Archive | November, 2010

Karnival Upin & Ipin

30 Nov

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN


MASKOT Upin dan Ipin.

BERMULA dari siri animasi di televisyen selama lima hingga tujuh minit setiap episod, watak comel siri Upin & Ipin kemudian beraksi ke layar yang lebih besar.

Siri terbitan Les’ Copaque Productions (LCP) muncul dengan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dan mendapat sambutan hangat sehingga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Fenomena watak adik beradik botak, Upin dan Ipin itu memang tidak dapat disangkal sehingga ia berjaya menambat hati penonton di negara seberang pula iaitu di Indonesia.

Tidak cukup dengan aksi mereka di kaca televisyen dan di panggung, pelbagai produk Upin & Ipin turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat.

Langkah mereka tidak terhenti di situ apabila LCP terus mengatur pelbagai strategi mengekalkan aura si comel ini dengan menganjurkan satu karnival khas Upin & Ipin bagi menghargai sokongan jutaan peminatnya di seluruh negara.

Karnival yang diberi nama Karnival Upin & Ipin yang juga merupakan anjuran bersama TV9 akan berlangsung selama lima hari di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor bermula 24 hingga 28 Disember ini.

Karnival Upin & Ipin yang diadakan bersempena dengan cuti sekolah ini akan diisi dengan pelbagai program menarik yang turut melibatkan ibu dan bapa bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Menurut Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md. Radzi, pelbagai program menarik dan lain daripada yang lain telah diatur sepanjang karnival ini berlangsung.

Katanya, selain daripada pameran dan jualan, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya persembahan khas pelakon suara Upin & Ipin, pertandingan mewarna, serta sukaneka yang boleh disertai seisi keluarga.

Apa yang menarik juga, beliau memberitahu, satu perarakan animasi dengan penyertaan pelbagai watak dalam siri animasi ini turut diadakan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Burhanuddin berkata, peminat Upin & Ipin juga berpeluang untuk mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Upin & Ipin pada hari karnival berkenaan yang turut menawarkan pelbagai faedah.

“Kami juga akan mengadakan pameran sukan bermotor serta tayangan filem animasi adalah antara yang menarik untuk dinantikan.

“Apa yang pasti, karnival ini menjanjikan keseronokan kepada para pengunjung khususnya kanak-kanak, peminat setia Upin & Ipin serta orang ramai yang berminat untuk mengetahui proses penghasilan animasi berteknologi tinggi ini.

“Orang ramai yang berminat untuk menyewa tapak di karnival ini boleh menghubungi pihak kami,” katanya pada sidang akhbar Karnival Upin & Ipin di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, pengunjung juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan melalui pelbagai pertandingan di karnival itu seperti tiket penerbangan dan pelbagai lagi.

LCP mensasarkan lebih 50,000 pengunjung terutama kanak-kanak akan berkunjung ke karnival ini sebagai pelengkap percutian persekolahan akhir tahun mereka.

Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Feisal Abdul Malik, kerjasama antara LCP dan TV9 itu bukan pertama kali kerana LCP animasi Upin & Ipin disiarkan di TV9.

“Sebagai rakan media, TV9 akan turut menyiarkan aktiviti-aktiviti menarik di karnival itu di dalam rancangan TV9 seperti di Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9 dan juga Adik Di 9.

“Kami berharap acara ini akan menjadi acara tahunan sepanjang musim sekolah dan semoga kerjasama antara TV9 dan LCP akan berterusan dan berkekalan,” ujarnya.

Selain Karnival Upin & Ipin pada bulan Disember ini juga, pelbagai perancangan yang telah diatur oleh LCP bagi terus mempromosikan animasi ini.

LCP kini sedang giat menghasilkan filem terbaru Upin & Ipin iaitu Laksamana Upin & Ipin yang akan menemui penonton pada tahun 2012.

Watak-watak dalam Upin & Ipin bakal terpampang di setem-setem tempatan hasil usaha Pos Malaysia Berhad pada bulan depan.

Selain itu, oleh kerana sambutan hangat siri animasi itu di Indonesia, sebuah syarikat telefon bimbit di sana, Nexian, akan melancarkan telefon bimbit Upin & Ipin.

Turut akan diwujudkan sebuah program baru yang bakal disiarkan di TV9 pada tahun depan di TV9 iaitu Kelab Upin & Ipin yang formatnya menyerupai Mickey Mouse Club yang cukup popular di Holywood.

