Archive | Deja Moss RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Hip TV Lebih Berani

26 Feb

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.

Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.

Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.

Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.

Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.

“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.

“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.

“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.

“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.

Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.

Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.

“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.

“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.

Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.

Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

Harian Metro

Kembali Ke Sisi Keluarga

29 Sep

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

BALIK kampung semasa menyambut hari raya rasanya adalah detik paling menggembirakan. Perasaan tidak sabar untuk berjumpa dengan orang tercinta terutamanya ahli keluarga setelah lama tidak bertemu pastinya wujud dalam hati sanubari anak rantau.

Senario yang sama juga berlaku pada diri selebriti. Mereka juga tidak terkecuali merancang dan mengambil cuti panjang untuk beraya dan menghabiskan masa bersama keluarga.

Namun, bagi mereka yang tinggal jauh seperti Sabah dan Sarawak, persiapan perlu dilakukan lebih awal berbanding mereka yang beraya di Semenanjung Malaysia.

Bukannya persiapan mengemas rumah atau membuat kuih semata-mata tetapi membeli tiket penerbangan lebih awal adalah perkara yang paling utama dalam senarai persiapan balik kampung.

Dan bagi Deja Moss, Dayang Nur Faizah dan Norayu binti Damit (Ayu), mereka turut melakukan persiapan awal bagi mengelakkan sebarang masalah apabila tibanya hari raya nanti.

Selain pembelian tiket kapal terbang, Dayang, Deja dan Ayu yang ditemui di KL Sentral turut berkongsi cerita raya mereka dan Deja juga menceritakan pengalamannya yang tidak sempat pulang beraya bersama keluarganya.

Raya pertama sebagai artis

Bergelar juara program realiti One In A Million 2 pada 29 Februari lalu, sambutan hari raya Ayu pastinya berlainan tahun ini. Bercuti selama dua minggu, Ayu sudah memberikan wang kepada ibu bapanya supaya mereka boleh membeli baju untuk adik-beradiknya yang lain.

“Tahun ini saya lebih berkemampuan untuk memberikan wang kepada keluarga untuk membeli barangan keperluan raya nanti terutamanya baju raya. Saya sendiri juga perlu siapkan baju raya lebih awal tahun ini.


“AIDILFITRI adalah musim untuk bercuti dan bertemu sanak saudara kepada Dayang dan Ayu.”

“Selalunya baju raya saya hanya akan siap seminggu sebelum raya. Tapi tahun ini siap awal kerana saya sibuk dengan rakaman program radio dan juga temu bual dengan media cetak serta majlis buka puasa,” jelas Ayu yang hanya menyediakan dua pasang baju raya tahun ini.

Pulang ke kampung halamannya di Kampung Ketian, Kota Kinabalu, Sabah, Ayu sendiri tidak pasti bila untuk mengadakan rumah terbuka buat peminatnya. Cuma Ayu tahu bahawa rumahnya tahun ini pasti akan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bakal terlibat dalam program Sampaikan Salam untuk stesen TV3 pada malam raya, Ayu takut dirinya hanya akan pulang ke Sabah pada pagi raya pertama. “Saya sendiri tidak pernah ketinggalan daripada menyambut raya bersama ahli keluarga.

“Kini selepas bergelar artis, saya mempunyai tanggungjawab dalam karier. Maka, saya takut saya hanya akan pulang pada pagi raya.”

Suka membuat kuih makmur dan tart nenas, Ayu bagaimanapun tidak suka tugas mengemas rumah. Dia memberitahu bahawa kerja mengemas rumah ini selalunya dilakukan oleh ayahnya.

Ditanya jika dia tidak berpeluang untuk pulang beraya, Ayu dengan segera menjawab, “Dekat sini tak ada keluarga atau kawan-kawan rapat saya.

“Rasanya sambut raya seorang diri amat berlainan dan menyedihkan. Rasanya saya tidak mampu menahan emosi jika tidak balik raya,” tambahnya yang sedang merakamkan lagu untuk album terbarunya yang dijangka berada di pasaran hujung Oktober ini.

