Archive | Serina Redzuawan RSS feed for this section

Nekad Jadi Peguam

11 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


Lisa Surihani

Lisa Surihani akui bukan perkara mudah bahagi masa untuk belajar, pelakon

BUKAN mudah untuk dia memikul dua kerja pada satu masa. Namun kerana minat yang begitu menebal, dia nekad untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang – perundangan dan lakonan – sekali gus.

Pada ketika dia mengikuti kurus Sijil Amalan Guaman (CLP) yang akan tamat Julai nanti, Lisa Surihani juga aktif di persada lakonan. Satu demi satu, filem mahupun drama televisyen yang dijayakannya. Walaupun mengaku agak sukar untuk membahagikan waktu, dia gagahi juga demi keinginan besar yang ada dalam dirinya.

“Saya tidak mengambil kursus CLP di United Kingdom selepas menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Aberystwyth, Wales. Justeru, kursus berkenaan saya ikuti di Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu. Pada masa yang sama, saya juga banyak dihujani tawaran berlakon filem ataupun drama televisyen.

“Jika boleh, saya mahu cemerlang dalam kedua-dua bidang itu. Lakonan yang saya hanya cuba-cuba pada peringkat awal dulu, kini dilihat mampu memberikan kepuasan yang bukan sedikit. Saya sudah didedahkan pada dunia komersial sejak berusia 11 tahun.

“Undang-undang pula sudah menjadi minat saya sejak di bangku sekolah menengah. Mungkin saya akan kembali ke bidang guaman suatu masa nanti,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem Ponti Anak Remaja, di Kepong, baru-baru ini.


BERSAMA lima pelakon muda yang turut menjayakan telefilem Ponti Anak Remaja.

Baginya, selagi khidmatnya sebagai pelakon diperlukan, sudah tentu dia tidak keberatan untuk bergerak cergas dalam bidang berkenaan. Bagaimanapun, dengan ilmu perundangan serta sijil yang bakal diperoleh nanti, Lisa tidak teragak-agak untuk menjadi peguam sepenuh masa apabila permintaan untuknya bergelar pelakon sudah tidak sekencang mana.

Atas alasan itu dia tetap mahu menamatkan kursus CLP diikutinya ketika ini, bagi memastikan masa depannya lebih terjamin. Siapa yang mampu menduga, andainya Lisa bakal bergelar pemilik firma guaman sendiri, sebagaimana arwah bapanya, Mohmed Mahbob.

“Saya akui berdepan sedikit kesukaran untuk membahagikan masa sebaik-baiknya antara lakonan dan kursus saya ikuti saat ini. Kedua-duanya pula bukan perkara yang boleh dibuat main-main saja kerana masing-masing memerlukan tumpuan yang sepenuhnya,” ujar gadis manis berusia 23 tahun ini.

Semakin ligat di lokasi


LIYANA JASMAY (kiri) dan Dira, yang turut membintangi Ponti Anak Remaja.

SELEPAS menamatkan penggambaran drama bersiri Obsesi untuk slot Samarinda siaran TV3, pelakon cantik ini terus turun ke lokasi sebuah filem bercorak aksi penyiasatan berjudul Cyber X – Ancaman Penggodam, pada Oktober lalu.

Diterbitkan Pentas Opera dan diarahkan Amith Abidin, filem itu turut dilakonkan Razali Hussin, Serina Redzuawan, Datuk Jalaludin Hassan dan Feroz Khan.

Pada November dan Disember lalu pula, dia buat pertama kalinya melakonkan watak penjahat dalam filem komedi Jangan Pandang Belakang Congkak, bersama-sama kumpulan Senario. Filem yang diarahkan Ahmad Idham terbitan Metrowealth Movies Production itu menjalani penggambaran di Perlis.

Kemudian, Lisa mengikuti pula penggambaran sebuah lagi filem aksi, Remp-It V3 yang menyaksikan pelakon Farid Kamil bergelar pengarah buat julung kali. Filem terbabit menamatkan penggambaran pada akhir Januari.

