Archive | Kosmo RSS feed for this section

‘Kejayaan’ Kilang AF

18 May

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

KONSERT akhir Akademi Fantasia musim keenam hanya tinggal beberapa hari sahaja. Ini bermakna tapak mula untuk kesemua pelajar bergelar bintang semakin hampir.


DIAM ATAU MEMBAWA DIR?TATKALA suara Nana berkumandang setiap hari di radio dan Mawi membawa langkah demi langkah ke pentas anugerah dan negara luar untuk ‘menjual’ bakat, beberapa nama yang dulunya pernah ditepuk sorai diam terus. Ke mana agaknya Lotter yang dahulunya merupakan naib juara AF4? Khabarnya dia sekarang lebih senang bersama anak-anak band untuk bergerak sendiri. Amirul, Fuad dan Kaer lebih selesa bergelar pelajar di negara asing. Ebi pula selesa bergelar pelakon walau pernah juga bergelar naib juara yang diadili melalui nyanyiannya. Lima bintang AF yang sempat ditemuramah ini menceritakan ‘kesepian’ mereka selepas bergelar bintang.

Mengenang kembali perkembangan semua 76 bintang yang lahir menggunakan platform yang sama, ada yang berjaya bergerak dengan bakat yang berbeza.

Ada yang mekar bergelar bintang dan masih megah di kaca televisyen dan dada majalah. Dan tidak kurang pula yang sepi membawa diri masing-masing.

Persoalannya, adakah populariti yang dicipta di pentas AF mampu membawa mereka terus kekal di hati dan pemikiran peminat yang dahulunya menyanjung tinggi mereka dengan SMS?

AHMAD AZIZI MOHAMED Tempat Ketiga Musim Pertama

AZIZI menegaskan ada golongan yang lebih pentingkan paras rupa.

Sewaktu Azizi dihubungi, jejaka kelahiran Pahang ini sedang bersiap-siap ke negeri kelahirannya untuk menghadiri undangan nyanyian. Dan sambungnya, Julai nanti dia bakal muncul dalam undangan untuk Kosmetik Avon bersama Mawi.

Terdengar sedikit keluhan akan nasibnya yang dibezakan, Azizi terlalu merendah diri sewaktu menegaskan bahawa masih ada golongan yang mementingkan paras rupa berbanding bakat.

Namun, itu bukanlah halangan untuk dirinya bergerak sendiri dalam mempersiapkan album kedua yang sangat diimpikannya.

Masih mempunyai ruang untuk bergerak menyanyi dan menjadi hos bagi undangan yang dicarinya sendiri, Azizi menyimpan impian yang kuat untuk mempunyai album dan tidak bersikap kalkulatif untuk tampil di mana undangan sekali pun.

“Saya tahu AF adalah program tahunan yang mempunyai permintaan daripada penonton. Segalanya terserah kepada mereka untuk menilai bakat. Rezeki terletak pada tangan masing-masing,” ujarnya yang akan muncul dalam rancangan Kwek Mambo dan bertemu empat mata kembali dengan idolanya, Anita Sarawak yang pernah memberinya buah epal buat peniup semangat.

FELIX AGUS Naib Juara Musim Ketiga

ALBUM bahasa Dusun akan dipersembahkan Felix.

Masih lucu dan berjenaka, Felix menganggap kesepian dirinya daripada mata dan telinga masyarakat luar adalah ‘diam-diam ubi berisi’. Dia kini selesa berada di Sabah mempersiapkan album dengan bantuan rakan-rakannya.

“Saya kini sibuk merakamkan album yang mempunyai campuran bahasa Dusun dan Melayu yang dirakamkan di negeri kelahiran saya,” terangnya.

Menurut Felix, projek ini dilakukan sendiri dengan kos yang ditanggung sendiri. Menyuntik sedikit pengaruh band pujaannya iaitu Search dan Dewa 19, album ini lebih cenderung ke arah genre rock.

Kontraknya bersama Maestro hampir habis tiga bulan lagi dan kerana bakat yang dipertaruhkannya, dia sudah menerima beberapa tawaran syarikat rakaman.

Namun segalanya masih dipertimbangkan. Jejaka yang pernah digosipkan dengan Akma AF3 ini menganggap senyap adalah suatu keselesaan buat dirinya, selain memberi peluang buat artis baru di bawah bumbung yang sama untuk mencari lebih ruang.

Felix masih rapat dengan rakan-rakan yang ditemuinya lewat program realiti popular itu. Katanya dia baru selesai mendaki Gunung Kinabalu bersama Yazer dan Ebi. Agak mengeluh dengan proses penggambaran Aduh Saliha, Felix menolak watak-watak sedih dan perlu membuatnya mengeluarkan air mata. Katanya dirinya tidak seperti itu.

