Archive | Jasmin Hamid RSS feed for this section

Ujian Menerbitkan Noda Semalam

30 May

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my

AKSI Remy Ishak (kanan) yang turut membintangi telemovie Noda Semalam di lokasi penggambaran.

MENGHASILKAN sebuah telemovie barangkali dianggap sebagai kerja mudah bagi sebilangan besar penonton.

Hakikatnya, hanya penerbit dan pengarah sahaja yang terpaksa menelan pelbagai keperitan dan kesukaran ketika proses penghasilan sesebuah telemovie dibuat.

Bagi syarikat produksi Zeel Production Sdn. Bhd., yang menerbitkan telemovie Noda Semalam untuk siaran TV3 malam esok menerusi slot Cerekarama, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

Bahkan, penerbitnya, Md. Fadzil Teh tidak terduga akan diuji sedemikian rupa untuk menghasilkan buah tangan terbaru syarikat produksi yang diketuainya itu.

Noda Semalam arahan sutradara, Muhammad Murali Abdullah memaksa Fadzil berhadapan dengan cabaran yang bukan kecil.

Cabaran pertama bermula apabila hero utama telemovie itu menarik diri pada saat-saat akhir akibat terikat dengan komitmen lain.

“Saya bernasib baik kerana Ezany Nizarif bersedia mengambil alih tugas itu. Biarpun ditawarkan di saat-saat akhir, namun Ezany memberikan lakonan yang hebat dan menepati kehendak produksi,” kata Fadzil kepada Hits ketika berkongsi cerita mengenai produksi Noda Semalam.

Sangkaan Fadzil pertukaran hero akan menamatkan cabaran produksi Noda Semalam rupanya meleset apabila salah seorang jurugambar yang sering menyertai produksi Zeel Production pula terpaksa menarik diri kerana terikat dengan urusan keluarga.

Sekali lagi, Fadzil dan team produksi memikirkan pengganti yang boleh mengambil alih tugas tersebut.

Ujian terus menghimpit produksi Noda Semalam selepas salah seorang aktor utama telemovie itu, Razali Buyong pula membawa khabar duka apabila kakaknya meninggal dunia ketika penggambaran sedang berlangsung.

“Menyedari kedudukan Razali yang sedang berduka dan tidak mampu memberi komitmen terhadap telemovie ini menyebabkan kami terpaksa mencari pengganti lain.

“Alhamdulillah, Zulkifli Zain menyatakan kesediaannya menggantikan tempat Razali,” kata Fadzil menyambung perbualan.

Kesediaan Zulkifli menggantikan Razali membuatkan seluruh team produksi Noda Semalam dan Fadzil bersemangat untuk meneruskan penggambaran.

Namun begitu, ketika di lokasi penggambaran Noda Semalam yang berlangsung di Batu 14, Hulu Langat, Selangor, Zulkifli pula pengsan dan keadaan itu sekali lagi mengejutkan seluruh team produksi.

“Sudah tentu kami semua bimbang. Tetapi, Alhamdulillah, selepas melakukan pemeriksaan, beliau (Zulkifli) disahkan sihat,” terang Fadzil lagi.

Berkat kesabaran dan kerja keras semua pihak akhirnya membuahkan hasil dan Noda Semalam bakal ditayangkan malam esok menerusi slot Cerekarama.

Selain Ezany dan Zulkifli, Noda Semalam yang menampilkan skrip tulisan Abdul Rahim Awang turut mempertaruhkan aktres tersohor tanah air, Fauziah Nawi, Jasmin Hamid, Shaheizy Sam, Delimawati, Remy Ishak dan ramai lagi.

Telemovie ini memparkan kisah seorang anak malang yang menghidap penyakit leukemia cuba menjejaki ibu kandungnya.

“Jalan cerita telemovie ini mungkin sesuatu yang biasa bagi sebilangan besar daripada kita. Namun, penekanan yang diberikan dalam cerita ini ialah bagaimana mesej disampaikan dan bagaimana audiens menerima mesej berkenaan,” kata penerbit itu lagi.

Noda Semalam juga jelas Fadzil, menghadiahkan penonton sisi lakonan Fauziah yang berbeza dengan pendekatan lakonannya sebelum ini.

Fadzil sedar ramai yang mempersoalkan kenapa Zeel Production terus menawarkan Fauziah watak yang stereotaip.

