Archive | February, 2009

Tragedi Lesen Terbang

28 Feb

Oleh Fudzail

Ini Dubai, Bukan KL

“Mahalnya belanja untuk ambil lesen kereta!”

Mat Ju terpinga-pinga.

“Sampai empat ribu dirham?”

Mat Jar ketawa. Reaksi biasa daripada pendatang baru ke bumi Dubai. Memang sesuatu yang biasa untuk terkedu apabila mendengar jumlah besar sebegitu hanya untuk mendapatkan sekeping lesen memandu.

Mat Ju masih menggeleng-geleng kepala. Fikirannya berkecamuk. Dia baru seminggu tiba di Dubai dan masih tinggal di hotel yang disediakan majikan. Visa pemastautin pun belum dicop di pasport. Masih dalam proses di Jabatan Imigresen Dubai. Masih bertaraf pendatang asing tanpa izin.

“Lesen Malaysia tidak laku macam lesen Singapura di sini. Kalau lesen memandu Singapura terus boleh ditukar dengan lesen Dubai. Macam juga kalau kau rakyat UK, USA, Australia, New Zealand dan negara-negara orang putih yang dikatakan negara maju dan mempunyai lesen memandu negara-negara tersebut!”

“Kenapa lesen memandu Singapura boleh ditukar dan kenapa lesen memandu Malaysia tidak diterima? Bukankah kedua-duanya memandu di sebelah kanan dan mewarisi sistem British? Bukankah Singapura dulu pun di bawah Malaysia?”

Mat Ju terus bertanya untuk memuaskan hati yang masih panas dengan isu Batu Putih. Lagipun, dia sudah merancang mahu membeli sebuah kereta mewah sport yang lama diidamkan sejak di bangku sekolah. Sesuatu yang tidak mungkin kalau dia masih bekerja di tanah air melainkan dia menang loteri atau empat nombor ekor.

Harga kereta memang murah di Dubai. Harga petrol juga masih jauh lebih murah walau harga petrol dunia telah meningkat. Bertuah juga Mat Ju untuk datang bekerja di Dubai sebaik harga petrol naik sebanyak 40% di tanah air. Terlepas daripada krisis yang membuatkan ramai gelisah kerana terpaksa mengubah gaya hidup.

“Itu kena tanya Lembaga Jalan Raya dan Pengangkutan Dubai atau RTA. Kau juga kena tahu yang bukan mudah untuk lulus ujian memandu kenderaan di sini. Kau kena ambil dalam minimum 20 jam kelas latihan dan ramai yang kecundang buat kali pertama. Majoriti gagal sehingga ujian ketiga!”

Bertambah murung hati Mat Ju mendengar cerita Mat Jar yang sudah tiga tahun menjadi ekspatriat di Dubai. Bekerja sebagai jurutera komunikasi di sebuah syarikat multinasional. Sudah bertaraf otai di kalangan ramai ekspatriat baru dari Malaysia yang semakin bertambah ramai dengan peluang pekerjaan yang banyak. Pembangunan pesat Dubai terus pesat dan dengan 90 peratus tenaga kerja dari luar, rakyat Malaysia juga semakin ramai mencari rezeki dalam pelbagai bidang, terutama industri penerbangan, perhotelan dan pembinaan.

“Begitu susah mahu lulus?”

“Ya, susah sekali, aku pun kena ambil dua kali ujian. Kau tahu, ramai ekspatriat lain dari India, Pakistan, Filipina, Bangladesh, Afghanistan sampai berpuluh kali. Memang lebih susah daripada ambil Phd! Bertuah kalau kau boleh lulus dengan sekali ambil ujian, boleh buat kenduri!”

Mat Ju terdiam mendengar borak serius Mat Jar yang seakan berjenaka. Sambil melihat ke arah ramai ekspatriat lain Malaysia yang hadir pada majlis sambutan keputeraan ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agung. Majlis anjuran pejabat konsulat bersama Persatuan Profesional Malaysia di UAE, yang dikenali sebagai myUAE Pro sahaja.

“Malah, lesen memandu antarabangsa Malaysia pun sebenarnya tidak diterima di sini sebab kita tiada perjanjian dua hala dengan UAE. Lesen antarabangsa yang kaubawa itu boleh dicampak dalam bakul sampah sahaja!”

Kata-kata Mat Jar itu seakan penutup besar yang terus menutup lubang dalam strategi Mat Ju untuk mencari cara lain bagi memudahkan urusan mendapatkan lesen memandu Dubai.

Mat Ju lemas sendiri memikirkan pelbagai perkara sebagai pendatang baru dalam suasana gamat di ruang foyer pejabat konsulat.

Ini sistem RTA Dubai, bukan sistem JPJ

“Buat masa ini kamu kena tunggu minimum tiga bulan sebelum boleh menduduki ujian memandu. Senarai mereka yang menanti memang panjang walau musim panas!”

Mat Ju tekun mendengar penerangan staf yang duduk di meja pendaftaran sebuah sekolah latihan memandu. Staf berasal dari negara India itu, menggeleng-geleng kepala sambil bercakap. Tidak tersenyum dan tidak nampak mesra pelanggan.

Mat Ju cuba memahami setiap patah perkataan yang keluar daripada staf tersebut. Slanga bahasa Inggerisnya memang agak pekat dengan dialek Malayalam. Kena mendengar dengan sepenuh perhatian.

“Bila boleh mulakan latihan pula?”

Tanya Mat Ju sambil sesekali berpaling ke arah pengunjung kompleks beli-belah Mall of Emirates. Terutama setiap ada wanita-wanita gebu, genit dan seksi lalu-lalang. Masih dalam kejutan budaya dengan suasana kosmopolitan Dubai yang tidak langsung menggambarkan suasana dunia Arab. Seakan berada di Eropah atau Amerika.

Apalagi isteri dan anak-anak masih belum tiba dari Malaysia. Bujang senang dan masih mencari rumah sesuai untuk disewa. Masih juga sibuk bertanya warga ekspatriat Malaysia lain melalui yahoogroup malaysian-uae.

Banyak maklumat dan tips yang didapati. Terlalu banyak sehingga kadang-kadang mengelirukan pula. Apalagi dengan bajet daripada elaun perumahan yang tidak begitu cukup berbanding dengan sewa rumah yang begitu mahal. Bantuan dan pertolongan dari komuniti ekspatriat Malaysia memang lebih daripada jangkaan. Sesuatu yang sinonim dengan budaya gotong-royong warga Malaysia.

“Kami akan telefon kamu dalam dua tiga hari ini!”

Staf tersebut seakan endah tidak endah menjawab. Mahu cepat sahaja kerana ramai juga yang beratur di belakang Mat Ju untuk dilayani. Dengan sistem dan proses latihan dan ujian memandu diserahkan kepada sekolah-sekolah latihan memandu swasta, sememangnya menjadi satu bisnes yang cukup menguntungkan.

Melihat layanan yang sedikit kurang memberangsangkan, Mat Jar yang berdiri berhampiran terus mendekati Mat Ju dan staf tersebut. Dengan wajah serius sekali.

“Hello, bila dia akan mula latihan?” Mat Jar bertanya garang.

“Kami akan telefon dalam dua tiga hari!” Ulang staf yang tidak pun memandang ke arah Mat Jar. Sambil tangan memegang henfon dan mata ke arah layar komputer. Terdengar muzik dari henfonnya.

Menyirap terus darah Mat Jar melihat biadabnya staf yang rambutnya ala Shah Rukh Khan.

“Hello, minta maaf, kami ini pelanggan dan telah membayar yuran latihan memandu seperti yang diminta. Yuran bukan murah. Kenapa tidak boleh beritahu terus jadual, supaya senang dia membuat perancangan! Bukankah kamu ada sistem, apa komputer depan muka hensem kamu itu hanya untuk chit-chat dan melayar internet sahajakah?”

Staf tersebut terperanjat dengan reaksi tiba-tiba Mat Jar yang sudah kuat bersuara. Menampakkan kegeramannya. Mata Mat Jar memandang dengan tajam. Beberapa orang yang beratur, sama terperanjat.

“Hello, kami dari Malaysia tahu dan kami ada lesen memandu dari UK dan USA, sudah berpuluh tahun memandu kereta serata dunia, kamu jangan ingat kami macam kawan-kawan kampung kamu kah!”

Terkejut juga Mat Ju melihat Mat Jar melatah. Suara berintonasi sombong. Emosional di tengah khalayak yang memerhati. Bukan tenang seperti biasa.

“Dia orang ini memang tidak boleh kasi muka. Kita kena tunjuk yang kita bukan dari negara dunia ketiga macam dia orang. Kita dari Malaysia, salah sebuah negara Islam yang maju dan kita bukan taraf buruh. Kita semua profesional yang ada ijazah!”

Mat Jar bercakap dalam bahasa Melayu sambil staf tersebut cepat-cepat mengetuk paparan kekunci. Nampak pengalaman Mat Jar dalam menangani kerenah staf kaunter yang begitu buruk, sesuatu yang cepat dipelajari oleh Mat Ju dalam kehidupan baru di Dubai.

Ini BMW, bukan Proton

“Murah benar kereta di sini, geram sungguh. Tidak sabar mahu membeli!”

Mat Jar memang cukup suka menatap lampiran iklan kereta terpakai dalam akhbar. Hatinya cukup geram memikirkan yang sekolah memandu masih belum menelefon walau setiap kali dihubungi akan berjanji untuk menetapkan tarikh latihan pertama.

“Jangan fikir lagi. Kalau sudah suka kaubeli sahaja!” Saran Mat Ju pendek.

Sekali lagi Mat Jar terkejut. Dia ternampak iklan kereta Proton Wira terpakai. Lebih murah daripada harga Kancil. Malah kereta Honda, Toyota, Nissan juga lebih murah daripada kereta Proton. Sesuatu yang menyebabkan dia jadi lebih teruja.

“Tetapi lesen memandu belum dapat!”

“Tidak perlu tunggu lesen memandu, kau boleh beli kereta, cuma kau tidak boleh memandu di jalan raya!”

“Betulkah begitu?”

Mat Jar mengangguk-angguk.

“Kalau begitu, boleh kaubawa aku ke kompleks kereta terpakai hujung minggu ini?

“Tentu sahaja. Kita pergi selepas main bola Jumaat petang, aku boleh bawa kau ke sana kerana aku pun mahu jual kereta lama itu!”

Mat Ju terasa cukup gembira. Terlupa seketika kemarahan meluap terhadap sekolah memandu dan sistem ujian memandu di Dubai.

Mendengar maklumat terkini daripada Mat Jar yang menceriakan, mata Mat Ju terus terpaku pada kereta sport BMW yang sudah lama diidami. Harganya separuh daripada harga jualan di Malaysia. Dan dia tidak perlu AP untuk membelinya.