NURLIZAWATY MOHD ISMAIL Finalis Musim Pertama

GADIS Roda Impian menunggu hari bergelar isteri.

Gadis yang dikatakan mempunyai suara gemeresik ini pernah hangat digosipkan dengan juara AF1. Namun selepas keluar dari istana AF dan selesai tugasnya membuka kotak Roda Impian, namanya seakan sepi. Menjadi finalis musim pembuka tidak mampu membuatkan nama Liza segemeresik suaranya.

Menurut Liza yang sudah pun menjadi tunangan orang pada bulan Januari lalu, dirinya kini hanya sibuk dengan mengikuti cara Gempak Selebriti The Musical yang dibawakan oleh Astro. Selain itu, kecintaan terhadap nyanyian masih ditumpahkan pada acara makan malam atau undangan nyanyian biasa.

“Album sepatutnya ada mengikut perancangan tapi nampaknya sudah terlambat sangat. Kontrak juga sudah nak habis. Liza sendiri tak tahu untuk menyambung lagi kontrak atau tidak,” ujarnya yang masih menaruh harapan untuk mempunyai album.

Liza tidak menganggap dirinya senyap terus dalam industri namun dia lebih banyak membawa haluan sendiri yang membuatkan masyarakat tidak perasan akan kesibukannya.

Lebih banyak terlibat dengan undangan sendiri dan tidak muncul kerap di kaca televisyen membuatkan dirinya tampak sepi.

Lucu mengikut gelak tawanya namun realiti apabila ditanya apakah yang menjadi keutamaan bagi dirinya, jawabnya jujur adalah perkahwinannya yang bakal dilangsungkan awal tahun hadapan bersama jejaka Kedah berkulit hitam manis.

NURULLAH ABD HAMID Bintang Musim Kedua

NURUL lebih selesa dikelilingi kanak-kanak.

Hatinya gadis kecil molek ini lembut, teringat ketikanya dia dimarah oleh Fauziah Nawi kerana gagal menyebut tugasan yang diberikan dengan lancar. Namun semangatnya tidak selembut jiwanya yang halus.

Dia mempunyai jalan sendiri untuk terus mekar dalam industri yang dipilihnya. Nurul baru selesai dengan pengajiannya dan kini sudah mempunyai syarikat sendiri yang diusahakan bersama teman.

Beta Sutra Entertainment memberi ruang untuk Nurul membuat acara hiburan dan multimedia. Mirip dirinya yang kecil dan manja seperti kanak-kanak, Nurul turut terlibat dengan rancagan Boom Ciki Ciki Boom Boom yang disiarkan di saluran RTM1 pada setiap Sabtu.

“Saya buat lirik dan lagu kanak-kanak.

“Dan sekarang sibuk mencungkil bakat untuk menulis lirik dan lagu untuk sesiapa yang berminat,” ujarnya.

Dia akur dengan ketentuan yang dia tidak mempunyai album untuk diketengahkan namun masih menyimpan hasrat.

“Mahu buat album sendiri tapi nampaknya bajet tidak mengizinkan.”

VELVET LAWRENCE ADUK Finalis Musim Keempat

SERING dilihat bersama Rich, Velvet sibuk menyiapkan album sulung.

Sudah diketahui ramai akan hubungannya dengan vokalis Estranged dan wajahnya tidak lekang dilihat ketika band popular itu beraksi di mana-mana.

Pemenang tempat kelima musim keempat ini menganggap dirinya sepi kerana bersebab. Sibuk menyiapkan album yang membawa buah tangan Ajai dan Adnan Abu Hassan, proses album debutnya sudah mempunyai lima buah lagu dan tinggal tiga buah lagu lagi untuk melengkapkannya menjadi sebuah album.

Velvet yang manis ini masih ligat dengan undangan nyanyian makan malam namun fokusnya dihadapkan 100 peratus ke atas album. Ujar Velvet, dia masih bergelar artis.

Powered by Kosmo

Aznil Cari Selebriti Cilik

16 May

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

SELEPAS ‘tugas rasminya’ mengacarakan pentas Akademi Fantasia (AF) diserahkan pula kepada AC Mizal, masa terbuka untuk Aznil meneruskan kecintaannya terhadap skop pengacaraan yang berbeza.

Bukan kemilau pentas glamor seperti AF yang menjadi fokus Aznil ketika ini, selain program Kring-Kring dan Macam-Macam Aznil, fokusnya sekarang adalah program kanak-kanak Tom Tom Bak yang kini masuk tahun ke-2.

“Saya ingin lahirkan ramai lagi kanak-kanak seperti adik Haziq, (selebriti cilik yang menjadi artis tetap menerusi program Tom Tom Bak). Sebenarnya ramai lagi kanak-kanak di luar sana yang berbakat, merekalah fokus saya sekarang,” kata Aznil yang baru sahaja menghabiskan sesi uji bakat program hiburan kanak-kanak Tom Tom Bak yang bermula sejak 26 April dan berakhir pada 11 Mei lalu.

