Archive | Sharifah Aini RSS feed for this section

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Syed Kechik Dalam Kenangan

25 Apr

Oleh Kadir Dikoh
bminggu@bharian.com.my


SYED KECHIK meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung
BAGI mereka yang pernah membaca buku berjudul The politics of federalism: Syed Kechik in East Malaysia tulisan Bruce Clifford Ross-Larson yang diterbitkan pada 1976, sudah pasti mengetahui betapa berperanan dan berpengaruhnya Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed dalam politik Sabah dan Sarawak pada era akhir 1960-an dan awal 1970-an.

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 1928, Syed Kechik disifatkan sebagai pakar strategi politik, peguam yang bijak, tokoh usahawan Melayu ulung dan pengeluar filem, yang dihantar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke Sabah untuk membantu kawan baiknya, Tun Datu Mustapha Harun.

Mustapha yang menjadi Ketua Menteri Sabah antara 11 Mei 1967 hingga 31 Oktober 1975 ialah pemimpin Sabah yang sangat berpengaruh. Ketika Perdana Menteri sewaktu itu menaiki pesawat komersial untuk pergi ke mana saja, Mustapha sudah memiliki jet peribadi.

Syed Kechik yang ditugaskan sebagai penasihat undang-undang peribadi beliau, dikatakan orang yang paling dipercayai oleh Mustapha hingga ada yang menggelarnya sebagai ‘Ketua Menteri Sabah yang sebenar’.

Menurut buku itu lagi, Syed Kechik juga memainkan peranan belakang tabir atas arahan Tunku bagi membantu menyelesaikan krisis perlembagaan di Sarawak pada 1966 apabila Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan enggan meletak jawatan setelah menerima undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Membaca buku itu seolah-olah kita menonton filem James Bond, ‘melihat’ (membaca) bagaimana liciknya Syed Kechik menemui tokoh di belakang tabir dan berhubung dengan Tunku, menelaah undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian tanpa pengetahuan masyarakat umum tetapi didedahkan dalam buku terbabit.

Namun, peranan sebenar Syed Kechik lebih tertumpu di Sabah. Pada mulanya, Syed Kechik bertugas sebagai Penolong Setiausaha Parti Perikatan Kedah pada 1964 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman (1964-1967) sebelum ditugaskan selaku Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Menteri Pertahanan Awam, Tun Mustapha (1966-1967).

Sejak itu, Syed Kechik begitu rapat dengan Mustapha yang bukan saja sebagai pembantu khas, malah diberi pelbagai jawatan seperti Ahli Majlis Eksekutif Negeri bagi parti Usno (1968-1972); Setiausaha Agung Persatuan Islam Bersatu Sabah (Usia) 1969-71; Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (1970-71) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (1975-76).

Lapan tahun, Syek Kechik membantu Mustapha selaku Ketua Menteri bukan saja berpengaruh dalam politik bagi memperkukuhkan kedudukan pemimpin ulung Sabah itu, malah membantu mengukuhkan ekonomi negeri.

Beliau membina Yayasan Sabah, yang digunakan oleh Mustapha sebagai instrumen utamanya untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa politik. Yayasan itu antara lain berperanan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera Sabah. Ia juga turut menyediakan tajaan dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Bagaimanapun kemelut dalaman yang berlaku dalam parti Usno pimpinan Mustapha menyebabkan parti itu tewas kepada Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh pada pilihan raya negeri 1976. Pergolakan dalaman dan kekalahan itu membawa Syed Kechik kembali ke Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman dan pengaruh dalam dunia politik, Syed Kechik kemudian membabitkan diri secara serius sebagai ahli perniagaan, dengan pembabitannya dalam pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing.

Antara pelaburan terbesar Allahyarham ialah dalam projek pembinaan Wisma On Tai sekitar 1970-an. Syed Kechik juga adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah Sri Hartamas Corporation Bhd. Kejayaan yang dilihat sebagai mercu tanda kepada orang Melayu ialah apabila Syed Kechik berjaya memiliki bangunan sendiri iaitu Yayasan Syed Kechik di Bangsar.

Bagaimanapun, Syed Kechik memulakan kerjayanya dalam perniagaan dan politik agak lambat. Sebagai remaja, beliau membantu ayahnya di kedai dobi dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk belajar dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa di University of California.

