Archive | July, 2007

Wali Kisah Lelaki Lembut

25 Jul

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BUKAN untuk mengangkat atau menghina golongan mak nyah yang semakin bercambah dalam kelompok masyarakat masa kini. Apa yang dipaparkan dalam drama Wali yang bakal disiarkan menerusi Astro Ria, 10 malam, 27 Julai ini adalah cebisan kisah realiti kehidupan seorang lelaki lembut.

Menurut pengarah Rashid Sibir, Wali terbitan Opera Klasik Sdn. Bhd., yang menampilkan Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Madam Zaza itu sebenarnya mempunyai mesej yang tersirat.

Jelasnya, watak Zaza atau Hamzah tidak digambarkan sebagai lelaki lembut atau mak nyah yang melakukan pekerjaan terkutuk.

Sebaliknya, Zaza bekerja menjual nasi lemak. Hanya sesekali sahaja ditonjolkan wataknya memakai pakaian wanita bagi memenuhi keinginannya.

Meskipun pergerakan dan pertuturan Zaza seperti wanita namun jauh di sudut hatinya, dia sedar bahawa asalnya adalah lelaki.

Justeru itulah Zaza tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjadi wali kepada anaknya, Wani, lakonan Rita Rudaini.

“Saya cuma nak memberitahu biar selembut mana seseorang lelaki itu, dia boleh menjadi wali bila kita kembali kepada hukum Allah.

“Dalam Wali saya paparkan Zaza yang terkenal sebagai Draq Queen, akhirnya tetap akur dengan kehendak agama demi memenuhi permintaan anaknya. Saya tidak menghina atau mengutuk mana-mana pihak, cuma saya lebih senang membiarkan penonton berfikir sendiri mana yang baik dan buruk,” katanya pada majlis prebiu Wali di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tegas Rashid, orang ramai tidak boleh terus menuding jari pada golongan sebegitu tanpa mengetahui cerita sebenar.

Justeru itulah dipaparkan bekas isteri Hamzah, lakonan Liza Othman sentiasa menyanjungi bekas suaminya.

Jelas pengarah itu, bekas isteri Hamzah terus menyanjungi bekas suaminya kerana dia tahu Hamzah adalah seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab.

“Kita tidak boleh terus hukum golongan itu dengan berkata mereka akan masuk neraka kerana itu bukan urusan kita. Sebab itulah saya tonjolkan watak nenek Faizal, lakonan Yusni Jaafar.

“Nenek Faizal ini memandang rendah pada Zaza. Dia takut kalau Faizal berkahwin dengan Wani, cucunya akan jadi lembut seperti Zaza. Apa yang saya nak katakan di sini, sebagai manusia kita tidak boleh menghukum orang,” jelasnya.

Menurut Rashid, dia tidak menghadapi masalah dengan pihak Astro. Tiada satu pun adegan yang dipotong pada drama yang menjalani penggambaran selama 10 hari di sekitar Kuala Lumpur itu.

Kata Rashid, sudah banyak drama kisah bapa diarah tapi Wali berbeza kerana bapa yang ditonjolkan seorang lelaki lembut.

“Apabila Shukery Hashim kata dia ada skrip, saya tengok dan tertarik kerana ceritanya berbeza. Saya beli skrip itu dan olah semula.

“Sebenarnya kalau dilihat secara teliti, Hamzah yang masih menyayangi keluarganya sanggup berpisah kerana tidak mahu orang tersayang dihina sepertinya,” kata Rashid.

Dari Datuk jadi Draq Queen

Sehari sebelum penggambaran Wali, Ahmad Tarmimi Serigar yang sering berlakon sebagai orang korporat berpangkat Datuk itu masih was-was sama ada perlu meneruskan hasrat berlakon atau tidak.

Perasaan itu timbul kerana dia takut mendapat impak negatif daripada orang ramai apabila membawa watak lelaki lembut.

Namun apabila memikirkan yang drama Wali mempunyai mesej tersendiri, Tarmimi, 58, membatalkan niatnya untuk menolak tawaran Rashid itu.

