Archive | Sofaz RSS feed for this section

Are Meer Sanggup Lakon Watak Lembut

28 Apr

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
PENYANYI jadi pelakon sudah menjadi lumrah sekarang apatah lagi ketika kegawatan ekonomi, tawaran menyanyi berkurangan. Untuk kelangsungan hidup ada penyanyi lakukan kerja lain seperti berlakon dan mengacara.

Tidak dinafikan ada antara mereka kini lebih dikenali sebagai pelakon berbanding kerjaya asal. Sekadar merujuk beberapa nama seperti Aqasha, Elly Mazlein, Farahdhiya, Ifa Raziah, Maya Karin dan Yusry Abdul Halim. Malah ada juga pelakon membabitkan diri dalam dunia seni suara.

Tidak terkecuali, vokalis kumpulan Sofaz, Are Meer atau nama sebenarnya, Amir Mahiyidin, 26, yang mula membabitkan diri dalam lakonan. Are Meer yang popular menerusi lagu Bukan Di Sini, baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem Sampai Syurga arahan Along Kamarudin.

Are Meer berkata, dia melalui satu pengalaman menarik sepanjang penggambaran telefilem itu. Dia yang membawa watak Ayie, wartawan dalam drama yang berkisar kepada liku kehidupan seorang gadis, Saniah lakonan Elly Mazlein dalam mengejar impian bergelar penyanyi terkenal.

“Memang seronok dapat menjadi sebahagian daripada pelakon yang menjayakan telefilem ini. Dalam drama itu, saya bawa peranan sebagai wartawan. Memang cabarannya cukup besar.

“Sebagai wartawan, saya perlu mendukung watak berkenaan dengan serius. Saya tidak boleh ambil mudah peranan yang diberikan. Apatah lagi saya masih baru dalam bidang lakonan. Begitupun, saya tetap cuba melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

Sebelum ini dia pernah terbabit dalam pementasan teater Stefani di bawah bimbingan Fauziah Nawi sekitar 2002. Bagaimanapun, kerana terikat dengan jadual rakaman di studio dia terpaksa melupakan pembabitan dalam teater itu.

Biarpun wataknya tidak besar dan hanya muncul dalam tempoh singkat, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit ilmu lakonan kepadanya.

“Ini kali pertama saya berlakon dengan rakan seperti Aqasha, Elly (Mazlein) dan pengarah Along (Kamarudin). Mereka banyak memberi bimbingan kepada saya ketika terbabit dalam penggambaran telefilem ini. Elly sendiri seorang yang rendah diri dan banyak memberi galakan kepada saya untuk menjiwai watak.

“Malah kru produksi yang terbabit juga banyak membantu. Saya tidak berdepan banyak masalah ketika sesi penggambaran. Along sendiri banyak memberikan tunjuk ajar. Selain berbincang, saya juga banyak bertanya dan mendapatkan pandangan daripadanya,” katanya.

 

 

Walaupun diberi watak pembantu, ia tetap satu penghargaan baginya. Malah seperti nyanyian, dia turut menyimpan impian untuk mencuba pelbagai watak.

“Dengan bakat yang ada, saya tidak menolak jika diberi peluang. Kalau boleh, saya mahu melakonkan semua watak walaupun watak lelaki lembut sekalipun. Sekurang-kurangnya apa yang cuba ditampilkan memberi mesej tersendiri selain memenangi hati penonton,” katanya.

Apapun kata Are Meer, penggambaran drama lebih memenatkan berbanding menyiapkan rakaman lagu untuk album. Biarpun penat, dia tetap gembira dan puas walaupun pernah dimarah ketika berada di lokasi penggambaran.

Mengenai perkembangan nyanyian, Are Meer masih aktif memenuhi undangan menjayakan persembahan bersama kumpulannya.

Selepas meledak menerusi album kedua, Janjiku, kumpulan bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records (SRC) itu kini mempertaruhkan dua lagu single, Kamu dan Dirinya serta Hingga Hujung Pernafasan Langitku ciptaan kumpulan itu.

