perkara berkenaan bermaksud orang ramai mula mengenali mana satu Lana Nordin.

“Maknanya saya wujud di hati masyarakat walaupun diberi gelaran Pamela Anderson Malaysia yang dilihat banyakkan keburukan berbanding kebaikan.

“Paling utama, saya tidak pernah sesekali mengacau orang lain, malah tidak juga mencipta isu Pamela Anderson untuk menaikkan populariti saya dalam industri ini.

“Kalau betul-betul saya inginkan glamor yang cepat, sudah tentu sudah lama saya buat perkara ini, cuma saya bukanlah artis gemar mencipta publisiti murahan,” jelas Lana dalam suara cukup tegas.

Ingin tonjol bakat lakonan

Sambung wanita peramah ini lagi, dia merupakan artis yang punya strategi sendiri untuk mengenengah diri dalam karier lakonan, tanpa perlu bergantung harap cerita sensasi.

“Saya enggan berjumpa wartawan kalau tidak ada sebarang drama atau filem yang hendak diuar-uar. Sebaliknya, macam hari ini saya bertemu pihak media dalam upacara berhubung kait dengan lakonan.

“Kalau boleh saya mahu orang kenal saya menerusi hasil kerja dan mutu lakonan, bukan dengan kisah yang tiada kepentingan dalam seni.

“Saya akan berusaha dengan sehabis baik untuk muncul di khalayak bermula tahun 2009 kerana waktu itu filem saya Gentayangan akan menjengah di pawagam.

“Sekarang kalau setakat jadi pelakon sampingan atau watak pembantu dengan mana-mana produksi, saya agak malu untuk bertemu wartawan.

“Biarlah saya mencipta nama dulu dan baiki gaya lakonan, kemudian barulah saya akan mempromosikan diri,” tutur wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini sepenuh keyakinan.


TANIA ZARA (kiri) dan Airis Yasmin.

Dipalit gelaran Pamela Anderson Malaysia barangkali menyebabkan keluarga Lana turut menanggung malu kerana bukan calang-calang jolokan yang diberi. Memalukan dek selebriti luar itu sering dilabel pelbagai kisah kurang elok.

Beritahu Lana, keluarga sekadar tertawa besar mengenang cerita kelakar yang dilempar kepada anak perempuan yang ditatang bagai minyak penuh selama ini.

“Famili saya amat memahami dengan gelaran yang diberi. Lagipun saya sudah menerangkan segala-galanya kepada mereka tentang asam-garam dunia seni.

“Saya menerangkan kepada mereka, apabila menjadi artis, kita diibarat duduk di bawah mikroskop. Orang lain nampak sahaja setiap pergerakan kita tidak kira masa serta waktu.

“Ada ketika kita tidak melakukan perbuatan yang tidak elok itu, namun kita tetap dikeji dengan pelbagai tohmahan yang tidak baik.

“Bayangkan, kalau ada artis lain yang buat pembedahan payu dara, tidak menjadi isu langsung. Sedangkan saya yang tidak bersalah ini, dituduh bermacam-macam melakukan ubah suai pada payu dara.

“Alhamdulillah, keluarga mengerti keadaan yang saya hadapi ketika ini apatah lagi setelah menjadi individu dikenali ramai,” sahut Lana sambil menghela nafas lega.

Sekadar hubungan teman biasa

Bukan setakat digelar Pamela Anderson Malaysia, Lana juga dikatakan mempunyai hubungan dengan anak kepada seorang golongan kenamaan terkenal di negara ini. Lelaki berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan seorang artis jelita ternama dan seorang personaliti TV.

Dengan cukup professional, Lana tidak sesekali menyembunyikan perkara itu, namun dia sekadar mengatakan hubungan yang terjalin dengan lelaki itu, hanya teman biasa.

“Saya dan si dia sekadar bersahabat saja. Lagipun kami sudah saling mengenali sejak tujuh hingga lapan tahun lalu. Waktu itu umur saya adalah 21 tahun.

