Archive | Michelle Yeoh RSS feed for this section

Jejak Warisan Pulau Mutiara

12 Mar

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Menjejak sejarah Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia tidak lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung

KEPINGAN papan yang menjadi pelantar pejalan kaki sudah agak lusuh, tetapi untuk penghuni perkampungan air berdekatan pusat bandar Georgetown, Pulau Pinang, ia menyimpan sejarah panjang menjangkau hampir 150 tahun.

Rumah pertama dibina pada 1860-an oleh pemuda dari wilayah Fujian, China yang merantau untuk berkerja sebagai kuli di Pulau Pinang yang ketika itu berkembang maju sebagai pelabuhan selepas dibuka Kapten Francis Light pada 1786.

Sejak itu, ia berkembang kepada beberapa perkampungan air menempatkan sebilangan puak hidup harmoni dalam koloni masing-masing iaitu jeti Chew (paling besar), jeti Lee, Tan dan Yeoh.

 

 

Kini, penempatan di kawasan dikenali sebagai Weld Quay menjadi antara tarikan sejajar dengan pengiktirafan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Sedunia (Unesco), pada 7 Julai tahun lalu.

Jejak warisan di Pulau Mutiara ini bagaimanapun, tidak akan lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung pada 1786.

Tiga tahun kemudian, ia dibina semula bagi memenuhi keperluan sebagai pusat pentadbiran dan pangkalan tentera sejajar dengan perkembangan kuasa empayar British di rantau ini.

Sejarahnya, seperti yang dapat dihayati di galeri pameran, berkait rapat dengan usaha pemodenan pulau ini. Selain menempatkan gereja kecil, ia juga menempatkan rumah api – uniknya, di tengah pusat bandar dan masih berkhidmat sebagai panduan arah kepada kapal dagang.

Catatan penting yang tidak boleh dipinggirkan mengenai kota di Jalan Tun Syed Sheh Barakabah ini adalah kisah menarik mengenai meriam bernama Seri Rambai, yang dikatakan bermula sejak 1603.

Asalnya, Belanda menghadiahkan meriam ini kepada Sultan Johor, tetapi ia dibawa ke Acheh, Indonesia dan kemudian diletakkan di Kuala Selangor. Pada 1871, ia dirampas oleh British dan diletakkan di lokasi sedia ada iaitu satu sudut kota itu.

Menghala ke pusat bandar, pengunjung dibawa menghayati keindahan bangunan warisan kolonial dengan seni bina Anglo-India dengan pengaruh reka bentuk Cina. Perluasan kuasa Inggeris dan perkembangan pulau ini juga menarik kedatangan pedagang dari serata dunia.

Pelbagai nama jalan utama membuktikan penempatan awal masyarakat pelbagai bangsa. Orang Eropah ditempatkan di Lebuh Light, keturunan Serani (Lebuh Bishop), pedagang Cina (Lebuh China), pedagang India (Lebuh Chulia) dan pedagang Aceh (Lebuh Aceh).

Pendatang dari wilayah India Selatan dikatakan membina deretan rumah kedai sepanjang Jalan Chulia (dulu dikenali sebagai Malabar Street), King Street and Queen Street, kawasan yang kini tersohor dengan jolokan Little India.

Pulau ini juga menjadi transit untuk pedagang yang ingin belayar ke India dan Timur Tengah. Masjid Kapitan Keling umpamanya, menjadi tempat berhimpun jemaah haji dari Tanah Melayu, Thailand dan Sumatera sebelum berangkat ke Mekah dengan kapal laut.

Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh pula menyimpan sejarah dan gaya hidup glamor golongan atasan suatu ketika dulu. Hartawan terkemuka, Syed Alatas yang menemui kekayaan dengan perdagangan antara Pulau Pinang dan Acheh pernah mendiami banglo dua tingkat di Lebuh Acheh.

Jalan sama turut menempatkan Masjid Melayu Lebuh Acheh, manakala Lebuh Armenian pula mendapat namanya daripada warga Armenia berketurunan Yahudi, Sarkies, yang bertanggungjawab membuka hotel The Eastern & Oriental yang amat popular sekitar 1920-an.

Pertembungan Timur dan Barat dapat disaksikan dengan jelas jika anda singgah ke Muzium Peranakan Pulau Pinang di Jalan Gereja. Menariknya, pemilik rumah agam ini adalah Kapitan Chung Keng Kwee, ketua puak Hai San, yang terbabit dalam Perang Larut antara 1860-an dan 1884.

Walaupun bukan berasal daripada keturunan Baba hartawan yang meraih kekayaan hasil perlombongan bijih timah di Perak ini membina rumah yang sarat dengan jiwa Peranakan ini pada abad ke-19.

Pengunjung dapat menyaksikan pakaian, perabot dan pinggan mangkuk yang digunakan bagi menggambarkan kedudukan ahli keluarga masyarakat atasan ketika itu. Malah, rumah itu turut menempatkan koleksi kebaya dan kuil untuk acara keagamaan keluarga besar ini.

Kongsi Khoo berusia lebih 100 tahun di Lebuh Cannon pula membawa pengunjung mengembara ke Dinasti Ching dengan reka bentuk bangunannya seperti perkampungan Cina pada abad ke-19. Kuil dalam kongsi ini pernah diabadikan dalam satu babak filem Hollywood, lakonan Jodie Foster pada 1999.

Menariknya, kompleks kediaman yang dilengkapi pentas opera, rumah kedai, pejabat pentadbiran ini juga mempunyai pertalian dengan tokoh perniagaan terkemuka negara termasuk Tan Sri Francis Yeoh dan aktres antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh.

INFO

>Tapak Warisan Dunia meliputi bangunan bersejarah di Lebuh Acheh, Masjid Melayu Lebuh Acheh,

Masjid Jalan Mesjid Kapitan Keling, Goddess of Mercy Temple, Kuil Mariamman Temple, Kongsi Khoo, Gereja St George dan Assumption Church.

>Selain itu, St Xavier’s Institution, Convent Light Street, Little India, muzium dan mahkamah, bangunan komersil sepanjang Beach Street, Fort Cornwallis, Esplanade, City Hall dan perkampungan air di Weld Quay.

>Jejak warisan Pulau Pinang mengambil masa antara dua dan tiga jam. Selain menghayati bangunan warisan, pengunjung boleh mencuri masa untuk mengunjungi kedai di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling sehingga ke Lebuh Pasar.

>Selain hidangan nasi kandar, pastikan anda singgah untuk menikmati rojak pasembor dan laksa di medan selera berhampiran dengan Esplanade atau gerai penjaja di Gurney Drive.

* Kunjungan wartawan dari ibu kota ke Pulau Pinang diaturkan oleh Tourism Malaysia sempena dengan Zoom Travel Fair 2009.

RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
Tel : 03-2615 8188
Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
Emel: enquiries@tourism.gov.my
http://www.tourism.gov.my

Harian Metro

Panahan Amber Chia

23 Aug

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

JELITA dan seksi. Dua elemen dimiliki personaliti ini bisa menggugat hati lelaki. XY – Ikon Lelaki yang memasuki edisi ketujuh tampil berani menjadikan supermodel, Amber Chia penghias muka depan pertama mewakili kromosom XX dalam sisipan ini. Tunggu apa lagi, ikuti kisah Amber dan lelaki idamannya…

HAMPIR sedekad lalu, tiada siapa mengenali gadis idaman jejaka yang berasal dari Tawau, Sabah ini. Persis ratusan model lain di persada fesyen negara, gadis ini memasang angan-angan menjadi supermodel terkenal. Di sebalik seraut wajah oriental klasik miliknya, ada pesona membezakan Amber Chia dengan gadis lain.

Puas diamati, aset Amber tiada lain terletak pada bibirnya yang mungil penuh seksi. Ditambah pula lirikan mata nakalnya beraksi di depan kamera, jiwa lelaki jadi kacau dibuatnya. Inilah panahan Amber…

Mungkin banyak sudah diketahui mengenai Amber dan pencapaian gadis ini selepas menjuarai Pertandingan Peragawati Jam Tangan Guess 2004 yang menyaksikan anak Malaysia menewaskan jelitawan dari 70 negara. XY – Ikon Lelaki lebih tertarik berkongsi rahsia diri Amber, definisi seksi, cinta dan lelaki idaman yang dicari-carinya selama ini.

Membuka kisah, Amber tidak malu mengakui dirinya kini bersendirian.

“Sudah lebih setahun saya keseorangan,” katanya mengakui impian melayari bahtera hidup bersama teman lelaki musnah selepas 11 tahun menjalin hubungan.

Mengakui hidup wanita tidak lengkap tanpa lelaki di sisi, Amber bagaimanapun tabah malah yakin bertemu lelaki idaman suatu hari nanti.

“Jika diikutkan sekarang, memang saya tidak ada masa untuk memikirkan soal cinta kerana tuntutan kerja begitu padat malah saya ‘terikat’ dengan pelbagai program hingga akhir tahun ini.