Selain Are Meer, kumpulan yang pernah menjulang trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura 2007 turut dianggotai pemain gitar, Wan Shahbaharin Niktah (Shah), Ahmad Fairouz Mohammad (Fairouz/ bass), Wan Shah Baharom Niktah (One/ dram), Zarimi Zahari (Zimi/ vokal/ gitar kedua) dan Rodie Jamun (Rodie/ keyboard).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Advertisements

Sedia Turun Padang

23 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Bukan mengajak ke zon peperangan, cuma singgah di Tingkat 3, Amcorp Mall, bantu kumpul dana untuk disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

ATAS nama kemanusiaan di bawah paksi kehidupan yang fana, terbit rasa kesedaran dan keprihatinan dek pergolakan kemelut kemanusiaan yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin di kalangan manusia di seluruh dunia yang menyelar kekejaman rejim Zionis.

Kesengsaraan mereka di sana menimbulkan marak api kemarahan seluruh rakyat di dunia yang menentang sekeras-kerasnya peperangan, sebaliknya mendambakan sebuah keamanan yang nyata.

Hampir setiap hari laporan di dada akhbar dan laman maya menyentak perasaan kita. Tersentuh dan pilu rasa di hati menyaksikan pertumpahan darah terhadap manusia yang tidak bersalah. Mungkin saja kalau kita mempunyai kuasa dan magis hebat menghentikan darah daripada terus mengalir dan membekukan niat jahat, itu saja jalan terakhir untuk menghalang pakatan Amerika Syarikat dan Israel daripada terus berleluasa mengorbankan nyawa.

Lalu, usaha dan bantuan rakyat Malaysia menerusi medium kerajaan, pertubuhan tertentu mahupun orang perseorangan disambut baik segenap peringkat masyarakat di sini. Umum sudah tahu kepekaan negara kita yang begitu sinonim dengan sikap bermurah hati dan usaha kumpulan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza terus meraih sokongan dan perhatian ramai pihak apabila berjaya membuat kutipan memberangsangkan.

Biarpun tidak sebesar mana bantuan atau derma yang diberi, paling tidak pun ia mampu mengurangkan keperitan yang dialami rakyat di sana. Kesinambungan kepada usaha yang dibangkitkan ini, satu jualan dan lelongan amal membabitkan selebriti di Malaysia diberi nama ABPBH 2008 Untuk Gaza akan diadakan pada 31 Januari ini di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Hasil jualan ini akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi bakat baru yang berpotensi seperti Liyana Jasmay, Juliana Evans, Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli, dalam tangis mengenang derita penduduk Gaza, mereka bersyukur kerana dilahirkan di bumi tercinta, Malaysia.

Enam bintang muda ini berjanji akan cuba meluangkan masa untuk sama-sama beramal biarpun terikat dengan komitmen kerja sebagai anak seni. Jika mahu melihat selebriti kesayangan anda dengan lebih dekat sambil membeli barangan yang bakal dilelong, pastikan temu janji anda untuk menyerbu Amcorp Mall pada hari itu.

Sentiasa berdoa agar kemelut berakhir

PELAKON genit yang bakal muncul dengan album EP Februari ini antara yang gemar melakukan amal dan melihat usaha NSTP sebagai satu tanggung jawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan. Semestinya sebagai manusia, dia sendiri berasa sedih dan geram dengan apa yang sedang melanda rakyat Palestin.

“Saya sendiri menentang dan membenci peperangan. Kenapa perlu kejahatan sedangkan kita boleh menyelesaikan sesuatu isu dengan cara baik. Peperangan bukan jalan terbaik dan terakhir yang boleh diambil jika tidak timbul perasaan tidak puas hati.