Belum hilang penat di lokasi Remp-It V3, Lisa bergegas pula ke lokasi telefilem arahan Feroz Khan, Mataku Nampak Hantu. Diterbitkan sekali lagi oleh Metrowealth, telefilem berkenaan adalah untuk siaran Astro.

Selesai saja penggambaran telefilem itu, pelakon muda ini menjayakan pula sebuah lagi telefilem, kali ini arahan Ghaz, terbitan The Media Hustler, berjudul Ponti Anak Remaja. Bersama-samanya membintangi telefilem terbitan Nizam Zakaria itu ialah Liyana Jasmay, Farish Aziz, Hairul Azreen, Ammar Alfian Aziz dan Dira Abu Zahar.

Biarpun projek demi projek dijayakannya, Lisa berkata, setiap watak yang diberikan kepadanya amat berbeza. Seandainya dia menjadi seorang wanita jahat dalam Jangan Pandang Belakang Congkak iaitu sebagai pembantu seorang bomoh (lakonan Piee), dalam Remp-It V3, dia muncul sebagai Kamsah, rakan kepada lelaki jahat, Garing (Aqasha).

“Bagi filem ini, saya perlu menyiapkan diri secara fizikal dan mental. Mereka menyediakan seorang jurulatih bernama Ruben sebagai persediaan. Maklumlah, ada adegan yang memerlukan saya membelasah pelakon lain iaitu Farid dan Bront Palarae. Hendak melakonkan watak itu bukannya mudah kerana saya perlu meyakinkan penonton yang saya benar-benar membelasah mereka, menggunakan helah kamera,”ῠkatanya.

Jadi, Lisa terpaksa mempelajari teknik bertumbuk dengan betul, supaya pelakon yang dibelasahnya tidak tercedera, tetapi pada pandangan penonton, pergaduhan itu nampak benar.

Dalam Mataku Nampak Hantu pula, Lisa memegang watak seorang perempuan yang kasar kelakuannya, tetapi bukanlah tomboy.

“Perlakuan itu ada kalanya terbawa-bawa hingga ke luar drama, sehingga saya terpaksa membuang tabiat berkenaan sebelum memulakan penggambaran telefilem seterusnya,” cerita Lisa mengenai drama mengisahkan seorang wanita yang tidak menyedari, dirinya mempunyai keupayaan untuk melihat roh, dan kemudian membantu roh terbabit menunaikan hajat mereka.

Menyentuh mengenai telefilem Ponti Anak Remaja pula, Lisa yang memegang watak Murni berkata, dia diberikan peranan seorang pelajar yang lebih suka menghabiskan masa bersama buku pelajaran.

“Watak itu sebenarnya tidak jauh daripada diri saya yang sebenar. Satu ketika dulu saya pernah memakai kaca mata sewaktu bersekolah,” kata Lisa yang menganggap peluang bekerjasama bersama Ghaz dan Nizam umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

Begitu juga dia teringin sekali beraksi di samping pelakon remaja, Liyana Jasmay, yang dilihatnya antara pelakon pelapis cukup berbakat ketika ini. Justeru, peluang diberikan rumah produksi terbabit tidak dipersiakan olehnya.

Dalam telefilem itu, Lisa bersama Farish dan Hairul berlakon sebagai tiga pelajar kolej yang ditugaskan menjalankan sebuah uji kaji, yang membawa mereka bertemu seorang gadis misteri, Ponti (Liyana).

Memulakan penggambaran pada 23 Januari, telefilem yang akan disiarkan Astro Ria pada 13 Mac itu tamat rakamannya 10 hari kemudian.

Berita Harian

Siri Baru Roda-Roda KLdi RTM2

19 Sep

DRAMA-DRAMA terbitan syarikat produksi, Skop Production Sdn. Bhd. sememangnya tidak pernah menghampakan penonton terutama melibatkan drama polis.

Terbaru, syarikat berkenaan menerbitkan Roda-Roda KL yang mengangkat usaha murni anggota polis trafik dalam menggalas tugasan seharian mereka.

