Archive | Jins Shamsuddin RSS feed for this section

Syed Kechik Dalam Kenangan

25 Apr

Oleh Kadir Dikoh
bminggu@bharian.com.my


SYED KECHIK meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung
BAGI mereka yang pernah membaca buku berjudul The politics of federalism: Syed Kechik in East Malaysia tulisan Bruce Clifford Ross-Larson yang diterbitkan pada 1976, sudah pasti mengetahui betapa berperanan dan berpengaruhnya Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed dalam politik Sabah dan Sarawak pada era akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1928, Syed Kechik disifatkan sebagai pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung dan pengeluar filem, yang dihantar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke Sabah untuk membantu kawan baiknya, Tun Datu Mustapha Harun.

Mustapha yang menjadi Ketua Menteri Sabah antara 11 Mei 1967 hingga 31 Oktober 1975 ialah pemimpin Sabah yang sangat berpengaruh. Ketika Perdana Menteri sewaktu itu menaiki pesawat komersial untuk pergi ke mana saja, Mustapha sudah memiliki jet peribadi.

Syed Kechik yang ditugaskan sebagai penasihat undang-undang peribadi beliau, dikatakan orang yang paling dipercayai oleh Mustapha hingga ada yang menggelarnya sebagai ‘Ketua Menteri Sabah yang sebenar’.

Menurut buku itu lagi, Syed Kechik juga memainkan peranan belakang tabir atas arahan Tunku bagi membantu menyelesaikan krisis perlembagaan di Sarawak pada 1966 apabila Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan enggan meletak jawatan setelah menerima undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Membaca buku itu seolah-olah kita menonton filem James Bond, ‘melihat’ (membaca) bagaimana liciknya Syed Kechik menemui tokoh di belakang tabir dan berhubung dengan Tunku, menelaah undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian tanpa pengetahuan masyarakat umum tetapi didedahkan dalam buku terbabit.

Namun, peranan sebenar Syed Kechik lebih tertumpu di Sabah. Pada mulanya, Syed Kechik bertugas sebagai Penolong Setiausaha Parti Perikatan Kedah pada 1964 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman (1964-1967) sebelum ditugaskan selaku Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Menteri Pertahanan Awam, Tun Mustapha (1966-1967).

Sejak itu, Syed Kechik begitu rapat dengan Mustapha yang bukan saja sebagai pembantu khas, malah diberi pelbagai jawatan seperti Ahli Majlis Eksekutif Negeri bagi parti Usno (1968-1972); Setiausaha Agung Persatuan Islam Bersatu Sabah (Usia) 1969-71; Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (1970-71) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (1975-76).

Lapan tahun, Syek Kechik membantu Mustapha selaku Ketua Menteri bukan saja berpengaruh dalam politik bagi memperkukuhkan kedudukan pemimpin ulung Sabah itu, malah membantu mengukuhkan ekonomi negeri.

Beliau membina Yayasan Sabah, yang digunakan oleh Mustapha sebagai instrumen utamanya untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa politik. Yayasan itu antara lain berperanan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera Sabah. Ia juga turut menyediakan tajaan dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Bagaimanapun kemelut dalaman yang berlaku dalam parti Usno pimpinan Mustapha menyebabkan parti itu tewas kepada Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh pada pilihan raya negeri 1976. Pergolakan dalaman dan kekalahan itu membawa Syed Kechik kembali ke Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman dan pengaruh dalam dunia politik, Syed Kechik kemudian membabitkan diri secara serius sebagai ahli perniagaan, dengan pembabitannya dalam pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing.

Antara pelaburan terbesar Allahyarham ialah dalam projek pembinaan Wisma On Tai sekitar 1970-an. Syed Kechik juga adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah Sri Hartamas Corporation Bhd. Kejayaan yang dilihat sebagai mercu tanda kepada orang Melayu ialah apabila Syed Kechik berjaya memiliki bangunan sendiri iaitu Yayasan Syed Kechik di Bangsar.