“Kami memang tiada sebarang perhubungan istimewa, sebaliknya sekadar kawan baik saja setelah diperkenal oleh seorang rakan lain.

“Daripada situ, bermulalah detik kami berkawan dan dia menjadi sebahagian daripada rakan baik saya. Kami selalu lepak dan minum-minum saja, tanpa membabitkan soal hati dan kasih-sayang,” terang Lana tanpa berselindung.

Melafaz cinta bersama Aquila Emas

Bagi menempatkan kedudukan di lapangan seni yang sentiasa meranum ini, Lana mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Aquila Emas (AE), sebuah syarikat menguruskan dan melayar bahtera anak seni tanah air sejak tiga tahun lalu.

Kehadiran Lana dalam organisasi itu, sebagai individu ketiga setelah kemasukan Zizan Nin dan Carrie Lee Sze Kei, nyata memberi impak besar dan perubahan dalam kerjayanya.

Menurut Lana, dia mendapat nasihat daripada Zizan yang beria-ria mahukan dia menyertai AE, bagi memudahkan segala kerjanya sebagai insan seni.

“Saya amat teruja dengan syarikat ini kerana dia bersungguh mengurus dan mempromosikan semua artis jagaannya dengan cukup baik.

“Semua urusan kerja saya bersangkutan dengan AE termasuk berkaitan kontrak dan setiap perjanjian untuk melibatkan diri dalam mana-mana projek terbaru.

“Ada banyak faedah yang saya dan artis lain nikmati dengan melibatkan diri bersama AE. Segala hak dan kebajikan kami dijaga dengan baik sekali, tanpa ada kekurangan,” akui Lana teruja.

Kosmo

Komedi Lemah Dalam Duyung

11 Mar

ANTARA cerita dongeng yang begitu popular hingga ke seluruh dunia ialah duyung iaitu sejenis ikan yang berbadan dan kepala manusia wanita yang jelita, tetapi kakinya adalah ekor ikan.

Dongeng duyung sudah berada begitu lama sejak zaman Rom lagi. Ia dipopularkan lagi oleh penulis Denmark, Hans Christian Anderson melalui cerita kanak-kanaknya, The Little Mermaid hinggakan patung duyung telah menjadi ikon pelabuhan Copenhagen yang begitu terkenal.

Kewujudan duyung sama ada ia dongeng terus menjadi misteri yang begitu menarik.

Disebabkan oleh populariti dan misteri kisah dongeng duyung, ia telah difilemkan dengan beberapa pendekatan, antara yang cukup popular ialah filem Splash (1984) lakonan Tom Hanks dan Daryl Hannah dan filem animasi Walt Disney, Little Mermaid (1989).

Malah filem Melayu keluaran Cathay Keris semasa di Singapura juga telah pernah menghasilkan filem Duyung. Yang terbaru tentulah filem Duyung, lakon layar dan arahan oleh Abdul Razak Mohaideen terbitan KRU Films.

Sebagai sebuah filem, Duyung ialah sebuah filem dalam genre fantasi moden. Sebagai sebuah filem fantasi, ia sebenarnya sama dalam kelompok filem seram dan fiksyen sains.

Filem fantasi meneroka subjek yang kita sebenarnya tidak begitu tahu atau pasti dan ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang real.

Fantasi ini sebahagian daripada realiti di bawah sedar dan dunia mimpi. Bagaimanapun, sebagai sebuah filem fantasi moden, Duyung samalah seperti filem Jurassic Park (1993) arahan Steven Spielberg, filem yang menghidupkan semula dinosaur yang telah pupus ribuan tahun dahulu.

Filem ini telah mengkaburkan elemen rekaan dan realiti melalui kehebatan mise en scene ciptaan teknologi digital CGI.

Dalam Duyung, watak Jimmy (Saiful Apek) digambarkan sebagai gemar berimaginasi tentang kemunculan duyung, makhluk yang sering diceritakan oleh ibunya semasa Jimmy kecil lagi. Kerana sikapnya itu, Jimmy yang sering ditemani Orix (lakonan Yassin) makhluk seperti beruk tidak dihiraukan oleh penduduk kampung dan sering dianggap gila.