Menyedari, minat penonton terhadap drama-drama berkenaan, RTM menerusi RTM2 mengambil inisiatif menyiarkan Roda-Roda KL pada setiap hari Selasa, pukul 10.00 malam.

Setiap minggu drama itu mengetengahkan episod-episod berbeza menerusi tajuk Pelumba Malam, Taktik, Semangat Perwira, Integriti dan Liku-Liku Jalanan serta lain-lain.

Penerbitan drama ini pastinya mencetuskan kesedaran dan pengajaran berguna kepada penonton seperti isu lumba haram yang semakin berleluasa di kalangan remaja.

Roda-Roda KL menerusi tajuk Pelumba Malam misalnya, mengisahkan Remy terkenal sebagai pelumba motosikal di sekitar Kuala Lumpur yang di anjurkan oleh Tauke Lim dan Zack.

Pasukan Trafik mendapat maklumat mengenai perlumbaan haram yang rancak diadakan hampir setiap minggu dan mereka giat mencari maklumat dan menjalankan operasi.

Sementara itu, Remy dicabar oleh Malik, pelumba yang memang digeruni satu masa dulu.

Dalam pada itu Kopral Kamarul dan L/Kpl Rina ditugaskan membuat undercover bagi mengesan dalang perlumbaan haram lalu menyamar sebagai mat rempit untuk menumpaskan geng itu.

Sementara itu, menerusi tajuk Taktik pula, ia mengupas kes geng perompak menggunakan taktik dengan melanggar belakang kereta mangsa kemudian menyamun dan melarikan kereta mangsa.

Menerusi episod Liku-Liku Jalanan, Roda-Roda KL memaparkan kisah tugas anggota trafik yang bukan sekadar mengawal lalu lintas, sebaliknya, mereka juga memikul tanggungjawab yang lebih besar termasuk kerenah dan rungutan daripada orang awam dan juga ketika berurusan dengan golongan elit dan orang atasan.

Roda-Roda KL menampilkan pelakon-pelakon seperti Serina Redzuawan, Zack Kool, Suhaiza Suhaimi, Husain Hashim dan Aisyah Atan.

Roda-Roda KL ditayangkan di RTM2 pada setiap hari Selasa pukul 10.00 malam.

Utusan Malaysia

Kisah Artis Di Bazar Ramadan

13 Sep

BULAN Ramadan yang mulia ini datangnya hanya sekali saja dalam setahun. Pastinya ia amat dinanti-nanti oleh umat Islam termasuklah para artis kita.

Kebanyakan daripada mereka mengambil inisiatif bulan Ramadan untuk merehatkan diri dan mengurangkan segala aktiviti seni untuk memberi lebih tumpuan pada ibadah puasa ini.

Bagaimanapun, bagi artis yang memiliki kepakaran memasak, bulan puasa merupakan bulan untuk mencari duit poket tambahan, apabila mereka turut serta sebagai penjual di tapak bazar Ramadan.

Sambutannya, jangan cakaplah. Kalau mereka itu artis terkenal pastinya makanan yang dijual itu laku bak goreng pisang panas, terutamanya sambutan daripada peminat mereka sendiri. Apatah lagi kalau makanan tu sedap dan menyelerakan. Berbaloi peminat berbaris panjang sekalipun.

Ini tidak secara langsung membuktikan para artis kita pun punya daya keusahawanan yang cukup bagus, dan ada antara mereka yang saban tahun akan membuka gerai di bazar Ramadan, kata mereka rezeki tambahan.

Tahun ini antara artis kita yang sibuk berniaga ialah Serina Redzuawan, Nadia AF6, Shamsul Ghau-Ghau, Rosnah Mat Aris, dan Nadia Mustafar. Itu Yati baru menyebut beberapa nama, sebenarnya ramai lagi artis kita yang sibuk berniaga.

Okey kita lihat apa pendapat pembaca Kosmo! tentang artis dan bazar Ramadan ini.

