Archive | Zed Zaidi RSS feed for this section

Info TV: Drama Bersiri Terbaik Daripada TV3 Bulan Ini

5 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.

Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.

Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.

Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.

Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.

Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?

Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.

Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.

Berita Harian

Karnival Jomheboh Menutup Tirai

31 Dec

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ACARA sambutan hari jadi membabitkan kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Lambaian Kasih Sungai
Penchala diadakan di gerai Kids & Teen.

KARNIVAL Jomheboh anjuran TV3 menutup tirai penganjurannya pada 2008 dengan berlangsungnya karnival terakhir di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Disember lalu.

Sebelum ini, karnival itu ke Melaka pada 5 dan 6 April, Perlis (3 dan 4 Mei), Bukit Jalil (31 Mei dan 1 Jun), Johor (5 dan 6 Julai), Pahang (2 dan 3 Ogos), Sarawak (25 dan 26 Oktober) dan Pulau Pinang (22 dan 23 November).

Karnival yang memasuki tahun keenam tetap mendapat sambutan hangat orang ramai dan sebagai penutup tirai, Bukit Jalil sekali lagi dipilih sebagai lokasi terakhir.

Berkonsepkan rekreasi dan riadah, karnival berkenaan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehinggalah golongan warga emas. Selain menyertai aktiviti yang dijalankan di karnival, pengunjung turut berpeluang mengenali stesen TV3 dan stesen lain di bawah Media Prima dengan lebih dekat.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival di Bukit Jalil ialah peraduan mewarna dan sambutan hari jadi di gerai Kids & Teen, sesi ramah-mesra bersama pelakon Akasia & Lagenda, sesi ramah-mesra bersama pengacara Wanita Hari Ini dan Nona di gerai Women@TV3 serta sesi ramah-mesra bersama pelakon slot Aksi, Seram dan Lestary.

Antara artis yang terbabit ialah Danny X-Factor, Fizow Omar, Fezrul Khan, Zed Zaidi, Faizal Yusop, Ifa Raziah, Norish Karman, Anita Baharom, Zul Yahya, Eira Syazira, Noorkhiriah, Zarina, Wahid dan ramai lagi. Grand Brilliance Sdn Bhd pula tidak ketinggalan mempromosikan filem terbaru mereka, Sifu dan Tongga, yang dibintangi Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira, Pie dan Rozita Che Wan.


KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang
beramah mesra bersama peserta Metro Idol.

Selain itu, mereka turut berpeluang mendekati personaliti TV3 seperti Zakiah Anas, Azizah Ariffin, Ally Iskandar, Nurul Syuhada Nurul Ain, Siti Hasfizza Aswaty, Tanah Syazwan, Hairuddin Mohd Noh, Sasha Bashir, Fara Fauzana, Fedtri Yahya dan lain-lain.

Di samping kemeriahan yang boleh dirasai sepanjang karnival berlangsung, TV3 tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik. Justeru, majlis penyerahan sumbangan daripada Tabung TV3 Bersamamu berjumlah RM10,000 hasil sumbangan orang ramai diadakan.

Sumbangan kali ini diberikan kepada Pusat Penjagaan Lambaian Kasih, Sungai Penchala. Pusat penjagaan anak yatim berkenaan terbabit dalam insiden kebakaran yang mengorbankan dua penghuninya, baru-baru ini. Sumbangan disampaikan pihak pengurusan TV3 kepada pengurus pusat terbabit, Ridwan Abu Bakar.

Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) turut mempunyai gerai sendiri pada karnival kali ini. Gerai akhbar berbahasa Melayu nombor satu, Harian Metro, umpamanya menjadi perhatian ramai berikutan beberapa aktiviti mereka jalankan, termasuk penganjuran Metro Idol.


PENGURUS Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar (kiri) dan Pengurus Besar
Pemasaran Segmentasi Maxis Communications Berhad, Rozalila Abdul Rahman, menyampaikan
replika cek kepada Ridwan (tengah).

Acara kemuncak penutup karnival kali ialah Konsert Jomheboh yang menampilkan ramai artis terkenal tanah air termasuk Elyana, Ziana Zain, Farah Asyikin, Nikki, Rahim Maarof, Nabil, Saiful Apek, Estranged, Bunkface, Nitrus dan Colabr8.

Berita Harian

Himpunan Dewi, Hero Remaja

6 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SEJARAHNYA bermula sebagai bahan bacaan untuk golongan muda.

Namun, kesan daripada pertandingan personaliti Dewi dan Hero Remaja yang dianjurkan majalah yang memperkenalkan nama Remaja, meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada industri hiburan.

Majalah itu boleh dianggap kilang melahirkan ramai gadis dan jejaka rupawan kemudian bakat mereka digilap dan akhirnya menjadi bintang disegani ramai.

Tidak hanya popular, segelintir daripada mereka dikaitkan dengan cerita kontroversi.

Aleeza Kassim, Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Badrul Muhayat, Esma Daniel, Zed Zaidi, Rita Rudaini, Puspa Narayan, Juliana Banos, Emilia Rosnaida, Jasmin Hamid, Annahita Bakavoli, Wan Shahlim, Scha dan Kamal hanyalah sebahagian nama hebat yang dilahirkan dari pertandingan Dewi dan Hero Remaja.

Kalau diikutkan, terlalu ramai yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Tidak hanya model, pelakon bahkan dalam bidang perniagaan juga.

Justeru, pada 27 November lalu majlis ulang tahun Remaja yang ke-26 diadakan sekali gus meraikan Reunion Dewi dan Hero Remaja.

Meskipun kebanyakan bekas juara terawal Hero dan Dewi Remaja tidak dapat menghadirkan diri, acara itu tetap berlangsung dalam suasana meriah.

Editor majalah Remaja, Rosli Ahmad berkata, dia berasa lega kerana akhirnya acara itu dapat disempurnakan kerana pihaknya sudah lama merancangnya.

“Sudah lama merancang, akhirnya dapat juga majlis ini diadakan. Sebenarnya bukan mudah untuk kami mengumpulkan juara dan bekas finalis Dewi dan Hero Remaja. Lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada mereka sudah lama terputus hubungan.

“Bukan itu saja, ada yang terpaksa membatalkan kehadiran mereka saat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan komitmen yang diberikan,” katanya.

Pada majlis itu Rosli turut melancarkan Pencarian Dewi Remaja bagi tahun 2009/10 yang kini masih dalam proses menjejaki gadis cantik, bijak dan berpesonaliti yang mempunyai impian menjadi bintang.

“Sekarang ini kami masih dalam proses pencarian. Belum terlambat bagi yang ingin mencubanya. Caranya mudah dengan melayari http://www.karangkraf.com.my. Mereka yang berminat juga boleh menghantarkan penyertaan melalui borang disediakan dalam majalah,” katanya.

Seorang juara Hero Remaja, Badrul Muhayat berkata, pertandingan itu merealisasikan impiannya untuk bergelar pelakon.

“Saya masih ingat sewaktu menyertai pertandingan itu lebih daripada 700 yang menghantar penyertaan namun saya terpilih hingga ke pusingan akhir dan muncul sebagai naib juara Hero Remaja 1991.

“Bertitik tolak dari itu, saya di tawarkan membintangi filem dan drama. Sehingga kini, saya masih meminati dunia lakonan, tetapi untuk 2009, saya merancang untuk menerbitkan drama sendiri,” katanya.

Selain Badrul, juara Hero dan Dewi yang turut hadir ialah Aleeza Kassim (1989/90), Juliana Banos (1998/99), Kamal (1907/08), Scha (2006/07), Zawen (2004/05), Zed Zaidi (1997/98) dan Esma Daniel (90/91).

Tidak ketinggalan, finalisnya, Jasmin Hamid, Puspha Narayan, Rabecca, Fizo, Rizal, Zaryn dan ramai lagi.

One Drop Perfumes by Egyptian selaku penaja keseluruhan, turut mengambil kesempatan melancarkan wangian terbaru keluaran mereka.

Kedua-dua kotak yang mengandungi lapan jenis haruman itu diilhamkan dari pewangi selebriti terkenal Hollywood antaranya Sarah Jessica Parker, Mariah Carey, Paris Hilton, Britney Spears dan Beyonce Knowles untuk wanita. Manakala haruman seperti David Beckham dan Sean John untuk lelaki.

Acara malam itu diserikan lagi dengan persembahan artis remaja popular dan berbakat besar seperti Siti Sarah yang menyampaikan lagu Mimpi Pun Sama, I Turn To You dan Penasaran manakala Aizat memperdengarkan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita.

Sementara Mila pula dengan dua lagu salah satunya, Mila Bila Cinta dan kumpulan Altimate menyampaikan lagu Cantik.

Harian Metro

Himpunan Dewi, Hero Remaja

6 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SEJARAHNYA bermula sebagai bahan bacaan untuk golongan muda.

Namun, kesan daripada pertandingan personaliti Dewi dan Hero Remaja yang dianjurkan majalah yang memperkenalkan nama Remaja, meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada industri hiburan.

Majalah itu boleh dianggap kilang melahirkan ramai gadis dan jejaka rupawan kemudian bakat mereka digilap dan akhirnya menjadi bintang disegani ramai.

Tidak hanya popular, segelintir daripada mereka dikaitkan dengan cerita kontroversi.

Aleeza Kassim, Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Badrul Muhayat, Esma Daniel, Zed Zaidi, Rita Rudaini, Puspa Narayan, Juliana Banos, Emilia Rosnaida, Jasmin Hamid, Annahita Bakavoli, Wan Shahlim, Scha dan Kamal hanyalah sebahagian nama hebat yang dilahirkan dari pertandingan Dewi dan Hero Remaja.

Kalau diikutkan, terlalu ramai yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Tidak hanya model, pelakon bahkan dalam bidang perniagaan juga.

Justeru, pada 27 November lalu majlis ulang tahun Remaja yang ke-26 diadakan sekali gus meraikan Reunion Dewi dan Hero Remaja.

Meskipun kebanyakan bekas juara terawal Hero dan Dewi Remaja tidak dapat menghadirkan diri, acara itu tetap berlangsung dalam suasana meriah.

Editor majalah Remaja, Rosli Ahmad berkata, dia berasa lega kerana akhirnya acara itu dapat disempurnakan kerana pihaknya sudah lama merancangnya.