Utusan

Advertisements

Hati Saya Untuk Noh – Mizz Nina

29 Nov

Ditulis oleh Nonie
  
  

Setiap wanita dambakan kekasih hati yang romantis dalam melayari kehidupan bahagia bersama. Begitulah juga yang dialami Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina. Hati berbunga tatkala si kumbang menulis sebuah lagu untuk dirinya lalu dimuatkan dalam album terbaru Hujan.

Walaupun Jauh, lagu yang mengisahkan perbezaan darjat antara pasangan kekasih. Mungkin itulah yang dirasakan Noh ketika ini. Namun bagi Nina, walau apapun kisah yang dicoretkan, apa yang penting hatinya kini hanya untuk Noh.

“Nina rasa special sangat sebab inilah pertama kali ada orang tuliskan lagu untuk Nina. Tak sangka Noh romantik sangat. Dalam lirik itu ada tuliskan ‘siapa yang bertuah memiliki mu, tuan empunya sang bidadari itu’, biar Nina jawabkan, hanya Noh dalam hati Nina, tak ada yang lain.

“Lagu itu mungkin perasaan dia waktu kami baru bersama. Dia fikirkan betulkah semua ini berlaku sebab macam tak mungkin. Namun seiring dengan masa berlalu, kami figure out tak banyak perbezaan seperti yang difikirkan dan jika dulu mungkin jauh, sekarang sudah dekat.

“Serius Nina susah hati bila orang luar perkatakan perkara yang negatif mengenai hubungan kami. Noh juga emosi bila mendengar komen yang tak elok. Namun Nina banyak nasihatkan Noh supaya jangan fikirkan perkara ini lagi dan syukur semuanya berjalan lancar.

“Duit dan harta hanya sementara, bila sudah mati semuanya tak penting lagi,” ujar Nina yang turut hadir memberi sokongan pada majlis pelancaran album terbaru Hujan, Lonely Soldier Boy.

Noh Lega Bapa Nina Terima

Bukan mudah baginya menyesuaikan diri dengan orang kenamaan, lebih-lebih lagi tunangnya adalah anak bongsu kepada Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim. Bagi Noh walaupun keluarga Nina menyambut baik hubungan mereka, namun perasaan rendah diri tidak dapat disembunyikan.

“Saya ada masalah untuk sesuaikan diri sebab saya hanya budak kampung, Nina anak orang berada. Lagu Walaupun Jauh berkisarkan perbezaan darjat yang terlalu jauh antara saya dan Nina.

“Sebenarnya perkara ini bukan masalah antara keluarga kami, malah bapa dia baik dengan saya dan keluarga dia sangat humble. Cuma orang luar yang banyak bercerita yang tak elok mengenai hubungan kami. Namun itu sebenarnya membuatkan saya lagi semangat untuk tunjukkan kepada keluarga Nina yang musician seperti saya boleh berjaya.

“Dan bagi saya semuanya selesai apabila bapa Nina beri persetujuan untuk kami mengikat tali pertunangan. Cuma baru-baru ni bapa dia tegur fesyen rambut terbaru saya (ketawa),” begitulah luahan hati Noh yang terkenal dengan sifat selambanya.

ManggaOnline lihat Mizz Nina begitu menyokong perjalanan karier Noh dan sanggup bersesak dengan peminat Hujan yang lain semata-mata mahu merakam persembahan kekasih hati di atas pentas.

Walaupun Jauh

Siapa yang bertuah memiliki mu
Tuan empunya sang bidadari itu

Bolehkah aku menyentuh kulitmu itu
Agar ku bisa merasakan syurga seketika waktu

Tiada kata yang dapat ku lafaz kan untuk mu
Biarkan diriku terbang jauh
Ini bukan mimpi walau dalam tidurku ini
Biarkan aku mendekati mu – walaupun jauh

Namun kurasakan memang jauh
Jarak antara kita berdua Tuhan saja yang tahu

FOTO oleh SHAHRIL AZMAN BIN MOHD ZAIN

 

Mangga Online

Wan Raja Kawan Gay

28 Nov

Wan Raja
Wan Raja
WATAK Ghaus yang dilakonkan bakat baru, Wan Raja atau nama sebenarnya, Saiful Redzuan Abu Bakar, 32, dalam filem kontroversi … Dalam Botol, pasti akan menjadi kayu pengukur kepada kelangsungan kerjaya seninya. Filem itu dijangka ditayangkan pada Februari depan.

Watak itu memerlukan Wan Raja menjadi pemuja kepada golongan sejenisnya atau dalam erti kata lain sebagai lelaki gay atau pengamal homoseksual.
Menerusi watak itu juga, anak kelahiran Pulau Pinang itu sudah mempersiapkan dirinya berdepan sebarang kritikan atau komen negatif. Namun, kesediaannya memikul dan mencuba nasib memegang watak itu tidak wajar dipersoalkan. Atas nama seni, tidak kira apa saja watak diamanahkan, sebagai pelakon dia akan cuba sehabis baik merealisasikan impian penerbit dan pengarah.
Cuma pintasnya, di alam realiti watak Ghaus itu sememangnya bukan cermin dirinya yang sebenar. Dia masih menghargai insan bernama wanita. Apa yang dilakonkan tidak lebih daripada tuntutan watak dan sekali gus mencabar dirinya bermain pelbagai karakter.

“Saya lelaki straight. Saya mencuba watak dianggap kontroversi ini atas dasar menguji kemampuan diri dan ia bukan sebagai batu loncatan untuk saya popular semata-mata. Tambah pula ini watak utama saya di layar perak selepas mengutip pengalaman berlakon dalam filem Sifu & Tongga dan Dua Hati Satu Jiwa.

“Sebagai pelakon, saya hanya cuba menjadi jujur demi merealisasikan watak itu. Selepas menerima tawaran watak ini, saya membuat penyelidikan terhadap watak itu. Saya tak nafikan ada kawan cenderung ke arah itu (seks songsang). Dalam berkawan, saya tak pernah membataskan diri.

“Saya ada juga menonton filem seperti ini sebagai contohnya Brokeback Mountain. Penyelidikan saya terhadap watak jenis ini lebih pada permukaan dan tidaklah sampai menonton filem underground atau indie mengenai cinta sejenis.

Saya juga bersyukur kerana pengarah (Khir Rahman) dan penerbit (Raja Azmi) banyak memberi suntikan semangat,” kata graduan Ijazah Seni dan Reka Cipta, UiTM Shah Alam pada 2000 itu.

Wan Raja mula bergiat dalam lakonan sejak 2007, namun mula serius sepenuh masa pada hujung 2008. Demi minatnya terhadap seni, dia sanggup berhenti kerja tetap sebagai pensyarah di Kolej Kesenian Pulau Pinang.

“Prof Madya A Razak Mohaideen antara individu yang membuka jalan kepada saya. Akhirnya saya terpaksa membuat pilihan meninggalkan kerja tetap untuk bergelar anak seni. Bagaimanapun, dunia seni bukan asing bagi saya kerana semasa di UiTM lagi, saya aktif dengan kegiatan seni dan kebudayaan.

“Bahkan di Pulau Pinang pun, saya membabitkan diri dalam teater dan bangsawan. Kerana selalu memegang watak Raja, gelaran itu terus melekat pada nama saya. Lalu, wujudlah panggilan Wan Raja dan terus dikomersialkan sebagai nama untuk mencari rezeki,” katanya yang sudah berlakon lebih 30 drama.

Mengenai status dirinya, Wan Raja bingkas memberitahu dia masih belum berkahwin. Bagaimanapun timbul juga kehairanan, kerana pernah timbul cerita kononnya anak bongsu daripada empat beradik ini sudah menamatkan zaman bujangnya.

Info Wan Raja

Nama sebenar: Saiful Redzuan Abu Bakar

Umur: 32 tahun

Asal: Jalan P Ramlee, Pulau Pinang

Idola: Sidi Oraza

Filem: Sifu & Tongga, Dua Hati Satu Jiwa dan … Dalam Botol

Bintang Pop

Teropong: Pelakon Appalam Akui Aksi Foto Panas!

28 Nov

Raja Ilya mengaku gambar lama bersama bekas kekasihnya.
Raja Ilya mengaku gambar lama bersama bekas kekasihnya.
TIDAK habis-habis Zubir diberikan gambar panas artis popular termasuklah artis yang baru nak menempa nama, tidak terkecuali foto peribadi mereka menjadi tatapan Zubir.