Raya cuti tahunan Dayang

Setiap tahun, cuti raya adalah jangkamasa yang dinanti-nantikan oleh Dayang. Bukan sahaja dia berpeluang untuk bertemu dengan ahli keluarganya. Tetapi masa ini juga merupakan cuti tahunannya yang hanya datang sekali setahun.

Maka, tidak hairanlah jika penyanyi kelahiran Sarawak ini mengambil masa dua minggu untuk cuti rayanya mulai 26 September sehingga 16 Oktober.

“Selama setahun, saya tidak akan bercuti. Jadi cuti raya ini akan dijadikan masa untuk saya berehat secukupnya. Ia adalah sama seperti cuti tahunan bagi saya.

“Tetapi saya sepatutnya cuti sehingga 19 Oktober. Disebabkan ada persembahan pada 17 Oktober, maka saya kena balik awal,” katanya yang akan pulang ke Petrajaya, Kuching.

Tidak pernah beraya di perantau walaupun pernah pulang pada pagi raya, Dayang amat menghargai hari rayanya. Namun, dia tidak melakukan persiapan yang melampau seperti mana yang dilakukan oleh orang lain.

“Semuanya disiapkan secara ala kadar. Di rumah juga, kami hanya menukar apa yang diperlukan. Dan tahun ini kami menukar langsir kerana sudah lima tahun tidak menukarnya. Baju raya juga tidak dibeli dengan banyak kerana saya hanya beraya di rumah.

“Kasut pula saya hanya pakai yang sedia ada. Bukannya macam zaman budak-budak, semuanya nak beli yang baru. Sekarang saya hanya beli baju untuk keluarga dan anak-anak saudara,” tambahnya.

Mahu memastikan dirinya dapat pulang pada hari raya nanti, Dayang sudah membeli tiket penerbangannya tiga bulan lebih awal. “Saya tidak mahu membeli pada saat-saat akhir. Takut tak dapat balik.”


“STATUS sebagai isteri menyebabkan Deja teruja menyambut lebaran kali ini, sementara Ayu buat pertama kalinya akan beraya sebagai artis.”

Terlibat dalam banyak rakaman raya, Dayang memberitahu bahawa dia merindui perasaan beraya berasa neneknya semasa kecil. Kini tanpa neneknya, dia berasa sunyi tetapi diceriakan dengan telatah anak saudaranya.

Lagipun dulu semasa kecil Dayang suka melawat rumah jiran. Perasaannya adalah berbeza jika berbanding sekarang. Cuma kini dia berpeluang beraya bersama peminatnya.

“Walaupun saya tidak pernah buat rumah terbuka, tetapi saya selalu mengalu-alukan kehadiran peminat. Selalunya dalam masa minggu pertama, saya akan berada di rumah. Jadi kalau hendak datang, silalah datang dalam masa seminggu itu.”

Beraya sebagai isteri

Selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 30 Ogos lalu, Deja Moss akan menyambut hari raya pertamanya bersama Azfendy Azzuddin. Walaupun merupakan kali pertama beraya sebagai suami isteri, Deja memberitahu bahawa Azfendy pernah beraya di rumahnya tahun lalu.

“Ini bukan kali pertama Azfendy beraya dengan saya. Tahun lalu dia juga datang beraya dia Kuching. Tetapi ini adalah kali pertama sebagai suami isteri. Jadi saya berasa sedikit gementar dan teruja,” jelas Deja yang akan berbulan madu di Santiago, Chile pada bulan November nanti.

Sibuk dengan perniagaan kek lapis pada bulan puasa seperti tahun sebelumnya, Deja selalunya hanya akan pulang ke kampung sehari sebelum raya atau pada pagi raya. Namun, tahun ini dia akan balik awal dua hari sebelum raya.

“Tahun ini saya cuti selama enam hari sahaja. Tetapi saya membeli tiket penerbangan dua atau tiga minggu sebelum raya kerana saya ada kawan yang bekerja di syarikat penerbangan. Jadi saya tidak risau mengenai tiket penerbangan,” tambahnya yang sedang merakamkan album yang dijadualkan berada di pasaran pada Disember ini.

Pernah beraya di London dan Sweden lapan tahun lalu, Deja mengimbas kembali memori beraya di perantauan. Dan dia mengakui dirinya berasa sedih memikirkan keluarganya di Kuching. Pun begitu, beraya sebagai artis juga ada membawa kenangan manis bagi dirinya.

“Pertama kali beraya sebagai artis, saya mengadakan rumah terbuka di Kuching. Saya sudah melakukan pengumuman di radio bahawa saya akan mengadakan rumah terbuka dari pukul 10 pagi sehingga 5 petang.

“Dan saya juga menganggarkan antara 500 orang yang akan hadir. Tetapi lebih 1000 orang yang hadir dan mereka sudah berkumpul di depan rumah seawal 9 pagi.

“Maka semua makanan tidak mencukupi. Nasib baik pakcik saya menolong memasak makanan seperti kari ayam dan mihun goreng pada saat-saat akhir,” imbas Deja memori yang berlaku pada tahun 2000 itu.

Kosmo

Label Azizi Design

8 Sep

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Bagaimanakah pereka muda, Azizi Hassan membezakan hasil kerjanya jika dibandingkan dengan karya sedia ada di pasaran?

PEREKA fesyen, Azizi Hassan tidak pernah menang tangan setiap kali menerima tempahan daripada pelanggan tetapnya. Rezekinya sentiasa bertali arus.

Pada Ramadan ini, beliau juga cukup sibuk dengan kerja-kerja mereka, memotong dan menjahit pakaian hingga menjelang Aidilfitri.

“Sekarang ini pun anda lihat sepasang suami isteri yang merupakan pengedar kurung moden dari Singapura, singgah ke butik untuk memilih jenis fabrik dan rekaan yang sesuai dengan cita rasa orang di sana,” ujar lelaki yang berusia 35 ini yang sibuk melayan pelanggan sambil menyiapkan diri untuk sesi fotografi di kedainya di Persiaran Ritchie, Kuala Lumpur.


DALAM tempoh setahun, Azizi menghasilkan sebanyak 100 rekaan pakaian lelaki dan wanita.

Dengan perincian yang cukup kemas dan teliti pada fabrik sifon, sutera dan sebagainya, Azizi lebih suka menggunakan motif flora sebagai subjek utama.

Berbeza dengan konsep pakaian tradisional Melayu, Azizi meniupkan inspirasi baru seperti pareo yang menggantikan sarung atau skirt panjang wanita.

Pareo, bagi Aziz dilihat lebih kontemporari dan fleksibel dengan selendang panjang yang disangkut pada bahu.

Dengan himpunan lebih daripada 400 helai baju kurung dan baju Melayu moden termasuk kemeja-t dan tali leher, anda pasti letih untuk membelek satu-persatu.


INSPIRASI baru. Pareo yang menggantikan sarung atau skirt panjang.

Dalam setahun, Azizi mengeluarkan 100 rekaan untuk pakaian lelaki dan wanita.

Rekaan Azizi tidak kurang menawan hati para selebriti tempatan seperti Sheila Rosly, Deja Moss dan Umie Aida di samping menaja majlis karpet merah.

“Bagi artis dan pertunjukan fesyen, saya reka gila-gila sikit sebab ia sesuai dengan tema dan paparan umum. Untuk jualan, saya ikut kepada cita rasa pasaran,” ujar Azizi yang mendapat inspirasi semasa kunjungannya ke luar negara. Antara negara yang pernah beliau lawati menerusi program-program kebudayaan ialah London, Milan, jerman, Austria, Lebanon, Oman, Beijing, Istanbul, Dubai, Australia, Itali, Croatia, Netherlands dan banyak lagi.

Azizi juga memenangi Anugerah Piala Seri Endon 2003/04, Jarum Berlian Rias 1999, Benang Emas Jelita 1997 dan pengiktirafan lain yang setaraf dengannya.


DRES berona jingga menyerlahkan gaya si pemakai.

Semasa sesi fotografi, Azizi menekankan solekan muka semula jadi daripada jurusolek Tiar Zainal ke atas model Kayla Yati Bejo dan Peter Davis.

“Orang Brunei misalnya, minat corak bunga penuh. Orang muda pula, secara lazimnya suka pada kain bercorak minimum,” tambahnya yang sekali-sekala bermain dengan manik dan labuci.

Bagi pakaian wanita, harganya bermula dari RM730 hingga RM3,200. Orang lelaki boleh membeli dari RM500 hingga RM750.

“Lebih mahal untuk perempuan kerana ia sarat dengan jahitan manik atau lukisan mewah.”

“Tahun 2009 bakal menyaksikan penerimaan semula warna ungu yang sentiasa memiliki jiwa elegan dan feminin pada tubuh wanita moden,” jelas Azizi yang mempunyai kira-kira 15 orang pembantu yang melakukan kerja-kerja melukis, membuat batik atau canting, menjahit dan menyusun manik.


REKAAN Azizi turut bermain dengan manik dan labuci.

Bengkel pembuatan batiknya terletak kira-kira 10 meter dari butiknya.

Meskipun sudah lapan tahun membuka butik pertamanya, anak jati kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini, berpegang kuat kepada prinsipnya. Pengalaman yang ditimba sepanjang mengharungi onak duri dunia fesyen menyumbang kepada kemantapan pengetahuan dalam dunia rekaan.

Sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azizi tidak merungut apabila diambil bekerja di sebuah kilang dengan gaji hanya RM350. Tawaran mendalami skil di kilang batik sebaliknya dilihat sebagai permulaan yang wajar sebelum pergi jauh dalam bidang ini.


AZIZI melayan pelanggan yang datang ke butiknya.

“Dalam keluarga, hanya saya seorang daripada lima orang adik-beradik terdorong kepada elemen-elemen artistik yang melibatkan hobi melukis potret, membuat seramik, menjahit dan seumpamanya,” luahnya yang jatuh cinta dengan kehalusan batik yang dicampurkan dengan pelbagai warna.

Azizi melanjutkan pelajaran di School of Art & Design, College of Visual Arts, Subang Jaya.

Pada masa yang sama, dia menghasilkan sekurang-kurangnya 20 helaian batik sebulan.

Setiap helai mencecah hingga RM200. “Saya bukan sahaja menimba pengalaman berharga tetapi tekun mencari duit saku tanpa bergantung kepada orang tua.”


MOTIF flora menjadi subjek utama.

“Bila sudah bersedia, baru saya tubuhkan syarikat atau label sendiri pada tahun 2002. Azizi Design tidak wujud dengan mudah kerana selagi kita tidak belajar dari ‘orang lama’, sukar menggambarkan secara menyeluruh,” jelas Azizi yang bijak mengintai peluang.

Koleksi pakaiannya turut dipamerkan di Aseana, Suria KLCC. “Saya tidak jual di tempat lain kerana ia eksklusif dan bukan untuk difrancais,” jelasnya yang akan membawa aksesori Alya & Co ke butiknya tidak lama lagi.

Butik Zizi Design terletak di No. 333, Persiaran Ritchie, Kuala Lumpur. Anda juga boleh menghubungi talian 03-4253 1334 atau 03-4251 8466.

Kosmo

Selamat Pengantin Baru Deja Moss

31 Aug


DEJA MOSS dan Azfendy berseri-seri pada hari pernikahan mereka di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Selepas berkenalan hampir 10 tahun, penyanyi popular Deja Moss akhirnya menjadi milik lelaki bernama Azfendy Azzuddin.

Pasangan yang berbeza usia enam tahun itu dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur pada pukul 11.45 pagi semalam.

