Archive | Nora Danish RSS feed for this section

Depan Mata: Pahit, Manis Dan Kelat Di ABPBH2008

20 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
INSIDEN Nabil peluk buah hati, Irma Hasmie sebaik diumumkan menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, antara yang diperkatakan orang sepanjang minggu lalu.

Begitu juga aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello hingga penonton di Arena Of Stars, Genting Highlands kurang selesa melihat Farah dijulang penari.

Mungkin ia perkara yang tidak disengajakan tapi itulah harga yang harus dibayar apabila mereka terjun ke dunia glamor. Nabil juga sudah memohon maaf secara terbuka atas ketidaksengajaannya itu tapi bak kata pepatah, nasi sudah jadi bubur atau pepatah Inggeris, the damage is done.

Farah juga sudah memberi penjelasan dalam Harian Metro Khamis lalu mengatakan tiada niat tampil seksi atau membuatkan penonton kurang selesa.

Memang tiada salahnya pakaian Farah tapi apabila dirinya diangkat penari sedemikian rupa, membuatkan apa yang tidak sepatutnya nampak sudah disaksikan banyak mata, apatah lagi disiarkan secara langsung di TV3.

Mungkin boleh memberi pengajaran kepada penyanyi lain supaya memilih pakaian lebih sesuai apabila perlu dijulang penari, seperti berseluar panjang. Hakikatnya, Farah memakai stokin gelap dan bukannya mendedahkan paha gebunya di balik gaun paras atas lutut itu.

Sebelum ini, pakaian Farah dikatakan tidak sesuai ketika menjayakan satu program hari raya walaupun hakikatnya menyampaikan lagu moden tetapi sepatutnya memilih pakaian lebih sesuai dengan majlis bukannya gaya ketika menyanyi di kelab malam.

Tidak kurang menariknya, ramai melaram sakan ketika acara permaidani merah sama ada yang ditaja atau koleksi sendiri sesuai tema ‘tenunan songket’. Lebih menarik, ramai juga melaram buah hati.

Jika Norish Karman bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris, Luqman Amin yang juga abang Farahdhiya, pengacara Nurul Alis (Kiki) pula membawa jejaka mat salih. Begitu juga Abby Abadi bersama Zulkifli Ariffin dan Noraliah Lee (Vee) dengan kerabat Selangor, Tengku Yusof.

Menariknya, empat wanita ini memegang status janda tetapi nampaknya ABPBH2008 menjadi medan untuk mereka pamerkan orang istimewa dalam hidup mereka. Kalau sebelum ini hanya mendengar gosip apabila ada mata-mata gelap tidak bergaji bercerita melihat mereka keluar bersama.

 

 

Tapi malam itu, mereka tidak main sembunyi-sembunyi, sebaliknya berkongsi dengan umum siapa gerangan insan istimewa dalam hidup mereka ketika ini. Apabila bersikap terbuka, siapa tahu dengan doa peminat dipercepatkan jodoh mereka.

Pengakuan Norish juga disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu lalu. Ternyata Norish tidak berselindung apabila saya katakan dia kini lebih terbuka. Sebelum ini, Norish hadir bersama Luqman ketika tayangan filem Talentime, kemudian konsert mini Anggun.

Sebelum ini, Abby dianggap berani dan sangat terbuka apabila sering bersama Zul tidak lama selepas bercerai dengan Norman Hakim, malah kantoi di lapangan terbang ketika baru pulang dari China.

Hubungan Vee dengan Tengku Yusof pula dikatakan sekejap on sekejap off tapi saya melihat apabila Vee terbuka memperkenalkannya kepada umum, secara tidak langsung menjadi satu jaminan buat si wanita bahawa si lelaki sudah menjadi miliknya.

Kita tunggu pula giliran Norman dan pasangannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey mengakui hubungan mereka secara terbuka walaupun hakikatnya ramai sudah tahu, tapi empunya diri mengatakan antara mereka tiada hubungan istimewa walaupun sudah kantoi ditangkap khalwat. Terbaru, gambar mesra mereka meraikan ulang tahun berdua kini disebarkan di Internet.

Begitu juga Fasha Sandha, sejak sekian lama dikatakan ada hubungan istimewa dengan bekas suami Nora Danish tetapi empunya diri juga tidak mengaku. Cuma gambar mereka berdua belum lagi disebarkan di Internet sebagai bukti tetapi gambar beramai-ramai adalah.

Turut mendapat perhatian saya ketiadaan dua pemenang malam itu, Norkhiriah untuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Dynas (Pelakon TV Wanita Popular). Sebagaimana diumumkan pengacara majlis, Sharifah Shahira bahawa Norkhiriah kurang sihat kerana mengandung.

Dynas pula ramai yang tahu mengandung tujuh bulan tetapi tidak ramai tahu dua hari sebelum ABPBH2008, Dynas menerima berita duka anak yang dikandung meninggal dunia. Teringat pengalaman sama yang saya alami pada 2003 apabila bayi yang dikandung selama 24 minggu, tidak sempat dilahirkan ke dunia kerana pergi lebih dulu.

Tentunya ini saat cukup sukar bagi Dynas, apatah lagi kali kedua hamil dan belum berpeluang menatap bayi yang dinantikan bersama suami.

Untuk mengubat hati yang luka, orang selalu kata ada hikmah di sebaliknya. Paling penting, bayi itu menanti ibunya di syurga. Dynas juga menerima berita gembira apabila sekali lagi menang kategori yang pernah dimenanginya tahun lalu.

Bagi Norkhiriah, sebelum ini pernah mengalami keguguran sudah tentu kali ini berhati-hati menjaga kandungan. Tambah-tambah pula pada awal kehamilan dan majlis pula berlangsung di tempat tinggi dan dingin menusuk tulang.

Tahun lalu, Erra Fazira mengalami keguguran ketika menghadiri ABPBH2007 tetapi cepat diberikan pengganti apabila Mac lalu, selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Engku Aleesya Engku Emran.

Mereka juga manusia biasa yang mengalami dugaan dalam hidup serta melalui suka duka sebagai wanita bergelar isteri.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Janda Meletup

12 Apr

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN, NAZARALI SAERIL, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT

KUALA LUMPUR: Sebagai selebriti yang terbabit dalam dunia nyanyian atau lakonan, mereka ada tarikan tersendiri. Namun, status janda yang disandang menambah aura dan glamor sedia ada sehingga kehebatan mereka ada kalanya mengalahkan artis yang belum berkahwin.

Abby Abadi, Rozita Che Wan, Nora Danish, Azharina dan Nurul antara selebriti berstatus janda yang dianggap ‘panas’ dan meletup, menjadi buruan, mengundang cemburu artis wanita lain serta menimbulkan kebimbangan isteri golongan VIP, kalau-kalau suami mereka ‘dirampas’.

Apa godaan dan cabaran menjadi janda meletup? Ikuti luahan hati mereka kepada wartawan Metro Ahad, NOR AKMAR SAMUDIN, NAZARALI SAERIL, SHAMRAN SARAHAN dan FIRDAUS SAHAT.

 

 

ABBY ABADI:

“SAYA tidak mahu mencipta populariti dengan status janda. Apatah lagi selepas menjanda, saya melalui apa yang janda lain rasai. Paling membuatkan saya terkejut, ada artis senior sanggup menjadi orang tengah mengaturkan pertemuan saya dengan VIP di luar negara.

“Saya tahu siapa VIP itu yang memang dikenali ramai, tetapi tidak perlu saya sebutkan namanya. Sampai ke tahap itu mereka meletakkan kedudukan janda yang dijadikan sebagai barang dagangan.

“Bayaran dijanjikan memang lumayan, tetapi saya tidak gelap mata,” kata wanita berusia 31 tahun itu mengenai dugaannya yang baru empat bulan bergelar janda.

Menurut Abby, tindakan artis senior itu menjadi orang tengah untuk ‘menjual’ rakan artis sendiri sungguh mengejutkannya dan membuatkan dirinya berasa terhina.

“Jika orang yang saya tidak kenal buat kerja itu, tidaklah saya rasa terlalu terhina, tapi dia rakan saya. Tergamak dia lakukan perangai keji itu. Kami pernah berlakon bersama dan saya tidak sangka dia meletakkan diri saya sebagai janda tahap murahan.

“Artis senior itu juga maklumkan kepada saya bahawa ramai artis melayan VIP itu di luar negara. Untuk mengetahui siapa VIP terbabit, mulanya saya tunjuk macam berminat untuk terima tawaran. Dia akhirnya memaklumkan siapa VIP terbabit dan hendak tempah tiket penerbangan.

“Mungkin ada yang ingat bila dah janda, saya mudah didekati, hakikatnya tidak begitu. Saya pernah alami situasi seperti ini ketika zaman anak dara dulu, tak sangka bila sudah jadi janda ia terpaksa saya alami lagi,” katanya.

Menurut Abby, ketika zaman bujang, ada yang menawarkannya melayan VIP di sebuah negara jiran dengan jumlah bayaran sangat besar, tetapi dia tidak mengenali orang tengah terbabit.

“Alhamdulillah, saya tidak mudah digoda dan bukan jenis perempuan murahan. Jangan ingat diri saya boleh dijual beli dengan begitu mudah. Saya fikirkan jangka masa panjang, keluarga dan anak.

“Saya tidak mahu perkara itu menjadi ‘track record’ dalam hidup saya dan rasa berdosa seumur hidup. Memang ramai hendak kenalkan saya dengan orang itu dan ini tetapi apabila membabitkan maruah, saya perlu tegas,” katanya.

Tambah Abby, ada juga orang kenamaan mengirim SMS menawarkan sejumlah wang kononnya ingin berkongsi membuka perniagaan bersama dan ada juga yang sibuk ingin carikan jodoh untuknya.

“Jika benar ada yang ingin jadikan saya isteri, ada caranya. Bukan baru kenal sehari dua terus melonggokkan wang di depan saya. Jika ada jodoh, cukuplah lelaki sederhana sebagai suami saya. Kami boleh berusaha bersama-sama. Wang memang penting, namun ia bukan segala-galanya dalam hidup.

“Bukan pula saya kata orang yang berduit jahat belaka. Yang pasti, hati saya belum terbuka untuk bernikah lagi. Saya bukan terlalu ‘desperate’ (terdesak), lepas bercerai terus mencari pengganti,” katanya.

Menurut Abby, dia mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat serta kini berusaha ke arah itu kerana pengalaman membuatkan dia semakin mengenal erti hidup.

“Paling saya elakkan, saya tidak mungkin menjadi orang ketiga kepada mana-mana wanita. Jadi kepada wanita di luar sana, saya bukan perampas,” tegasnya.

ROZITA CHE WAN:

“TAK sangka pula saya tersenarai dalam kategori janda meletup. Hakikatnya, bukan senang jadi janda kerana terlalu banyak dugaan. Antaranya, saya pernah diminta menemani seorang VIP makan malam selama dua jam saja.

“Saya tidak tahu siapa kerana saya tidak berminat untuk mengenalinya. Undangan itu saya tolak kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas dua jam temankan dia makan,” luah Rozita Che Wan, 36.

Menurut Rozita, ada orang tengah mengatur pertemuannya dengan VIP itu. Kejadian itu membuatkan dia sangat terhina. Sebagai orang Islam, dia tahu hukum Allah SWT.

“Mula-mula temankan dia makan, lepas itu entah dia hendak minta apa pula dengan saya. Oleh kerana memang tidak berminat, saya tak kuasa hendak ambil tahu siapa VIP itu. Dalam masa sama, setiap hari ada VIP kirim SMS ingin berkenalan, mengajak saya keluar dan pelbagai lagi.

“Supaya tidak menyakiti hati sesiapa, saya menolak pelawaan mereka secara baik dengan menyatakan ‘lain kali’. Apabila selalu sangat saya kata lain kali, mereka faham dan tidak mengganggu lagi,” katanya.

Tambah Rozita, dia kesal masyarakat masih berfikiran kolot apabila bercakap mengenai janda dengan beranggapan janda tiada harga diri, suka rampas suami orang dan mata duitan.

Menurut janda anak dua itu, banyak gosip mengatakan dia berkahwin dengan VIP, tetapi hingga kini belum terbukti apa-apa.

“Tumpuan kini kepada anak dan kerjaya. Kejayaan anak sulung, Ammar Effendy dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dengan mendapat 5A membuka mata masyarakat yang anak janda juga boleh berjaya.

“Syukur anak kedua, Aniq Ezzra, turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran dan sukan. Harap Aniq akan mengikut jejak langkah abangnya. Andainya Ammar dapat 1A, orang pasti kata ‘tengoklah emak dia pula macam mana’,” katanya.

Menurut Rozita, anak tahu dan faham kesusahannya bekerja siang malam dan menghargai pengorbanan itu.

Atas kejayaan anak juga, pada Hari Ibu nanti, Hotel May Tower Singapura akan menganugerahkan Rozita Ikon Ibu Cemerlang dengan majlis diadakan di Kuala Lumpur.

“Itulah penawar kesedihan saya selama tiga tahun bergelar anak seni. Kejayaan anak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap saya.

“Sebenarnya, saya kurang senang apabila dilabel janda meletup kerana keadaan ini memberi ruang kepada pihak tertentu menjadikan saya mangsa gosip dan fitnah. Oleh itu, saya harap masyarakat menilai berdasarkan kualiti orang itu dan bukan daripada status,” katanya.

Apapun, kata Rozita, dia tetap bersyukur dan reda dengan ketentuan Ilahi. Ini kerana status itu juga menjadikan dirinya kuat, tabah, cekal dan berani.

NORA DANISH:

HAMPIR 10 bulan berpisah, kehidupan dijalani pelakon ini seperti biasa. Walau kadangkala terasa sunyi, Nora Danish, 27, menafikan dia menjadi buruan lelaki.

“Sepanjang bergelar ibu tunggal, saya belum pernah merasai menjadi buruan mereka, lebih-lebih lagi golongan VIP. Mungkin itu berlaku disebabkan saya tidak menjawab panggilan telefon daripada orang tidak dikenali.

“Begitupun, saya tidak menafikan status janda membuatkan golongan artis wanita diburu. Sama ada mereka cuba memikat kami kerana populariti atau harta, itu saya tidak tahu.

“Pengalaman dulu mengajar saya banyak perkara dan ia juga menjadikan saya lebih matang untuk menjalin hubungan selepas ini.

“Bagi saya, tidak kira janda atau gadis, asalkan bernama wanita, pasti akan cuba didekati lelaki,” katanya yang kini bahagia dengan kehadiran putera sulung, Putra Rayqal Rizal Ashram Ramli (Rayqal) yang lahir pada 7 Januari lalu.

Perceraian Nora menyentuh hati banyak pihak kerana dia diceraikan ketika disahkan mengandung tiga bulan.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.

Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail, membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh Rizal berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.

Perceraian itu berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung. Oleh itu talak hanya jatuh selepas dia melahirkan.

AZHARINA:

“SELEPAS bercerai, ‘berbakul’ saya dikutuk, dihina dan dicaci. Itulah risiko yang dihadapi apabila menjadi janda muda. Sebagai artis, lagi banyak dugaan datang kerana satu Malaysia tahu saya bercerai.

“Kalau saya bukan artis, mungkin dugaan tidak seteruk ini. Memang saya tahu risiko menjadi janda, tetapi saya tidak terfikir sesukar ini. Apa hendak saya katakan lagi, ia (perceraian) sudah berlaku. Namun, ia membuatkan saya tabah dan cepat dewasa,” kata Azharina Azhar, 24.

Menurutnya, selepas kembali solo ada yang menggoda, tetapi dia tidak melayan kerana pintu hatinya belum terbuka untuk bersuami lagi.

Yang penting, kata Azharina, sekarang adalah waktu untuk dia melakukan proses ‘baik pulih’ dan menjaga hatinya.

“Untuk berkahwin semula, saya serahkan pada Yang Maha Esa. Jika ada jodoh, adalah. Seandainya sebaliknya, saya tetap bersyukur ke hadrat Ilahi jika itu yang terbaik untuk saya.

“Pada masa ini saya tiada hubungan istimewa dengan sesiapa. Rakan lelaki memang ramai, tetapi setakat berkawan saja,” katanya.

Menariknya, Azharina berkata, lelaki yang ingin memperisterikannya perlu melalui proses penilaian yang akan dilakukan oleh bekas suaminya.

“Suami saya dulu baik, tetapi tekanan orang sekeliling membuatkan saya tidak tahan untuk terus hidup bersamanya. Lelaki yang ingin menjadi suami saya juga perlu jujur dan ada pengetahuan agama.

“Apabila saya melalui proses perceraian, ia bukan perkara yang terlalu buruk kerana ada yang menemui kebahagiaan selepas bercerai. Pun begitu, terasa juga serik untuk berkahwin lagi,” katanya.

Mengenai hubungan dengan bekas suaminya, Azharina berkata, mereka masih bertegur sapa dan berhubungan seperti kawan biasa.

“Kami bercerai cara baik dan sampai sekarang saya masih menghormatinya sebagai kawan, bekas suami dan rakan perniagaan. Enam tahun kami berkawan, tetapi perkahwinan kami bertahan tiga tahun saja.

“Bagaimanapun, saya tidak kesal rumah tangga runtuh di tengah jalan, malah jauh di sudut hati, saya bahagia dan sibuk dengan kerja sendiri,” katanya.

NURUL:

KESIBUKAN mengejar kerjaya dan pengalaman lalu membuatkan penyanyi ini bertekad untuk tidak memikirkan mengenai jodoh buat seketika.

Katanya, biar dia fokus kepada dunia seni yang menjadi cintanya sejak dulu. Begitupun, menyentuh mengenai soal janda yang diburu lelaki, Nurul, 31, belum pernah menghadapi situasi seperti itu.

“Selama bergelar ibu tunggal lebih setahun lalu, belum ada lagi lelaki yang bersungguh-sungguh atau datang bersemuka dengan saya untuk menyuarakan hasrat memperisterikan saya. Mungkin mereka takut berjumpa saya kerana sewaktu di luar saya sentiasa serius.

“Setakat ini, kalau ada pun lelaki cuba memikat saya, saya anggap mereka tidak serius. Ini kerana mereka tidak berani bersua muka dengan saya, tapi cuma menghantar SMS dan tidak kurang juga memanggil sayang serta menelefon pada tengah malam,” katanya.

Nurul berkata, dia langsung tidak melayan gangguan daripada lelaki seperti itu kerana tindakan mereka mencerminkan sikap tidak menghormati wanita.

“Jangan memandang status janda sebagai sesuatu yang negatif. Sama ada janda, anak dara mahupun bergelar isteri, kami masih lagi wanita yang ada perasaan,” katanya.

Menurutnya, populariti sebagai artis menyebabkan dia lebih berhati-hati kerana bimbang ada lelaki cuba mengambil kesempatan dengan menumpang kemewahan.

“Ada golongan cuba mendekati artis, terutama wanita bergelar janda seperti saya, semata-mata untuk mencari jalan mudah memperoleh kesenangan. Namun saya bersyukur kerana setakat ini ia belum terjadi kepada saya,” katanya.

Harian Metro

Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my


SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Menantu Baru Tan Sri Ramli

25 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Diana dan Ramelle masih dalam ‘mood’ berbulan madu.

Ramelle Ashram bernikah dengan pelakon Diana Johor pada 7 Februari lalu

KESEDIHAN yang dialami pasangan ideal, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan isterinya Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah yang ‘kehilangan’ menantu sulung, Nora Danish tidak berpanjangan dengan kehadiran menantu baru apabila anak kedua mereka, Ramelle Ashram bernikah dengan pelakon, Diana Johor, 7 Februari lalu.

Bagaikan berkongsi minat dengan abangnya, Rizal Ashram, Ramelle turut memilih anak seni sebagai suri hidupnya selepas hampir lima tahun menyulam cinta. Malah, keruntuhan rumah tangga abangnya dan Nora tahun lalu tidak menjadi penghalang kepada pasangan pengantin baru itu melayari bahtera perkahwinan.

Ramelle, 31, dan Diana, 28, berkenalan sejak hujung 2004. Diana juga mempunyai persamaan dengan adik Ramelle iaitu dilahirkan sebagai pasangan kembar. Jika Diana mempunyai saudara kembar bernama Lina, pemilik bukti PU3 di The Curve, Damansara, Puteri Azalea dan Puteri Yasmin adalah adik kepada Ramelle.

“Sebelum saya mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang, saya menuntut di Australia dalam bidang Ekonomi dan Kewangan pada 2005. Sebelum ke Australia, saya sudah menjalinkan hubungan dengan suami saya,” katanya sewaktu ditemui Hip pada majlis cukur jambul anak Nora Danish di Ampang, baru-baru ini. Malah Diana dan suaminya juga tidak keberatan untuk bergambar bersama.

Menyedari tanggungjawabnya kini sebagai isteri semakin berat, pelakon yang pernah diperkenalkan Datuk Yusof Haslam di dalam terbitan drama berjudul Sembilu ini seronok dapat berkongsi kebahagiaan dengan kehadiran Rayqal, cucu sulung keluarga suaminya. Saat ditanya mengenai kehadiran ‘orang ketiga’ iaitu anak, dia memberitahu belum lagi bersedia ke arah itu.


Diana (dua dari kiri) pada majlis cukur jambul anak buahnya, Rayqal.

“Saya kini sudah mempunyai empat orang anak buah termasuk Rayqal. Seronok juga melayan kerenah anak kecil, tapi saya jujur akui belum terarah ke situ. Kami merancang, lagi pun saya sudah mula sibuk dengan syarikat produksi yang baru saja beroperasi tidak sampai setahun.

“Insya-Allah, akan datang, siapa tahu, rezeki yang Tuhan kurniakan akan menjelma. Saya juga seronok dilayan baik oleh keluarga suami. Keluarga mentua sangat baik dan peramah. Saya tiada masalah dengan mereka,” katanya yang cukup bahagia memiliki suami seperti Ramelle yang sangat mengambil berat.

Ditanya lanjut mengenai kerjaya barunya sebagai penerbit bersama Lina, syarikat Unique Twins Sdn Bhd itu baru saja menerbitkan telefilem Hana Hani Coklat Strawberi yang baru saja disiarkan di stesen TV berbayar. Untuk projek mendatang, Diana berkata, semuanya masih dalam perbincangan.

Buat permulaan, syarikat miliknya akan menumpukan kepada penerbitan drama dan telefilem. Katanya, membikin filem itu masih terlalu jauh untuk difikirkan apatah lagi mereka belum cukup menimba pengalaman. Kini dengan memegang status isteri orang dan penerbit, jelas Diana, dunia lakonan bukan lagi keutamaan.

“Bukan bermaksud saya tidak mahu berlakon lagi dan tak saya nafikan masih lagi merindui dunia ini. Selepas sekian lama tidak berlakon, saya dan Lina turut berlakon sebagai pasangan kembar di dalam Hana Hani Coklat Strawberi.

“Itu pun, selepas mengalami kesukaran mencari pelakon yang dilahirkan kembar. Lagi pun, kami dapat mengurangkan kos kerana berlakon dalam produksi sendiri.

“Fokus saya kini mahu mengasah bakat sebagai penerbit dan saya cukup suka perihal yang berkaitan dengan perkiraan. Lalu, saya manfaatkan ilmu pengajian di Australia dalam kerjaya sebagai penerbit,” katanya mengakhiri perbualan.

Diana mula menerjah dunia komersial ketika usia 14 tahun. Drama lakonan pertamanya ialah Mas Maria, manakala Sembilu 2005 menjadi penguji kemampuannya beraksi di layar perak. Diana dan Lina pernah menjadi duta kembar untuk sebuah jenama kertas A4.

Berita Harian

Saya Tak Akan Rujuk!

14 Feb

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

Apa yang berlaku antara dia dan Rizal bukan masalah saya. Saya tidak mahu terlibat langsung. Kenapa mesti kaitkan saya? – Nora

SUNGGUHPUN artis comel, Nora Danish, 27, telah sah bercerai dengan suaminya Rizal Ashram Ramli setelah Nora selamat melahirkan bayi sulungnya, Putera Rayqal pada 7 Januari lalu, kisah mereka nampaknya tidak tamat di situ saja.

Sebaliknya, bekas suami isteri ini tetap menjadi buruan pihak media apabila ada ura-ura kononnya mereka bakal rujuk semula setelah kelahiran Putera Rayqal.

Kemudian, bekas suami Nora pula menarik perhatian media apabila dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan seorang artis sensasi dan dikatakan pernah bercuti bersama. Kononnya juga hubungan bekas suami Nora dan artis berkenaan bukan lagi satu ‘gosip’ yang kurang berasas memandangkan mereka dikatakan bakal ke jinjang pelamin tidak lama lagi.

Sejauh mana kebenaran cerita tersebut, hanya waktu yang boleh tentukan. Mungkin pada pandangan orang ramai, Nora merupakan mangsa yang paling hebat menerima kesan daripada kontroversi tersebut. Apatah lagi dalam tempoh berpantang, dia masih lagi dikaitkan dengan kisah cinta bekas suaminya dan juga artis panas itu. Peritnya dugaan, hanya boleh dikongsikan bersama Yang Maha Esa.

Bagaimanapun telahan orang ramai silap, Nora tidak minta dikasihani atau simpati orang ramai akan nasibnya. Ternyata jiwa wanitanya tabah dan masih kental meskipun dihimpit dengan seribu satu dugaan yang tidak pernah dijangka.

Malah, ketika Kosmo! menemubual dengannya baru-baru ini, Nora tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda tertekan atau sengsara dengan semua kejadian serta kontroversi tersebut.

Dia masih lagi Nora yang dulu, ceria dan bersahaja, serta mampu menjawab soalan demi soalan dengan cukup tenang.

Walaupun begitu, maafkan kami kerana tidak berjaya ‘memujuk’ Nora untuk memotret gambarnya bersama putera tersayang. Ini kerana Nora memberitahu dia belum bersedia untuk muncul dalam keadaan diri masih dalam proses berpantang.

“Saya janji, selepas kesihatan sudah okey, kita akan ambil gambar baru,” katanya dalam bahasa paling sopan menandakan ketinggian darjatnya sebagai seorang

wanita berketurunan baik-baik.

Ikuti perbualan antara Nora dan Kosmo!


NORA tidak pernah berdendam dengan sesiapa termasuk yang dianggap sebagai ‘perosak’ rumah tangganya.


WAJAH manis Nora ketika Putera Rayqal masih dalam kandungan.


KETABAHAN Nora mendepani masalah rumah tangga membuatkan banyak orang jatuh kasih kepadanya.

Bagaimana dengan keadaan Nora dan anak sekarang?

Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik, dapat melihat anak di depan mata, saya rasa seronok sangat. Memang penat sedikit sebab terpaksa berjaga malam, tetapi saya bertuah kerana dibantu ibu dan kakak-kakak yang sentiasa menemani. Mereka ada di sisi saat saya memerlukan.

Rasa sepi?

Tidaklah, saya tidak berseorangan, saya ada kakak-kakak dan emak serta kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Jadi saya tidak pernah sepi, tambahan sekarang hidup saya lebih terisi dengan adanya anak yang sentiasa buat saya tersenyum.

Bagaimana hubungan Nora dengan keluarga bekas mertua?

Kami masih baik seperti biasa. Malah semasa saya bersalin, ibu dan ibu mertua ada sekali dalam bilik bersalin, mereka juga sering melawat Nora. Adik ipar dan keluarga lainpun semua baik.

Ada desas-desus yang mengatakan Nora dan bekas suami, mahu berbaik semula kerana anak. Betul ke?

Mana ada, saya tidak akan rujuk balik! Itu hanya spekulasi yang timbul kerana cerita daripada sebuah akhbar. Orang mungkin salah faham kerana tajuknya Nora bakal rujuk? Sebenarnya tak ada apa-apa. Saya tidak akan rujuk balik. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang.

Baru-baru ini, heboh tentang cerita hubungan intim bekas suami Nora dengan seorang artis, malah dikatakan siap pergi bercuti bersama. Betul ke mereka akan berkahwin?

Kalau boleh saya tidak mahu sebut atau sentuh langsung pasal dia. Kami sudah tiada apa-apa hubungan, kami baik hanya kerana anak, itu saja. Selepas ini dia hendak kahwin atau apa saja yang dia buat, tiada kaitan dengan saya lagi. Saya harap semua pihak akan faham.

Apa perasaan Nora, walaupun telah bercerai masih lagi dikaitkan dengan kisah cinta bekas suami, malah artis itu sendiri turut mengheret nama Nora?

Saya nak cakap, jangan sesekali dia (artis) kaitkan atau sebut nama saya lagi. Apa yang berlaku antara dia dan Rizal bukan masalah saya lagi. Saya tidak mahu terlibat langsung. Kenapa mesti kaitkan saya? Di antara saya dan Rizal, kami sudah tidak ada apa-apa hubungan. Jadi tolong berhenti kaitkan saya dengan kisah mereka berdua.

Dalam keadaan masih berpantang, timbul pula isu-isu merimaskan seperti ini, adakah Nora tertekan?

Tertekan? Saya pelik kenapa saya mesti tertekan? Sebenarnya saya langsung tidak tertekan. Menerima kehadiran seorang anak, adalah sesuatu yang membahagiakan. Saya bahagia dengan anak dan hidup saya sekarang ini. Sedikit pun tidak tertekan. Sekarang ini semua sudah terjawab, jadi orang boleh fikir sendirilah apa sebenarnya yang berlaku sebelum ini.

Selepas ini, bagaimana dengan kehidupan Nora?

Saya jalani kehidupan macam biasa. Bercerai bukanlah pengakhiran hidup, banyak lagi benda yang hendak saya lakukan. Lagi pun saya sudah mempunyai anak, dan dia telah membakar semangat saya untuk menjadi lebih kuat. Selepas habis pantang, saya akan kembali bekerja dan berlakon seperti biasa.

Bila mula bekerja?

Mungkin dalam bulan April baru saya mula kerja. Saya ada tempoh lagi dua minggu untuk berpantang dan selepas itu berusaha untuk mengurangkan berat badan. Saya tidak mahu tinggalkan anak yang masih kecil, tunggulah dia berusia tiga atau empat bulan, baru saya rasa lega untuk bekerja. Tambahan sekarang ini berat badan saya bertambah dari 45 kilogram ke 49 kilogram, jadi ada beberapa kilogram lagi saya nak turunkan sebelum benar-benar bersedia bekerja semula.

Buat sebarang senaman untuk dapatkan berat badan yang ideal?

Buat masa ini saya masih lagi dalam pantang dan tidak boleh buat apa-apa termasuklah sebarang senaman. Mungkin penat sebab tidak cukup tidur membuatkan badan saya turun dengan sendirinya. Kalau tidak saya akan memikirkan jalan lain untuk dapatkan semula berat badan ideal saya.

Kosmo

Fasha Akui Tertekan

10 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sebenarnya saya dah lali dengan tohmahan orang,” kata pelakon popular, Fasha Sandha berhubung tuduhan liar pihak tertentu kononnya dia perampas suami orang dan punca keretakan rumah tangga pelakon Nora Danish dengan Rizal Ashram Ramli.

Dia berharap penyebaran dakwaan palsu itu dihentikan kerana bukan saja memberi tekanan kepadanya, malah pelakon berkenaan.

“Jangan kaitkan saya dengan bekas suami pelakon itu kerana ia memberi tekanan kepada saya dan Nora,” katanya yang dihubungi semalam.

Sebelum ini, pelbagai gosip diperkatakan sebilangan peminat termasuk mengaitkan pelakon jelita itu sebagai orang ketiga menjadi punca keretakan rumah tangga pelakon Nora dengan Rizal.

Terbaru, Fasha didakwa pergi bercuti ke Pattaya, Thailand bersama Rizal, baru-baru ini.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, mengakui bercuti di Pattaya tetapi hanya bersama pengurusnya, Nik Yasmin Nik Abdul Rahman.

“Apa yang saya minta tolong hormati hak peribadi saya. Saya pergi bersama pengurus saya 29 Januari lalu dan pulang ke Kuala Lumpur pada 2 Februari.

“Saya tidak mahu komen panjang, tolong beri ruang dan sedikit masa kepada saya. Bila sudah bersedia saya akan berkongsi kepada semua siapa jejaka di hati saya,” katanya.

Dia menegaskan hubungannya dengan Rizal hanya sekadar kawan dan gosip yang tersebar itu memberi tekanan kepadanya.

“Bukan itu saja, gosip berkenaan turut memberi tekanan kepada Nora yang baru melahirkan anak. Jadi saya amat berharap spekulasi ini dihentikan,” katanya.

Fasha bagaimanapun bersyukur kerana masih banyak menerima tawaran berlakon daripada pengarah dan penerbit drama serta filem di sebalik pelbagai gosip yang melanda.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang banyak memberi semangat dan sokongan selama ini,” katanya.

Mengenai perkembangan lakonannya, Fasha berkata, dia baru selesai menamatkan penggambaran drama Air Mata Azizah arahan Haris Kadir yang diterbitkan SRS Production untuk RTM.

“Pada Januari lalu, saya juga terbabit dengan penggambaran drama Anak Belaan dan Santau dalam siri Keliwon terbitan Rashbir Media Sdn Bhd yang diarahkan Rashid Sibir untuk siaran TV3.

“Saya juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem April ini dan buat masa ini, skrip filem itu masih dalam proses untuk disiapkan,” katanya.

Harian Metro

Nazar Potong Rambut

22 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


ERRA dan suami membeli kelengkapan untuk menyambut kelahiran bayi mereka.

“SAYA akan bernazar memotong rambut demi kelahiran anak yang dikandung isteri saya,” demikian ungkap Engku Emran Engku Zainal Abidin mengenai niat dan perancangannya terhadap kelahiran bayi sulung hasil perkongsian hidupnya dengan bintang jelita, Erra Fazira yang dijadual bersalin bayi perempuan pada 25 Mac ini. Selain Erra, tahun ini menyaksikan ramai selebriti yang disahkan berbadan dua seperti Melissa Saila, Rosma, Sharifah Aleya, Dynas, Liza Hanim, Sasha Saidin dan Balkish Semundur Khan. Nora Danish paling awal membuka lembaran 2009 apabila selamat melahirkan bayi lelaki awal Januari lalu.

Betapa terserlah sisi bahagianya hingga berat badannya kembali bertambah dan sama naik dengan perut isteri tercinta. Sebelum ini, Emran berjaya mengawal berat badannya selepas berkahwin dengan pelakon drama Mentua VS Menantu itu.

Akuinya, semakin dekat tarikh jangkaan kelahiran anak mereka, maka makin kencang deruan adrenalinnya. Baik Erra, naluri kebapaan jelas terpancar di wajah Emran, maklumlah ini pengalaman sulungnya melalui situasi begini. Hampir setiap masa, jika tidak mempunyai komitmen kerja, pasti Emran akan menghabiskan masa dengan Erra yang kini usia kandungannya sudah hampir mencecah lapan bulan.

“Paling mengharukan saya dah mula terasa getaran nak bergelar bapa ialah sewaktu saya memegang perut Erra. Seperti bakal bapa lain, saya percaya mereka juga berasakan perkara sama yang saya alami. Kalau orang tanya sama ada saya sudah bersedia untuk bergelar bapa, semuanya akan terjawab apabila lahirnya anak kami itu. Saya tak dapat bayangkan macam mana perasaan itu, namun yang jelas saya memang berdebar-debar. Cuma ada yang memberi nasihat supaya saya tidak terlalu menggelabah memikirkan soal ini.

“Dalam hal persediaan, Erra yang paling berlebih-lebihan, biasalah wanita memang selalu begitu. Kami ada membeli barangan bayi untuk keperluan anak kami nanti. Apabila anak sudah ada depan mata, baru jelas lagi tanggungjawab dan persediaan saya terhadap anak kami nanti.

“Kebelakangan ini pun selera makan saya kembali bertambah. Lucunya saya yang terlebih mengidam berbanding isteri. Sejak Erra hamil, saya suka sangat makan masin dan bayangkan saya boleh meratah garam begitu saja,” katanya sewaktu ditemui di Siri Jelajah Lelong Amal Suria FM di lokasi pertama mereka di Mydin USJ, Subang Jaya 17 Januari lalu. Sebelum majlis bermula, Emran dan Erra berkesempatan membelek-belek barangan bayi di pusat beli-belah itu.


PERPANCAR rona bahagia pada raut wajah pasangan sama padan yang akan bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Erra yang juga Wajah Eksklusif Astro ini sudah mula melupakan kerjaya seninya buat seketika sejak penghujung Disember tahun lalu demi memberi tumpuan penuh kepada bayi yang dikandungnya. Biarpun sarat dan tidak lagi menerima tawaran berlakon dan menyanyi, Erra masih meluangkan masa, turun padang ke acara anjuran stesen radio yang di bawah tanggungjawab suaminya.

Umpama cuti panjang daripada kesibukan kerja, debaran Erra juga memuncak hari demi hari, menghitung detik bergelar ibu. Sewaktu ditemui Hip pada majlis itu, wajah Erra berseri-seri dan mungkin itu tanda bahawa kehidupan aktres yang pernah bergelar ratu ini sedang mendakap bahagia. Dan jangan tak tahu, fokus Erra bukan saja terhadap anak yang bakal lahir nanti, sebaliknya Erra memenuhi masa senggang dengan melakukan aktiviti berfaedah.

Tanpa disengajakan pada hari itu, jahitan sulaman yang sedang diusahakan Erra kelihatan di dalam beg jenama mewah yang digalasnya. Dengan pantas, jurugambar Hasriyashah Sabudin sempat meminta Erra mengeluarkannya untuk diabadikan di dalam Hip.

“Sejak bercuti ini, Erra penuhi masa dengan menghadiri pelbagai kelas belajar termasuklah kelas jahitan, memasak dan menulis skrip. Sudah dekat tarikh nak bersalin, Erra makin sibuk membuat persiapan. Sekarang ini pun kami sudah menghias bilik tidurnya dengan pelbagai dekorasi. Saya akui memang amat teruja apatah lagi ini bayi pertama yang bakal dilahirkan dan saya tahu biarpun dia (Emran) tak tunjuk sangat keterujaannya seperti saya, tapi dalam hatinya dia memang sangat gembira,” katanya.

Menurut Erra, biarpun sudah melakukan proses pengimbasan mengenal pasti jantina anaknya, Erra tidak terlalu yakin dengan keputusan yang disahkan (dijangka jantina perempuan). Alhamdulillah, Erra juga tidak mengalami alahan teruk dan mengidam, cuma pada peringkat awal saja dia berasa loya.

“Erra tak mengidam itu ini, Erra ‘bantai’ saja makan apa yang terasa nak dimakan. Alhamdulillah, Erra kental gamaknya dan bayi dalam perut ini pun tak banyak meragam. Erra juga banyak mendapat tips dan petua sewaktu mengandung dan Insya-Allah usia kandungan ini mencecah lapan bulan. Biarpun sudah dimaklumkan kemungkinan jantina anak kami, tidak semestinya ia tepat. Kami tidak kisah jantinanya, yang pentingnya bayi itu sihat walafiat dan cukup sifat,” katanya ramah.

Mengintai kerjaya seninya, selepas melahirkan anak dan menguruskan badan, mengikut perancangan Erra akan kembali ke set penggambaran drama Mentua VS Menantu dan merakamkan album pertamanya di bawah label SRC.

Kata Erra, setakat ini dia sudah selesai merakamkan 26 episod untuk drama itu di siaran Astro. Kata Erra lagi, mengikut kontrak albumnya bersama SRC, Erra berhutang lima album dan sehingga kini belum ada album lagi sempat dibikin.

Mengenai ‘misteri kehilangan’ pengurusnya, Syed Abu Bakar, ia masih terus menjadi tanda tanya. Jelas Erra, dia sendiri sukar hendak memberi jawapan kepada persoalan ini. Mengakui agak sukar meneruskan kerjaya tanpa pengurus, Erra kini buat sementara waktu mendapatkan khidmat Vernon Kedit Jolly.

“Buat masa sekarang Erra banyak meminta tolong Vernon menguruskan soal kerjaya seni biarpun belum ada kontrak hitam putih di antara kami. Erra ibarat ‘patah kaki’ tanpa pengurus. Kalau tiada perkembangan lanjut mengenai Syed, Erra kena fikirkan sesuatu demi masa depan kerjaya Erra ke depan nanti,” katanya yang memberitahu nama yang bakal diberi kepada anaknya nanti masih dalam peringkat perbincangan.

INFO

Erra-Emran

Erra berkenalan dengan Emran pada Jun tahun lalu. Pasangan itu kemudian memilih 7 September 2007 untuk mengikat tali pertunangan.

Pada 25 Oktober pula, pasangan itu disatukan di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Erra tidak meminta wang hantaran, sebaliknya meminta senaskah al-Quran sebagai ganti.

Pernah mengandung awal 2008, bagaimanapun Erra mengalami

keguguran ketika usia kandungannya dua minggu.

Berita Harian