Archive | XPDC RSS feed for this section

Konsert Pop Yeh Yeh Di Mana Silapnya?

27 Aug

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

ENTAH di mana silapnya, Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi yang mengumpul 20 penyanyi popular era 60-an termasuk empat kugiran ternama serta empat kumpulan muzik masa kini kurang mendapat sambutan daripada penonton.

Antara artis yang menjayakan konsert selama empat jam itu ialah Datuk Ahmad Jais, Datin Azizah Muhamad, A.Rahman Onn, Afida Es, Hasnah haron, Jeffrydin, Zam Zam, L.Ramlee, Kassim Selamat, Rodziah Latiff, M.Ishak, A.Kadir Jailani, A. Nandong dan Hussein Ismail.

Sementara kugiran yang tampil mengadakan persembahan ialah Orkes Nirwana, Zurah III, Rhythm Boys, Wanderers, De Fictions, XPDC dan Putera Impian.

Konsert yang bertempat di Stadium Malawati dan julung kali diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd., hanya mampu menarik suku sahaja penonton untuk memenuhi kapasiti stadium yang boleh memuatkan 8,000 orang itu.

Meskipun pada pandangan mata kasar, kekurangan penonton kelihatan ‘mencacatkan’, namun Pengarah Urusan Global Ads Workstation, Shamsulrizal Saidin tetap merasa puas hati.

Kata Shamsulrizal, meskipun hanya sekitar 1,000 hingga 2,000 penonton yang hadir namun, dia tetap bangga kerana persembahan yang diberikan oleh para artis cukup bertenaga.

“Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh artis lama atau pun yang baru. Kesemua mereka telah memberikan persembahan yang terbaik.

“Meskipun jumlah penonton kurang daripada yang kami sasarkan namun saya tetap gembira kerana ada peminat-peminat dari Singapura yang sanggup datang menonton konsert ini,” katanya ketika ditemui selepas konsert yang berakhir pada pukul 12. 40 malam.

Dia yang mengeluarkan kos RM200,000 untuk menjayakan konsert yang dinaungi oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi itu menafi dakwaan yang mengatakan konsert tersebut kurang promosi.

Jelas Shamsulrizal, pihaknya membelanjakan lebih kurang RM100,000 untuk membuat promosi konsert tersebut.

Promosi dimulakan sejak bulan Mei dengan sidang akhbar dan tarikh konsert tersebut juga telah diuar-uarkan di kaca TV serta radio menerusi beberapa program.

Namun konsert yang mengenakan harga tiket pada kadar RM10, RM18, RM28, RM48 dan RM68 itu masih tidak berupaya untuk mengajak orang ramai hadir.

Meskipun konsert yang bertujuan mengimbau semula nostalgia silam sempena sambutan kemerdekaan yang ke-50 kurang menyerlah, namun ia tidak mematah semangat Shamsulrizal.

“Saya tidak serik untuk membuat konsert lagi. Mungkin selepas ini saya akan anjur konsert pop yeh yeh di luar Kuala Lumpur pula.

“Pada yang terlepas menonton Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi ini mereka boleh menontonnya kelak kerana pihak kami bercadang akan memasarkan cakera padat video (VCD) tidak lama lagi,” katanya terus terang.

Powered by Utusan Malaysia

Bebas Tuduhan Dadah – Mael XPDC

29 May

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

PETALING JAYA 28 Mei – Penyanyi utama kumpulan Real XPDC, Mael dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan mengambil dadah jenis Tetrahydrocannabinol pada Mac lalu.

Majistret Azroul Hisham Azulan memutuskan demikian selepas pegawai pendakwa, Cif Inspektor P. Ravi memohon untuk menarik balik pertuduhan berikutan ujian air kencing penyanyi itu disahkan negatif daripada pengaruh dadah.

Mael yang berkemeja lengan panjang biru dan berseluar jean kelihatan ceria dan segera meninggalkan perkarangan mahkamah sebaik dia dibebaskan.

Mael atau nama sebenar Syed Ismail Syed Ibrahim, 39, didakwa mengambil dadah jenis Tetrahydrocannabinol di Jalan Aman 3/59 di sini pada pukul 9.30 malam, 7 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diletakkan di bawah pengawasan polis jika disabitkan kesalahan

Dua tahun lalu, penyanyi yang berasal dari Muar, Johor ini pernah dihukum penjara setahun setelah mengaku salah melanggar perintah pengawasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kajang berhubung kesalahan menagih dadah.

Mael yang pernah menjadi vokalis kumpulan rock XPDC, telah didapati melanggar syarat pengawasan polis kerana masih menagih dadah dalam tempoh pengawasan.

Powered by Utusan Malaysia