Archive | January, 2008

Juhara Ayob – Antara Drama Dan Teater

31 Jan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

JUHARA AYOB.

AGAK lama juga tidak kedengaran sebarang berita mengenai pelakon dan aktivis teater terkenal, Juhara Ayob.

Malah, wajahnya kini juga agak kurang muncul di kaca televisyen menerusi drama tempatan yang sebelum ini begitu sinonim dengan dirinya.

Salah satu drama lakonannya, Cinta Si Penggali Kubur pernah memberikannya pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Aktres Pembantu Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2004.

Ketika bertemu dengan Juhara Ayob pada sidang media teater Nyonya di Istana Budaya baru-baru ini, Juhara menjelaskan, keadaan yang tidak begitu mengizinkan serta waktu yang terhad membuatkan dirinya ‘menjauhkan diri’ seketika dari dunia lakonan drama.

“Saya tidak pernah merajuk dengan dunia lakonan tetapi kerana masa ini, saya sedang melanjutkan pelajaran saya di peringkat ijazah dalam bidang seni persembahan drama di Universiti Malaya.

“Bukan itu sahaja, saya juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Mak Yong di Aswara. Disebabkan itu, saya terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan drama saya,” jelas isteri kepada pengarah drama terkenal, Fairuz Loy ini lagi.

Menjadi isteri, ibu, pelajar, tenaga pengajar dan pelakon dalam masa yang sama menuntut dirinya melakukan pengorbanan yang besar dalam hidupnya.

“Saya kena pandai menguruskan waktu dan disebabkan itu, saya mempunyai jadual waktu agar saya tidak tersasar dan dapat melakukan perkara dengan teratur.

“Menyambung pelajaran saya pun kerana memikirkan anak-anak saya sudah semakin besar dan saya juga mempunyai pembantu yang boleh diharapkan untuk menjaga anak-anak saya,” katanya yang pernah menerima Anugerah Seni Negara bagi kategori Bakat Muda (Pelakon) pada tahun 2006 ini lagi.

Tambahnya, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya juga adalah kerana sebelum ini, dia begitu sibuk dengan dunia lakonan dan kehidupannya sebagai isteri serta ibu menyebabkan cita-cita murninya itu terpaksa ditangguhkan seketika.

Teater lebih puas

Dengan jujurnya, wanita berusia 37 tahun ini memberitahu, pentas teater lebih memberikan kepuasan buat dirinya berbanding drama kerana teater menuntut disiplin menerusi latihan yang berpanjangan.

“Bukan berlakon drama itu tidak memberikan kepuasan kepada saya, tetapi selepas kita menghafal skrip dan bersedia untuk memberikan lakonan yang baik, ada kalanya kita diganggu oleh keadaan sekeliling yang tidak mampu dielakkan.

“Dengan itu, ia sedikit sebanyak menjejaskan mood seseorang pelakon itu. Berbanding teater, apabila latihan dilakukan untuk satu tempoh yang agak lama, ia menjadi sebati dengan diri kita dan seterusnya, kita mampu memberikan yang terbaik,” kata ibu kepada Nurul Imanina, tiga tahun dan Mohd. Fawwaz, sembilan bulan.

Tidak sabar beraksi dalam Nyonya

Teater Nyonya yang bakal dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya bermula 20 Februari depan menyaksikan kali ketiga Juhara Ayob beraksi dalam pementasan berkenaan.

Kali pertama, sewaktu dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada tahun 2004, dia memegang watak sebagai Keponakan B manakala Tania Zainal memegang watak utama iaitu Nyonya. Namun, pada pementasan Nyonya kali keempat di Taman Budaya Pumpong, Alor Setar pada tahun lalu, watak utama itu diberikan kepada Juhara.

Juhara turut menjelaskan setakat ini, dia tiada masalah untuk membawakan watak itu kerana tiada jurang perbezaan yang besar untuk watak Nyonya dalam naskhah karya Wisran Hadi itu berbanding sebelumnya.

“Setelah latihan dijalankan, saya serasi dengan watak itu dan tiada masalah untuk saya bawakan watak Nyonya ini. Keserasian antara saya dengan pelakon lain seperti Khatijah Tan, Melissa Saila dan Tania Zainal memang sudah lama wujud memandangkan kami sering berlakon teater bersama.

“Bukan itu sahaja, kami juga akan memberikan tunjuk ajar dan memberikan pandangan bagi memantapkan lagi lakonan masing-masing,” katanya.

Selain itu, Nyonya turut menampilkan satu-satunya pelakon lelaki iaitu Zaifri Husin yang memegang watak Tuan di samping pelakon dari Indonesia Yanie Mae yang akan membawakan watak Isteri.

Teater Nyonya yang diarahkan oleh Rosminah Mohd. Tahir ini akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 20 Februari ini. Tiket-tiket berharga RM20, RM30 dan RM50 kini sudah pun mula dijual.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-40265558 ataupun layari laman web http://www.istanabudaya.gov.my.

Powered by Utusan Malaysia

Fenomena Puteri

31 Jan

SKRIN
FENOMENA PUTERI

Daripada hanya pelakon ‘hijau’
kini ramai pengikut setia

By Haryani Ismail

DARIPADA pelakon yang tidak dikenali, mereka kini ada daya tarikan semberani.

Bahkan, sitkom Puteri yang sudah masuk siri ke-10 di seberang tambak, menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia khususnya remaja untuk ‘melekat’ di depan layar televisyen.

Kalau minggu lalu anda seakan-akan terserempak bintang sitkom tersebut – Nora Danish, Kenchana Dewi, Beego dan Intan Ladyana – berjalan-jalan di sekitar Arab Street atau Sentosa, anda memang tidak tersalah orang.

Sememangnya mereka berada di sini untuk penggambaran di beberapa lokasi hasil tajaan dan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Pakaian beberapa pelakonnya pula ditaja butik Fatimah Mohsin The Wedding Gallery yang turut menjadi lokasi penggambaran.

‘Dulu, Nora Danish hanya pelakon iklan dan jadi pelakon pembantu Gila-Gila Pengantin.

‘Tujuan saya menampilkannya dalam sitkom Puteri bukan kerana wajah cantik semata. Saya nak lihat bagaimana keghairahan pelakon-pelakon muda ini dapat membawa mereka ke tengah, dikenali ramai dan mencetuskan fenomena.

‘Nora dahulu dengan sekarang memang jauh bezanya. Kalau dahulu dia macam boneka bertali… kita nak kena gerakkan satu-persatu – daripada step satu sampai 10, semua nak diajar, sekarang dia pula yang terlebih pandai! Kita minta dia buat satu, dia buat 10. Cuma saya selalu berpesan, jangan over,’ ujar pengarah Puteri, Aziz M.Osman, dengan nada berseloroh.

Aziz, yang pada zaman belianya dikenali kerana watak Burn (cucu Opah) dalam drama bersiri popular, Opah, memang dikenali sebagai karyawan filem yang tegas dan tidak akan teragak-agak menegur pelakonnya terus-terang.

Keempat-empat pelakon Puteri yang ditemui akur mereka banyak belajar daripada Aziz dan harus spontan berlakon serta melipatgandakan usaha ketika bertugas dengannya.

‘Akak tahulah… kerja dengan Abang Aziz. Fokus tu penting,’ ujar Nora kepada penulis, dipersetujui Kenchana, pelakon India yang bakat berlakonnya terserlah dibantu penguasaan bahasa Melayunya yang lancar.

Sama ada pelakon baru atau mapan, Aziz menangani mereka dengan cara yang sama. Mereka juga tidak sepi daripada dimarahi.

‘Kenchana memang dah banyak berlakon drama. Macam-macam watak dia dah cuba. Tetapi Puteri merupakan projek pertama dia bekerja dengan saya.

‘Jadi, dia kadang-kadang tu macam nampaknya nak gunakan perisai tambahan. Takut nak buat silap. Terlalu berjaga-jaga.

‘Jadi, saya berpesan kepadanya, dalam dunia ni… siapa tak buat silap? Relaks. Semakin kita terlalu berjaga-jaga, semakin banyak silapnya,’ ceritanya.

Bagaimanapun, Aziz yakin pelakon yang bersungguh-sungguh dan berdisiplin akan melangkah jauh.

Beliau memberi contoh Beego Phyne Ballerz ataupun nama sebenarnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, yang baru menamatkan zaman bujangnya lewat tahun lalu.

‘Beego ‘sehijau-hijau’-nya tatkala berlakon dalam filem Gila-Gila Pengantin. Saya minta Vee (bekas isteri Aziz) carikan wajah baru – seorang penyanyi tampan daripada boyband.