Saya pernah nampak beberapa artis berniaga. Memang ada bezanya sebab kedai artis pastinya dikerumuni ramai peminat. Tabik buat mereka

yang walaupun sibuk dengan pelanggan, tetap kekalkan penampilan dan ramah melayan peminat, itu yang seronok tu.AIDA MUHAMAD,
PUCHONG, SELANGOR
aidaberdesup@yahoo.com.

Bagi saya, bulan Ramadan ini memberi lebih rezeki kepada kita semua. Artis yang sibuk berniaga nampaknya mereka sedar, banyak lagi cabang untuk memperolehi rezeki. Mana tahu kalau sudah tidak popular nanti mereka akan membuka kedai makan pula.
SHAMSUL JAMIL,
SUNGAI BULOH, SELANGOR
haydensyam@yahoo.com

BULAN puasa ini artis pun nak tambah duit untuk raya, sebab perbelanjaan mereka mungkin lagi besar. Berniaga di bazar ini cukup bagus kerana mereka tidak malu untuk sama-sama berniaga dengan orang biasa.
WAN AHMAD DASUKI,
PETALING JAYA, SELANGOR
d.4s_cr3w@yahoo.com.

Hai, saya rasa peluang artis berniaga sempena bulan yang mulia adalah sesuatu yang amat bagus sekali. Selain mencari rezeki yang halal, secara tidak langsung peminat dapat berjumpa secara terbuka dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat lagi.
IDREES,
KUALA LUMPUR
idreesiss@gmail. com.

Kosmo

Bukan Dejavu Cetus Pelbagai Emosi

13 Jul

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Foto ZAKARIA IDRIS


PELBAGAI pergolakan jiwa dipaparkan sama ada kisah duka ataupun lucu.

HASIL karya asal Ismail Kassan ini ternyata memberi impak besar kepada penonton dalam merungkai masalah keluarga dan sosial yang sering kali dialami oleh masyarakat.

Bukan Dejavu arahan Siti Rohayah Attan ini antara teater bertemakan isu padat dengan kisah berat dan menampilkan barisan pelakon yang tidak pernah menghampakan penonton.

Tidak dinafikan, dia bukan sahaja menghiburkan dengan unsur lucu tetapi mampu membuatkan penonton menitis air mata.

Kehadiran Parjo dan teman-temannya yang lucu dengan peluang ruang lakon yang lebih luas akan pasti menghiburkan penonton sambil menyaring banyak pelajaran dan pengajaran.

Bagaimana Parjo dan teman-temannya agak kelam-kabut mengendalikan seekor kambing yang akan disembelih untuk dibuat kenduri.

Tentunya kehadiran kambing sebagai salah satu prob pementasan mengundang tanda tanya penonton.

Tidak ketinggalan, penderitaan jiwa seorang wanita akibat kebuasan sikap manusia mampu melahirkan kedukaan jiwa.

Penderitaan lahir dan batin ini ditampilkan dengan sangat berkesan oleh watak Jamiliah.

Pastinya, air mata penonton akan lahir untuk rasa simpati mereka kepada Jamiliah. Rasa simpati dan empati inilah yang ingin dicetuskan agar segala bentuk masalah sosial ini menyedarkan sekali lalu mendidik masyarakat sesuai dengan hasrat pemimpin negara ini mahu rakyat membentuk keluarga yang penyayang.

Tidak kurang menariknya, kisah dua pendatang Indonesia yang hidup dibelenggu kemiskinan, Narti dan Yanto yang merindui kampung halaman sekalipun sudah sepuluh tahun merantau di negara ini antara tema kemasyarakatan menarik yang diangkat dalam teater ini.

Cerita ini cukup realistik dengan kehidupan manusia pada hari ini.

Tema yang diketengahkan berjaya menyuntik pelbagai perasaan dan kesedaran tentang bahana isu GRO, haruan makan anak sehingga hubungan anak dan ibunya sendiri.

Isu-isu ini bukan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat malah tidak pernah tenggelam tetapi satu penyelesaian perlu dilakukan untuk membenamkan isu ini.

Nyata, produksi teater ini cukup beruntung dalam menerokai permasalahan masyarakat ini dengan mengetengahkan pelakon-pelakon yang rata-ratanya berpengalaman dan berwibawa.

Misalnya, lakonan berkesan dari Norish Karman yang membawa watak perempuan GRO bernama Nora ternyata hampir sempurna dengan aksi yang kelihatan tiada salah walaupun masih ada kesalahan dialog yang tidak ketara. Watak seorang ibu yang disingkir anak sendiri cukup berkesan dengan mainan emosi.

Pergolakan anak dan ibu ternyata antara babak yang mampu membuatkan penonton tersedu dan mengalirkan air mata.

Kehadiran pelakon, Safura antara watak wanita yang melengkapi keseluruhan teater ini.

Watak Safura sebagai Ustazah Salmi antara perubahan baru sepanjang kariernya.

Dengan nada lembut dan bertudung litup merupakan sesuai untuk dirinya yang lemah gemalai itu.

Kejutan lakonan watak antagonis oleh Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Tahir yang merogol anak sendiri sehingga mengandung antara babak yang penuh debaran.

Keseluruhannya, teater ini berjaya menampilkan pelbagai pengajaran dan teladan untuk masyarakat di samping cetusan pelbagai emosi.

Dialog-dialog dalam naskhah ini padat dengan falsafah dan pengajaran walaupun disampaikan dengan cara yang lucu dan bersahaja. Penonton akan ketawa tetapi sebenarnya mereka mentertawakan diri dan juga pernah mereka lakukan sendiri. Sekurang-kurangnya itulah perlakuan yang juga pernah mereka lakukan sama ada secara sedar atau tidak.

Mendidik dalam konteks cerita ini adalah bersantai sambil gembira tetapi tersindir dalam ketawa.

Justeru, berdasarkan pencapaian cemerlangnya sejak dipentaskan pada 1999, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Badan Budaya DBP serta Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), karya Dejavu terus mendapat sambutan.

Hasilnya, pementasan sekuelnya pula berjudul Bukan Dejavu di DBP, Kuala Lumpur pada 9 hingga 13 Julai pasti menjanjikan sesuatu yang hebat.

Naskhah Bukan Dejavu adalah sambungan daripada Dejavu karya penulis yang sama dipilih sebagai Persembahan Teater Perdana DBP tahun ini.

Jika skrip Dejavu pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2004, Bukan Dejavu pula adalah pemenang hadiah pertama Pertandingan Menulis Skrip 50 Tahun DBP, tahun lalu.

Mengimbas sejarah naskhah ini, Dejavu pernah dipentaskan dan diarahkan oleh Siti Rohayah Attan sebanyak tiga kali. Kali pertama dipentaskan dengan menggunakan judul Dejavu Seorang Perempuan pada 23 hingga 30 Oktober 1999 di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Kuala Lumpur. Antara pelakonnya, Erma Fatima, Aida Aris, Aida Rahim, Norzizi Zulkifli, Shukor Yon dan M. Redzuan Deen.

Kali kedua, naskhah ini dipentaskan pada 24 hingga 29 Januari 2004 di tempat sama dan menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud, Juhara Ayob, Melissa Saila, Norzizi Zulkifli, Mubarak Majid, Shukor Yon dan Shahronizam Noor.

Pementasan kali ketiga pula di Panggung Sari, Istana Budaya pada 18 September 2004. Pelakonnya ialah Fauziah Ahmad Daud, Safura Yaacob, Serina Redzuawan, Rozie Rashid, Shukor Yon, Zuhairi Ibrahim,Juhara Ayob, Yussak Kassan dan ramai lagi.

Teater Bukan Dejavu dipentaskan di DBP, Kuala Lumpur pukul 8.30 malam dengan harga tiket RM20, RM30 dan RM50. Manakala, diskaun 50 peratus untuk pelajar dan warga emas. Jangan lupa untuk menyaksikan sebuah karya yang menjanjikan kepuasan yang akan berakhir pada hari ini.

Utusan Malaysia

Resipi Sate Goreng Di Brunei

29 May


Rap

KEHADIRAN pelbagai program masakan di televisyen boleh menjadi panduan kepada penonton resepi memasak untuk hidangan sekeluarga.

Satu lagi program masakan, Periuk Malaysia Belanga Brunei mempunyai keistimewaan apabila menggabungkan resipi dua negara serumpun, Malaysia dan Brunei menerusi RTM2, slot Ezzy Sunday.

Penonton pastinya mahu mengetahui sekaligus berkongsi resipi yang diperkenalkan setiap episod menerusi tiga segmen istimewa. Menariknya setiap segmen dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut negara iaitu ‘Periuk Malaysia dan Belanga Brunei, Santai Santai serta Sudu Garfu.

Selain berkongsi resipi menarik serta warisan dua negara, daya tarikan lain pastinya kerana pengacaranya, Serina Redzuawan dan Zayn Sabri turut berkunjung ke restoran dan tempat menarik yang mahu diperkenalkan kepada penonton.

Untuk 1 Jun ini, Periuk Malaysia Belanga Brunei bersiaran seperti biasa pada jam 10.30 pagi dengan menampilkan paparan menarik mengisi segmen yang disediakan.

Zayn yang memainkan peranan menjadi wartawan lokasi di Malaysia, menemani Chef Nadzri memasak ‘Gulai Ikan Tenggiri Tempoyak’ di Bukit Merah Laketown Resort, Perak untuk segmen Periuk Malaysia.

Manakala dalam segmen Santai Santai, Zayn membawa penonton melawat Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort, Perak. Selepas penat melawat Pulau Orang Utan, Zayn menjamu selera di Krom Luang Thai Restaurant di Jalan Abdul Jalil.

Serina pula menemani Abang Haji Jali menyediakan Sate Goreng di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan untuk segmen Belanga Brunei.

Penonton juga dihidangkan dengan gelagat Serina membeli-belah di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. Selepas penat membeli-belah, Serina menjamu selera di Restoran Zaika.

Powered by Harian Metro

Satu Lagi Magis Untuk Azean Irdawaty

28 Aug

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Azean Irdawaty sempat merehatkan kakinya di spa yang terdapat di Bazaar Fusion.

AHAD lalu aktres Azean Irdawaty nampak ceria di Bazaar Fusion, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Hari itu bazaar tersebut mengadakan jualan kebajikan bagi mengisi tabung dana membantu perubatan penyakit kanser payu daranya.

Kata Azean atau Kak Yan, hari itu dia berasa lebih sihat berbanding pertemuan kami pada 16 Ogos lalu yang terpaksa menggunakan kerusi roda.

Ketika itu Kak Yan baru selesai menjalani kemoterapi.

“Selalunya, minggu pertama selepas kemoterapi Kak Yan lemah dan letih. Minggu kedua Kak Yan lebih banyak berada di atas katil dan bergerak pun kena guna kerusi roda. Minggu ketiga lebih selesa sedikit, panas badan pun kurang,” kata Azean bercerita pengalamannya.

Kak Yan yang bakal menjalani rawatan kemoterapi untuk kali ketiga itu, bagaimanapun mengakui dia tidak pernah berasa penyakit yang ditanggungnya itu sebagai satu bebanan.

Malah katanya, sejak disahkan menghidap barah payu dara peringkat ketiga pada 18 Jun lalu, dia mengalami pelbagai magis dalam kehidupannya.

“Ini adalah satu ujian untuk Kak Yan dan baru sekarang Kak Yan tahu betapa ramainya insan yang menyayangi Kak Yan. Setiap kali bertemu dengan orang yang tidak dikenali, tidak kira apa bangsa, mereka akan datang pada Kak Yan dan berkata yang mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan Kak Yan. Sifat prihatin mereka itu membuatkan Kak Yan rasa gembira sangat,” katanya dengan wajah ceria.

Memberi contoh jualan dana di Bazaar Fusion, kata Azean, dia menyaksikan ramai rakan artis dan orang perseorangan yang begitu ikhlas membantunya.

