Archive | Maya Karin RSS feed for this section

Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my


SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Advertisements

ABPBH 2008: Masih Berbulan Madu

17 Mar

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Maya Karin belum tergesa-gesa untuk mendapatkan zuriat kerana mahu mengecapi nikmat hidup berdua bersama suami

BAGI sesetengah orang, memasuki gerbang perkahwinan bagaikan melangkah ke dunia yang cukup asing. Apatah lagi apabila lelaki atau wanita yang menjadi teman hidup itu belum cukup dikenali. Lalu, terpaksalah kehidupan diubah suai sedikit demi sedikit bagi memberikan ruang keselesaan untuk kedua-dua insan yang kini bergelar suami isteri.

Aktres berbakat besar, Maya Karin juga tidak terlepas daripada berasakan tempias kehidupan berumah tangga. Begitupun, percikan itu cuma sedikit apabila dia dan suami, Muhammad Ali Abdullah, 38 atau Steven David Shorthose sudah saling mengenali sejak kira-kira tujuh tahun lalu.

Justeru, proses menyesuaikan diri antara kedua-duanya tidak perlu bermula sedari peringkat awal.

“Entahlah, saya sendiri sukar untuk menjelaskan bagaimana kehidupan berumah tangga sebenarnya. Paling mudah, hidup berumah tangga ialah kehidupan bersama. Ia sedikit berbeza daripada kehidupan sewaktu solo dulu kerana kini, saya sudah bersuami yang tinggal bersama-sama,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Maya, aktiviti domestik seperti memasak, mencuci pakaian, mengemas rumah dan sebagainya sudah biasa dilakukan sejak dulu lagi. Semua itu diteruskannya sesudah bergelar isteri dan dia sendiri tidak pun kekok untuk melaksanakannya.

Maya tidak berasakan kehidupan berumah tangga amat jauh berbeza daripada kehidupannya ketika masih bujang, selain sedikit penyesuaian yang perlu dilakukan kedua-dua insan terbabit.

“Hidup kami berdua cukup sederhana, ada pasang dan surutnya. Apabila kami bergaduh, umpamanya, macam-macam cara dilakukan bagi meredakan kemarahan. Maklumlah, kami berdua adalah daripada jenis “api”.

“Ada kala kami tidak bercakap seketika, ada masanya terus berbaik saja. Ada saatnya pula kami akan menjelaskan mengapa kami berasa marah kemudiannya,” cerita Maya.

Sebagaimana pasangan lain, tentu sekali Maya juga tidak terkecuali daripada mengalami saat sedemikian, namun seboleh-bolehnya dia tidak cuba memanjangkan perselisihan faham demi keharmonian mahligai dibina.

Diam tak diam, sudah tujuh bulan pelakon ini melayari kehidupan sebagai isteri. Begitupun, dek komitmen pada kerja, belum cukup rasanya waktu berharga dihabiskan bersama suami tercinta. Atas kesedaran itu, dia teringin sekali untuk pergi jauh bercuti bersama Steven sekiranya ruang untuk berbuat demikian tiba.

Pasangan itu juga belum berasakan perlunya kehadiran anak-anak dalam hidup mereka ketika ini. Paling tidak, saat manis suami-isteri ingin dinikmati sepenuhnya terlebih dulu. Apabila masanya hadir nanti, pastinya Maya dan suami merindui tangisan bayi yang seterusnya menjadi pengikat kasih.

“Setakat ini, kami selesa hidup berdua. Saya berharap, masyarakat tidak salah faham apabila kami tidak menginginkan anak buat masa sekarang. Lagipun, bukanlah satu dosa untuk menangguhkan dulu kehadiran cahaya mata. Apabila semuanya sudah stabil nanti, insya-Allah anak kecil akan kami timang juga.

“Saya sendiri sebenarnya sukakan kanak-kanak dan sememangnya mahukan anak sendiri. Saya teringin sekali melihat anak-anak saya membesar dan berkawan dengan anak adik-adik saya. Sehingga tiba saat itu, saya kenalah tunggu sampai mereka berkahwin dulu,”ῠujar Maya sambil menguntum senyuman.

