Archive | Leonardo DiCaprio RSS feed for this section

Will Smith ‘Paling Berkuasa’

12 Feb

LOS ANGELES: Aktor Will Smith mendahului senarai bintang Hollywood paling berkuasa, menurut majalah Forbes, diikuti pelakon kacak, Johnny Depp dan Leonardo DiCaprio.

Data itu bukan sekadar berdasarkan kejayaan filem tetapi juga kemampuan bintang menarik jaminan kewangan dan pengagihan panggung wayang bagi satu projek, dan sama ada kehadiran mereka ‘mendorong kejayaan filem.’

“Will Smith adalah satu-satunya aktor yang memperoleh markah penuh 10 di kalangan pengundi industri dalam tinjauan Kewangan Bintang,” menurut majalah itu.

Filem lakonan bintang Men In Black itu mencatat kutipan AS$5.2 bilion (RM18.72 bilion) di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, lapan daripada filemnya berada di tempat pertama senarai filem pecah panggung.

“Beliau membuktikan lagi dan lagi, bahawa dalam dunia ini, tidak kira bentuknya, peminat mahu melihat Will Smith. Beliau pelakon serba boleh dan ia terbukti banyak kali,” kata pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyde Park Entertainment, Ashok Amritraj.

Depp menyusul di tempat kedua, banyak dibantu oleh lakonannya dalam trilogi Pirates of the Caribbean.

Di tempat keempat ialah aktres Angelina Jolie, satu tangga di depan pasangannya, Brad Pitt.

“Jolie mempunyai kemampuan berlakon dan pendedahan – kunci utama. Sebahagian rakan aktres lain dalam senarai ini mempunyai lebih banyak filem pecah panggung, tetapi buat masa ini, industri jelas mengiktiraf sejauh mana beliau bermakna kepada satu projek,” menurut majalah itu. – Agensi

Berita Harian

Stailo: 2009 Era Rambut Klasik

24 Jan

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


ANTARA gaya rambut lelaki masakini.

Potongan rambut konvensional serlah kematangan lelaki

KAITAN gaya rambut dan karektor diri usah sesekali dipandang ringan. Seperti cita rasa bergaya, potongan rambut mencermin pembawaan diri. Apa yang nyata, rambut membawa pengaruh besar terutama bagi individu yang sering menjadi tumpuan ramai.

Tidak hairanlah individu berpengaruh seperti selebriti, model dan golongan kenamaan amat menitik berat gaya rambut. Golongan ini akan memastikan rambut senada dengan imej dan penampilan diri.

Menyentuh potongan rambut lelaki, ada pihak masih berfikiran sempit. Bagi mereka, rambut lelaki hanya sesuai pendek dan tidak boleh diragamkan seperti rambut wanita. Padahal, jika diberi sedikit pembaharuan serta disesuaikan pula dengan gaya tertentu, rambut lelaki boleh dipelbagaikan gayanya.

Misalnya, potongan rambut pendek boleh dipelbagaikan melalui belahan alur rambut. Dengan bantuan teknologi terkini yang menyaksikan produk berasaskan gel, wax, clay dan rubber dicipta, semua produk ini boleh digunakan untuk membentuk karisma dan kesan dramatik pada gaya rambut.

Bagi lelaki yang cenderung berimej metroseksual, variasi gaya rambut disesuaikan pula dengan pilihan warna berbeza. Jika selama ini, warna rambut kekal hitam, mungkin 2009 memberi isyarat untuk membuat perubahan drastik dengan memilih warna coklat dan kemerahan demi mencipta kelainan.

Apa yang penting, tidak perlu malu untuk berubah andai mampu meningkatkan ‘saham’, sekali gus mengundang perhatian gadis!

XY – Stailo minggu ini berkongsi idea buat jejaka yang bercadang memilih gaya rambut terbaru serta tip potongan rambut sesuai mengikut bentuk wajah. Sepanjang tahun ini, gaya rambut lelaki banyak dipengaruhi elemen klasik di mana potongan konvensional menyerlahkan kematangan lelaki.

Biarpun potongan rambut klasik tidak menyuntik banyak perubahan dalam penampilan individu, kreativitinya lebih melakar pada teknik belahan alur rambut.

Jika suatu ketika dulu, imej rambut terpacak mencetus evolusi gaya jejaka, imej potongan rambut klasik meletakkan pula gaya sederhana tetapi menyerlahkan ciri-ciri maskulin lelaki. Tidak percaya, imej rambut klasik menjadi teras gaya selebriti terkenal dunia dalam acara berprestij termasuk di Anugerah Golden Globe, baru-baru ini.

Pada majlis gilang-gemilang itu, aktor hebat, Brad Pitt tampil penuh karisma dengan gaya rambut klasik. Aktor lain yang mencuri perhatian ialah Pierce Brosnan, Tom Cruise dan Leonardo Dicaprio. Nyata potongan rambut klasik mereka memukau hadirin sebaik menjejak kaki di karpet merah.

Potongan rambut klasik bagaimanapun lebih sesuai digayakan mereka yang berambut lurus. Bagi yang berhasrat tampil dengan gaya rambut klasik, apa kata dapatkan pandangan pakar dandanan rambut supaya jenis rambut dan bentuk wajah sesuai dapat ditentukan.

Nyata pengaruh gaya rambut abad ke-20 menyaksikan dua cara berbeza dalam gaya rambut klasik sama ada belahan tepi dan di tengah kepala.

Bukan saja memberi pengaruh besar dalam dunia hiburan dan fesyen, potongan rambut klasik menjadi pilihan jejaka yang menduduki jawatan eksekutif, ahli perniagaan dan golongan profesional.

Ciri-ciri konvensional pada gaya rambut klasik bukan saja menyerlah kematangan lelaki, malah menonjolkan kebersihan diri dan lebih sopan.

Menjurus gaya sebegini, ramai bintang Hollywood era awal sudah pun mencorak identiti mereka dengan gaya potongan rambut klasik seperti yang ditampilkan aktor James Dean, Rochard Burton, Sean Connery dan Elvis Presley.

Mungkin, idea dan paparan contoh gaya rambut klasik mampu memberi pilihan kepada jejaka untuk mencubanya! Tunggu apa lagi, serlahkan kreativiti anda!

INFO: Tip potongan rambut mengikut bentuk wajah

Wajah bujur.Seseorang yang memiliki wajah bujur mampu mempelbagaikan jenis potongan rambut daripada pendek hinggalah panjang mengurai. Mereka yang berwajah begini bebas menggunakan kreativiti untuk bergaya.

Wajah bersegi.Tidak ramai jejaka memiliki bentuk wajah begini mampu memberi gaya rambut sesuai. Biar apapun gaya yang ditampilkan, biarlah sederhana dan usah ketepikan faktor wajah bersegi menonjolkan ciri kelakian sebenar.

Wajah empat segi panjang.Ramai berpendapat, pemilik bentuk wajah seperti ini membiarkan rambut lebih panjang dan dipotong berlapis. Malah, jika dibiarkan mengurai, pesona seksi mampu tercetus selain menyerlahkan ciri-ciri metroseksual dalam diri lelaki.

Wajah tiga segi.
Penyanyi terkenal, Justin Timberlake sebagai contoh memiliki bentuk wajah tiga segi. Bentuk wajah sebegini sesuai berambut pendek pendek dan tidak terpacak. Imej

kemas dan tidak berserabut menampakkan diri anda cukup comel dan kebudak-budakan.

Wajah bulat.Mereka yang berwajah bulat disarankan tidak menyimpan rambut panjang. Sebaiknya, rambut harus kemas dan pendek. Kedudukan sisi rambut haruslah sama rata di

bawah paras mata. Ini bagi memastikan keseimbangan bentuk wajah. Disebabkan itulah, ramai yang berwajah bulat memilih membotakkan kepala atau crew cut.

Ramalan rambut hangat 2009!

Inspirasi potongan rambut 1950-an hingga 1960-an.

Rambut sedikit panjang, berombak mahupun lurus.

Rambut sihat yang mampu menyerlahkan kilauan.

Pergerakan rambut beralun secarasemula jadi.

Rambut yang diwarnakan dengan rona sesuai tampak lebih semula jadi apabila terkena pancaran matahari.

Berita Harian

Kate Winslet Terkedu

13 Jan

Susunan Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


Kate Winslet menjulang piala yang dimenanginya. – Foto AP

Kemenangan aktres Britain itu meneruskan kegemilangan filem dari negaranya ‘Slumdog Millioaire’ yang menyapu bersih empat kategori utama utama anugerah Golden Globe

ANUGERAH Golden Globe kali ke 66 yang berlangsung di Los Angeles semalam menjadi malam yang cukup bermakna buat aktres kelahiran British, Kate Winslet apabila dinobatkan Aktres Terbaik untuk lakonan mantapnya sebagai isteri yang tertindas dalam filem dramatik Revolutionary Road arahan suaminya Sam Mendes.

Kate, 34, kelihatan cukup terharu dan menangis selepas Cameron Diaz dan Mark Wahlberg mengumumkan namanya sebagai Aktres Terbaik. Dia mengetepikan empat aktres hebat lain iaitu Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Kristin Scott Thomas (I’ve Loved You So Long).

Sebelum itu, Kate membuka tirai penerima anugerah pertama malam itu apabila diumumkan Aktres Pembantu Terbaik bagi filem The Reader. Kategori ini turut mencalonkan empat aktres yang tidak kurang hebatnya iaitu Penelope Cruz (Vicky Cristina Barcelona), Marisa Tomei (The Wrestler) dan dua pelakon Doubt, Amy Adams dan Viola Davis.

Pelakon itu yang mula mencipta nama selepas lakonan berkesannya dalam filem cinta penuh tragik arahan James Cameron, Titanic bersama Leonardo DiCarpio, digandingkan sekali lagi dengan aktor itu dalam Revolutionary Road.

Kate pernah dicalonkan sebanyak lima kali dalam Golden Globe begitu juga untuk Anugerah Oscar tetapi nasib tidak pernah menyebelahinya.


MICKEY ROURKE (kiri)
berkongsi kegembiraan dengan Bruce Springsteen.

Ini menyebabkan aktres itu tidak meletakkan harapan besar untuk memenangi salah satu daripada dua anugerah yang dipertandingkan. Justeru, apabila namanya diumumkan malam itu, dia kelihatan cukup terharu.

“Maafkan saya. Saya mempunyai kecenderungan tidak memenangi sebarang anugerah sebelum ini,” katanya dengan nada terharu dan ucapan yang tersekat-sekat.

“Terima kasih sayang kerana mengarahkan filem ini dan terima kasih juga kerana ‘membunuh’ kami setiap hari dan kami sangat seronok dapat berlakon dalam filem mengerikan ini,” katanya merujuk kepada suaminya, Sam yang banyak memberikan tunjuk ajar dan peluang ketika bertindak sebagai pengarah filem Revolutionary Road.

Malah Kate turut memuji DiCaprio yang bergandingan dengannya dalam filem itu.


PENERIMA Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cecil B Demille, Steven Spielberg (kiri) bersama martin Scorsese.

“Saya mencintai awak selama 13 tahun dan persembahan awak dalam filem ini memang mengagumkan,” katanya lagi.

Mickey Rourke ketepikan Brad Pitt

Sementara itu, filem British, Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle menyapu bersih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Ada pihak yang menjangkakan Slumdog Millionaire akan meraih Filem Terbaik tetapi sesetengah pula berpendapat tiga filem iaitu The Curios Case Of Benjamin Button yang menyandarkan nama pelakon hebat, Tom Cruise serta filem Doubt dan Frost/Nixon disebut-sebut bakal menang besar kerana dicalonkan dalam lima kategori.

Bagaimanapun ketiga-tiga filem itu tidak meraih sebarang anugerah. Sebaliknya Slumdog Millionaire yang menyandarkan pelakon tidak popular termasuk bintang Bollywood, Anil Kapoor menyerlah pada malam itu.

Filem itu mengisahkan mengenai seorang budak lelaki yatim piatu di Mumbai yang membesar dengan penuh kepayahan. Hidupnya berubah apabila dia memenangi ‘gameshow’ Who Wants To Be A Millionaire versi India.

“Kami tidak pernah menyangka akan berada di sini, di Amerika. Ini adalah hari yang cukup menakjubkan bagi kami kerana berada di sini,” kata Simon Beaufoy, penulis skrip Slumdog Millionaire yang diadaptasi dari novel Vikas Swarup, Q&A.

Slumdog Millionaire adalah filem pertama arahan Boyle yang menerima anugerah serta kemenangan besar. Boyle pernah mengarahkan filem Trainspotting, The Beach dan 28 Days Later.

Jika Kate diangkat sebagai Aktres Terbaik, Mickey Rourke, 52, pula mengalahkan Leonardo DiCaprio, Sean Penn, Brad Pitt dan Frak Langella apabila diangkat sebagai Aktor Terbaik

Kemenangan mendiang Heath Ledger untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik pula sememangnya sudah dijangkakan. Aktor kelahiran Australia itu memenangi trofi Golden Globe buat kali pertamanya berikutan lakonan mantapnya sebagai The Joker dalam filem Batman: The Dark Night. Anugerah berkenaan diterima oleh pengarahnya bagi pihak mendiang, Christopher Nolan.

“Kami menerima anugerah ini bagi pihak Heath yang tidak dapat bersama-sama kita pada hari ini dengan perasaan bercampur baur. Sedih tetapi pada waktu yang sama kami juga amat bangga.

“Kami berasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengannya. Malah kami juga sangat seronok dengan persembahannya dalam filem ini. Dia akan sentiasa dirindui tetapi kami tidak sesekali akan melupakannya,” kata Nolan.

Ledger yang meninggal dunia hampir setahun lalu akibat pengambilan dadah berlebihan adalah pelakon kedua yang memenangi anugerah selepas kematiannya. Sebelum ini Peter Finch pernah menerima Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Network pada 1976.

Bagi kategori televisyen pula, drama bersiri komedi, 30 Rock yang dibintangi Tina Fey dan Alec Baldwin dipilih sebagai Drama Komedi Bersiri Terbaik. Manakala Mad Men memenangi kategori Drama Bersiri Terbaik.

Pemenang pada Anugerah Golden Globe dijangka akan mengulangi kemenangan mereka pada acara Anugerah Oscar yang bakal berlangsung pada 22 Februari depan.

INFO: Filem

Filem Terbaik (Drama): Slumdog Millionaire

Aktres Terbaik (Drama): Kate Winslet – Revolutionary Road

Aktor Terbaik (Drama): Mickey Rourke – The Wrestler

Filem Terbaik (Muzikal/Komedi): Vicky Cristina Barcelona

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Sally Hawkins – Happy-Go-Lucky

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Collin Farrel – In Bruges

Aktres Pembantu Terbaik: Kate Winslet- The Reader

Aktor Pembantu Terbaik: Heath Ledger – The Dark Knight

Filem Animasi Terbaik: Walle E

Filem Asing Terbaik: Waltz With Bashir – Israel

Pengarah Terbaik: Danny Boyle – Slumdog Millionaire

Lakon Layar Terbaik: Simon Beaufoy – Slumdog Millionaire

Skor Muzik Terbaik: A R Rahman – Slumdog Millionaire

Lagu Terbaik: The Wrestler

INFO: Penerbitan Televisyen

Drama Bersiri Terbaik (Drama): Mad Men

* Aktres Terbaik (Drama): Anna Paquin – Ture Blood

Aktor Terbaik (Drama): Gabriel Byrne – In Treatment

Siri Televisyen Terbaik (Muzikal/ Komedi): 30 Rock

Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi): Laura Linney – John Adams

Aktor Terbaik (Muzikal/Komedi): Pual Giammatti – John Adams

Mini Siri/Cereka Televisyen Terbaik: John Adams

Aktres Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Anna Paquin – True Blood

Aktor Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Gabriel Byrne – In Treatment

Aktres Pembantu Terbaik (Mini Siri/ Cereka Televisyen): Larua Dern – Recount

Aktor Pembantu Terbaik (Mini Siri/Cereka Televisyen): Tom Wilkinson – John Adams

Anugerah Khas Cecil B DeMille: Steven Spielberg

Berita Harian

Kereta Pilihan Selebriti

1 Jun

Sazzy Falak bersama kereta kesayangan.

Apa jua jenisnya, kereta penumpang, kenderaan utiliti sports (SUV) atau kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan beroda empat yang lazimnya dipanggil kereta menjadi keperluan kepada semua, miskin atau kaya, tua atau muda dan apa juga pekerjaan yang dilakukan.

Yang membezakan antara semua ialah jenis kereta yang dipandu, sama ada mewah atau murah bergantung kepada hasil pendapatan masing-masing berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.

Selain ahli perniagaan dan politik yang sering dilihat memandu kereta-kereta mewah berjenama antarabangsa, golongan selebriti atau lebih senang digelar artis juga adalah antara pemilik kereta-kereta mewah yang sedang menjalar di atas jalan-jalan raya.