Majlis akad nikah dilakukan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid, Ustaz Mohd. Nazarudi Nadzir mewakili bapa Deja, Wan Moss Wan Hamid.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 35, menerima mas kahwin RM1,111 bersama sembilan dulang hantaran tetapi merahsiakan jumlah wang hantaran yang diterimanya.

Beliau yang popular dengan lagu Asmara Ini berkata, hatinya berdebar-debar sebelum saat dia diijabkabulkan dengan Fendy yang juga Pengurus Besar DC Industries.

“Masa Fendy melafazkan akad, rasa macam sesuatu. Kini saya menjadi isteri orang dan perlu memikul satu tanggungjawab yang besar,” katanya dalam nada cukup terharu.

Deja dan Azfendy, 29, juga memilih tarikh 16 November ini untuk mengadakan majlis resepsi di Sarawak.

Kosmo

Deja, Azfendy Berbulan Madu Di Chile

31 Aug

KUALA LUMPUR, 31 OGOS 2008: Seorang lagi artis selamat diijabkabulkan sebagai pengantin baru pagi semalam iaitu penyanyi Kasih Ke Syurga, Hajjah Deja Moss, 35, dan pasangannya, Azfendy Azzudin, 29.

Upacara akad nikah berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini dan mereka dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Penolong Pendaftar Nikah di masjid berkenaan, Mohd Nazarudi Mohd Nadzir.

Deja menerima kas kahwin RM1,111 dan berwalikan ayahnya, Wan Moss Wan Hamid.

Deja yang mengenakan busana putih bertudung rekaan Albert King, menerima 7 dulang hantaran berupa wang, sebentuk cincin, tepak sireh, jam tangan, beg tangan, set wangian dan sepasang kasut. Pengantin perempuan kemudian membalas dengan 11 dulang hantaran seperti tepak sireh, set wangian, kemeja bersama tali leher, kafling, tali pinggang, kasut dan kek lapis.


Menariknya, mereka berdua bakal berbulan madu di Santiago, Chile, November depan kerana Azfendy kebetulan akan bertugas di sana. Beliau ketika ini menjawat tugas sebagai Pengurus Besar DC Industries Sdn Bhd.

Kedua-dua mereka sudah saling mengenali sejak sekian lama tetapi semakin serius menjalinkan hubungan percintaan sejak 2 tahun lalu.

Deja atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, berkata, dia akan tetap meneruskan kerjaya nyanyiannya tetapi dalam keadaan lebih terbatas. Mereka berdua dijadual mengadakan majlis resepsi di Kuching, Sarawak pada 16 November depan.

Tahniah dari murai.com.my!

Murai

Kuiz Demam Bola Sempena Piala Dunia FIFA 2006

28 Mar

Oleh: WANDA IDRIS

SEMPENA Piala Dunia FIFA 2006 yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 9 Jun ini, RTM akan menyiarkan sebuah program game show yang diberi judul Demam Bola.

Muncul dengan konsep unik dan menghiburkan, Demam Bola merupakan sebuah program kuiz hiburan yang berkisar mengenai perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Dihoskan oleh pelakon dan penyanyi AC Mizal, program terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd. itu akan disiarkan di TV1 bermula 2 Mei hingga 12 Julai ini.

Program 31 episod yang disiarkan selama setengah jam setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis itu bakal menghiburkan para peminat bola sepak dengan aksi lucu para peserta dan artis jemputan.

Menurut Pengarah Operasi Nafalia Corporation, Mohd. Najib Jaafar, setiap peserta yang menyertai program itu bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perlawanan bola sepak dunia empat tahun sekali itu tetapi juga ceria dan aktif.

“Demam Bola merupakan satu anjakan paradigma dalam penerbitan game show tempatan. Konsepnya diilhamkan oleh pihak produksi membabitkan kos penerbitan hampir setengah juta ringgit,” kata Najib ketika ditemui selepas pelancaran program itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Najib berkata, kira-kira 1,000 peserta datang untuk uji bakat program itu yang diadakan selama dua hari di Petaling Jaya, Selangor beberapa bulan lalu.

