Archive | Sheila Rusly RSS feed for this section

Mulut Laser Tak Semestinya Negatif

28 Mar

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
PROGRAM hiburan yang turut menyelitkan elemen sensasi iaitu Hip TV makin mendapat perhatian penonton sejak mula ditayangkan pada setiap Isnin jam 10.30 malam di TV9 sebulan lalu.

Berbeza dengan penerbitan program hiburan sedia ada, program itu membawa kelainan dengan membincangkan sesuatu topik atau isu hiburan bersama tiga panel yang dijemput.

Biarpun ia hanya program rakaman, tetapi topik atau isu hiburan dibincangkan cukup menarik perhatian penonton yang ingin mengetahui pandangan panel secara mendalam sama ada bersetuju atau tidak dengan tajuk berkenaan. Pada siaran Isnin lalu, program ini membicarakan topik Selebriti Mulut Laser dan mengundang tiga panel iaitu Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh bersama penyampai radio Era FM, Din Beramboi dan wartawan Bintang Popular Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus.

Menampilkan Kieran sebagai pengacara latar, program ini turut menyenaraikan carta Top 5 artis tempatan yang dikategori Selebriti Mulut Laser. Menduduki tangga teratas adalah Fauziah Ahmad Daud atau Ogy diikuti Adlin Aman Ramli, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Ogy dikatakan paling mulut laser kerana berani bersuara lantang ketika mengacara program TV seperti Melodi di TV3 mahupun mengendalikan majlis anugerah. Adam berpandangan Ogy dikategori laser cili padi yang berani melontarkan kata-kata pedas dan tidak peduli dengan apa dikatakan walaupun menerusi program siaran langsung. Berbanding empat selebriti dalam kategori ini, Ogy pernah mencatat sejarah sendiri apabila berhadapan dengan kes disaman selebriti lain di mahkamah.

“Dia bercakap secara ketelusan hati hingga ada ketika tidak fikir implikasi kepada kata-katanya. Namun, saya percaya selebriti seperti Ogy menjadi laser kerana berdasarkan pengalaman yang ada padanya,” katanya.

Din juga mengakui Ogy bermulut laser tidak kira tempat hingga di set rakaman atau penggambaran, dia berani mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan orang lain.

Sungguhpun begitu, sikapnya itu menampakkan dia seorang yang ikhlas dan jujur dalam menyatakan pandangan. Zubir turut bersetuju mengatakan Ogy adalah individu berterus terang walaupun dia sebenarnya mempunyai hati yang baik.

Pandangan mengenai Adlin pula, selebriti ini sering menarik perhatian khalayak terutama ketika menjadi juri program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Jika Ogy dikategori laser cili padi, Adam pula menggelar Adlin sebagai laser buta tuli. Kata Adam, Adlin mengkritik mengikut cara dan pandangan sendiri tanpa dipengaruhi orang lain mahupun pandangan peminat di belakangnya.

“Ketika dia memberi komen, peminat sudah bertempik tidak berpuas hati dan ini boleh membuatkan pengkritik terpengaruh dengan ejekan peminat. Sebaliknya, dia bersikap buta tuli ketika memberi kritikan. Walaupun dia dikatakan mulut laser, tetapi atas sebab itu, ia memahat namanya dalam persada hiburan tempatan,” katanya.

 

 

Din tidak menafikan Adlin masih bermulut laser sejak mula berkecimpung dalam bidang hiburan hingga popular sebagai pengkritik AF.

Katanya, Adlin juga seperti Ogy yang bersikap jujur meluahkan pandangan secara tulus. Bagaimanapun, dia masih boleh menerima kritikan orang lain dan berhati baik. Zubir berpendapat apa yang diluahkan Adlin berdasarkan fakta dan bukan cakap kosong.

“Dia mahu pelajar yang dikritik boleh berubah dan memberi persembahan terbaik pada masa akan datang. Namun, tidak semua kritikan dia boleh diterima khalayak secara terbuka. Sebagai manusia, tidak semua sempurna dan walaupun sudah buat terbaik, masih ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.

Sheila Rusly yang menduduki tangga ketiga dikatakan mulut laser selepas menjadi selebriti bertaraf senior. Adam sebaliknya tidak melihat Sheila dikategori laser 100 peratus kerana dia hanya menampakkan sikap laser ketika berlaku perselisihan faham dengan selebriti lain. Kata Adam, andai Sheila diberi peluang pihak tertentu untuk menjadi juri program realiti, ia mampu menjadi pengukur sejauh mana Sheila bermulut laser.

“Setakat ini, apa yang saya nampak dia lebih mengupas sesuatu isu, tetapi kelantangan ketika bercakap secara spontan membuatkan dia juga dikatakan mulut laser,” katanya.

Bagi Zubir, dia berpandangan sikap seperti Sheila yang terlalu menghayati watak hitam dalam lakonan boleh mempengaruhi sikap dalam kehidupan sebenar. Sheila suka menyatakan perasaan suka atau tidak secara terangan walaupun sikapnya itu tidak disukai segelintir selebriti lain. Din pula mengakui Sheila bermulut laser kerana sikap yang ditunjukkan.

“Dia sebenarnya menghormati orang lain cuma apabila timbul soal senioriti di set penggambaran, dia suka mengarah orang lain. Ketika itu, dia terlupa perasaan orang yang mungkin terguris akibat sikapnya,” katanya.

Mengenai Raja Azura, dia dikatakan mulut laser apabila berhadapan kontroversi dengan artis dan kru belakang tabir. Adam menggelarkan selebriti ini laser secara berhemah atau berpada-pada kerana apa yang dilontarkan berlapik dan disampaikan secara sinis.

“Apabila berlaku kes serang-menyerang antara selebriti, mereka ini secara tidak langsung dilabel bermulut laser. Saya sendiri hormati dia dan Sheila Rusly menyerang secara profesional dengan meluahkan emosi serta pendapat tidak secara realiti iaitu menyerang secara fizikal,” katanya.

Din berpandangan Raja Azura bukan selebriti yang cerewet, tetapi apa yang diucapkan memberikan kesan kepada orang lain. Zubir mengaitkan selebriti ini dengan sikap pengacara yang perlu bermulut laser untuk menarik perhatian penonton. Biarpun dicop sedemikian, selebriti ini tetap mencipta identiti sendiri.

Komposer Roslan Aziz tidak terkecuali dikatakan bermulut laser terutama ketika menjadi juri program realiti Malaysian Idol sebelum ini. Adam berpandangan Roslan menyampaikan laser berisi di samping mencipta personaliti sendiri.

“Mulut laser lelaki seperti Roslan sering berfikir berulang kali sebelum melontarkan pandangan. Dia terlebih dulu berfikir sebelum ‘tembak’. Saya fikir, jika mereka yang dikritik cepat terasa emosi, orang itu tidak akan dapat ilmu untuk belajar,” katanya.

Din berpandangan Roslan mempunyai sikap yang serius dan kelakar. Namun, ada kata-katanya tidak disenangi orang lain apabila dia bertegas. Katanya, mungkin teguran Roslan dilihat kasar kerana ia disampaikan menerusi kata-kata.

Zubir berkata Roslan dilabel sedemikian kerana atas faktor mendidik. Melalui tanggungjawab menerusi program realiti yang dikendalikannya sebelum ini, dia perlu mendidik secara tegas demi kebaikan pelajar yang menerima bimbingannya.

1. PANDANGAN…Adam menyatakan pandangan mengenai topik Selebriti Mulut Laser di Hip TV baru-baru ini.

2. DIN…selebriti bermulut laser menunjukkan sikap yang ikhlas dan jujur.

3. OGY…berani melontarkan perkataan ‘pedas’ dalam program siaran langsung.

4. ADLIN…kritik mengikut pandangan sendiri.

5. SHEILA…dikatakan bermulut laser selepas berselisih faham dengan selebriti lain.

6. RAJA AZURA…dikatakan bercakap secara berlapik, tetapi sinis.

7. ROSLAN…mempunyai sifat yang serius dan kelakar.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Advertisements

Hip TV Lebih Berani

26 Feb

>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.

Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.

Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.

Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.

Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.

“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.

“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.

“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.

“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.

Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.

Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.

“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.

“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.

Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.

Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.

Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.

Harian Metro

Jawapan Erry

5 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK dinafikan drama bersiri Manjalara memberi impak besar kepada kerjaya seni pelakon berbakat, Erry Putra. Ramai mula membuka mata dengan lakonannya yang berkesan sebagai Joffri yang juga watak jahat dalam cerita itu.

Namun, seperti artis lain, Erry atau nama sebenarnya, Eirey Syafiq @ Razlan Hamzah, 28, yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan nampaknya tidak terlepas menjadi sasaran gosip dan kontroversi, sejak berkecimpung sebagai anak seni.

Antara gosip yang dikaitkan dengannya ialah mengaku rumah orang lain sebagai kediamannya sendiri ketika sesi fotografi dan terbaru membuat perubahan pada wajahnya di bahagian hidung dan dagu untuk tampil lebih kacak dan bergaya.

Ketika sesi fotografi Rap bersama Erry, baru-baru ini, pelakon ini tidak keberatan menceritakan perkara sebenar untuk membetulkan gosip yang heboh diperkatakan peminat mengenai dirinya.

“Cerita itu bermula apabila ada wartawan yang berminat untuk buat cerita saya dalam ruangan artis dan rumah. Apabila saya beritahu rumah yang saya beli di Seri Petaling masih dalam proses pengubahsuaian, kawan baik yang sudah dianggap seperti kakak angkat pula menawarkan rumahnya untuk menjayakan fotografi itu.

“Dia juga tidak kisah saya menggunakan kediamannya itu kerana memang sifatnya suka menolong orang sebelum ini. Wartawan yang membuat liputan itu juga tahu mengenai perkara sebenar kerana kami sudah putuskan atas persetujuan saya dan kawan baik itu.

“Tapi saya tidak sangka pula akhirnya akan timbul gosip seperti itu. Bagi saya, ia cerita lama yang berlaku dua tahun lalu.

“Apapun, perkara itu sudah berlaku. Ia mungkin salah faham saja dan saya tidak ingin memperbesarkan cerita ini lagi. Saya akui serik untuk buat sesi fotografi di rumah orang lain selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Erry juga menafikan dia membuat pembedahan kosmetik atau suntikan botox untuk mengubah wajahnya.

Akui Erry, apa yang dilakukannya cuma membuat suntikan vitamin C dan pil untuk memutihkan kulitnya yang agak gelap.

“Kawan baik saya juga pakar kecantikan dan saya juga mengambil suntikan vitamin C dan pil pemutih kulit itu dari pusat rawatan kecantikannya.

“Sebenarnya, kulit saya pada asalnya memang putih tapi berubah gelap, sejak menyertai Royal Military College (RMC) selama empat tahun.

“Sebagai artis, apa salahnya, saya mementingkan penjagaan paras rupa dan kesihatan. Asalkan produk digunakan itu tidak memudaratkan tubuh badan. Saya percaya ramai artis lain buat perkara sama,” katanya.

Justeru, kata Erry, sejak insiden itu, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menguruskan kerjaya seninya berbanding orang luar. Pada sesi fotografi itu, dia ditemani pengurus yang juga anak saudaranya, Akmal Ahmad.

“Apa-apa hal pun, biarlah saya bergantung pada keluarga sendiri daripada orang lain kerana baik buruk pun biarlah bersama keluarga kita sendiri dan tidak membabitkan orang lain.

“Saya juga tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan artis kerana selesa bergerak sendiri ketika ini,” katanya.

Kini, Erry mengakui dia sudah jatuh cinta pada bidang lakonan. Katanya, dia masih ingat teguran Sheila Rusly yang bertanya apakah matlamatnya dalam bidang lakonan. Begitu juga dengan pelakon Rosyam Nor yang pernah bertanya mana satu yang ingin dia kejar, lakonan atau nyanyian ketika menawarkan Erry berlakon di bawah produksinya.

“Sebenarnya, saya ingin fokus pada kedua-dua cabang seni ini. Misi saya juga ingin dikenali sebagai pelakon berkarakter seperti idola saya, Sheila, Rosyam, Datuk Jalaluddin Hassan dan Nasir Bilal Khan. Saya mengagumi pelakon lama kerana pelakon baru berlagak diva apabila popular,” katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya pula, kata Erry, dia terbabit dengan penggambaran telefilem Kasih Berbunga Lalang arahan Azmi Hatta untuk siaran RTM. Drama ini turut dibintangi Elly Mazlein, Nasir Bilal Khan, Didie Alias, Norlia Ghani dan Fadilah Mansor. Erry bawa watak Nordin yang terbabit dalam kisah cinta tiga segi.

Selain itu, dia juga bakal terbabit dalam penggambaran filem terbarunya, Bunian bermula 1 Februari nanti.

Drama lain lakonannya ialah siri 26 episod Saka, siri 26 episod Dendam, siri 60 episod Sutera Maya, siri 26 episod Rindu Berbisik dan Sepi Itu Jiwa.

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Boyz ‘R’ Us ini juga mempertaruhkan dua singlenya yang juga lagu tema drama Sutera Maya, Cintamu (Zimi Sofaz/lirik Aiman 2 By 2) dan Izinkan Aku (Zul 2 By 2) dan lirik, Erry sendiri.

“Saya terima undangan persembahan apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama. Maklumlah, ketika berlakon Sutera Maya dulu, selama empat bulan juga saya berkampung di lokasi.

“Penyanyi Roslan Shah banyak membantu memperkenalkan saya dengan penganjur persembahan di serata tanah air termasuk Singapura. Selain berlakon, saya juga cari makan dengan menyanyi. Saya bukan saja menyanyi lagu sendiri, malah lagu penyanyi lain termasuk lagu dangdut.

“Selain itu, material untuk album solo juga sudah ada cuma saya tunggu masa untuk keluarkan album penuh. Saya memutuskan untuk bergerak solo kerana turut terbabit dalam bidang lakonan,” katanya.

Selepas menjayakan persembahan di gerai My TV3 di Jomheboh Melaka, Erry juga memeriahkan ‘booth’ Harian Metro sempena karnival Jomheboh di Stadium Utama, Kangar, Perlis pada 3 dan 4 Mei lalu. Dia juga menyampaikan beberapa lagu seperti Izinkan Aku, Cintaku, Lagu Cinta Lagu Jiwa dan Naluri Lelaki.

Mengenai teman istimewa, Erry yang pernah beberapa kali putus cinta mengakui, kini, dia berkawan rapat dengan seseorang.