Seperti juga artis-artis luar negara antaranya pasangan suami isteri, David dan Victoria Beckham, Rowan Atkinson yang lebih dikenali oleh peminatnya sebagai Mr. Bean serta Cameron Diaz, artis-artis tempatan juga selesa memandu kereta mewah pelbagai jenama.

David dan Victoria Beckham atau Posh Spice itu adalah antara selebriti terkemuka yang memiliki banyak kereta mewah antaranya yang berjenama Bentley, Ferrari, Porsche 911, Range Rover, Jaguar, Rolls-Royce Phantom, BMW M3, Audi Q7, Lamborghini Gallardo dan Mercedes S500.

Yang menariknya ialah kebanyakan daripada kereta-kereta ini dilengkapi dengan kerusi bayi berkulit bagi menempatkan anak-anak pasangan tersebut agar selamat sepanjang perjalanan sejajar dengan gelaran sebagai ibu-bapa penyayang buat pasangan itu.

Rowan Atkinson yang sering memandu kereta kodok dalam siri drama komedi popular, Mr Bean pula sebenarnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam automotif dengan memiliki beberapa kereta eksotik seperti Aston Martin V8 Zagato, McLaren F1 dan Audi A8.

Mr Bean membeli McLaren F1 berikutan kejayaan filem “Bean – The Movie.” dan berbanding watak beliau yang seakan-akan naif dan lurus bendul itu, beliau suka memandu laju kereta tersebut yang boleh memecut sehingga 240 batu sejam.

Tidak seperti Victoria Beckham, Mr Bean yang rajin menulis mengenai cerita-cerita permotoran dalam beberapa majalah tidak menggemari Porsche tanpa mengetahui sebab sebenarnya walaupun mengakui kereta-kereta berjenama itu adalah hebat.

Pelakon watak Charlie’s Angels, Cameron Diaz yang pernah menjadi peminat kereta- kereta antik buatan Jerman memiliki beberapa kereta mewah seperti Porsche 911 Carrera, Mercedes SL dan Toyota Prius.

Kereta-kereta itu dilengkapi enjin hybrid yang boleh beralih antara enjin petrol konvensional dan enjin elektrik bergantung kepada keadaan sejajar dengan sikap pelakon itu yang cintakan alam sekitar bersama-sama rakan artis lain antaranya Gwyneth Paltrow, Leonardo DiCaprio, Billy Crystal, dan Harrison Ford.

Sistem navigasi Madonna pula, yang berhijrah ke London pada tahun 2001, memiliki rangkaian kereta mewah antaranya BMW 7-Series, Audi A8 dan Maybach super-limousine serta Cooper S yang dilengkapi sistem navigasi kawasan bagi membantu bintang itu semasa di luar daerah.

Anak kepada jurutera motor terkemuka itu sangat meminati Mini Cooper itu sehingga memuatkan nama kereta itu dalam satu daripada lagu-lagu terbarunya. Artis yang turut memiliki kereta yang sama ialah Sting, Goldie Hawn dan Elijah Wood.

Sementara itu, di kalangan artis tempatan pula, ramai antara mereka memandu kereta mewah terutama buatan Jerman dan Jepun yang terkenal dengan teknologi automotif termaju dan boleh dibeli pada harga yang agak tinggi, menjangkaui kemampuan seseorang pekerja berpendapatan sederhana di negara ini.

Antaranya ialah Erra Fazira yang memandu kereta berjenama BMW, Fasha Sandha dan Noryn Aziz memandu Honda CRV, Hattan dan Fauziah Latif bergegas ke sana ke mari dengan Mini Cooper manakala Ziana Zain dan Misha Omar bergaya dengan kereta Mercedes Benz.

Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang kini sedang berhempas-pulas menjayakan teater P. Ramlee, kenderaan pacuan empat roda BMW X5 bukan sahaja memenuhi selera automotif tetapi juga memudahkan pengangkutan segala barangan keperluan, sama seperti Awie yang selesa dengan Toyota Harrier.

Tidak kira artis, ahli perniagaan atau ahli politik, pengenalan skim subsidi harga minyak baru di negara ini yang bertujuan memberi lebih keadilan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya menggoncang sedikit poket semua pemilik kereta mewah ini, walaupun tidak begitu dirasai bebannya selama ini.

Powered by Utusan Malaysia