Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
Program masakan 15 episod terbitan Global Station Sdn Bhd menemui penonton sepanjang Ramadan
PANAS udara petang itu langsung tidak dihiraukan. Sebaliknya satu demi satu hidangan tangkas disiapkan. Langsung tidak kekok, jelas ruang dapur sememangnya menjadi permainan penyanyi nombor satu negara ini.
Ada kala dia bergegas ke kamar menukar pakaian sebelum kembali beraksi di depan kamera untuk meneruskan rakaman.
Berada di lokasi penggambaran program masakan, Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di sekitar kediaman agamnya di pinggir Kuala Lumpur cukup mengujakan.
Ketika pertemuan, Siti baru dua hari menjayakan rakaman berkenaan sebagai hos. Masih dalam proses menyesuaikan diri kerana pengalaman menjayakan program masakan adalah sesuatu yang baru buatnya.
Bagaimanapun, Siti tidak sesekali kekok dengan tanggungjawab itu sebaliknya, semua arahan dilaluinya tenang sekali gus melicinkan proses penggambaran.
Petang itu, mereka melengkapkan tiga episod penggambaran kerana keesokannya, Siti bersama suami terpaksa berlepas ke Jakarta, Indonesia untuk menjayakan Anugerah Planet Muzik (APM) 2009.
“Hari pertama penggambaran bermula agak lewat. Selain dihalang hujan, proses menyediakan bahan masakan juga mengambil masa. Mungkin kerana ini pengalaman pertama, di samping terpaksa mengejar masa membangkitkan sedikit kekalutan pada hari pertama penggambaran.
“Syukur hari ini kerja menjadi lebih pantas kerana masing-masing sudah saling memahami. Bahan juga sudah disediakan dari awal jadi apabila penggambaran bermula, Siti terus mula memasak.
“Alhamdulillah, kami mampu menyiapkan tiga episod seperti yang direncana kerana selepas itu penggambaran terpaksa ditunda untuk memberi laluan Siti menjayakan APM 2009 di Jakarta,” kata Siti mengenai program 15 episod terbitan syarikat kakak iparnya, Zaiton Mohd Jiwa menerusi Global Station Sdn Bhd.
Akur banyak program sedemikian bakal menemui penonton sepanjang Ramadan nanti, wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia selesa memilih menu ringkas dan tidak terlalu sukar untuk disediakan.
Siti berkata, pilihan menu yang praktikal disesuaikan supaya semua kelompok penonton – bujang atau sudah berkeluarga mencuba.
Sajian istimewa yang menjadi kepakarannya, Ikan Patin Tempoyak Ku Mahu selain beberapa masakan tradisi Pahang adalah antara tarikan program siaran TV1 itu.
“Siti berkongsi resipi kegemaran yang diambil daripada saudara terdekat selain menu kesukaan seisi keluarga Siti terutama masakan tradisi Pahang untuk dicuba penonton program ini,” katanya.
Isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini berkata, sejak bernikah tiga tahun lalu, bergelumang di dapur sudah menjadi sebahagian daripada tugasannya.
Kata Siti, biar sibuk dengan karier, kerja dapur tidak pernah diabaikan. Dia sering memasak terutama ketika menetap di penthouse mereka di tengah ibu kota kerana suaminya gemar menikmati sajian daripada air tangannya.
Bagaimanapun, sejak berpindah ke Bukit Antarabangsa dan tinggal bersama ibu mentuanya dia sudah jarang mempraktikkan kecekapannya di dapur.
“Kebetulan pembantu rumah yang sudah 10 tahun bersama keluarga mentua sudah pandai menyediakan sajian tempatan terutama masakan Utara, jadi Siti sudah mula jarang ke dapur.
“Sesekali bermanja dengan ibu mentua yang mahir menyediakan makanan kegemaran seperti kari utara dan sambal petai yang menjadi kesukaan suami. Air tangannya memang istimewa terutama sambal belacan.
“Dengan adanya program ini, dapat juga Siti mempraktikkan semula kerja di dapur. Siti pun bukan terlalu pakar dalam bidang masakan tetapi alhamdulillah, setakat ini suami tidak cerewet,” katanya.