Akui pelakon jelita ini, dia mengimpikan sebuah keluarga yang besar. Lebih-lebih lagi apabila suasana meraikan perayaan Aidilfitri secara beramai-ramai sebagaimana keluarga Melayu lain tidak pernah dialami aktres ini.

Kerana itu, dia amat berharap zuriatnya kelak akan melahirkan anak yang ramai, supaya apabila sudah berusia nanti, dapat juga dia berasakan suasana meriah Hari raya apabila anak cucu berkumpul beramai-ramai menyambutnya.

Sebuah filem setahun

PADA tahun ini, peminat Maya Karin akan dapat menyaksikan aksinya sebagai gadis gedik dalam Pisau Cukur, yang dilakonkan bersama, Nur Fazura. Filem terbabit diarahkan pengarah muda, Bernard Chauly.

“Nampaknya, pada tahun ini, saya hanya muncul dalam sebuah judul, sebagaimana tahun lalu (Duyung). Begitupun, bukan bermakna saya banyak menghabiskan masa begitu saja. Sebaliknya, banyak kerja yang saya lakukan di sebalik tabir. Ada beberapa projek televisyen yang sedang saya usahakan, di samping penerbitan album yang kini berterusan.

“Pada April nanti, saya mempunyai sebuah projek yang cukup istimewa. Namun, saya minta maaf kerana saya tidak boleh mendedahkannya sekarang. Pada dasarnya, saya terus bekerja dan akan kencang mencari rezeki dalam bidang seni sehingga lapan atau 10 tahun lagi,” cerita Maya yang turut muncul sebagai bintang undangan dalam filem indie, Punggok Rindukan Bulan, pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai tawaran berlakon yang diterima, Maya memberitahu, ketika ini ada lima skrip yang diserahkan kepadanya untuk penilaian. Filem terbabit pula dalam pelbagai genre – komedi, kisah cinta dan epik.

“Masalahnya, kesemua filem itu bakal menjalani penggambaran dalam masa yang lebih kurang sama. Maknanya, saya tidak boleh menerima lebih daripada dua judul. Jika saya menerima dua daripada lima tawaran berkenaan, sekurang-kurangnya saya boleh melakonkan sebuah filem sebulan,” ujarnya.

Kenangan indah ABPBH

PADA 12 April ini, acara yang ditunggu-tunggu ramai, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands. Pada majlis anugerah terbabit, Maya Karin antara selebriti yang bakal menceriakan suasana setelah namanya turut dicalonkan buat kali kelima pada peringkat akhir.

Kali ini, Maya bersaing sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Calon lain yang turut berentap merebut trofi idaman ramai itu ialah Erra Fazira, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Liyana Jasmay.

“Saya masih ingat saat kemenangan saya dulu (ABPBH2005 – Pelakon Filem Wanita Popular; ABPBH2001 – Artis Baru Popular). Apabila nama diumumkan sebagai pemenang, saya berasa bagai di awan-awangan. Masa itu, jerit-pekik peminat di bawah pentas bagai sudah tidak didengar lagi, yang terlintas di hati hanyalah doa semoga kaki saya tidak tersandung atau terjatuh,” katanya.

Sehingga sekarang, Maya masih dapat mendengar gemuruh jeritan peminat yang memenuhi arena di kota keriangan berkenaan. Semuanya masih terngiang-ngiang di kepala pelakon ini.

ABPBH baginya satu acara yang memang ditunggu-tunggu, bukan saja oleh golongan selebriti, malah seluruh peminat industri hiburan tanah air. Selama berbulan-bulan sebelum acara kemuncak berlangsung, orang ramai sudah pun berbicara mengenai majlis anugerah berprestij itu.

