Archive | Akhil Hayy RSS feed for this section

Akil Nafi Kahwin Dengan Waheeda

10 Jun

Oleh Norliza Mohamad Zakaria liza.zakaria@utusan.com.my

AKHIL Hayy bersama tiga anugerah platium termasuk dua platinum berkembar yang diterimanya baru-baru ini.

KALAU sudah namanya orang popular, apa saja yang dilakukan mereka, sudah tentu akan diperhatikan.

Lalu, apabila artis-artis popular dikaitkan dalam episod percintaan, mereka sudah tentu akan menjadi tumpuan media.

Hal yang sama turut dilalui oleh bekas penyanyi rock yang kini beralih kepada lapangan nyanyian lagu-lagu dakwah dan penceramah terkenal, Akil Hayy.

Beberapa bulan lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan laporan kononnya Akil memilih penyanyi wanita terkenal, Waheeda sebagai isteri keduanya.

Menguatkan lagi dakwaan itu, apabila Waheeda membuat keputusan untuk ‘bersara’ dari dunia hiburan.

Namun begitu, tiada sebarang jawapan yang pasti keluar dari mulut kedua-dua bintang popular itu.

Justeru, pada majlis pelancaran album terbarunya, Nasyid Legenda 2, Akil membuka mulut membicarakan cerita ‘perkahwinan keduanya’ kepada media secara terbuka.

Dalam nada tenang, ustaz rock itu menafikan khabar angin yang tersebar luas sebelum ini.

“Tidak. Saya tidak pernah bernikah dengannya (Waheeda). Saya rasa benda ini (gosip) semua artis akan lalui, apabila kita menempa nama pasti banyak mata yang memandang.

“Dia (Waheeda) sebenarnya sedang dalam proses berjihad untuk kembali ke jalan yang benar. Sebab itulah saya rasa prihatin tetapi mungkin orang ramai salah faham,” jelas bapa kepada lima orang anak itu tanpa berselindung.

Tidak mahu memanjangkan lagi isu yang disifatkannya sebagai khabar angin semata-mata, kata Akhil, hubungannya dengan Waheeda saling tidak ubah seperti rakan artis semata-mata.

Menganggap segala yang melanda dirinya kini sebagai tsunami dan ujian dalam hidup, Akhil pada masa yang sama mengharapkan pengertian dan kesabaran daripada isterinya yang tercinta, Maizawati Zainal.

“Dalam perkara macam ini, isteri saya perlu memahami situasi saya sebagai artis. Seringkali saya ingatkan padanya agar dia perlu sentiasa ada perasaan menyayangi bukan memiliki.

“Saya musafir ke hulu dan ke hilir, bila dia (isteri) ada perasaan sayang dan percaya pada saya barulah dunia akan rasa aman,” ujar Aki lagi.

Sementara itu, beralih perbualan kepada kerjaya seninya pula, Akil memberitahu, untuk album terbarunya ini, dia memilih untuk merakamkan lagu-lagu saduran dalam Nasyid Legenda 2.

Akil bukanlah artis pertama yang memberi nafas baru pada lagu-lagu popular lama.

Usaha merakamkan lagu-lagu sedemikian juga kata Akil, sebetulnya memberi manfaat dan keuntungan yang bukan sedikit.

Menurutnya, tidak kira apa juga genre muzik yang dimainkan, selagi ada peminatnya, selagi itulah lagu tersebut mampu bertahan walaupun berpuluh tahun lamanya.

“Memang menguntungkan. Tetapi, ia bukan satu perkara yang senang kerana setiap pembikinan album sebegini tidak boleh main buat sahaja.

“Takut nanti penyanyi asal akan kata merosakkan lagu-lagu mereka,” kata Akhil Hayy yang gemar membahasakan dirinya ana.

Agak beruntung, kata Akhil Hayy, kali ini dia menerima sentuhan daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki untuk album ketiganya itu.

“Fauzi memang ada alirannya yang tersendiri dalam menampakkan keaslian nasyid dan bila orang dengar, orang akan kata ya, inilah nasyid.

“Bagi saya, konsep yang saya tampilkan sangat berbeza kerana saya rakamkan semula lagu nasyid berkumpulan wanita secara solo dengan cara tersendiri,” katanya.

Album Nasyid Legenda 2 memuatkan lagu-lagu seperti Berita Gembira, Adam Dan Hawa, Dikit Sedikit dan Warna Alam yang merupakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher.

Tidak ketinggalan, ia turut memuatkan lagu-lagu nyanyian kumpulan El-Suraya iaitu Anak Derhaka, Pohon Dan Pinta, Hawa Nafsu dan Hidup Yang Hampa.

Menurut Akhil Hayy, album tersebut merupakan kesinambungan album pertamanya Nasyid Legenda yang berjaya mencatat jualan melebihi 40,000 unit.

Powered by Utusan Malaysia

Jemputan Umrah Terima Hampir 20,000 Penyertaan

16 May

Oleh Rozdan Mazalan

PROGRAM realiti Jemputan Umrah (JU) yang diperkenalkan saluran Astro Oasis bakal mengadili hampir 20,000 penyertaan yang diterima bermula Oktober tahun lalu sehingga berakhirnya tarikh tutup sehingga 31 Ogos depan.

Sehingga kini proses pemilihan dibuat secara tiga peringkat dan kini hampir 12 ribu penyertaan sudah diadili bagi peringkat kedua yang berakhir Mei.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pemilihan diadili secara tulus dan kesemua penyertaan akan dibaca dan diadili secara jujur bersama panel penilai yang terdiri daripada juri profesional dalam bidang agama.

“Daripada ribuan penyertaan yang kita terima baik daripada e-mel, surat, borang, faks dan sebagainya akan dibaca memandangkan ini adalah amanah yang harus kita pikul.

“Bagi peringkat pertama yang bermula Oktober hingga Februari lalu sebanyak empat penerima sudah menyampaikan hajat mereka mengunjungi tanah suci Makkah berdasarkan esei yang menceritakan keinginan mereka mengunjungi untuk apa.

“Kini pemilihan untuk peringkat kedua sudah pun diperoleh untuk membawa empat lagi penerima merealisasikan hajat mereka menunaikan umrah,” katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan calon penerima JU baru-baru ini.

Pemilihan calon penerima JU, selain Izelan turut dibantu panel penilai profesional seperti Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Datuk Dr Fatma Al-Zahrah, Akhil Hayy dan Yasmin Mohd Yazid.

“Pemilihan JU dinilai sebanyak tiga kali pemilihan. Pada pemilihan pertama bermula Oktober tahun lalu sehingga Februari lalu sebanyak 6,000 penyertaan diterima yang kemudiannya ditapis sehingga mendapat 50, 30, 10 dan satu penerima bertuah menerusi esei terbaik.

“Pemilihan kedua pada Februari hingga Mei serta pemilihan ketiga bermula Mei hingga Ogos turut menggunakan pendekatan yang sama.

“Tetapi di setiap pemilihan pertama 10 penyertaan yang menceritakan esei yang menarik turut akan dibawa semula pada pemilihan kedua dan ketiga, begitulah seterusnya untuk memberikan keistimewaan kepada calon yang menghantar,” katanya yang terpaksa membaca berulang kali setiap penyertaan.

Bagi menyuntik elemen emosi dalam pemilihan penerima Jemputan Umrah, penganjur mencari kelainan dengan memilih dan mempelbagaikan masalah yang dihadapi penonton Astro Oasis.

“Pada mulanya kita pernah terlintas mengetahui permasalahan yang dihadapi masyarakat sebelum mereka dijemput mengerjakan umrah. Setelah beribu-ribu penyertaan kita terima baru kita sedar rupanya setiap manusia mempunyai masalah yang berbeza dan unik untuk dijadikan cerita.