Ini Polis Dubai, Bukan PDRM

“Kau boleh tolong aku?”

Suara Mat Ju agak gementar. Percakapan dengan Mat Jar pun agak kelam-kabut. Dia panik sekali dalam suasana sebegini. Sehingga ayat juga tidak tersusun dan tunggang terbalik.

“OK, jangan risau, aku datang sekarang ke situ!” Jawab Mat Jar di telefon. Lega Mat Ju dalam kepanasan tengah hari di kawasan perumahan Mirdiff. Memang Mat Jar tidak akan menghampakan permintaan kecemasan daripada seorang sahabat satu negeri. Sahabat akrab semenjak menjadi geng bujang di Dubai. Mat Jar memang masih bujang manakala Mat Ju masih belum membawa keluarga.

“Jangan panggil Polis dulu, sekejap lagi kawan saya datang!” Mat Ju memujuk lelaki Filipino yang memeriksa dengan teliti kesan geselan di keretanya. Calaran yang tidak begitu teruk, tetapi agak dalam dari sebelah tepi pintu pemandu. Kereta sport Mat Ju pula tidak mengalami apa-apa kerosakan. Kereta mahal katakan berbanding dengan kereta Korea yang digeselnya.

“Saya perlu tuntut insuran untuk memperbaiki kerosakan ini, jadi kena ada laporan pihak Polis!” Lelaki Filipino bernama Alex itu berkata perlahan. Seakan memahami gelora dan kerisauan dari wajah Mat Jar.

“Saya faham keperluan itu, tetapi saya tiada lesen memandu tempatan. Yang ada lesen memandu antarabangsa!”

“Lesen Malaysia tidak boleh ditukar ke lesen Dubai kah?” Tanya Alex yang nampak begitu ramah. Mat Jar menggeleng. Isu yang sudah tidak perlu diperkatakan kerana memang tidak akan menyelesaikan masalahnya sekarang.

Alex tersenyum melihat wajah Mat Jar yang panik. Pada mulanya Alex menyangka Mat Jar sama-sama datang dari kepulauan Filipina. Menegur dalam bahasa Tagalog. Memang kebanyakan warga Filipina ramah dan mesra. Cepat menegur kalau disangka sesiapa adalah sama warga Filipina.

“Jangan risau, saya faham dan kita tunggu kawan kamu datang, lagipun kerosakan ini kecil sahaja dan bukan kesalahan kamu. Kamu hanya mahu mengelak kereta pacuan empat roda yang tiba-tiba mencelah… biadap sungguh!”

Sejuk Mat Jar mendengar kata-kata daripada Alex. Kalau kereta yang dilanggarnya kepunyaan warga Emirati atau ekspatriat lain, sudah tentu ada pertengkaran. Boleh bawa bergaduh. Tetapi apa pun dia memang bersalah kerana memandu tanpa lesen sah Dubai.

Kereta pacuan empat roda mewah yang cuba dielakkan itu mungkin dipandu oleh seorang pemuda belasan tahun Emirati dan terus lesap ke arah lebuh raya Emiriyah. Tidak sempat mengambil nombor pendaftaran. Kalau sempat pun, mungkin tiada gunanya juga sebab mereka kadang-kala mengatasi undang-undang tempatan.

Peluh jantan yang menitik seluruh tubuh Mat Jar bukan sahaja kerana kepanasan musim panas, malah kepanasan daripada bayangan yang menghantui. Fikirannya tidak henti membayangkan kalau dia disaman polis. Bukan sahaja jumlah saman untuk dibayar, tetapi dia juga boleh ditahan dalam lokap kerana memandu tanpa lesen Dubai. Satu kesalahan besar.

Lebih daripada itu, dia baru mendapat rumah sewa dan baru selesai melihat rumah di kawasan berhampiran tempat kemalangan. Keluarganya akan sampai dua tiga hari lagi dan malam itu dia akan bersama-sama untuk makan malam dengan anak-anak Kelantan di sebuah villa di perumahan ekslusif Arabian Ranches. Sudah lama tidak merasa nasi kerabu dan kuih lompat tikam. Sudah lama juga tidak berborak ramai-ramai dalam loghat Kelantan.

Melihat kereta yang perlahan untuk melihat apa yang terjadi, Mat Jar kembali terasa panik. Terfikir kalau dia masuk lokap, boleh sahaja dia dibuang kerja. Dia baru dua bulan bekerja di Dubai. Baru mendapat visa pemastautin. Belum lagi menduduki ujian memandu. Belum juga mandi hadas di Dubai.

Masuk lokap bukan satu pilihan terbaik. Bayangan lokap dan banduan terus menambahkan kelajuan degupan jantung. Bersama-sama peluh jantan tidak henti membasahi seluruh tubuh yang nampak semakin gempal sejak mengenal nasi beriani kambing.

Lebih panik membayangkan kalau tiba-tiba polis singgah sebelum Mat Jar tiba!

Ini Cerita Benar, Bukan Fiksyen

“Rilekslah. Nampak kau risau sahaja untuk ambil ujian memandu, kenapa?’

Mat Jar bertanya sambil menghirup teh tarik di restoran makanan yang terletak di kawasan membeli-belah Naif. Isteri dan anak-anak Mat Ju masih sakan membeli-belah dengan pelbagai jualan hebat sempena Festival Musim Panas Dubai. Potongan harga dan tawaran cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menambahkan kemeriahan.

Naif terus sibuk dan gamat dengan pengunjung walau cuaca hampir melebihi 40 darjah Celcius. Pelancong dan orang tempatan bercampur-baur. Semuanya seronok menabur wang.

