Archive | David Beckham RSS feed for this section

Kediaman Kemas Terapi Minda

6 Jul

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my



KEMAS dan tersusun membuatkan ruang sempit tampak selesa.

Dankerina banyak membeli aksesori hiasan rumah ketika melancong

JIWANYA begitu mencintai ketenangan. Justeru, Dankerina memilih warna ungu sebagai asas melatari segenap ruang tamu kediaman jenis apartmen tiga biliknya yang terletak di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur.

Kediaman yang dibeli tujuh tahun lalu dan mula didiami sejak lima tahun dulu menyerlahkan ciri feminin dan romantis sesuai untuk melepaskan lelah selepas seharian penat mencari rezeki.

Dankerina berkata, kediaman yang kemas dan tersusun rapi menjadi terapi terbaik untuk menenangkan fikiran. Dia mengambil pendekatan paling mudah dan garapan kediaman seperti resort sebagai inspirasi untuk menghias.

“Idea menghias biasanya datang daripada pelbagai sumber. Pembacaan juga kadang-kadang mencetuskan ilham untuk saya menghias. Malah, peluang berjoging di kawasan rumah orang kaya juga saya gunakan untuk ‘mencuri’ idea sebelum diterap di rumah sendiri,” katanya seraya menunjukkan pintu utama rumahnya yang unik.

Mereka yang mendiami apartmen mungkin tidak berani mempertaruhkan privasi dengan meletakkan pintu bercermin sebagai pintu utama tapi tidak bagi Dankerina. Sesekali katanya, ada juga anak jiran mengintai ke dalam rumahnya tapi ia langsung tidak menjejaskan waktunya untuk beristirehat.


KAIN batik Indonesia dipotong tiga, kemudian dibingkai, cantik untuk perhiasan.

Danker juga tidak lokek melabur semata-mata untuk melihat kediamannya bertukar wajah. Selain perabot dapur pasang siap kekal, dia juga memperuntukkan sejumlah wang untuk mengubah balkoni rumahnya.

“Pintu gelungsur dipecahkan dan saya biarkan balkoni terbuka luas tanpa pintu. Ruang sempit yang ada juga saya hiaskan dengan kolam ikan yang dibina sendiri. Para sebagai pengganti cucur atap pun ada, cadangnya hendak tanam pohon anggur tapi sehingga kini benihnya tidak terbeli.

“Pancur dari kolam yang dibina menderu bersama angin begitu nyaman pada pendengaran. Tapi sayangnya, ikan yang dibela tidak hidup lama, tinggal seekor saja lagi,” katanya tertawa kecil.

Satu lagi kegemaran Danker adalah menghias dinding dengan bingkai besar. Seperti katanya, menghias kediaman dengan aksesori kecil menyebabkan kediaman sempit bertambah sesak.


TEMPAYAN besar bersama lampu siling, unik dan tersendiri.

“Ada rakan yang tidak percaya apabila saya beritahu, bingkai tiga keping itu asalnya sehelai kain batik yang dibeli ketika melancong ke Indonesia. Tapi disebabkan warnanya sepadan tema kediaman, saya gunting dan bingkaikan sebelum dipamer di ruang tamu,” katanya.

Danker juga mengakui aksesori hiasan rumahnya banyak dibeli ketika melancong ke Bangkok dan Indonesia. Misalnya bunga orkid ungu dan merah jambu yang banyak menghias pasu besar di segenap ruang rumah.

“Semuanya saya beli dan gubah sendiri. Sehingga ada yang dijual kepada kawan kerana masing-masing suka dan ingin jadikan sebagai hiasan rumah,” katanya yang meletakkan pasu besar secara padanan sepasang kerana baginya konsep padanan melengkapkan dekorasi.

Cita rasa Danker terhadap seni hiasan dalaman juga amat tinggi, buktinya seluruh ruang tamu dan bilik utama rumahnya dihias dengan perabot kayu jati dari kedai perabot kesukaannya iaitu Jatimas.

Walaupun ruang terhad, namun kebijaksanaannya menyusun atur perabot membuatkan ruang tetap kelihatan teratur. Satu katil siang bertiang tinggi, katil siang tanpa tiang, meja ketapang, rak televisyen dan set meja makan berkerusi enam terletak elok di ruang utama menanti kedatangan tetamu.

“‘Day bed’ dihias dengan bantal empuk yang bersarung cantik bermotif orkid dan ikan emas sememangnya dibeli khas supaya selaras dengan tema ungu. Langsir juga saya beli warna sepadan dan ditempah jahit di Nilai,” katanya yang memang sukakan warna ungu.

Uniknya, meja makan yang asalnya berkerusi empat digabung dengan kerusi kopi berpenyandar rendah dan diletakkan membelakangkan kawasan beristirehat.

“Hasilnya, ruang tampak luas dan tersendiri. Jika ada majalah yang datang ambil gambar pun, ia nampak cantik. Bagi menampakkan ruang sempit tambah luas, saya gantung cermin besar di ruang tamu,” katanya.

Menjengah ke bilik tidur utama, perasaan ingin membuai mimpi menggamit diri. Katil kayu bertiang tinggi dihias cadar dan langsir serba putih membuatkan ruang tampak romantis. Ruang dinding tidak dibiar kosong tapi dihias bingkai gambar pemain bola sepak ternama, David Beckham.

“Cadar dan comforter bukannya yang berjenama. Semuanya yang terpakai dan dibeli dari peniaga cadar terpakai di Bazaria Setapak. Oleh kerana selalu ke sana, peniaga di sana sudah kenal saya dan turut menyimpan cadar putih yang masih elok untuk saya,” katanya.

