Archive | Mulan Jameela RSS feed for this section

Impak Yovie & Nuno

4 Sep

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


KUMPULAN Yovie & Nuno yang dianggotai oleh (dari kiri) Dudy, Yovie, Diat dan Dikta.

NAMA Yovie & Nuno mungkin baru dikenali di negara ini menerusi lagu hit mereka, Menjaga Hati yang mendapat perhatian pendengar tempatan.

Tidak ramai yang tahu sejarah kumpulan ini yang sering berganti anggota sebelum mengecapi kejayaan yang diraih mereka seperti hari ini.

Bahkan, ketua kumpulannya, Yovie Widianto juga sebelum ini menganggotai kumpulan Kahitna yang turut dianggotai oleh penyanyi popular, Hedi Yunus dan mereka cukup popular dengan lagu Cantik.

Menjaga Hati yang dipetik daripada album ketiga mereka, The Special One ternyata membuka lembaran baru buat kumpulan ini yang terdiri daripada Yovie yang bermain piano dan keyboard, Dudy dan Dikta selaku vokal serta pemain gitar mereka, Diat.

Sewaktu perbualan telefon bersama media Malaysia baru-baru ini, Yovie memberitahu impak Menjaga Hati yang telah menjadikan mereka sebagai sebuah kumpulan terbesar di Indonesia ketika ini telah banyak merubah hidup mereka.

Karya mereka lebih dihargai malah peminat serta pencinta muzik di Indonesia juga kini mula membuka mata dengan santapan muzik mereka sehingga mereka mampu menyaingi populariti kumpulan Dewa 19 di sana ketika ini.

“Itu bukan bermakna kami ini lebih bagus daripada mereka. Sampai bila-bila pun Dewa 19 akan menjadi sebuah kumpulan yang hebat. Tetapi, apa yang kami mahu buktikan bahawa muzik kami kini lebih popular berbanding mereka di sana dan juga di Malaysia,” jelas Yovie yang juga merupakan komposer popular di Indonesia.

Malah, Yovie juga menjelaskan kumpulannya itu berada dalam tiga kumpulan yang paling popular dan aktif di Indonesia ketika ini bersama Nidji dan Ungu.

Mengulas mengenai kejayaan The Special One sehingga menjadi fenomena baru di Indonesia, Yovie dengan rendah diri memberitahu muzik yang dipersembahkan mereka menerusi album The Special One ternyata memikat hati peminat mereka.

Katanya, beliau tidak menafikan sebelum ini muzik kumpulannya agak berat dan hanya golongan tertentu sahaja yang mampu menikmatinya dan ketika itu mereka mahu melakukan yang terbaik dan mementingkan kualiti muzik.

“Kali ini menerusi The Special One, kami gabungkan muzik komersial dan lari daripada norma muzik kami yang terdahulu dan ternyata ia cukup berjaya.

“Tetapi, ini tidak bermakna album The Special One tidak berlandaskan kualiti hanya kerana kami mahu menembusi pasaran komersial,” ujarnya sambil mengakui kekuatan The Special One juga terletak pada komposisi serta susunan muziknya yang begitu kuat.

Selepas Menjaga Hati, single kedua mereka Dia Milikku kini mula mendapat tempat di corong radio tempatan. Sebelum album The Special One, Yovie & Nuno pernah lahir dengan dua buah album iaitu Semua Bintang (2001) dan Kemenangan Cinta (2004).

Impak populariti Yovie & Nuno juga ternyata membuahkan hasil apabila album mereka itu kini telah mencapai tahap triple platinum dengan penjualan album mereka yang mencecah 500,000 unit.

Bukan itu sahaja, caller ringtone untuk lagu Menjaga Hati juga sudah pun terjual melebihi 2 juta unit di Indonesia sahaja.

Kesungguhan dan kegigihan kumpulan ini ternyata memikat peminat mereka unutk menobatkan mereka sebagai Artis Pilihan Indonesia dengan mengalahkan nama-nama besar lain seperti Andra dan the Backbone, Mulan Jameela dan Nidji dalam Anugerah MTV Asia 2008 yang diadakan di Genting Highlands, baru-baru ini.

“Apa yang kami miliki hari ini bukan sahaja daripada apa yang kami telah lakukan tetapi ia lebih kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam merencanakan kerjaya seni. Tanpa kerjasama semua pihak, tidak mungkin kami akan berdiri di sini,” kata Yovie dalam nada penuh kesyukuran.

Dalam perkembangan lain, Yovie sempat memberitahu dan memuji kredibiliti serta karya muzik Malaysia yang disifatkannya sebagai luar biasa.

Malah, dia juga sudah menyiapkan sebuah lagu untuk bekas finalis Akademi Fantasia musim kedua, Kaer Azami yang berjudul Atas Nama Cinta yang berentak balada untuk dimuatkan dalam album kedua penyanyi itu kelak sambil menyifatkan penyanyi comel itu mempunyai potensi yang cukup besar untuk diketengahkan di Indonesia.

“Untuk mencipta lagu untuk seseorang penyanyi itu, saya harus mempelajari karakternya dan ini cukup berbeza apabila saya menulis lagu untuk kumpulan saya.

“Setiap penyanyi mempunyai ciri yang berbeza dan saya tidak boleh cipta lagu yang sama untuk setiap penyanyi,” katanya yang juga mencipta lagu popular, Dua Hati Menjadi Satu yang dinyanyikan secara duet oleh Gita Gutawa dan Dafi.

Mengecapi populariti yang kian memuncak saban hari, Yovie sempat meluahkan keinginannya untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

Katanya, seandainya tiada halangan, Yovie & Nuno akan hadir ke Malaysia pada November ini untuk sesi mempromosi album mereka dan juga mengadakan persembahan khas buat peminat di sini.

Utusan Malaysia