Selepas empat lokasi termasuk di Kota Kinabalu, Sabah, Kuching (Sarawak), Pulau Pinang dan Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur (MTC), uji bakat Tom Tom Bak kendalian Aznil telah dibanjiri lebih 3000 kanak-kanak.

Rata-rata datang dengan bakat yang bervariasi. Ada yang mahu menyertai segmen nyanyian, lakonan, miming lagu ataupun jom borak. Pendek kata, bermacam ragam kanak-kanak sudah disaksikan Aznil sepanjang uji bakat kali ini.

Lebih penting lagi katanya: “Paling saya kagum adalah kesanggupan ibu-bapa yang meluangkan banyak masa demi anak-anak mereka. Bukan bakat yang menjadi ukuran segelintir mereka, tetapi bagaimana ibu-bapa menjadikan Tom Tom Bak sebagai salah-satu cara untuk menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kebolehan si anak.”

“Ada juga yang datang ke sesi uji bakat ini semata-mata kerana nak bawa anak-anak jumpa Aznil. Ini yang bagus, kerana di situ keyakinan diri anak-anak akan terserlah. Ada juga ibu-bapa yang bawa ‘anak istimewa’ mereka untuk di uji bakat,” tambah Aznil ketika ditemui pada sesi uji bakat Tom Tom Bak di MTC, baru-baru ini.


AZNIL senang dengan kepetahan dua beradik, Haziq dan Alisha Hana.

Bukan mahu berbangga setidak-tidaknya penglibatan jenama susu, Anmun Assential sebagai penaja utama Tom Tom Bak musim kedua cukup membuktikan penerimaan masyarakat terhadap kreativiti program berkenaan. Kerana itulah, untuk musim baru ini, program ini dikenali sebagai Anmum Assential Tom Tom Bak.

Walaupun berbentuk hiburan, program ini memberi rangsangan terhadap kreativiti kanak-kanak, cara mereka bercakap dan berhubung. Itu yang menarik perhatian Anmum kerana slogan mereka juga terhadap perkembangan otak kanak-kanak.

“Bagi saya, ini petanda yang cukup bagus. Bagaimana program kanak-kanak yang asalnya bermula dengan satu slot dalam Macam-Macam Aznil, kini boleh saya kembangkan menjadi satu program khusus dan mendapat tempat di hati ramai.

“Dulu ramai orang kata, kanak-kanak Malaysia tidak sepetah atau sebijak kanak-kanak di luar negara khususnya ketika berdepan kamera. Saya mahu membuktikan perkara itu sudah berubah. Saya mahu rancangan ini jadi medan dan buka ruang kepada kanak-kanak untuk menonjolkan kreativiti mereka,” kata Aznil. Pengacara popular ini optimis mahu Tom Tom Bak yang disiarkan di saluran Ceria Astro ini, bukan sekadar pengisi permintaan stesen tetapi lebih kepada tanggungjawabnya menjana minda kreatif di kalangan kanak-kanak.

Menyentuh mengenai adik Haziq atau nama penuhnya Muhamad Haziq Hazem, 8, Aznil tidak teragak-agak untuk mengekalkan kanak-kanak kreatif itu menerusi Tom Tom Bak musim akan datang.

“Dia dah besar, dulu dia kecil lagi. Melihat kepada bakatnya, saya rasa dia patut ada rancangan sendiri. Tapi buat masa ini, dia akan tetap bersama saya dalam Tom Tom Bak, begitu juga dengan adiknya, Alisha Hana, 5. Kanak-kanak macam mereka yang saya cari. Saya tanya sepatah, tapi mereka balas panjang lebar,” jelas Aznil yang kelihatan ceria walaupun bersengkang-mata melayan bakat-bakat cilik yang datang kepadanya.

Hasil kreativiti Aznil yang menghidupkan Tom Tom Bak, rancangan kanak-kanak itu kini antara tiga buah program saluran Ceria yang telah dibawa masuk ke Indonesia selain Gerak-Geri Gasing dan Afi dan Abah.

“Di Indonesia judul Tom Tom Bak ditukarkan kepada Hom Pim Pa mengikut kesesuaian penonton di sana. Yang jelas, format rancangan kanak-kanak Malaysia kini sudah mula ditiru oleh pihak luar,” jelas Pengurus saluran Astro Ceria, Azlin Azmin yang bersama-sama dengan Aznil mengendalikan uji bakat Tom Tom Bak.

Tom Tom Bak musim baru dijangka akan ke udara menjelang 13 Julai nanti, setiap Ahad pukul 12.30 tengah hari di saluran Astro Ceria.

Powered by Kosmo