“Apalah sangat dengan sumbangan material yang kita dapat salurkan ke negara itu tapi atas kesedaran, usaha murni yang dibuat oleh Berita Harian melalui ABPBH2008 dan NSTP ini sebagai kebajikan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat di negara kita saja, sebaliknya melangkaui negara lain. Selain itu, saya sendiri hanya mampu berdoa memohon supaya kemelut ini akan berakhir.

“Saya sendiri mahu mengikut jejak NSTP melakukan kempen mengatakan tidak kepada peperangan, namun soal masa yang menjadi kekangan. Kalau boleh, saya mahu mengajak rakan artis terbabit sama tanpa rasa berat hati,” katanya Liyana yang akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa”

BAGI pelakon dan pengacara, Juliana Evans dia menyanjung tinggi inisiatif pihak yang sanggup berusaha untuk membantu mengurangkan beban dan kesusahan. Gadis kacukan ini tidak teragak-agak untuk memberi sokongan tidak kira melalui apa cara sekalipun, lalu acara yang bakal diadakan nanti disambut baik Juliana. Katanya, kita patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara kita.

“Di Malaysia majoriti rakyatnya adalah penduduk beragama Islam dan ibarat mencubit paha kanan, paha kiri juga terasa, apa yang dialami rakyat Palestin turut dirasai kita di Malaysia. Mereka juga saudara Islam kita dan tidak salah kita membantu. Ia tanggungjawab kita bersama,” katanya yang akan muncul dengan drama Kasut Tumit Tinggi di Astro Ria mulai 22 Januari ini.

Tersentuh penderitaan rakyat Gaza

“SAYA sedih dan cukup tersentuh melihat kekejaman yang dilakukan tentera Israel kepada kanak-kanak yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza. Saya memang tidak sanggup nak tengok kekejaman yang dilakukan,” kata pelakon dan model, Ainul Aishah mengenai peperangan di Palestin.

Malah setiap hari, Ainul atau mesra dengan panggilan Ain, membaca berita terkini di surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui perkembangan pergolakan ini. Menurut pelakon yang mula digilap bakatnya oleh Prof A Razak Mohaideen ini dia memuji usaha NSTP yang melakukan promosi besar-besaran untuk mengumpul bantuan kepada rakyat Palestin.

“Ain sendiri bergenang air mata kerana tidak sanggup melihat penderitaan dan azab yang rakyat Palestin lalui. Isu ini juga sering dibincang Ain bersama keluarga dan teman, sambil mempersoalkan bila ia akan berakhir.

“Sebagai rakyat Malaysia, Ain menyambut baik niat murni NSTP mengelolakan tabung ini. Ia sesuatu yang harus dihargai dan disokong seluruh pelosok masyarakat di negara kita,” ungkap Ainul yang akan ke set penggambaran filem keenamnya berjudul Sari Pulang. Februari ini juga dia akan terbabit dengan penggambaran drama Merah Putih arahan Isma Yusof untuk slot Lagenda TV3. Drama ini mengikut perancangan akan disiarkan April nanti.

Selebriti luang masa untuk aktiviti amal

SEMENTARA itu, Wan Sharmila juga beriya-iya untuk menyertai aktiviti amal yang buat julung kali disertainya. Bagaimanapun, kata Sharmila dia akan cuba untuk memboloskan diri ke sana, andai terikat dengan jadual seni. Seperti rakyat lain, isteri kepada penerbit, Fazli Baharom ini turut menderma.

“Ini antara ikhtiar yang mampu kita lakukan demi keamanan sejagat. Dermalah seikhlas yang mungkin dan tidak kiralah berapa nilai derma yang diberi kerana ia cukup bermakna kepada rakyat Palestin. Kita harus bersyukur berada di Malaysia dan saya sendiri mengharapkan keamanan yang dikecapi kita selama ini akan terus berkekalan. Insya-Allah,” kata Wan Sharmila yang kini drama lakonannya Rona Roni Makaroni sedang ligat disiarkan di Astro Ria.

Turut sama melahirkan pandangan yang sama ialah dua pelakon yang bergandingan di dalam drama terbitan KRU Studios berjudul Bionik, Kamal dan Fizo. Penggambaran drama itu akan berakhir pertengahan Februari ini.

Kata Fizo yang juga adik tiri kepada pelakon Noniswara ini, kesusahan yang dialami negara kita jauh sekali peritnya yang sedang di alami penduduk Gaza. Begitu juga dengan Kamal yang begitu bersemangat dan sanggup untuk ke negara itu dengan harapan dapat membantu rakyatnya. Mereka sendiri ada menderma melalui SMS dan secara berdepan ke tabung yang disediakan.

Info ABPBH2008 Untuk Gaza:

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan:

Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Faizal Tahir, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi dan ramai lagi.

Info Tabung NSTP Untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke

Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui http://www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Fizo Omar

Nama asal: Wan Hafizol Wan Omar

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 19 Julai 1985

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan.

Emel: who_pjo@yahoo.com

Kejayaan: Tempat kedua Hero Remaja.

Ainul Aishah

Nama penuh: Ainul Aishah Azizun

Tarikh lahir: 16 April 1985

Asal: Kuala Lumpur

Filem: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria

Drama: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Myspace: http://www.myspace.com/ainulaishah

Juliana Evans

Nama penuh: Juliana Sophie Johari Evans

Tarikh lahir: 5 Julai 1989

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Darah campuran: British (bapa) dan Melayu (ibu)

Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik

Drama: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)

Filem: Kami The Movies dan Hooperz

Liyana Jasmay

Nama penuh: Liyana Jasmay

Asal: Kuantan, Pahang

Tarikh lahir: 28 Mac 1988

Kerjaya: Pelakon, pelajar

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19

E-mel/facebook: liyana_loves@yahoo.com

Kamal Adli

NAMA: Ahmad Kamal Ahmad Adli

PANGGILAN: Kamal

LAHIR: 16 April 1986 di Pekan Pahang

DRAMA: Impian Sunsilk, Renjis 2 dan Bionik

PROGRAM: Pandanganku Ceritaku (Astro) dan Rentak Juara

Wan Sharmila

Nama penuhnya Wan Sharmila Wan Mohamed. Walaupun tubuhnya kecil tetapi usianya sudah 27 tahun.

Berasal dari Johor Bahru, Johor dan dilahirkan pada 12 Oktober 1981.

Profesionnya ketika ini sebagai pelakon dan pengacara.

Wan Sharmila pernah terbabit dalam Yayasan Warisan Johor dan dia juga adalah bekas penari kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

Wan Sharmila juga adalah anak saudara kepada pelakon filem dan drama tidak asing lagi, Wan Maimunah. Malahan Wan Maimunah pernah membantu untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik tetapi pada waktu itu, usianya masih terlalu muda.

Banyak berlakon drama bersiri seperti Kisah Kaisara 1 & 2, Sindarella, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni dan Rebab Tak Bertali.

Penghargaan
Pakaian lelaki: Lord’s Tailor
Pakaian wanita: Hatta Dolmat

Berita Harian

Jawapan Erry

5 Jan

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK dinafikan drama bersiri Manjalara memberi impak besar kepada kerjaya seni pelakon berbakat, Erry Putra. Ramai mula membuka mata dengan lakonannya yang berkesan sebagai Joffri yang juga watak jahat dalam cerita itu.

Namun, seperti artis lain, Erry atau nama sebenarnya, Eirey Syafiq @ Razlan Hamzah, 28, yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan nampaknya tidak terlepas menjadi sasaran gosip dan kontroversi, sejak berkecimpung sebagai anak seni.

Antara gosip yang dikaitkan dengannya ialah mengaku rumah orang lain sebagai kediamannya sendiri ketika sesi fotografi dan terbaru membuat perubahan pada wajahnya di bahagian hidung dan dagu untuk tampil lebih kacak dan bergaya.

Ketika sesi fotografi Rap bersama Erry, baru-baru ini, pelakon ini tidak keberatan menceritakan perkara sebenar untuk membetulkan gosip yang heboh diperkatakan peminat mengenai dirinya.

“Cerita itu bermula apabila ada wartawan yang berminat untuk buat cerita saya dalam ruangan artis dan rumah. Apabila saya beritahu rumah yang saya beli di Seri Petaling masih dalam proses pengubahsuaian, kawan baik yang sudah dianggap seperti kakak angkat pula menawarkan rumahnya untuk menjayakan fotografi itu.

“Dia juga tidak kisah saya menggunakan kediamannya itu kerana memang sifatnya suka menolong orang sebelum ini. Wartawan yang membuat liputan itu juga tahu mengenai perkara sebenar kerana kami sudah putuskan atas persetujuan saya dan kawan baik itu.

“Tapi saya tidak sangka pula akhirnya akan timbul gosip seperti itu. Bagi saya, ia cerita lama yang berlaku dua tahun lalu.

“Apapun, perkara itu sudah berlaku. Ia mungkin salah faham saja dan saya tidak ingin memperbesarkan cerita ini lagi. Saya akui serik untuk buat sesi fotografi di rumah orang lain selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Erry juga menafikan dia membuat pembedahan kosmetik atau suntikan botox untuk mengubah wajahnya.

Akui Erry, apa yang dilakukannya cuma membuat suntikan vitamin C dan pil untuk memutihkan kulitnya yang agak gelap.

“Kawan baik saya juga pakar kecantikan dan saya juga mengambil suntikan vitamin C dan pil pemutih kulit itu dari pusat rawatan kecantikannya.

“Sebenarnya, kulit saya pada asalnya memang putih tapi berubah gelap, sejak menyertai Royal Military College (RMC) selama empat tahun.

“Sebagai artis, apa salahnya, saya mementingkan penjagaan paras rupa dan kesihatan. Asalkan produk digunakan itu tidak memudaratkan tubuh badan. Saya percaya ramai artis lain buat perkara sama,” katanya.

Justeru, kata Erry, sejak insiden itu, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menguruskan kerjaya seninya berbanding orang luar. Pada sesi fotografi itu, dia ditemani pengurus yang juga anak saudaranya, Akmal Ahmad.

“Apa-apa hal pun, biarlah saya bergantung pada keluarga sendiri daripada orang lain kerana baik buruk pun biarlah bersama keluarga kita sendiri dan tidak membabitkan orang lain.

“Saya juga tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan artis kerana selesa bergerak sendiri ketika ini,” katanya.

Kini, Erry mengakui dia sudah jatuh cinta pada bidang lakonan. Katanya, dia masih ingat teguran Sheila Rusly yang bertanya apakah matlamatnya dalam bidang lakonan. Begitu juga dengan pelakon Rosyam Nor yang pernah bertanya mana satu yang ingin dia kejar, lakonan atau nyanyian ketika menawarkan Erry berlakon di bawah produksinya.

“Sebenarnya, saya ingin fokus pada kedua-dua cabang seni ini. Misi saya juga ingin dikenali sebagai pelakon berkarakter seperti idola saya, Sheila, Rosyam, Datuk Jalaluddin Hassan dan Nasir Bilal Khan. Saya mengagumi pelakon lama kerana pelakon baru berlagak diva apabila popular,” katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya pula, kata Erry, dia terbabit dengan penggambaran telefilem Kasih Berbunga Lalang arahan Azmi Hatta untuk siaran RTM. Drama ini turut dibintangi Elly Mazlein, Nasir Bilal Khan, Didie Alias, Norlia Ghani dan Fadilah Mansor. Erry bawa watak Nordin yang terbabit dalam kisah cinta tiga segi.

Selain itu, dia juga bakal terbabit dalam penggambaran filem terbarunya, Bunian bermula 1 Februari nanti.

Drama lain lakonannya ialah siri 26 episod Saka, siri 26 episod Dendam, siri 60 episod Sutera Maya, siri 26 episod Rindu Berbisik dan Sepi Itu Jiwa.

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Boyz ‘R’ Us ini juga mempertaruhkan dua singlenya yang juga lagu tema drama Sutera Maya, Cintamu (Zimi Sofaz/lirik Aiman 2 By 2) dan Izinkan Aku (Zul 2 By 2) dan lirik, Erry sendiri.

“Saya terima undangan persembahan apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama. Maklumlah, ketika berlakon Sutera Maya dulu, selama empat bulan juga saya berkampung di lokasi.

“Penyanyi Roslan Shah banyak membantu memperkenalkan saya dengan penganjur persembahan di serata tanah air termasuk Singapura. Selain berlakon, saya juga cari makan dengan menyanyi. Saya bukan saja menyanyi lagu sendiri, malah lagu penyanyi lain termasuk lagu dangdut.

“Selain itu, material untuk album solo juga sudah ada cuma saya tunggu masa untuk keluarkan album penuh. Saya memutuskan untuk bergerak solo kerana turut terbabit dalam bidang lakonan,” katanya.

Selepas menjayakan persembahan di gerai My TV3 di Jomheboh Melaka, Erry juga memeriahkan ‘booth’ Harian Metro sempena karnival Jomheboh di Stadium Utama, Kangar, Perlis pada 3 dan 4 Mei lalu. Dia juga menyampaikan beberapa lagu seperti Izinkan Aku, Cintaku, Lagu Cinta Lagu Jiwa dan Naluri Lelaki.

Mengenai teman istimewa, Erry yang pernah beberapa kali putus cinta mengakui, kini, dia berkawan rapat dengan seseorang.

“Sebenarnya, ibu bapa ingin saya mencari calon isteri di kalangan orang biasa saja dan bukan artis. Saya pula tidak kisah soal itu. Maaflah, saya tidak boleh dedahkan identiti teman saya itu buat masa ini. Tapi, saya akan berkahwin bila sudah berjumpa calon tepat,” katanya.

Profil

NAMA PENUH: Eirey Shafiq @ Razlan Hamzah

ASAL: Pengkalan Chepa, Kelantan

AKADEMIK: Royal Military College

KERJAYA: Penyanyi dan pelakon

STATUS: Bujang

ALBUM: Kasih Ku Abadi (Boyz ‘R’ Us)

SINGLE: Izinkan Aku dan Cintaku

DRAMA: Siri 26 episod Rindu Berbisik, Rinduku Semerbak Kayu Manis, Sepi Itu Jiwa, siri 26 episod Manjalara, siri 26 episod Saka, siri 26 episod Dendam; siri 60 episod, Sutera Maya, Sepi Itu Jiwa

FILEM: Bicara Hati arahan Rosnani Jamil, Selamat Pagi Cinta, eee….Hantu

Harian Metro

K-Box Sesuai Seisi Keluarga

10 Sep

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


KENANGAN: Amirudin (berdiri empat dari kiri) bersama sebahagian tetamu kehormat dan artis yang hadir pada majlis perasmian K-Box Pusat Beli-Belah Selayang.

Satu-satunya kelab hiburan karaoke tidak menjual minuman beralkohol kepada pengunjung

BAGI memenuhi permintaan orang ramai yang semakin menggemari hiburan berbentuk karaoke, Kiosk Box Technology Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pusat hiburan untuk seisi keluarga yang diberi nama K-Box di Pusat Beli-Belah Selayang.

Pusat karaoke terbabit dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari. Turut memeriahkan acara ialah beberapa artis terkenal seperti Aremeez Sofaz, Sharifah Shahora dan Aizat.

Ia bukanlah pusat hiburan pertama di bawah label Kiosk Box kerana sebelum itu mereka sudah mempunyai beberapa lagi cawangan termasuk di Bintang Hypermarket Rawang, Sentral Mall Taiping dan Village Mall Sungai Petani.