“Sudah lama merancang, akhirnya dapat juga majlis ini diadakan. Sebenarnya bukan mudah untuk kami mengumpulkan juara dan bekas finalis Dewi dan Hero Remaja. Lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada mereka sudah lama terputus hubungan.

“Bukan itu saja, ada yang terpaksa membatalkan kehadiran mereka saat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan komitmen yang diberikan,” katanya.

Pada majlis itu Rosli turut melancarkan Pencarian Dewi Remaja bagi tahun 2009/10 yang kini masih dalam proses menjejaki gadis cantik, bijak dan berpesonaliti yang mempunyai impian menjadi bintang.

“Sekarang ini kami masih dalam proses pencarian. Belum terlambat bagi yang ingin mencubanya. Caranya mudah dengan melayari http://www.karangkraf.com.my. Mereka yang berminat juga boleh menghantarkan penyertaan melalui borang disediakan dalam majalah,” katanya.

Seorang juara Hero Remaja, Badrul Muhayat berkata, pertandingan itu merealisasikan impiannya untuk bergelar pelakon.

“Saya masih ingat sewaktu menyertai pertandingan itu lebih daripada 700 yang menghantar penyertaan namun saya terpilih hingga ke pusingan akhir dan muncul sebagai naib juara Hero Remaja 1991.

“Bertitik tolak dari itu, saya di tawarkan membintangi filem dan drama. Sehingga kini, saya masih meminati dunia lakonan, tetapi untuk 2009, saya merancang untuk menerbitkan drama sendiri,” katanya.

Selain Badrul, juara Hero dan Dewi yang turut hadir ialah Aleeza Kassim (1989/90), Juliana Banos (1998/99), Kamal (1907/08), Scha (2006/07), Zawen (2004/05), Zed Zaidi (1997/98) dan Esma Daniel (90/91).

Tidak ketinggalan, finalisnya, Jasmin Hamid, Puspha Narayan, Rabecca, Fizo, Rizal, Zaryn dan ramai lagi.

One Drop Perfumes by Egyptian selaku penaja keseluruhan, turut mengambil kesempatan melancarkan wangian terbaru keluaran mereka.

Kedua-dua kotak yang mengandungi lapan jenis haruman itu diilhamkan dari pewangi selebriti terkenal Hollywood antaranya Sarah Jessica Parker, Mariah Carey, Paris Hilton, Britney Spears dan Beyonce Knowles untuk wanita. Manakala haruman seperti David Beckham dan Sean John untuk lelaki.

Acara malam itu diserikan lagi dengan persembahan artis remaja popular dan berbakat besar seperti Siti Sarah yang menyampaikan lagu Mimpi Pun Sama, I Turn To You dan Penasaran manakala Aizat memperdengarkan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita.

Sementara Mila pula dengan dua lagu salah satunya, Mila Bila Cinta dan kumpulan Altimate menyampaikan lagu Cantik.

Harian Metro

Artis Bersukan Dalam Riuh@1

17 Aug

BAYANGKAN artis-artis kesayangan anda melakukan aktiviti riadah sihat yang tidak pernah atau jarang anda saksikan sebelum ini.

Sebuah program hiburan terbaru yang disiarkan oleh RTM 1 bermula 13 Julai lalu di kaca televisyen berjudul RIUH@1 ( Riuh Di Satu) memaparkan gelagat artis-artis popular masa kini dengan mengetengahkan aktiviti-aktiviti kegemaran mereka pada masa lapang seperti bersukan.

Program berbentuk majalah hiburan 30 minit ini akan membawakan anda artis-artis seperti Erra Fazira (bermain roller blade), Yazer (beriadah di Sunway Lagoon), Ella (rock climbing), Spider (futsal), Zed Zaidi dan Idayu (boling), The Fabulous Cats (paintball), Mamat Khalid dan Fiq (memancing) Kristal (melawat serta beraktiviti di PLKN), Nurul (jet ski), Hujan (quad bike dan sukan air), M.Nasir (menunggang kuda di Mont Kiara) Elyana (base ball) dan Mawi (snuker).

Tidak ketinggalan pereka fesyen terkemuka, Rizalman Ibrahim akan berkongsi panduan berfesyen melalui segmen Fesyen Riuh. Manakala segmen Suara Riuh pula merupakan temu bual dengan orang ramai dan penggiat seni terhadap sesuatu isu yang berlaku di dalam industri hiburan kita. Satu ikon tetap yang dipanggil Wak Riuh juga ditampilkan untuk mengupas serta mengkritik pandangan-pandang dan komen-komen dari Suara Riuh ini.

Sekiranya terdapat sebarang komen atau pertanyaan, anda bolehlah melayari laman web rasmi http://www.riuhdisatu.com.my

Luncai Emas Sdn. Bhd. yang selama ini lebih cenderung menerbitkan lagu-lagu dan album artis kini melangkah setapak lagi di dalam penerbitan program-program televisyen tempatan.

Buktinya, RIUH@1 ini diterbitkan oleh Luncai Emas untuk RTM1 dan telah diarahkan oleh pengarah Shahrul Nizam Nurdin yang sebelum ini pernah mengarahkan drama muzikal kanak-kanak berbahasa Inggeris iaitu ‘Hearts In Wilderness’ untuk siaran RTM 2 sempena sambutan tahun baru 2008 yang lalu.