“Sebenarnya, ibu bapa ingin saya mencari calon isteri di kalangan orang biasa saja dan bukan artis. Saya pula tidak kisah soal itu. Maaflah, saya tidak boleh dedahkan identiti teman saya itu buat masa ini. Tapi, saya akan berkahwin bila sudah berjumpa calon tepat,” katanya.

Profil

NAMA PENUH: Eirey Shafiq @ Razlan Hamzah

ASAL: Pengkalan Chepa, Kelantan

AKADEMIK: Royal Military College

KERJAYA: Penyanyi dan pelakon

STATUS: Bujang

ALBUM: Kasih Ku Abadi (Boyz ‘R’ Us)

SINGLE: Izinkan Aku dan Cintaku

DRAMA: Siri 26 episod Rindu Berbisik, Rinduku Semerbak Kayu Manis, Sepi Itu Jiwa, siri 26 episod Manjalara, siri 26 episod Saka, siri 26 episod Dendam; siri 60 episod, Sutera Maya, Sepi Itu Jiwa

FILEM: Bicara Hati arahan Rosnani Jamil, Selamat Pagi Cinta, eee….Hantu

Harian Metro

SOSEH SOSEH: Penonton Bengang Pelakon ‘Over’

31 Dec

Rap
BUKAN sekali dua penghasilan drama atau filem daripada produksi tempatan yang mengetengahkan loghat daerah negeri tertentu menjadi tumpuan. Kebanyakan yang dihasilkan pasti mempunyai tarikan sama ada pertuturan, gaya dan corak persembahan pelakonnya.

SS perhatikan drama sebegini sentiasa mendapat perhatian sama ada penonton dari negeri berkenaan atau sebaliknya. Malah, perkembangan positif juga dapat dilihat selepas ditayangkan di layar perak atau televisyen menerusi drama bersiri.

Perkara sama turut dilalui drama terbitan JS Pictures, Ta’in yang mengetengahkan loghat negeri Perak dalam siri yang disiarkan di TV3, setiap malam Ahad.

SS difahamkan, ada penonton dari negeri itu marah dan tidak puas hati dengan lakonan teraju utamanya yang disifatkan menampilkan gaya yang agak melampau.

Mereka yang mengakui peminat setia siri itu memuji tindakan produksi milik Sheila Rusly menggunakan lokasi penggambaran di Parit, Perak dan tidak kurang juga apabila memaklumkan siri berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri.

Tapi katanya, dia kecewa melihat gelagat dan watak Kak Bab yang dilakonkan Shiela. Gaya percakapan dengan gerak mulut yang herut-berut (kata orang perak) seperti dibuat-buat.

Peminat itu juga menyatakan kekeliruannya dengan loghat perak yang ditampilkan Fauziah Nawi, Kaza dan Wahid Senario sebagai Tain.

Malah, dalam surat yang dikirimkan peminat itu berharap mana-mana penerbit atau produksi tempatan yang ingin mengetengahkan loghat dari mana-mana negeri sekali pun, biarlah berpada-pada.

Dia turut mencadangkan supaya penerbit atau produksi tempatan membuat kajian dan bertanya kepada masyarakat tempatan supaya tidak nanti orang tidak getik (benci) menontonnya.

Pada SS, apa saja drama atau filem yang diketengahkan produksi tempatan pasti mempunyai mesej dan pengajaran tersendiri. Begitupun cara, penyampaiannya berbeza bergantung kepada pengarah, pelakon dan produksi itu sendiri.

Harian Metro

Tragedi Cinta 2008

29 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ISU pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan (SRK) oleh kerajaan negeri Melaka, mendahului carta kontroversi dunia hiburan sepanjang 2008.

Ia dinilai berdasarkan beberapa aspek, khususnya penganugerahan ini membangkitkan sensitiviti di kalangan masyarakat umum dan juga penggiat seni tanah air kerana melihat pemberian itu sebagai memperkecilkan sumbangan anak seni tempatan dalam menjana pembangunan industri hiburan.

Mereka juga mempersoalkan apakah sumbangan SRK dalam membangunkan industri hiburan serta perkembangan ekonomi negara? Rasa tidak puas hati ini disuarakan karyawan seni melalui sidang media tergempar Persatuan Seniman Malaysia.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof menggesa kerajaan negeri membuat penilaian sebaik mungkin sebelum mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Bagaimanapun, pada 6 Disember lalu, SRK menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena ulang tahun ke-70, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Melaka.

Selain itu, kemelut rumah tangga pelakon popular, Arbaeyah Abdul Manan (AbbY Abadi), 30, dan suaminya Mohamed Norhakim Zaidon (Norman), 32, tidak kurang hebatnya sehingga dilaporkan media hampir sebulan.

Pergolakan rumah tangga Abby dan Norman sudah lama diperkatakan dan hubungan mereka berantakan gara-gara kehadiran orang ketiga yang dipercayai pelakon muda, Suhaiza Suhaimi (Memey). Norman juga dilaporkan tidak pulang ke rumah lebih sebulan sejak Aidilfitri lalu dan juga dikatakan berkahwin secara rahsia dengan Memey.

Bagaimanapun, Norman menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Memey, apatah lagi berkahwin hingga meminta media tunjukkan bukti. Namun, kebenaran terungkai apabila pada 30 Oktober, jam 3 pagi, Norman dicekup pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor.

Rentetan kes itu, Abby mengambil tindakan menfailkan cerai pada 3 November lalu. Bagaimanapun, berlaku sedikit masalah hingga Abby mengambil tindakan mencari Norman di lokasi Gerak Khas untuk mendapatkan kerjasamanya memberi maklumat lanjut butir-butir dalam borang permohonannya.

Sebelum ini, Norman dan Abby pernah bercerai pada Mei 2006 gara-gara dikatakan wujudnya ‘orang ketiga’ tetapi rujuk semula dalam tempoh waktu yang singkat atas alasan kasih sayang antara mereka masih kuat.

Bagaimanapun kali ini, Abby nekad dan akhirnya Norman melafazkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, 18 Disember lalu.

Satu lagi kisah perceraian menyayat hati membabitkan pelakon sitkom Puteri yang cantik jelita, Nora Mohd Danish Hanif, 26, diceraikan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 33, ketika hamil tiga bulan.

Mahkamah pada 12 Ogos lalu memutuskan lafaz cerai yang dibuat Rizal dalam keadaan sedar sebanyak dua kali menerusi telefon sekitar Februari dan 17 Jun lalu adalah sah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dianggap ‘loving couple’ di kalangan teman rapat.

Sementara itu, Fasha Sandha yang dikatakan punca kepada keretakan rumah tangga Nora Danish, dipulaukan pihak media gara-gara sikapnya yang tidak menghormati pihak media dengan melemparkan kata-kata kesat kepada wartawan.

2008 boleh dianggap zaman suram bagi pelakon yang muncul dengan filem terbaru, Cicakman 2 itu kerana ‘direhatkan’ daripada sebarang publisiti di media cetak dan elektronik sejak Julai lalu dan dijangka berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Kes penceraian membabitkan artis sepanjang 2008 adalah yang terburuk kerana boleh dikatakan ia berlaku setiap bulan dan jumlahnya amat membimbangkan.

Terdapat juga beberapa kes yang masih dibicarakan misalnya Beego, Radhi OAG, Aziz M Osman serta pasangan Erema dan Seri Bayu.

Sementara sah bercerai, Farah Ashikin, Norish Karman, Siti Fairuz, Leina Hangat, Cham VE, Anis Suraya, Emma Akma, Noraniza Idris, Bell Ngasri dan Abby Abadi.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi, Azharina mengejutkan peminat hiburan kerana selepas membuat pengakuan dia isteri ketiga kepada peguam, Datuk Shukri, seminggu selepas itu mengumumkan dirinya sedang dalam edah.

Beberapa isu kontroversi turut disenaraikan

Rita dan Aidil Zafuan kahwin senyap-senyap

SEPULUH bulan melayari alam rumah tangga, akhirnya perkahwinan rahsia di antara pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, terbongkar selepas ayah dan ibu Zafuan tampil membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban.

Pada majlis itu, mereka mendedahkan Aidil Zafuan dan Rita berkahwin secara rahsia dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Bagaimanapun, Aidil sudahpun pulang ke pangkuan ayah dan ibunya untuk memohon maaf, sekali gus menjelaskan dari hati ke hati apa yang berlaku selepas dilaporkan menyorokkan perkahwinannya dengan Rita di Selatan Thailand, pada 25 Februari lalu.

Pasangan ini juga dikhabarkan dengan berita gembira apabila Rita disahkan mengandung dua bulan setengah.

Faizal Tahir

JANUARI 2008, pastinya menjadi pengajaran yang cukup berharga buat Faizal Tahir sepanjang bergelar anak seni. Semuanya gara-gara insiden membuka baju yang dilakukannya ketika persembahan sempena konsert ulang tahun 8TV pada 13 Januari lalu.

Sebagai hukuman, Faizal dilarang muncul daripada sebarang rancangan televisyen semua stesen penyiaran selama tiga bulan bermula 15 Januari. Tidak hanya Faizal, pihak 8TV juga tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Selama tempoh itu, 8TV tidak boleh menyiarkan sebarang rancangan secara langsung, semuanya perlu dirakam termasuk One In A Million.

Insiden buka baju yang menampakkan simbol ‘S’ itu menyebabkan dua lagunya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta yang mara ke Anugerah Juara Lagu 22 disampaikan penyanyi lain iaitu Fiq Mentor dan Bob.

Pierre Andre dan cinta khayalannya

SELEPAS berpisah dengan teman wanitanya yang juga pengarah/pelakon Norliana Samsudin, Pierre Andre dikaitkan dengan beberapa rakan artis jelita, antaranya Fasha Sandha dan Julia Ziegler.

Bagaimanapun, pengarah muda ini dikatakan pula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bernama Maya Darina Dahlan Hain.

Tidak lama selepas tersebarnya berita itu, Maya Darina dikatakan pula hanyalah kekasih khayalan Pierre atau yang lebih tepatnya, Pierre dipercayai dibomohkan Maya yang juga dikenali melalui nama samaran Melia dan Molie.

Siasatan media mendapati Pierre bukan mangsa pertama Maya yang dipercayai watak rekaan Elie, bekas pekerja Metrowealth Movies Production. Sebelum ini, Faizal Tahir dan Farid Kamil juga pernah ditipunya.

Sekian lama mendiamkan diri, Pierre akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai kontroversi perhubungannya dengan Maya kepada pihak media.

Pierre menafikan dirinya ‘sakit’ atau bercinta dengan Maya yang tidak pernah ditemui. Mereka sekadar berhubungan melalui telefon dan itupun untuk berbincang mengenai kerja. Semua cerita yang tersebar sebelum ini, katanya adalah karut.

Isu Maya Darina juga dikatakan menjejaskan tumpuannya terhadap penggambaran Jangan Tegur, bahkan hubungannya dengan penerbit Metrowealth, David Teo juga dingin mutakhir ini.

Azwan Ali bermusuh dengan Ifa Raziah

SELEPAS dikatakan bermasan muka dengan pelakon dan produser, Sheila Rusly, tahun lalu, pengacara terkenal Azwan Ali kini bermusuhan pula dengan sahabat baiknya, Ifa Raziah.

Semuanya gara-gara Azwan tidak membenarkan Ifa menumpang biliknya sewaktu menghadiri upacara Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2007. Tindakan Azwan itu cukup melukakan hati Ifa hingga rasa terkilan itu disuarakan kepada pihak media.

Pelbagai kenyataan diberikan kedua-dua pihak, namun tidak menampakkan sebarang tanda akan berdamai.

Video lucah Ida Nerina

INDUSTRI hiburan tempatan dikejutkan dengan video rakaman lucah yang dikatakan membabitkan dua pelakon ternama negara, Ida Nerina dan Fauzi Nawawi.

Kedua-duanya menafikan yang dua individu di dalam klip itu adalah mereka.

Zarina An-Julie

SELEPAS tersebar gambar separuh bogelnya dengan seorang jejaka awal tahun ini, pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie sekali lagi menggemparkan persada hiburan dengan fotonya berbikini dan mengghairahkan sewaktu menghadiri satu ‘parti’ di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Gambar yang mendedahkan sebahagian dadanya itu tersebar luas di Internet sehingga mendesak Zarina membuat pengakuan, sekali gus memohon maaf di atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, Zarina menafikan gambar separuh bogel yang membabitkannya dengan seorang pemuda sebagai teknik ‘super impose’.

Linda dan Fahrin

SERING mengaku teman tapi mesra, namun apabila hubungan berakhir awal tahun ini, penyampai Sinar FM, Linda Onn dan aktor kacak, Fahrin Ahmad bagaikan menjadi musuh ketat.

Keadaan ini sudah cukup menjelaskan hubungan mereka sebelum ini lebih daripada sebuah persahabatan atau erti kata lain mereka sebenarnya bercinta. Linda khususnya, dikatakan sering menyindir Fahrin melalui blognya sehingga mencalar imej dan maruah pemuda itu.

Sengketa mereka bertambah parah sejak disatukan semula mengendalikan program Sehati Berdansa. Berlaku satu kejadian memalukan apabila Linda ditengking Fahrin ketika raptai Sehati Berdansa minggu keempat.

Harian Metro

Macam-Macam Ada – Jalan Masjid India Umpama Lokasi Wajib Buat Persiapan Raya

12 Sep

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI


RAMBANG MATA…

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Ramadan sudah melewati hari kesepuluh dan bahang Syawal kini semakin terasa. Warga kota juga sudah mulai sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran yang dinanti-nantikan itu.

Bagi golongan ibu bapa, persiapan untuk menyambut Aidilfitri perlu dibuat awal bagi mengelak keadaan menjadi kelam-kabut dan sibuk menjelang minggu terakhir Ramadan.

Persiapan awal juga akan membolehkan ibu bapa melayan kerenah anak-anak terutama yang meningkat remaja, yang semakin memilih dalam membeli pakaian.

Walaupun terpaksa berdepan kenaikan harga minyak, namun persiapan Aidilfitri tetap perlu dibuat dan berjimat-cermat adalah kaedah terbaik melakukannya.

Salah satu lokasi yang menjadi kemestian kepada warga kota dalam membuat persiapan menyambut Syawal ialah Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya termasuk Lorong Tuanku Abdul Rahman.

Setiap tahun, seawal hari pertama Ramadan, Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya akan ‘ditawan’ oleh peniaga-peniaga gerai sementara yang menawarkan pelbagai barangan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke situ baru-baru ini mendapati deretan kedai dan gerai sementara sudah mula menawarkan pelbagai koleksi baju untuk kanak-kanak, wanita dan lelaki bagi menyambut Hari Raya tidak lama lagi.

Pelbagai jenis fabrik dan corak ditawarkan untuk mencuri perhatian orang ramai supaya singgah di gerai mereka.

Para pembeli terutama kaum wanita pasti rambang mata dengan kecantikan corak yang ditawarkan di samping harga yang berpatutan.

Rata-rata kedai pakaian yang dikunjungi Utusan Malaysia di Jalan Masjid India menghimpunkan koleksi terbaru untuk menyambut hari raya kali ini.

Pelbagai nama turut diberikan pada pakaian yang dijual itu untuk menarik minat orang ramai supaya membeli baju atau pun kain yang terdapat di kedai mereka.

Antara nama yang diberikan adalah shantung kain tenun, kain siang malam, kain angkasawan dan pelbagai lagi jenis baju yang pasti menepati cita rasa para pengunjung.

“Kedai kami memastikan semua baju adalah trend dan koleksi yang terkini untuk para pelanggan kami yang singgah di sini.

“Pelanggan tetap yang datang ke kedai kami juga sudah tahu yang kami akan menyediakan koleksi yang terbaru untuk mereka,” kata seorang peniaga, Syafrida Sharul, 28.

Dia berkata, pada tahun ini, baju kurung Pahang menjadi ikutan serta trend masa kini di kalangan para pengunjung ke kedainya.

“Bukan sahaja baju siap wanita kami jual, bahkan kami juga menjual baju Melayu siap untuk lelaki. Antaranya ialah menggunakan kain satin milenium yang menjadi pilihan ramai,” katanya.

Syafrida berkata, harga baju bagi lelaki ialah antara RM155 hingga RM250 sepasang manakala harga pakaian siap bagi wanita dan kanak-kanak adalah dari RM69 hingga RM250,” katanya sambil menunjukkan baju yang menjadi trend masa kini.

Bukan sahaja baju jadi pilihan, tudung juga menjadi ‘kegilaan’ wanita dalam membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Pelbagai jenis corak dan nama juga diberikan sehingga ada pengunjung yang tersenyum mendengar nama-nama tudung tersebut.

Tudung air mata, tudung manjalara, tudung Menara KLCC bahkan pelakon, Sheila Rusly, juga dinamakan pada tudung yang dijual di Jalan Masjid India.

Bukan itu sahaja, tudung dari Indonesia yang dinamakan Azzura juga menjadi pilihan di kalangan wanita kerana konsep pemakaiannya yang mudah, murah serta cantik.

Seorang peniaga, Asnawati Mukthar, 45, berkata, kebanyakan tudung yang dijual di kedainya datang dari Indonesia kerana ia menjadi pilihan ramai berikutan reka bentuknya yang mudah tetapi cantik.

Dia yang sudah berniaga sejak 15 tahun lalu berkata, rata-rata tudung yang dijual olehnya berharga antara RM5 hingga RM45 sehelai.

Seorang lagi peniaga, Norsyazwani Yacob, 21, turut menawarkan pelbagai jenis tudung kepada orang ramai yang bekalannya di peroleh dari Rantau Panjang, Kelantan.

“Harga tudung selalunya bergantung pada corak dan juga hiasan yang ada pada tudung tersebut.

“Makin banyak hiasan yang digunakan, makin mahal harga tudung tersebut,” katanya sambil melayan pelanggan yang tidak putus-putus datang ke kedainya.

Selain pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu serta tudung, Jalan Masjid India turut menyediakan pelbagai barangan lain untuk persiapan menyambut Hari Raya.

Kuih-muih terutama biskut moden, aksesori pakaian seperti butang baju Melayu dan kerongsang, pakaian moden seperti jeans, bunga hiasan, malah kain langsir juga boleh diperoleh dengan mudah di sini.

Persoalannya ialah sama ada pengunjung ‘larat’ untuk berjalan dari hujung ke hujung sambil meredah lautan manusia untuk mendapatkan baju atau persiapan lain yang berkenan di hati.

Utusan Malaysia

Istimewa Ramadan Di RTM

31 Aug


USTAZ Akhil Hai tetamu undangan Selera Ramadan MM Vitaoils.z

DALAM usaha untuk mengimarahkan Ramadan, RTM telah menyusun pelbagai program menarik khas untuk penonton setianya.

Ini termasuk pelbagai program berbentuk majalah dan dokumentari untuk tatapan penonton antaranya Syahadah 4 serta program masakan seperti Selera Ramadan MM Vitaoils dan Ketuk-Ketuk Ramadan bersama Sheila Rusly dan artis undangan.

Meneruskan kejayaan lalu, Syahadah 4 kali ini membawa para penonton mendekati perkembangan agama dan umat Islam di negara-negara Balkan serta Eropah seperti Sepanyol, Turki, Bosnia Herzegovina, Croatia, Slovenia, Greece, Albania, Kosovo, Romania dan Itali.

Tampil dengan tema Satu Lafaz Berbeza Resam, program terbitan Ibrahim Hj. Ismail, Syazariah Majidi dan Zulkefli Mohd disiarkan dalam dua versi Bahasa Melayu dan Inggeris.

