Archive | November, 2005

Achik, Tasha Sama Cantik, Sama Padan

23 Nov

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

ACHIK, Tasha…Sama cantik dan sama padan.

Sama cantik dan sama padan itulah yang boleh dikatakan kepada pasangan pengantin muda ini. Achik Spin dan Tasha telah selamat diijabkabulkan pada Jumaat lalu dengan sekali lafaz di hadapan Imam Masjid Sungai Landak, Ampangan, Negeri Sembilan.

Dengan mas kahwin sebanyak RM48, anak kelima daripada 10 beradik ini memberikan wang hantaran RM15,000 dan barangan hantaran sebanyak sembilan dulang berbalas 13 dulang.

Ahad lalu, kedua-dua mempelai diraikan pada majlis persandingan di rumah keluarga lelaki. Pengantin tiba tepat pukul 1.45 petang disambut dengan iringan paluan kompang dan berzanji.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md.Shaari dan Tasha atau nama sebenarnya H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof tiba dengan penuh keceriaan pakaian pengantin berwarna merah jambu yang ditaja oleh T.H Collection.

Melangkah perlahan, kedua-duanya diiring duduk di atas pelamin yang sedia menanti di luar rumah. Ini memberi peluang kepada tetamu yang hadir, menyaksikan upacara menepung tawar mempelai.

Penuh adat istiadat, selesai upacara menepung tawar, Achik dan Tasha di bawa makan beradat pula.

Dianggarkan seramai 800 tetamu hadir pada majlis persandingan Achik di Seremban itu.

“Alhamdulillah, tetamu yang hadir melebihi dari yang dijangkakan. Terima kasih kerana hadir dan saya gembira dengan kedatangan semua pihak,” kata Achik dengan nada yang cukup gembira.

Para tetamu pada majlis itu turut dihiburkan dengan nyanyian dari anggota keluarga Achik. Sesekali dihiburkan juga dengan celoteh deejay yang tak jemu-jemu mengusik mempelai.

Mengakui cintanya pada Tasha sebagai cinta pandang pertama, kata Achik, dia bersyukur dengan kehidupannya kini.

“Pertama kali terpandangnya, hati saya tersentuh dan saya yakin dialah pilihan hati saya selain cantik di mata, banyak lagi yang menarik hati saya untuk memilih dia sebagai teman hidup saya,” kata Achik yang mengenali Tasha sejak tiga tahun lalu setelah diperkenalkan oleh abang Achik sendiri.

“Dengar-dengar syarikat rakaman saya, FMC mahu menaja bulan madu saya. Tapi belum ditentukan destinasinya. Tapi saya tak boleh nak berbulan madu jauh-jauh sebab paspot Tasha dah hilang.”

Begitu kata Achik ketika ditanyakan tentang perancangan bulan madunya ketika ditemui selepas majlis persandingannya.

Namun kata Achik, dia akan memilih satu destinasi yang menarik untuk dijadikan tempat bulan madunya.

“Buat masa ini saya akan menetap di Seremban dulu. Bulan depan baru saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier saya seperti biasa.

“Lagipun album duet bersama Nana (Siti Nordiana) akan berada di pasaran. Insya-Allah pada hujung bulan ini,” kata Achik.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements