Archive | Juliana Banos RSS feed for this section

Juliana Banos Dapat Bayi Perempuan

25 Nov

NIEZAM nak mengucapkan tahniah kepada dua orang yang penting dalam dunia hiburan. Pertama buat teman depan meja, Tengku Khalidah kerana selamat melahirkan bayi perempuan pada 19 November lalu.

Keduanya pula buat penyanyi Juliana Banos. Dia pun selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada 10 November lalu.

Wartawan Utusan di Johor Bahru, Haszrul Mohamed beberapa kali menghubungi June tetapi panggilan dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dijawab.

Sehinggalah pada malam Selasa lalu barulah June bersedia untuk menjawab panggilan Haszrul. Cuma kata June dia belum bersedia untuk memaparkan gambar dia dengan anaknya.

June bersalin di sebuah hospital mewah iaitu Hospital Mont Elizabeth, Singapura.

Khabarnya bayi itu pun sihat dan comel macam ibunya juga.

Hospital Mont Elizabeth bukan sahaja menyediakan kemudahan untuk bersalin sebaliknya ada kelas untuk para ibu sebelum dan selepas bersalin.

Maklumlah, bayi pertama June, pengalaman menjaga bayi tentulah kurang. Kalau ada kemampuan tak salah dia mengikuti kelas macam tu. Khabarnya June berkecil hati dengan wartawan yang tak mempedulikan dia selepas berumahtangga.

Bukan tak mempedulikan tetapi June kena ingat, dia tinggal di Johor Bahru. Nak panggil untuk sesi fotografi pun bukannya mudah. Dalam masa yang sama June tengah sarat mengandung. Kita faham semua masalah itu. Tahun lalu media tak melupakannya dan masih mengajak dia untuk sesi fotografi keluaran Hari Raya.

Lagipun sesetengah artis, kalau tak ada apa-apa perkembangan terbaru ataupun album baru, ajaklah seribu kali untuk fotografi, mesti mereka tolak.

Apa-apa pun tahniah kepada June dan Mokhtar Ahmad kerana mendapat bayi pertama dalam hidup. Dah lepas pantang nanti jangan lupa telefon Abang Niezam ye. Kita buat fotografi. Takut nanti kata tak ingat pula.

NIEZAM: Hormat pada semua artis apatah lagi yang baik dan ikhlas berkawan tanpa ada maksud tersembunyi.

Powered by Utusan Malaysia

Perkahwinan Juliana – Mokhtar Tutup Tirai 2005

28 Dec

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

PERNIKAHAN aktres Juliana Azman Banos, 26, dengan usahawan Mokhtar Ahmad, 33, dianggap perkahwinan paling gemilang di kalangan artis Malaysia pada tahun ini.

Juliana atau Jun adalah artis yang pandai menyimpan rahsia percintaan. Malah artis yang tidak banyak digosip itu kini mampu tersenyum riang kerana percintaan yang dipupuk selama dua tahun berakhir ke jinjang pelamin.

Selain kenduri di Johor Bahru dan Kuantan, Pahang, Jun turut meraikan rakan-rakan artis dan sahabat handai pada majlis resepsinya di Hotel Palace of the Golden Horses di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara artis yang hadir pada hari bersejarahnya ialah Faizal Hussein dan isteri, Suhaila Sulaiman, Norman Hakim, Abby Abadi, Tomok, Ako Mustapha, Ruhani Rahman dan tetamu kehormat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom serta Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kehadiran rakan-rakan artis itu bukan sahaja menyerikan majlis perkahwinannya malah ia juga bagai memenuhi impian Jun yang ingin semua rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya hadir menyaksikan hari perkahwinannya.

Jun yang ditemui selepas majlis resepsi itu berkata, biarpun sudah bergelar isteri, namun dia tetap meneruskan kegiatan seni sebagai penyanyi. Tambahan pula Jun akan muncul dengan album baru berjudul Mutiara Jun menerusi syarikat miliknya, Juliana Banos Sdn. Bhd.. Album yang menampilkan konsep 1980-an itu dijangka berada di pasaran Januari ini.

Menurut Jun, album yang menampilkan Audi Mok, Azlan Abu Hassan dan Azman Abu Hassan sebagai penerbit itu amat bermakna pada dirinya.

“Lagu-lagu dalam album ini mencerminkan isi hati Jun yang terpendam selama ini. Biarpun lagu-lagunya pilihan Jun namun ia tetap memenuhi kehendak pendengar masa kini,’’ katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Mutiara Jun ialah Obsesi, Tak Perlu, Cinta Selamanya, My Own Person dan Baby.

Powered by Utusan Malaysia