“Saya sendiri terpaksa melakukan persiapan beberapa bulan lebih awal, untuk memastikan segala-gala berjalan dengan baik apabila tiba acara sebenar. Bukan saja soal pakaian yang hendak difikirkan, malah hal berkaitan logistik juga hendaklah diambil berat,”ῠkata Maya yang mengaku, detik keputusan kategorinya hendak diumumkan ialah saat yang paling ‘tidak disukainya’ pada anugerah terbabit.

Kata Maya, ABPBH amat bermakna kerana ia menghimpunkan selebriti daripada pelbagai bidang – lakonan filem dan TV, nyanyian, pengacaraan TV dan penyampaian radio. Semuanya berkumpul di bawah satu bumbung untuk sama-sama memartabatkan lagi dunia seni negara.

Info: Filem lakonan Maya Karin

Pisau Cukur (2009) watak Bella

Punggok Rindukan Bulan (2008) watak Umi

Duyung (2008) watak Puteri

Anak halal (2007) watak Jo

1957: Hati Malaya (2007) watak Salmi/Normala

Waris Jari Hantu (2007) watak Tina

Pontianak Harum Sundal Malam 2 (2005) watak Maria / Meriam / Pontianak

Pontianak Harum Sundal Malam (2004) watak Meriam / Maria

No Problem (2001) watak Rosnah

Seri Dewi Malam (2001) watak Seri

Berita Harian

Kami Ingin Ke Gaza

31 Jan

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap
KEPRIHATINAN orang kita terhadap malang yang melanda warga Palestin di Semenanjung Gaza. Buktinya semalam, ribuan menyerbu Amcorp Mall, Petaling Jaya berganding bahu dengan artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza.

Usaha artis kita tidak terhenti di situ saja. Bertempat di Laman Baiduri, Istana Budaya (Kuala Lumpur) hari ini dan esok, lebih ramai lagi penggiat seni tanah air berkumpul mencurahkan keringat dalam usaha amal mengumpul dana bagi mangsa kekejaman Zionis Israel.

Kerja amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) ini mengatur pelbagai aktiviti selama dua hari bermula jam 10 pagi hingga 11 malam termasuk solat hajat, bacaan puisi, jualan karnival dan lelongan barangan artis.

Idea mulia ini timbul ketika Zahida Rafik yang sedang menonton berita TV mengenai serangan Israel ke atas Gaza sehingga membunuh penduduk Palestin yang kini mencatat lebih 1,200 korban nyawa. Jiwa wanitanya cepat tersentuh melihat kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

Bagi pelakon cantik ini, dengan mempunyai ramai kenalan dalam industri seni, dia berkeyakinan mampu membuat sesuatu untuk membantu mereka yang malang itu.

“Saya tahu saya boleh buat sesuatu. Saya kenal ramai artis, orang kerajaan dan pereka fesyen. Kenapa tidak saya gabungkan mereka untuk kerja amal ini.

“Melalui Kak Erma (Fatima), saya mendapat pandangannya untuk merealisasikan hasrat ini. Selepas menubuhkan jawatankuasa, dalam tempoh lebih kurang dua minggu, alhamdulillah semua pihak memberi kerjasama dan perancangan berjalan lancar,” katanya ketika berkunjung ke Metro Ahad, minggu lalu.

Menurut pelakon Anak Mami ini, dalam tempoh berkenaan dia berjaya mendapatkan kelulusan KPKKW, penaja dan sumbangan rakan-rakan seperjuangan. Dia percaya, usaha murni ini dipermudahkan lagi oleh Allah.

Selain persembahan, acara lelongan pakaian pereka fesyen terkenal bakal menjadi tumpuan. 15 pereka ‘A List’ negara termasuk Rizalman Ibrahim, Michael Ong, Syaiful Baharim, Albert King, Calvin Thoo, Jovian Mandagie, Riezman Ruzaimi, Kapas, Zang Toi, Salikin Sidek, Bill Keith, Iszral dan Alvin Teh bersetuju menyerahkan satu rekaan setiap seorang.