Selepas gambar cium mulut individu dikatakan persis Raja Lawak 2, Nabil Ahmad bersama ‘teman tapi mesra’, Uqasha menjadi tatapan umum kira-kira tiga minggu lalu, Rabu lalu, Zubir menerima kiriman e-mel rakaman foto panas pelakon utama filem Appalam, Raja Ilya bersama seorang lelaki dipercayai bekas teman lelakinya, berposing di tempat tidur!
Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohamad memegang watak Shruti dalam Appalam, versi Tamil yang diadaptasi daripada filem Papadom, arahan Afdlin Shauki, terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd. Justeru, sehari sebelum Appalam menemui penonton pada 25 November lalu, Zubir menerima kiriman e-mel foto panasnya.
Justeru, Ilya yang memainkan kembali watak yang pernah dilakonkan Liyana Jasmay dalam Papadom menghubungi Zubir selepas dia melihat sendiri gambar berkenaan menerusi e-mel yang Zubir kirimkan kepadanya.

“Saya mengaku, itu gambar lama kira-kira dua tahun lalu ketika saya masih bersama bekas teman lelaki. Sekarang, nama saya baru nak naik, tak sangka ada pihak yang dengki menggunakan kesempatan gambar lama itu untuk disebarkan kepada pihak wartawan.

“Saya tahu siapa dalang yang bertanggungjawab, dia mungkin bekas teman lelaki saya, namun saya tak pasti dan tak berani membuat tuduhan melulu. Yang jelas, pihak tidak bertanggung jawab itu memang berniat jahat menghancurkan masa depan saya di bidang lakonan, tapi saya pasrah. Rezeki ditentukan Tuhan.

“Saya merayu, pihak berkenaan tidak terus mengganggu hidup saya, lagipun saya sudah bertunang dan akan berkahwin tahun depan. Segala kesilapan masa silam, saya akui dan minta maaf. Saya berjanji, perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi,” kata Ilya dalam nada kesal.

Nasihat Zubir kepada artis baru, berhati-hatilah dengan sejarah silam anda kerana ada pihak yang sentiasa menanti peluang membuka pekung di dada.

ZUBIR: Tak sabar nak menonton Appalam dan mengenali Raja Ilya lebih dekat.

Bintang Pop

Natrah Terus Hidup Di IB

26 Nov

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Semasa pelakon dan pengarah teater Natrah sedang sibuk menjalani latihan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, penulis buku Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob membuat kacau dengan membangkitkan isu sensitif apabila mengkritik hasil kerja pengarahnya, Erma Fatima.

Bermula semalam pementasan teater tersebut bermula dan Natrah kembali hidup dalam perspektif Erma yang digarap melalui watak-watak utama dalam teater yang sudah masuk musim kedua itu.

Saya sempat meluangkan masa menonton pada persembahan malam pertama. Semasa melangkah ke lobi depan pintu masuk Panggung Sari, tempat pementasan dijalankan mata terlihat sekumpulan anak muda menjual buku Natrah tulisan Fatini.

Memang terkejut apabila melihat ada pihak yang mengambil kesempatan menjual buku Fatini walaupun sebelum itu bagai petir Fatini memanah Erma kerana kecewa dengan hasil teater yang dirasakan tidak sama dengan pemahamannya terhadap kisah Natrah itu sendiri.

Rupa-rupanya persetujuan penjualan buku itu telah dipersetujui awal oleh pihak Istana Budaya dengan penerbitnya. Persetujuan untuk membenarkan penerbit membuka kaunter jualan buku dipersetujui sebelum isu perdebatan Fatini-Erma muncul.

Tak perasan pulak sama ada penonton teater itu tergerak hati memiliki naskhah buku Natrah selepas menontonnya.

Apa kelainan musim kedua?

Bagi yang pernah menonton pementasan berjaya musim pertama, pasti menanti apakah kelainan atau pembaharuan yang Erma lakukan. Cerita masih sama tapi ada watak lain yang dibawa ke pentas dengan penonjolan yang lebih.

Kali ini nampaknya Erma membanyakkan monolog membabitkan watak Natrah lakonan Sofia Jane dan Maya Karin serta penampilan istimewa Sharifah Sofia (Natrah usia 40-an) dan Lufya (Natrah berusia 20-an). Adeline Hertogh (Susan Langkester) dan Che Aminah (Datin Paduka Umie Aida) serta watak peminpin Melayu lakonan Fizz Fairuz juga ada bab monolog.