Info

  • Lampu terendak di kamar beradu Dankerina ditempah khas di Trust Lighting kerana dia memang sukakan rekaan kemas yang dihasilkan jenama itu. lampu terendak itu akan disuai padan dengan barangan perhiasan rumah yang lain.
  • Pemilihan pintu kayu dengan sisipan panel kaca sebagai pintu utama menyerlahkan isi dalam rumah.
  • Bilik tidur yang tidak digunakan diubahsuai sebagai bilik persalinan lengkap dengan meja solek dan kabinet pakaian pakai siap bagi menyimpan koleksi pakaian Dankerina. Kos pemasangan kabinet dan pintu utama rumah didapati secara pakej bernilai sekitar RM350.
  • Rumah Dankerina selalu dijadikan set penggambaran untuk drama dan klip video.
  • Dankerina memperuntukkan sekitar RM2,000 untuk memecahkan pintu gelungsur di balkoni dan menghias taman kecilnya itu. Kini balkoni rumahnya tiada sebarang halangan dan turut dihias dengan taman kecil yang dimuatkan air pancur bersama kolam ikan. Dankerina memasang sendiri jubin bercorak pada dinding balkoni malah pagar balkoni juga diruntuhkan dan beliau sendiri membina tembok simen.
  • Dankerina memasang kabinet dapur pasang siap dengan kos RM1,000 kerana dia tidak mahu ruang sempit itu terpinggir. Malah, dapurnya juga lengkap dengan ketuhar, hud dan dapur masak.
  • Bilik tidur utama yang nyaman dengan garapan warna putih tidak memerlukan kos tinggi. Cadar dan gebar (comforter) dibeli dengan harga RM30 hingga RM75 dan keadaannya juga masih elok. Ada juga set cadar dan gebar terpakai yang dibelinya dari jenama terkenal seperti Elle.

    Berita Harian

  • Victoria Ditawar Berlakon

    12 May


    VICTORIA dan suaminya, Beckham.

    LOS ANGELES – Aktor Hollywood, Tom Cruise mengundang isteri bintang bola sepak David Beckham, Victoria untuk memegang peranan kecil dalam filem The Hardy Men, lapor sebuah akhbar semalam.

    Victoria yang merupakan bekas anggota kumpulan Spice Girls ditawarkan peranan itu setelah dia diupah oleh aktor Tom Cruise untuk mereka kostum pelakon The Hardy Men. Ketika majlis ulang tahun ke-34 Victoria yang diadakan baru-baru ini, penyanyi itu kelu selepas Cruise membuat tawaran supaya dia mencipta kostum pelakon filem tersebut.

    Menurut akhbar The Daily Express, Cruise turut mengundang Victoria untuk melakukan satu penampilan istimewa dalam filem itu. – Agensi

    Kosmo

    Gila Koleksi Adidas

    11 May

    JIMMY Shanley mula dikenali sejak program Trek Selebriti dan program itu sentiasa mendekatkan dirinya dengan selebriti terutama para bintang Akademi Fantasia.

    Menyingkapkan hidupnya penuh dengan tugasan harian, dia kadangkala terpaksa mencuri waktu untuk makan malam bersama keluarga.

    “Tak dapat bayangkan kalau saya sudah berkahwin. Saya perlu pandai membahagi masa kelak,” ketawa jejaka yang membantu urusan perniagaan keluarga, seorang hos, deejay pada waktu malam dan juga merancang untuk menerbitkan program televisyen sendiri.

    Seakan tidak cukup waktu untuk hidupnya sehari-hari, Jimmy tetap memastikan tidurnya cukup lima jam sehari untuk tenaga. Habis kontraknya bersama radio Era pada bulan Jun ini, apabila ditanya sama ada jodoh masih bersama radio nombor satu itu, jawabnya: “Tunggu dan lihat.”

    Rambut Rambut kena sihat dan kemas. Saya sukakan rambut gaya David Beckham. Tapi saya gemar berambut hitam. Sejarahnya, saya tidak pernah mewarnakan rambut dan tidak akan mewarnakannya. Rambut paling panjang yang pernah saya simpan adalah paras dada sekitar tahun lepas dan kemudian saya cukur untuk buat umrah.

    Kenderaan Pergerakan saya mesti laju kerana saya perlu berada di 10-12 tempat dalam sehari. Jadi saya kena cepat tapi masih memandu dalam kelajuan 80 kilometer sejam. Dulu saya ambil kursus dalam bidang transportasi sebab mahu bekerja di syarikat minyak. Yang penting bagi saya adalah bawa kenderaan dengan mematuhi undang-undang.

    Hijau Hijau itu menawan kerana ia warna dunia. Pokok dan sayuran berwarna hijau. Tapi sebenarnya saya suka warna biru. Dan tak lupa, hijau adalah warna logo radio Era.

    Awan Sebut awan saya teringat kapal terbang. Awan itu indah dan saya sukakan warna awan ketika waktu senja. Ia warna yang menenangkan fikiran. Kalau saya dapat tengok matahari terbenam sewaktu dalam perjalanan ke pejabat Astro di Bukit Jalil, ia membuatkan saya gembira.

    Selebriti Susah apabila sudah dikenali sebab ia melambatkan pergerakan. Kadangkala bila nak cepat, ada yang minta mahu ambil gambar. Tapi yang seronok apabila beratur, orang sudah kenal. Ia membuatkan saya tidak perlu menunggu lama untuk sesuatu tugasan. Menyenangkan kerja.

    Jenama Saya sukakan jenama Adidas. Dua tahun sudah saya ditaja oleh Adidas. Kini saya memiliki 150 pasang kasut yang mana 130 pasang belum dipakai. Kebanyakannya saya beli sendiri. Dan saya juga ada lebih kurang 50 helai jaket Adidas. Ia sesuai dipakai dengan cara santai.

    Powered by Kosmo