“Saya memikirkan pada usia sekarang, amat sesuai bagi saya bekerja keras,” katanya berterus terang ketika ditemui di kediaman mewah miliknya, Isnin lalu.

Dengan wajah tenang, Amber reda walaupun terpaksa hidup bersendirian.

“Biarlah saya hidup sendiri dan meneroka lebih jauh peluang yang ada walaupun tanpa kehadiran seorang lelaki buat masa ini,” katanya.

Namun terkuburnya cinta Amber bukanlah bererti gadis ini anti lelaki.

“Saya berharap suatu masa nanti akan dipertemukan dengan jejaka idaman. Biarlah dia seorang yang bersifat gentleman, romantik dan mampu menggembirakan saya sepanjang hayat.

“Biar siapapun yang datang, malah pemuda Melayu sekalipun saya terima jika itu yang sudah ditakdirkan,” katanya.

Ikuti luahan hati Amber mengenai lelaki, harapan beliau bertemu sang rajuna hati dan sudah tentu, tip memikat hatinya:

Lelaki mengikut persepsi Amber?

Bagai tidak lengkap seseorang lelaki jika tidak berpasangan dengan wanita. Berbicara mengenai lelaki ini jelas memperlihatkan personaliti mereka yang berbeza. Di Malaysia sendiri sudah jelas bahawa lelaki Cina, Melayu dan India memiliki personaliti berbeza. Apa yang boleh saya katakan, lelaki hari ini sudah semakin bagus dan bijak.

Kriteria lelaki pilihan Amber?

Pertama sekali, saya mestilah ada perasaan cinta kepadanya kerana saya sendiri susah jatuh cinta. Semestinya juga saya inginkan lelaki berperwatakan menarik, memberi kasih sayang serta pandai menggembirakan saya setiap hari.

Jejaka idola anda?

Semestinya setiap wanita inginkan inginkan lelaki budiman, romantik dan mampu menggembirakan diri kita. Dia tidak semestinya kaya asalkan berkerjaya tetap untuk kebahagiaan bersama serta menjaga diri kita seadanya.

Siapakah lelaki yang menjadi pujaan anda. Mengapa?

Tom Cruise. Bagi saya, beliau bukan saja memiliki wajah kacak sebaliknya berjaya dalam bidang lakonan serta kehidupan secara keseluruhan. Beliau adalah cermin lelaki yang berjaya hari ini.

Bahagian tubuh lelaki yang dirasakan seksi?

Oh… (ketawa). Pandangan pertama semestinya mata lelaki. Bagi saya, seksi seorang lelaki terletak pada bahagian dada yang boleh membuatkan seseorang wanita lebih selamat dan rasa bahagia. Apatah lagi bila waktu kita tidur di bahagian dadanya…

Lelaki muda dan berusia yang mana lebih menarik?

Sebaiknya seorang lelaki haruslah berusia tiga atau lima tahun lebih tua daripada kita. Malah, 10 tahun sekalipun okay saja. Saya dapat rasakan saya lebih matang daripada usia sebenar 26 tahun kerana saya mulai berkerja seawal tamat tingkatan lima.

Pandangan Amber mengenai lelaki Malaysia?

Lelaki Malaysia ramai yang menarik dan mulai berubah dalam segala hal. Berbanding lelaki tempatan dulu yang seolah memperkecilkan kebolehan wanita, situasi sudah berubah. Kalau hendak bercakap mengenai lelaki budiman atau gentleman, tidaklah semua begitu. Berbanding pengalaman saya di Eropah, lelaki di sana melayan kita bagaikan seorang puteri seperti membukakan pintu, memberikan tempat duduk dan sebagainya. Senario itu jarang dilihat di Malaysia.

Bagaimana pula anda melihat lelaki Melayu?

Saya juga ada berkenalan dengan ramai lelaki Melayu. Mereka juga seorang yang budiman malah sesetengah daripada mereka lebih gentleman. Tidak mustahil saya boleh bercinta dengan lelaki Melayu suatu hari nanti jika saya sukakan dia. Bagi saya, masalah budaya itu tidak penting, asalkan masing-masing mempunyai perasaan cinta.

Adakah Amber sedang bercinta kini

Saya kini bersendirian selepas putus cinta lebih setahun lalu. Hubungan selama 11 tahun bersama teman lelaki tidak berpanjangan. Memang saya sedih kerana melalui semua itu, tetapi saya melalui detik bersendirian ini dengan menguatkan lagi azam bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk kerjaya dan hidup. Bagi saya, pada usia 26 tahun ini, adalah waktu sesuai untuk bekerja keras.

Sikap lelaki yang tidak disukai Amber?