“Saya berani beri jaminan, lakonan Fauziah kali ini jauh berbeza daripada apa yang pernah kita tonton sebelum ini,” janji Fadzil kepada audiens mengenai lakonan Fauziah Nawi dalam Noda Semalam.

Noda Semalam jelas Fadzil, masih mengekalkan pendekatan drama yang berteraskan air mata kerana ia memenuhi kriteria penerbitan telemovie untuk slot Cerekarama.

Selain jalan cerita dan pelakon, Zeel Production juga ujar Fadzil sering menitikberatkan pemilihan pengarah untuk mengemudi sesebuah produksi.

Dan untuk Noda Semalam, pengarah Murali menjadi pilihan lantaran keyakinan Fadzil terhadap karisma sutradara itu.

Murali sebelum ini pernah memberikan sentuhannya pada telemovie Janji Seorang Anak juga terbitan Zeel Production.

“Saya menyenangi kerja Murali. Dia begitu teliti dalam segenap aspek penerbitan telemovie.

“Murali sentiasa memastikan semua kerja penerbitan dilakukan sehingga proses terakhir sebelum menyerahkan hasilnya kepada saya.

“Yang istimewanya, Murali juga sangat arif terhadap kerja-kerja penataan muzik. Ini memudahkan kerja-kerja produksi,” kata Fadzil merakamkan penghargaan pada pengarah itu.

Powered by Utusan Malaysia

Yuzwan Wahid (1956-2008): Lebih Berjaya Dalam Bisnes

4 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

SEHARI selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, kelmarin warga seni dikejutkan pula dengan berita kematian penerbit dan pengarah cukup aktif sekitar 90-an, Datuk Meswan Dol, 51 atau lebih dikenali dengan nama Yuzwan Wahid di kalangan orang filem.

Meswan disahkan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak tiga tahun lalu.

Menurut anaknya Mohd Hatta, 22 bapanya disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di hospital itu sepanjang tiga minggu lalu.

Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim, anak, Zariyatul Akma, 23; Mohd Helmi, 19 dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum bergelar penerbit dan pengarah, Meswan terlebih dulu menjadi pelakon dan pernah membintangi beberapa drama sekitar 80-an.

Pada 1993, di bawah produksi sendiri Daya Pentas Sdn Bhd (DPSB), Meswan menerbitkan dan mengarah filem pertama, Antara Gadis menampilkan pelakon popular waktu itu, Mas Anizan dan Zarina Zainuddin.

Walaupun filem sulung terbitan produksinya gagal di pawagam ia langsung tidak mematahkan semangat Meswan untuk menerbitkan filem kedua Sama Tak Serupa (STS) pada 1995.

Filem yang skripnya turut ditulis sendiri Meswan, menampilkan lebih ramai pelakon popular seperti Aznil Nawawi, Anne Ngasri, kumpulan Nico, Sasha, Jasmin Hamid dan Razzi Rahman. Selain itu DPSB pernah menghasilkan drama antaranya Geregai dan Kemelut.

Beberapa artis yang pernah bekerja dengan Meswan turut terkejut apabila terbaca berita disiarkan Harian Metro dan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

Pelakon, Zarina Zainuddin berkata selepas Allahyarham meninggalkan dunia perfileman mereka tidak lagi berhubung. Begitupun, katanya dia sering mengikuti perkembangan Meswan dalam dunia perniagaan dan politik.

“Sewaktu menjayakan filem Antara Gadis, selain menjadi pengarah dia turut berlakon. Setiap kali berbual, Allahyarham selalu bercerita mahu berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Waktu itu sebagai rakan, saya mahupun Mas Anizan selalu mengusik dengan mengatakan dia berangan besar, tetapi tidak sangka selepas itu apa yang dikatakan dikotakan. Perniagaannya benar-benar berkembang dan kerana sibuk dia terpaksa melupakan dunia perfileman.

“Namun, untuk berjaya dalam dunia hiburan terutama filem, sebenarnya dia tidak boleh senyap kerana orang akan lupa. Begitupun saya berasakan kecenderungan Allahyarham lebih kepada dunia perniagaan dan politik berbanding seni,” katanya.

Aznil Nawawi membintangi filem arahan Meswan, STS pula berkata sebagai penerbit, Allahyarham seorang yang sangat pemurah.

“Walaupun filem STS waktu itu tidak mendapat sambutan dan DPSB mengalami kerugian tetapi saya tetap mendapat bayaran penuh mengikut seperti apa yang dijanjikan.

“Satu lagi sikap Allahyarham yang saya cukup ingat adalah, dia suka menggembirakan hati orang. Mengambil contoh dia selalu membawa piza di lokasi semata-mata mahu melayan kerenah rakan pelakon lain, sedangkan waktu sama makanan sudah disediakan.

“Pada hari raya, pelakon filem STS turut menerima bonus. Padahal waktu itu filem belum lagi ditayangkan. Sebagai penerbit dia juga seorang yang peramah.

“Sekarang walaupun sudah bergelar Datuk dan tidak lagi aktif sebagai penerbit tetapi kalau bertemu di mana-mana, dia akan datang dan menegur saya dulu,” katanya.

Powered by Harian Metro

Jasmin Hamid Sah Bercerai

14 Feb

KUALA LUMPUR ῖ Dramatis terkenal, Jasmin Hamid disahkan bercerai talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 4 Februari lalu.

JASMIN dan Ian Rashid.

Menurut sumber, pengesahan perceraian itu adalah susulan permohonan cerai secara baik oleh Jasmin, 34, dan pasangannya Ian Rashid Macquistan, 35, yang dibuat pada hari yang sama.

Hakim Syarie, Tuan Dr. Mohd. Naim Mokhtar mengesahkan perceraian tersebut selepas Ian Rashid melafazkan cerai talak satu terhadap Jasmin di dalam mahkamah.

Terdahulu, pada 25 Januari lalu, Jasmin telah memfailkan cerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Bagaimanapun, dia telah menarik balik permohonan tersebut pada 30 Januari lalu dan dibenarkan oleh mahkamah keesokan harinya.

Bagaimanapun Jasmin yang terlibat dalam filem animasi Budak Lapok tidak dapat dihubungi berhubung perkara ini.

Mereka telah berkahwin pada 15 Disember 2000 dan hanya dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ian Haziq yang berumur kira-kira tujuh tahun.

Powered by Kosmo

Kepincangan Keluarga Dalam Bicara Aur Dengan Tebing

11 Sep

Menyayangi keluarga adalah nilai murni yang perlu dipupuk sejak kecil. Tanpa kasih sayang, institusi kekeluargaan menjadi pincang. Itu antara mesej drama bersiri terbaru, Bicara Aur Dengan Tebing terbitan Tenview Sdn. Bhd., yang mula bersiaran hari ini setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menerusi slot Sutera di RTM1.

Drama 13 episod ini mengisahkan kehidupan Mia (lakonan Rita Rudaini) dan Yeen (Jasmin Jamid), dua beradik perempuan yang dibesarkan oleh bapa tunggal, Omar yang bergantung hidup pada hasil menoreh getah. Mia mengalami masalah dyslexia yang menyebabkan dia tidak dapat menguasai pelajaran dan lembab dalam segala bidang. Kekurangannya itu membuatkan dia lebih disayangi ayahnya sehingga menyebabkan Yeen merasa dirinya disisihkan dan tidak diberi perhatian oleh ayahnya.

Yeen menjadi bertambah benci kepada Mia apabila Mia sering dijadikan bahan ejekan kanak-kanak sebaya kerana kelembapannya sehingga dia merasa menyesal menjadi kakak Mia.

Apabila meningkat remaja, Yeen yang belajar di sebuah universiti mula menjalinkan hubungan dengan seorang pemuda, Jinggo yang tidak disukai oleh ayahnya. Hubungan mereka diketahui oleh ayah dan bapa saudara Yeen (Pak Ngah) setelah Mia menceritakan segalanya. Ayah Yeen memaksa Jinggo mengahwini Yeen, tetapi Jinggo enggan dan menuduh Yeen yang cuba menggodanya. Yeen malu dan melarikan diri ke Kuala Lumpur menjadikan kebencian Yeen terhadap Mia semakin meluap-luap.

Yeen bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat pembinaan. Kecantikan dan kelincahan Yeen telah berjaya menarik perhatian seorang jurutera baru di situ, Razuan. Namun, Yeen tidak menyedari bahawa dia perlu bersaing dengan Dina, seorang jurutera kanan yang juga ingin merebut cinta Razuan. Kemenangan berpihak kepada Yeen apabila Razuan berhasrat memperisterikannya sementara Dina pula menyimpan dendam.

