Archive | Jalil Hamid RSS feed for this section

Info TV: Lima Lagi Drama Hebat Di Slot Cerekapilihan Buat Penonton TV3

1 May

SLOT Cerekapilihan menyiarkan lima drama yang menjanjikan kepuasan kepada penonton setia TV3 iaitu Good Morning Cikgu, Good Afternoon Cikgu, Selimut Putih, Maafkan Aku Mama dan Kalam Cinta Rabiah. Slot itu disiarkan pada hari Jumaat jam 1 tengah hari.

Sinopsis

Good Morning Cikgu (2 Mei 2008)

Akibat kegawatan ekonomi yang berlaku sewaktu Alice pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian luar negara, sukar untuk Alice mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Akhirnya, Alice memohon untuk menjadi seorang guru dan permohonannya mendapat maklum balas positif. Alice mengalami kejutan budaya setelah dihantar bertugas ke kawasan pedalaman di kawasan utara. Namun Alice terpaksa juga menghadapi kerenah anak-anak muridnya yang tidak tahu menggunakan bahasa Inggeris. Sikap orang kampung juga kadang kala memeningkan kepala Alice. Dia mula menyukai pengembala lembu di kampung itu bernama Budin yang kerap berada di samping lembunya yang digelar Rahul.

Pelakon : Zizie Ezzette, Sheila Rusly, Radhi Khalid, Hamidah Wahab, Zaidi Omar

Good Afternoon Cikgu (9 Mei 2008)

Cikgu Alice selamat melahirkan anak perempuan. Semasa di dalam pantang, Cikgu Alice tinggal bersama keluarganya di bandar. Cikgu Tipah masih belum berkahwin dan apabila melihatkan keadaannya, Mami merasa kasihan. Dia mengajak Cikgu Tipah bertemu bomoh supaya cepat mendapatkan jodoh. Semasa sedang mandi bunga, bomoh memberikan satu syarat, dia harus menerima lamaran orang pertama yang masuk meminangnya dan Cikgu Tipah setuju dengan syaratnya itu. Suatu hari, Shah Rukh (lembu Muis) berkeliaran di sekitar rumah Cikgu Tipah. Muis terus jatuh cinta apabila melihat kelibat Cikgu Tipah.

Pelakon : Sheila Rusly, Kartina Aziz , Radhi Khalid, Jalil Hamid, Zaidi Omar, Hamidah Wahab

Selimut Putih (16 Mei 2008)

Drama ini mengisahkan penderitaan seorang ibu yang diabaikan anaknya kerana hasutan menantu. Mak Teh tinggal di belakang rumah anaknya, Najib dan hubungannya bersama menantunya, Mona tidak baik. Najib dan Mona berjanji hendak membawa Mak Teh tinggal sebumbung dengannya sebelum mendapat tanah arwah bapanya, tetapi mereka telah memungkiri janji itu. Manakala Mak Nona juga mengalami nasib yang sama dengan Mak Teh yang dihalau dari rumah anak perempuannya, Minah.

Pelakon : Norlia Ghani, Rusdi Ramli, Rita Rudaini, Noor Khiriah, Roslan Salleh, Zaidi Mohd Nor

Maafkan Aku Mama (23 Mei 2008)

Mengisahkan penyesalan seorang anak yang tidak dapat meminta maaf buat kali terakhir terhadap perbuatannya sebelum ibunya meninggal dunia. Aiman kehilangan bapanya semasa dia masih lagi kecil. Sue, ibu kepada Aiman berkahwin dengan Zarul setelah kematian suaminya, Malik. Perkahwinan itu bukanlah atas kehendak Sue tetapi di atas kehendak bapa mentuanya yang tidak mahu Aiman kehilangan rasa kasih sayang seorang ayah. Tetapi perkahwinan itu tidak direstui Aiman. Sejak kejadian itu, Aiman merajuk dengan perbuatan ibunya dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Pelakon : Hairie Othman, Azizah Mahzan, Jalil Hamid, Sabrina Ali

Kalam Cinta Rabiah (30 Mei 2008)

Datuk Johari masih mengharapkan supaya Rabiah berhenti sebagai jururawat dan menerima tawarannya bekerja di Nilam Holding sebagai Pengarah Projek. Namun, Rabiah tidak berganjak dari keputusannya. Rabiah berjaya memujuk Julia yang mempunyai anak luar nikah untuk terus belajar demi masa depannya. Datuk Johari yang kecewa dengan Rabiah sanggup menggugurkan nama Rabiah sebagai penerima harta warisannya. Di tempat kerjanya, Rabiah berkawan rapat dengan Zakuan. Zakuan mencadangkan Rabiah terima saja permintaan ayahnya.

