Archive | Diana Danielle RSS feed for this section

Bohsia Sarat Aksi

20 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


SYAMSUL paparkan pelbagai isu remaja dalam filem terbaru yang akan ditayangkan mulai 23 April.

Filem kedua anak Datuk Yusof Haslam diadun mengikut cita rasa remaja zaman sekarang

WALAUPUN isu yang dipaparkan dalam filem ke-24 terbitan Skop Productions Sdn Bhd berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah isu lapuk namun ia masih relevan untuk dibahaskan memandangkan masalah sosial itu masih menjadi duri dalam daging.

Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah buah tangan kedua Syamsul Yusof selepas Evolusi KL Drift yang berjaya mengutip RM4.5 juta. Filem genre drama/aksi ini sarat dengan aksi yang sentiasa membuatkan penonton ingin mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Melalui pemikiran Syamsul sendiri sebagai pengarah, pelbagai isu semasa yang dibangkit dalam filem ini hanya berlaku kepada remaja di bawah lingkungan 20 tahun ke bawah.

Dalam usia sebegini, ratanya remaja yang sedang dalam delima mencari identiti diri sering dibelenggu dua pilihan hitam atau putih. Lalu penyelesaiannya adalah hukum karma yang pastinya tidak akan terlepas.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, filem kedua arahan Syamsul adalah filem yang menepati cita rasanya sebagai remaja.


YUSOF bangga dengan hasil kerja Syamsul.

“Bagi saya ini adalah filem dia yang ingin menunjukkan ekspresi anak muda sendiri dalam membuat filem mewakili generasinya.

“Saya sebenarnya cukup berbangga dengan hasil kerjanya selama ini kerana berani untuk membuat filem yang sememangnya dekat dengan dirinya sendiri. Saya sendiri mengakui dan menghargai karya anak muda ini agar tidak dipandang sepi.

“Kadang kala kita terlupa masa sudah berubah, ada kalanya pemikiran anak muda ini tidak boleh diramal. Ini adalah zaman mereka dan idea yang dikeluarkan menepati cita rasa masa kini.

“Saya juga memuji pengarah muda hari ini seperti Syamsul sendiri, Pierre Andre, Norliana, Farid Kamil yang cukup kreatif dalam berkarya,” katanya mengenai filem itu yang akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh tanah air pada 23 April ini.


NABILA sebagai pelakon wanita utama dalam filem Bohsia.

Turut hadir menyaksikan pratonton filem itu ialah Tan Sri Jins Shamsuddin, Ahmad Puad Onah, Mawi, Ekin dan semua pelakon Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Syamsul yang mengambil masa selama 40 hari sebagai tempoh pembikinan filem ini bagaimanapun tidak banyak menghadapi masalah sepanjang penggambaran.

“Alhamdulillah semasa tempoh penggambaran semuanya berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia saya dapat melakukan kerja dengan sempurna.

“Selain itu, juga saya cukup berbangga dengan pelakon filem ini kerana dapat memberi komitmen yang tinggi sepanjang penggambaran terutama Nabila, Salina, Shaheizy, Aaron dan semua yang memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

“Mengenai sasaran hala tuju filem ini, pertamanya saya hanya mensasarkan penonton dapat menyelami dan mengambil iktibar dari apa yang ingin saya sampaikan dan kedua adalah dari segi kutipan agar dapat menampung kos pembikinan kerana jika tidak tentu saya akan dimarahi ayah,” katanya.

Bagi Nabila yang memegang watak utama sebagai Tasya dia juga menganggap Bohsia memiliki cabarannya yang tersendiri.

“Saya cukup seronok sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana kebebasan yang diberikan pengarah dalam membentuk watak tidak dihalang. Semuanya selepas bergaul dan mengenali geng mat rempit dan gadis bohsia untuk mendapatkan karakter sebagai Tasya.

“Memang ada pengalaman yang sukar untuk saya lupakan apabila diminta untuk membonceng di belakang mat rempit dan motor itu dibiarkan berjalan dengan menggunakan tayar belakang saja.

“Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya, apa yang saya fikirkan adakah saya akan jatuh selepas ini,” katanya.

INFO

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd & Grand Brilliance Sdn Bhd

Penerbit: Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Puad Onah

Arahan: Syamsul Yusof

Genre: Aksi/Drama

Mula Tayangan: 23 April 2009

Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

Berita Harian

Kata XX: Pesona Pak Lawak

31 Jan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my


Diana Danielle

Lima jejaka kaya sense of humour pilihan pelakon, Diana Danielle

1. Johnny Depp.

Watak Captain Jack Sparrow yang dilakonkannya dalam filem Pirates of The Carribean paling berkesan. Depp tidak perlu bercakap banyak, bahasa badannya saja membuatkan kita ketawa. Sifat kelakar pelakon kacak ini memang unik!

2. Nabil Raja Lawak.

Sebelum berlakon bersama Nabil, saya memang penonton setia program Lu Pikirlah Sendiri. Jenaka spontan Nabil menggelikan hati sesiapa saja. Bagi saya, lawak Nabil boleh dikatakan bijak. Ketika menjalani sesi penggambaran filem komedi Kecoh Betul bersama Nabil, saya tak kering gusi melayan lawaknya sepanjang hari!

3. Saiful Apek.

Tengok muka saja boleh membuatkan kita tergelak! Apek sering menampilkan jenaka spontan dan berbeza. Tidak hairanlah jika beliau digelar pelawak nombor 1!

4. Vince Vaughn.

Vaughn tidak kacak tapi karakter lucunya mudah membuatkan orang tertarik. Saya suka lakonannya dalam filem Wedding Crasher dan The Breakup. Lawak Vaughn nampak macho!

5. Jackie Chan.

Aksi kung fu Chan boleh jadi kelakar apatah lagi jika beliau bertutur dalam bahasa Inggeris. Chan sering menampakkan dirinya seolah-olah bodoh tapi sebenarnya pandai. Gaya lakonan komedi Chan memberi warna dalam industri perfileman antarabangsa.

Berita Harian

Dengarnya…: Rakam Suara Album Runut Bunyi Magika

30 Jan



Diana Danielle

SEWAKTU Cik Normah sedang leka menonton wayang dengan suami hujung minggu lalu di Pavilion, Cik Normah menerima SMS memberitahu filem Magika akan menampilkan ramai pelakon hebat seperti Maya Karin, Ziana Zain, Aznil Nawawi, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Cik Normah dapat tahu Amani dan Aleya akan berlakon sebagai cameo memegang watak Bawang Putih dan Bawang Merah.

Filem yang bakal memulakan penggambaran 8 Februari ini akan menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai hero dan heroin. Filem ini bercorakkan dunia fantasi dan muzikal.

Sebut mengenai Diana, selain berlakon, dia turut menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem ini. Ada lagu duet dan penampilan istimewa membabitkan M Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Mawi dan ramai lagi. Album ini, Cik Normah difahamkan sudah dirakamkan sejak Disember tahun lalu. Nampaknya ini permulaan awal bagi Diana untuk bergelar penyanyi.

Dalam masa terdekat juga, Cik Normah dapat tahu Diana akan merakamkan lagu di Malaysia untuk album sulungnya. Makin murah rezeki Diana dan Cik Normah harap dia akan terus fokus. Ambillah peluang sewaktu menyertai Program Latihan Khidmat Negara ini untuk merehatkan diri serta bermuhasabah. Dalam pada itu, bolehlah Diana melupakan seketika dunia seni dan memberi tumpuan menjadi remaja biasa.

Oh ya, esok jangan lupa untuk mengunjungi acara jualan dan lelongan amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Insya-Allah, Cik Normah akan datang juga memberi sokongan kepada karnival amal ini. Haa… kalau jumpa Cik Normah, jangan lupa tegur. Cik Normah tak ‘kekwat’ dan pasti melayan anda semua okey. Kalau nak ambil gambar dengan Cik Normah pun boleh. Ingat, esok kita bukan sekadar berhibur, sebaliknya melakukan perkara paling murni bagi mengurangkan beban penderitaan rakyat Palestin. Cik Normah tahu rakyat Malaysia memang prihatin bab ini.

Berita Harian

Sedia Turun Padang

23 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Bukan mengajak ke zon peperangan, cuma singgah di Tingkat 3, Amcorp Mall, bantu kumpul dana untuk disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

ATAS nama kemanusiaan di bawah paksi kehidupan yang fana, terbit rasa kesedaran dan keprihatinan dek pergolakan kemelut kemanusiaan yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin di kalangan manusia di seluruh dunia yang menyelar kekejaman rejim Zionis.

Kesengsaraan mereka di sana menimbulkan marak api kemarahan seluruh rakyat di dunia yang menentang sekeras-kerasnya peperangan, sebaliknya mendambakan sebuah keamanan yang nyata.

Hampir setiap hari laporan di dada akhbar dan laman maya menyentak perasaan kita. Tersentuh dan pilu rasa di hati menyaksikan pertumpahan darah terhadap manusia yang tidak bersalah. Mungkin saja kalau kita mempunyai kuasa dan magis hebat menghentikan darah daripada terus mengalir dan membekukan niat jahat, itu saja jalan terakhir untuk menghalang pakatan Amerika Syarikat dan Israel daripada terus berleluasa mengorbankan nyawa.

