Gaya: Sehelai Baju Untuk Dua Majlis

4 May



Wan Huzairil Wan Hussein

Soalan:

SAYA akan menghadiri satu majlis perkahwinan gilang gemilang pada Ogos ini dan satu majlis makan malam pada November. Saya merancang untuk membuat sehelai baju yang boleh dipakai pada dua majlis ini. Selain mengenakan baju kurung yang sememangnya sesuai untuk menghadiri semua majlis, saya ingin mengenakan fesyen lain seperti kurung moden ataupun gaun. Saya mempunyai ukuran badan 40-35-41 dan ukuran agak besar pada bahagian lengan iaitu 13 inci. Untuk pengetahuan saudara, saya berkulit cerah.

Fida Sahlan, melalui emel.
Jawapan

Menghadiri majlis perkahwinan dan makan malam memerlukan dua gaya berbeza iaitu busana bercirikan tradisional dan moden. Oleh itu, saudari perlu bijak membuat percaturan dalam usaha menjimatkan kos dan memudahkan tugas memilih busana. Pada saya, sehelai baju untuk dua majlis berkenaan sudah memadai.

Justeru, kali ini saya lakarkan rekaan bercirikan tradisional dan moden khusus untuk saudari. Busana ini kelihatan seperti kebaya singkat berkolar pada potongan depan baju tetapi pemilihan fabrik dan sentuhan moden membuatkan busana itu kelihatan seperti sut tiga keping.

Tubuh saudari adalah normal, cuma ukuran pada bahagian dada agak besar menjadikan ia kelihatan tidak seimbang. Jadi saya cadangkan leher baju dipotong berbentuk V bagi memberi ilusi kecil pada bahagian dada. Tampalan renda Perancis (French Lace) pada kolar pula dibuat supaya busana kelihatan lebih elegan dan mewah.

Selain renda Perancis, saudari boleh gantikan ia dengan renda lain yang lebih murah, namun prinsip untuk menjadikan sesuatu rekaan kelihatan mewah adalah melalui penggunaan tatahan manik dan kristal.

Selain itu, sulaman jemeki dan tampalan kristal Swarozki pada kolar juga penting bagi mengalih tumpuan dan menyembunyikan bahagian dada anda selain menambah seri busana.

Untuk rekaan kali ini, saya cadangkan supaya saudari gunakan sifon berwarna merah. Ciri sifon yang jatuh cantik membuatkan potongan jaket lebih terserlah. Boleh juga buatkan alas (lining) untuk jaket, tetapi kali ini saya cadangkan supaya saudari hanya mengenakan anak baju (camisole) pada bahagian dalam jaket.

Jangan abaikan hiasan pada hujung lengan misalnya melalui tampalan renda Perancis seperti yang digunakan pada kolar. Oleh kerana saudari mempunyai ukur lilit lengan yang agak besar, sembunyikan bahagian berkenaan dengan mengelakkan pemakaian baju daripada fabrik keras.

Padankan jaket dengan kain kembang atau berpotongan A-line bagi menyeimbangkan bentuk tubuh dan punggung. Kreativiti dalam menggandingkan penggunaan material merubah gaya busana. Oleh itu, saya cadangkan supaya saudari menggunakan alas skirt daripada fabrik sutera satin hitam. Gandingan merah dan hitam pada dua jenis material itu pasti membuatkan gaya anda lebih menyerlah pada majlis itu nanti.

Penggunaan aksesori perlukan sederhana. Bagi menyesuaikan ia dengan kebaya singkat berkolar merah dan hitam, saya sarankan supaya anda gandingkan ia bersama kalung mutiara hitam atau seutas rantai berlian (one line diamond). Pastikan ia tidak terlalu sarat.

PROFIL: Wan Huzairil Wan Hussein

  • Lulusan Diplome de Proffesuer in Moulage dan Diplome de Proddesuer in Fashion Design di Esmod Paris, Bangkok.
  • Antara pencapaian pereka berbakat ini, tempat ketiga Pakaian Pengantin Majalah Wanita (1994), Juara Pertandingan Jarum Berlian (1998), Juara Pertandingan Pakaian Pengantin Majalah Nona (1999), menerima gelaran ‘Raja Corset’ dan ‘Raja Songket Kontemporari’ pada 2005.
  • Rekaan pereka berbakat kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menjadi pilihan kerabat diraja Kelantan, selebriti terkenal Nasha Aziz, Anita Sarawak, Nurul, Ajai, Rozita Chek Wan dan artis baru seperti Sherry Ibrahim, Ashraf Muslim serta Iqram Dinzly.
  • Sesiapa yang berminat mendapatkan khidmat Wan Huzairil, hubungi beliau di talian 016-3653341 atau kunjungi butik Wan Huzairil di No 43, Jalan Suadamai 2/3, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras atau Lot 1308, Jalan Seroja, Taman Uda Murni, Kota Bharu, Kelantan.

INFO:

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: