Archive | Normala Samsudin RSS feed for this section

Paparan Eksklusif Aidilfitri

30 Sep

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nona terbitan TV3 mengimbau nostalgia Ziela Jalil terhadap arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob

BINGKISAN istimewa daripada Nona sempena sambutan Aidilfitri akan menyorot pelbagai episod suka, duka, gembira dan iltizam menjadi sajian yang tidak harus dilupakan penonton setia program terkenal siaran TV3 itu.

Mendekati nama terkenal dalam industri hiburan, Nona merakamkan pelbagai paparan eksklusif untuk dikongsi bersama penonton sempena Syawal nanti di samping mengimbau nostalgia yang mengusik perasaan pada hari mulia itu.

Bakal bersiaran pada 5 Syawal, jam 2 petang, Nona istimewa Aidilfitri antara lain mengungkap kehidupan terkini Ziela Jalil bersama dua cahaya matanya selepas suami tercinta, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menyahut panggilan Ilahi.

Penerbit Nona, Syarida Sharif mengakui, penerbitan sempena hari raya memberikan sedikit cabaran apatah lagi terpaksa bersaing dengan program istimewa Syawal yang lain.

Bagaimanapun, katanya, membezakan Nona dan program hiburan paparan yang dipersembahkan dalam bentuk majalah digarap bersama skrip melodramatik untuk memberikan kesan kepada penonton.

“Menemui penonton selepas lima hari raya, kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan rating yang baik. Harus diakui ketika itu, jumlah tonton agak mendatar kerana penonton masih sibuk dengan aktiviti menziarah dan riadah lain.

“Jadi dengan menerapkan kisah menarik selebriti, secara tidak langsung membantu memberi elemen tarikan kepada Nona,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak mahu penonton diheret dengan kesyahduan pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, Nona turut menjejak perjalanan hidup Norayu Damit atau Ayu selepas menjuarai program realiti, One In A Million musim kedua.

Selepas memenangi wang RM1 juta yang ditawarkan pertandingan itu, Ayu merasai kelainan menyambut 1 Syawal dengan limpahan rezeki yang dinikmati sebagai anak seni.

“Nona mengupas perubahan yang dialami Ayu malah turut membawa penonton untuk berkongsi bagaimana gadis itu memanfaatkan wang yang dimenanginya.

“Kejayaan yang dilakar Ayu mampu menjadi contoh betapa dengan usaha serta kesungguhan segala halangan mampu diruntuhkan dan hari ini, Ayu semakin dikenali kerana bakat besar yang dimilikinya,” kata Syarida.

Akui Syarida, selepas 25 tahun bersiaran Nona juga melalui evolusi dan pendekatan terbaru program utama TV3 itu kini lebih realistik di samping mengupas pelbagai isu berkaitan wanita.

Topik yang pernah dibincangkan diberi nafas baru dengan kupasan yang kontemporari dan bersesuaian cita rasa penonton semasa, malah krew Nona juga sentiasa kreatif memberikan idea untuk menambahkan warna berbeza kepada program popular itu.

“Tidak dinafikan suatu ketika dulu populariti Nona bergantung kepada pengacaranya terutama ketika dikendalikan Puan Sri Normala Samsudin.

“Bagaimanapun, perlahan-lahan kecenderungan penonton sudah berubah dan apa yang dapat saya katakan, mereka kini lebih menilai kepada pengisian topik serta isu yang digarap.

“Menampilkan Fizza sebagai perantara turut memberikan ruang kepada Nona untuk berkembang dan terus diminati. Ini terbukti dengan peningkatan rating Nona malah kami yakin Fiza mampu menjadi pelapis yang bakal menyerikan dunia pengacaraan,” katanya.

Mempunyai jumlah penonton sekitar 1.3 juta setiap kali bersiaran, Syarida berkata, dia kagum dengan keupayaan Fizza yang berbakat besar dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik ketika penggambaran.

“Mudah bekerjasama dengan Fizza kerana dia cepat belajar dan pantas memahami apa yang dikehendaki,” katanya.

Juga dipaparkan pada episod istimewa itu kesibukan legenda rock negara, Amy Search yang menyambut Aidilfitri di restoran yang diusahakannya di samping menyempurnakan persiapan pernikahan anak gadisnya, Nabila Huda.

Istimewa Nona apabila membawa penonton mengimbas nostalgia silam bersama bintang veteran ketika menyambut Aidilfitri di Jalan Ampas, Singapura.