“Bila di akhir cerita saya lihat Zaza kembali ke pangkal jalan setelah kehadiran anaknya, itu yang membuatkan saya tidak jadi tolak tawaran Rashid.

“Saya tak tahu macam mana orang boleh tahan disolek selama satu jam setengah dan mengenakan solekan yang tebal. Nasib baik saya ini lelaki,” katanya sambil ketawa.

Sinopsis Wali

WANI yang akan melangsungkan pernikahan dengan Faizal (Norman Hakim) mahu mencari ayahnya untuk menjadi wali. Wani terkejut apabila mendapati Madam Zaza adalah ayahnya. Dia tidak dapat menerima Zaza sebagai ayahnya dan begitu juga Zaza tidak dapat menerima Wani sebagai anaknya.

Kisah lama terungkai semula dalam hidup Zaza yang hidup bersama rakannya, Sherry (Mimi Zarina). Dia mahu bercerai dengan isterinya kerana tidak tahan dengan tohmahan masyarakat yang menghina. Zaza tidak mahu anaknya mengalami masalah yang sama dan sebab itulah dia tidak mahu ada hubungan dengan Wani.

Setelah dinasihati oleh tunangnya, Wani sedia menerima Zaza dan mahu memperkenalkan ayahnya itu kepada keluarga Faizal.

Pada majlis suai kenal itu, nenek Faizal telah menghina Zaza dan hingga pada hari pernikahan dia masih lagi membuat kecoh agar majlis dibatalkan.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Rosemaria Masih Menyanyi

18 Jul

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ANDAI kata anda teringin makan nasi dagang dan tidak tahu cara untuk membuatnya, silalah rujuk lirik lagu Nasi Dagang dendangan Rosemaria Abdul Hamid.

Menerusi lirik lagu tersebut sedikit sebanyak anda akan tahu bahan yang diperlukan dan cara untuk memasak nasi yang sinonim dengan masyarakat Kelantan itu.

Lagu yang bercerita tentang nasi istimewa itu, sebenarnya telah mempopularkan nama penyanyinya, Rosemaria.

Jelas Rosemaria, 52, dia bukan sekadar tahu menyanyi lagu Nasi Dagang malah memasaknya pun boleh kerana ibunya adalah penjual nasi dagang.

Selain lagu Nasi Dagang, nama juara Bintang RTM 1977 itu sentiasa menjadi bualan hangat apabila tiba musim raya. Lagu dendangannya, Di Pagi Aidilfitri adalah antara lagu raya malar segar yang sentiasa menjadi permintaan ramai.

Meskipun lagu-lagu tersebut sering berkumandang di corong radio, namun peminat-peminat seni suara jarang mengetahui perkembangan terkini Rosemaria.

Rosemaria yang ditemui di RTM sewaktu pertandingan akhir Suara Emas Bintang RTM 2007 baru-baru ini berkata, dia tidak pernah melupakan bidang seni.

“Siapa kata saya tidak menyanyi lagi. Sebenarnya saya tidak pernah menolak kalau ada undangan menyanyi. Entahlah mungkin orang ingat bila saya balik ke Kota Bharu, saya sudah tidak menyanyi.

“Sebenarnya menyanyi tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana ia boleh membuatkan kita hilang skill,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Kehebatan juara Bintang RTM itu tidak boleh dinafikan. Suaranya tetap merdu seperti dulu dan sebab itulah dia sering diundang menyanyi biarpun tanpa memiliki album baru.

Puas

Kali terakhir Rosemaria rakam album adalah pada tahun 1980-an sebelum kembali menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun 1988. Album terakhirnya popular dengan lagu Nasi Dagang. Sebelum itu Rosemaria telah menghasilkan album Dalam Mengenang Mu yang dirakam selepas menjadi juara dan album Cinta Mu Yang Menyayat Hati.

Sepanjang 10 dekad pembabitannya dalam bidang seni suara, Rosemaria menghasilkan tiga album solo dan empat album campuran bersama penyanyi-penyanyi daripada syarikat EMI seperti Allahyarham Sudirman, Uji Rashid, Hail Amir, Latiff Ibrahim, Gaya Zakry dan Noor Kumalasari.