“Menerusi langkah itu kita mengambil keputusan untuk mencari pelbagai cerita atau masalah yang dihadapi masyarakat dari sudut yang berbeza disamping penyelesaian bersama tokoh agama yang juga panel profesional.

“Antara cerita yang menarik seperti masalah kesihatan, jodoh, zuriat, hajat dan banyak lagi yang bakal dicungkil untuk dibawa mengunjungi Makkah,” katanya.

Bagi penerima kedua hingga penerima ke 12, program JU turut mendapat tajaan TH Travel & Services melalui Pengurus Besarnya, Yasmin Mohd Yazid yang melihat program JU sebagai landasan terbaik menarik lebih umat Islam terutama golongan muda mengerjakan umrah.

Program ini juga boleh disaksikan menerusi Astro Oasis setiap Ahad jam 10 malam melalui saluran 106 di Astro.

Powered by Berita Harian

Superstar Bertukar Islamik

11 May

“PLANET saya dulu, nauzubillah. Disko, perempuan dan ya, semua jenis maksiat seperti itu berlarutan selama enam tahun. Rocklah katakan. Semoga Tuhan mengampunkan dosa saya,” akui Ustaz Akhil Hayy yang dulu hidup berpaksikan gelombang rock seperti kumpulan Poison dan Loudness tanpa selindung sambil memohon ampun beberapa kali.

Namun, segala kemungkaran itu sudah tidak lagi melingkarinya selepas lelah menanti hasil menjadi anak seni yang tidak ke mana selain kerap bermimpi soal kematian. Dan harapan bekas vokalis kumpulan rock terkenal tahun 80-an, D’Riyadh ini, semoga Tuhan tidak mencabut imannya sehingga akhir hayat.

Pada usia 39 tahun, dia yang sudah dua kali menunaikan haji berasa masih baru menjalani transformasi kehidupannya. Baru masuk usia 14 tahun, katanya yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan selepas membawa diri ke Indonesia. Itu semua berkat pujukan arwah ayah, Haji Abdul Hai, sekitar tahun 1994 yang banyak membimbing dirinya daripada terus hanyut bersama syaitan.

Akil yang pernah digelar jalang jantan kerana dunia maksiatnya dahulu, tidak sukar untuk kembali ke sisi Tuhan yang telah melimpahkan sinar baru dalam kehidupannya. Apatah lagi dipermudahkan keluarga yang tidak putus memberi sokongan.

Akhil mendalami ilmu agama di Madrasah Al Mustaufiwiyyah di Sumatera Barat pada usia mencecah 26 tahun. Di situ, dia ‘mencuci diri’, kembali mengaji dan akhirnya selepas kerap berulang alik dari Malaysia ke madrasah ini untuk tujuan tersebut, akui Akhil, akhirnya dia berjaya menimba ilmu akhirat.

“Alhamdulillah, hari ini, saya dapat berkongsi ilmu saya bersama orang ramai melalui dakwah saya. Dan biar sudah menukar paksi kehidupan, saya masih mendengar muzik rock dan melepak dengan remaja yang menjadikan rock sebagai paksi hidup mereka.

“Saya nak tahu apa yang mereka cari dalam kehidupan,” ujarnya yang berkata penghijrahan bukan satu transformasi yang boleh dibuat-buat.

Katanya yang bakal muncul dengan album Nasyid Legenda 11 sambil memanjatkan syukur: “Tiada jalan pintas untuk berhijrah. Sebaliknya inilah senjata Allah kepada sesiapa sahaja yang mahu Dia berikan. Senjata itu adalah taufik dan hidayah. Dan gunalah ia sebaik mungkin kerana ia tidak akan berlaku dua kali.”