Berbeza dengan pusat karaoke lain, K-Box agak istimewa terutama bagi pengunjung beragama Islam kerana ia satu-satunya kelab hiburan karaoke yang tidak menyediakan minuman beralkohol (minuman keras). Sebaliknya, minuman serta makanan yang dijual di pusat terbabit adalah halal.

Justeru, masyarakat tidak perlu ragu-ragu untuk membawa seisi keluarga datang berhibur di pusat karaoke berkenaan. Lebih memudahkan, K-Box turut menyediakan tempat permainan kanak-kanak. Kini, pengunjung dewasa tidak lagi perlu risau diganggu kanak-kanak ketika berkaraoke, apabila anak diawasi kakitangan pusat terbabit.


HADIR: Aremeez tidak ketinggalan memeriahkan majlis.

Bagi kemudahan pelanggan juga, K-Box menyediakan pelbagai pakej istimewa bagi mereka yang ingin mengadakan majlis hari jadi, ulang tahun syarikat, meraikan rakan, pertandingan karaoke, pelancaran album atau sesi bertemu peminat, yang semuanya boleh diuruskan pusat berkenaan.

Pelanggan tetap juga tidak pulang kosong apabila berkunjung ke pusat karaoke ini. K-Box memperkenalkan sistem keahlian di mana setiap mata yang terkumpul boleh ditukarkan kepada lagu atau hadiah lain yang ditawarkan pihak K-Box. Menerusi keahlian juga, pelanggan mendapat banyak keistimewaan lain seperti keka hari jadi percuma sekiranya ahli ingin mengadakan majlis keraian ulang tahun di tempat terbabit.

K-Box dijangka terus berkembang dalam masa terdekat dan mengikut perancangan, pusat karaoke serupa akan dibuka di Galaxy Ampang Mall, Pusat Beli-Belah The Mines dan Quality Hotel Shah Alam, sepanjang September ini.

Setiap cawangan disediakan 20 hingga 40 bilik yang terdiri daripada bilik jenis standard, famili, VIP dan VVIP. Ia boleh menempatkan dua hingga 50 orang mengikut saiz bilik.

Dengan bayaran semurah RM18 hingga ke RM35 sejam, kini semua orang mampu menikmati hiburan yang tiada hadnya di K-Box.

Berita Harian

Suria FM Rancak Road Tour

11 Jul


Tuah Zuqarnain

DALAM usaha memenuhi objektif untuk meluaskan lagi khalayak pendengar, satu aktiviti promosi baru bertemakan Suria FM Rancak Road Tour akan diadakan oleh stesen Radio Suria FM.

Kali ini wilayah Pantai Timur menjadi pilihan krew Suria FM bertemankan artis popular lainnya untuk mempromosikan stesen berkenaan.

Acara yang akan bermula pada pukul 3 petang ini akan diadakan di Centre Point, Kemaman. Sesi promosi kemudiaannya akan berlangsung di Kuantan Parade, Kuantan pada hari esok, waktu yang sama.

Para pengunjung yang datang berkesempatan untuk berjumpa mesra dan meminta tandatangan kepada barisan penyampai Suria FM seperti Zizi, Myra, Hairil, Tuah Zuqarnain, Zaff, Akhtar dan Bob Ringgo.

Acara akan semakin menarik kerana ramai artis yang akan turut hadir seperti Dafi, Faizal AF4, Elyana, Aizat, Kumpulan Sofaz dan Kumpulan Sixth Sense. Menariknya artis-artis ini juga akan menghadiahkan satu barangan peribadi kesayangan mereka kepada penonton yang bertuah.

“Aktiviti ini bertujuan untuk menarik lagi para pendengar Suria FM sebagai stesen radio Melayu yang semakin menjadi pilihan pendengar,” Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin.


Elyana

Penampilan baru yang akan lebih menyegarkan lagi siaran stesen radio ini adalah konsep baru dari segi penyampaian, isi kandungan, serta susunan lagu-lagu yang akan dipaparkan kepada pendengar setianya.