“Kalau gagal kali pertama pun tidak mengapa, ambil lagi. Biasalah kalau gagal kali pertama di Dubai. Majoriti seperti itu dengan sistem kuota dan untung rugi bisnes pelesenan!”

Sambung Mat Jar sambil membelek kamera digital canggih yang baru dibelinya. Dia sama-sama menyertai kelab fotografi ekspatriat Malaysia dan aktif mengambil foto landskap Dubai.

“Sebenarnya aku ada cerita benar mengenai lesen memandu yang kini menghantui aku di Dubai! Isteri aku sendiri pun tidak tahu mengenainya!” Perlahan Mat Ju bercakap, seakan tidak mahu orang lain mendengar. Walaupun mereka yang lain tidak memahami Bahasa Melayu yang dipertuturkan mereka berdua.

Mat Jar menoleh ke arah Mat Ju yang masih memegang akhbar dengan tajuk utama mengenai statistik kemalangan jalan raya yang semakin meruncing di Dubai. Fenomena yang membimbangkan pihak berkuasa kerana majoriti yang kehilangan nyawa daripada kemalangan jalan raya adalah orang Emirati, walau mereka hanya minoriti di negara sendiri.

Mat Ju menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian melepaskannya dengan penuh perasaan.

“Aku memang takut untuk buat ujian memandu sebab…!”

Sekali lagi Mat Jar rasa saspens apabila Mat Ju terhenti. Seperti babak antiklimaks dalam suasana yang janggal dalam sebuah drama TV.

“Sebab lesen memandu Malaysia yang aku ada pun sebenarnya, lesen terbang!”

Biodata

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

Berita Harian

Advertisements

Rosli Mohalim Buat Single

27 Feb



ALBUM yang memuatkan
empat single ciptaan Rosli
kini sudah berada di pasaran.

Gitaris Sweet Charity terbitkan album sulung lagu ciptaannya

SELEPAS bertahun membina nama sebagai anggota kumpulan Sweet Charity sebagai pemain gitar bass, Rosli Mohalim kini tampil sebagai pemuzik bebas dengan menjadi penerbit dan komposer untuk beberapa penyanyi tempatan.

Ini bukan bermakna dia meninggalkan kumpulan rock ternama di Malaysia dan Singapura itu, sebaliknya mahu menyalurkan pengalaman yang ada kepada generasi seterusnya.

Dia kini berjaya menerbitkan album sulung mengandungi empat lagu yang dinyanyikan oleh vokalis Spring, Ameng; penyanyi Slam, Zamani; Yabang dari kumpulan Jinbara selain bakat baru, Nura.

Ameng menyanyikan lagu Dimanakah Salahku, Zamani dengan lagu Aku Ingin Berkata, manakala Satu Alam untuk Yabang, manakala Nura pula membawakan lagu Teraasa.

Semua lagu itu adalah hasil karya Rosli sendiri manakala lirik untuk lagu Dimanakah Salahku, Aku Ingin Berkata dan Terasa ditulis bersama Rosalina. Keempat-empat single itu dimuatkan dalam album berjudul RS – Rosli Mohalim. Ia juga turut memuatkan empat minus one yang dipetik daripada lagu berkenaan.

“Ketika bersama Sweet Charity atau menjadi pemuzik bebas, saya memang sudah ada mencipta banyak lagu. Tetapi tidak sempat untuk dirakamkan. Biarpun tidak sibuk dengan Sweet Charity, tetapi saya kerap menjadi sessionist atau pemuzik undangan untuk membuat persembahan di sekitar Singapura.

“Hanya selepas lima atau enam tahun kemudian, saya berehat daripada menjadi sessionist untuk memberi tumpuan penerbitan album iaitu merakamkan lagu-lagu ciptaan saya,” katanya sambil menjelaskan album itu sudah berada di pasaran.

Rosli Mohalim atau nama sebenarnya Rosli Dollah dilahirkan di Singapura pada tahun 1954. Mendapat pendidikan seni dari Akademi Seni Nanyang, Singapura yang pernah melahirkan insan seni seperti M Nasir dan S Amin Shahab.

Mula meminati muzik seawal usia 12 tahun, Rosli mendapat tunjuk ajar tidak formal dari Mohd Fadglon. Dari hanya bermain dengan gitar ‘tong’, Rosli beralih kepada gitar elektrik dan bersama-sama rakannya berlatih di studio jamming di Singapura. Ketika itu dia banyak terpengaruh dengan muzik The Beatles, The Bee Gees selain biasa mendengar muzik Deep Purple.

Bahkan dia juga meminati bank rock lain seperti Grand Funk, Black Sabbath, Led Zeppelin, Santana dan Bad Company. Ketika Rosli dan rakan-rakannya bermain di sebuah kelab, tanpa disedari Sweet Charity juga membuat persembahan di tempat sama.

Melihat kepada kemahiran dan bakatnya, Ramli Sarip dan Rahman Sabrani mempelawa Rosli menyertai Sweet Charity. Rosli Mohalim mengalami kejutan bukan saja dengan pelawaan itu tetapi juga diminta bermain gitar bass untuk Sweet Charity.

Tidak lama selepas itu, Rosli bersama Sweet Charity membuat persembahan di The National Theatre. Apabila A Ali yang menggalas selama ini tugas gitaris meninggalkan Sweet Charity, tempatnya segera diisi oleh Rosli.

