Archive | February, 2007

Kayla Beverly Hills Kini Milik Normaziah

6 Feb

NAMA-Nama bintang seperti Nanu Baharuddin, Ziela Jalil dan Malik Nor satu ketika dahulu begitu sinonim dengan jenama Kayla. Tapi itu dulu ketika jenama Kayla yang diimport dari Beverly Hills, Amerika Syarikat mula mencipta identitinya di negara ini.

Jenama yang mula bertapak sejak tahun 1992 itu masih lagi mengekalkan kualiti dan penggunaan bahan semula jadi dalam rumusan produk kecantikannya.

Kini jenama Kayla dimiliki sepenuhnya oleh usahawan wanita Melayu, Datin Normaziah Sheikh Mohamed selepas mengambil hak atas jenama tersebut.

Dengan pengalaman selama lebih 18 tahun dalam dunia kecantikan, Normaziah meneruskan penjenamaan Kayla di bawah syarikatnya Dermilab Sdn. Bhd.

”Bukan mudah untuk menghidupkan semula ‘enjin’ perniagaan Kayla yang kurang mendapat sambutan sejak dua tiga tahun dulu. Saya banyak melakukan perbincangan serta memikirkan idea yang mampu menarik lebih ramai pengguna produk Kayla,” ujarnya ketika ditemubual selepas pelancaran makanan kesihatan Kayla Collagen di PJ Hilton, baru-baru ini.

Menurut Normaziah, kalau dulu Kayla 100 peratus mengimport barangan dari luar negara, kini jenama ini menghasilkan produk di sebuah kilang yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan dan mengeksport kembali ke luar negara.

”Ini sesuatu yang amat menguntungkan rakyat Malaysia, barangan kosmetik serta penjagaan kulit dari Kayla kini diformulasi oleh orang tempatan mengikut keperluan dan kulit wanita Malaysia,” ujarnya yang turut bercadang memfrancaiskan jenama Kayla pada masa akan datang.

Mengulas tentang pemilihan Juliza Adlizan sebagai duta jenama Kayla terbaru, Normaziah berkata, Juliza merupakan wakil kebanyakan wanita Malaysia berusia awal 40-an yang menjalankan aktiviti seharian seperti bekerja, memasak dan macam-macam lagi.

Menurut Normaziah lagi kandungan kolagen dalam kulit manusia mula berkurangan sebanyak 1.5 peratus tatkala usia mencecah 25 tahun.

”Juliza dan saya sendiri telah mencuba produk Kayla Collagen sejak empat bulan lalu dan kami mendapati ia banyak merubah kualiti kulit kami yang seharian terdedah dengan suhu panas dan udara tercemar,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Noraini Ahmad selaku individu yang merasmikan produk terbaru Kayla Collagen turut melahirkan rasa bangga kerana Kayla merupakan satu-satunya syarikat kosmetik pertama yang terlibat dalam menyumbangkan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Batu Pahat dan Sekijang, Johor.

”Alhamdulillah, Kayla dan pergerakan Puteri telah berjaya menghantar sumbangan dalam bentuk barangan keperluan bayi dan wanita bagi membantu mengurangkan penderitaan mangsa banjir di Johor terutama di Batu Pahat. Saya berharap dengan penglibatan Kayla akan menarik lebih banyak lagi syarikat kosmetik untuk turut serta menghulurkan bantuan bagi mereka yang ditimpa bencana,” kata beliau.

Utusan Malaysia