Lalu, usaha dan bantuan rakyat Malaysia menerusi medium kerajaan, pertubuhan tertentu mahupun orang perseorangan disambut baik segenap peringkat masyarakat di sini. Umum sudah tahu kepekaan negara kita yang begitu sinonim dengan sikap bermurah hati dan usaha kumpulan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza terus meraih sokongan dan perhatian ramai pihak apabila berjaya membuat kutipan memberangsangkan.

Biarpun tidak sebesar mana bantuan atau derma yang diberi, paling tidak pun ia mampu mengurangkan keperitan yang dialami rakyat di sana. Kesinambungan kepada usaha yang dibangkitkan ini, satu jualan dan lelongan amal membabitkan selebriti di Malaysia diberi nama ABPBH 2008 Untuk Gaza akan diadakan pada 31 Januari ini di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Hasil jualan ini akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi bakat baru yang berpotensi seperti Liyana Jasmay, Juliana Evans, Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli, dalam tangis mengenang derita penduduk Gaza, mereka bersyukur kerana dilahirkan di bumi tercinta, Malaysia.

Enam bintang muda ini berjanji akan cuba meluangkan masa untuk sama-sama beramal biarpun terikat dengan komitmen kerja sebagai anak seni. Jika mahu melihat selebriti kesayangan anda dengan lebih dekat sambil membeli barangan yang bakal dilelong, pastikan temu janji anda untuk menyerbu Amcorp Mall pada hari itu.

Sentiasa berdoa agar kemelut berakhir

PELAKON genit yang bakal muncul dengan album EP Februari ini antara yang gemar melakukan amal dan melihat usaha NSTP sebagai satu tanggung jawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan. Semestinya sebagai manusia, dia sendiri berasa sedih dan geram dengan apa yang sedang melanda rakyat Palestin.

“Saya sendiri menentang dan membenci peperangan. Kenapa perlu kejahatan sedangkan kita boleh menyelesaikan sesuatu isu dengan cara baik. Peperangan bukan jalan terbaik dan terakhir yang boleh diambil jika tidak timbul perasaan tidak puas hati.

“Apalah sangat dengan sumbangan material yang kita dapat salurkan ke negara itu tapi atas kesedaran, usaha murni yang dibuat oleh Berita Harian melalui ABPBH2008 dan NSTP ini sebagai kebajikan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat di negara kita saja, sebaliknya melangkaui negara lain. Selain itu, saya sendiri hanya mampu berdoa memohon supaya kemelut ini akan berakhir.

“Saya sendiri mahu mengikut jejak NSTP melakukan kempen mengatakan tidak kepada peperangan, namun soal masa yang menjadi kekangan. Kalau boleh, saya mahu mengajak rakan artis terbabit sama tanpa rasa berat hati,” katanya Liyana yang akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa”

BAGI pelakon dan pengacara, Juliana Evans dia menyanjung tinggi inisiatif pihak yang sanggup berusaha untuk membantu mengurangkan beban dan kesusahan. Gadis kacukan ini tidak teragak-agak untuk memberi sokongan tidak kira melalui apa cara sekalipun, lalu acara yang bakal diadakan nanti disambut baik Juliana. Katanya, kita patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara kita.

“Di Malaysia majoriti rakyatnya adalah penduduk beragama Islam dan ibarat mencubit paha kanan, paha kiri juga terasa, apa yang dialami rakyat Palestin turut dirasai kita di Malaysia. Mereka juga saudara Islam kita dan tidak salah kita membantu. Ia tanggungjawab kita bersama,” katanya yang akan muncul dengan drama Kasut Tumit Tinggi di Astro Ria mulai 22 Januari ini.

Tersentuh penderitaan rakyat Gaza

“SAYA sedih dan cukup tersentuh melihat kekejaman yang dilakukan tentera Israel kepada kanak-kanak yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza. Saya memang tidak sanggup nak tengok kekejaman yang dilakukan,” kata pelakon dan model, Ainul Aishah mengenai peperangan di Palestin.

Malah setiap hari, Ainul atau mesra dengan panggilan Ain, membaca berita terkini di surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui perkembangan pergolakan ini. Menurut pelakon yang mula digilap bakatnya oleh Prof A Razak Mohaideen ini dia memuji usaha NSTP yang melakukan promosi besar-besaran untuk mengumpul bantuan kepada rakyat Palestin.

“Ain sendiri bergenang air mata kerana tidak sanggup melihat penderitaan dan azab yang rakyat Palestin lalui. Isu ini juga sering dibincang Ain bersama keluarga dan teman, sambil mempersoalkan bila ia akan berakhir.

“Sebagai rakyat Malaysia, Ain menyambut baik niat murni NSTP mengelolakan tabung ini. Ia sesuatu yang harus dihargai dan disokong seluruh pelosok masyarakat di negara kita,” ungkap Ainul yang akan ke set penggambaran filem keenamnya berjudul Sari Pulang. Februari ini juga dia akan terbabit dengan penggambaran drama Merah Putih arahan Isma Yusof untuk slot Lagenda TV3. Drama ini mengikut perancangan akan disiarkan April nanti.

Selebriti luang masa untuk aktiviti amal

SEMENTARA itu, Wan Sharmila juga beriya-iya untuk menyertai aktiviti amal yang buat julung kali disertainya. Bagaimanapun, kata Sharmila dia akan cuba untuk memboloskan diri ke sana, andai terikat dengan jadual seni. Seperti rakyat lain, isteri kepada penerbit, Fazli Baharom ini turut menderma.

“Ini antara ikhtiar yang mampu kita lakukan demi keamanan sejagat. Dermalah seikhlas yang mungkin dan tidak kiralah berapa nilai derma yang diberi kerana ia cukup bermakna kepada rakyat Palestin. Kita harus bersyukur berada di Malaysia dan saya sendiri mengharapkan keamanan yang dikecapi kita selama ini akan terus berkekalan. Insya-Allah,” kata Wan Sharmila yang kini drama lakonannya Rona Roni Makaroni sedang ligat disiarkan di Astro Ria.

Turut sama melahirkan pandangan yang sama ialah dua pelakon yang bergandingan di dalam drama terbitan KRU Studios berjudul Bionik, Kamal dan Fizo. Penggambaran drama itu akan berakhir pertengahan Februari ini.

Kata Fizo yang juga adik tiri kepada pelakon Noniswara ini, kesusahan yang dialami negara kita jauh sekali peritnya yang sedang di alami penduduk Gaza. Begitu juga dengan Kamal yang begitu bersemangat dan sanggup untuk ke negara itu dengan harapan dapat membantu rakyatnya. Mereka sendiri ada menderma melalui SMS dan secara berdepan ke tabung yang disediakan.

Info ABPBH2008 Untuk Gaza:

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan:

Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Faizal Tahir, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi dan ramai lagi.

Info Tabung NSTP Untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke

Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui http://www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Fizo Omar

Nama asal: Wan Hafizol Wan Omar

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 19 Julai 1985

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan.

Emel: who_pjo@yahoo.com

Kejayaan: Tempat kedua Hero Remaja.

Ainul Aishah

Nama penuh: Ainul Aishah Azizun

Tarikh lahir: 16 April 1985

Asal: Kuala Lumpur

Filem: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria

Drama: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Myspace: http://www.myspace.com/ainulaishah

Juliana Evans

Nama penuh: Juliana Sophie Johari Evans

Tarikh lahir: 5 Julai 1989

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Darah campuran: British (bapa) dan Melayu (ibu)

Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik

Drama: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)

Filem: Kami The Movies dan Hooperz

Liyana Jasmay

Nama penuh: Liyana Jasmay

Asal: Kuantan, Pahang

Tarikh lahir: 28 Mac 1988

Kerjaya: Pelakon, pelajar

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19

E-mel/facebook: liyana_loves@yahoo.com

Kamal Adli

NAMA: Ahmad Kamal Ahmad Adli

PANGGILAN: Kamal

LAHIR: 16 April 1986 di Pekan Pahang

DRAMA: Impian Sunsilk, Renjis 2 dan Bionik

PROGRAM: Pandanganku Ceritaku (Astro) dan Rentak Juara

Wan Sharmila

Nama penuhnya Wan Sharmila Wan Mohamed. Walaupun tubuhnya kecil tetapi usianya sudah 27 tahun.

Berasal dari Johor Bahru, Johor dan dilahirkan pada 12 Oktober 1981.

Profesionnya ketika ini sebagai pelakon dan pengacara.

Wan Sharmila pernah terbabit dalam Yayasan Warisan Johor dan dia juga adalah bekas penari kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

Wan Sharmila juga adalah anak saudara kepada pelakon filem dan drama tidak asing lagi, Wan Maimunah. Malahan Wan Maimunah pernah membantu untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik tetapi pada waktu itu, usianya masih terlalu muda.

Banyak berlakon drama bersiri seperti Kisah Kaisara 1 & 2, Sindarella, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni dan Rebab Tak Bertali.

Penghargaan
Pakaian lelaki: Lord’s Tailor
Pakaian wanita: Hatta Dolmat

Berita Harian

Ia Terlalu Peribadi – Shamsul Enggan Jelas Punca Gaduh

6 Dec

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my


SHAMSUL tidak mahu menjelaskan cerita sebenar disebalik insiden pergaduhan itu.