Selain berhibur sambil menyaksikan gelagat-gelagat artis kesayangan, penonton juga disajikan sedikit gaya sukan yang mungkin boleh dijadikan aktiviti kegemaran.

Bukan sekadar tatapan aktiviti lasak, ia sebenarnya satu rancangan santai yang sesuai untuk seisi keluarga.

Utusan Malaysia

Bicara Hati Zed, Elly Mazlein

19 Jun

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Zed Zaidi (kiri) dan Elly Mazlein mahu memberi tumpuan pada karier seni sebelum menamatkan zaman bujang.

DUA pelakon ini iaitu Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi dan Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi (Elly Mazlein) masih hidup membujang. Tidak diketahui siapa yang bakal bertakhta di hati, namun kedua-dua mereka amat selesa hidup bersendirian ketika ini bagi memberikan tumpuan terhadap karier masing-masing terlebih dahulu.

Sibuk menguruskan hal kerjaya, hakikatnya, Zed, 28, dan Elly, 27, masih mencari-cari peluang untuk menamatkan zaman solo bersama insan yang dicintai.

Di bidang lakonan, kedua-duanya cukup berjaya namun, untuk meniti tangga kejayaan tersebut, pasti ada sahaja rintangan yang dilalui sehingga membuatkan mereka matang dalam mengharungi kehidupan.

Elly contohnya, terpaksa mendiamkan diri seketika dari bidang nyanyian lantaran industri muzik tempatan yang agak menurun ketika ini.

Untuk itu, kita ikuti bicara hati Elly dan Zed mengenai kerjaya dan kisah cinta masing-masing ketika ditemui Hits semasa pelancaran drama bersiri Amanah Karmila di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi drama yang diarahkan oleh Salehuddin Sani dan bakal ditayangkan hujung tahun ini, Elly memegang watak Karmila manakala Zed sebagai Herman iaitu suami kepada Karmila.

Elly rindu dunia nyanyian
Sekitar tahun 2000, nama Elly Mazlein cukup popular dan lagu hitsnya iaitu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan sering berkumandang di corong radio.

Hari berganti hari, nama Elly sebagai penyanyi bagai pudar sehingga membuatkan dia terpaksa beralih arah ke dunia lakonan.

“Sememangnya Elly rindu hendak masuk ke studio merakamkan lagu macam dulu. Tetapi, Elly terpaksa akur dengan kehendak pasaran masa kini.

“Walaupun aktif berlakon, Elly tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Elly masih diundang mengadakan persembahan di majlis-majlis tertentu,” jelasnya.

Ujar Elly, dia pasti akan aktif semula menyanyi dan merakamkan album andai industri muzik tempatan kembali rancak seperti dulu.

Menerusi lakonan pula, katanya, dia masih tidak dapat melupakan pengalaman pertamanya ketika berlakon dalam drama Bukan Yang Pertama pada 2005.

“Selepas daripada itu, Elly banyak menerima tawaran berlakon seperti filem Gerak Khas The Movie, Janji Diana selain drama Gerak Khas.

“Tidak tamat di situ, lakonan terbaru Elly ialah menerusi Spa Q dan Bella. Ini adalah rezeki dan syukur kerana orang sudah mula sedar akan bakat Elly,” ujarnya.

Elly pernah merakamkan empat album solo dan dua kompilasi iaitu album Sutera Kasih, Satu Persatu, Elly dan Atas Nama Cinta serta The Best of Elly Mazlein ketika masih bersama NAR Records.

Peluang bertemu dengan Elly, persoalan mengenai kisah percintaannya turut diajukan.

Ringkas dalam mengeluarkan jawapan, Elly berkata, dia lebih suka berbicara mengenai karier berbanding hal peribadi dan cinta.

“Semuanya Elly serah pada takdir. Bagi Elly, kalau segalanya sudah tetap (kahwin), tidak mengapa jika ia dihebahkan di media.

“Elly juga merasakan adalah tidak manis soal peribadi dijaja kepada umum,” jelas Elly.

Kebangkitan Zed Zaidi
Sementara itu, bagi Zed Zaidi pula, jika mahu diulas mengenai kariernya dalam lakonan yang sudah menjangkau usia sembilan tahun, pastinya dia tidak dapat melupakan segala kritikan di awal kemunculannya dahulu.

Kritikan berbunyi ‘kau berlakon macam kayu’ antara yang masih tersemat di sanubarinya tatkala dirinya membintangi drama bersiri pertamanya iaitu Sembilu.

Pedih rasa dalam hati namun Zed tidak memendam perasaan sebaliknya menjadi kritikan yang diterima daripada pelbagai pihak itu sebagai pembakar semangat dalam mengharungi karier sebagai pelakon.

“Kini, apa yang saya mahu buktikan adalah kemampuan dalam meningkatkan prestasi lakonan.

“Pernah juga saya berkata dalam hati, jika lakonan saya ‘dungu’ macam dulu juga, baik tinggalkan sahaja karier tersebut. Namun, Alhamdulillah, saya masih diterima berlakon,” katanya.

Ujar Zed, sebagai usaha meningkatkan mutu lakonan, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada beberapa pelakon senior antaranya Rosyam Nor serta Faizal Hussein.

“Mula-mula memang sedih apabila dikatakan kayu tetapi saya berjaya buktikan yang kritikan itu tidak benar,” jelasnya.