Yeen berbangga tinggal di rumah milik ibu bapa Razuan di sebuah kawasan perumahan mewah. Yeen yang menumpang kesenangan Razuan, menjadi lupa daratan dan mula berkawan dengan rakan-rakan yang setaraf dengannya sahaja.

Mia yang hidup terkontang-kanting di kampung selepas kematian ayah mereka, tidak diperdulikan Yeen sehinggalah Pak Ngah campur tangan mendesak Yeen membawa Mia tinggal bersamanya di bandar sekiranya dia ingin mewarisi tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya.

Sejak itu, bermulalah episod duka dalam hidup Mia yang malang. Yeen memperlakukan Mia seperti orang gaji. Kelembapan Mia sering menjadi punca kemarahan Yeen terhadapnya. Setiap kali balik dari pejabat, Yeen akan menjadikan Mia sebagai tempat melepaskan marah.

Dalam pada itu, Dina meneruskan agendanya membalas dendam terhadap Yeen sehingga akhirnya Yeen terpaksa meletak jawatan. Dina tidak berhenti setakat itu sahaja, dia dengan beraninya meminta Razuan memohon kepada mahkamah untuk berpoligami. Habuannya, Razuan mendapat saham yang diserahkan oleh Dina kepadanya. Razuan mula gelap dalam dunia materialistik ciptaan Dina.

Yeen terperangkap memandangkan dia kini tidak bekerja dan dia terpaksa menerima Dina sebagai madunya yang sah jika ingin terus hidup senang.

Tekanan emosi Yeen bertambah memuncak apabila dia mengetahui bahawa tiada satupun harta yang ditinggalkan ayahnya untuk dirinya. Sejak Yeen tidak mempedulikan keluarganya di kampung, ayahnya menyerahkan semua harta miliknya kepada Mia.

Kebencian Yeen terhadap Mia tidak dapat dibendung lagi apabila suatu malam dia mendapati suaminya cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap Mia. Yeen sebaliknya menuduh Mia sengaja menggoda suaminya. Yeen hilang pertimbangan sehingga sanggup membelasah Mia hingga separuh mati.

Pastikan anda menonton drama menyayat hati Bicara Aur Dengan Tebing mulai hari ini pukul 11.05 pagi menerusi slot Sutera di RTM1. Drama ini dilakonkan oleh Jasmin Hamid, Rita Rudaini, Wan Hanafi Su, Arash Mohammad, Aqasha dan ramai lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Mya Zara Drama Terbaru Samarinda

19 Jan

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Setelah hampir dua tahun menyiarkan slot Samarinda yang mendapat sambutan hangat daripada para penggemar drama bersiri televisyen, TV3 sekali lagi tampil dengan drama terbaru berjudul Mya Zara yang mula disiarkan setiap Selasa hingga Khamis pukul 10.30 malam.

Memandangkan slot Samarinda sentiasa mengumpul jumlah penonton yang tinggi, TV3 yakin Mya Zara juga mampu menarik minat penonton sama seperti drama-drama terdahulu.

Pengurus Besar Kumpulan Khidmat Jenama TV3, Farisha Pawanteh berkata, TV3 sentiasa mencari perubahan dalam setiap programnya.

“Kami yakin drama-drama begini mampu menarik sejumlah penonton yang ramai. Ini merupakan satu pemberian terbaik daripada TV3 untuk penggemar drama-drama Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Mya Zara di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mya Zara masih mengekalkan plot penceritaan kehidupan masyarakat Melayu dalam dunia korporat, pergolakan dan konflik keluarga di kalangan ahli-ahli perniagaan.

Drama terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dan diarahkan oleh Feroz Khan ini membawa penonton menghayati kepayahan hidup seorang gadis yang bernama Mya Zara.

Mya Zara yang berasal daripada sebuah keluarga yang mewah mengalami keperitan hidup akibat perbuatannya enggan berkahwin dengan lelaki pilihan ayahnya.

Dia dihalau dari rumah oleh ayahnya dan di sinilah bermulanya konflik dalam diri Mya Zara untuk mencari kekuatan diri dan berdikari dalam meneruskan kehidupan tanpa sokongan dan kekayaan keluarganya.

Berkat kegigihan dan semangat yang cekal akhirnya Mya Zara mampu membina empayar perniagaannya sendiri.

Drama hebat lakonan Eja, Azhar Sulaiman, Syukery Hashim, Azean Irdawaty, Jasmin Hamid dan Azizan Nin ini sedang ditayangkan di TV3.

Powered by Utusan Malaysia