Antara program-progaram di Suria FM yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat seperti Breakfast@Suria FM, Surialicious, Surianova, Suria Drive In, Suria 8’11, dan Suria Meetnite.

Beberapa artis penyokong turut memberikan komen mereka terhadap acara ini. “Saya teruja mendapat peluang yang diberi Suria FM untuk dapat bertemu dengan peminat di Kemaman dan Kuantan,” ujar Dafi.

Begitu juga Elyana dan Faizal AF4, juga melahirkan perasaan tidak sabar mereka ingin memberikan persembahan terbaik sempena Road Tour Suria FM kali ini. – MAYA SUSANTI ZULHIMSAR

Kosmo

Stacy Dinobat Juara AF6

25 May

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Stacy

KUALA LUMPUR: Seperti yang diramal, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18, yang sentiasa menduduki tempat teratas dalam setiap persembahan mingguannya dinobatkan sebagai juara program TV realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Stacy tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara oleh pengacara AF6, AC Mizal. Dia yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa dan lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan lirik oleh Intan Norul Azlina dan Layla Ismail berjaya memukau penonton.

Malah, pengkritik tetap, iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura serta pengkritik jemputan, Adlin Aman Ramlie turut kagum dan memuji persembahannya pada konsert akhir itu.

Pelajar kecil molek yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menerima hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM733,734, termasuk sebuah banglo empat bilik di A Famosa, Melaka (RM550,000), kereta Peugeot 307 XS tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM139,535), wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Itali tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony Playstation tajaan Astro (RM1,199) bersama trofi AF6.

Naib juara, Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz, 22, dari Grik, Perak menyanyikan lagu 11 Januari (Gigi) dan Hanya Sandiwara ciptaan Norliza Abu Bakar serta lirik oleh Dean. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM96,076 iaitu kereta Naza Bestari tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM68,877), wang tunai (RM15,000), pakej percutian ke Itali, baucar pelancongan (RM3,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

Tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan, 22, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyampaikan lagu Bukan Di Sini (Sofaz) dan Ada Untukmu ciptaan Zeti Akmar, manakala lirik oleh Abie Abdullah. Kejayaan itu membolehkannya

membawa pulang hadiah bernilai RM21,199, iaitu wang tunai (RM10,000), pakej percutian ke Afrika Selatan, baucar pelancongan (RM2,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

Khairul Nizam Baharom atau Toi, 31, dari Johor Bahru sekadar menduduki tempat keempat. Dia yang mendendangkan lagu Cinta Zulaikha (Mawi) dan Panahan Asmara ciptaan Muhd Nur Hadi dan Muhamad Hafiz manakala lirik oleh Ad Samad. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 iaitu wang tunai (RM5,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

Tempat kelima, Nadia Haswani Hasnan atau Nadia, 18, dari Kuala Lumpur yang menyampaikan Aku Lebih Tahu (Mila AF5) dan Kalut Lagi Mengarut ciptaan Clifford Joseph Hughes dan Amiruddin Syawal, manakala lirik oleh Syeikh Qalam. Dia menerima hadiah bernilai RM7,199 iaitu wang tunai (RM3,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

Jumlah keseluruhan tajaan dan hadiah bagi AF6 bernilai hampir RM900,000. Hadiah disampaikan Pengetua AF6, Ramli MS.

Powered by Berita Harian

Stacy Juara Akademi Fantasia Ke-6

25 May

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KUALA LUMPUR 24 Mei – Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF) diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah, Stacy (gambar) dinobatkan sebagai juara AF6 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.

Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.

Kemenangan Stacy sudah dijangka kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan, dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penyokongnya.

Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang hadiah yang bernilai lebih RM700,000.

Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan, kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000 serta sebuah trofi bersalut emas.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.

Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah trofi.

Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22, yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz) dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.

Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.

Powered by Utusan Malaysia