Archive | Eva Mendes RSS feed for this section

Eva Mendes Teratas Senarai Impian Lelaki

24 Jan



Eva Mendes (kiri) dan Megan Fox

Aktres kelahiran Cuba pilihan lelaki, Megan Fox tempat kedua diikuti model Marisa Miller

LONDON: Bintang filem The Spirit yang seksi, Eva Mendes mengejutkan hampir semua pihak selepas beliau mengungguli tangga teratas senarai ‘wanita paling diimpikan’ berdasarkan kajian pendapat majalah online, AskMen.

Aktres kelahiran Cuba berusia 34 tahun itu menduduki tempat pertama dalam undian yang meminta lelaki menamakan wanita ideal yang memiliki ciri kelakar, pintar dan berkarektor selain mempunyai tarikan seks.

Mendes yang berada di tempat keempat dalam senarai tahun lalu yang dikumpulkan halaman web AskMen.com gembira dengan kedudukan terkini dengan berkata:

“Inilah ciri paling menarik lelaki iaitu memberikan penghargaan hingga membolehkan saya berada di tempat teratas. Terima kasih semua.”

Eva mengatasi aktres Transformers, Megan Fox yang menduduki tempat kedua manakala model Victoria Secret, Marisa Miller dan model glamor Britain, Keeley Hazell masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Fox dinamakan sebagai ‘wanita paling seksi di dunia’ tahun lalu oleh majalah FHM tetapi hanya mampu berada di tempat kedua dalam undian membabitkan lebih 10 juta pembaca majalah AskMen.com.

“Ia menakutkan tersenarai sekali lagi dalam AskMen.com! Ia tahun yang menarik dan mengetahui saya mempunyai peminat yang mencukupi untuk mengundi dan menyokong saya amat menakjubkan,” kata Marisa Miller dalam satu kenyataan.

Pendatang baru yang tersenarai tahun ini termasuk Isla Fisher yang berada di tempat ke 31, penyanyi I Kissed A Girl, Katy Perry di tempat ke 38, dan isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Carla Bruni, di tempat ke-76.

Aktres Scarlett Johansson yang berada di tempat ketujuh berkata: “Ia satu penghargaan kepada saya terpilih di kalangan 10 juta pembaca AskMen sebagai seorang daripada wanita impian.”

Pengacara Project Runway, Heidi Klum; pemenang Oscar, Halle Berry, Kate Beckinsale, Jessica Biel; bintang Confession of a Shopaholic, Isla Fisher; Charlize Theron; superstar Bollywood, Aishwarya Rai dan calon Oscar 2009, Penelope Cruz dan Angelina Jolie, turut tersenarai.

Bagaimanapun, penyanyi Britney Spears tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas yang turut membariskan penyanyi Christina Aguilera, Carrie Underwood dan Beyonce. Britney berada di tangga ke-90.

Begitu juga dengan Madonna yang tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas malah juga tidak berada dalam senarai 99. – Agensi

Berita Harian

Kurus Terlampau

18 Sep


OBSES dengan bentuk badan yang kurus sudah diketahui umum sebagai satu perkara yang sinonim dengan golongan selebriti Hollywood. Mereka sering memikirkan pelbagai cara untuk menguruskan badan.

Ada yang menggunakan cara sihat seperti bersenam tetapi ada juga mengamalkan diet cara melampau supaya dapat tampil kurus selalu.

Tidak kira apa caranya, minggu ini mari kita melihat cerita diet Eva Mendes, Mariah Carey, Ashlee Simpson dan David serta Victoria Beckham yang mahu mengekalkan bentuk badan mereka yang dikatakan terlalu kritikal.

Pertarungan gim Eva Mendes

Selalu tampil seksi, Eva Mendes memberitahu bahawa dia sebenarnya sentiasa bergelut untuk mengekalkan bentuk badannya.

Aktres Ghost Rider ini mengaku bahawa dia tidak menyukai apabila aktres lain memberitahu bahawa mereka tidak perlu memikirkan mengenai apa yang mereka makan kerana dia perlu banyak berusaha untuk mengekalkan berat badannya.


EVA MENDES

“Ada seketika saya memberikan alasan kepada diri saya supaya tidak pergi ke gim dan ia bagaikan satu pertarungan. Apabila saya mendengar ada aktres yang menyatakan mereka tidak perlu menjaga pemakanan, saya ingin menerkam mereka kerana saya selalu bergelut dengan isu ini.

“Ia adalah satu masalah yang selalu menganggu saya. Maka saya perlu sentiasa memastikan makan sayur-sayuran serta buah-buahan dan bersenam,” katanya.

Eva juga mendedahkan bahawa dia berasa tertekan untuk mengurangkan berat badan tetapi tekad untuk tidak terkongkong dengan pandangan orang ramai mengenai bentuk badannya.

“Saya bukannya seperti kebanyakan gadis di luar sana. Saya orang Cuba. Jadi saya mempunyai pinggul dan punggung yang agak menonjol. Dan saya juga ingin kekal dengan bentuk badan seksi,” tambah Eva

Hamil hancurkan bentuk badan – Mariah

Penyanyi seksi, Mariah Carey bertegas untuk tidak mengandung kerana dia tidak mahu berat badannya meningkat. Dia yang baru muncul dengan album baru, E=MC² juga sering menunjukkan bentuk badannya yang kurus dalam pakaian ketat baru-baru ini.