Lebih menarik, rekaan ini masih baru dan sebahagian daripadanya berharga RM1,000 hingga RM3,000. Bagaimanapun untuk tujuan lelongan ini, harga diletakkan pada paras RM599 sahaja. Siapa paling tinggi bidaannya, bakal membawa pulang pakaian berkenaan.

“Sebolehnya saya tidak mahu harga yang mahal sangat tetapi saya percaya dalam urusan kebajikan ini, ramai yang sanggup menghulurkan bantuan. Saya berharap sangat, kami dapat mengumpul sebanyak mungkin untuk dana ini,” katanya.

Selain rekaan pereka tadi, ramai juga selebriti yang bersetuju untuk melelong barangan milik mereka seperti Zahida sendiri, Umie Aida, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Zigler, Betty Benafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanida Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).

Turut sama Maya Karin yang tampil menjual kek cawan. Hampir 70 gerai yang disertai oleh peminat dibuka dengan pelbagai jualan – baik makanan mahupun keperluan harian.

Menurut Rohaizad Shariff dari IAT, dia sendiri terkejut dengan respon dan komitmen yang ditunjukkan selebriti tempatan ke atas usaha ini.

“Sebagai manusia, kita sendiri terpanggil untuk membantu sedaya yang mungkin. Inilah masanya untuk kita sama-sama beramal. Sebenarnya dulu kami rancang untuk menjalankan aktiviti amal tetapi tiada acara untuk disesuaikan,” katanya.

Kalau boleh kata Zahida dan Rohaizad, mereka ingin ke Gaza untuk memberi bantuan terus kepada mangsa. Mereka teringin untuk menolong mana yang boleh mereka lakukan.

“Memang kami berharap dapat ke sana tetapi sedar, keadaan terlalu getir. Saya, Rohaizad, Umie dan Erma teringin ke sana. Kami sedar cabarannya tetapi tidak salahkan kalau dapat kami membantu dengan cara itu.

“Namun kalau tidak dapat, kami akan serahkan dana itu terus kepada KPKKW,” kata Zahida.

Harian Metro

Dengarnya…: Rakam Suara Album Runut Bunyi Magika

30 Jan



Diana Danielle

SEWAKTU Cik Normah sedang leka menonton wayang dengan suami hujung minggu lalu di Pavilion, Cik Normah menerima SMS memberitahu filem Magika akan menampilkan ramai pelakon hebat seperti Maya Karin, Ziana Zain, Aznil Nawawi, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Cik Normah dapat tahu Amani dan Aleya akan berlakon sebagai cameo memegang watak Bawang Putih dan Bawang Merah.

Filem yang bakal memulakan penggambaran 8 Februari ini akan menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai hero dan heroin. Filem ini bercorakkan dunia fantasi dan muzikal.

Sebut mengenai Diana, selain berlakon, dia turut menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem ini. Ada lagu duet dan penampilan istimewa membabitkan M Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Mawi dan ramai lagi. Album ini, Cik Normah difahamkan sudah dirakamkan sejak Disember tahun lalu. Nampaknya ini permulaan awal bagi Diana untuk bergelar penyanyi.

Dalam masa terdekat juga, Cik Normah dapat tahu Diana akan merakamkan lagu di Malaysia untuk album sulungnya. Makin murah rezeki Diana dan Cik Normah harap dia akan terus fokus. Ambillah peluang sewaktu menyertai Program Latihan Khidmat Negara ini untuk merehatkan diri serta bermuhasabah. Dalam pada itu, bolehlah Diana melupakan seketika dunia seni dan memberi tumpuan menjadi remaja biasa.

Oh ya, esok jangan lupa untuk mengunjungi acara jualan dan lelongan amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Insya-Allah, Cik Normah akan datang juga memberi sokongan kepada karnival amal ini. Haa… kalau jumpa Cik Normah, jangan lupa tegur. Cik Normah tak ‘kekwat’ dan pasti melayan anda semua okey. Kalau nak ambil gambar dengan Cik Normah pun boleh. Ingat, esok kita bukan sekadar berhibur, sebaliknya melakukan perkara paling murni bagi mengurangkan beban penderitaan rakyat Palestin. Cik Normah tahu rakyat Malaysia memang prihatin bab ini.

Berita Harian

Vie Zaraa Penyeri Hidup

1 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kehadiran anak sulung menguatkan kebahagiaan Eizlan Yusof dan Vie Shanti

KEHIDUPAN rumah tangga pelakon, penerbit eksekutif dan ahli perniagaan, Eizlan Yusof, 37, dan isteri, Vie Shanti Haroon Khan, 22, cukup membahagiakan dengan kehadiran anak sulung mereka, Vie Zaraa.

Pada Sabtu ini, usia Zaraa genap lapan bulan. Kecomelan Zaraa yang diwarisi ibu bapanya, menambat minat ramai pihak yang ingin mengabadikan gambar dengannya.

Zaraa ibarat hadiah yang cukup bermakna dalam hidup mereka, biarpun akui Eizlan dia tidak menyangka dengan faktor usianya yang agak lanjut, dia mampu mendapatkan anak sulung ini dengan cepat. Berkahwin dengan isteri yang muda juga tidak menjadi masalah kepadanya, tambahan pula, isterinya cepat matang daripada usia sebenar.

Mengenai anak kedua, mereka ada merancang dan tidak pernah putus berusaha biarpun isterinya pernah mengalami saat getir apabila mengalami keguguran beberapa bulan lalu. Untuk tatapan peminat setia Eizlan, Hip paparkan gambar percutian bersama keluarga di Genting Highlands, baru-baru ini.

“Jangan tak tahu, Zaraa pun diminati ramai orang dan rezekinya luas. Kalau kami bawa dia berjalan-jalan, pasti dia akan menjadi tumpuan ramai terutamanya pelancong luar yang akan mengambil kesempatan bergambar dengannya. Kami masih merancang untuk mendapatkan adik buat Zaraa, ada rezeki, insya-Allah.

“Saya bersyukur mendapat isteri yang sangat memahami dan dia bijak menyesuaikan diri dengan situasi. Biarpun dia dilihat muda, saya tak pernah rasakan dia bersifat kebudak-budakan. Sekarang dia memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai suri rumah dan sesekali dia masih melakukan peragaan. Saya kena sporting dengan bidang yang diminatinya, selagi dia pandai menjaga diri dan memelihara maruah keluarga,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Baru saja selesai penggambaran filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly, Eizlan memegang watak sebagai Datuk Hisham di samping pelakon Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz.

Pada Ramadan lalu, Hip ternampak kelibat Eizlan dengan imej beruban di samping keluarganya berbuka puasa di sebuah premis makanan di KLCC. Rupa-rupanya, selain semula jadi berambut putih, Eizlan juga mengekalkannya atas permintaan Bernard demi tuntutan watak.

Sibuk kembangkan dunia perniagaan


GAMBAR kenangan sewaktu majlis pernikahan mereka di Kota Kinabalu, Sabah, pada Julai 2007.

Selain bergelar pelakon sejak 25 Oktober 1994, umum sedar bahawa Eizlan juga seorang penerbit eksekutif secara bebas dan baru saja menyiapkan sebuah skrip untuk sebuah telefilem di RTM berjudul Kalif. Pada masa sama, Eizlan bersama rakan kongsinya, Abdul Munaf Sultan yang juga anak kepada pengasas syarikat Agate menjalankan perniagaan arang batu.

“Mungkin orang ingat saya bekerja tetap sebagai penerbit kreatif di Pena Creatives Sdn Bhd sebelum ini hakikatnya saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat dan bebas menerima tawaran. Selepas Pena Creatives, saya kerja di Fame Attraction, Gama Taktik dan bekerjasama dengan Ahmad Idham di bawah syarikat Excellent Pictures.

“Perniagaan itu dijalankan sejak hampir setahun di Jakarta dan Kalimantan Selatan di bawah syarikat Black Stone Dagangan. Kalau tidak terikat dengan penggambaran, saya akan ulang-alik ke sana untuk menguruskannya.