Terlalu banyak monolog kadang-kadang boleh menerbitkan sedikit rasa bosan. Saya sendiri hampir kebosanan, tapi dek kerana ceritanya yang meruntun hati, tahap klebosanan tidaklah terlalu tinggi. Namun keceriaan menonton kembali segar apabila ia diselangi muzikal. Lagu-lagu dalam teater Natrah memang menarik. Paling menarik apabila aksi cinta Hindustan yang Erma tampilkan.

Ternyata adegan cinta menggambarkan kemeriahan pernikahan Natrah dan Mansor Adabi (Remy Ishak) turut menarik perhatian penonton pada malam itu. Mereka terhibur melihat Remy dan Maya menari ala-ala Bollywood. Itulah satu-satunya bab yang membuatkan penonton serentak menepuk tangan. Tandanya mereka terhibur.

Agaknya mereka tak sangka Remy Ishak yang melakonkan watak lelaki bersopan santun dalam filem itu boleh menari ala-ala Hindustan. Tak salah kalau mahu dikatakan babak itu antara tarikan utama kali ini. Sebabnya banyak sangat adegan yang membuatkan jiwa penonton sedih kerana kisah hidup Natrah atau Maria Hertogh itu sendiri sebuah kisah tragis dan air mata.

Apakah pegangan Natrah-Maria?

Erma mahu penonton sendiri membuat keputusan apakah agama pegangan Natrah saat dia meninggal dunia. Natrah yang bukan seorang yang waras akibat tekanan jiwa dengan kehidupannya mungkin masih seorang Muslim. Itulah yang cuba diserapkan menerusi watak Natrah diusia 70-an lakonan Datin Sofia Jane.

Mungkin juga dia kembali ke agama asal keluarganya, Roman Katholik  setelah dibawa ke Belanda. Tapi di akhir cerita Natrah melalui satu loong di tengah-tengah gereja dan masjid semasa melangkah masuk. Dia meninggalkan persoalan itu untuk dijawab oleh penonton.

Adakah dia masih berjiwa Natrah yang sayangkan Islam ataupun kembali sebagai Maria? Hanya Natrah dan Allah sahaja yang tahu apa yang ada di dalam jiwanya dan kepada siapa dia beriman.

Tiket masih ada

Sambutan Natrah musim kedua sangat menggalakkan. Namun masih ada tiket untuk peminat yang belum membuat tempahan. Jadi jangan lupa mendapatkan tiket anda dengan datang terus ke Istana Budaya bila anda ada masa lapang. Rugi tidak menonton sebuah kisah yang merangkumkan eleman cinta, perjuangan dan air mata.

Kita tak sempat melihat bagaimana penderitaan yang dilalui olah Natrah serta bagaimana pejuang dulu sepakat menegakkan pegangan agama seorang anak wanita Belanda yang mahu dikembalikan kepada ibu bapa kandung dengan didikan mengikut anutan mereka. Kisah Natrah yang pernah menimbulkan kekacauan dan pertumpahan darah di Singapura kembali hidup di Istana Budaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mangga Online

Almy Nadia Banyak Makan Hati

25 Nov

Ditulis oleh Nonie
  
  

Dunia selebriti bukanlah seindah yang dikhabarkan. Kisah peribadi menjadi tatapan dan dikongsi bersama sehingga kadang kala timbul isu mengaibkan.

Percintaan dan perceraian adalah perkara normal yang kerap ditimbulkan, malah kadang kala gosip panas lebih kerap menghias kerjaya berbanding bakat yang ada. Adakah ini menguntungkan atau sebaliknya?

Begitu juga halnya dengan aktres Almy Nadia. Kisah percintaannya dengan Fizz Fairuz lebih menjadi buruan media dan terbentang luas untuk diteroka peminat daripada kisah karier lakonannya.

Mengakui perkara tersebut membebankan, apatah lagi gosip pasal mereka putus cinta seringkali kedengaran.

“Kami berdua masih bersama. Gosip putus cinta itu tak benar. Janganlah hanya kerana saya tak hadir ke majlis harijadi Fizz, timbul cerita kami sudah berpisah.

“Masing-masing sedang sibuk mencari rezeki, cuma setakat ini tak ada lagi perancangan untuk ke alam perkahwinan. Mungkin apabila nama kami sudah cukup kukuh, baru nampak arah tuju yang sebenar.