“Dulu masa sihat, Kak Yan tidak ada masa beramah mesra begini kerana sibuk bekerja. Sekarang ini ia bagaikan satu magis. Setiap minggu ada sahaja aktiviti yang perlu Kak Yan hadir. Semua ini menjadikan Kak Yan tidak ada masa untuk memikir pasal sakit ini. Itulah keajaiban yang Allah kurniakan pada Kak Yan saat ini,” katanya tersenyum.

Pada majlis jualan amal yang dianjurkan oleh Ruhani Abd. Rahman dan Wafa Abdul Kadir itu, pelakon Sharifah Shahira menyumbang mufin, Tony Eusoffe menyediakan laksa Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA), Datuk Azizah Abot memasak nasi beriani.

Manakala artis yang hadir memberi sokongan ialah Serina Redzuawan, Hans Isaac, Jehan Miskin, Jue Aziz, Ako Mustapha dan ramai lagi.

Syanie yang bertindak sebagai juruwang pada acara yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 5 petang itu berkata, pihaknya tidak menyasarkan jumlah kutipan.

“Idea buat jualan amal ini timbul sewaktu Wafa bercerita pada mummy (Ruhani Abd. Rahman) tentang aunty Yan yang perlu cari wang untuk kos perubatannya.

“Jadi salah satu cara untuk membantu aunty Yan, adalah menerusi jualan amal ini. Memang meriah kerana ramai rakan artis dan orang ramai yang datang membeli makanan,” katanya.

Sokongan anak-anak

Sementara Benjy yang turut hadir tampak selesa dengan imej botak sebagai tanda sokongan terhadap mamanya.

“Sebelum ini pun Ben pernah botakkan kepala tapi itu saja-saja. Tapi kali ini sebagai tanda sokongan terhadap mama yang tabah itu,” katanya terus terang.

Menurutnya, imej kepala botak boleh mengurangkan peluangnya untuk berlakon. Namun katanya, apa yang penting ketika ini adalah tanda sokongannya terhadap ibu tercinta.

Bagi Kak Yan pula tindakan Ben itu amat mengharukan.

“Satu hari dia melawat Kak Yan di hospital dan terus buka topi. Katanya, Ben tidak boleh bantu mama dengan wang ringgit tapi ini sebagai tanda Ben menyokong mama. Waktu Ben cakap begitu, Kak Yan terasa hiba.

“Entahlah, mungkin dia tidak mahu mamanya rasa rendah diri kerana mamanya pun dah botak sekarang. Tapi bagi Kak Yan, botak pun satu fesyen. Macam hari ini Kak Yan sikat belah tepi dan tetap guna spray rambut,” ceritanya.

Kata Kak Yan seorang lagi anaknya, Elza Irdalynna yang sedang mengikuti Diploma Kursus Persembahan Seni dan Media di Sunway University College juga mahu menunjukkan tanda sokongannya.

“Elza kata, dia tidak boleh botakkan kepala tapi sebagai tanda sokongan pada Kak Yan, dia lulus semua subjek dengan cemerlang. Bagi Kak Yan itu pun sudah mencukupi. Alhamdulillah, selama ini anak-anak Kak Yan tidak pernah mengecewakan Kak Yan baik dari segi perbuatan atau kata-kata,” katanya penuh bangga.

Pada majlis itu juga Azean ditemani oleh suami, Khairil Anwar dan anak bongsu, Irnessa Irdayanty yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia tidak lama lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Yang Tinggal Hanya Kenangan – Serina

30 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Pagi Selasa lalu seluruh dunia hiburan dikejutkan dengan berita pelakon Hani Mohsin Hanafi, 41, mengehembuskan nafas terakhir di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang akibat serangan jantung.

Menambahkan lagi sebak, pemergian Mohsin buat selama-lamanya itu ketika dia merancang untuk bercuti bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 9, ke Langkawi.

Itulah dinamakan takdir. Tiada siapa yang dapat mengubahnya. Takdir juga yang menentukan kejadian itu berlaku di depan mata anaknya sendiri. Allahyarham rebah sementara menunggu pesawat AirAsia untuk ke Alor Star, Kedah.