Bagaimanapun, Syed Kechik memulakan kerjayanya dalam perniagaan dan politik agak lambat. Sebagai remaja, beliau membantu ayahnya di kedai dobi dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk belajar dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa di University of California.

Oleh kerana kesempitan hidup, beliau sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran dan sebagai pelayan (waiter) untuk mencari rezeki menampung perbelanjaan. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London sebelum kembali ke Malaysia dan terus membabitkan diri dalam politik Umno di Kedah.

Di situlah beliau mula mengenali Tunku Abdul Rahman dan kemudian diminta oleh Bapa Kemerdekaan itu untuk ke Sabah, Negeri Bawah Bayu yang berjaya menukar corak kehidupannya. Beliau tidak berfikir dua kali untuk menerima tawaran membantu Mustapa.

Apabila kembali ke Semenanjung setelah berakhirnya penguasaan Usno pimpinan Mustapha di tangan parti Berjaya pimpinan Harris, Syed Kechik menumpukan penuh perhatian kepada bidang perniagaan hingga muncul antara Bumiputera pertama menjadi ‘multi-millionaires’.

Syed Kechik adalah juga Presiden pertama Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) setelah terpilih dengan menewaskan Tan Sri Jins Shamsuddin menerusi pengundian pada 1980. Beliau juga mempunyai sebuah syarikat perfileman sendiri iaitu Syed Kechik Film Productions dan filem pertama keluaran syarikatnya ialah Bintang Pujaan yang diterbitkan pada 1979.

Antara filem lain yang diterbitkan oleh Syed Kechik Film Productions yang mendapat sambutan baik penonton ketika itu ialah Sumber Ilhamku lakonan Mahmood Jun dan Datuk Sharifah Aini.

Pada 1990-an, beliau ‘bersara’ daripada bergiat aktif dalam perniagaan dan perfileman dan kembali ke Alor Setar pada usia lanjut, tempat kelahirannya. Syed Kechik meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya merangkap anak saudara iaitu Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar pada 10 April lalu. Amin.

Berita Harian

Bohsia Sarat Aksi

20 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


SYAMSUL paparkan pelbagai isu remaja dalam filem terbaru yang akan ditayangkan mulai 23 April.

Filem kedua anak Datuk Yusof Haslam diadun mengikut cita rasa remaja zaman sekarang

WALAUPUN isu yang dipaparkan dalam filem ke-24 terbitan Skop Productions Sdn Bhd berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah isu lapuk namun ia masih relevan untuk dibahaskan memandangkan masalah sosial itu masih menjadi duri dalam daging.

Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah buah tangan kedua Syamsul Yusof selepas Evolusi KL Drift yang berjaya mengutip RM4.5 juta. Filem genre drama/aksi ini sarat dengan aksi yang sentiasa membuatkan penonton ingin mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Melalui pemikiran Syamsul sendiri sebagai pengarah, pelbagai isu semasa yang dibangkit dalam filem ini hanya berlaku kepada remaja di bawah lingkungan 20 tahun ke bawah.

Dalam usia sebegini, ratanya remaja yang sedang dalam delima mencari identiti diri sering dibelenggu dua pilihan hitam atau putih. Lalu penyelesaiannya adalah hukum karma yang pastinya tidak akan terlepas.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, filem kedua arahan Syamsul adalah filem yang menepati cita rasanya sebagai remaja.


YUSOF bangga dengan hasil kerja Syamsul.

“Bagi saya ini adalah filem dia yang ingin menunjukkan ekspresi anak muda sendiri dalam membuat filem mewakili generasinya.

“Saya sebenarnya cukup berbangga dengan hasil kerjanya selama ini kerana berani untuk membuat filem yang sememangnya dekat dengan dirinya sendiri. Saya sendiri mengakui dan menghargai karya anak muda ini agar tidak dipandang sepi.