Drama bersiri Sembilu merupakan drama yang berjaya mengangkat nama Zed di dunia lakonan meskipun drama itu pernah dikritik.

Selepas banyak menerima tawaran berlakon di layar kaca, Zed menjelaskan, dia bakal membintangi sebuah teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi.

Menurut Zed, selain berlakon, dia turut berjinak-jinak dalam dunia perniagaan seperti penjualan maruku dan syarikat pembinaan.

“Sampai bila saya hendak mengharapkan pendapatan dalam bidang seni sahaja.

“Justeru, saya perlu memikirkan masa depan dan berkecimpung dalam dunia perniagaan,” ujarnya.

Kata Zed, dalam perniagaan, dia juga mempunyai pengalaman pahit apabila ada rakan karibnya yang sanggup menikam dari belakang.

Cerewet pilih pasangan
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai soal cinta, Zed yang masih membujang memberitahu, dia tidak cerewet dalam memilih pasangan.

Tidak menetapkan sasaran umur untuk melangsungkan perkahwinan, Zed terpaksa lebih selektif selepas beberapa kali dikecewakan oleh wanita.

Justeru, dia mahukan wanita yang memahami kerjaya serta mampu berdikari sendiri.

“Saya tidak suka wanita yang suka mengambil kesempatan. Masa kita senang, ramai yang datang tetapi kenapa melarikan diri ketika saya ditimpa kesusahan.

“Pengalaman saya banyak berhadapan dengan wanita-wanita sebegini. Bukan saya tidak percayakan mereka tetapi saya perlu cerewet dalam mencari pasangan hidup,” katanya.

Utusan Malaysia

Azean Buka Akademi Lakonan

8 May

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

KISAH penderitaan pelakon Azean Irdawaty telah banyak menumpahkan air mata peminat-peminatnya. Derita Azean bagaikan turut sama dialami umum yang saban hari menunggu apakah kesudahan cerita yang memilukan itu.


PERJUANGAN belum berakhir, Azean bangkit dengan segala kudrat yang ada atas nama seni.

Bagi yang empunya diri berperang dengan kesukaran selepas menjalani pembedahan, hanyalah satu dugaan kecil dalam kehidupannya. Apalah maknanya dugaan sekecil ini andai dibandingkan dengan segala kurnia yang diberikan oleh Yang Maha Esa sepanjang kehidupannya selama ini.

Itulah insan seni yang bernama Azean Irdawaty dan nyata dia berjaya mengharungi semua itu dengan hati yang cukup redha.

Buktinya, kini primadona terkenal ini memulakan langkahnya semula dalam bidang lakonan.

Jadi, siapa kata setiap artis yang sakit tidak mampu lagi meneruskan perjuangan sebagai anak seni dan tidak lagi berkemampuan untuk berlakon?

Lihatlah bagaimana pelakon senior yang berusia 58 tahun ini mampu berdiri teguh untuk kembali meneruskan karier darah dagingnya buat pertama kali dalam telefilem arahan Rashid Sibir berjudul Mama, setelah setahun berehat.

Namun, di sebalik penerimaannya, ibu kepada tiga orang anak ini sebenarnya belum lagi bersedia memikul tanggungjawabnya sebagai pelakon semula.

Selesa dengan panggilan Kak Yan, tawaran yang diterimanya itu kerana rayuan Rashid yang mahukannya bagi menjayakan telefilem sempena Hari Ibu itu.

“Nak diikutkan memang doktor sudah memberi kebenaran untuk berlakon dan tahap kesihatan semakin pulih, cuma Kak Yan belum bersedia lagi.

“Macam-macam cara Rashid yakinkan Kak Yan, sampai dia kata tak kisah kalau lokasi penggambaran dibuat di rumah Kak Yan dan babak yang dilakonkan lebih banyak baring dan duduk di atas kerusi roda.

“Tetapi tuan rumah tidak benarkan untuk kami mengadakan penggambaran di rumah. Kemudian bila Rashid terangkan mengenai jalan ceritanya mengenai kisah seorang ibu yang mempunyai barah payu dara dan mula rasa diabaikan, Kak Yan mula terima,” ujarnya.

Pasti ramai yang akan mengatakan telefilem ini lebih mengisarkan tentang dirinya. Namun cerita itu langsung tidak sama dengan kehidupan Azean.

Tidak aktif macam dulu

Ketika sedang asyik berbicara perihal dirinya, sekali sekala, Azean kelihatan termengah-mengah untuk berbual lama.

Ternyata pelakon yang telah memenangi lebih dari 10 anugerah ini masih lagi memerlukan rehat yang secukupnya.


DIAPIT Zizie Ezette dan Elly Suriati.

Oleh kerana itu, Azean tidak mampu lagi bergiat aktif dalam lakonan seperti dahulu.

“Bukannnya tak nak. Tetapi kesihatan Kak Yan tidak mengizinkan.

“Tenaga badan Kak Yan belum kuat sepenuhnya dan badan akak tak boleh kena panas, takut cepat lesu. Tapi tak sangka pula, lampu penggambaran juga mampu membuatkan badan Kak Yan terasa lemah.

“Pernah sekali masa penggambaran, tiba-tiba saja Kak Yan tak boleh bernafas dan hampir pengsan dibuatnya,” tuturnya yang turut mengatakan dirinya tidak boleh melakonkan banyak babak dalam masa sehari.