“Insya-Allah, kami akan mengembangkan perniagaan itu bersempena 2009 yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya yang bakal bergandingan dengan Abby Abadi dalam telefilem berjudul Air Mata Buaya.

Menurut Eizlan lagi, resolusi 2009 bagi dirinya ialah untuk sifar hutang dalam setiap apa yang dilakukan.

Masih tegar berjuang sebagai pelakon, Eizlan sedar dan menyambut baik kemunculan bakat baru yang bakal mewarnai persada seni.

Katanya, istilah ‘double standard’ atau pilih kasih sering berlaku, namun, semua di luar bidang kuasanya. Tambahnya lagi, penerbit drama atau filem pun akan mencari muka baru dan segar demi keuntungan atau mencari angin baru.

Apa terjadi kelibat pelakon senior yang berpengalaman masih diperlukan di dalam industri dan menurut Eizlan, Rosyam Nor adalah contoh terbaik yang masih diterima dan diberi peluang memegang watak hero.

“Saya melihat apa yang terjadi ini dari sudut pandangan positif, ia sebagai proses peralihan yang pasti berlaku seiring dengan peningkatan umur. Bagaimanapun, kelebihan yang ada kepada pelakon lama dalam aspek pengalaman dan kemahiran berbanding pelakon baru yang baru saja menapak. Macam Rosyam, dia masih unggul sebab prestasi lakonannya dianggap luar biasa.

“Kalau dilihat senario di luar negara, makin lama pelakon itu berada di dalam industri, maka semakin hebat dan unggul namanya. Ia berbeza dengan negara kita tapi sebagai penggiat seni, saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan bakat baru yang bakal menyemarakkan lagi generasi terdahulu,” katanya yang berkahwin dengan Vie Shanti pada 7 Julai 2007.

PROFIL: Eizlan Yusof

Tarikh Lahir: 14 Jun 1971

Asal: Kampung Baru, Kuala Lumpur

Tinggi: 180 sentimeter

Berat: 78 kilogram

Adik Beradik: Anak kedua daripada lima beradik

Status: Berkahwin

Isteri: Vie Shantie Haroon Khan

Tarikh Lahir: 27 Julai 1986

Kerjaya: Penerbit Eksekutif, pelakon dan model

Drama: Pembunuh Upahan, Sebesar Zarah, Senafas Takbir terakhir, Cik Mala Janda Berhias, Cikgu Rozie, Jaguh-Jaguh

Filem: Lurah Dendam, Panas, Perempuan Melayu Terakhir, Black Maria,Panas, Cahaya Cinta, Cinta, Impak Maksima, Pisau Cukur.

Berita Harian

Saluran Syawal Astro

27 Sep


filem Anak Halal ditayangkan di Saluran Syawal Astro untuk mereka yang melanggan saluran 188, Astro.

Empat filem yang dijadual untuk berentap di Saluran Syawal Astro juga merupakan filem-filem yang pernah membawa pulang anugerah-anugerah di Festival Filem Malaysia ke-21

DALAM usaha untuk meneruskan kegemilangan serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sempena kedatangan Syawal ini, Astro memperkenalkan saluran Syawal (saluran 188, Astro).

Saluran yang hanya beroperasi selama sebulan bermula 1 Oktober ini bakal menayangkan tujuh judul program hiburan menarik yang pastinya akan menghangatkan lagi sambutan Syawal anda.

Saluran Syawal Astro merupakan saluran perayaan yang menawarkan rakyat Malaysia lebih variasi kandungan sempena lebaran ini.

Para pelanggan bakal disaji dengan tujuh buah program yang meliputi lima filem baru, satu acara muzikal dan satu acara anugerah yang terkemuka dengan hanya melanggan pada harga RM7!

Para pelanggan Astro boleh mula melanggan Saluran Syawal Astro mulai 27 September ini (esok).