“Waktu awal percintaan dulu, kami pernah bincangkan soal kahwin tapi bila melihat banyak cerita rakan artis yang bercerai, saya jadi takut,” ujar Almy yang bakal muncul dalam drama Dia Atilia di saluran Astro Prima bermula 30 November ini.

Mahu cari kejujuran

Baginya kejujuran merupakan kunci utama kepada kebahagiaan berpasangan. Namun ujian seringkali menimpa sehingga hubungan yang terbina selama lima tahun goyah dan hampir musnah.

“Berita orang ketiga dalam hubungan kami memang perkara biasa sehinggakan saya malas nak fikirkan hal cinta lagi. Kami tak tetapkan had untuk berkawan dengan sesiapa, cuma yang penting mesti jujur dan setia.
“Buat atau keluarlah dengan sesiapa pun, namun haruslah beritahu saya dulu, tak mahulah cerita itu datang dari mulut orang lain sebab kadang kala orang suka menokok tambah untuk hangatkan keadaan.

“Lagipun Fizz selalu diganggu dan sebab itu keluar cerita pasal orang ketiga dalam hubungan kami. Memang saya banyak makan hati dan pernah juga saya putuskan hubungan dengan dunia luar untuk dapatkan ketenangan. Fizz tak sukakan pergaduhan dan dia tak suka memujuk, so saya banyak diam sebab tak mahu burukkan keadaan. Tapi selalunya kalau dia buat hal, dia akan datang meminta maaf.

“Memang diakui dulu saya seorang yang pencemburu, namun saya harus buang perasaan ini jauh-jauh kerana kerja kami memerlukan komunikasi dengan pihak lain. Memang kami sudah bersama lima tahun, namun hubungan ini belum cukup kukuh untuk ke jenjang pelamin,” katanya.

Tiada Masalah Dengan Fasha Sanda

Almy bakal muncul dalam drama di Astro Prima berjudul Dia Atilia bersama gandingan Fasha Sanda dan Zamarul Hisham. Almy membawakan watak Hani, isteri kepada Faizal (Zamarul Hisham) yang terbunuh dalam kemalangan semasa cuba menyelamatkan anaknya.

“Kes bergaduh dengan Fasha sudah lama dan ia berlaku sebelum shooting Dia Atilia. Apa yang lepas biarkan berlalu, saya tak suka simpan memori buruk.

“Sebelum ini saya dengar pelbagai cerita buruk mengenai Fasha, namun setelah mengenalinya di set, saya tak takut lagi berlakon dengannya. Saya tiada masalah dengannya. Fasha ni kalau orang tak kacau dia, dia pun tak kacau orang,” ujarnya.

Drama ini diinspirasikan daripada filem Bollywood, Kuch Kuch Hota Hai di mana Faizal akan bertemu semula dengan sahabat lamanya, Dia Atilia lakonan Fasha Sanda. Dia Atilia akab disiarkan bermula 30 November ini pada setiap Selasa pada jam 9.00 malam.

Oleh: NONIE Foto: SAIFUL BAHARI ASHAARI

 

Mangga Online

Emillia Contessa Promo Akhir Sebuah Impian

25 Nov

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Ingat tak dengan filem Akhir Sebuah Impian lakonan Broery Marantika dan Emellia Contessa pada tahun 1973? Ia sebuah filem hebat. Filem ini masih jadi sebutan. Sementelah memuatkan lagu-lagu evergreen.

Sebab itulah ada usaha Life Records memasarkan DVD filem tersebut. Sekarang sudah dipasarkan di Singapura dan akan menyusul pasaran di Malaysia selepas ini.

Pelakon utamanya Emillia Contessa akan hadir ke Singapura bagi mempromosikan DVD tersebut pada 26 Disember ini. Sesi bertemu peminat itu diadakan di Hall 4, Singapore Expo. Ada juga majlis istimewa sempena kedatangan penyanyi dan pelakon popular itu.

Siapa sangka filem era 1970-an masih ada pasaran sehingga hari ini. Sememangnya filem itu sangat berjaya semasa ditayangkan dulu. Pasti ramai yang  sudah menontonya di kaca TV ataupun VCD cetak rompak yang berleluasa.

Menyedari filem itu masih ada sambutan, syarikat tersebut sanggup mencuba nasib memasarkannya. Filem itu menjadi pemula dan sekiranya ada permintaan terhadap filem lain pasti mereka akan meneruskannya.

Mangga Online