Selain itu, demi kesihatan Kak Yan juga, pihak krew sanggup tidak merokok di lokasi.

Kisah seorang Mama

Mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal dan ahli perniagaan yang berjaya, Adilah, menjadi tidak stabil apabila dia disahkan menghidapi barah payu dara.

Lebih menyedihkan, anak-anaknya mula menjauhkan diri apabila keadaan Adilah menjadi semakin tenat kerana masing-masing tidak mahu menjaga ibu mereka.

Melihatkan jalan cerita yang dipaparkan, Azean berkata, Mama merupakan penyuntik semangat bagi golongan yang pernah menderita akibat penyakit barah.

“Saya rasa selain memberikan motivasi kepada golongan pesakit barah. Dengan cara ini juga Kak Yan dapat memberikan inspirasi bahawa penyakit barah bukanlah menunggu masa untuk mati,” tegasnya.

Jadi mentor mendidik naluri

Biarpun keadaannya kurang mengizinkan untuk bergiat aktif dalam bidang seni, Azean bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah.

Selain berlakon, wanita ini mahu resepi kejayaannya diberikan kepada mana-mana pelakon baru yang ingin menimba ilmu darinya tentang selok belok lakonan yang memerlukan komitmen yang sangat tinggi ini.


BERSAMA barisan karyawan utama Mama, dari kiri Zed Zaidi, Zizie, Elly dan Rashid Sibir.

Baru sahaja membuka Azean Irdawaty Acting Academy and Consultancy, Azean akan menjadi mentor kepada mana-mana yang ingin menjadi anak didiknya untuk membina sikap dan nilai-nilai berdisiplin dalam lakonan.

“Bukan semua yang mampu mengikuti pengajaran sebegini. Oleh itu, kak Yan perlu memilih orang yang betul-betul mahu belajar.

“Kak Yan mahu mendidik naluri mereka untuk mencintai lakonan dan mendedahkan bidang lakonan bukan tertumpu pada filem saja bahkan, teater mahupun persembahan mak yong adalah satu cara untuk kita mempelajari teknik-teknik lakonan,” beritahunya.

Enggan melihat pelakon baru yang tumbuh bak cendawan sekadar mengejar glamor, Azean juga mahu melihat kehidupan anak-anak seni yang bertanggungjawab pada masa akan datang nanti.

Powered by Kosmo

Tidak Pernah Ku Sesali Drama Baru Di RTM1

28 Sep

Kisah pergolakan keluarga dan perebutan harta menjadi taruhan terbaru Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk para penonton RTM1 kali ini. Bermula hari ini, sebuah drama bersiri Tidak Pernah Ku Sesali menyerikan slot Sutera, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menggantikan drama Bicara Aur Dengan Tebing yang tamat siarannya semalam.

Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.

Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.

Saman

Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.

Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.

Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.

Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.

Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.

Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta? Pastikan anda menonton Tidak Pernah Ku Sesali, drama bersiri sebanyak 30 episod yang penuh dengan konflik, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi di RTM1 bermula 28 September ini.

Drama terbitan Asia Media Content Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan dibintangi oleh Arni Nazira (Hanim), Fauziah Nawi (nenek), Khairil Anuar (Datuk Mahmud), Khaty Azean (Datin Sharifah), Amyza Adnan (Anita), Watie Elite (Junaidah), Zed Zaidi (Asmadi), Zarina Zainuddin (Rita), Ashraf Sinclair (Dr. Farid) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (Prof. Helmi).

Powered by Utusan Malaysia

Mencari Cinta Dalam Kau Yang Ku Sayang

11 May

Diturutkan rasa hati menyiksa diri, diturutkan rasa badan binasa. Mana satu yang harus dipilih. Inilah dilema yang dirasai oleh Lia (Rita Rudani) dan Kamal (Fahrin Ahmad) yang berharap agar mereka mendapat jodoh dan pasangan yang sesuai.

Persoalan ini ditampilkan dalam drama bersiri terbaru 26 episod Kau Yang Ku Sayang siaran RTM1 menerusi slot Astaka Perdana sejak 30 April lalu setiap Isnin hingga Khamis.

Cerita berkisar tentang pencarian cinta Kamal dan Lia. Cinta Kamal berputik pada rakan lamanya Jamie. Sementara Lia pula mula memberikan perhatian kepada Zarul.

Tapi kedua-duanya kecewa bila Zarul menyuarakan hasrat hatinya ingin berpisah dengan Lia kerana telah bertemu pilihan hatinya. Begitu juga dengan Kamal apabila Jamie meminta hubungan mereka diputuskan.

Bagi mengubati kekecewaan itu, Lia bercuti ke luar daerah.

Kamal pula memberitahu ibu bapanya, jika dalam percutiannya dia gagal mencari jodoh yang sesuai, dia akan menyerahkan soal jodoh kepada orang tuanya.

Tanpa pengetahuan Kamal, ibu bapanya sebenarnya sudah pun berjanji dengan seorang bekas guru yang juga jiran mereka semasa tinggal di kampung, untuk menjodohkan anak-anak mereka itu.

Kebetulan Kamal bercuti di tempat yang sama dengan Lia.