Namun hanya 16 kumpulan yang dipilih untuk meneruskan saingan dengan setiap kumpulan diwakili dua peserta dan seorang artis jemputan.

Kumpulan-kumpulan yang akan bersaing ialah Al-Kurawi, Viva, Jaring FC, Anak Belalang, Putrajaya FC, Rembat, Merah Bersatu, Rimba Bara, Deras, Biar Betul, Gol FC, Yeob FC, Jaguh, Romeo FC, Juara FC dan Jentayu, satu-satunya pasukan tunggal yang diwakili peserta wanita.

Sementara artis jemputan yang bakal memeriahkan Demam Bola ialah Mamat, Cat Ruffedge, Aidil AF3, Deja Moss, Dia Fadilla, Raja Azura, Angelina Tan, Sathiya, D-Va, Hans Isaac, Ezlynn, Pija Mentor, Arnieza Amir, Khadeeja, Achik Spin dan Siti Nordiana.

Kesemua 16 kumpulan itu perlu bersaing untuk mendapatkan tempat lapan terbaik bagi membolehkan mereka mara ke peringkat suku akhir.

Daripada lapan kumpulan, hanya empat kumpulan terbaik akan dipilih untuk meneruskan perjuangan ke separuh akhir. Kumpulan yang berjaya ke pertandingan akhir akan menerima pelbagai hadiah menarik dan wang tunai.

Kata Najib, pertandingan itu menyediakan hadiah utama iaitu peluang menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia antara tuan rumah Jerman dengan pasukan Costa Rica.

“Seorang calon bertuah (sama ada peserta atau artis jemputan) yang mendapat markah tertinggi pada siri program tersebut akan memenangi Kasut Emas tajaan Adidas.

“Pemenang kumpulan bukan sahaja berpeluang ke Jerman tajaan penerbangan Emirates malah diberikan wang poket sebanyak RM5,000 oleh Hotlink,” jelasnya.

Setiap peserta yang bergelar juara pula, selain akan menerima trofi daripada Nafalia Corporation, juga akan turut membawa pulang motosikal edisi terhad Moskito RX125 Fussball Fever tajaan MZ Motorrad Sdn. Bhd. selain tiket penerbangan ke Jerman tajaan Emirates, jam tangan Orient tajaan A.D Time Sdn. Bhd. dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Kumpulan yang menang tempat kedua pula akan menerima hadiah setiap seorang, tiket penerbangan ke Dubai, sepasang jam tangan Alain Delon dan wang tunai RM3,000.

“Pemenang pusingan pertama seramai 72 orang turut menerima pakej percutian daripada Glory Beach Resort, baucer Adidas, baucer Burger King dan pek permulaan edisi terhad Piala Dunia Hotlink,” kata Najib.

Menampilkan tiga segmen utama iaitu Sepak Mula, Separuh Masa dan Masa Kecederaan, setiap segmennya disesuaikan dengan ciri-ciri perlawanan bola sepak.

“Menariknya, pada segmen Masa Kecederaan, pelbagai telatah lucu dapat dilihat apabila para peserta perlu bermain bola sepak dengan menutup mata.

“Sekiranya keputusannya adalah seri, maka Masa Tambahan akan diberikan kepada mereka untuk menentukan pemenang,” kata Najib.

Menurutnya, rakaman program tersebut telah dimulakan sejak 18 Mac lalu dan akan berakhir pada 25 Mac ini.

Mengenai pemilihan AC Mizal sebagai pengacara program itu, Najib berkata, syarikatnya telah membuat pilihan yang tepat.

“AC Mizal bukan sahaja seorang pengacara yang bersahaja dengan lawak selambanya tetapi dia juga merupakan seorang peminat bola sepak yang mempunyai pengetahuan yang luas,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia