Archive | Low Sook Yee RSS feed for this section

‘Saya Bukan Lagi Bintang’

3 Apr

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my


JIKA dulu dia tidak pernah terfikir kerja menggilap kasut, kini ia sudah menjadi rutin Diana (tengah) bersama para pelatih lain di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang.

SEPANG – “Saya tetap kena denda, malah dimarahi oleh jurulatih sama macam pelatih lain kalau buat salah. Saya bukan bintang di sini (Kem Princess Haliza).”

Demikian pengakuan pelakon cantik, Diana Danielle, 18, yang menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa status selebriti yang dimilikinya mendorong pengurusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memberi keistimewaan kepadanya selama latihan tiga bulan itu.

Diana mengakui dia sama seperti remaja lain, tiada layanan istimewa sejak dua minggu mengikuti latihan.

Pada satu ketika, dia terpaksa menerima hakikat dimarahi jurulatih kerana datang lambat ke sesi latihan.

Namun Diana yang terpilih sebagai Timbalan Penghulu Wirawati di kem itu, bersyukur kerana dapat mengadaptasikan suasana baru yang cukup menguji ketahanan mental dan fizikal dengan cepat.

Malah dia juga berjaya menangkis tanggapan mereka yang pada mulanya ragu-ragu untuk mendekatinya atas kepercayaan dia mungkin sombong.

Tetapi di sebalik latihan itu, badannya pula bertambah berisi.

“Dulu berat badan saya hanya 55 kilogram tapi setelah dua minggu di sini dah 60 kilogram, mana tidaknya, dalam sehari enam kali makan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau merindui bidang lakonannya, Diana menjawab: “Tak rindu langsung, saya sudah mula sesuaikan diri di sini dan setiap hari saya tak sabar nak lakukan aktiviti PLKN dan sanggup bangun 5 pagi.”

Juara One In A Million (OIAM), Suki atau Low Sook Yee, 20, dan finalis OIAM, Aliff atau Muhammad Aliff Mohd. Satar, 19, turut bangga menjadi pelatih PLKN.

“Bagi seorang artis, bangun seawal pagi bukanlah sesuatu yang biasa tetapi di PLKN, semuanya harus ditempuhi dan saya sememangnya sudah sedia mendisiplinkan diri,” kata Suki.

Bagi Aliff, dia juga sangat teruja dengan semua modul yang disediakan dan tidak sabar-sabar untuk menjalani latihan menembak.

Kesemuanya dijangka menamatkan siri latihan pada 8 Jun ini.

Kosmo

Harmoni Raya

1 Oct

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Nurulhisham Abdul Latiff dan Zaidi Mohamad

Berbeza agama dan bidang tetapi Aidilfitri satukan lapan selebriti

SEBULAN berpuasa menahan lapar dan dahaga, Syawal kembali bertandang. Membawa seribu keberkatan dan rahmat, sebagai lambang kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan godaan dan cabaran.

Sepuluh jari disusun, memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Terlanjur bicara, terkhilaf perbuatan Aidilfitri membentangkan ruang untuk menyuci dosa, mengerat semula jalinan kemesraan serta ukhuwah sesama insan.

Aidilfitri juga menyatukan lapan selebriti yang menghiasi laman Hip kali ini. Berbeza agama dan bidang, namun mereka bernyawa di bawah satu nafas seni. Aidilfitri mengerat persahabatan antara mereka, menyuburkan silaturahim kerana pada hari biasa, mereka jarang bertemu.

Tuntutan karier yang berbeza menjarakkan mereka, namun Syawal menemukan lapan selebriti ini untuk meraikan hari kemenangan bersama.

Lahir daripada keluarga berbeza latar, Aidilfitri bagi mereka membawa maksud yang satu – bermaafan dan saling mengunjungi. Mengerat semula hubungan yang selama ini terpisah dek tuntutan kerjaya.


QUE HAIDAR dan Mark merebus ketupat sambil diperhatikan Mahesh.

Terlalu banyak yang dikongsi Misha Omar, Que Haidar, Nabila Huda, Winnie K, Suki, Mark, Ainul Aishah dan Mahesh Jugal Kishor ketika sesi fotografi yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur ini.

Gurau senda melatari pertemuan ini, menterjemahkan betapa Syawal menghadiahkan suasana harmoni sekali gus membangkitkan penyatuan bangsa Malaysia di bawah langit seni.

Bagaikan tidak percaya, juara One In A Million (OIAM) musim pertama, Low Sook Yee atau mesra disapa Suki begitu mahir menganyam ketupat. Helaian daun kelapa yang awalnya tadi tidak berusik, berubah wajah apabila penyanyi yang sedang popular dengan lagu Usah itu mempamerkan kemahiran.

“Sejak 10 tahun saya sudah biasa membantu ibu membuat dekorasi termasuk hiasan ketupat kerana ibu membuka kedai bunga di Seremban,” kata Suki yang pulang ke kampungnya di Seremban untuk berhari raya bersama temannya yang beragama Islam.


WINNIE K, Misha Omar, Ainul Aishah, Nabila dan Suki begitu teruja menjayakan sesi fotografi sempena raya.

Misha yang hanya tersipu melihat kebolehan Suki, awal-awal lagi sudah mengangkat tangan menyerah kalah. Akui gadis yang menyambut 1 Syawal di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, dia memang tidak cekap mengendalikan kerja dapur.

Memilih warna ungu sedondon satu keluarga, Misha berkata, Aidilfitri kali ini cukup bermakna apatah lagi diraikan bersama anak kesayangan, Muhammad Adam Emir yang kini menjangkau usia dua tahun.

“Saya selesa bersederhana, cukuplah pakai apa yang ada kerana persiapan raya lebih diutamakan kepada anak. Sejak Jun saya sudah membuat sedikit demi sedikit persiapan. Senang siap awal supaya tidak terkocoh-kocoh pada saat akhir,” katanya.

Nabila pula berusaha membuktikan kebolehannya menganyam ketupat sebaik mungkin biarpun hasilnya tidak sekemas sentuhan Suki.

Dalam kehangatan menyambut lebaran, gadis berkarakter ini diselubungi debaran untuk melangkah ke fasa baru kehidupan. Tanggal 2 Disember ini, Nabila bakal bergelar isteri kepada Zaidy Zailani atau Edy.

“Persiapan kahwin kebanyakannya diuruskan ibu tiri, Norish, manakala saya lebih menumpukan perhatian kepada majlis pertunangan dan pernikahan,” kata Nabila yang mengacarakan Hits 1 Raya pada Syawal keempat ini.

Anak kepada rocker tersohor, Amy Search ini bakal menyambut hari raya bersama keluarganya di tiga lokasi berbeza iaitu Klang, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Meskipun tidak menganut Islam, kemeriahan sambutan 1 Syawal tetap dirasai penyanyi yang sedang meledak dengan lagu Kau Ada Di Mana, Winnie K.

Sebagai rakyat Malaysia, Winnie bangga dapat meraikan hari bermakna itu bersama teman beragama Islam. Lebih menyeronokkan Winnie, jumlah teman beragama Islamnya semakin bertambah sejak merakamkan album Melayu.

“Saya paling menggemari kuih tradisional yang manis seperti kuih bahulu. Entah kenapa selera saya lebih tertarik kepada kuih tradisional berbanding biskut moden.

“Saya juga seronok berkunjung ke rumah teman dan suasana itu menyemarakkan lagi kehangatan hari raya yang penuh dengan suasana ceria,” kata Winnie yang turut melebarkan empayar seninya di negara jiran, Indonesia.

Pelakon baru yang sedang mencipta nama, Ainul Aishah pula memilih untuk mengunjungi saudara mara di Pulau Pinang dan Kedah sebagai destinasi berhari raya. Peluang itu jarang diperoleh pelakon yang pernah menghiasi filem seperti Nana Tanjung dan drama, Anak Mami sejak mempunyai karier sendiri.

Kata Ainul, raya inilah peluang terbaik untuk terus mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan sanak saudara.

“Paling seronok dapat bertemu semula anak buah yang sebelum ini jarang ditemui kerana terikat dengan kerja. Walaupun tidak banyak, saya tetap memperuntukkan sedikit bajet duit raya untuk dihulurkan kepada kanak-kanak,” katanya.