‘Puas Beego saya ‘hamput’ pada awalnya. Namun lama-kelamaan, saya melihat dia tonjolkan karismanya. Dia ada inisiatif dan serba boleh.

‘Dalam drama Pendekar 5, anda lihat Beego lain daripada watak Roslan yang dimainkannya dalam Puteri. Dia bersenam, rajin ke gym dan kuruskan badannya.

‘Itulah yang kita mahu lihat ada pada pelakon muda iaitu perkembangan yang positif,’ tambah Aziz.

Apakah yang boleh penonton raih daripada Puteri berbanding sitkom-sitkom lain.

‘Puteri suka beri nasihat. Dia berfikiran positif. Orang akan jadikannya teladan yang baik.

‘Ia berbeza sedikit daripada watak saya sebab saya ada kalanya berfikiran negatif,’ ujar Nora.

Bagi yang belum pernah menontonnya, anda boleh jangkakan sitkom yang memberi huraian dan jawapan kepada setiap permasalahan yang dihadapi wataknya.

Ia sesuai dengan mereka yang gemar menonton siri remaja seperti That’s So Raven.

Powered by Cyberita

Cinta Hati Baru Shahirah, Ijoy

30 Jan

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


KESIBUKAN sebagai artis tidak pernah menjadikan Shahirah lupa kepada tanggungjawab sebagai ibu.

TATKALA menjejakkan kaki di laman kediaman pelakon dan pengacara terkenal Sharifah Shahirah untuk menghadiri majlis cukur jambul anaknya, Airra Zulkifli, terdengar suara-suara merdu orang sedang menyanyikan lagu-lagu marhaban.

Dipenuhi dengan gabungan warna putih dan merah jambu di dalam dan luar kediaman termasuklah pelamin ala-ala pengantin yang ditaja khas oleh Inspirasi Frara, pasti ia dijadikan sebagai warna tema pada majlis tersebut.

Sambil lagu-lagu marhaban dinyanyikan oleh Kumpulan Artis Wanita Negara (Kawan), ibu yang berusia 34 tahun ini dilihat sedang asyik membuaikan anaknya di atas pelamin.


MAJLIS cukur jambul cahaya mata baru Shahirah dan Ijoy berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan.

Pada masa yang sama ibu mertuanya, Datin Maria Arshad pula sibuk menguruskan majlis dengan mengagihkan buah tangan kepada tetamu yang hadir.

Bergelar selebriti tidak bermakna Shahirah melupakan akar diri, bahkan sudah menjadi tradisi keluarganya meraikan setiap ahli baru dengan amalan yang dituntut oleh agama Islam.

Untuk Airra, Shahira dan keluarganya tidak mahu berlengah lagi memperkenalkan si kecil itu dengan ritual pertama sebelum mengenal dunia.

WAJAH Airra si permata hati.

Justeru, kenduri cukur jambul dibuat khusus untuk bayinya yang baru sahaja melepasi usia dua bulan.

Majlis turut disambut sebagai majlis kesyukuran kerana melahirkan anaknya dengan selamat dan sempurna.

Tidak seperti sebelum ini, Shahirah terpaksa berdepan dengan dugaan apabila mengalami keguguran dalam kandungan berusia enam bulan.

“Perasaan saya waktu itu, sedih dan sangat perit. Tapi nak buat macam mana, bukan rezeki saya,” ujar Shahirah yang menamakan arwah bayinya, Ali Zulkifli.

Bercerita tentang permata barunya Airra pula, jelas kelihatan si ibu dan suaminya (Ijoy) menjaga permata baru mereka bagai menatang minyak yang penuh.

Sehinggakan si suami sanggup tidur di atas lantai demi keselesaan anak dan isterinya.

“Kami terpaksa menahan mata untuk menjaga Airra di tengah malam. Ibu saya, Sharifah Zubaidah dan mentua (Maria Arshad) turut menjaganya dan pada masa yang sama, menjaga saya ketika dalam pantang.

“Belum sempat keluar hospital lagi, ibu mentua saya dah bawakan nasi panas dan lada hitam untuk dimakan serta badan saya turut dibengkung,” katanya yang mengamalkan berpantang cara tradisional sepanjang tempoh tiga minggu selepas bersalin.

Dia juga diurut oleh neneknya, Esah, 79, sambil bermandi tujuh jenis bunga untuk menaikkan serinya kembali.

Menceritakan saat-saat melahirkan Airra, pengacara popular Gedik Santai ini terpaksa berdepan dengan sedikit masalah.

Doktor terpaksa membuat keputusan untuk melahirkan anaknya dengan cara pembedahan.

“Sementara menunggu doktor, akhirnya saya melahirkan anak saya sendiri tanpa perlu dibedah,” ujarnya sambil mengangkat kedua-dua tangannya tanda bersyukur.

Menyentuh mengenai kerjaya seninya, biarpun telah bergelar ibu kepada tiga orang anak, Shahira mahu mengekalkan ‘periuk nasinya’ dengan berlakon dan mengacara sehingga ke akhir hayat.

“Darah seni sudah mengalir dalam diri. Tidak mungkin saya akan berhenti daripada dunia saya ini,” ujarnya yang ingin membawa dunia lakonan seiring dengan usianya seperti pelakon M.Rajoli, P. Ramlee dan Azean Irdawaty.

Popular dengan drama bersiri Mat Despatch suatu ketika dulu, walaupun dia dan Ijoy sibuk dengan penggambaran masing-masing, mereka tetap menjadikan anak-anak sebagai perkara nombor satu mereka.

“Saya mengambil inisiatif untuk berlakon di sekitar Kuala Lumpur (KL) sahaja. Untuk pengacaraan pula, saya tidak kisah untuk ke luar KL, tetapi saya akan pergi dan balik hari saja,” jelasnya yang akan berlakon sebuah drama bersiri pada bulan hadapan di bawah arahan Opie Zami bersama suami dan anak-anak di rumahnya sendiri.


KEHADIRAN Airra membawa lebih kebahagiaan kepada pasangan ini.

Di samping suami tercinta dan dikelilingi dua lagi cahaya mata, Alisya Tahir, 10, dan Airell Zulkifli, 3, serta kaum keluarga yang lain, sudah cukup membahagiakan Shahirah ketika ini.

Sambil mendukung Airra, jelas dilihat rumah tangganya semakin bersinar dengan kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarganya.

Ketika ditanya, tidakkah dia teringin untuk menambahkan bilangan keluarganya, sambil tersenyum, Shahira berkata: “Belum terfikir lagi buat masa ini. Biar anak saya membesar dengan jagaan yang sempurna dan pada masa yang sama saya ingin fokuskan kembali kerjaya saya,” katanya.

Dalam pada itu, perasaan takut turut diselubungi untuk menambahkan bilangan anak kerana bimbang dengan gejala sosial yang semakin tidak boleh dibendung lagi.

Sementara itu pelakon yang berasal dari Raub, Pahang itu berkata, dia tidak kisah jika anak-anaknya mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Saya tidak kisah. Jika mereka ada bakat dan minat, saya tidak akan melarang.

“Lagipun, banyak iklan kanak-kanak yang telah dilakonkan oleh kedua-dua anak saya. Terpulang pada mereka sama ada mereka mahu menceburi bidang ini atau tidak,” jelasnya yang sedar bahawa anak-anaknya turut mengikut jejak langkahnya dan Ijoy.

Powered by Kosmo

Artis Baru Dominasi IKON Malaysia 2

28 Jan

Oleh: NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

BARISAN artis yang bakal memberi variasi kepada IKON Malaysia 2.

KESEKIAN kalinya, stesen televisyen berbayar, Astro melalui saluran interaktifnya, Astro RIA akan membawakan pertandingan yang menampilkan artis-artis tempatan untuk bersaing merebut gelaran IKON Malaysia musim kedua dalam kategori solo dan berkumpulan.

Pertandingan berprestij yang dijangka bersiaran sekitar Jun ini bakal menyaksikan seramai 10 artis solo dan 10 artis berkumpulan yang telah disenarai pendek berentap sesama sendiri dalam mempersembahkan kehebatan bakat dan keunikan masing-masing dalam misi memastikan bahawa merekalah yang paling layak bergelar IKON Malaysia untuk musim kali ini.

Artis-artis kategori solo yang bakal menyahut cabaran tersebut ialah Noryn Aziz, Bob AF2, Farah Asyikin, Juwita Suwito, Liza Hanim, Farawahida, Faizal AF4, Khai AF1, Zehra Zambri dan Mila AF5.

Manakala barisan artis yang bakal berentap untuk kategori berkumpulan pula terdiri daripada The Fabulous Cats, New Boyz, SilentScream, Khalifah, Dragon Red, AlamBand, 6ixth Sense, Aboi, Kluk Kluk Advanture dan Deja VooDoo Spells.

Pengurus saluran Astro RIA, Khairul Mizan yang ditemui pada majlis sidang media IKON 2008 yang diadakan di Bar SaVanh Too, Mont Kiara baru-baru ini menyatakan bahawa objektif pertandingan tersebut adalah untuk mempromosikan artis-artis dan muzik tempatan ke peringkat ASEAN.

“Kerjasama dengan IKON Malaysia memperlihatkan bertapa Astro menyokong perkembangan industri muzik tempatan seterusnya memberikan artis-artis tempatan platform untuk mendapat pengiktirafan ke di luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Khairul Mizan, format pemarkahan untuk musim kali ini masih belum ditentukan lagi.

Secara positifnya, pertandingan seperti ini mampu mengetengahkan bakat dan kebolehan tersendiri seseorang artis yang mana barangkali sebelum ini terlepas pandang oleh para peminat mereka atau mungkin masih belum ditonjolkan lagi.

Cuma yang menjadi persoalannya, mengapakah pertandingan yang dianggap menggalas harapan dan nama negara ini lebih banyak didominasi oleh artis-artis baru?

Bukan bermaksud mengatakan bahawa artis-artis baru tidak mampu menggalas harapan tersebut, cuma terfikir kemana perginya artis-artis senior yang rata-rata berkebolehan menggalas tanggungjawab itu.

Apakah kerana mereka (artis-artis senior) tidak mahu memberikan kerjasama ataupun kerana syarat-syarat penyertaan pertandingan itu sendiri yang tidak melayakkan mereka untuk menyertainya?

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Andrian Lim ada jawapannya.

“Ada beberapa kriteria yang perlu dipatuhi sebelum memasuki pertandingan ini. Antaranya, seseorang artis itu mestilah merupakan ahli RIM dan album mereka mestilah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Kalau kita lihat di negara ini, artis-artis berkumpulan memang tak ramai. Band-band yang lama memang ada tetapi banyak yang tak ada album, jadi secara tidak langsung kelayakan itu lucut dengan sendirinya.

“Pun begitu, ada juga beberapa band yang kami lihat boleh diketengahkan tetapi ditolak oleh mereka atas sebab-sebab peribadi,” kata Andrian.

Tambah Khairul Mizan: “Walaupun banyak melibatkan artis-artis baru, namun persembahan yang dibuat dengan gaya tersendiri dengan mempersembahkan sesuatu yang berlainan dari persembahan sebelumnya boleh membantu meningkatkan lagi karier mereka.

“Untuk merancakkan lagi IKON Malaysia musim ini, beberapa roadshow akan dibuat diseluruh negara bagi mempromosi dan memperkenalkan barisan artis yang terlibat dalam IKON Malaysia.

“Ini peluang kepada artis-artis yang bertanding terutamanya artis baru dimana kebolehan diri masing-masing boleh ditunjukkan kepada para peminat sepanjang roadshow itu nanti,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Dafi, Mila Rapat

28 Jan

Oleh HARYATI KARIM


GADAFFI Ismail Sabri (Dafi)

WAJAH tampannya sangat ketara. Memiliki paras rupa yang bisa meruntun hati setiap gadis yang memandangnya, penyanyi yang lahir daripada program realiti popular, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri bagaimanapun mengakui dirinya masih lagi solo tanpa cinta di hati.

Namun, lumrah menjadi seorang figura terkenal, pasti ada saja cerita-cerita panas yang datang menjengah dirinya.

Seperti baru-baru ini ada sumber KOSMO! mengkhabarkan jejaka yang berusia 20 tahun ini semakin intim dengan rakan seperjuangannya sendiri. Gadis remaja yang dimaksudkan itu bukanlah Diana Danielle yang sering digandingkan dalam pelbagai acara sejak akhir-akhir ini.

Gadis yang dimaksudkan, siapa lagi kalau bukan juara AF5, Mila yang sebelum ini dikatakan menjalin cinta dengan Ebi yang juga salah seorang graduan AF5.