Oleh kerana kesempitan hidup, beliau sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran dan sebagai pelayan (waiter) untuk mencari rezeki menampung perbelanjaan. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London sebelum kembali ke Malaysia dan terus membabitkan diri dalam politik Umno di Kedah.

Di situlah beliau mula mengenali Tunku Abdul Rahman dan kemudian diminta oleh Bapa Kemerdekaan itu untuk ke Sabah, Negeri Bawah Bayu yang berjaya menukar corak kehidupannya. Beliau tidak berfikir dua kali untuk menerima tawaran membantu Mustapa.

Apabila kembali ke Semenanjung setelah berakhirnya penguasaan Usno pimpinan Mustapha di tangan parti Berjaya pimpinan Harris, Syed Kechik menumpukan penuh perhatian kepada bidang perniagaan hingga muncul antara Bumiputera pertama menjadi ‘multi-millionaires’.

Syed Kechik adalah juga Presiden pertama Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) setelah terpilih dengan menewaskan Tan Sri Jins Shamsuddin menerusi pengundian pada 1980. Beliau juga mempunyai sebuah syarikat perfileman sendiri iaitu Syed Kechik Film Productions dan filem pertama keluaran syarikatnya ialah Bintang Pujaan yang diterbitkan pada 1979.

Antara filem lain yang diterbitkan oleh Syed Kechik Film Productions yang mendapat sambutan baik penonton ketika itu ialah Sumber Ilhamku lakonan Mahmood Jun dan Datuk Sharifah Aini.

Pada 1990-an, beliau ‘bersara’ daripada bergiat aktif dalam perniagaan dan perfileman dan kembali ke Alor Setar pada usia lanjut, tempat kelahirannya. Syed Kechik meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya merangkap anak saudara iaitu Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar pada 10 April lalu. Amin.

Berita Harian

Kenali Gaya: Baju Labuh Lepas Punggung Tutup Kelemahan

30 Nov



WARNA gelap bagi bahagian bawah badan sesuai untuk mengelakkan penonjolan bentuk paha dan pinggul.

Material berkilau, lembut tak sesuai jika berbadan gempal

Soalan:Saya gadis remaja bertudung berusia 19 tahun. Saya berbadan gempal tetapi masalahnya ialah kegemukan di pinggang ke kaki (gemuk bawah seperti di paha, pinggul). Apa fesyen sesuai boleh saya gayakan untuk menutup dan menampakkan bahagian bawah badan saya tampak kecil? Ema Hussin.

Jawapan:Bagi mereka yang berbadan agak gempal saya sarankan anda memakai pakaian yang tidak terlalu ketat di bahagian atas. Tujuannya untuk melindungi bentuk tubuh supaya tidak terlalu jelas.

Pemilihan kain pula sebaiknya jenis material yang tidak berkilau dan terlalu lembut kerana ia akan menonjolkan lagi bentuk badan anda.

Pilihan warna lembut atau pastel bahagian atas (baju) sesuai untuk anda kenakan jika ingin keluar beriadah atau ketika menghadiri majlis kasual.

Manakala pilihan warna ceria sebaik-baiknya dipakai untuk ke majlis lebih formal dan padanan untuk kedua-dua pilihan baju berkenaan adalah sebaik-baiknya di dalam warna gelap seperti hitam dan coklat tua.


Jovian Mandagie

Tujuan pemilihan warna gelap untuk bahagian bawah badan adalah untuk mengelakkan bahagian bawah paha dan pinggul kelihatan nyata.

Ada taktik lain yang boleh dilakukan untuk menutup paha dan pinggul anda yang besar, caranya dengan mengenakan pakaian (baju) yang lebih panjang dan labuh menutupi paras pinggul. Cuba dan lihat kelainan gaya, pasti anda tampil lebih bergaya.

PROFIL: Jovian Mandagie

Usia : 22 tahun

Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, Universiti Lim Kok Wing

Pereka muda ini sering menjadi bualan kerana cetusan ilhamnya yang segar berinspirasikan gaya Malindo. Dia juga sering terbabit menghasilkan persalinan untuk selebriti terkenal antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Linda Onn, Misha Omar, Amber Chia, Kris Dayanti dan Rossa.

Sebarang pertanyaan, hubungi Jovian di Jovian Mandagie, 95, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-22844095.

INFOJika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

Masakan Kampung Buka Selera

29 Aug


Penghibur terkenal Dee (kanan) dan Chef Yohanis bersama pelbagai sajian sempena promosi Nostalgia Ramadan Hotel Dorsett Regency.

DUA atau tiga hari lagi seluruh umat Islam bakal menyambut kedatangan Ramadan. Waktu inilah kita sering teringat dengan juadah masakan kampung hasil masakan ibu tercinta ketika berbuka puasa.

Sebenarnya, di kota raya seperti Kuala Lumpur, juadah-juadah seperti itu di mana-mana pun boleh diperoleh sama ada di pasar Ramadan atau di hotel-hotel yang hampir kesemuanya mengadakan promosi berbuka puasa.

Bagi yang berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, bolehlah singgah ke Hotel Grand Continental jika bimbang tidak sempat sampai ke rumah untuk berbuka.

Terkenal dengan variasi hidangan bufet berbuka puasa yang enak dan menyelerakan, menu tahun ini dipelbagaikan. Hidangan berbuka puasa tahun ini yang bertema Selera Kampungku ditampilkan dalam lapan menu secara bergilir-gilir dengan setiap menu mengandungi 100 jenis masakan.

Chef Sous, Saiful Jefri Jaafar berkata, selain beraneka jenis kerabu dan sup, pengunjung boleh menikmati hidangan enak lain yang disajikan termasuklah ayam berlada, gulai darat batang pisang, botok-botok rengit, ketam lemak nanas, kuzi ekor lembu dan lemak siput.

Tambah beliau, turut dihidangkan ialah kambing panggang yang merupakan satu lagi resipi istimewa di hotel ini. Kambing tersebut diperap dengan resipi rahsia yang berupa campuran pelbagai herba dan rempah ratus selama dua hari.

Jelasnya, sambil menikmati juadah berbuka, pengunjung akan dihiburkan dengan lagu-lagu asli dan ghazal oleh Ghazal Sri Kencana dan cabutan bertuah.

Nostalgia Ramadan di di di Dorsett Regency

Aneka juadah berbuka puasa menanti pengunjung Checkers Cafe’s di Hotel Dorsett Regency, Kuala Lumpur, sepanjang bulan Ramadan ini.

Membawa tema Nostalgia Ramadan, pelbagai sajian akan dihidangkan daripada resepi ala kampung hinggalah resipi muhibbah seperti masakan India, Cina, Baba-Nyonya dan masakan yang bertemakan menu Malaysia.

Kesemua sajian disediakan oleh Chef Yohanis yang pakar dalam masakan Melayu dan ‘anak-anak buahnya’ yang sudah tentu mahu memastikan setiap pengunjung yang datang menikmati kepuasan daripada sajian yang dihidangkan.

Antara yang disajikan sempena Ramadan ini ialah sup rusa, rendang ayam, sambal udang petai, serunding ayam, bubur lambuk, sup ekor, balitong masak lemak cili api, pari asam pedas, patin masak tempoyak, rendang daging, lemang, ketupat dan aneka kuih raya.

Selain itu, suasana berbuka puasa akan diserikan dengan kemunculan selebriti dan pengacara terkenal, Dee. Di samping menghiburkan pengunjung, beliau juga akan menampilkan pelbagai menu pilihan yang diwarisi daripada nenek moyangnya berketurunan Arab.

Selebriti lain yang akan bersama dengan Dee ialah Datuk Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan tetamu jemputan yang lain seperti anak-anak yatim yang akan dirai oleh kakitangan hotel.

Selepas puas menikmati hidangan menyelerakan, bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan sembahyang Tarawih pihak hotel menyediakan surau untuk keselesaan di tingkat 2 berdekatan dengan Checkers Cafe.

Checkers Cafe juga mengadakan menawarkan harga istimewa sepanjang promosi bulan Ogos dan September ini bagi sesiapa yang menempah awal.

Utusan Malaysia

Lagu Buat Ibu

25 May

MESKIPUN Hari Ibu sudahpun berlalu namun kasih sayang mereka kepada seorang anak tidak akan pernah kurang dan kita sebagai anak, tidak akan pernah melupai jasa ibu membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Justeru, dalam terus memperingati betapa besarnya pengorbanan seorang ibu maka satu album istimewa menghimpunkan lagu-lagu berkaitan pengorbanan seorang ibu diterbitkan.

Tidak sahaja untuk dijadikan sebuah koleksi peribadi, album istimewa ini amat sesuai dihadiahkan untuk ibu tersayang sebagai tanda ingatan.

Memuatkan 15 buah lagu- lagu, hadir pada pakej album ini termasuklah tiga lagu rakaman baru nyanyian Azahari Nowseeheart berjudul Kasih Tak Bersyarat, Aku Rindu (Graha) dan Ummi (Niskala).

Dan tentu sekali lagu-lagu tentang ibu yang hits sepanjang zaman dan terus disiulkan oleh pendengar seperti lagu Untukmu Ibu dendangan Exist, Umi (Datuk Shake), Oh! Ibu (Alleycats), Kasihnya Ibu (Najib Haniff), Ayah dan Ibu (Sudirman) serta Bonda (M. Nasir).

Tidak ketinggalan, album kompilasi terbitan kerjasama Rumpun Records dan Universal Music Malaysia ini turut memuatkan lagu-lagu Ibu yang dipopularkan oleh Rafeah Buang, Ibu (Blues Gang), Mawar Putih Untuk Mama (Sharifah Aini), Syurga Di Telapak Kaki Ibu (Aishah), Lagu Untuk Seorang Ibu (Kembara) dan Mama (Spider).

ALBUM: UNTUKMU IBU –

PELBAGAI ARTIS

EDARAN: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Powered by Utusan Malaysia

Dugaan M. Masnawi

5 Mar

BINTANG SILAM
Dugaan M. Masnawi

Penyanyi 1960-an cerita pengalaman diserang penyakit angin ahmar

By Karim Iskandar

TANGGAL 16 Februari lalu merupakan hari lahir penyanyi era 1960-an, M. Masnawi, yang ke-59 tahun.

Namun, tidak seperti ramai orang lain yang meraikan ulang tahun mereka dengan meniup lilin, penyanyi yang popular dengan lagu Nanti Daku Di Ambang Syurga itu sekadar menghabiskan masa dengan isterinya, Mimi Misuath.

Mereka meluangkan masa bersama dan makan di luar agar ‘lebih romantis’.

M. Masnawi diserang angin ahmar pada Ogos 2004 dan hingga kini belum sembuh 100 peratus dan belum lagi menggunting rambut – kerjaya yang sudah ditempuhinya bertahun-tahun.

Walaupun begitu, isterinya, Mimi, 42 tahun, tetap tabah melayani suaminya dengan penuh kasih sayang.

Peristiwa yang menimpa M. Masnawi saat beliau diserang angin ahmar memeranjatkan seluruh anggota keluarga dan peminatnya.

Penyanyi itu menceritakan: ‘Waktu itu saya sedang sendirian di rumah. Saya kemudian mendengar telefon berdering. Sewaktu hendak mengangkat gagang telefon, kepala saya semacam berat dan mabuk dan saya rebah.’

Beliau ditemui terbaring dua jam sesudah itu oleh isterinya sebaik membuka pintu rumah selepas pulang dari kerja. Melihat suaminya terbaring, Mimi panik, lantas mengangkat suaminya ke katil.

Dengan segera M. Masnawi dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH). Setelah diperiksa doktor, beliau ditahan kerana disahkan diserang angin ahmar yang menyebabkan tangan kirinya longlai dan sukar diangkat.

Di TTSH, M. Masnawi diberikan rawatan intensif selama 30 hari sebelum dipindahkan ke Hospital Ang Mo Kio untuk rawatan terapi. Setelah doktor puas hati dengan perkembangannya, barulah beliau dibenarkan pulang.

Menurutnya, dari hospital beliau singgah ke kedai gunting rambutnya, Sinar Bintang Barber Shop, yang terletak di Race Course Road, dan sebelum itu sempat pula ke Pasar Tekka untuk makan sup kambing, salah satu makanan kegemarannya yang dilarang doktor.

‘Saya tawakal saja. Dah lama betul saya tidak makan sup kambing, jadi bila dah lapar saya ‘sental’ juga dan ini pun rezeki dari Allah,’ katanya.

Mengisahkan kembali pengalaman selepas diserang angin ahmar, isterinya, Mimi, berkata dalam minggu pertama suaminya itu sukar bercakap dengan jelas.

‘Kadang-kadang saya kurang faham apa yang dituturnya, tetapi alhamdulillah, sekarang dia sudah pulih,’ ujar Mimi.