Bersiaran pada setiap hari sepanjang Ramadan, pada pukul 6.35 petang di RTM 1 dalam versi Bahasa Melayu, versi Bahasa Inggeris pula ditayangkan di RTM2 pada pukul 4.30 petang, setiap Isnin hingga Jumaat manakala hari Sabtu dan Ahad, program tersebut akan bersiaran pada pukul 5.00 petang.

Sementara Selera Ramadan MM Vitaoils yang memulakan siarannya pada 1 September ini (esok) merupakan program masakan yang sesuai disediakan untuk hidangan bersahur dan berbuka puasa.

Disiarkan setiap Isnin hingga Ahad, pukul 5.00 pagi di RTM1 serta siaran ulangannya pada setiap hari Isnin hingga Ahad, pukul 12.30 tengah hari di RTM1, ia turut menampilkan tetamu undangan memberikan motivasi kepada penonton.

Terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd., program ini menekankan resipi masakan yang menggunakan produk-produk berkualiti MM Vitaoils.

Menariknya, ia turut diwarnai kuliah Ramadan, panduan dan nasihat agama yang bakal disampaikan oleh barisan pendakwah dan pakar motivasi terkenal tempatan.

Antara tetamu undangan yang ditampilkan termasuk Ustaz Wan Shohor Bani Leman, Ustaz Zawawi Yusoh, Ustaz Akhil Haji Abdul Hai, Prof. Dr. Izuddin Haji Ali, Dr. HM Tuah Iskandar dan Hushim Salleh.

Selera Ramadan MM Vitaoils yang bersiaran untuk 30 episod mengutarakan dua resipi berasaskan minyak sawit yang menggunakan produk MM Vitaoils seperti Marvelloso, Blossommm, Rise and Shine, Shortening Qualitaste, Palmas dan Serimas.

Sajian masakan yang diketengahkan oleh Chef Selebriti Norzailina Nordin sangat bersesuaian dengan selera umat Islam sepanjang bulan Ramadan ini. Bukan hanya sajian Melayu, bahkan penonton juga boleh mempelajari sajian barat, timur tengah ataupun masakan Cina dan India.

Antara resipi menarik yang dikongsi bersama penonton antaranya Paf Pir & Burger Sayuran, Kastard Nanes dan Sup Bawang Perancis, Binka Keju dan Mi Pankek, Bingka Jagung dan Daging Masak Prun, Mousse Coklat dan Spageti Olio, Cucur Durian dan dihidangkan bersama Tuna Moussaka juga Spageti Sos Keju dan Browines.

Menjelang hari raya, resipinya lebih istimewa dengan menghidangkan Biskut Teh Hijau dan Kek Keju Rise and Shine juga Kek Lebaran dan Bistis Idaman.

Sepanjang Ramadan juga, RTM menyiarkan variasi hidangan berbuka puasa puasa ringkas lagi lazat yang disajikan oleh artis-artis tanahair.

Berkongsi rahsia masakan bersama artis dalam Ketuk-Ketuk Ramadan bersama Sheila Rusly, program tersebut akan mula bersiaran 1 September ini sepanjang Isnin hingga Ahad manerusi RTM1.

Menampilkan Sheila Rusly sebagai hos, 28 artis terlibat menghidangkan makanan istimewa pilihan mereka untuk sajian berbuka puasa.

Bukan sahaja berkongsi rahsia masakan, penonton juga berkesempatan berkenalan dengan kaum keluarga artis yang diundang yang turut sama menyerikan program masakan terbitan Js Pictures itu.

Antara artis yang terlibat adalah Amyza Adnan, Umie Aida, Azharina Azhar, Ropi Cecupak, Farid Kamil, Jehan Miskin, Zizan Nin, Ferhad, Aziz M Osman, Melissa Saila, Mila, Dafi, Khatijah Tan, Sazzy Falak, Aizat, Fahrin, Abby Abadi, Que Haidar, Emelda Rosmila, Adlin Aman Ramlie, Mustapha Kamal, Nabila, Rosnah Mat Aris, Fiz Fairuz, Fauziah Ghaous, Amy Search, Nabil dan Nora.

Berlokasikan di kawasan terbuka seperti Taman Tasik Titiwangsa, Masjid India, Tanamera Sungai Buloh, Petronas Ampang, UO Supermarket Galaxy Taman Dagang, Tropikana Golf & Country Club, Pasar Tani Taman Melawati, Sungai Besar Selangor, Kampung Sungai Limau Sungai Besar, Kampung Melayu Ampang, Ulu Yam, Bukit Meringin Kajang, Air Terjun Alang Sedayu dan Pasar. Antara resipi masakan istimewa yang disajikan daripada 60 hidangan lazat tahun ini antaranya seperti Ayam BBQ Rempit, Sambal Goreng XX Ray, Cucur Udang Bila Mila Cinta, Cucur Sukun dan Ayam Kuzi.

Utusan Malaysia