Sepanjang bersama Sweet Charity, Rosli turut terbabit menghasilkan lima album iaitu Pelarian, Penunggu, Batu dan Berita Gempa.

“Hubungan kami dalam anggota Sweet Charity tidak pernah putus. Kalau ada permintaan untuk membuat sesuatu persembahan, semua anggota Sweet Charity akan bergabung semula.

“Tapi jika tiada apa-apa, anggota kumpulan ini membuat aktiviti masing-masing. Sebab itulah saya sekarang cuba menghasilkan album berdasarkan lagu-lagu ciptaan saya sendiri,” kata Rosli yang kini berhijrah ke Kuala Lumpur.

Dia bersama isterinya, Maznah Yunus menetap di Setapak bersama-sama anak tunggal mereka, Muhammad Afiq yang kini menjadi pelajar jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Rosli yang kini memiliki Double Neck Studio hasil perkongsian dengan rakannya, Yeop Fadhil berkata, semua lagu itu pada keseluruhannya mempunyai sentuhan muzik rock atau pop rock bersesuaian dengan latar belakang dirinya selain vokal penyanyi.

“Sudah tentu sentuhan rock tidak boleh dipisahkan. Apatah lagi saya sendiri datang daripada sebuah kumpulan muzik rock.

“Saya percaya muzik rock masih ada pengikutnya lagi. Terima kasih kepada Ameng, Slam dan Yabang untuk menyanyikan single yang saya buat. Berbulan-bulan juga untuk menyiapkan album ini dan saya harap peminat muzik boleh menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli Mohalim boleh ditemui oleh peminat Sweet Charity dalam Jelajah Promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABOBH) 2008 di Village Mall dan Kelab Cinta Sayang, kedua-duanya Sungai Petani, esok dan lusa.

Rosli juga turut menjadi juri untuk program Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang dibuka kepada 100 peserta sepanjang promosi ABPBH 2008 di sana nanti.

Berita Harian

Anggun, Eksklusif

27 Feb

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


BUTIK eksklusif tudung, selendang dan pakaian Muslimah, Ariani, menyediakan lebih 200 rekaan serta koleksi tudung eksklusif hasil rekaan pereka dalamannya yang berpengalaman luas.

BUTIK eksklusif tudung, selendang dan pakaian Muslimah, Ariani, menyediakan lebih 200 rekaan serta koleksi tudung eksklusif hasil rekaan pereka dalamannya yang berpengalaman luas.

Koleksi Ariani diperbuat daripada fabrik diimport dari Itali, Jerman, Perancis dan Turki yang sememangnya terkenal dengan kualiti yang tinggi.

“Koleksi Ariani memang berbeza dengan apa yang ada di pasaran hari ini kerana kami menyediakan tudung, selendang serta pakaian Muslimah yang bukan saja cantik malah diperbuat daripada fabrik bermutu tinggi,” kata Pegawai Pemasaran Ariani, Farah Haryani Mohd Philip.

Menariknya, pembeli tidak perlu bimbang mengenai nilai eksklusif koleksi Ariani (milik penuh syarikat Jakel) kerana setiap rekaan tudung hanya disediakan dalam 100 warna dan 100 helai saja setiap satu.

“Koleksi eksklusif ini tidak terdapat di mana-mana butik walaupun kadangkala orang ramai sering keliru dengan penjualan tudung yang seakan-akan serupa.

“Namun, kehalusan jahitan, ketahanan, kualiti serta rekaannya sangat berbeza dan faktor itulah yang menjadikan koleksi ini istimewa di mata peminatnya,” katanya.

Untuk lebih memudahkan pengguna, butik terbabit akan turut memasarkan cakera padat mengenai cara pemakaian tudung tidak lama lagi.

Ariani baru-baru ini turut mengumumkan pelantikan Ekin sebagai dutanya untuk tempoh tiga tahun.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat Kumpulan Jakel, Saiful Izhar Senawi, pelantikan Ekin sebagai duta Ariani amat tepat kerana isteri kesayangan penyanyi terkenal, Mawi itu mempunyai daya tarikan tersendiri untuk mempromosikan fesyen terbaru jenama berkenaan.

Katanya, sejak tampil bertudung, Ekin semakin popular dan apa jua gaya yang disarungkan mendapat perhatian masyarakat.

Menerusi kontrak yang sudah dipersetujui, Ekin hanya akan menggayakan koleksi Ariani ketika bersama media, di lokasi tertentu dan muncul dalam program di televisyen.

“Seperti Mawi, Ekin juga memiliki auranya tersendiri hingga menyebabkan banyak pihak tampil mengeluarkan tudung Ekin di pasaran.

“Namun, pihak kami ingin jelaskan Ariani tidak pernah memberi hak sah sama ada secara bertulis atau lisan kepada mana-mana pihak untuk menjual atau memasarkan produk Ariani sewenang-wenangnya kecuali di cawangan Ariani yang sah.

“Ini kerana, Ariani sentiasa mengawal kualiti serta nilai eksklusif semua produknya,” katanya pada majlis di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, butik berkenaan menyediakan koleksi menarik daripada jenama Valentino, Aker, Armine, Akel, Bona, Sera, Isadora, Ungaro, Pierre Cardin, Tiara Exclusive dan Tiara Diamond.

Ia boleh didapati di butik Ariani di Jalan Bunus Off Jalan Masjid India (berhadapan Jakel). Rangkaian butik berkenaan akan dibuka di Johor Bahru, Johor; Bangsar dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur; serta Shah Alam dan Bangi, Selangor; pada Mac serta April depan.