Kini M. Masnawi sangat rajin berjalan kaki seperti yang dianjurkan oleh doktor sebagai usaha mengembalikan tenaganya.

‘Alhamdulillah, berkat kesabaran dan ketekunan, kesihatan saya bertambah baik dan saya sudah boleh ke majlis kahwin,’ katanya. Malah, di majlis kahwin, beliau telah diminta menyanyi.

Dua daripada sekian banyak lagu ciptaan M. Masnawi telah dirakam semula – lagu, Nanti Daku Di Ambang Syurga oleh Sharifah Aini dan Jangan Kau Tangiskan oleh Zaleha Hamid.

Tidak suka cakap besar dan berkata bohong – itulah peribadi beliau.

‘Hidup ini bagi saya, cukuplah sederhana saja dan mensyukuri apa yang diberikan Allah kepada kita.

‘Berkawan juga harus setia dan andai berkawan, jangan sesiakan sahabat kita itu,’ katanya.

Powered by Cyberita

ROB Dan Koffin Kanser Dua Kumpulan, Sama Anggota

2 Oct

JARANG berlaku dalam mana-mana industri muzik, terdapat dua buah kumpulan dianggotai oleh anggota-anggota yang sama. Tetapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia muzik kita apabila Republic Of Brickfields (ROB) dan Koffin Kanser dianggotai oleh anggota-anggota yang sama.

Aru sebagai ketua kumpulan itu berkata, pada mulanya ramai peminat yang keliru apabila mereka muncul dengan dua nama yang berbeza.

Namun, selepas melihat persembahan ROB dan Koffin Kanser barulah para peminat dapat membezakan kelainan dua kumpulannya itu.

“Para peminat hanya dapat membezakan yang mana satu ROB dan Koffin Kanser selepas mereka menyaksikan persembahan kami.

“ROB merupakan sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama reggae sedangkan Koffin Kanser lebih ke arah nu metal.

“Konsep muzik itulah yang membezakan antara dua kumpulan kami itu,” kata Aru ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan promosi album kompilasi Bila Tiba Hari Raya anjuran syarikat rakaman EMI di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bila Tiba Hari Raya merupakan album kompilasi yang mengandungi 21 buah lagu-lagu Hari Raya malar segar yang antaranya dinyanyikan oleh Datuk Ahmad Jais, Sanisah Huri, Datuk Sharifah Aini, Fazidah Joned dan Rahimah Rahim.

ROB merupakan artis naungan EMI yang muncul dengan album sulung berjudul Ganjaran kira-kira enam bulan yang lalu.

Menurut Aru, bukan setakat para peminat tetapi penganjur pertunjukkan pentas juga adakalanya keliru dengan dua kumpulannya itu.

Ini kerana sewaktu di pentas, dua kumpulan itu boleh saling bertukar-tukar konsep pada lagu-lagu yang mereka sampaikan.

“Malah, kami juga pernah meminta kepada pihak penganjur supaya ROB dan Koffin Kanser diberi peluang muncul pada satu persembahan.

“Dalam erti kata yang lain, kami bermain dalam dua set persembahan. Tetapi permintaan kami itu sering ditolak oleh penganjur pertunjukkan pentas.

“Sebabnya mereka tidak mahu membayar dua kali ganda bayaran disebabkan kami bermain atas nama dua kumpulan,” ujarnya.

Selain Aru, ROB dan Koffin Kanser turut dianggotai oleh Joe (gitaris), Zack (percussion) dan Udin (percussion).

Dalam pada itu, dua kumpulan itu adakalanya menggunakan khidmat pemuzik undangan yang terdiri daripada G-Joe (gitaris), Bakri (dram), Edy (keyboardis), Radit (bassis) dan Justin (percussion).

Turut sama pada majlis berbuka puasa itu ialah artis-artis EMI dan edaran syarikat itu seperti Ella, Camelia, Fiq (Mentor), Ruffedge, Sohaimi Mior Hassan, Herman Tino, V.E., Reborn, Junio Hustle dan OAG serta Pengurus Besar EMI, Julius Ng serta Pengurus Pemasarannya, Yoveindra Arumugam.

ROB sempat menghiburkan para tetamu dengan menyampaikan sebuah lagu berjudul Orang Planet, Sohaimi Mior Hassan (Ramadan) dan Ella (Sekilas Cinta).

Powered by Utusan Malaysia