Menggemari lontong dan ayam masak merah, Ainul kini menaungi DZMS Modeling Agency untuk menguruskan aktiviti seninya selepas dibebaskan Line Clear.

Bagi tiga jejaka, Que, Mahesh dan Mark, ketibaan Syawal lebih berupa detik untuk mereka mengeratkan silaturahim sesama insan. Que yang pulang beraya di Kulai, Johor, menganggap minggu pertama Syawal saat terbaik untuk merapatkan semula ikatan kekeluargaan, selepas setahun tidak bersua muka bersama sebahagian daripada saudara-mara.

Manakala Mahesh yang pertama kali beraya sebagai pelakon, biarpun tidak menyambut Aidilfitri, namun dia tidak asing dengan perayaan ini. Apatah lagi, sebahagian rakannya terdiri daripada orang Melayu. Cuma, pergaulannya dengan artis Melayu kian meluas sebaik saja dia menjayakan filem Talentime arahan Yasmin Ahmad.

Pada sesi fotografi ini sendiri, Mahesh tidak kekok melayan artis lebih senior, termasuk Ainul yang kelihatan cukup mesra di sampingnya.

Aidilfitri tahun ini pula membawa erti besar buat seorang lagi peserta OIAM, Mark, kerana kali ini dia menyambutnya sebagai seorang Muslim. Lebih-lebih lagi, setelah dia berjaya berpuasa selama sebulan seperti rakan Islam yang lain.

Tajaan lokasi: Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay (www.serimelayu.com)

Penghargaan: Penolong Pengurus – Pemasaran, Pengiklanan & Promosi Restoran Seri Melayu, Noorulazwaliza Noh

Solekan: Chomel (012-2259616) untuk Misha Omar dan Bosco (016-6091614) – Nabila Huda

Pakaian: Bill Keith (Suki) dan Syaiful Baharim (Misha Omar)

Berita Harian

Suki Klon Miley Cyrus?

9 Jul

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


SAYA tak tiru Hannah Tan tau.

SEKALI pandang wajahnya persis Hannah Tan. Dengan rambut panjang mengurai berwarna perang, imejnya jauh berbeza berbanding di awal kemunculan menjadi juara One In A Million (OIAM).

Low Sook Yee atau Suki kini tampak lebih matang dan yakin. Seolah-olah dia menunjukkan dirinya tahu dengan apa yang diinginkan dalam karier seninya.

Bimbang disalah tafsir mengenai imej barunya itu, seperti tahu dengan apa yang ingin ditanya, pantas sahaja Suki berkata: “Saya tak tiru Hannah Tan tau. Ini semua secara kebetulan.

“Monkey Bone (syarikat rakaman) menyediakan seorang perunding imej yang bertauliah untuk memberikan tunjuk ajar dan latihan penjagaan serta gaya bagi imej terbaru saya.

“Lagipun saya mahu tonjolkan diri saya yang sebenar. Inilah saya, gadis berambut perang yang ‘sporty’. Saya rasa saya telah mencapai satu peringkat lain sebagai seorang artis. “

Personalitinya ternyata berbeza. Bukan ke arah keburukan, tetapi lihatlah, penyanyi ini petah berbicara ketika ditemubual selepas pelancaran album, pertamanya, Finally/Akhirnya dan langsung tidak menunjukkan seperti ‘budak lepas sekolah’.


BERDUET dengan orang kuat Monkey Bone, Ahmad Izham.

Namun selepas mendengar beberapa lagu-lagu barunya seperti Don’t, Ku Teruskan, Rock With Me dan Tak Pernah Berubah, sekali lagi Suki disamakan pula dengan penyanyi popular Miley Cyrus.

Rentak melodinya persis penyanyi remaja popular itu. Mungkin kerana genre yang dibawakan Suki, lagu mereka kelihatan lebih kurang sama.

Ditanya mengenai lagu-lagunya yang banyak persamaan antaranya dan Miley, gadis kelahiran Negeri Sembilan ini tidak melatah. Malah dia bangga disamakan dengan selebriti popular itu.