Rosemaria yang sudah puas menikmati dunia glamor sebagai penyanyi itu berkata, sekarang ini tumpuan utamanya pada kerjaya sebagai ejen insurans.

“Saya percaya kalau kita menyanyi bersungguh-sungguh, pasti orang tidak akan lupa kita. Mereka tahu yang kita benar-benar berbakat,” katanya yang menyertai Bintang RTM tiga tahun berturut-turut.

Kali pertama Rosemaria mencuba nasib pada tahun 1975. Ketika itu dia hanya layak ke separuh akhir dan juara Bintang RTM pada waktu itu ialah Sudirman.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Rosemaria untuk mencuba lagi pada tahun berikutnya, namun sekali lagi dia gagal kerana juara menjadi milik Norlela Ayob.

Setelah tiga kali mencuba, barulah Rosemaria muncul sebagai juara menerusi lagu Bunga Tanjung dan One The Other Side of Me.

“Orang sekarang beruntung kerana mereka mudah memiliki album nyanyian penyanyi yang mereka gemari. Saya dulu terpaksa salin lirik lagu daripada radio.

“Tiap kali lagu yang saya suka diputarkan di radio, kelam kabut saya menyalinnya. Malah berlatih menyanyi pun berdasarkan lagu di radio saja,” katanya yang menjahit sendiri baju untuk pertandingan tersebut.

Isteri kepada Mohd. Shuhaimi Hussin, 49, dan ibu kepada Khairul Khairi, 24, Ahmad Fais, 22, Sarah Yasmin, 14, Kasturi, 12, Shariman, 7, dan Emily Rose, tiga tahun itu memang pakar dalam bidang jahitan.

Sebab itulah selepas kembali ke Kota Bharu, Rosemaria pernah membuka kedai jahitan sekitar tahun 1990-an.

Selepas itu dia juga pernah menguruskan pusat kecantikan, Rosemaria Beauty Line untuk seketika. Namun kini kedua-dua perniagaan itu telah tiada kerana Rosemaria lebih senang menumpukan perhatian pada perniagaan insurans.

Dia yang pernah menjadi penyanyi latar kepada Anita Sarawak dan mengikut penyanyi tersebut mengadakan persembahan di luar negara berkata sekarang ini kalau ada yang berminat untuk mengambilnya sebagai artis rakaman, dia tidak menolak.

“Memang ada keinginan untuk buat album tapi saya sedarlah dalam keadaan sekarang, orang lebih suka yang muda.

“Pada saya kalau ada yang sudi, saya tidak kisah kerana selama ini pun saya masih menyanyi. Cuma peluang nak rakam album sahaja tidak ada,” katanya terus terang.

Powered by Utusan Malaysia

Tiara Jacquelina Mahu Martabat Teater Muzikal

5 Jul

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

TIARA (tiga dari kiri) bersama barisan tenaga pengajar Starmaker: Musical Theater Bootcamp. Dari kiri: Reza Zainal Abidin, Sean Ghazi, Ida Mariana, Pat Ibrahim dan Llewellyn Marsh.

DATIN Seri Tiara Jacquelina tidak pernah menyangka produk yang pernah dihasilkannya, teater Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) mendapat sambutan hangat daripada rakyat tempatan.

Lantaran sambutan yang begitu mengalakan, teater itu dipentaskan di Istana Budaya sebanyak dua musim dalam tempoh kurang daripada setahun sahaja.

Malah PGLtM menjadi teater muzikal tempatan pertama yang berjaya menembusi pintu pentas bertaraf antarabangsa di Singapura, Esplanade Theater dan sambutan yang diberikan oleh rakyat republik itu juga di luar dugaan.