Bagaimanapun, pada suatu malam Jimmy benar-benar dikunjungi ikan duyung yang bernama Puteri (lakonan Maya Karin).

Kemunculan ikan duyung yang diceritakan oleh Jimmy bagaimanapun tidak dipercayai oleh orang kampung sehinggalah duyung tersebut dapat dijerat oleh pukat Kordi (Awie) dan dipertonton kepada orang kampung.

Jimmy terpaksa menyelamatkan si duyung yang hendak dijual oleh Kordi kepada taukeh sarkis.

Dari satu aspek terdapat keselarasan menarik dalam naratif filem duyung ini. Antara Jimmy yang gemar berimaginasi hingga sering tenggelam dalam dunia ilusinya dan pertemuannya dengan si duyung selaras dengan dunia khayalan dan dunia sebenar.

Dan pertemuan itu berlaku di waktu malam dan secara rahsia antara mereka berdua sahaja. Oleh sebab itu pertemuan antara Jimmy dengan Duyung boleh sahaja sebenarnya tidak berlaku dan ia hanya muncul dalam imaginasi Jimmy.

Tetapi apabila kemunculan duyung menjadi heboh di kampung itu, duyung akhirnya terpaksa menghilangkan diri demi keselamatan dirinya.

Dan kisah duyung ini kemudiannya akan kekal dalam ingatan orang kampung sahaja.

Bagaimanapun, naratif dalam Duyung tidak benar-benar mengangkat watak Jimmy dan si Duyung dengan pendekatan dan gagasan yang lebih menarik.

Yang diutamakan oleh naratif filem ini ialah adegan komik dan lucu. Duyung sebagai makhluk yang penuh misteri tidak diperlihatkan elemen mistiknya.

Malah apabila imej duyung sudah dimuncul seawal pembukaan filem ini maka ia telah menghilangkan kesan misteri dalam kisah fantasi yang menjadi kunci utama filem Duyung.

Kelemahan ini sebenarnya adalah sebahagian daripada kelemahan ketara plot filem ini yang gagal meyakinkan kita dengan struktur penceritaan melalui jalinan watak dan peristiwa yang menarik.

Hubungan watak Jimmy dengan watak Puteri tidak memperlihatkan hubungan yang istimewa.

Begitu juga hubungan tiga segi Jimmy dengan gadis pujaannya Aspalela (Yasmin) dan Kordi adalah lemah untuk menghasilkan konflik hubungan.

Malah, Saiful Apek yang memegang watak Jimmy langsung tidak dapat membezakan antara diri dan lawaknya seharian dengan melakonkan watak Jimmy.

Sebab itu kita dapat mendengar dialog-dialognya yang ‘entah apa-apa’.

Walaupun sebuah filem komedi memerlukan dialog yang disampaikan secara spontan tetapi ia perlu terkawal dan yang penting mempunyai makna.

Malah filem ini tidak ubah seperti sebuah drama radio yang mana adegan-adegannya sentiasa dipenuhi dengan dialog yang panjang hingga membosankan.

Kasihan Maya Karin yang memegang watak Duyung, dia hanya perlu berenang dan muncul di permukaan air, tetapi kemunculannya tidak membawa banyak makna dan tujuan.

Sebagai sebuah filem komedi, Duyung sebenarnya boleh menjadi cukup menarik jika dialognya terkawal dan naratifnya dapat mengeksploit elemen suspen dan misteri dengan baik.

Tetapi disebabkan pengarahnya gagal memberikan pendekatan baru, maka Duyung sekadar sebuah filem hiburan dan komedi biasa sahaja.

DUYUNG

Arahan: Abdul Razak Mohaideen

Lakon layar: Abdul Razak Mohaideen

Pelakon: Saiful Apek, Maya Karin, Yasmin Hani, Yassin, Awie, Abu Bakar Omar, Rosnah Mat Aris, Raja Noor Baizura dan lain-lain.