Saya tidak suka lelaki yang tidak gentleman dan pengotor. Pantang saya melihat lelaki yang tidak terurus dan pembawaan personaliti yang tidak bersih. Bukan saja lelaki, wanita juga harus menarik dan bersih.

Pandangan Amber apabila lelaki menangis?

Tidak salah jika lelaki ingin menangis. Mungkin dulu orang beranggapan lelaki harus kuat dan gagah. Itu membuatkan mereka tidak dapat menonjolkan ekspresi sedih. Kalau saya memiliki teman lelaki, apa salahnya jika dia ingin berkongsi kesedihan dan sama-sama merasainya.

Bagaimana cara seseorang lelaki untuk memenangi hati Amber?

Semestinya dia seorang yang pembersih dan gentleman. Andai jodoh bersama, tidak semestinya kita jarang bertemu tiada jodoh kerana jika 10 tahun sekalipun tidak bertemu, mungkin boleh menjadi pasangan hidup kita.

Umur paling sesuai untuk berkahwin?

Dulu saya pernah merancang untuk berkahwin pada usia 28 tahun. Tetapi kini sudah bersendirian dan pula sibuk dengan tugasan modeling dan lakonan. Namun, saya percaya kepada Tuhan yang menentukan bila masa untuk berumahtangga.

Seksi cara Amber

AURA seksi gadis Asia membuatkan Amber menjadi rebutan agensi pengiklanan malah sering dilantik menjadi jurucakap produk hingga ke Taiwan. Situasi ini mencetus kontroversi kononnya Amber model simbol seks.

Mengulas persepsi itu, Amber pantas menyusun kata tanpa sekelumit rasa melenting. Apa yang dipertahankan Amber ialah soal prinsip tidak sesekali menjejaskan kredibiliti, karier dan maruah sebagai wanita Asia.

“Saya lebih yakin jika tampil seksi kerana sukakan mood seksi itu. Tetapi, jangan salah anggap yang seksi saya itu keterlaluan dan saya tidak sesekali bergaya seksi seperti berbogel demi meraih populariti.

“Saya pernah beberapa kali ditawarkan bergambar bogel dan mendapat pelawaan agensi antarabangsa untuk tujuan sama. Tetapi sudah menjadi prinsip saya untuk tidak sesekali beraksi begitu demi menjaga maruah diri dan negara tercinta,” katanya menyentuh kontroversi bergaya seksi dalam sebuah majalah Taiwan, baru-baru ini.

fesyen di Taiwan, baru-baru ini.

Populariti Amber membawa gadis ini merantau jauh. Amber kerap berulang-alik ke Taiwan, Hong Kong dan China sejak kebelakangan ini.

“Biarpun saya sudah mengukir nama di Malaysia, itu tidak bermakna saya harus mendabik dada di negara orang. Saya harus bermula daripada awal untuk membina nama sebagai model di sana juga,” katanya.

Ternyata, sikap merendah diri serta mudah mesra itulah yang membuatkan supermodel kurus tinggi ini laris bagai pisang goreng panas. Kunci kejayaan itu menjadikan Amber antara supermodel baru pilihan ramai di Taiwan untuk menghiasi papan iklan, fotografi majalah dan akhbar.

Amber berkongsi kegembiraan ditawarkan menjadi duta bagi enam barangan dan produk kecantikan di Taiwan. Pencapaian itu sudah dikira hebat bagi model baru di negara berkenaan, apatah lagi beliau rakyat asing di sana.

Nyata penat-lelah Amber selama ini membuahkan hasil. Banglo mewah tiga tingkat miliknya gah berdiri di ibu kota.

Pada usia 26 tahun, Amber berbangga dengan kejayaan memiliki banglo tujuh bilik dengan kelengkapan dan dekorasi moden menampakkan betapa gadis ini bijak merancang masa depan.

“Inilah hasil titik peluh saya. Puas dengan apa yang saya miliki pada usia muda. Saya percaya pada takdir Tuhan dan tuah yang dianugerahkan,” kata Amber yang banyak menghabiskan masa di rumah pada waktu lapang.

Sambil sibuk bercerita kesibukannya, Amber tangkas menukar pose mengikut permintaan jurufoto, Surianie Mohd Hanif. Tidak banyak kerenah, Amber bijak menghidupkan suasana dengan gaya seksinya. Selepas puas memberikan aksi menawan di atas kerusi, Amber meneruskan pesona di atas meja, di celah pohon hingga atas kamar beradunya.

Melihat gaya profesionalnya di depan kamera, penulis sempat bertanya selama mana beliau mahu meneruskan kerjaya sebagai model.