Filem-filem yang dipilih untuk mewarnai Saluran Syawal Astro ini bukan sahaja pernah mendominasi tayangan untuk filem-filem tempatan tetapi juga membawa pulang beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia baru-baru ini.

Dan sudah tentu, tayangan paling eksklusif di Saluran Syawal Astro ialah pementasan P. Ramlee The Musical iaitu sebuah teater muzikal yang hebat diperkatakan bakal menemui penonton.

Bukan itu sahaja, bagi pengikut setia perkembangan dunia Bollywood, Film Fare Awards bakal ke udara bergilir-gilir bersama lima lagi filem-filem hebat di saluran istimewa ini.

Empat filem yang dijadual untuk berentap di Saluran Syawal Astro juga merupakan filem-filem yang pernah membawa pulang anugerah-anugerah di Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini.

Filem-filem tersebut ialah penerima bagi Anugerah Sinematografi Terbaik; Evolusi KL Drift, penerima Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Erynne Erynna); Congkak, penerima Anugerah Khas Juri (Filem Box Office); Duyung, penerima Anugerah Anugerah Pelakon Terbaik (Maya Karin) dan Anugerah Cerita Asal Terbaik; Anak Halal.

Jadi, pastikan anda tidak ketinggalan melanggan Saluran Syawal (saluran 188, Astro).

Utusan Malaysia

Pungguk Rindukan Bulan Masuk Panggung Hari Ini

25 Sep

Oleh Zainuri Misfar


ADMAN (kiri) dan Sidi mencari Umi yang meninggalkan mereka tanpa pesan.

Ditayangkan lebih awal sebelum ke Festival Filem Antarabangsa Pusan di Korea

TANPA publisiti meluas dan dianggap sebagai filem murahan, Amir Muhammad tetap yakin filem terbitannya Pungguk Rindukan Bulan tetap dikunjungi penonton apabila memulakan tayangannya hari ini.

Beliau yang menjadi penerbit filem itu berkata, sememangnya tidak diakui penayangan filem Pungguk Rindukan Bulan pada waktu ini dianggap pelik kerana penonton Melayu sedang berpuasa dan sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, dalam sejarah filem tempatan, ia bukanlah filem pertama ditayangkan pada bulan puasa. Pada tahun 1975, filem Keluarga Si Comat arahan Datuk Aziz Sattar dilaporkan ditayangkan pada bulan puasa.

Filem Keluarga Si Comat terbitan Sabah Film Production dihasilkan ketika rangkaian pawagam seluruh negara dikuasai oleh Cathay Keris dan Shaw Brothers, manakala peraturan Wajib Tayang pula belum diwujudkan.

Bagi filem Pungguk Rindukan Bulan, Amir berkata, pihaknya memilih tarikh 25 September kerana mahu memberi peluang kepada penonton tempatan menontonnya sebelum dibawa ke Festival Filem Antarabangsa Busan di Korea Selatan pada hari raya kedua.


MAYA Karin membuat penampilan istimewa dalam Pungguk Rindukan Bulan.

“Filem ini ditayangkan pada minggu terakhir puasa tetapi minggu pertama raya. Saya memang jangka, tidak ramai menonton Pungguk Rindukan Bulan pada bulan puasa, tetapi ada yang akan menontonnya pada hari raya nanti,” kata Amir.

Menurutnya, untuk mendapatkan tarikh mengikut proses Wajib Tayang, memang agak sukar dan mengambil masa lama sedangkan beliau dan pengarah filem ini mahu menayangkan secepat mungkin.

“Untuk mendapatkan tarikh tayangan serentak dengan filem lain pada hari raya seperti Kami The Movie dan Senario The Movie memang mustahil. Itu kena melalui Wajib Tayang, dan untuk mendapatkan tarikh itu, perlu melalui proses lama.

“Tapi Pungguk Rindukan Bulan ialah filem dalam medium digital. Kita tidak perlu berebut tempat dan tarikh dengan pihak dari syarikat besar. Lagipun, cuma ada empat panggung saja yang menayangkan filem secara digital. Kita berterima kasih kepada pihak panggung kerana menyediakan tarikh dan tempat yang sesuai.

“Seperti yang dinyatakan tadi, saya mahu orang tempatan menonton filem ini terlebih dulu sebelum kita bawa ke Festival Filem Antarabangsa Busan dan ditayangkan di sana. Setahu saya, ada empat filem dari Malaysia yang dibawa ke Korea,” katanya.

Filem arahan Azhar Rudin itu adalah antara empat filem tempatan yang dibawa ke Korea Selatan. Filem lain ialah Cicak-Man 2 dan Muallaf.

Mengenai filem Pungguk Rindukan Bulan, Amir menjelaskan ia sebenarnya adalah satu dedikasi kepada penduduk yang pernah menghuni flat Bukit Cagar di Johor Bahru yang kini sudah dirobohkan.

Filem ini mengisahkan Sidi lakonan Saeful Nazhif Satria yang meningkat remaja dan bapanya, Adman (Sharonizam Noor) tinggal di sebuah rumah flat kos rendah di Johor Bahru yang turut dihuni oleh pelbagai karakter unik.

Satu hari, Umi (Maya Karin) iaitu ibu Sidi dan isteri kepada Adman meninggalkan mereka tanpa sebarang pesanan. Pada awalnya, Sidi terbuai dengan kebebasan automatik yang timbul sesuai dengan gejolak remajanya dan mula bersekolah sendirian. Manakala Adman pula bebas memenuhi hobinya iaitu memancing dan menikmati lagu dan filem Melayu lama.

Bagaimanapun, lama-kelamaan ruang sempit di flet itu terlalu luas dan akhirnya boleh merenggangkan Sidi dan Adman. Banyak bicara yang tidak terungkap antara mereka, mungkin kerana rindu yang terlalu membungkam.

Kos RM100,000

Dengan peruntukan RM100,000, Amir berkata, beliau dan pengarah filem Pungguk Rindukan Bulan sudah berusaha sebaik-baiknya untuk menjadikan filem itu kelihatan seperti sebuah filem komersial.

Bahkan mereka berasa sangat beruntung Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21, Maya Karin sudi menjadi antara pelakon dalam filem itu.

“Penampilan Maya dianggap satu daripada elemen komersial yang boleh menjadi tarikan terhadap filem ini. Kita tidak sangka Maya menerima tawaran kita.

“Kata Maya, dia mahu mencuba sesuatu yang lain dan dia melihat filem Pungguk Rindukan Bulan ini memang ada kelainan yang tersendiri. Sebab itulah dia setuju berlakon dalam filem ini,” kata Amir.

Menurutnya, filem ini juga adalah durasi panjang yang pertama diarahkan oleh Azhar Rudin yang sebelum ini banyak berkarya dengan menghasilkan filem pendek.

Azhar, kelahiran Johor Bahru, Johor pernah menghasilkan dokumentari dan filem pendek seperti The Year of Living Vicariously dan The Amber Sexalogy.

Filem pendek The Amber Sexalogy terpilih ke Festival Filem Pendek Singapura (2008); Pertandingan Filem Pendek Sempena Memperingati Akira Kurosawa (2007) dan Festival Filem Antarabangsa Hawaii (2006).

Amir berkata, dia tidak kisah kalau filem Pungguk Rindukan Bulan dianggap sebagai filem murahan kerana ia sememangnya dihasilkan menggunakan sumber kewangan yang sangat terhad.

“Saya akui ini filem kecil-kecilan. Penggambaran pun dalam keadaan tergesa-gesa kerana ia dibuat untuk memperingati flet Bukit Cagar yang hendak dirobohkan.

“Kalau dapat sumber kewangan besar, kita juga boleh menghasilkan filem yang bagus. Tapi dengan bajet RM100,000 itu pun sudah memadai. Filem ini dihasilkan bersesuaian dengan bajet yang kita ada,” katanya,

Berita Harian