Powered by Utusan Malaysia

Yasmin Hani “Saya Ada Kelas”

16 Sep

Oleh: WANDA IDRIS

YASMIN HANI.

NAMA Yasmin Hani tiba-tiba panas. Bukan kerana dia ‘memanaskan’ program Pagi di Era bersama Kieran dan AC Mizal tapi panas dengan cerita peribadi. Semuanya gara-gara kononnya dia merampas suami orang dan kini sedang hamil.

Bertemu dengan Yasmin Hani yang mesra dipanggil Hani di studio Utusan minggu lalu, dia kelihatan tenang sahaja.

Tidak terkejut atau melatah ketika dilontarkan soalan-soalan panas tentang dua perkara itu malah bertanya semula, “Nampak tak perut saya?”

Seperti selalu, gadis kacukan Inggeris-Melayu ini mesra dengan senyum dan mulutnya ramah bak bertih, tak henti- henti bercakap. Apa lagi apabila menyentuh tugas barunya di Era di samping kerja kesayangannya sebagai VJ di Muzik@ Ria.

Namun saat mula berbicara soal peribadi, nada lembutnya bersulam tegas. Semua ini demi menyatakan pendirian yang selama ini memandang serong terhadap dirinya kerana dikatakan menjalinkan hubungan dengan seseorang yang pernah menjadi milik orang lain!

“Saya ada kelas. Saya bukan perampas,” tegasnya. Dia dikatakan menjalinkan hubungan dengan suami kepada seorang personaliti televisyen.

Malah berkali-kali dia meminta supaya mereka yang menjaja ceritanya agar menyelidik latar belakang lelaki yang kini menjadi teman istimewanya itu sebelum membuat sebarang andaian.

“Saya tidak akan sesekali berkawan dengan suami orang malah dengan teman lelaki orang pun saya tidak akan berkawan. Saya bukan perempuan jenis itu. Saya tidak akan berkawan dengan orang yang berpunya jauh sekali untuk merampas,” tegasnya.

Justeru, kata Yasmin Hani, dia tidak peduli dengan ribut yang melanda dirinya itu kerana dia tahu apa yang dilakukan. Malah dia tidak pernah berasa takut untuk berhadapan dengan khalayak kerana dia tahu dia berada di pihak yang benar.

“Orang kalau tak suka atau sakit hati mulalah buat cerita. Yang suka buat cerita ni pun segelintir orang saja. Jadi buat apa nak peduli. Kalau dipedulikan sangat nanti merana. Kita pun bukannya boleh tutup mulut orang,” tambahnya.

Menurut Yasmin Hani, dia tidak faham mengapa dikata sebagai perampas suami orang jauh sekali menjadi orang ketiga yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga kekasih hatinya itu. “Saya baru saja berkawan dengan dia pada tahun lalu. Itu yang saya tak faham mengapa saya dikatakan perampas,” jelasnya.

“Dah jodoh mereka tak panjang dan sekarang ini jodoh saya dengan dia,” ungkap Yasmin Hani lagi dan mengakui tergoda dengan kekasih hatinya itu kerana seorang lelaki yang pandai berlawak dan sering membuatkan dia ketawa.

*Ingin kahwin

Kata Yasmin Hani, dia sudah lama mengenali buah hatinya itu malah hadir menyaksikan perkahwinannya.

“Kami berkawan biasa dan ada juga sesekali melepak sama dan masa dia berkahwin, saya sendiri sudah mempunyai kekasih dan turut hadir bersama di majlisnya,” jelas Yasmin Hani.

Dia mengaku kalau sukakan seseorang, dia memang tidak meluahkan kepada orang berkenaan.

“Saya akan pendamkan sahaja dan berharap orang itu datang kepada saya. Akhirnya kini kami berkawan,” kata Yasmin Hani sambil tersenyum bahagia.

Bagaimana pula boleh timbul kisah hamil? Kata Yasmin Hani, dia sendiri tidak tahu bagaimana kisah ini boleh timbul. Tiba-tiba ada rakannya memberitahu terbaca kisah dia mengandung di internet.