Khabarnya Mila sering melawat Dafi di rumahnya dan sering menghabiskan masa bersama. Dan “perhubungan” mereka kononnya pula direstui keluarga Dafi.

Dafi yang berkunjung ke KOSMO! minggu lalu, hanya tersenyum mendengar perkhabaran terbaru tentang dirinya itu.

ΐSaya tidak tahu macam mana kami boleh dikatakan bercinta. Memang saya akui, saya rapat dengannya, sesekali ada juga hubungi dia tetapi sekadar bertanya khabar sebagai seorang sahabat. Itu sahaja,῔ tutur Dafi.

Meneruskan hujahnya, beritahunya, ΐKalau kata dia datang ke rumah saya itu memang tidak betul, kerana dia belum pernah pun berkunjung ke rumah saya. Saya memang ada ajak dia dan rakan AF yang lain untuk datang ke rumah, tetapi tiada kesempatan kerana kesibukan masing-masing, kalau jumpa pun hanyalah di majlis-majlis yang kami hadiri.

ΐBuat masa sekarang ini sememangnya saya menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja, bukannya cinta. Tetapi walaupun saya tidak mencari cinta, saya juga tidak menolak jika ia (cinta) hadir dalam hidup saya.

DAFI akui rapat dengan Mila tetapi terhad sebagai sahabat sahaja.

Sudah lali dengan gosip

Semakin lama dia berada dalam dunia hiburan tanah air, semakin Dafi membiasakan dirinya dengan segala gosip yang dilemparkan terhadapnya. Setelah hampir setahun bergelar artis, tegas Dafi dia sudah lali dengan gosip-gosip terutama yang berkisar tentang cinta.

ΐJika dulu, kalau orang melontarkan apa-apa gosip dan komen-komen negatif tentang diri saya, saya akan sedih. Tetapi kini saya lebih matang dan apa yang penting saya lebih tahu kebenarannya daripada orang lain.

ΐPrinsip saya, kalau orang tidak suka apa yang kita lakukan, abaikan sahaja orang sebegitu. Sebab bukan semua orang suka dan bukan semua orang benci kita. Saya hanya lakukan kerja saya, itu sahaja,῔ tegas Dafi penuh yakin.

Jelas sekali, topik cinta tidak langsung menarik perhatiannya kerana penyanyi yang menjadikan Justin Timberlake sebagai idola ini lebih selesa apabila berbicara tentang kerjayanya yang semakin meningkat naik.

Sibuk jalani latihan berlakon

Difahamkan dia yang bakal bergelar pelakon filem tidak lama lagi, kini sedang sibuk menjalani latihan tarian sebagai persediaan untuk memastikan lakonan dalam filem sulungnya itu meninggalkan kesan kepada penonton.

Filem yang menggunakan tarian sebagai subjek utamanya dan dijangka memulakan penggambaran sekitar Mac turut menggandingkan Ebi dan Sharifah Amani.

ΐBukan senang nak berlakon. Saya tertarik dengan filem ini pun kerana wataknya tidak jauh berbeza dengan diri saya dan juga disebabkan jalan ceritanya yang menarik.

ΐFilem ini merupakan salah satu agenda penting dalam kerjaya saya tahun ini, pastinya saya akan cuba lakukan sebaik mungkin,῔ ujarnya lagi tanpa menyembunyikan perasaan teruja dirinya itu.

Tambah Dafi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu ini, dia juga bakal muncul dengan single keduanya yang belum diketahui judulnya tidak lama lagi.

Memberitahu selain sibuk dengan kerjaya seninya, dia berazam untuk menamatkan pelajarannya yang tergendala di kolej swasta Lim Kok Wing dan dijangka tamat pada tahun hadapan.

Jejaka yang memiliki penampilan yang menarik ini meletakkan 2008 sebagi tahun untuknya melengkapkan diri. Selain ingin menamatkan pelajaran, memulakan kerjaya sebagai pelakon, dia juga ingin melihat albumnya siap sepenuhnya.

ΐRamai juga orang tertanya-tanya bila album akan keluar, tetapi pihak syarikat (KRU) ada strateginya yang tersendiri dan kemungkinan besar tahun ini peminat akan dapat memiliki album saya. Semuanya masih dalam proses,῔ katanya lagi dan berharap peminat sabar menunggu.