Siapa: Akhil Hayy @ Ustaz Akhil, 39. Transisi: Bekas vokalis D’ Riyadh ini mula ‘beralih arah’ pada tahun 1994. Kini: Pendakwah, penyanyi dan pengemudi program sendiri di Astro Oasis, Kafe Akhil.

SELAIN nama-nama seperti Azmil Mustapha, Gito Rollies atau Sahara Yaacob, rockers tersohor Amy Search sempat dikatakan sudah menukar ‘kiblat’ kehidupan lamanya yang kini lebih Islamik sekembalinya daripada umrah.

Namun lebih daripada isu tersebut, wartawan MALIAH SURIP yang menemu bual beberapa bintang terkenal tanah air dan Indonesia yang sudah ‘cuci tangan’ dan keluar dari zaman jahiliah mereka menyimpulkan bahawa hidayah yang Tuhan pancarkan kepada mereka menjadi ‘pintu’ buat mereka melangkah ke alam kehidupan yang lebih tenang.

Siapa: Noorkumalasari Mohammad Taib, 52. Transisi: Bekas pelakon dan penyanyi popular ini mula menjalani transformasi penuh pada tahun 1997. Kini: Suri rumah sepenuh masa kepada suami, Wan Mohd Yusuf, 57, dan tiga puteranya, Wan Amin Nurrasyid (16), Wan Amni (14) Wan Irfan Nurul Atiq (12).

SAKTI selepas dua tahun melepaskan segala kemewahan lebih senang tampil dengan jambang, kerana mengikut sunah nabi. Ketika ditemu bual, Sakti menjaga tertib matanya dengan tidak memandang penulis.

DIKENALI sebagai pemain gitar kedua grup terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7), Sakti yang duduk di hadapan kami, berkata, hari ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat sepanjang pembabitannya dalam industri lebih enam tahun lalu.

Dalam pertemuan eksklusif yang diatur teman di kediaman Eross di Yogyakarta, Indonesia itu, kelihatan mukanya dijalari janggut, menyarung baju dan seluar khakis polos. Bicaranya teratur. Sakti membuka lembaran sejarah hidupnya – dari zaman jahiliah kepada seorang yang cukup patuh terhadap Islam.

“Saya takut mati dan api neraka itu maha dahsyat,” luah Sakti serius. Perasaan takut mati itu terdetik selepas dia terpandang sebuah buku dengan judul Menjemput Sakaratul Maut Bersama Rasulullah di dalam sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dua tahun lalu.

“Saya masuk ke sebuah kedai buku, ternampak buku ini dan fikiran saya berputar tentang senario kapal terbang yang kerap terhempas.

“Saya bayangkan kalau kapal terbang saya terhempas dan saya mati, apa bekalan yang saya ada? Saya tiada apa-apa. Tapi saya percaya mati tetap akan datang kepada saya pada bila-bila masa,” ceritanya yang kemudian membeli dan habis membaca buku tersebut sepanjang kembara ke Malaysia.

Kembali ke Indonesia, dia terus dibelenggu perasaan takut mati selepas menjaga ibunya yang sakit di hospital selain membaca sebuah tabloid yang menyiar isu kematian. Insiden yang berturut ini, kata Sakti, sebagai satu petunjuk agar dirinya berubah.

Dilepaskannya status pemain gitar SO7 saat grup ini sedang berada di kemuncak.

“Saya tekad membuat keputusan dan tidak berasa rugi melepaskan status artis pada zaman kegemilangan kami kerana saya sendiri sudah tidak boleh memberi fokus pada hiburan.

“Adakah saya menyesal melepaskan kemewahan dunia? Tidak sama sekali kerana saya lebih rela menyesal dan melepaskan semua di dunia sebelum saya dijemput ‘pulang’.

“Saya tidak mahu menyesal di akhirat kelak dan tidak terbayang panas api di sana,” kata Sakti yang turut mengaku kerap menangis mengenang dosa silam.