“Album saya bergenre pop rock dan sama juga dengan Miley. Mungkin sebab kami membawa muzik yang sama dan lebih kepada muzik dance, menyebabkan saya disamakan dengannya.

“Apa pun, saya suka kalau disamakan dengan Miley. Bukan senang untuk disamakan dengan artis-artis hebat Hollywood,” tuturnya berterus terang.

Cipta lagu sendiri

Penantian selama 18 bulan untuk menyiapkan album bukanlah satu jangka masa yang pendek. Dan kerana itu, albumnya diberi nama Finally/Akhirnya.


SUKI mahu berjaya dalam seni dan pelajaran.

Jangka masa itu digunakan sebaik yang mungkin. Bukan sekadar rakaman studio semata-mata, Suki juga diaturkan untuk menghadiri pelbagai kelas seperti vokal, komunikasi dan tarian.

“Memang jangka masa untuk menyiapkan album ini sangat panjang. Bukannya apa, cuma saya mahu ‘produk’ ini yang terbaik dan berkualiti tinggi. Biarlah lambat, asalkan hasilnya puas.

“Selain itu juga, pelbagai kelas intensif yang harus saya ikuti. Lebih-lebih lagi, lagu-lagu saya banyak memerlukan tarian dan sebab itulah saya perlu membuat latihan dan juga latihan kecerdasan di gim agar tidak penat ketika menyanyi,” ujarnya.

Uniknya dalam album ini, Suki menggunakan khidmat penerbit yang masing-masing mempunyai sentuhan tersendiri seperti Anton Morgan, Audi Mok, Greg Henderson, Kieren Kuek, Luke Mason, Nine Ruffedge, Paul Moss dan Zaf VE.

Menarik lagi, Suki tidak melepaskan pembikinan album 100 peratus kepada penerbitnya sahaja. Malah dia diberi peluang untuk mencipta lagunya sendiri iaitu Hidup Ini.

“Pada mulanya saya mahu jadikan ia sebuah lagu Inggeris tetapi Ahmad Izham (Pengarah Urusan Monkey Bone) mencadangkan agar ia dikekalkan sebagai lagu Bahasa Melayu.

“Selain itu saya juga merupakan penulis lirik bersama untuk lagu Tak Sama dan Ku Teruskan.

“Semua ini kerana Ahmad Izham, yang memberi kebenaran kepada saya untuk melibatkan diri dalam pembikinan keseluruhan album pertama saya,” tuturnya.

Tetap akan sambung belajar

Biarpun giat menyusun masa depannya dalam bidang seni, gadis ini tidak pernah pun lupa tentang perancangan membina kehidupan peribadinya dengan sempurna.


TURUT berbakat sebagai penulis lirik.

Setelah tamat sekolah menengah, Suki terpaksa menumpukan perhatian untuk kerjaya seninya yang masih lagi mentah. Namun, perkataan pelajaran, tidak pernah dilupakan langsung.

“Saya memang mempunyai keinginan ini, tetapi sentiasa sibuk dengan karier seni saya.

“Lagipun, takkan saya nak biarkan peluang terlepas dengan begitu sahaja. Ditambah pula pihak Monkey Bone telah mengaturkan segala perjalanan seni saya. Sudah tentu saya tidak akan mengecilkan hati mereka.

“Saya suka belajar dan juga sayangkan kerjaya saya. Jadi buat masa ini biarlah saya fokus pada kerjaya saya dulu dan akan meneruskan pengajian bila berpeluang berbuat demikian.” kata Suki bersungguh-sungguh.

Teringin ke dunia lakonan

Selepas menempa kejayaan dalam sesuatu bidang, biasanya seseorang artis pasti akan terjun ke bidang lain pula untuk mengembangkan sayap bakatnya.

Sama juga dengan Suki. Dia sebenarnya mempunyai impian untuk bergelar pelakon suatu hari ini.

“Saya bukannya tamak. Cuma gemar mencuba benda yang baru. Tetapi buat sementara ini, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam nyanyian dahulu.

“Kemudian, saya harap akan mendapat peluang untuk cuba ke bidang lakonan pula. Dan juga diberi peluang oleh Monkey Bone untuk saya menghadiri kelas-kelas lakonan tidak lama lagi,” jelasnya.

Kosmo