Pelakon: Wardina Saffiyah, Zamarul Hisham, Benji, Faizal Hussein, Dian P Ramlee, Hafizzuddi , Fiza.

Powered by Berita Harian

Azian ‘Hot’ Di Seberang

22 Mar

Oleh Kamali Hudi

NAMANYA kurang menjadi sebutan, tetapi setiap kali wajah Azian Pasiran muncul di kaca televisyen, seperti sudah memberi jaminan apa yang ditonton pasti menghiburkan atau meninggalkan kesan.

Bahkan kerana keberkesanan lakonannya, orang lebih mengenali Azian dengan nama-nama watak dalam drama, termasuk Cik Tona Tahi Lalat (dalam siri drama Enot 3) dan Esah Dangdut dalam siri drama tempatan, Erlin Montel.

Pelakon Singapura yang kini lebih aktif menjayakan drama di Malaysia itu mengakui tidak kisah dirinya tidak diglamorkan seperti pelakon lain, bahkan lebih selesa jika orang tidak mengenalinya apabila berada di luar.

Azian sebenarnya berlakon sejak zaman stesen televisyen tempatan dikenali dengan nama Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) dulu. Drama pertamanya berjudul Kesumat, arahan Allahyarham Bani Buang, ketika beliau berusia 18 tahun.

Beliau mendapat perhatian pihak unit drama SBC ketika itu setelah mengirimkan gambarnya yang memenangi Ratu Kebaya anjuran sebuah balai rakyat.

Ternyata Azian tidak main-main apabila melangkahkan kaki dalam bidang seni ini. Pada usia 21 tahun, beliau mencabar dirinya membawa dirinya ke Malaysia untuk mencari peluang berlakon yang lebih luas di sana.

‘Yan terpaksa membohongi emak dengan memberi alasan ke Malaysia sekadar pergi melancong sahaja. Tapi sebaliknya Yan mencari peluang bertemu pihak syarikat penerbitan yang disarankan kawan Yan,’ ceritanya.

Syarikat Home Video Distributors (HVD), yang banyak menghasilkan penerbitan drama-drama Malaysia, membuka peluang yang dicari Azian selama ini.

Dengan bantuan pengarah Amir Khan (juga asal Singapura dan abang penggubah Azmeer), Azian mendapat kepercayaan bukan saja berlakon, bahkan menulis naskhah drama.

‘Encik Amir adalah orang yang banyak memberi bimbingan kepada Yan, bukan sahaja dalam lakonan tetapi menulis skrip, arahan dan penyuntingan kerana Yan begitu minat dengan kerja yang berkaitan penerbitan drama,’ katanya lagi.

Beliau juga pernah dibantu oleh pelakon dan pengarah Yus Emali yang pernah bergiat dalam drama pentas dan televisyen di sini satu ketika dulu dan kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Selain drama TV, Azian juga aktif menjayakan telemovie VCD, antaranya termasuklah drama televisyen Gosok 1 dan Gosok 2 yang mendapat sambutan hebat di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bahkan Azian merupakan penulis skrip bagi kedua-dua VCD tersebut yang mengisahkan kehidupan anggota band Spider di kampung sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi.

Dalam lakonan drama swasta berjudul Enot 3 arahan Jinggo (suami Sheila Rusly) Azian berpeluang berlakon dengan pelakon seperti Yusni Jaffar, Norlia Ghani, Hamid Gurkha, Jalil Hamid dan Sheila sendiri.

Walapun pernah dibohongi, ibu Azian, Hajah Khamsaton Haji Amin, 64 tahun, tetap memberi restu dan dorongan terhadap Azian dalam kerjaya seninya.

‘Keinginan seseorang tidak boleh disekat asalkan ia dalam landasan yang betul dan tidak menjadi cemuhan masyarakat,’ kata Hajah Khamsaton yang menemani Azian ketika menemui penulis.

Azian telah berumah tangga dengan seorang jurukamera drama, Azryanizham, 35 tahun, yang merupakan warga Malaysia. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Elmyra Azryanizham, tiga tahun.

Kepada bakat tempatan yang ingin mengembangkan bakat di negara jiran, pesan Azian, langkah mereka harus disertakan dengan kesungguhan dan kerja keras.

‘Berpegang pepatah lama, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung membantu kita dalam segala cita-cita atau bakat yang ingin kita memperolehi pencapaian di masa depan,’ katanya.

Powered by Cyberita