Bukan sahaja album dan filem, kerana tidak lama lagi peminat Dafi boleh memiliki novel hasil ideanya sendiri yang digarap oleh Mior Shahriman seorang penulis novel dan juga skrip.

ΐSaya hanya menyumbangkan sedikit idea, dan untuk menulis sebuah novel itu bukan bidang saya kerana untuk menjadi seorang penulis novel belum terlintas lagi di fikiran buat masa sekarang.῔ bicaranya yang bercita-cita untuk membuka studio sendiri dalam tempoh lima tahun lagi.

Powered by Kosmo

Hajat Megat Junid Termakbul

25 Jan


ZIELA (kanan) menenangkan ibu mertuanya, Azmah Abdullah yang mengucup jenazah Megat Junid (gambar kecil) sambil diperhatikan oleh Faizah (tiga dari kiri) di Kelana Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Isteri Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, Puan Sri Faizah Shuaib bersyukur kerana dapat menunaikan permintaan terakhir Allahyarham agar pengurusan jenazahnya dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan paling disayangi Megat Junid (gambar kecil).

Sambil berterima kasih kepada pasukan itu yang melakukan semua urusan pengebumian Allahyarham termasuk menyembahyangkan jenazah serta mengetuai bacaan talkin, Faizah berkata pesanan itu disampaikan kepadanya semasa Allahyarham sedang sakit.

“Semasa dia sakit dulu dia ada beri amanat meminta jabatan yang paling disayanginya iaitu jabatan polis uruskan segala-galanya apabila dia meninggal dunia, dan saya bersyukur dapat menunaikan amanat itu,” katanya selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini semalam.

Faizah berkata, Allahyarham suaminya juga meminta beliau menjaga anak-anak dengan baik termasuk dua anak dengan isteri kedua iaitu Norzilah Jalil (Ziela Jalil).

“Anak-anak saya semua dah lepas, cuma Ziela ada dua lagi anak yang masih bersekolah. Saya telah berpesan pada Ziela supaya menganggap kami seperti keluarga. Janganlah lepas ini hubungan putus sebab anak-anaknya masih anak suami saya,” katanya.

Faizah berkata, pada saat-saat akhir allahyarham, pertuturannya sukar difahami sekalipun tangannya masih boleh bergerak.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar Allahyarham, Abdul Hanim Abdul Malik memberitahu, Allahyarham ada memintanya air zam zam ketika beliau melawatnya pada pukul 6.30 petang semalam.

Ketika itu menurut Abdul Hanim, Allahyarham memegang erat tangannya dan kelihatan menangis kerana terharu apabila beliau mengunjunginya.

“Saya berada di sisinya sehingga pukul 10 malam dan timbul perasaan sedih dan sebak untuk meninggalkan Allahyarham seolah-olah saya tidak akan berjumpa dengannya lagi,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di No.2, Jalan SS7/3 Kelana Jaya semalam.

Megat Junid, 65, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai pada pukul 5.25 pagi semalam akibat kanser.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menghembuskan nafas terakhirnya di sisi kedua-dua isterinya Faizah dan Norzilah dan semua anaknya.

Allahyarham dikesan mengalami kanser prostat kira-kira setahun lalu dan ketika itu ia sudah berada pada peringkat keempat. Selepas itu, bekas Ketua Penerangan UMNO itu menjalani rawatan membuang ketumbuhan pada kelenjar prostat di Singapura.

Tidak lama selepas itu, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai pada 19 November 2007 bagi mengeluarkan darah beku dari dalam perut.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke kediamannya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur.

Powered by Kosmo

Dynas Sedia Jadi Isteri

25 Jan

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT


TIDAK bimbang populariti terjejas selepas bergelar isteri. TIDAK bimbang populariti terjejas selepas bergelar isteri.

SAAT namanya sedang mekar sebagai penyeri di layar kaca dan filem, jelitawan tinggi lampai ini membuat keputusan nekad.

Dynaz kemas menyimpul keputusannya, menamatkan zaman solo dan melangkah ke gerbang perkahwinan bersama jejaka pilihan hatinya, Hafizy Hafiz.

Hafizy, jejaka si pelumba kereta profesional negara itu sudah dikenalinya lebih dua tahun.

Dynas sebenarnya sudah menetapkan tarikh keramat untuk melangsungkan hari bahagianya.