Menerusi program yang akan menemui penonton bermula 21 Ogos ini setiap Rabu, Khamis dan Jumaat pada jam 11 pagi, Siti menunjukkan kepakarannya menyediakan hidangan istimewa antaranya Sup Cendawan Purnama Merindu, Ikan Bawal Cili Padi Kau Kekasihku dan Ayam Tiram Serai Badarsila.
Setiap episod, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu akan menyediakan satu hidangan utama berserta pencuci mulut manakala tetamu jemputan pula berkongsi satu lagi resipi istimewa.
Antara selebriti yang menjayakan program itu ialah Vanidah Imran, Rubiah Suparman, Nabil, Salih Yaacob, Ezlynn, Umie Aida, Datuk Shah Rezza, Radzwan Razwill serta angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.
“Nampak mudah namun sebenarnya agak remeh terutama dalam penyediaan bahan dan ketika memasak. Jika berbuat silap kami terpaksa mengulangi semula proses itu kembali dan ia agak mengambil masa.
“Bagaimanapun, Siti teruja menjayakannya kerana sudah lama tidak ke dapur. Sekurang-kurangnya ia menyegarkan kembali ingatan Siti dalam menyediakan sesuatu hidangan terutama sajian yang sudah lama Siti tidak sajikan,” katanya tertawa.
Berbicara mengenai pengisian Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza, pengarahnya, Erma Fatima berkata, mereka cuba mencari kelainan dengan memilih sajian ringkas dengan konsep penyampaian yang santai.
Konsep itu bersesuaian dengan kedudukan Siti yang dikenali peminat selama ini sebagai penyanyi tersohor dan bukan chef terlatih.
Akui Erma, jika bukan kerana Siti, dia tidak akan terbabit dalam program itu apatah lagi ini pengalaman pertama dia mengarahkan rancangan masakan.
“Seronok kerana Siti seorang yang mudah memberi kerjasama. Biarpun kedudukannya dihormati tetapi apabila di set, dia sama seperti orang lain kerana Siti yang dikenali memang seorang yang merendah diri.
“Saya pula yang risau melihat dia sibuk mengangkat kuali dan sebagainya. Mungkin kerana sudah biasa kerja bersama, jadi kami saling memahami. Itu yang memudahkan penggambaran.
“Program ini tidak terikat dengan sebarang skrip kerana saya mahu Siti bebas dan selesa di depan kamera. Dia tidak kekok malah bertungkus lumus menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pengacara,” kata Erma yang turut mengetengahkan dua bekas peserta Pilih Kasih, Yuhaiza Rosly dan Zara Suriana Jubarsherzaman Khan sebagai pembantu Siti di dapur.
INFO: Siti Nurhaliza MERAIH dua trofi pada malam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang berlangsung di Balai Sidang, Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia, Sabtu lalu bagi kategori Artis Serantau Paling Popular dan Artis Malaysia Paling Popular.
AKAN kembali ke studio untuk memulakan rakaman album rohani yang dijadualkan berada di pasaran menjelang Ramadan ini. Material untuk rakaman album itu sudah ada dan dua daripada lagu yang bakal dirakamkan diambil daripada pementasan Sirah Junjungan yang dijayakannya iaitu Asma Ul Husna dan Tahajud Cinta.
JUGA dalam persiapan untuk menjayakan rakaman album duet bersama penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti. Rakaman akan bermula sejurus selesai pembikinan album rohaninya. Malah mereka juga merancang untuk menjayakan konsert di dua negara apabila album itu menemui peminat kelak.
INGIN kembali mementaskan Konsert Eksklusif Satu yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, akhir Jun lalu. Bagaimanapun kata Siti, semua itu bergantung kepada kesudian penaja. Hatinya tergerak untuk mementaskan semula atas permintaan peminat selain konsep persembahan yang menarik membuatkan Siti mahu lebih ramai peminat dapat menyaksikan konsert itu.
Berita Harian