Di lobi hotel, penyambut tetamu memanggil nama Kamal untuk sampaikan pesanan. Lia yang berada di situ menunggu siapakah Kamal kerana dalam diam Lia sebenarnya mencari Kamal yang pernah mencuri hatinya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

Pada masa sama Mustafa, seorang kontraktor muda, berada di situ lantas Lia terus pergi kepadanya kerana menyangka dia adalah Kamal. Disebabkan kecantikannya, Mustafa terus mengenalkan dirinya sebagai Kamal. Kamal yang berada dekat situ hanya mampu melihat sahaja.

Dalam pertemuan dengan Mustafa, Lia masih sangsi disebabkan Mustafa yang disangka Kamal itu tidak berapa mesra dan tidak tahu latar belakangnya.

Kamal yang kecewa dengan keadaan itu sering menatap gambar Lia semasa kecil tanpa menyedari Lia yang ditemui di lobi hotel itulah gadis yang dicarinya selama ini.

Menyedari Mustafa hanya ingin mengambil kesempatan ke atas Lia, Kamal mula memasang perangkap untuk mengenakan Mustafa dan teman wanitanya, Linda.

Tetapi Lia sudah tawar hati untuk menerima sesiapa walaupun hatinya masih lagi mencari Kamal. Kamal yang hampa menyerahkan kepada keluarganya untuk mencari pasangan untuknya setelah apa yang dicari selama ini gagal ditemui.

Apakah Lia dan Kamal akan menemui cinta sejati seperti yang diimpikan mereka sewaktu zaman kanak-kanak dulu? Bolehkah kenangan lalu dijelmakan semula menjadi realiti indah menemani hati yang sunyi dan rawan?

Pastikan drama bersiri Kau Yang Ku Sayang menerusi slot Astaka Perdana di RTM1, Saluran Inforia setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.30 malam.

Selain Rita Rudani dan Fahrin Ahmad sebagai peneraju utama, pelakon-pelakon lain yang turut membintangi drama ini adalah Rusdi Ramli (Zarul), Zizie Ezzette (Jamie), Lisdawati (Linda), Zed Zaidi (Mustafa), Abu Bakar Omar, Wan Maimunah, Ahmad Tarmimi Sariger dan Datuk Sarimah.

Powered by Utusan Malaysia

Leez Gagal Tapi Bertuah

10 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Leez.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu? Memang betul tiada siapa yang tahu melainkan tuan punya badan.

Tiada siapa juga yang menyangka penyingkiran Leez semasa konsert ‘prelude’ program Akademi Fantasia (AF) yang lalu seakan-akan membuka rezeki yang luas terhadapnya.

Walaupun tidak layak menyertai program berkenaan pada peringkat berikutnya tetapi Leez mempunyai nasib yang baik berbanding rakan-rakannya yang lain.

Bukan nak mengata tetapi cuba fikirkan betul-betul, selain Faizal, kesemua pelajar AF musim keempat lalu seakan-akan tenggelam begitu saja.

Apatah lagi bagi mereka yang awal-awal lagi ditendang keluar daripada program itu. Apa jadi dengan mereka sekarang? Senyap sunyi begitu sahaja. Album tak ada, publisiti jauh sekali.

Nak mengharapkan syarikat rakaman melamar untuk merakamkan album, memang sukar untuk diramalkan kerana sekarang ini terlalu ramai artis-artis baru muncul.

Maestro Records yang bertanggungjawab terhadap bintang-bintang AF pula tentunya sibuk dengan artis-artis lain daripada mempedulikan peserta yang hanya layak di peringkat ‘prelude’ sahaja.

Apa yang boleh saya katakan, keistimewaan Leez mungkin terhadap paras rupanya. Dia gadis yang fotogenik. Wajahnya menarik dan senyumannya juga menawan.

Itu di antara ciri-ciri dan juga keistimewaan gadis ini sehingga mampu menjadikannya salah seorang peserta AF tersingkir yang popular.

Bayangkan selepas penyingkiran Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli daripada program itu, gadis berusia 19 tahun ini banyak mendapat tempat di majalah dan akhbar tempatan.

Saya mengenali Leez ketika dia berumur 15 tahun selepas memperoleh ‘profile’ mengenai dirinya daripada pelakon Emma Akma yang mengendalikan agensi model.

Kerana tertarik dengan senyumannya, saya memanggilnya untuk mengadakan sesi fotografi bakat baru kelolaan saya dalam majalah Mangga pada waktu itu.

Empat tahun berlalu saya sudah lupa peristiwa itu sehinggalah Leez mengibas semula detik-detik pertama dia mengadakan sesi fotografi.

Saya berkata, Leez bertuah kerana dia sekarang sudah dilamar menjadi artis rakaman tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Selain lamaran itu, ada juga Datuk yang sedang ‘mengintainya’.

Hajat terlaksana

Bermulanya tuah Leez selepas penyingkirannya dalam program AF apabila dia dipanggil untuk menjalani uji bakat berlakon sebuah rancangan bersiri terbitan Astro iaitu Astana Idaman.

Hasrat untuk menjadi penyanyi yang dipegang sejak awal-awal pembabitannya dalam dunia seni menjadi sebaliknya.

Uji bakat tersebut benar-benar mengheret gadis ini untuk terbabit dalam satu lagi bidang yang tidak pernah diimpikannya selama ini.