Usai rasmi keluar dari SO7, anak kedua daripada tiga beradik ini berangkat ke Pakistan (menuntut di sebuah masjid di Rewin) dalam usahanya mendasari semula asas seorang Islam sejati selama dua bulan sebelum kembali ke Indonesia dan menimba ilmu daripada para ulama di negara sendiri.

“Di Pakistan saya diajar menyayangi agama Islam sebagai sebuah agama yang indah.”

Lantas sewaktu disuakan hal tentang zaman jahiliahnya dahulu, Sakti tersenyum dan berkata: “Dulu saya pemabuk,” katanya tanpa selindung dan menambah: “Saya mula minum alkohol sejak zaman sekolah, bukan semasa jadi artis. Saya hanya berhenti minum pada usia 26 tahun sewaktu mahu beralih menjadi umat Islam yang sebenar.”

Tambah Sakti, solat lima waktu juga selalu rompong, jauh sekali solat Jumaat yang akuinya paling jarang dilakukan. Sebaik mendapat hidayah dan memahami disiplin kehidupan yang telah ditentukan Tuhan, dia cukup takut untuk meninggalkan solat.

Apa lagi saat mengenangkan kalau tiba-tiba dirinya dijemput ‘pergi’ tanpa sempat ‘bermanja’ dengan Tuhan.

Tanpa kemewahan, kata suami kepada Miftahul Jannah, 23, dia menjalani kehidupan kini serba sederhana sambil mengusahakan sebuah kedai dobi dan kedai mini sejak tiga bulan lalu di kampung halamannya.

Ditanya tidakkah rindu untuk memeluk keenakan hiburan, pantas dia menggeleng. Namun dia masih menyentuh gitar.

“Tapi bukan untuk dipertontonkan seperti dulu. Saya juga masih mendengar muzik, tapi lebih senang kepada nasyid atau memuji Islam seperti karya-karya Yusuf Islam. Muzik rock sudah jarang,” ujarnya yang tidak pernah menganggap hiburan sebagai perosak jiwa, tetapi ia menjadi rosak dengan penerimaan yang salah.

Sedang menghitung waktu untuk menggarap album berbentuk Islamik bersama seorang teman, Sakti saat diminta menyimpulkan kehidupannya kini memberitahu: “Nikmat punya agama seindah Islam memberi efek luar biasa dalam hati saya.

“Apa yang saya bimbangkan kini jika Tuhan menterbalikkan hati saya seperti dahulu. Nauzubillah, kerana saya mahu terus berada dalam hidayahnya sehingga saya mati.”

Siapa: Sakti Ari Seno@ Sakti, 28. Transisi: Bekas pemain gitar Sheila On 7 (SO7) ini mula mengubah ‘kiblat’nya sejak dua tahun lalu. Kini: Pendakwah bebas serta pemilik kedai dobi dan kedai mini bernama Smart.

PADA zaman kegemilangannya, pelakon kelahiran Jakarta ini pernah dilabelkan sebagai simbol seks kerana keberaniannya beraksi ‘panas’ selain sempat berbogel dalam beberapa filem dan sinetron lakonannya seperti Ranjang Yang Ternoda atau Gadis Metropolis juga Wanita Dan Ghairah.

Memiliki sosok tubuh yang menggiurkan selain kerap berimej seksi, isteri kepada Fahmi Darmawansyah ini bagaimanapun mengejutkan banyak pihak selepas drastik merubah kiblat kehidupannya dengan bertudung.

“Semua orang miliki kisah lalu dan saya kira tidak adil jika kita mengungkitnya untuk dijadikan ukuran,” katanya pada satu temu bual mengenai zaman jahiliahnya.

Dia kemudian memberitahu kehidupannya kini lebih tenang. Bertudung dan berubah menjadi manusia yang cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam yang baik sekembali dari umrah lebih 10 tahun lalu telah membuka hatinya bahawa Tuhan begitu menyayanginya.