MUNGKIN kerana tahan lagi menyimpan sabar, pelakon dan pengarah muda, Shamsul Datuk Yusof, dikatakan telah mengasari buah hatinya yang baru sahaja tamat sekolah, Diana Danielle Danny Beeson.

Dan kerana kekasaran itu, keluarga Diana membuat laporan polis selepas dua hari insiden itu berlaku apabila Diana dikatakan mengalami kecederaan di bahagian telinga dan sakit kepala, yang berpunca dari kekasaran Shamsul itu.

Ketika ini Diana dan ibunya, Norsiah Ramli membawa diri untuk menenangkan fikiran di Jakarta.

Shamsul pula menenangkan fikiran di rumah bersama ayah, Datuk Yusof Haslam dan ibunya, Datin Fatimah Ismail, serta bersedia menanti persoalan demi persoalan daripada pihak media dan bersedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa kalau diperlukan.

Kelmarin, Kosmo! menemui Shamsul dan keluarganya untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka berhubung insiden ‘besar’ ini.

Apa yang sebenarnya berlaku?

Kalau saya nak cerita semula punca pergaduhan kami, ia agak sukar dan saya perlu cerita dari A sampai Z, panjang sangat. Lebih elok saya simpan cerita ini. Ia terlalu peribadi. Malam itu memang kami ada perselisihan faham dan dua-dua naik angin. Dan berlakulah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Awak tak meminta maaf kepada Diana?

Saya pun dah minta maaf dekat Diana dan juga emak dia. Saya tahu saya salah dalam hal ini (bertindak kasar). Ialah, saya ni lelaki, sepatutnya kena bersabar lebih dari dia.

Difahamkan, awak berkasar kerana ada cubaan provokasi oleh Diana sendiri. Betul ke?

Pasal provokasi saya tak mahu komen. Biasalah perselisihan faham. Dah tiga tahun kami bercinta. Tak pernah saya berkasar dengan dia. Sebelum ini saya bersabar sahaja. Itulah, kalau saya kata bersabar, bunyi macam saya salahkan dia pula.

Sekarang awak cuba untuk tidak menjelaskan situasi sebenar kepada kami. Tapi kalau di balai nanti, awak sudah bersedia untuk menjelaskan hal ini?

Sebab sebenar kenapa insiden itu berlaku, saya tak mahu cerita. Tapi kalau di balai polis nanti saya perlu menceritakan kejadian sebenar, saya akan cerita.

Selepas insiden ini berlaku ada tak awak menghubungi Diana? Mereka sedia tarik balik laporan polis?

Saya masih telefon dan tanya khabar dekat dia. Saya juga telah meminta maaf kepada Diana dan ibunya dan mereka pun dah terima maaf saya. Tapi soal mereka hendak tarik semula laporan polis itu, saya tidak pasti. Sebenarnya saya terkejut dan terperanjat bila dia memberitahu yang dia telah membuat laporan polis tentang kejadian hari itu. Dia buat laporan dua hari selepas insiden itu berlaku.

Apa status awak dan Diana sekarang?

Status kami…(terdiam). Dia yang minta putus. Dia cakap ‘we’re finished’. Saya pun tak boleh nak buat apa lagi.

Masih cinta dia?

(Terdiam). Sayang. Sayang sebagai kawan.

Bagaimana penerimaan kalau orang luar menyalahkan awak?

Kalau pihak luar nak burukkan saya atas kejadian itu terserahlah, saya pun tak boleh nak buat apa dan saya terima.

Apa yang awak buat sehinggakan dia tercedera?

Tanya dia. Kalau saya cerita takut bercanggah pula.

Apa komen ayah dan emak awak?

Keluarga saya sedih dengan apa yang telah berlaku. Ayah saya banyak menasihati saya agar jangan putus semangat. Sebenarnya banyak perkara yang mahu saya ceritakan, tapi rasa macam tak sesuai pula.

Selama ini pernah tak awak rasa dipergunakan oleh keluarga Diana?

Saya tak pernah rasa mereka (Diana dan ibunya) mempergunakan saya.

Komen ibubapa

DATUK YUSOF: Hal ini bukanlah benda yang besar. Saya rasa ini cuma gelombang cinta remaja. Dulu, masa saya buat filem Sembilu, Awie dan Erra pun pernah bercakaran juga, depan saya. Walaupun Shamsul itu anak saya, saya sudah nasihat dan pesan dekat dia, jangan kasar dengan perempuan. Biasalah, dalam cinta ni, ada pahit dan manis. Nak komen pun susah. Saya pun pernah lalui benda yang sama juga. Cuma dalam hal ini, ia dah jadi kes polis sebab tu jadi besar. Saya cuma nasihatkan kalau perkara ini (putus) dah berlaku, eloklah masing-masing tumpukan sepenuh perhatian dengan kerjaya. Dan jangan simpan dendam kerana dalam dunia filem kita, pusing-pusing pasti kita akan jumpa balik.Isteri saya cuma kecil hati kenapa hal ini sehingga menjadi kes polis dan kenapa mereka tidak rujuk dengan kami dulu.

DATIN FATIMAH ISMAIL: Masa dia dalam perjalanan ke Jakarta, Mama Norsiah (ibu Diana) ada kata yang dia sayangkan Shamsul. Sebelum itu saya juga pernah bercakap dengan Diana kenapa nak buat laporan polis? Dia pula berkata ‘Sorrylah auntie, benda dah terjadi.” Kalau boleh harap kita selesaikan masalah ini secara keluarga. Saya pun dah sayang kat Diana macam anak sendiri. Dan setahu saya, Mama Norsiah pun sayangkan Shamsul. Jadi saya pelik, kenapa sampai ke tahap kes polis? Kalau lepas ni mereka hendak sambung semula bercinta, saya terima saja walaupun sebenarnya saya kurang bersetuju lagi. Tak apalah, mungkin ada hikmah atas segala kejadian yang berlaku. Jika mereka tiada jodoh, saya harap Diana dapat teruskan kariernya.

Kosmo

Lisa Surihani Peguam Dan Pelakon

24 Aug

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Solekan Reiza Amour (012-3208530)
Pakaian I Nee By Melson (012-3819726)

TANPA diduga, gadis yang memiliki raut wajah manja dan cantik ini rupanya begitu petah berbahasa Melayu dan Inggeris ketika membincangkan masa depan dan kerjayanya, membuatkan beliau kelihatan lebih matang daripada usianya.

Sesi fotografi yang diaturkan Sabtu lalu di studio Utusan berjalan lancar dengan kehadiran Lisa Surihani Mohamed, 22 tepat seperti masa yang dijanjikan. Dengan gaya ringkas dan bersahaja, Lisa kelihatan memiliki kecantikan semula jadi tanpa calitan solekan.

Walaupun rekaan busana yang dibawa oleh pereka, Melson tidak bertepatan dengan imej Lisa yang gemar berpakaian sopan dan ringkas, namun pelakon muda ini tetap memakainya agar tidak menghampakan permintaan pereka.

Ternyata personaliti Lisa tampak sederhana dan rendah diri.

Begitulah sikapnya yang sentiasa menghargai orang lain dan membuatkan orang sekelilingnya selesa berbicara dengannya. Tema wanita elegan serta jelita dan ala-ala Inggeris ketika sesi fotografi itu seakan serasi dengan penampilan Lisa.

Kebetulan kulitnya cerah ditambah dengan tata rias wajah yang jelita.

Sekilas pandang, wajahnya sekan-akan iras pelakon Diana Danielle. Namun, Lisa memiliki kejelitaan dan perwatakan yang tersendiri.

Teringat satu artikel yang ditulis oleh seorang rakan penulis pada 13 Ogos tahun lalu, yang menyebut, “Lisa Surihani heroin baru filem Melayu”. Mungkin betul kata rakan penulis kerana selain rupa, Lisa memiliki bakat dan ilmu.

Apatah lagi Lisa berjaya menggondol Anugerah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM 21) baru-baru ini. Mungkin Lisa akan menjadi heroin baru pilihan pengeluar filem tempatan dan menjadi rebutan suatu hari nanti.

“Saya menganggap itu sebagai rezeki dan satu tekanan yang positif. Saya masih baru dalam bidang ini dan banyak lagi yang perlu saya pelajari,” ujarnya.

Lisa sebenarnya terkejut dan pada pendapatnya, kemenangan ini bukan bermakna dia sudah mampu berdiri setaraf dengan pelakon popular lain. Baginya, kemenangan ini merupakan pembakar semangat untuk dia terus maju dalam bidang ini.

“Saya sedar saya pelakon baru. Saya tidak langsung menjangkakan kemenangan ini. Saya amat berterima kasih kepada keluarga, MIG, pihak media dan Pierre Andre. Tidak lupa kepada pereka baju saya pada malam FFM 21, Nik Erwan ,” katanya.

Lisa, pendatang baru dalam dunia lakonan mengenepikan Julia Ziegler (Kayangan), Mas Muharni (Wayang), Avaa Vanja (Kala Malam Bulan Mengambang) dan Diana Rafar (Susuk).

Walaupun menerima ijazah luar negara, Lisa sebenarnya lebih memuja artis tempatan sebagai idola lakonannya seperti Rosyam Nor, Farid Kamil, Vanidah Imran dan Sharifah Amani .

Sentiasa ditemani ibu, Siti Amira Ahmad, 58, Lisa baru sahaja menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom.

l Bakal jadi peguam

Ditanya tentang perancangannya selepas ini sama ada memilih bidang lakonan atau peguam, Lisa memberitahu minatnya terhadap kedua-dua bidang ini sangat mendalam.

Sementara menanti keputusan melakukan Certificate of Legal Practice (CLP), dia mahu memanfaatkan masa dengan mengembangkan bakat seni yang ada dalam dirinya.

“Saya memang nak amalkan apa yang saya belajar. Saya merancang untuk mengambil kursus CLP hujung tahun ini. Ikutkan saya memang hendak buat kedua-dua bidang ini serentak,” jelasnya yang yang memang bercita-cita sebagai peguam.

Kini, segala jadual dalam bidang lakonan diatur oleh pihak MIG Production dan terbaru, Lisa sibuk di lokasi pengambaran Samarinda, Obsesi.

Walaupun masih digelar bintang baru dalam dunia perfileman, Lisa sebenarnya telah menceburi bidang ini sejak berusia 11 tahun dan ketika itu dia muncul dalam drama, Double. Dia kemudian melangkah setapak demi setapak dalam bidang hiburan ini sebagai model iklan, pengacaraan dan lakonan.

Jelas waktu itu, Lisa mula bijak mengatur jadual pembelajarannya dan dia sendiri tidak pernah hanyut dalam dunia glamor.

“Itu yang saya belajar untuk bijak memilih masa dan seperti lakonan saya dalam I’m Not Single, pengambaran dilakukan selepas tahun kedua dan ketika itu saya tidak mempunyai masalah membahagi masa antara pelajaran dan lakonan,” katanya yang kali terakhir muncul dalam telemovie, Goodbye Boys.

Selain itu, Lisa juga pernah mengacara program X-Fresh TV, Whoa! dan X-presi bersama Dafi AF5 dan akan muncul dalam sebuah telemovie, Anak Merdeka terbitan MIG yang akan disiar sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 nanti.

l cinta bidang lakonan

Berkisar soalan peribadi, Lisa mengakui dia sentiasa diajukan soalan tentang siapa di hatinya kini. Jelas di wajah gadis manis ini, dia kurang bersedia berkongsi rahsia hatinya berbanding perjalanan kariernya sekarang.

“Sekarang ini tumpuan saya hanya cinta terhadap bidang lakonan. Saya masih muda lagi dan buat masa ini saya lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya ingin kerjaya saya lebih menonjol berbanding kisah peribadi dan buat masa kini, saya boleh katakan banyak benda yang perlu saya pelajari,” ungkapnya ringkas.

Serasi berlakon bersama Farid Kamil di lokasi pengambaran I’m Not Single dan hero-heroin ini kelihatan sepadan ketika menghadiri FFM 21 baru-baru ini, Lisa mengakui Farid seorang yang baik.

“Farid seorang yang berbakat. Saya bertuah dapat berlakon bersamanya dan kami bekerjasama dengan baik. Selain itu, bagi memudahkan kami menghayati watak masing-masing, kami saling berbincang,” jelasnya.

Mengakui dalam bidang ini dia perlu bersedia berhadapan dengan pelbagai gosip, Lisa lebih gemar mendiamkan diri.

“Dalam industri ini, kita tidak perlu melatah. Namun biarlah gosip itu terutamanya khabar angin tidak memalukan keluarga dan menjatuhkan maruah saya,” katanya yang gemar membaca, melayari Internet dan menonton wayang.

Utusan Malaysia

Lisa Senangi Farid Kamil

17 Jun

Oleh MOHAMAD KHAIRUL AZWAN MOHD TAJUDIN (PELATIH UiTM)


MEMULAKAN karier seni sejak usia 11 tahun, Lisa kini meniti tangga populariti menerusi dunia lakonan.

SELEPAS menempa nama menerusi drama dan telemovie, kini pemilik nama Lisa Surihani Mohmed pastinya beruntung kerana mendapat perhatian pengarah muda berbakat besar, Pierre Andre untuk membintangi filem terbaru MIG Production, I M Not Single.

Kepada yang belum mengenalinya, Lisa yang memiliki iras-iras pelakon Diana Danielle merupakan anak jati Kuala Lumpur dan masih menyambung pelajarannya di Abertwyth University, Wales, United Kingdom.

Semestinya komitmen dan usaha sangat dikehendaki di dalam bidang seni terutama masa yang diperuntukkan semasa di set penggambaran.

“Untuk Lisa, bergelar seorang pelakon, banyak perkara yang perlu dikorbankan seperti masa, tenaga dan kehidupan bersosial.