Pun begitu Dynas masih merahsiakan tarikh keramat itu meskipun mengakui hatinya sedang dalam debaran menantikan saat-saat menjadi ratu sehari.

KOSMO! difahamkan detik bahagia itu akan muncul pada Mac, seiring dengan sambutan ulangtahun ke-25 wanita itu sendiri.

“Memang masanya sudah dekat. Tetapi biarlah saya simpan dulu rahsia mengenai tarikh perkahwinan itu. Suprise!” katanya dengan wajah cukup ceria.

Tak takut populariti menjunamBenar sekali perkahwinan itu sesuatu yang dituntut tetapi persoalannya tidakkah terlalu awal untuk Dynas menyerahkan hidup kepada seorang lelaki bernama suami?

Persoalannya juga berbayarkah keputusan itu dibuat kala nama dan kariernya baru saja hendak bersinar?

Bagi Dynas, ketika ini dia sudah dipertemukan dengan lelaki yang tepat dan Hafizy diyakini mampu memberikan kebahagiaan untuknya.

DEBARAN raja sehari.

Justeru tidak perlu berfikir panjang, dia percaya jodohnya sudah sampai pada masa ini.

“Populariti boleh datang dan pergi. Perkahwinan bukan bermakna populariti seorang artis akan menjunam,” kata Dynas.

Apa yang penting adalah kualiti kerja, komitmen dan disiplin yang menjadi teras utama untuk mempertahankan nama sebagai pelakon.

“Itu yang menjadi pegangan saya selama ini,” kata pelakon yang popular dengan drama bersiri Susuk ini.

Sementelah bakal suami cukup memahami dan mereka sudah mengenali hati budi masing-masing, Dynas yakin tidak banyak masalah yang bakal dihadapi selepas bergelar isteri.

“Kami sudah mengenali hati-budi masing-masing dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Tiada masalah untuk saya meneruskan kerjaya seni walaupun selepas berkahwin. Peminat juga sudah bijak, mereka tidak lagi skeptikal, ramai artis yang sudah berumahtangga tetapi masih diterima peminat,” ujarnya lagi.

Manjakan diri di spaSeperti wanita lain yang mempunyai keinginan tersendiri menjelang hari bahagia, Dynas juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati hari-hari solo terakhirnya.

Pada ketika ini dia membuat keputusan untuk berehat seketika dari dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinan.

“Saya sedang memanjakan diri, pergi ke spa untuk merehatkan seluruh tubuh dan minda daripada sebarang tekanan sebagai persiapan bergelar pengantin baru.

“Penat sangat bekerja rasanya. Inilah masa untuk saya berehat dan mempersiapkan diri untuk majlis bersejarah buat diri kami nanti.” katanya.

Pelakon ini memilih pusat kecantikan sebagai destinasi rehatnya atas nasihat ibu.

“Ibu mahu saya mengikuti amalan mandi lulur, mandi bunga dan macam-macam lagi supaya nampak cantik dan berseri atas pelamin nanti,” katanya.

Ditemui pada majlis pengumuman top 5 senarai artis yang tercalon untuk Anugerah Bintang Popular 2007, Dynas antara muka baru yang dicalonkan.

Dynas bakal bersaing dengan nama-nama seperti Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Siti Shahrizad (Eja) untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular.

“Saya masih terkejut dengan keputusan ini. Sangka saya, nama saya tercalon untuk kategori artis baru bersama-sama Julia Ziegler dan Fouziah Ghous tetapi sebaliknya.

“Saya masih terlalu baru untuk bersaing nama-nama besar seperti Rita dan Eja,” luah Dynas merendah diri.


DRAMA Susuk mempopularkan Dynas dan pelakon lain seperti Kaza (kiri) dan Zali.

Percaya bahawa Janji Diana, Gerak Khas dan Susuk banyak memberi impak terhadap popularitinya, namun jauh di sudut hatinya, pelakon yang sedang hangat menerusi drama bersiri Ai ‘D’ Beijing ini lebih menghargai andai dirinya dinilai dari segi kualiti.

Bagi Dynas, menjadi popular satu bonus tetapi popular tanpa kualiti kerja adalah sesuatu yang sia-sia.

“Saya mahu dikenali sebagai artis yang mempunyai kualiti kerja yang baik, bukan popular semata-mata,” katanya.

Powered by Kosmo