Selain kerap didatangi mimpi tentang kematian dan takut kepada azab Tuhan, hatinya terus layu untuk menutup aurat.

“Kini saya banyak berpuasa dan solat untuk mengganti semula semua kewajipan yang saya tinggalkan satu ketika dahulu. Syukur kepada Tuhan kerana memberi kesempatan buat saya berubah,” katanya yang cukup terkenal menerusi sinetron berunsur dakwah, Mutiara Hati sambil menyifatkan pembabitannya dalam dunia hiburan kini lebih kepada menyebarkan dakwah.

Siapa: Inneke Koesherawati @ Inneke, 33. Transisi: Mula bertudung pada tahun 2001. Kini: Pelakon & Duta Astro Oasis Indonesia

Powered by Kosmo

Empayar Astro Oasis

20 Mar

Oleh MALIAH SURIP


BARISAN tenaga penting di sebalik tabir Astro Oasis.

USIANYA baru menginjak lima bulan. Namun reputasi yang dibina sepanjang merangkak cukup memberangsangkan. Jika pada awalnya banyak pihak yang menjangkakan pembukaan saluran Astro Oasis (saluran 106) bakal menerima sambutan sedikit hambar pada salam perkenalan mereka, telahan tersebut tersasar.

Buktinya, jangka masa lima bulan tidak sekadar membuat saluran ini berjalan dengan sempurna. Sebaliknya diluar jangkaan juga, sasaran audiens mereka bercambah dari sasaran asal mereka. Meletakkan usia 25 sehingga 45 tahun sebagai sasaran, Oasis kini menjadi tumpuan bagi golongan berusia 45 hingga 62 tahun.

“Ia merupakan satu tindak balas yang amat positif buat kami di Oasis. Respons daripada mereka yang menyukai kandungan saluran kami membuat kami akan berusaha meningkatkan mutu program siarkan buat semua,” jelas Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar pada majlis pelancaran Program Astro Oasis sempena sambutan Maulidur Rasul di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dan khusus menghargai perhatian peminat serta sejajar dengan keutamaan mereka untuk menyampaikan syiar Islam melalui program-program mereka, saluran ini mengambil inisiatif dengan menyalurkan pelbagai program terbaik selama lima hari bermula semalam khusus meraikan majlis Maulidur Rasul.

Nama-nama besar artis tanah air seperti Ustaz Akhil Hayy, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim, Mawi, Farah, Bob dan ramai lagi bakal mengisi slot-slot program menarik yang dihidangkan sepanjang ‘pesta’ Maulidur Rasul selama lima hari sehingga 23 Mac ini.

WARDINA (kanan) bersama Inneke.

Malah Oasis turut menghidangkan segmen khas bual bicara, filem-filem Iran dan tempatan, telemovie serta program

berkaitan muzikal yang mampu memupuk semangat kecintaan terhadap Islam.

Pada kesempatan yang sama, saluran ini turut memperkenalkan wajah ikon sulung Oasis Indonesia iaitu Inneke Koesherawati. Pelakon sinetron popular di republik ini dipilih bersandarkan populariti dan imej bersih yang dibawanya selepas menukar ‘kulit’ penampilannya yang pernah diberi jolokan simbol seks Indonesia.

“Alhamdulillah. Insya-Allah mudah-mudahan niat baik saya menyebarkan syiar Islam menerusi saluran ini akan terlaksana. Saya melihat tanggungjawab yang diberikan Oasis ini sangat besar buat saya,” kata Inneke yang cukup berbangga dengan Oasis yang dilabelkan sebagai satu-satunya saluran yang peduli tentang Islam.

Sementara itu, Izelan yang turut memaklumkan program Ziarah kendalian Wan Kamaruddin mendapat sambutan hangat di Indonesia berkata: “Kami di Oasis sedang merancang pelbagai program usaha sama antara Malaysia dengan Indonesia yang akan ditayangkan di negara tersebut.

Powered by Kosmo