Archive | June, 2006

‘Saya Memang Suka Jue’

28 Jun

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

Jue dan Jehan semakin mesra sejak terlibat dalam pementasan Bangsawan Naga Chini bulan lalu.

ARTIS dan gosip adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Biarpun kadangkala gosip itu amat memedihkan tetapi sebagai artis, mereka harus menghadapinya dengan bijak dan tenang.

Hari ini nama pelakon yang sedang meningkat naik, Jehan Miskin, berada pada carta teratas gosip dunia hiburan.

Kisah cinta tiga segi antara dirinya, Zuliana Abdul Azizi (Jue) dan aktor Ako Mustapha hangat diperkatakan sekarang.

Jehan dikatakan menjadi punca keretakan hubungan cinta Ako dan Jue.

Pementasan Bangsawan Naga Chini di Istana Budaya baru-baru ini dikatakan telah menjalinkan kemesraan yang begitu ketara antara Jehan dan Jue.

Gosip membelai rambut dan shopping bersama antara Jehan dan Jue heboh jadi bualan. Malah Jue, 23, telah membuat pengakuan hubungannya dengan Ako sudah berakhir.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Ejen 016 di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, Jehan dalam nada tegas memberitahu, dia agak kesal dan kecewa dengan gosip-gosip yang menimpa dirinya.

“Saya sudah malas nak terangkan apa yang berlaku. Kalau saya cakap benar, orang tetap cakap saya bersalah.

“Sebenarnya sewaktu kenal Jue, hubungan dia dan Ako sudah bermasalah. Tetapi kami bertiga memang berkawan baik. Semuanya berlaku tanpa dirancang,” kata Jehan membuka mulut.

Apabila ditanya status hubungannya dengan Jue, pelakon utama filem Qaisy & Laila itu bersikap jujur menceritakan senario sebenarnya.

“Saya dan Jue tidak bercinta tetapi berkawan rapat. Saya memang suka Jue dan sedang cuba mengenali hatinya.

“Kami kenal sejak tahun lepas. Hanya awal tahun ini kami berkawan rapat,” jelasnya.

Jehan juga menjelaskan hubungannya dengan Ako masih seperti dulu.

“Kami masih berkawan dan apa yang terjadi tidak akan mengubah apa-apa antara kami bertiga.

“Namun saya sedih dengan budaya orang kita yang sibuk hendak mengetahui hal orang lain.

“Mereka seolah-olah lebih mengetahui kisah kami dan tidak berasa malu mengambil tahu kisah peribadi orang lain,” kata Jehan meluahkan isi hatinya.

Mengambil contoh dirinya, Jehan berkata, dia sendiri mempunyai masa yang terhad untuk bercerita tentang hal peribadi orang lain.

Kata Jehan, banyak benda lain yang perlu difikirkan untuk dirinya dan keluarga demi masa depan.

Simpati dengan Jue

“Orang boleh jatuhkan hukuman ke atas saya tetapi ia tidak adil buat Jue. Berilah dia peluang bertapak dalam dunia seni kerana dia memiliki bakat yang besar.

“Masyarakat tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” pinta Jehan tanda sokongan kepada teman baiknya itu.

“Saya memang simpati dengan Jue,” tegas Jehan mengakhiri perbualan.

Utusan Malaysia

“Minta Maaflah Dengan Ikhlas” – Saleem

25 Jun

SALEEM.

Kecoh lagi. Gara-gara ‘mulut laser’ Adlin Aman Ramli, Akademi Fantasia 4 (AF4) yang seperti kurang menyengat kembali mendapat perhatian. Perang baru dalam industri hiburan bermula antara anak Allahyarham AR Tompel ini dan penyanyi lelaki anak Terengganu – Saleem.

Saleem ke AF4 diundang oleh Astro, tapi di pentas itu juga dia “dikenakan”. Adlin seperti biasa melalui kritikan pedasnya membuatkan Saleem terguris apabila berkata kepada salah seorang peserta AF4, “Nak jadi penyanyi jangan hisap dadah, jangan hisap ganja.”

Waktu itu Saleem baru saja selesai menyanyi di pentas berkenaan bersama Faisal, bintang baru yang bakal bersinar. Saleem bekas penagih dadah yang pernah dikenakan hukuman atas keterlanjuran masa lalunya wajar untuk ambil hati.

“Aku pun ada maruah juga. Janganlah main sindir-sindir aku macam tu masa satu Malaysia tengok rancangan tu,” kata Saleem yang hadir ke pejabat saya ditemani isteri dan anaknya.

Apa pun Adlin juga sudah menjalankan apa yang dikatakan sebagai ‘haknya’ sebagai pengkritik rancangan realiti itu. Kebetulan katanya, dia sedang berkempen ajak remaja jauhi dadah. Sebab itu dia tegaskan hal yang sama masa konsert AF4 minggu ketiga yang lalu.