“Walaupun begitu, pelajaran masih menjadi keutamaan dan Lisa cuba untuk berkompromi dengan penerbit serta pengarah bagi memudahkan waktu kerjanya. Alhamdullilah setakat ini tawaran yang diterima hanya pada cuti semester dan tidak mengganggu waktu belajar Lisa,” katanya tersenyum yakin.

Bakatnya tidak boleh di pandang enteng. Ini kerana karier seninya bermula seawal usia 11 tahun dia melangkah setapak demi setapak melalui bidang glamor ini menerusi medium peragaan, pengacaraan dan lakonan.

“Permulaan Lisa dalam bidang ini hanya untuk suka-suka tetapi lama kelamaan ia menjadi serius apatah lagi pada masa yang sama Lisa memperoleh pendapatan hasil titik peluh sendiri,” katanya penuh teruja.

Bekas pelajar Sekolah Seri Inai, Kuala Lumpur itu bagaimanapun menegaskan keinginannya untuk bergelar seorang peguam akan direalisasikannya.

Untuk itu dia meneruskan pengajiannya dalam bidang guaman di Help College sebelum menyambung pengajian di luar negara.

Untuk rekod, Lisa yang tidak pernah lokek dengan senyuman kini berdebar menanti lakonannya dalam filem I M Not Single.

Secara peribadi dia mengakui, sangat gementar menunggu reaksi penonton.

“Lumrah bagi setiap tenaga produksi yang turut sama berasa debar menanti hasil kerja mereka di tayangkan, begitu juga dengan saya.

“Lisa harus berterima kasih kepada Piere kerana mempercayai bakat yang ada pada diri saya dan tunjuk ajarnya semasa di lokasi memberi keyakinan buat Lisa untuk mendokong watak utama sebagai Maya dalam filem ini,” katanya menyambung perbualan.

Jika dalam telemovie terakhir lakonannya, Goodbye Boys, Lisa memegang peranan pelajar sekolah, kini menerusi watak utama dalam filem I m Not Single, dia memegang karakter sebagai wanita yang terpaksa akur menerima jodoh yang diatur oleh keluarga.

“Karakter ini menuntut penghayatan emosi yang tinggi untuk membentuk karakter seorang yang manja, tegas dalam masa yang sama terperangkap dengan perasaan dalaman. Ini sangat mencabar saya.

“Mujur pasangan saya dalam filem ini, Farid Kamil yang memegang watak sebagai Adam banyak memberi tunjuk ajar dan kami selalu berkongsi idea untuk mendapatkan mood yang terbaik,” ujarnya lagi

Bercerita lanjut kolaborasinya dengan Farid, aktor tampan yang semakin popular itu, Lisa memohon selepas filem I’m Not Single ditayangkan kelak, jangan ada pihak yang cuba untuk mengaitkan mereka berdua pula.

“Jika ada babak mesra dalam filem, itu sekadar lakonan semata-mata dan sebagai pelakon mestilah profesional jangan pula di salah ertikan kerjasama yang terjalin antara kami semasa di lokasi,” kata Lisa penuh mengharap.

Menyenangi karakter Farid
Sebagai teman seperjuangan, Lisa secara jujurnya sangat menyenangi karakter Farid selain menganggap Farid seorang yang berbakat dan sangat profesional ketika di lokasi.

“Bagi Lisa, dia seorang yang mempunyai bakat. Dia hanya akan berbual bila ada keperluan selain seorang yang mempunyai idea yang banyak serta masa depan yang cerah. Lisa beruntung dapat bergandingan dengannya dalam filem ini apatah lagi dia sangat profesional,” jelasnya.

Sememangnya gadis ini petah bercakap dan sesuai dengan cita-citanya bergelar peguam. Namun satu perkara yang tidak akan dilakukannya andai diberi peluang ialah bergelar penyanyi.

“Tidak!! Lisa segan untuk menyanyi depan orang ramai. Buat masa ini belum terfikir lagi untuk menjadi penyanyi,” terangnya penuh jujur.

Lisa menjelaskan, biarpun dia sedang mendaki tangga-tangga populariti, namun itu bukan tiket untuk dia mempelbagaikan kerjaya seni tanpa berbekalkan bakat.

Mengenali pelakon muda ini, sesiap saja yang kali pertama mendekatinya sudah tentu akan tertarik dengan kesederhanaan yang ada padanya. Begitu juga kemesraannya, karakter humor yang ada pada dirinta selain seorang gadis yang cukup manja.

Lalu, tidak hairanlah kenapa banyak lelaki akan mudah cair sebaik memandang gadis berusia 22 tahun ini.

Biarpun begitu, Lisa sebetulnya masih belum dimiliki oleh mana-mana lelaki .

“Lisa bekum terfikir untuk bercinta lagi sebaliknya menjadikan pelajaran dan karier lakonan sebagai keutamaan buat masa kini,” katanya.

Utusan Malaysia