Selain itu, pelanggan yang berkunjung ke butik Ariani berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dari segi pemilihan tudung yang sesuai mengikut penggunaannya serta teknik dan cara pemakaian tudung akan diberikan secara percuma.

Harian Metro

Sambutan Hangat Mertua Vs Menantu

27 Feb

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 27 FEB 2009:   Kejayaan drama bersiri Mertua vs Menantu terbitan MIG Productions yang mencatat rating tertinggi di saluran Astro Prima sejak ke udara mulai 22 Oktober lalu semakin memberikan keyakinan buat Erra Fazira untuk terus berlakon drama bersiri.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dalam telefilem Jo & Faridah bersama Adlin Aman Ramlie. Tapi untuk  drama bersiri tidak pernah lagi. Jadi,  Mertua vs Menantu adalah drama bersiri pertama saya.

“Tidak sangka pula percubaan saya berlakon dalam drama bersiri membuahkan hasil. Kalau hendak diikutkan, saya mempunyai satu lagi drama bersiri iaitu Rona Roni Makaroni.

“Tapi, apabila melihat skrip serta jalan cerita Mertua vs Menantu, ia lebih menarik perhatian saya kerana isunya serius walaupun penyampaiannya secara komedi.

“Memang sudah lama saya teringin untuk berlakon cerita yang seperti ini. Saya juga menyukai watak Nurul Ain yang ditampilkan. Dia seorang mekanik perempuan yang berpewatakan kasar tetapi bukan tomboy.

“Pendek kata, berlakon dalam drama ini adalah satu pilihan yang tepat. Saya juga tidak perlu banyak melaram atau mengenakan mekap. Sesuailah dengan situasi dan keadaan saya yang tengah sarat mengandung. Malas sangat nak   berdandan,” Erra kepada murai.com.my.

Erra ditemui sewaktu majlis kesyukuran Mertua vs Menantu di Restoran Lemon, milik produser MIG sendiri, David Teo. Dalam majlis itu, David turut memgumumkan penerbitan musim kedua drama bersiri tersebut selepas Erra selamat bersalin serta berpantang kelak.
 

Musim kedua Mertua vs Menantu ini akan menyaksikan kehadiran bayi dalam keluarga Datin Faridah (Rozie Othman) iaitu ibu mertua Erra (Nurul Ain).  Malah David tidak keberatan untuk menonjolkan bayi Erra sendiri dalam musim kedua.

“Tapi itu hanya perancangan. Saya kena berbincang perkara ini dulu dengan suami saya (Engku Emran). Maklumlah ia membabitkan penggunaan lampu yang sangat terang di set penggambaran, jadi ia bukan sesuatu yang mudah.  

“Namun untuk kembali bertugas semula selepas 44 hari berpantang, ia bukanlah satu masalah bagi saya, insya-Allah. Cuma yang risau berat badan dan mengembang,” kata Erra.

Sejak mengandung, Erra mengakui berat badannya telah naik 21 kilogram.

“Bukan saya tak berusaha untuk kawal makan tapi kadang-kadang tak mampu. Kalau Emran ada di rumah, dia selalu akan pastikan saya mengambil makanan yang banyak protein. Tapi bila Emran pergi kerja, saya mulalah cari nasi semula!” kata Erra sambil ketawa.
 

Mertua vs Menantu arahan Feroz Khan turut dibintangi Aqasha, Jehan Miskin, Raja Farah, Almy Nadia serta Sheila Mambo. Ia kini masih lagi ditayangkan di Astro Prima setiap Rabu, jam 10 malam. 

 

Murai

Juanna Gadis Cekal

27 Feb

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MASIH terlalu awal untuk Sari Yanti Mohamad Nazari, 25, menceritakan kehidupan berumah tangga yang baru dilalui bersama suami, Mohd Eddy Casmady Che Hussein kerana usia perkahwinan mereka baru sebulan lebih.

“Buat masa ini segalanya macam biasa saja. Selain menjalankan tanggungawab sebagai isteri, tiada apa yang berubah. Saya masih berlakon dan baru selesai menjalani penggambaran telefilem Bukan Mainan untuk RTM (Radio Televisyen Malaysia) lakonan bersama Fizz Fairuz.

“Kini saya sibuk di lokasi drama Dan Bunga-bunga Berguguran terbitan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). Drama ini unik dan menarik daripada yang lain kerana dialog disampaikan dalam bentuk pantun.

“Memang susah kerana saya terpaksa menghafal beratus-ratus pantun. Kalau dalam drama biasa, kita berdialog menggunakan percakapan harian, jika terlupa masih boleh ditokok tambah ayat sendiri. Tetapi untuk drama ini, saya tidak boleh lupa walau sebaris ayat.

“Saya dapat bayangkan betapa sukarnya penulis skrip drama ini hendak membuat beribu pantun kerana drama ini turut dijayakan pelakon lain seperti Nisha Dirr dan Cico. Apapun, drama ini sangat menarik.

“Penggambaran dibuat di Melaka dan ia mengisahkan mengenai Sultan Mahmud. Saya pegang watak sebagai Puteri Kesuma Dewi. Bagaimanapun, drama itu tidak ditayangkan di televisyen kerana ia untuk simpanan DBP,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sari muncul dalam drama 26 episod Juanna yang mula disiarkan 11 November lalu di RTM1, Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, jam 10 malam. Drama itu terbitan Gama Taktik Sdn Bhd.