Amber mengakui beliau sendiri tidak pasti. Sambil menegaskan, dunia modeling adalah darah dagingnya kerana impikan kerjaya glamor itu sejak kecil.

Selain menyusun langkah terjun dalam dunia lakonan, Amber memiliki butik pakaian sendiri Sew & Soul. Beliau juga baru selesai menyiapkan buku panduan model yang pertama kali diterbitkan di Malaysia. Buku ini adalah wadah bagi Amber berkongsi inspirasi dengan gadis yang menyimpan impian menjadi supermodel.

“Buku ini bukan saja menyentuh soal peribadi malah perjalanan hidup sejak kecil, baik buruk Amber, pemakanan dan kesihatan semuanya dipaparkan dalam halaman buku ini. Paling penting, buku ini akan menjadi panduan lengkap termasuk senarai agensi modeling tempatan sebagai rujukan untuk gadis remaja yang berhasrat menjadi model,” katanya.

Mengenai dunia lakonan, Amber yang pernah membintangi filem seram Seed Of Darkness berkata, beliau komited untuk menembusi pasaran antarabangsa seperti ikonnya, Datuk Michelle Yeoh. Sehubungan itu, Amber nekad mengikuti kelas lakonan dan bahasa Inggeris di New York Film School, Amerika Syarikat selama tiga bulan, akhir tahun ini.

Puas bertanya isu peribadi dan kontroversi yang melingkarinya, teringin pula mendapatkan rahsia kecantikan Amber.

“Saya beruntung kerana mendapat banyak tajaan perawatan wajah. Mungkin suatu hari nanti saya juga akan menggunakan teknologi sains kecantikan seperti Botox dan Collagen untuk kekal menawan.

“Namun saya sama sekali tidak akan menjalani pembedahan plastik kerana saya percaya kepada kelebihan diri sendiri. Malah, wajah inilah yang memberi tuah buat saya,” katanya yang mahu wanita menghargai kecantikan luaran dan dalaman.

Profil

Nama: Amber Chia

Umur: 26 tahun

Tarikh lahir: 14 Disember 1981

Tinggi: 175 sentimeter

Berat: 50 kilogram

Ukuran badan : 32-25-35

Saiz baju: S atau M

Saiz kasut: 8

Warna rambut: Coklat gelap

Warna mata: Coklat gelap

Pendidikan: London Chamber of Commerce and Industry LCCI)

Kerjaya: Model, pelakon, pengacara dan ahli perniagaan

Hobi: Berenang, melancong dan memasak

Filem: Possessed, The 3rd Generation, Seed Of Darkness, Trio & A Bed, Ending (Taiwan), What Is Love (Singapura)

Drama: Trio And The Bed, Sea Providence

Iklan: Focus Point, Celebrity Fitness, Salabianca, Pensonic, Follow Me, Sony

Duta produk: Guess Watches, Stila, Whisper (P&G), L’Oreal, Celebrity Fitness, Gintell

Antara Pencapaian:

Anugerah Pencarian Peragawati Antarabangsa Guess 2004,

Anugerah Peragawati Wanita Terbaik Minggu Fesyen 2005,

Antara 100 wanita paling seksi di dunia majalah FHM 2005, 2006, 2007, 2008

Anugerah Peragawati Wanita Terbaik Minggu Fesyen 2005,

Selebriti Paling Seksi di Malaysia berdasarkan Kaji Selidik Seks Global Durex 2005

Antara duta produk:

Celebrity Fitness – Malaysia, Indonesia, Thailand 2006-2009

Model jam tangan Guess antarabangsa 2004-2005

Breeze Center Taiwan 2008-2012

Bottom Slim Slimming Centre – Singapura 2007-2009

Audrey International Lingeria – Hong Kong, Taiwan, China 2008-2010

Antara iklan cetak:

Pensonic Malaysia 2007-2008

Salabianca Fashion Malaysia 2005-2008

L’Oreal Paris-Singapore 2007

Sony DVD Malaysia 2005

Antara iklan komersial:

Nippon Paint – Malaysia 2007-2008

Pensonic Malaysia 2006-2008

Gintell Malaysia 2006-2008

Celcom – Malaysia, China 2004

Antara penghias muka depan majalah:

Malaysia – F.H.M, Her World, Marie Claire, Female, Cosmetic Surgery & Beauty, V Mag, Loaded

Singapura – Marie Claire, New Man, F.H.M, Revolution

Indonesia – F.H.M, Hers, A+, Dewi

Thailand – Elle, Cleo

Taiwan – F.H.M, China Times Weekly

Amerika Syarikat – Elle

Berita Harian