Semua orang meratapi kesedihan itu. Rakan-rakan artis dari yang muda sehinggalah yang tua memenuhi rumah Allahyarham di Bukit Antarabangsa untuk memberikan penghormatan terakhir. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

Selain bekas isterinya, Datin Seri Tiara Jacqueline dan Hani Karmila yang turut sama menitiskan air mata, peristiwa itu juga menyentuh hati bekas kekasih Allahyarham – Serina Redzuawan.

Anak dara tukang masak Chef Wan berusia 23 tahun itu pernah melalui detik-detik cinta yang manis dengan pelakon itu tidak lama dulu.

Namun atas sebab hubungan itu tidak direstui oleh keluarga maka Serina terpaksa memutuskan perhubungan walaupun hatinya sukar untuk melupakan Allahyarham.

Ketika menghubungi Serina pagi Rabu lalu, dia menangis teresak-esak dan mengambil masa yang lama untuk menuturkan kata-kata. Serina terus menangis kerana terkenangkan saat-saat manis ketika mereka meniti alam percintaan.

“Dia seorang yang baik. Sembahyang tak pernah tinggal. Selama Adik (panggilan manja Serina) berkawan, dia selalu pesan jangan tinggal sembahyang,’’ ujar Serina memulakan bicara dengan nada tersekat-sekat.

Serina mengetahui berita tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari kejadian selepas dihubungi oleh setiausaha Allahyarham. Ketika menerima berita itu seluruh tubuh Serina menggigil kerana tidak percaya yang pergi buat selama-lamanya itu adalah insan yang pernah hadir dalam hatinya.

Malah kesedihan Serina itu ditambah lagi apabila mengenangkan Mohsin pergi ketika hidupnya sebatang kara.

“Dia meninggal dunia sebatang kara, tiada isteri, tiada kekasih. Itu yang paling Adik sedih.

“Ketika menziarahi Allahyarham, air mata Adik menitis apatah lagi ketika melihat gambar adik tersimpan di dalam rumah itu. Adik tahu dia sebenarnya masih sayangkan Adik,’’ katanya. Walaupun hubungan mereka sudah putus lebih dua tahun lalu namun mereka tetap berhubung sebagai kawan. Mohsin sering bertanya khabar Serina dan begitulah juga Serina.

Serina juga tidak dapat melupakan luahan hati Allahyarham sewaktu mereka bercinta dan cerita itu tetap menjadi ingatan kepadanya sehingga sekarang.

Mohsin pernah meluahkan perasaan, sepanjang Allahyarham di dalam industri hiburan, tiada satu anugerah pun yang pernah diterimanya. Allahyarham juga merasakan seolah-olah penglibatannya sebagai pelakon tidak pernah dihargai .

“Setiap kali adik teringatkan kata-kata itu, adik menangis. Sampailah dia mati, hajatnya untuk pegang anugerah tidak kesampaian.

“Allahyarham juga kata, namanya masuk senarai top five tu selalu tapi kalau nak menang anugerah sememangnya susah,’’ tambahnya.

Serina juga memberitahu, walaupun perlu menerima hakikat atas apa yang berlaku namun dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu setiap kali terdengar suara dan melihat gambar Allahyarham menerusi iklan radio dan televisyen.

Tapi Serina akan terus kuatkan semangatnya dan percaya Allah akan melimpahkan ganjaran di atas kebaikan Allahyarham terhadapnya selama ini.

“Susah untuk mendapat orang sebaik Allahyarham. Tengok sajalah semasa dia meninggal dunia, semua peringkat pelakon dan golongan datang ziarah. Seolah-olah yang pergi itu VIP,’’ katanya.

Yang pergi itu tetapkan pergi. Ia pergi meninggalkan kita dengan seribu kenangan bersama pahit dan manis.

Mudah-mudahan Allah menempatkan Allahyarham dalam kalangan umatnya yang beriman dan memberi ketabahan kepada mereka yang merinduinya. Al-fatihah!

Powered by Utusan Malaysia