Archive | Hannah Tan RSS feed for this section

Ratu Tarian Pole

20 Nov


PARA peserta pertandingan tarian pole bergambar dengan panel hakim.

INTERPRETASI nafas segar selepas menikmati Clorets New Dark Secret mini pudina yang diterjemahkan ke dalam pertandingan tarian Pole Amatur Clorets, berakhir apabila 15 peserta bertarung dalam pusingan akhir di ZOUK Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memperoleh tuah pusingan akhir, Lili Ussaraporn Kosin telah dinobatkan sebagai ratu tarian pole selepas menjuarai pertandingan sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan keahlian Celebrity Fitness selama setahun bernilai RM3,000.

Tempat kedua diraih oleh Sam @ Yee Mei Er yang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan keahlian Celebrity Fitness untuk sembilan bulan bernilai RM2,500. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Auto @ Andrew Tan yang menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan keahlian Celebrity Fitness selama enam bulan bernilai RM1,500.

Menurut kenyataan Clorets, Lili berjaya mencuri perhatian hakim dengan persembahan hebat yang melayakkannya mendapat markah paling tinggi, manakala Sam menyusul di tempat kedua dengan persembahan yang diiringi muzik pink panther, diikuti Auto yang mengejutkan semua orang dengan persembahan tarian pole bertema wushu untuk merebut tempat ketiga. Markah diberi berasaskan keupayaan teknikal dan interpretasi seni setiap peserta.


LILI USSARAPORN KOSIN

Antara anggota panel hakim ialah Pengarah Urusan, Cadbury Confectionery Malaysia, Blair Sailes; Pengurus Besar, Carat Interactive, David Ho; Ketua Pegawai Eksekutif Salina & Associates PR, Selina Yeop Junior; Pengarah Kreatif Eksekutif, McCann-Erickson (Malaysia) Sdn. Bhd., Lee Szu Hung dan Perunding & Jurulatih, Viva Vertical, Vivian Lea.

Peminat dan pengikut setia tarian pole juga dihiburkan dengan persembahan tarian pole yang dinanti-nantikan oleh penyanyi dan penulis lagu Hannah Tan, deejay Mix FM Pietro Felix dan pasukan jurulatih dan para pelajar Viva Vertical. Selebriti undangan Harith Iskandar, Sasi the Don dan Ben Ibrahim turut menghangatkan suasana dengan gaya tarian pole masing-masing apabila mereka naik ke pentas untuk sesi permainan.

“Clorets berbangga menganjurkan acara menarik seperti ini. Persembahan mereka pasti hebat kerana kesemua 15 peserta ini mempunyai latar belakang yang berlainan. Mereka membawa sentuhan keunikan masing-masing ke dalam pertandingan. Setiap seorang daripada mereka memperlihatkan gaya keanggunan dan kesenian, kreativiti, dan keupayaan teknikal. Mereka sudah menetapkan tanda aras yang tinggi untuk pertandingan akan datang,” jelas Pengurus Kanan Jenama Cadbury, Claire Dominic.

Pusingan akhir pertandingan ini diilhamkan daripada idea bagaimana kesegaran nafas mencetuskan keinginan orang lain untuk melakukan perkara ‘nakal’ untuk anda. Ia juga menandakan penghujung perjalanan yang menarik bagi 15 peserta tersebut.

Penaja acara adalah Celebrity Fitness, Viva Vertical dan Snips.

Clorets Dark Secret adalah tambahan terbaru kepada rangkaian Clorets. Ia adalah gula-gula yang memberi kesegaran nafas dan asalnya dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 1951 sebagai gula-gula getah penyegar nafas. Dirumus dengan klorofil, ia direka untuk meneutralkan bau makanan, minuman dan rokok. Jenis gula-gula Clorets termasuk Clorets Orange Mints, Clorets Ocean Mints, dan Clorets Cool Mints.

Kosmo

Suki Klon Miley Cyrus?

9 Jul

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


SAYA tak tiru Hannah Tan tau.

SEKALI pandang wajahnya persis Hannah Tan. Dengan rambut panjang mengurai berwarna perang, imejnya jauh berbeza berbanding di awal kemunculan menjadi juara One In A Million (OIAM).

Low Sook Yee atau Suki kini tampak lebih matang dan yakin. Seolah-olah dia menunjukkan dirinya tahu dengan apa yang diinginkan dalam karier seninya.

Bimbang disalah tafsir mengenai imej barunya itu, seperti tahu dengan apa yang ingin ditanya, pantas sahaja Suki berkata: “Saya tak tiru Hannah Tan tau. Ini semua secara kebetulan.

“Monkey Bone (syarikat rakaman) menyediakan seorang perunding imej yang bertauliah untuk memberikan tunjuk ajar dan latihan penjagaan serta gaya bagi imej terbaru saya.

“Lagipun saya mahu tonjolkan diri saya yang sebenar. Inilah saya, gadis berambut perang yang ‘sporty’. Saya rasa saya telah mencapai satu peringkat lain sebagai seorang artis. “

Personalitinya ternyata berbeza. Bukan ke arah keburukan, tetapi lihatlah, penyanyi ini petah berbicara ketika ditemubual selepas pelancaran album, pertamanya, Finally/Akhirnya dan langsung tidak menunjukkan seperti ‘budak lepas sekolah’.