Kejayaan-kejayaan itu telah memberi satu semangat baru buat Tiara untuk terus memartabatkan teater muzikal di negara ini sekali gus mahu membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

Untuk itu, dia telah mengambil inisiatif mengadakan sebuah bengkel teater yang diberi nama Starmaker: Musical Theater Bootcamp. Niatnya hanya satu, menerusi bengkel intensif itu, dia mahu melahirkan artis serba boleh yang mampu mencipta nama di luar negara.

ΐBengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan yang lebih mendalam untuk menjadi seorang artis muzikal yang hebat dan terkenal suatu hari nanti. Malah, tenaga pengajarnya juga bukan calang-calang orang dan semuanya mempunyai kelebihan masing-masing.῔ jelas Tiara ketika ditemui di Studio 10 On 10, Ampang, baru-baru ini.

Tenaga pengajar bagi Starmaker: Musical Theater Bootcamp adalah Zahim Albakri (pengarahan), Pat Ibrahim (tarian), Sean Ghazi (vokal dan nyanyian), Reza Zainal Abidin (lakonan), Llewellyn Marsh (muzik) dan Ida Mariana (aktivis teater).

ΐUntuk bengkel pertama ini, kami hanya mengambil 29 peserta sahaja. Kami bimbang jika mempunyai ramai peserta, tenaga pengajar tidak dapat memberi bimbingan yang sebaiknya dan peserta juga akan menjadi leka kerana kurang penumpuan,῔ jelas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50 ini lagi.

Idea untuk mengadakan bengkel ini jelasnya, timbul sewaktu dia bersama Pat Ibrahim, Zahim Albakri dan Adlin Aman Ramli mahu mencari pelakon yang benar-benar berkaliber untuk membintangi PGLtM.

ΐApa yang saya dapat lihat ialah ada daripada mereka yang tahu menari tetapi tidak boleh menyanyi. Dalam teater muzikal, aspek yang paling penting adalah nyanyian. Bukan tarian itu tidak penting, tetapi gerak tari boleh diajar dan dibentuk,῔ ujarnya lagi.

Tambahnya, dia melihat kini masa yang sesuai untuk melahirkan artis muzikal yang berkaliber di Malaysia agar mereka dapat bersaing dengan artis muzikal lain di seluruh dunia.

ΐBukan untuk mendabik dada atau menunjuk bagus, tapi saya rasa sudah masanya kita sendiri yang menggerakkan usaha untuk memartabatkan teater muzikal di mata dunia.

ΐMenerusi bengkel ini juga, para peserta akan dibimbing bagaimana hendak berhadapan dengan situasi uji bakat. Bukan itu sahaja, mereka juga akan diajar bagaimana hendak membuat resume yang betul apabila menghadiri sebarang uji bakat untuk teater muzikal.

Malah, bengkel ini juga mampu menaikkan semangat mereka untuk mencuba nasib di luar negara,῔ kata Tiara sambil membuka rahsia bahawa dia pernah menghadiri uji bakat untuk teater muzikal, Miss Saigon di London sewaktu berusia 18 tahun.

Masih menunggu Remy

Khalayak mengetahui teater muzikal kedua terbitan Enfiniti Productions Sd. Bhd., My Name Is Remy bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Oktober depan.

Setakat ini, tidak kedengaran sebarang pemilihan pelakonnya sedangkan pementasan akan dilakukan dalam tempoh yang tidak sampai empat bulan sahaja lagi. Tidakkah ini menimbulkan kegusaran kepada wanita berhati waja ini?

ΐSaya, Adlin Aman Ramlie dan Zahim Albakri masih lagi mencari mereka yang sesuai melakonkan watak-watak yang terdapat dalam teater itu. Insya-Allah, jika tiada sebarang aral, dalam bulan ini juga kami akan umumkan barisan pelakonnya,῔ ujar Tiara.

Ketika ditanya, mengapa tidak diambil Artis Baru Terbaik AIM 14, Sean Ghazi sebagai Remy, Tiara hanya tersenyum dan berkata: ΐApa yang boleh saya katakan, ramai juga nama-nama besar yang datang uji bakat untuk My Name Is Remy. Itu satu petanda yang baik buat kami.῔

Powered by Utusan Malaysia