“Kadang kala kita terlupa masa sudah berubah, ada kalanya pemikiran anak muda ini tidak boleh diramal. Ini adalah zaman mereka dan idea yang dikeluarkan menepati cita rasa masa kini.

“Saya juga memuji pengarah muda hari ini seperti Syamsul sendiri, Pierre Andre, Norliana, Farid Kamil yang cukup kreatif dalam berkarya,” katanya mengenai filem itu yang akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh tanah air pada 23 April ini.


NABILA sebagai pelakon wanita utama dalam filem Bohsia.

Turut hadir menyaksikan pratonton filem itu ialah Tan Sri Jins Shamsuddin, Ahmad Puad Onah, Mawi, Ekin dan semua pelakon Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Syamsul yang mengambil masa selama 40 hari sebagai tempoh pembikinan filem ini bagaimanapun tidak banyak menghadapi masalah sepanjang penggambaran.

“Alhamdulillah semasa tempoh penggambaran semuanya berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia saya dapat melakukan kerja dengan sempurna.

“Selain itu, juga saya cukup berbangga dengan pelakon filem ini kerana dapat memberi komitmen yang tinggi sepanjang penggambaran terutama Nabila, Salina, Shaheizy, Aaron dan semua yang memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

“Mengenai sasaran hala tuju filem ini, pertamanya saya hanya mensasarkan penonton dapat menyelami dan mengambil iktibar dari apa yang ingin saya sampaikan dan kedua adalah dari segi kutipan agar dapat menampung kos pembikinan kerana jika tidak tentu saya akan dimarahi ayah,” katanya.

Bagi Nabila yang memegang watak utama sebagai Tasya dia juga menganggap Bohsia memiliki cabarannya yang tersendiri.

“Saya cukup seronok sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana kebebasan yang diberikan pengarah dalam membentuk watak tidak dihalang. Semuanya selepas bergaul dan mengenali geng mat rempit dan gadis bohsia untuk mendapatkan karakter sebagai Tasya.

“Memang ada pengalaman yang sukar untuk saya lupakan apabila diminta untuk membonceng di belakang mat rempit dan motor itu dibiarkan berjalan dengan menggunakan tayar belakang saja.

“Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya, apa yang saya fikirkan adakah saya akan jatuh selepas ini,” katanya.

INFO

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd & Grand Brilliance Sdn Bhd

Penerbit: Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Puad Onah

Arahan: Syamsul Yusof

Genre: Aksi/Drama

Mula Tayangan: 23 April 2009

Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

Berita Harian

Tiada Usaha Pulihara Studio Jalan Ampas

6 Mar

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Rap
MESKIPUN bagi kebanyakan pengunjung Jalan Ampas, Singapura, kewujudan sebuah bangunan terbiar usang tercatat No 8, dianggap mencacatkan pemandangan. Sedangkan di tapak itulah suatu ketika dahulu gah sebagai studio penggambaran filem Melayu yang menyimpan pelbagai kenangan dan menjadi gelanggang melahirkan seniman tersohor tanah air.

Studio Malay Filem Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura milik Shaw Brothers beroperasi selama 19 tahun sebelum ditutup pada 1967.

Mengikut sejarah, ia dibangunkan dua beradik, Runme dan Run Run Shaw di kawasan seluas 40,000 meter persegi. Studio itulah yang melahirkan bintang ternama seperti Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan rakan seangkatannya termasuk Datuk Aziz Satar, S Shamsuddin, AR Tompel, Datuk Sarimah, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Ahmad Mahmud, Datuk Jamil Sulong serta ramai lagi.

Malah, di situ juga banyak filem lama yang kekal popular dan menjadi bahan bualan masyarakat sehingga kini, terutama koleksi filem lakonan dan arahan P Ramlee menjalani penggambaran.

Bagaimanapun, pemandangan serba kekurangan bangunan berkenaan mengguris perasaan terutama peminat filem Melayu klasik dan artis veteran yang mengunjungi kawasan itu.