Menerusi drama itu, Sari pegang watak gadis yatim piatu yang malang. Dia berdepan konflik sebagai anak yang dahagakan kasih sayang keluarga. Berlakon sama, Marissa Yasmin, Zulkifly Azari, Ashraf Muslim, Julia Ziegler, Kamaliah Mat Dom, Kismah Johar dan Dian P Ramlee.

Kisah Juanna bermula apabila Juanna (Sari Yanti) yang baru keluar dari pusat pemulihan akhlak untuk pesalah juvana perempuan pulang ke rumah keluarganya dengan azam baru.

Namun kehadirannya kurang disenangi ibu tirinya, Hanis dan Hazril, suami baru ibu tirinya yang lebih muda daripadanya. Mereka menganggap kehadiran Juanna mengganggu kehidupan mereka yang baru berumah tangga.

Hanis kemudian meletakkan syarat anak tirinya itu boleh tinggal di rumah itu tetapi perlu mencari wang nafkah hidup sendiri. Sementara itu, dalam diam, Hazril menjalin semula hubungan cinta dengan kekasih lamanya, seorang model dikenali Nasha tanpa pengetahuan Hanis.

Juanna pula bertemu semula dengan Pak Wan bekas pemandu arwah bapanya yang diberhentikan tanpa sebab oleh Hazril.

Pak Wan yang sememangnya menganggap Juanna bagai anak kandung menawarkan Juanna bekerja di pusat cucian kereta miliknya. Di situ, dia berkawan baik dengan pekerja Pak Wan iaitu Helmi dan Suresh.

Pada masa sama, Juanna cuba berbaik semula dengan teman baiknya Fifi. Di luar pengetahuannya, Fifi menjalinkan hubungan cinta dengan bekas teman lelaki Juanna dikenali Johan. Juanna cuba meyakinkan Fifi bahawa Johan bukan lelaki baik. Sebaliknya Juanna ditempelak Fifi menyebabkan Juanna kecewa.

Apatah lagi Johan adalah punca dirinya dihantar ke pusat pemulihan akhlak sedangkan ketika itu, Juanna hanya bertindak mahu mempertahankan dirinya daripada menjadi mangsa cabul Johan.

Johan yang mengetahui usaha Juanna mahu memisahkannya dengan Fifi naik angin. Dia mula mengancam Juanna namun Juanna berasa selamat dengan adanya Helmi. Apatah lagi mereka sering menjadi bahan usik Suresh yang mengatakan mereka bercinta dalam diam.

Juanna cuba mempertahankan haknya apabila Hazril menghalaunya keluar dari rumah. Alasannya, Juanna masuk campur dalam urusannya. Atas nasihat Pak Wan, Juanna membuang jauh perasaan malunya untuk menemui Iskandar, rakan baik bapanya yang kini membeli syarikat bapanya sebelum jatuh ke tangan Hanis yang tidak bertanggungjawab.

Sedang Hazril begitu bersungguh-sunguh mahu mendapatkan wang daripada Hanis untuk membelikan kereta mewah seperti diingini kekasihnya, Nasha, Hanis pula yang sibuk mahu menandingi kehebatan Datin Anom yang dianggap pencabarnya. Dia tidak sedar perubahan Hazril, apatah lagi suaminya itu bijak menyembunyikan rahsia.

Pelbagai kejadian berlaku yang akhirnya menyedarkan Hanis mengenai kecurangan suaminya itu. Juanna pula mula menimbang untuk melanjutkan pengajian atas bantuan Iskandar. Hatinya berbelah bahagi mahu meninggalkan orang tersayang termasuk Helmi.

Harian Metro

Hip TV Lebih Berani

26 Feb

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.

Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.

Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.

Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.

Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.

“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.

“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.

“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.

“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.

Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.

Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.

“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.

“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.

Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.

Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

Harian Metro

Joey Vokalis Baru Exist

24 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


BERDIRI dari kiri, Ujang, Musa, Joey dan Along.

Ezad pilih haluan sendiri kerana mahu tampil secara solo

PADA ketika Ezad mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung perpisahannya daripada Exists, tiga anggota kumpulan muzik terbabit mengambil pendekatan mendiamkan diri. Hanya sesekali kumpulan ini tampil bercerita mengenai isu itu, sebagaimana dapat dibaca peminat dalam majalah atau akhbar.

Sewaktu hadir ke Balai Berita untuk mempromosikan album terbaru yang menghimpunkan lagu terbaik kumpulan berkenaan, Keunggulan Exists, mereka tetap ditanya mengenai perkara sama. Pada awalnya, kumpulan ini memang berat hati untuk membuka rahsia. Hanya selepas beberapa kali diminta untuk sekurang-kurangnya memberikan penjelasan, Musa dan Along akhirnya bercerita.

Menurut mereka, selepas kontrak Exists bersama syarikat rakaman NAR tamat, kumpulan itu mengintai beberapa peluang untuk bernaung bersama beberapa syarikat lain, sekitar 2007. Dalam proses berkenaan, mereka mendapati sebuah syarikat rakaman gergasi menawarkan kontrak yang dilihat sebagai terbaik.

Sayangnya, pada hari kontrak itu hendak ditandatangani, penyanyi utamanya, Ezad, tidak memunculkan diri. Selepas puas mencuba, akhirnya panggilan kepada penyanyi itu berjawab. Alasannya, dia berasakan mereka harus mencari tawaran lebih matang, berbanding kontrak ditawarkan syarikat gergasi tadi.