Mariah yang berasa yakin dengan bentuk badan baru ini dilaporkan tidak bergegas untuk menambah ahli keluarga dengan suaminya, Nick Canon kerana bimbang beratnya akan meningkat dan usahanya menguruskan badan akan disia-siakan.


MARIAH CAREY

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Mariah sentiasa diusik mengenai bila dia akan mengandung. Namun, dia hanya akan membalas dengan pandangan yang menjengkelkan dan memberitahu mengenai bentuk badan barunya dan betapa susahnya dia perlu bekerja keras untuk menguruskan badannya.

“Maka dia tidak mahu mengandung dan menghancurkan bentuk badannya. Dia kini sedang menikmati hidupnya dan tidak mahu mengubahnya atas sebarang alasan.

“Dia akan menjalankan konsert selama sebulan untuk membantu kanak-kanak yang kebuluran di seluruh dunia tetapi memiliki anak sendiri bukan impiannya.”

Motivasi jean Ashlee Simpson

Isteri kepada Pete Wentz, Ashlee Simpson telah membeli enam pasang jean bersaiz kosong sebagai motivasi kepada dirinya untuk menguruskan badan.

Dia yang sedang mengandungkan anak pertama dilaporkan berasa risau kerana berat badannya yang semakin meningkat dan membeli jean bersaiz kecil itu supaya dia boleh kekal fokus.


ASHLEE SIMPSON

Menurut satu sumber kepada majalah National Enquirer, “Ashlee menangis semasa bertemu dengan doktor awal Ogos lalu apabila berat badannya dilihat meningkat lagi.

“Dia kemudian terus menuju ke kedai Planet Blue untuk membeli enam pasang jean bersaiz kosong. Dia tidak dapat memakainya sekarang tetapi berharap jean itu mampu membuatkan dia berjaga-jaga dengan pemakanannya.”

Bukan sahaja membeli jean sebagai motivasi diri, Ashlee juga telah melakukan rejim senaman yang ketat supaya beratnya badannya tidak meningkat secara mendadak.

Berat badannya yang sudah meningkat sebanyak 20 paun (sembilan kilogram) amat membimbangkan dia dan Ashlee telah mengupah jurulatih, Mike Alexander untuk membantunya.

Tambah sumber itu, “Dia masih berharap supaya dia boleh membataskan berat badannya daripada meningkat melebihi 35 paun (15.8 kilogram). Jadi dia melakukan senaman berisiko rendah seperti Pilates.”

Pasangan Beckham musnahkan diri?

Sungguhpun pemain bola sepak terkemuka dunia, David Beckham mempunyai bentuk badan yang ideal, dia juga mempunyai perasaan takut dirinya akan bertukar menjadi gemuk, botak dan tua.

David yang mempunyai tiga orang anak bersama Victoria terlalu bimbang dia akan kehilangan penampilannya dan sedang melakukan apa sahaja untuk mengekalkan rupa parasnya seperti sekarang.

“David telah menjadi ‘gila’ kerana berasa tidak yakin. Dia kerap memberitahu Victoria bahawa dia takut akan menjadi gemuk dan tua. Maka dia telah pergi ke gim setiap hari untuk beberapa jam. Dia tidak boleh tahan apabila memikirkan dirinya akan menjadi gemuk dan tua,” kata satu sumber.

Namun, isterinya tidak begitu risau dengan suaminya yang semakin tua. Malah dia mendapati suaminya itu terlalu paranoid. Akan tetapi Victoria sendiri juga melakukan diet ketat untuk mengekalkan berat badannya yang kurus itu.

Apabila Victoria memberitahu bahawa dia mengidam makanan, pembantunya memahami maksud bekas anggota kumpulan Spice Girls ini yang hanya mahu memakan makanan dalam kuantiti kecil.


PASANGAN David Beckham dan Victoria.

Mereka menempah sebuah restoran mewah dan memesan beberapa hidangan dalam jumlah sedikit yang semuanya dimasak tanpa minyak, sos, mentega atau garam.

Senarai hidangan pelik itu hanya mengandungi 302 kalori, jauh lebih rendah berbanding 1,000 kalori yang disyorkan untuk seorang ibu dengan tiga anak seperti Posh.

Ketika berada di restoran berkenaan, wanita itu tidak menjamah ikan tuna yang dihidangkan sebagai pembuka selera dan udang untuk hidangan utama. Tetapi dia meminum empat gelas champagne yang sudah diketahui umum mengandungi 523 kalori.

“Dia telah melakukan diet yang melampau dan saya tidak akan mengesyorkan diet seperti itu kepada sesiapa pun. Ia terlalu cerewet dan obsesi dan bertambah buruk dengan pengambilan alkohol,” kata seorang pakar pemakanan, Dr. Ian Campbell ketika diminta mengulas mengenai tabiat makan Posh.

Malah bagi memastikan semua makanan mematuhi syarat, semua makan diperiksa sebelum dijamah. Itulah obses Victoria yang dilihat sedang memusnahkan dirinya yang semakin kurus.

Kosmo