Laporan itu kononnya dia membuat ujian air kencing dan didapati hamil.

“Hakikatnya saya tak pernah pun pergi ke hospital yang dimaksudkan itu. Bukan sahaja tak pernah malah saya tak lalu pun kawasan itu sebab saya tinggal di Sri Hartamas, hospital itu pula di Ampang,” jelas Yasmin Hani.

Ditanya sejauh mana hubungannya dengan kekasih hatinya itu, kata Yasmin Hani, mereka kini sudah pun mula berbicara hati ke hati soal mendirikan rumah tangga.

Biarpun belum terlalu serius namun mereka ada berbincang mengenai perkara yang menjadi tuntutan agama itu. Masih menunggu rezeki dan kata Yasmin Hani, jika diizinkan Allah, pasti perkara yang baik akan direstui dan terlaksana apabila tiba waktunya. Tambahan pula lelaki itu baru sahaja menamatkan pangajiannya diperingkat sarjana.

*Bahagia dan gembira

Seronoknya menjadi Yasmin Hani kerana kini dia bukan sahaja sedang berbahagia dengan kehidupan peribadinya, malah kerjayanya juga memberi satu kegembiraan.

Menjadi penyampai radio bukan sahaja diibaratkan seperti pucuk dicita ulam mendatang malah membuka satu lorong rezeki baru buat gadis berkulit kuning langsat ini.

“Inilah kerjaya pertama saya secara tetap,” ujar Yasmin Hani yang mengikat kontrak selama dua tahun untuk mengemudi program Pagi di Era setiap Isnin hingga Jumaat.

Siapa menyangka, gadis yang pada awalnya hanya sekadar model iklan dan pelakon tambahan dan kini mempunyai tapak kukuh dalam bidang penyiaran malah diberi pula kepercayaan untuk mengendalikan program pagi yang dianggap antara program penting sesebuah stesen radio.

“Mungkin masanya sudah tiba untuk saya mengorak langkah lebih jauh dalam bidang penyiaran. Nak berlakon filem pun kena kutuk, ” katanya sambil ketawa.

Yasmin Hani pernah membintangi filem Bilut dan Cicak-Man dan kini sedang dalam proses pascaproduksi filem Duyung. Namun dia mengakui tidak akan pernah melupakan jasa Muzik@Ria yang dikendalikannya sejak 1999 dan dianggap sebagai pembuka mata khalayak kepada bakat pengacaraannya.

“Saya menyayangi Muzik@Ria seperti anak saya. Tanpanya, siapalah saya. Memang secara peribadinya saya amat menyayangi program itu. Malah saya tidak akan pernah jemu untuk mengendalikannya,” tegas Yasmin Hani.

Muzik@Ria bukan sahaja membuatkan dia mampu berdikari malah melalui hasilnya dia membeli rumah dan kereta. Dia memang amat terhutang budi pada program itu. Yasmin Hani mengakui cuba ‘mencuri’ perhatian pendengar terhadap bakat barunya itu.

“Mula-mula bertugas di konti memang menggelabah. Basah tangan saya dek peluh gementar,” kata yasmin Hani.

Dia mengakui bukan orang yang selalu bangun pagi dan minggu pertama terus demam.

“Yalah, biasanya pukul tiga empat pagi baru tidur, pukul tiga empat pagi dah kena bangun bekerja. Sekarang pukul 10 dah masuk tidur,” jelas Yasmin Hani lagi

Kini dia semakin senang dengan kerjaya ini malah seronok untuk ke konti kerana pasangannya, Kieran dan AC Mizal sangat kelakar dan begitu spontan.

“Setiap pagi, saya macam nak pecah perut ketawa dengan gelagat mereka,” ceritanya. Namun biar sudah mula membiasakan diri untuk bangun pagi dan bertugas di konti, Yasmin Hani mengakui banyak perkara yang masih perlu dipelajari untuk memperbaiki diri.

“Proses belajar tidak akan pernah selesai,” katanya yang tidak pernah menyangka ditawar menjadi seorang penyampai radio.

Powered by Utusan Malaysia