Segmen yang dijayakan seniwati 50-an seperti Zaiton, Mariani, Neng Yatimah dan Hashimah Yon disatukan di Pulau Pinang untuk berkongsi imbauan sambutan raya ketika era kegemilangan dunia perfileman Melayu.

Rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini turut menyaksikan persembahan daripada Aizat, Suki, Erry Putra, Shahila dan Dafi diserikan dengan kehadiran Mila, Adam, Fizz Fairuz, Adi Putra serta artis veteran antaranya Datin Aspalela Abdullah dan Datin Orkid Abdullah.

Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini dikendalikan Ruhil Syafinaz, Azzura, Azizah Ariffin, Ifa Raziah, Nadia Shahrul dan Fizza turut menyerahkan duit raya daripada Tabung Bersamamu serta hamper kepada Rumah Amal Limpahan Kasih, Kampung Aman, Puchong, Selangor.

Turut diraikan keluarga pelakon drama, Allahyarham Yazid Sobrani serta pelakon lagak aksi Jangan Pandang Belakang, Allahyarham Nazari Omar.

Berita Harian

Advertisements

Pengacara Nona Tidak Rela Diintai Kerabat Raja

11 Mar

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM


NURUL SYUHADA NURUL AIN MOHD. ZIN.

MELIHAT penampilan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, ramai yang tidak sangka dia adalah pengacara rancangan Nona yang disiarkan pada setiap Ahad pukul 2 petang di TV3.

Ini kerana pengacara ayu itu tidak gemar bersolek dan lebih selesa menjadi dirinya yang sebenar jika tidak mengacara rancangan Nona.

Kata Nurul, sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sains Marin di Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), Terengganu, dia perlu mengekalkan imejnya sebagai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya perlu jaga tingkah laku. Sebagai pengacara Nona, saya bukan sahaja membawa nama program tersebut malah nama ibu bapa yang sentiasa memberi kepercayaan besar kepada saya,” kata Nurul yang bakatnya sebagai pengacara mula dicungkil daripada program realiti Malaysian Top Host 2005 anjuran TV3.

Bakal mencecah usia 23 tahun pada 29 November ini, Nurul tidak pernah menganggap rancangan kelolaannya itu sebagai platform untuk mengejar glamor atau diintai golongan korporat dan kerabat raja.

Sebaliknya, kata Nurul, Nona merupakan ruang untuknya mengasah bakat dan menimba ilmu.

“Kalau boleh saya ingin kikis tanggapan negatif yang tersemat dalam pemikiran penonton yang menganggap menjadi pengacara TV memudahkan individu untuk dekati oleh orang-orang tertentu.

“Pada saya, itu bukan motif saya untuk jadi pengacara. Tapi sebagai pengacara saya perlu meyakinkan penonton tentang apa sahaja segmen yang disalurkan. Malah saya berhasrat untuk menarik penonton seusia saya

menjadikan Nona sebagai pilihan utama,” katanya yang telah mengendalikan rancangan Nona sejak Januari lalu.

Nurul meminati cara penyampaian Normala Samsudin yang dianggapnya pandai menarik perhatian penonton dan Wan Zaleha Radzi sebagai pengacara yang sentiasa bersedia menerima sebarang kritikan.

Meskipun Nurul sentiasa merendah diri bila berbicara, namun difahamkan sejak dia mengendalikan Nona, jumlah penonton rancangan itu telah mencecah 1.9 juta.

Pensyarah beri galakan Sejak mengendalikan rancangan Nona, Nurul terpaksa berulang alik antara Terengganu dan Kuala Lumpur pada hujung minggu.

“Saya beruntung kerana pensyarah dan rakan-rakan memahami kerja sambilan ini. Pensyarah sentiasa memberi galakan dan kawan-kawan pula tidak lokek meminjamkan nota jika saya ketinggalan.

“Selalunya bila habis kelas pada hari Jumaat, saya mula bersedia untuk ke Kuala Lumpur. Biasanya sekali turun ke Kuala Lumpur, rakaman dibuat untuk dua episod,” cerita Nurul.

Pengacara yang mula mendapat perhatian ramai itu berkata selepas selesai pengajian April ini dan menerima ijazah pada September nanti, dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Gadis yang memiliki lesen menyelam pada 2004 ini meminati aktiviti lasak seperti menyelam, berkayak dan go-kart.

Utusan Malaysia