Hanya terdapat sebuah batu memorial didirikan di depan studio berkenaan tetapi tiada sebarang usaha dijalankan di kawasan berkenaan termasuk mengekalkan identiti dan warisan studio berkenaan.

Lokasi bersebelahan bangunan studio berkenaan sudah dibangunkan termasuk kelihatan sebuah pusat penjagaan orang tua dan barisan bangunan rumah kedai yang belum beroperasi.

Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof, berkata sumbangan studio berkenaan tidak seharusnya dilupakan kerana studio berkenaan yang pernah dilabelkan sebagai ‘Hollywood Filem Melayu’ ketika zaman kegemilangannya pada era 1950-an dan awal 1960-an.

Menurutnya, studio berkenaan terpaksa ditutup pada 1967 atas alasan tidak ada lagi sambutan terhadap filem Melayu di Singapura, selain kekurangan bakat baru.

Ini disebabkan ramai seniman dan seniwati filem Melayu ‘lari’ ke Kuala Lumpur berikutan isu politik apabila Singapura terpisah dari Malaysia.

“Apabila menjejak kaki ke studio berkenaan, perasaan yang kami (artis veteran) alami sukar diungkapkan kerana ia tempat mencari makan, menunjukkan bakat dan pelbagai kenangan manis dilalui bersama ketika penggambaran sesuatu filem.

“Antara pengalaman saya di studio berkenaan ialah ketika menjalani penggambaran filem Hang Tuah pada 1956 bersama Tan Sri P Ramlee.

“Kami mendapati keadaannya sudah banyak berubah termasuk barangan lama seperti peralatan penggambaran yang mempunyai nilai sejarah dibiarkan berlapuk. Ia sepatutnya dipulihara sebagai warisan sejarah kerana peranan pentingnya dalam industri perfileman serantau,” katanya.

Sementara itu, artis veteran, Ahmad C, 78, berkata, beliau memulakan kerjanya sebagai pembantu pejabat di studio berkenaan termasuk menghantar mesej kepada artis mengenai jadual penggambaran dari lokasi berkenaan ke sesuatu tempat dengan hanya menaiki basikal.

Menurutnya, biarpun sudah lama tidak mengunjungi studio berkenaan akibat menghidap lelah, pelbagai peristiwa dan kenangan di studio Jalan Ampas terpahat di fikirannya selama-lamanya.

“Ramai yang tertanya bagaimana terdapat perkataan C di belakang nama saya. Ceritanya bermula apabila pengarah sukar memberi arahan kerja di studio apabila terdapat tiga pekerja bernama Ahmad. Oleh itu pengarah berkenaan meletakkan huruf di penghujung nama setiap kami termasuk Ahmad A, Ahmad B dan diikuti nama saya Ahmad C.

“Saya juga mempunyai pengalaman berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok apabila pengarah Ahmad Nesfu menghalau ‘budak tiga ekor’ Bujang Lapok, saya mencelah dengan secebis kertas, “Tuan Director, ini tiga orang tak tahu pasal shooting!”.

“Lebih sayu mengenangkan pahit getir dilalui untuk menyara hidup sesudah Studio Jalan Ampas di Singapura ditutup. Sejak itu saya melakukan apa saja untuk mencari rezeki sehingga kini ‘tersadai’ di Tanjung Buai, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor,” katanya ketika ditemui di kediamannya di rumah pangsa berhampiran Tampines, Singapura, baru-baru ini.

Harian Metro

Yusof Bergelut Untuk Hidup

10 Feb

Oleh MOHD YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my

Keputusan Yusof menolak tawaran kerja sebagai pegawai penjara di Taiping, Perak kerana enggan meninggalkan Kuala Lumpur menjadi titik mula dirinya untuk bergelar jutawan.


KACAK. Wajah kacukan yang menghangatkan dunia filem Melayu era 1970-an dan 1980-an.

DULU dan kini, tiada perubahan bagi Datuk Yusof Haslam. Jika zaman mudanya disifatkan sebagai mencabar kerana terpaksa bergelut dan bersusah payah untuk hidup, begitu juga pada hari ini. Senarionya tetap sama.

“Jangan ingat bila saya ada rumah besar di tepi bukit, saya sudah boleh goyang kaki. Salah tanggapan itu,” tegasnya saat ditemui Kosmo! di pejabat syarikat filem miliknya, Skop Production Sdn. Bhd. di Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Masih tampan, segak dan bergaya biarpun bakal menginjak usia 55 tahun menjelang 24 April ini, Yusof mengakui dia masih memikul tanggungjawab yang besar dan berat dalam mengepalai empayar yang sudah dibinanya selama ini.

Meskipun tidak lagi aktif sebagai pengarah filem, namun sebagai penerbit, menurut Yusof, banyak perkara yang perlu difikirkannya sehingga membuatkan dalam tempoh sebulan, hanya 15 hari dia memperoleh tidur yang cukup iaitu masuk tidur pada pukul 1 pagi dan bangun pada keesokan harinya menjelang pukul 9 pagi.

“Baki 15 hari lagi waktu tidur saya bermula pada pukul 4 pagi sebelum bangun sembahyang Subuh dan sambung semula tidur sehingga pukul 11 pagi. ‘Jadual’ tidur saya itu sebenarnya berselang-seli, hari ini cukup tidur, keesokannya tak cukup tidur dan begitulah seterusnya,” jelas Yusof.


KIRI: YUSOF diapit rakan pelakon, Dharma Harun Al-Rasyid (kiri) dan arwah Raffi Hussein. KANAN: NOOR KUMALASARI ketika bergandingan dengan Yusof dalam filem Penentuan.

Kedengaran agak menyukarkan bagi karyawan filem yang pernah digelar Six Million Dollar Man Malaysia itu. Kenapa dia perlu bersusah payah sebegitu jika sudah bergelar jutawan?

Kenapa masih bergelut untuk hidup? Ini sebabnya: 120 dan RM500,000. Itu angka-angka yang sering bermain dalam benak fikiran Yusof.

“Di Skop Production sahaja, saya ada 60 kakitangan tidak termasuk 60 pekerja restoran saya di Jalan Pahang dan di kantin ibu pejabat TV3 di Damansara dan restoran di Danau Kota. Kesemuanya ada 120 pekerja yang makan gaji dengan saya. Jumlah itu tidak termasuk barisan pelakon yang membintangi drama dan filem saya,” ujarnya.

Tambahnya: “Kalau nak kira, kos operasi Skop Production dalam sebulan termasuk kos pembikinan drama mencecah RM500,000. Daripada setengah juta itu, kos bayaran untuk gaji pekerja sahaja mencecah RM155,000. Kalau buat filem pula, kos boleh cecah RM1.3 juta sebulan.”

“Kesemua itu membuatkan saya masih bergelut untuk hidup. Namun, selepas 25 tahun menghasilkan drama-drama TV dan 18 tahun bergelar penerbit filem, saya tidak menggangap semua itu sebagai bebanan tetapi satu tanggungjawab,” tegas Yusof lagi.

“Memanglah kalau saya mementingkan diri, saya sudah boleh goyang kaki sekarang. Namun, saya masih bergelut demi kepentingan generasi masa depan keluarga saya dan keluarga pekerja-pekerja saya.

“Lagipun pada usia saya sekarang, saya rasa masih muda dan saya kena kerja kuat bagi memastikan minda saya sentiasa bergerak. Mungkin 10 tahun lagi, saya akan memperlahankan aktiviti kerja saya ini,” akuinya.

Sekadar dibayar RM4

Tidak lupa diri untuk terus bergelut dalam hidup biarpun selepas bergelar jutawan, Yusof sebenarnya berpaksikan kepada pergelutannya untuk hidup ketika zaman muda dahulu.


YUSOF dalam satu babak filem Cinta dan Lagu.

Dibesarkan di Kuala Lumpur, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Polis Depoh di Kampung Datuk Keramat, sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di Cheras.

Sejak di bangku sekolah lagi, Yusof sudah menunjukkan minat untuk menjadi inspektor polis, ahli perniagaan atau bintang filem.

“Ketika sekolah dahulu, saya seorang yang periang, dan suka ambil bahagian dalam pidato sejak sekolah rendah lagi. Saya juga gemar menonton filem Melayu, koboi dan Hindustan.

“Pelakon wanita idola saya ketika itu ialah (seniwati) Sarimah. Sementara aktor idola nombor satu saya pula ialah (Senator Tan Sri) Jins Shamsuddin. Jins banyak mempengaruhi saya ketika remaja. Apa yang dia buat, saya juga mahu lakukan,” kenang Yusof.

Disebabkan itulah, sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh gred tiga, Yusof terus mencari peluang berlakon di Studio Hulu Klang.

“Kerjaya seni saya bermula sebagai pelakon tambahan. Sekali berlakon, dapatlah bayaran sebanyak RM4. Selain itu, saya juga mengikuti kursus drama di RTM,” ungkapnya.

Nikmat ketenteraman hidup

Dalam pada itu, menurut Yusof, dia turut memohon jawatan inspektor polis tetapi gagal kerana syarat minimum yang diperlukan ialah kelulusan SPM gred dua.

“Namun, saya dapat tawaran bekerja sebagai pegawai penjara di Taiping, Perak, tetapi saya tolak. Ia kerana kata hati saya begitu kuat untuk enggan meninggalkan Kuala Lumpur sebab ibu kota beri saya banyak peluang untuk memajukan diri,” ujarnya.


POTRET kenangan bersama isteri tercinta, Datin Fatimah Ismail sewaktu muda.


WALAUPUN bakal mencecah usia 55 tahun, Yusof masih kuat bekerja.

Menganggap penolakan itu sebagai ada hikmah di sebaliknya, Yusof pantas memfokus terhadap bidang lakonan. Bapanya merupakan seorang pemandu bas dan abang sulungnya yang bekerja sebagai konduktor bas tidak merestui haluan yang dipilih Yusof sehingga Yusof ‘dipaksa’ untuk turut bekerja sebagai konduktor bas.

“Saya hanya bertahan menjadi konduktor bas selama 10 bulan. Pada tahun 1974, ketika berusia 19 tahun, saya mengikat kontrak dengan Shaw Brothers untuk menjayakan filem warna pertama lakonan saya berjudul Penentuan.

“Saya dibayar gaji RM500 sebulan untuk tempoh tiga tahun. Antara artis lain yang turut mengikat kontrak dengan Shaw Brothers ialah Uji Rashid dan Nozie Nani,” bicaranya.

Selepas Shaw Brothers ditutup pada 1978 dengan produksi terakhirnya filem Adik Manja, Yusof mengorak langkah menyertai syarikat filem Jins dan filem pertama lakonannya berjudul Tiada Esok Bagimu.

“Saya dibayar sebanyak RM3,000 ketika itu,” beritahunya.

Menurutnya lagi: “Di samping itu, bagi mencari wang tambahan, saya mengikut rakan-rakan pelakon yang juga penyanyi iaitu Hail Amir dan Latif Ibrahim membuat persembahan pentas termasuk di Sabah dan Sarawak.”

Kematian bapanya cukup meninggalkan kesan buat Yusof. “Bapa meninggal dunia pada 1979 dan selepas itulah, saya terkenangkan arwah yang pernah berkata kerjaya sebagai pelakon tidak ada masa depan selepas melihat apa yang menimpa (Tan Sri) P. Ramlee berikutan penutupan Shaw Brothers.

“Ia membuka mata saya untuk mencari tapak yang lebih kukuh. Saya menjadi ejen penjual kereta. Di situ, minat bisnes saya selama ini mulai menjadi kenyataan apabila saya membuka kafetaria di Bangunan PKNS, Jalan Raja Laut (yang bertahan selama empat tahun) dan restoran Jalan Pahang yang masih beroperasi sekarang selepas 25 tahun.

“Terus terang saya katakan ketika itulah saya baru berasa nikmat ketenteraman hidup. Ini kerana sebelum itu, ketika berlakon pendapatan saya tidak tetap. Tetapi menerusi bisnes, saya benar-benar rasa pegang duit. Menjelang 1984 apabila RTM membuka ruang untuk drama-drama swasta, saya menubuhkan Skop Production,” jelasnya.

Yusof menyambung cerita: “Saya masih ingat, projek pertama syarikat saya adalah menghasilkan lima episod drama. Projek itu bernilai RM300,000, sedangkan saya cuma ada modal ketika itu RM20,000.”

Namun, projek itu berjaya direalisasikan berkat bantuan pinjaman di sana sini, khususnya daripada saudara-mara.

“Itu cabaran untuk menghasilkan lima episod drama setahun, tetapi pada hari ini, cabaran saya adalah menghasilkan 150 episod setahun. Justeru, tiada bezanya dahulu dan kini. Saya masih terus bergelut dengan kehidupan ini,” akhiri Yusof.

Kosmo

Jarum Emas: Sejarah Bukit Elit

13 Dec

Oleh Adam Salleh

Rap
BUKAN ‘seorang dua’ artis kita tinggal di Bukit Antarabangsa. Sebaik bencana tanah runtuh berlaku di kawasan elit itu minggu lalu, seorang demi seorang artis kita tampil beri komen, yang ‘bestnya’ baru kita tahu Cico anak ‘jantan’ penyanyi Uji Rashid bakal menjadi ayah. Bila pula Cico kahwin?

Itu hak peribadi dia, tetapi yang pasti Bukit Antarabangsa tidak sunyi daripada tragedi. Ada saja bencana alam berlaku di kawasan elit di pinggir ibu kota ini, yang kian menjadi pilihan selebriti.

Sekadar berkongsi info, di Kuala Lumpur, sebelum muncul Bukit Antarabangsa, ramai artis menetap di Kampung Klang Gate Baru, kemudian sebaik Taman Melawati mulai berpenghuni, artis kita tertarik membeli atau menyewa di situ. Antaranya, Datuk Ahmad Daud dan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Sekitar 1970-an dan 1980-an Kampung Klang Gate Baru dan Taman Melawati digelar Beverly Hills. Jika tidak percaya, setiap kali lebaran tinjaulah ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, kita dapat melihat berduyun-duyun artis menziarahi pusara ahli keluarga mereka yang dikebumikan di situ.

Sebab musabab kediaman artis tertumpu di kedua-dua kawasan itu kerana ia berdekatan Studio Merdeka, iaitu satu-satunya studio filem di ibu kota tempat mereka mencari rezeki dulu.

Studio itu kini menjadi Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau Finas. Tidak terlintas mencetuskan polimik atau mistik, tetapi saya ingin mengimbau nostalgia silam keadaan Bukit Antarabangsa dan Taman Melawati sebelum dimajukan seperti yang kita lihat sekarang.

Sejak era 1960-an, laluan jalan utama di bawah Bukit Antarabangsa itu menghala ke Ampang tidak asing bagi arwah ayah saya. Orang lama cuma tahu di Bukit Antarabangsa ada jirat Cina.

Namun usahkan orang biasa, orang filem generasi baru pun barangkali tidak tahu betapa di situlah dikebumikan jenazah pengasas Cathay Kris Film, iaitu mendiang Datuk Loke Wan Tho.

Beliau anak mendiang Loke Yew dilahirkan pada 1915 dan terkorban dalam nahas kapal terbang ketika menghadiri Festival Filem Asia di Taiwan pada 1964.