“Bukan saja dia kurang memberikan komitmen tatkala kami bertiga berusaha mencari peluang bersama syarikat rakaman lain, dia juga tidak muncul pada hari kami sepatutnya menurunkan tandatangan bersama syarikat terbabit. Sedangkan, syarikat itu turut bersedia menghasilkan album solonya sendiri, jika itulah juga apa yang Ezad ingini,” ujar Along.


JOEY menyuntik semangat baru kepada Exists.

Rupa-rupanya, Ezad sengaja berdalih ingin mencari kontrak lebih baik apabila dia sebenarnya sudah pun menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat rakaman lain.

“Kononnya, apabila dia menandatangani kontrak bersama syarikat tadi, mereka fikir kami juga akan mengikut langkahnya bernaung di bawah syarikat sama.

“Kami pula bergerak secara kumpulan, lalu apabila dia terlebih dulu mengikat kontrak secara solo dengan syarikat itu, kami tentunya berasa diketepikan,” kata Musa.

Menurut Musa, Ezad akhirnya mengaku dia sudah mengikat kontrak bersama syarikat rakaman berkenaan selepas ditanya sendiri olehnya. Sebelum itu, dia berulang kali tidak mengaku terikat dengan mana-mana label.

Kemudian timbullah cerita kononnya kumpulan itu kini sudah berpecah dan sebagainya. Semua itu ditelan Musa, Along dan Ujang kerana enggan membuka mulut mengeruhkan lagi keadaan.

“Malah, ada sebahagian peminat menganggap kami bersikap kejam terhadap Ezad. Pelbagai tuduhan kami terima, sebagaimana yang dapat dibaca di laman web Exists.com.my. Memanglah kalau boleh, kami lebih suka bercerita mengenai produk kumpulan ini, daripada menjaja cerita masalah peribadi. Kita juga semakin dewasa, jadi kenalah pandai-pandai membawa diri,” sambung Musa.

Setahun Ezad tidak bersama Exist

Selepas ketiadaan Ezad, kira-kira setahun juga kumpulan itu tidak aktif pada pertunjukan pentas, membuat kemunculan di televisyen atau majlis anugerah. Tanya mereka, bagaimana kumpulan itu hendak menerima tawaran muncul dalam mana-mana persembahan apabila tidak mempunyai vokalis?

“Bercerita mengenai televisyen, pada awal tahun lalu kumpulan ini hampir digam sebuah stesen televisyen gara-gara Ezad lambat muncul pada hari kami sepatutnya mengadakan raptai persembahan. Sebuah stesen penyiaran lain pula menggam kami sejak 2005 dek masalah disiplinnya juga,” dedah Along.

Semua itu kini tinggal kenangan buat Exists apabila seorang penyanyi lain mengisi kekosongan ditinggalkan Ezad. Bersama penyanyi dikenali sebagai Joey itu, mereka mengaku lebih bersemangat untuk meneruskan langkah dalam industri muzik.

“Joey sebenarnya bukanlah orang baru dalam seni. Di samping aktif berlakon, dia juga pernah muncul dengan album solo sekitar 1995, berjudul Beradu Suratan. Dia ialah bekas artis Luncai Emas yang mendapat didikan daripada M Nasir. Dia juga bukan anggota Budak Kaca Mata seperti ditulis dalam sesetengah media massa sebelum ini.

“Joey menyertai kami akhir tahun lalu. Ketika itu juga kami merakamkan dua lagu baru, Ada Dengan Mu yang kini mula mendapat tempat di stesen radio dan Cinta Terindah, untuk album kompilasi ini,”ῠkata Musa yang sehingga kini memuji disiplin penyanyi itu, yang dikatakan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan aktiviti membabitkan mereka secara berkumpulan.

Dedah Along, ketika mereka mencari penyanyi baru selepas Mamat meninggalkan Exists, nama Joey turut tersenarai sebagai calon utama. Namun, ketika itu Joey masih terikat dengan Luncai Emas.

Nampaknya, jodoh penyanyi itu bersama Exists amat kuat. Selepas 13 tahun, dia menganggotai kumpulan berkenaan sebagai penyanyinya.

Exists sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu kumpulan yang sudah pun bergerak aktif sejak 1991 itu berkubur begitu saja dengan peredaran masa. Walaupun bersilih ganti penyanyi, namun mereka ingin sekali melihat Exists sentiasa ada. Bukan sekadar wujud dalam industri, malah mereka berusaha untuk sentiasa hadir bersama karya baru juga.

“Kami pasti berasa segan pada peminat kalau Exists hanya wujud pada nama, sedangkan lagu barunya tiada,” ujar Musa penuh makna.

Dia juga melihat kumpulan itu sudah melalui beberapa fasa sejak penubuhannya. Daripada fasa remaja hingga ke dewasa, semua itu sudah dialami kumpulan berkenaan dan sekarang, mereka muncul lagi dengan fasa seterusnya, berserta dua karya baru serta vokalis yang ketiga.

INFO: Album kumpulan Exists
Exist (1992)
Anugerah (1994)
Exist Dulu Dan Sekarang (2003)
Diammu Gunung Berapi (1996)
Jangan Gentar (1997)
Mutan (1998)
Best Of Exists (2000)
Ada (2001)
Seperti Dulu (2003)
Paragon (2004)
Special Edition (2006)
Hits Rakaman Semula (2007)
Keunggulan Exists (Disember 2008)

Anggota Exists:Joey (vokal)Along (gitar)
Musa (bes)
Ujang (dram)

Berita Harian