Mungkin selepas kempen antidadah, Adlin bolehlah pula pakat-pakat ajak budak-budak AF kempen anti macam-macam gejala negatif lain termasuklah kempen berhenti merokok, minum arak, antipakai baju seksi (untuk perempuan) dan antiseks bebas juga. Boleh tak?

Saleem pun tahu marah? Apa yang buatkan Saleem marah sangat ni?

Tak puas hati, kenapa waktu engkau panggil aku untuk datang ke majlis engkau, sudah ada plan untuk aku? Mungkin sudah ada rancangan sebab tu panggil aku datang dan ‘bubuh’ aku di depan tu juga. Konsep saya mudah saja, kalau satu kali orang buat baik dengan saya, sepuluh kali saya buat baik dengan orang lain. Kalau orang kurang ajar sekali dengan saya, sepuluh kali saya kurang ajar dengan dia orang. Aku hormat kau kalau kau hormat aku. Dulu bolehlah buat dengan aku sebab aku banyak diam. Sekarang, sorrylah.

Saya difahamkan Adlin sudah minta maaf tapi Saleem masih tak puas hati kenapa?

Minta maaf macam tu semua orang boleh cakap. Buat salah sikit minta maaf, macam budak-budak. Tapi maaf tak terperinci, tak ‘seketul’ maaf dia tu. Kita hendak biar dia open, direct. Dia sebagai pengkritik di AF selalu cakap lepas dengan orang, dalam hal ni pun kena terbuka jugalah. Jangan buat sepintas lalu macam tu saja.

Maaf yang macam mana boleh menyejukkan perasaan Saleem?

Kita hendak biar dia cakap “Saya hendak minta maaf dengan Saleem sebab saya sudah buat dia tersinggung dengan kata-kata saya.” Saya nak macam tu. Dia yang mulakan dulu. Saya tak pernah kacau orang, tak pernah kacau dia tapi ini sudah melibatkan maruah. Bini saya kata ini maruah kita, jadi tak boleh dibiarkan. Saya terpaksa kena buat benda ini biar betul-betul selesai. Saya hendak biar dia jadi gentleman, bukan jadi batman. Kalau hendak minta maaf, buat betul-betul. Bukan sebab orang lain suruh.

Maksudnya maaf dengan ‘ikhlas?’

Ikhlas atau tak bukan hak kita, itu kerja Allah. Tapi biarlah betul-betul. Tutup semua hal ni dengan kemaafan yang sejujurnya. Satu Malaysia tahu dia buat hal dan biarlah satu Malaysia juga tahu yang dia juga tutup cerita ini. Kalau dia buat live di televisyen barulah saya tak fikir macam-macam lagi. Saya minta maaf dengan Saleem atas keterlanjuran kata-kata saya tempoh hari, baru puas hati saya. Kalau setakat dia kata minta maaf kepada “mereka-mereka yang tersinggung,” mereka-mereka tu siapa? Dia tu ke, dia ni ke? Biarlah betul-betul.

Antara marah dengan sedih mana yang lebih tepat hendak gambarkan perasaan Saleem?

Dua-dua sekali. Sedih ada, marah, bengang pun ada juga. Kenapa sebelum ini kau tak uar-uarkan kau ni tengah kempen banteras dadah, seks bebas ke, apa sajalah, bohsia ke. Kenapa sewaktu aku ada menyanyi di situ berduet dengan si Faisal tu kenapa kau baru cakap benda tu? Kalau cakap elok-elok tak apa. Kenapa jadi macam tu? Semua penonton dah faham mesti dia hendak tuju dekat seseorang. Jadi akulah yang menerimanya. Kenapa engkau buat kempen tu depan aku seorang saja? Kenapa masa tu? Sebelum ini tak adapun. Kenapa bukan masa lain, di lain episod yang aku tak ada ke? Maknanya engkau hendak malukan akulah tu sebab tu kau tunggu untuk cakap tu masa aku ada.

Mungkin gelaran ‘bekas penagih’ tu buat Saleem terasa sangat?

(Serius) Hei… kalau aku bersalah sekalipun, aku hisap dadah ke apa ke… aku dah terima hukuman setimpal tau. Dah lama aku duduk di Kajang tu. Aku dah terima hukuman aku melalui undang-undang, pihak berkuasa dah hukum aku. Sudah habis, settle dah. Apa lagi yang dia hendak gembar-gemburkan lagi. Seluruh dunia sudah tahu bahawa aku ini penagih. Aku hisap dadah. Tak payahlah kau hendak ulang- ulang, malukan aku macam tu di televisyen.

Kenapa Saleem cakap macam tu?

Sekarang ini aku bercakap demi maruah aku. Walaupun aku bekas penagih, tapi aku ada maruah. Masa lalu aku masa lalulah, tak payah hendak ungkit-ungkit lagi. Di mana letaknya budi bahasa engkau? Walaupun aku macam ini, engkau jangan pandang aku sebelah mata. Belakang aku, tepi aku ada lagi manusia, sahabat dekat dan penggemar aku, faham sajalah. Mereka pun boleh tersinggung juga. Ingatlah sikit. Bukan sahaja kau singgung aku, tapi keluarga aku, peminat aku dan rakyat negeri aku.

Mungkinkah Saleem menjadi begini sensitif kerana kata-kata macam itu dikeluarkan oleh rakan artis sendiri?

Memanglah aku rasa terhina. Terhina sangat-sangat. Walaupun kau pandang aku sebelah mata, tetapi engkau kena tengok bini aku juga. Bini aku tak sama macam aku, tak menagih macam aku. Dia manusia ‘okey’. Tak hisap rokok, tak apa. Cuma aku saja bekas penagih. Kita pun ada anak-anak. Masalah sekarang dia tak fikir macam tu. Saya manusia yang bernama Saleem tidak akan berpuas hati selagi kemaafan yang sebenarnya tidak dilontarkan daripada mulut dia sendiri.

Apakah ini bermakna pertemuan yang diatur oleh Astro itu sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan?

Itu mungkin datang sekadar untuk jaga periuk nasi dia saja. Saya ni pun fikir juga periuk nasi orang. Pergi sajalah bila Astro hendak buat pertemuan. Tapi sampai sekarang saya belum jumpa lagi benda yang boleh merawat hati saya sebab kes ini. Tak ada lagi.

Apakah Saleem anggap ini satu penghinaan yang paling teruk sepanjang kerjaya?

Ya, saya rasa macam itulah sebab rancangan secara langsung. Berapa juta orang yang tengok rancangan tu? Kalau dia hendak hina saya pun no hal. No problem. Saya hanya manusia biasa bukan maksum. Tapi dia pun kena ingat juga, dia tu siapa? Bagus sangat ke dia? Itu yang saya tak puas hati. Saya hendak tengok konsert Ahad ni, kalau betul dia minta maaf, saya okey. Saya akan ada di sana masa konsert nanti. Saya akan tunggu. Kalau tak… (ketawa sinis).

Kalau tidak?

Aku akan saman malu aku. Aku pun ada lawyer juga. Tak ada hal punya.

Gara-gara insiden ini, ada pihak yang minta supaya Adlin digugurkan dari menjadi pengkritik di AF4. Apa pendapat Saleem?

Saya tak nak minta macam itu. Tetapi biarlah hukum karma sendiri menentukan mana betul mana salah. Saya pun dengar maklum balas daripada penggemar AF sendiri mahu dia digugurkan terus. Sebab cara dia lantang sangat bercakap. Dia hendak tiru siapa? Roslan Aziz? Kau siapa hendak cakap macam tu? Lan (Roslan) boleh cakap lepas macam tu sebab dia memang bagus. Dia dari Berkeley, dia boleh kutuk orang macam itu macam ini. Tapi ini siapa? Kalau aku jadi pengkritik pun rasa-rasanya orang tak kisah sebab orang tahu aku siapa. Mungkin cara dia cakap dia hendak tunjuk dia bagus. Dari segi mana dia bagus? Kalau setakat tahu teori saja, praktikal tak tahu apa-apa tak payahlah. Saya rasa dia tak layaklah, banyak lagi orang berwibawa boleh jadi pengkritik. Saya pernah dikondem oleh M. Nasir, tetapi dengan penuh budi bahasa. Kita sakit hati juga, tapi sebab budi bahasa dia, kita boleh terima. Tak macam si Adlin ni, bercakap tah apa-apa.

Benarkah isteri Saleem, Julia pun meradang dengan insiden ini?

Isteri saya dia memang tak puas hati. Kalau boleh Julia hendak jumpa juga dengan Adlin, face to face. Tapi malam tu dia sendiri (Adlin) telefon saya. Lepas Astro meetinglah tu. Isteri saya suruh dia datang minta maaf sendiri secara peribadi, dia tak mahu. Takut ke apa, saya tak tahulah pula.

Apakah ada ruang perdamaian?

Saya sedia memaafkan manusia lain, asalkan dia ikhlas, bukan sebab orang lain yang suruh dia minta maaf.

MESEJ KHAS SALEEM UNTUK ADLIN

* “Aku difahamkan kau ni suka kontroversi, tapi takkan kontroversi macam ini yang kau nak?”

* “Aku hendak bagi tahu di sini, Lin, aku tak puas hati. Aku memang tak puas hati. Kalau aku sembahyang hajat, kau tengoklah macam mana. Aku ni kira dalam golongan orang teraniaya tau. Doa orang teraniayai ni Allah makbul sangat-sangat. Tapi aku ni tak zalim sampai macam tu. Kau jangan bimbanglah!”

Powered by Utusan Malaysia