Sekitar 1962 hingga 1965, selepas meninggalkan studio Cathay Keris Film di Singapura, ayah saya menjadi pengarah filem di Studio Merdeka. Status pengarah ketika itu memang hebat, tauke studio menempatkan ayah saya di Lucky Garden, Bangsar, yang ketika itu dianggap kawasan elit oleh orang KL. Berjiran pula dengan Tun Haniff Omar, yang kemudian menjawat Ketua Polis Negara.

Kampung Klang Gate Baru ketika itu belum dibangunkan lagi, tetapi sudah dibina empangan. Kerja filem pula tidak menentu, lalu bukan sekali dua petugas di studio balik lewat pagi.

Untuk ke Bangsar dari Hulu Klang, cuma ada dua jalan iaitu melalui Kampung Klang Gate Baru menempuh Kampung Pasir, menghala ke Setapak lalu ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Laluan lagi satu pula dari Hulu Klang menghala ke Ampang, dulu mana ada Bukit Antarabangsa, yang glamor adalah Ampang.

Petugas studio, termasuk ayah saya, jika habis penggambaran hingga lewat pagi sebenarnya lebih selamat memilih jalan ke Ampang, berbanding menempuh Setapak untuk ke Bangsar.

Sebabnya, satu ketika ayah saya bercerita, usahkan dia, malah askar pun berfikir dua tiga kali mahu melalui jalan di mana sekarang ini terletak Taman Bunga Raya menghala Kem Wardieburn.

Kawasan sekitarnya hutan tebal dan di laluan itu acapkali mereka terserempak binatang buas dan paling menakutkan ular besar melingkar di jalan raya. Trak askar pernah terbalik melanggar ular itu.

Bagi mengelak risiko itu, ramai memilih jalan lebih selamat iaitu dari Hulu Klang menempuh laluan di bawah Bukit Antarabangsa, seterusnya ke Ampang. Laluan ini tiada ular atau binatang buas, namun iman harus tebal kerana misteri di kawasan itu membuatkan bulu tengkuk mudah meremang.

Ini cerita orang lama, bukan diada-adakan. Apa yang diberitahu kepada saya, satu keganjilan setiap kali melalui sepanjang jalan Bukit Antarabangsa ke Ampang itu harumannya semerbak mewangi.

Masing-masing faham sendiri melalui jalan itu, cuma satu hal yang terjadi apabila pemandu lori studio dipanggil Pak Aziz (pak long kepada Azwan Ali) beberapa kali terserempak wanita misteri berpaut pada lorinya.

Versi ibu saya pula, seorang ayah saudara saya pegawai polis di Ampang. Jadi, selalulah ibu saya bertandang ke rumahnya dan pastinya melalui laluan hutan belantara di Bukit Antarabangsa itu.

Bila kejadian tanah runtuh terjadi di sana Sabtu lalu, ibu saya bertanyakan kolam mata air. Hairan juga, mata air disebut kolam tetapi orang lama sedia maklum di kawasan itu pada era 1960-an menjadi tumpuan lori balak untuk merendamkan berpuluh kayu balak dalam kolam besar di sana.

Mata air menjadi kolam, menarik juga cerita orang lama. Namun lebih menarik bila orang lama tertanya-tanya ke mana perginya kolam mata air yang merendamkan berpuluh kayu balak di situ?

Buat mangsa tanah runtuh, hanya cekal dan sabar diharapkan menerima ujian Allah. Namun apa yang terjadi di Bukit Antarabangsa membuatkan saya terfikir betapa peribahasa lama eloklah diberi nafas baru.

Jika dulu, orang tua berpesan andai takut dilambung ombak, usah diri rumah di tepi pantai, kini lebih sesuai, “jika takut tanah runtuh, usah bina rumah di lereng bukit.”

ADAM: Moga panjang umur dan selamat ulang tahun ke-76 buat bonda tercinta, Raja Hamidah Raja Saat.

Harian Metro