Walaupun pada permulaan watak yang diberikan kepada Leez sekadar sampingan namun lamakelamaan dia diberikan peranan utama.

“Leez tak sangka selepas beberapa siri drama itu, watak yang diberikan kepada Leez semakin berat sehinggalah akhirnya memegang watak utama rancangan itu,’’ katanya.

Jelas Leez, jika dikenangkan semula, segalanya bagaikan sebuah mimpi yang hadir menjadi nyata.

Tidak pernah bermimpi sehingga diberi peranan utama dalam sesebuah drama walaupun pada asalnya dia merupakan pelajar AF yang tersingkir. Tetapi itulah dinamakan rezeki.

Selepas rancangan itu menamatkan siarannya kira-kira dua minggu lalu, Leez turut menerima lamaran baru daripada seorang Datuk.

Bukan lamaran untuk mengajaknya ‘naik pelamin’ sebaliknya Datuk yang dimaksudkan – Datuk Yusof Haslam, ‘produser’ dan jutawan ternama itu berhajat ‘meminang’ Leez untuk berlakon drama Sembilu Kasih.

Menurut Leez, selepas mengadakan perbincangan dengan Yusof, dia berminat terhadap watak yang bakal diberikan di dalam drama tersebut.

Malah Leez akan membuktikan dia bukan sekadar boleh menyanyi sebaliknya ingin mengasah lagi bakatnya sebagai seorang pelakon.

“Saya akan bukti dan lakukan yang terbaik untuk kerjaya saya ini,’’ katanya.

Jelasnya, Yusof Haslam telah menawarkannya watak sepupu kepada Zetty (Hetty Sarlene) yang menjalinkan hubungan cinta dengan Fendi (Zed Zaidi).

Bagaimanapun kata Leez, watak yang mahukannya menitiskan air mata merupakan watak yang sukar untuk dibawanya. Atas dasar itu Leez cuba belajar untuk menghayati setiap watak sedih yang diberikan agar ia menepati keinginan pengarah.

Lebih menggembirakan Leez, sekian lama memikirkan nasibnya selepas keluar daripada AF, hasratnya untuk menjadi penyanyi rakaman terlaksana juga.

Ketika sibuk dengan penggambaran drama Astana Idaman, Leez telah dihubungi penulis lirik Man Toba yang ingin menyuntingnya menjadi artis syarikat rakaman Toba Records.

Majlis menandatangani kontak dengan syarikat rakaman itu telah pun dilakukan kira-kira dua minggu lalu dan kini proses untuk rakaman album sedang dilakukan.

“Leez amat bersyukur. Bukan mudah untuk orang panggil kita jadi artis rakaman. Mungkin ia rezeki Leez,’’ katanya yang begitu gembira dengan dua lamaran yang diterimanya itu.

Leez kini sibuk di dalam studio rakaman mempersiapkan album solonya berkonsepkan pop.

Antara komposer yang terlibat menyumbangkan lagu di dalam album yang dijangka dipasarkan pada awal tahun hadapan itu seperti Eddie Hamid, Harun Ahmad, Zulfekar, Lan Laga, Adnan Abu Hassan dan Isman (Hijjaz).

Bersedia menghadapi gosip

Sebagai orang baru dalam industri hiburan, Leez sudah bersedia untuk menempuh pahit dan maung bergelar seorang artis.

Bukan mudah membawa ‘title’ itu sebenarnya. Setiap apa yang dibuat semuanya akan diperhatikan orang selain menjadi bualan masyarakat.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Leez dan tempias dugaan itu telah mula dirasainya.

Malah Leez juga menganggap, gosip sama seperti serbuk perasa yang menjadi penyedap di dalam makanan. Begitu juga terhadap dunia hiburan. Sebelum menjadi artis dahulu pun Leez juga meminati cerita dan gosip-gosip artis.

“Sekarang sudah jadi artis, Leez kena bersedia untuk menempuh ujian itu walaupun kadangkala Leez sendiri takut berhadapan dengannya,’’ jelas Leez.

Sejak bergelar artis, dia belum pernah ditimpa dengan gosip berat cuma kononnya Leez mempunyai hubungan dengan Haziq.

“Saya pun sudah lama tidak berhubung dengan Haziq. ‘Percintaan’ kami hanya dicetuskan ketika di dalam AF sahaja,’’ katanya.

Percayakan orang tua

Seperti juga Ning Baizura yang memilih ibunya untuk menjadi pengurus, Leez menyandarkan harapan terhadap bapanya Rosli Awang, 45, untuk menjaganya.

Jelas Leez, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menjadi pengurus daripada melantik orang lain.

“Kalau bapa yang jaga, sudah tentu tiada orang yang boleh buat sesuka hati kepada kita. Selain itu ahli keluarga lebih mengetahui kemahuan serta perasaan kita kerana kita membesar dengan mereka,’’ terangnya.

Bagi Rosli pula, dia tidak mahu anak kesayangannya terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan diri apatah lagi anaknya itu menjadi artis dan hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba.

Sebagai bapa, daripada melepaskan anak gadis sendirian, lebih baik dia sendiri yang mengawasinya.

“Saya pun akan pencen dalam tentera. Lebih baik saya menguruskan Leez kerana saya lebih memahami jiwa anak saya itu daripada orang lain,’’ katanya.

Powered by Utusan Malaysia