BERDUET dengan orang kuat Monkey Bone, Ahmad Izham.

Namun selepas mendengar beberapa lagu-lagu barunya seperti Don’t, Ku Teruskan, Rock With Me dan Tak Pernah Berubah, sekali lagi Suki disamakan pula dengan penyanyi popular Miley Cyrus.

Rentak melodinya persis penyanyi remaja popular itu. Mungkin kerana genre yang dibawakan Suki, lagu mereka kelihatan lebih kurang sama.

Ditanya mengenai lagu-lagunya yang banyak persamaan antaranya dan Miley, gadis kelahiran Negeri Sembilan ini tidak melatah. Malah dia bangga disamakan dengan selebriti popular itu.

“Album saya bergenre pop rock dan sama juga dengan Miley. Mungkin sebab kami membawa muzik yang sama dan lebih kepada muzik dance, menyebabkan saya disamakan dengannya.

“Apa pun, saya suka kalau disamakan dengan Miley. Bukan senang untuk disamakan dengan artis-artis hebat Hollywood,” tuturnya berterus terang.

Cipta lagu sendiri

Penantian selama 18 bulan untuk menyiapkan album bukanlah satu jangka masa yang pendek. Dan kerana itu, albumnya diberi nama Finally/Akhirnya.


SUKI mahu berjaya dalam seni dan pelajaran.

Jangka masa itu digunakan sebaik yang mungkin. Bukan sekadar rakaman studio semata-mata, Suki juga diaturkan untuk menghadiri pelbagai kelas seperti vokal, komunikasi dan tarian.

“Memang jangka masa untuk menyiapkan album ini sangat panjang. Bukannya apa, cuma saya mahu ‘produk’ ini yang terbaik dan berkualiti tinggi. Biarlah lambat, asalkan hasilnya puas.

“Selain itu juga, pelbagai kelas intensif yang harus saya ikuti. Lebih-lebih lagi, lagu-lagu saya banyak memerlukan tarian dan sebab itulah saya perlu membuat latihan dan juga latihan kecerdasan di gim agar tidak penat ketika menyanyi,” ujarnya.

Uniknya dalam album ini, Suki menggunakan khidmat penerbit yang masing-masing mempunyai sentuhan tersendiri seperti Anton Morgan, Audi Mok, Greg Henderson, Kieren Kuek, Luke Mason, Nine Ruffedge, Paul Moss dan Zaf VE.

Menarik lagi, Suki tidak melepaskan pembikinan album 100 peratus kepada penerbitnya sahaja. Malah dia diberi peluang untuk mencipta lagunya sendiri iaitu Hidup Ini.

“Pada mulanya saya mahu jadikan ia sebuah lagu Inggeris tetapi Ahmad Izham (Pengarah Urusan Monkey Bone) mencadangkan agar ia dikekalkan sebagai lagu Bahasa Melayu.

“Selain itu saya juga merupakan penulis lirik bersama untuk lagu Tak Sama dan Ku Teruskan.

“Semua ini kerana Ahmad Izham, yang memberi kebenaran kepada saya untuk melibatkan diri dalam pembikinan keseluruhan album pertama saya,” tuturnya.

Tetap akan sambung belajar

Biarpun giat menyusun masa depannya dalam bidang seni, gadis ini tidak pernah pun lupa tentang perancangan membina kehidupan peribadinya dengan sempurna.


TURUT berbakat sebagai penulis lirik.

Setelah tamat sekolah menengah, Suki terpaksa menumpukan perhatian untuk kerjaya seninya yang masih lagi mentah. Namun, perkataan pelajaran, tidak pernah dilupakan langsung.

“Saya memang mempunyai keinginan ini, tetapi sentiasa sibuk dengan karier seni saya.

“Lagipun, takkan saya nak biarkan peluang terlepas dengan begitu sahaja. Ditambah pula pihak Monkey Bone telah mengaturkan segala perjalanan seni saya. Sudah tentu saya tidak akan mengecilkan hati mereka.

“Saya suka belajar dan juga sayangkan kerjaya saya. Jadi buat masa ini biarlah saya fokus pada kerjaya saya dulu dan akan meneruskan pengajian bila berpeluang berbuat demikian.” kata Suki bersungguh-sungguh.

Teringin ke dunia lakonan

Selepas menempa kejayaan dalam sesuatu bidang, biasanya seseorang artis pasti akan terjun ke bidang lain pula untuk mengembangkan sayap bakatnya.

Sama juga dengan Suki. Dia sebenarnya mempunyai impian untuk bergelar pelakon suatu hari ini.

“Saya bukannya tamak. Cuma gemar mencuba benda yang baru. Tetapi buat sementara ini, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam nyanyian dahulu.

“Kemudian, saya harap akan mendapat peluang untuk cuba ke bidang lakonan pula. Dan juga diberi peluang oleh Monkey Bone untuk saya menghadiri kelas-kelas lakonan tidak lama lagi,” jelasnya.

Kosmo